Sunday, November 13, 2011

Kenapakah Fitnah Dajjal itu Bahaya Kepada Umat Islam ?

Kenapa Fitnah Dajjal itu bahaya kepada Islam ?

Dajjal seperti yang digambarkan di dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta sebelah matanya dan tertulis di antara kedua matanya itu perkataan kafir. Mendengar fizikalnya seperti ini pasti ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya Dajjal kepada umat Islam ?

Bukankah semua orang pasti sudah tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?

Jawapannya ialah ramai orang sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah Dajjal serta tidak mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan tidak pula bersiap sedia untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.

Fitnah Dajjal disebut oleh nabi salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar akan menimpa manusia. Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda (yang bermaksud) : “Sejak penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak ada perkara lain yang lebih besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam riwayat yang lain, Abdullah Ibn Umar ra berkata rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Aku sungguh-sungguh berwasiat agar kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)

Berapa ramai orang yang membaca hadis-hadis seperti ini tetapi mereka melaluinya seperti tidak mendapati apa-apa bahaya dan merasa terancam olehnya. Kata mereka sudah banyak orang yang mengaku nabi sejak dari zaman awal Islam. Sudah ramai tokoh-tokoh palsu, ajaran sesat dan kepala pendusta agama yang membawa ajaran ganjil ini yang telah berjaya dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul seperti golongan sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta berada sebaris dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan nabi palsu lainnya.

Oh mereka itu ternyata silap sama sekali !

Dajjal itu kelasnya bukanlah setaraf dengan nabi palsu atau wali-wali keramat dan tok guru yang dapat ditangkap dan dipenjarakan.

Dajjal itu bahkan mengaku dirinya sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan !

Dajjal itu fitnahnya ialah kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta mengangkat kekufuran dan menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan kebathilan.

Lawan Dajjal itu pula bukanlah seorang polis agama atau Kadi dan mufti sebaliknya seorang rasul khas yang ditugaskan secara khusus untuk memerangi Dajjal di akhir zaman.

Nabi Isa alaihisalam yang kini berada di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT : “dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 157-158)

Jadi masihkah anda mampu memandang rendah ?

Di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Umamah ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah memperbanyakkan keturunan Adam itu tidak adalah fitnah di atas muka bumi ini yang lebih besar selain fitnah Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah mengutuskan seorang nabi pun kecuali mereka memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal. Aku ialah nabi yang terakhir dan kamua semua pula adalah umat yang terakhir. Sesungguhnya Dajjal itu pastilah akan muncul di tengah-tengah kamu semua.”(hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam Mustadrak)

Jika para rasul di setiap zaman pun merasa takut dan memperingatkan bahayanya Dajjal serta nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sendiri berasa bimbang dan sentiasa berpesan kepada para sahabatnya tentang fitnah lelaki buta ini maka apakah alasan dan puncanya yang menyebabkan anda tidak berasa bimbang ?

Hafal 10 ayat Surah Al-Kahfi halau Dajjal

Diriwayatkan Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang menghafaz 10 ayat yang awal dari surah Al-Kahfi akan di pelihara dan di selamatkannya dari fitnah Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)

Rupa-rupanya budaya Melayu baca Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di dalam minda. Amalan membaca Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat menyelesaikan masalah, seperti membuat air penawar untuk anak menduduki peperiksaan dan mencari siapakah pencuri dalam kampong atau asrama masih bersarang di minda orang Melayu.

Firman Allah SWT : “Dan apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu suatu dinding yang tertutup.” (Al-Isra : 45)

Patutlah umat Islam kebanyakkannya tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal kerana mereka menyangka kononnya mereka sudah mempunyai tangkal azimat berupa ayat-ayat Al-Kahfi buat menakut-nakutkan Dajjal.

Nyah kau dari sini ! Aku bacakan surah Al-Kahfi nanti !

Agaknya mungkin itulah dialog yang mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan dengan Dajjal nanti.

Jika begitu mudah menghalau Dajjal maka tidak perlulah para rasul dari zaman berzaman berpesan dan memperingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal.

Bahkan di dalam sebuah hadis dari jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Siapa yang mendengar Dajjal hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Bahayanya Dajjal itu terletak pada tipu-dayanya !

