Contohnya anak zina tidak boleh memasuki masjid, atau imam tidak boleh dilantik dari anak zina atau tidak sah taraf dan seumpamanya. Siapakah yang mengadakan penindasan atau kezaliman terhadap anak-anak zina ini ? Mereka tidak berdosa dan dilahirkan dalam keadaan suci serta tidak tahu apa-apa. Pihak yang berzina ialah ibubapa mereka lalu kenapakah mereka pula yang dipersalahkan ?
Namun dalam masyarakat, ramai seolah-olah sudah menerima doktrin kepercayaan bahawa anak zina ini ialah kotor, tidak suci dan tidak boleh dinikahi atau jika lelaki tidak layak menjadi imam.
Siapakah yang menghukum mereka ini ?
Islam atau pun manusia yang mengaku sebagai umatnya ?
Ada sekumpulan manusia yang mahu mempertahankan kepercayaan tersebut dengan mengatakan ada dalil dan hujah dari agama yang menyokong sikap dan tindakan mereka. Kononnya hal tersebut ada hadith dari rasulullah salallahualaihiwassalam yang menyebutkan tentang kekotoran anak zina.
Disebabkan ianya dikeluarkan oleh seorang Imam yang tersohor bernama Imam At-Tabrani dalam kitabnya Al-Ausoth dengan lafaz hadith :
لا يدخل ولد الزنا الجنة , ولا شيء من نسله , إلى سبعة آباء
Maksudnya : " Anak zina dan seluruh keturunannya tidak akan dapat masuk syurga sampai tujuh keturunan." [1]
Maka ramailah merasa bahawa apa yang telah dilakukan oleh mereka itu tidak salah dan ada teras serta dasarnya dari agama. Tetapi hakikatnya sikap tersebut bukanlah dari Islam dan Allah SWT bersama rasul-Nya berlepas diri dari kepercayaan dan doktrin tersebut apabila hadith yang dipegang oleh mereka ialah hadis palsu dan bathil serta bercanggah dengan ayat-ayat Allah SWT yang jelas di dalam Al-Quran dan hadith rasulullah salallahualaihiwassalam yang sahih.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : “Dan tidaklah seorang itu membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri, dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Al-An’am : 164)
Kemudian dalam ayat yang lain Allah SWT turut berfirman dengan bermaksud : “Dan orang yang berdosa itu tidak akan memikul dosa orang lain.” (Al-Faathir : 18)
Dan firman Allah lagi : “Dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Az-Zumar : 7)
Dan lagi firman Allah SWT : “Barangsiapa yang beramal sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya amalannya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatannya itu adalah untuk (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” (Al-Isra: 15)
Serta akhirnya firman Allah SWT yang bermaksud : “(Iaitu) bahawasanya seseorang yang berdosa itu tidak akan memikul dosa orang yang lain.” (An-Najm : 38)
Manakala di dalam hadith yang sahih pula dari riwayat Abu Hurairah ra yang mengatakan bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda :
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه
Maksudnya : “ Setiap anak adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibubapanya-lah yang menjadikan anak itu sebagai yahudi atau nasrani atau majusi.” [2]
Maka setelah kita memerhatikan begitu banyak dalil yang begitu jelas lagi terang tentang seseorang itu dilahirkan suci dan tidak akan menanggung dosa orang lain maka apakah lagi yang tinggal pada doktrin dan fahaman yang memburukkan anak-anak zina itu melainkan ianya hanyalah dusta dan kepalsuan yang hina.
Demikianlah agama, apabila kita membersihkan ia dari doktrin-doktrin dan tafsiran manusia yang dusta, palsu dan keliru maka akan terzahirlah kebenaran dan terhasillah keadilan dan kehormonian serta bercahayalah kegelapan.
Agama hari ini telah berusia sangat tua, umurnya yang panjang itu menyebabkan ia sering sakit kerana terdedah oleh virus yang pelbagai lagi ganas yang menyerangnya dengan membawa fahaman baru dan tafsiran-tafsiran yang keliru sehingga boleh memesongkan manusia dari agama asal Allah SWT.
Tafsiran-tafsiran manusia kerap kali mendominasi agama sehingga kelihatan Islam itu begitu kotor dan berlumut bak kolam-kolam air wudhuk di surau-surau umat Islam. Konon beranggapan air dua kolah tidak akan menggotorkan kerana itu yang dipelajari dari subjek taharah atau bersuci maka dibiarkanlah air kolah surau itu tidak dicuci walau sudah berdaki dan hijau airnya dek kerana lumut dan kotoran bakteria yang boleh membawa sakit.
Lalu apabila ada orang yang mati atau sakit kerana berkumur dengan airnya maka siapakah yang akan dipersalahkan ? Orang atau agama ? Selalunya agamalah yang akan menjadi mangsa hasil kejahatan tangan-tangan manusia dan kejahilan umatnya.
Membersihkan Islam dari tafsiran manusia yang jahil dan keliru adalah amat penting kerana ianya merupakan suatu kewajipan mulia bagi memelihara kesucian Islam.Islam yang sebenar ialah apa yang dibawa oleh Allah dan rasul-Nya di dalam dua sumber yang utama dan terpelihara dari kesesatan iaitu Al-Kitab (Al-Quran) dan as-sunnah (Al-hadith).
Tafsiran yang benar terhadap agama ini ialah seperti apa yang disebutkan di dalam Kitab Aqidah At-Tahawiyah yang bermaksud : “Tafsiran yang sahih ialah apa yang bertepatan dengan Al-Quran dan As-sunnah dan apa yang berdalilkan kepada nas-nas (Al-Quran dan as-sunnah) manakala apa yang bercanggah dengan dalil nas maka ianya merupakan tafsiran yang salah.”[3]
No comments:
Post a Comment