Musibah dan fitnah yang menimpa umat Islam akibat dari kedatangan Dajjal ialah pada aqidah dan kehidupan beragama mereka yang tergugat dengan sistem dan nilai yang dibawa oleh Dajjal.

Bermula dari Rasul yang awal, Nabi Nuh Alaihissalam sehinggalah kepada nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam semuanya membawa tauhid dan menyeru manusia kepada Allah SWT serta mengajak supaya menjauhi thaghut iaitu syirik dan kebathilan.

Bahayanya fitnah Dajjal itu adalah lebih besar dari kebahayaan syirik dan kefasikan yang pernah terjadi pada umat-umat terdahulu.

Ini kerana melalui tauhid dan Islam yang dibawa oleh setiap Rasul, manusia yang berakal dan waras akan mampu berfikir dengan kebijaksanaan mereka untuk memilih deen Allah dan menerima Islam sebagai salah satu cara hidup.

Hanya sahaja ianya tidak begitu mudah berlaku dalam sejarah para rasul terdahulu disebabkan oleh pertentangan golongan tua dan adat jahiliyyah mereka yang ketat dan kerana keterikatan mereka dengan peninggalan agama nenek moyang dan sikap taklid buta.

Namun secara umumnya apabila golongan tua dan ketua-ketua kufur ini telah ditewaskan dalam peperangan atau meninggal dunia maka kaum muda dan generasi baru mereka begitu mudah menerima Islam.

Hal ini disebabkan kesyirikkan dan kebathilan itu ternyata suatu kekotoran dan cara hidup mereka adalah amat buruk.

Kufur itu buruk apabila mereka menyembah tuhan yang banyak dan berselisih.

Zina itu juga buruk apabila mereka didatangi dengan pelbagai penyakit dan menjadi resah oleh keturunan yang tercemar.

Penipuan dalam timbangan serta riba juga adalah buruk kerana mereka dianaiyai dan selalu ditindas oleh orang yang lebih bijak dan lebih mempunyai kelebihan ekonomi dan yang lemah terus diperhambakan.

Apabila datangnya Islam maka sudah tentu masyarakat Jahiliyyah ini berbodong-bondong mahu masuk ke dalam agama ini demi mengharap kehidupan dan kebaikan yang jelas ketara berbanding amalan syirik dan kehidupan tanpa syariat.

Firman Allah SWT : “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.” (An-Nasr : 1-2)

Tetapi ajaran dan fitnah Dajjal ini lebih dahsyat !

Fitnah Dajjal ialah apabila Dia membawa ajaran dan sistem nilai serta cara hidup yang dapat ditonjolkan sebagai atau kelihatan seolah-olah lebih baik dari sistem Islam.

Firman Allah SWT : “Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan acuan Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Al-baqarah : 138)

Ajaran Dajjal seolah-olah satu bid’ah (penambahan) dan pelengkap sehingga manusia merasa sayang untuk tidak menggunakannya dan merasa rugi jika tidak menerima apa yang dibawa oleh Dajjal kerana ianya kelihatan lebih baik dari Deen Allah dan lebih bagus serta lebih sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan di atas muka bumi ini dari syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keuntungan." (Al-Maidah : 100)

Itulah bahaya paling besar Dajjal ke atas manusia !

Apabila umat Islam selama ini beraqidah dengan Al-Quran dan As-sunnah maka Dajjal membawa sistem pemikiran dan keyakinan berasaskan realiti semasa dan fakta serta mengajak umat Islam untuk berpindah dari kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya kepada faham baru yang kelihatan seolah-olah lebih baik dan lebih menyesuai dengan zaman dan tuntutan semasa.

Demikian juga di dalam perihal ibadah, solat, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan agama yang lain semuanya akan menerima pengaruh Dajjal sehingga seolah-olah kedatangan Dajjal itu merupakan suatu rahmat dan kebaikan yang melengkapkan Deen Islam yang masih kurang dan tidak lengkap.

Apabila Islam mengajar manusia tentang hukum-hakam dan peraturan jenayah serta undang-undang maka Dajjal pun membawa sistem peraturan dan undang-undangnya yang kemudian diterima serta dipakai di seluruh dunia dengan anggapan ianya lebih adil dan bertimbang rasa dari undang-undang Islam.

Begitu juga dengan pemerintahan, politik dan sebagainya. Manusia pasti akan terpedaya dengan sistem dan cara hidup Dajjal yang mengubah sistem nilai dan fokus umat Islam daripada mempertuhankan Allah SWT perlahan-lahan bertukar kepada mempertuhankan kekuasaan Dajjal.

Dari syura kepada demokrasi, dari ekonomi berteraskan kebajikan dan usaha kepada penindasan riba dan kapitalis. Dari sistem undang-undang syariah kepada peraturan sivil dan perlembagaan Negara. Perlahan-lahan idea Dajjal berjalan dan bergerak masuk ke dalam kehidupan umat Islam.

Siapakah yang dapat menyelamatkan diri dari Dajjal ?

Firman Allah yang bermaksud : “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka." (Al-Hijr : 39-40)

Anda mungkin dapat menyelamatkan diri anda daripada Dajjal jika sekarang ini pun anda masih seorang Muslim dan mukmin yang kuat bertawakal dan hanya yakin kepada Allah SWT. Maksudnya anda bukanlah ahli MLM, atau peminat setia kelab rahsia tarikh lahir dan pelangan dukun dan bomoh.

Ini kerana Dajjal berkuasa meramal dan mendapat pertolongan Syaitan serta mampu melakukan hal-hal yang luar biasa seperti menyembuhkan orang yang sakit, memanggil dan menahan hujan serta pelbagai lagi keajaiban.

Jika bomoh patah yang menggunakan jin pun orang sanggup percaya demi terbelit oleh tipuan syaitan yang menggunakan ayat keramat berbunyi : “Apa salahnya kita mencuba berikhtiar saja, mana tahu kalau-kalau sembuh.” Bayangkan jika Dajjal yang muncul dan sememangnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, buah pinggang, kencing manis dan jantung ??

Siapakah yang dapat menolak ajakan dan godaan Dajjal ?

Orang kita sanggup berbuat apa sahaja demi sembuh dari sakit walaupun berjumpa bomoh yang jelas diharamkan oleh Islam inikan pula Dajjal yang datang dengan tipudaya dan kemampuan yang lebih dahsyat.

Di dalam hadis juga menyebutkan bahawa Dajjal berupaya mendatangkan rezeki dan kekayaan serta hasil bumi kepada kaum yang beriman dengannya dan menarik serta menahan rezeki kepada golongan yang mengingkari ajakannya.

Si Dajjal ini selain dari tipudaya yang berupa magik dan keajaiban dia juga mampu menghidupkan orang yang sudah mati serta boleh mendatangkan syurga dan neraka sehingga mengabui mata manusia bahawa tidak syak lagi dia inilah tuhan yang sebenar.

Nah, bahaya yang diungkapkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah bahaya fizikal dan badan tetapi jiwa dan agama yang bakal dimusnahkan oleh Dajjal apabila tiba fitnahnya kepada kemuncak di akhir zaman.

Sesungguhnya Dajjal itu tidaklah berkuasa tetapi yang berkuasa itu adalah Allah SWT. Bahkan segala keajaiban Dajjal adalah dari Allah jua sebagai ujian kepada manusia untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman.

Hanya yang ikhlas dan jujur dalam beragama kerana mengharap redha Allah SWT sahaja yang dapat selamat dari kedahsyatan fitnah Dajjal.

Sungguh layak kebimbangan baginda rasul apabila fitnah Dajjal itu bagaikan singa lapar yang mengeroyak Iman yang nipis seperti kulit bawang.

Kerana itulah dari Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam telah mengajar kita agar selalu berdoa dengan sabdaNya :

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya : “ Apabila seseorang dari kamu telah bertasyahud maka hendaklah dia membaca doa memohon perlindungan Allah daripada empat perkara iaitu ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah hidup dan selepas mati dan daripada kejahatan fitnah al-masih Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)

Akhir kata, masihkah anda berasa Dajjal itu tidaklah bahaya dan tidak perlu dibimbangkan ?

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.


p/s : Sila sebarkan demi manfaat umat Islam.

3 comments:

Dr Nazatul Shiha said...

5 prinsip rukun Dajjal....

1)Toleransi Syirik yang membunuh al-bara',

2) Materialisma sebagai dasar hidup,

3) Keutamaan individualistik dan penting diri,

4) Kebebasan akal yang memusuhi wahyu dan

5)Pemberontakan jiwa yang melawan tuhan !


-----------------

Dr Nazatul Shiha said...

‎1) Toleransi syirik - melahirkan pluralism, mencambahkan syirik dan membiarkannya atas nama " harmoni" dan semua agama itu sama...membunuh al-bara' perintah Allah yang menyuruh umat Islam berlepas diri dari syirik dan memusuhinya...

"Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah saja." (Al-mumtahanah : 4)

‎2) Materialisma sebagai dasar hidup - hidup untuk dunia dan memisahkan diri dari akhirat....oh sorry, i cannot be emotional...i must maintain my professional attitude...tolong orang, bantu dan menjadi Muslim yang baik dianggap...not professional...atas nama mazhab materialistik....halal dan haram tidak dipedulikan...it is just business !

Pemilihan calon menantu, isteri, suami semuanya atas dasar materialisma...Itulah matlamat hidup....bukan lagi akhirat...

"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu." (Al-hadid : 20)

Dr Nazatul Shiha said...

3) Keutamaan individualistik dan penting diri - Inilah ajaran Dajjal untuk menanamkan sifat pentingkan diri sendiri, individualistik dan TAMAK bagi membunuh UKHUWAH ISLAMIYAH serta persaudaraan...everyone on its own...PERSAINGAN dijadikan sebagai medan untuk menindas dan menekan orang lain...ehsan, kasih sayang dan juga persaudaraan dibunuh oleh sikap penting diri...

Sanggup pergi Haji pakej DIAMOND dan GOLD harga puluh-puluh ribu dan belanja besar untuk diri sendiri tetapi kedekut dengan saudara seIslam dan mereka yang dalam kesusahan...Ukhuwah hanya di mulut..

"Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: "Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat" (Al-Kahfi : 34)

4) Kebebasan akal yang memusuhi wahyu - mengutamakan kebijaksanaan akal dan logik daripada ajaran wahyu dan memusuhinya sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Kagum kepada ilmu dan hasil pengalaman sendiri dan memperendahkan wahyu atas dakwaan kononnya tidak mampu bersaing dan berhujah dengan logik dan memberi manfaat.

Memperjuangkan kebebasan hak dan taraf yang melanggar wahyu...hak wanita, menentang POLIGAMI, menafsirkan wahyu dengan menurut kehendak dan kemahuan yang menguntungkan duniawi serta menjadikan agama sebagai bahan cemuhan dan sesuatu yang dimusuhi.

Asas awal dalam perjuangan membebaskan diri daripada tuhan...

5) Pemberontakan jiwa yang melawan tuhan- Perjuangan membebaskan manusia dari kawalan tuhan, takdir, fate destiny dan berperang dengan Allah dan agamanya....inilah bawaan Dajjal...human divine...keunggulan manusia sebagai makhluk hebat ditampilkan bagi meninggikan manusia agar dirinya tidak memerlukan tuhan....

Manusia adalah tuhan, membuat jalan hidupnya sendiri....ilmu-ilmu dan jalan ke arah itu pun digubal bagi membantu mencapai matlamat membebaskan manusia dari kongkongan tuhan kepada kehidupan mutlak ~ pembebasan Dajjal...

Kalau anda masih ada sisa baki seorang mukmin,...pasti terasa pencemaran Dajjal di mana-mana...orang-orang yang nafasnya berbau Ringgit (RM)...mata memandang pasti tercemar oleh zina yang kelihatan atas nama kebebasan berpakaian...Riba dihalalkan dengan bantuan pakar-pakar syariah yang mencari jalan membantu bank-bank menyediakan khidmat halal...DiIslamkan kereta tetapi tidak tuannya...diIslamkan produknya tetapi tidak pemiliknya...Dakwah dicemari oleh Dajjal dengan kebathilan yang bercakap dan pemilik kebenaran terkunci rapi...atas nama tauliah dan kelulusan....kebenaran bukan pada sijil dan pengiktirafan tetapi Dajjal menguasai sistem....Hati lapang di dunia Dajjal membuktikan siapa kita dan di pihak mana kita berada....

copy dari status Ust Emran di Fb.