Sunday, November 13, 2011

Kenapakah Fitnah Dajjal itu Bahaya Kepada Umat Islam ?

Kenapa Fitnah Dajjal itu bahaya kepada Islam ?

Dajjal seperti yang digambarkan di dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta sebelah matanya dan tertulis di antara kedua matanya itu perkataan kafir. Mendengar fizikalnya seperti ini pasti ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya Dajjal kepada umat Islam ?

Bukankah semua orang pasti sudah tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?

Jawapannya ialah ramai orang sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah Dajjal serta tidak mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan tidak pula bersiap sedia untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.

Fitnah Dajjal disebut oleh nabi salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar akan menimpa manusia. Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda (yang bermaksud) : “Sejak penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak ada perkara lain yang lebih besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam riwayat yang lain, Abdullah Ibn Umar ra berkata rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Aku sungguh-sungguh berwasiat agar kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada seorang nabi pun yang tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun aku akan memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)

Berapa ramai orang yang membaca hadis-hadis seperti ini tetapi mereka melaluinya seperti tidak mendapati apa-apa bahaya dan merasa terancam olehnya. Kata mereka sudah banyak orang yang mengaku nabi sejak dari zaman awal Islam. Sudah ramai tokoh-tokoh palsu, ajaran sesat dan kepala pendusta agama yang membawa ajaran ganjil ini yang telah berjaya dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul seperti golongan sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta berada sebaris dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan nabi palsu lainnya.

Oh mereka itu ternyata silap sama sekali !

Dajjal itu kelasnya bukanlah setaraf dengan nabi palsu atau wali-wali keramat dan tok guru yang dapat ditangkap dan dipenjarakan.

Dajjal itu bahkan mengaku dirinya sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan kekuatan yang tidak dapat dibayangkan !

Dajjal itu fitnahnya ialah kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta mengangkat kekufuran dan menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan kebathilan.

Lawan Dajjal itu pula bukanlah seorang polis agama atau Kadi dan mufti sebaliknya seorang rasul khas yang ditugaskan secara khusus untuk memerangi Dajjal di akhir zaman.

Nabi Isa alaihisalam yang kini berada di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT : “dan kerana ucapan mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 157-158)

Jadi masihkah anda mampu memandang rendah ?

Di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Umamah ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah memperbanyakkan keturunan Adam itu tidak adalah fitnah di atas muka bumi ini yang lebih besar selain fitnah Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah mengutuskan seorang nabi pun kecuali mereka memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal. Aku ialah nabi yang terakhir dan kamua semua pula adalah umat yang terakhir. Sesungguhnya Dajjal itu pastilah akan muncul di tengah-tengah kamu semua.”(hadis riwayat Ibn Majah, Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam Mustadrak)

Jika para rasul di setiap zaman pun merasa takut dan memperingatkan bahayanya Dajjal serta nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sendiri berasa bimbang dan sentiasa berpesan kepada para sahabatnya tentang fitnah lelaki buta ini maka apakah alasan dan puncanya yang menyebabkan anda tidak berasa bimbang ?

Hafal 10 ayat Surah Al-Kahfi halau Dajjal

Diriwayatkan Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang menghafaz 10 ayat yang awal dari surah Al-Kahfi akan di pelihara dan di selamatkannya dari fitnah Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)

Rupa-rupanya budaya Melayu baca Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di dalam minda. Amalan membaca Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat menyelesaikan masalah, seperti membuat air penawar untuk anak menduduki peperiksaan dan mencari siapakah pencuri dalam kampong atau asrama masih bersarang di minda orang Melayu.

Firman Allah SWT : “Dan apabila kamu membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di antara kamu dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu suatu dinding yang tertutup.” (Al-Isra : 45)

Patutlah umat Islam kebanyakkannya tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal kerana mereka menyangka kononnya mereka sudah mempunyai tangkal azimat berupa ayat-ayat Al-Kahfi buat menakut-nakutkan Dajjal.

Nyah kau dari sini ! Aku bacakan surah Al-Kahfi nanti !

Agaknya mungkin itulah dialog yang mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan dengan Dajjal nanti.

Jika begitu mudah menghalau Dajjal maka tidak perlulah para rasul dari zaman berzaman berpesan dan memperingatkan umatnya tentang bahaya Dajjal.

Bahkan di dalam sebuah hadis dari jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Siapa yang mendengar Dajjal hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah, ada seorang lelaki yang datang kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai seorang mukmin namun ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut Dajjal kerana tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Bahayanya Dajjal itu terletak pada tipu-dayanya !

Musibah dan fitnah yang menimpa umat Islam akibat dari kedatangan Dajjal ialah pada aqidah dan kehidupan beragama mereka yang tergugat dengan sistem dan nilai yang dibawa oleh Dajjal.

Bermula dari Rasul yang awal, Nabi Nuh Alaihissalam sehinggalah kepada nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam semuanya membawa tauhid dan menyeru manusia kepada Allah SWT serta mengajak supaya menjauhi thaghut iaitu syirik dan kebathilan.

Bahayanya fitnah Dajjal itu adalah lebih besar dari kebahayaan syirik dan kefasikan yang pernah terjadi pada umat-umat terdahulu.

Ini kerana melalui tauhid dan Islam yang dibawa oleh setiap Rasul, manusia yang berakal dan waras akan mampu berfikir dengan kebijaksanaan mereka untuk memilih deen Allah dan menerima Islam sebagai salah satu cara hidup.

Hanya sahaja ianya tidak begitu mudah berlaku dalam sejarah para rasul terdahulu disebabkan oleh pertentangan golongan tua dan adat jahiliyyah mereka yang ketat dan kerana keterikatan mereka dengan peninggalan agama nenek moyang dan sikap taklid buta.

Namun secara umumnya apabila golongan tua dan ketua-ketua kufur ini telah ditewaskan dalam peperangan atau meninggal dunia maka kaum muda dan generasi baru mereka begitu mudah menerima Islam.

Hal ini disebabkan kesyirikkan dan kebathilan itu ternyata suatu kekotoran dan cara hidup mereka adalah amat buruk.

Kufur itu buruk apabila mereka menyembah tuhan yang banyak dan berselisih.

Zina itu juga buruk apabila mereka didatangi dengan pelbagai penyakit dan menjadi resah oleh keturunan yang tercemar.

Penipuan dalam timbangan serta riba juga adalah buruk kerana mereka dianaiyai dan selalu ditindas oleh orang yang lebih bijak dan lebih mempunyai kelebihan ekonomi dan yang lemah terus diperhambakan.

Apabila datangnya Islam maka sudah tentu masyarakat Jahiliyyah ini berbodong-bondong mahu masuk ke dalam agama ini demi mengharap kehidupan dan kebaikan yang jelas ketara berbanding amalan syirik dan kehidupan tanpa syariat.

Firman Allah SWT : “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.” (An-Nasr : 1-2)

Tetapi ajaran dan fitnah Dajjal ini lebih dahsyat !

Fitnah Dajjal ialah apabila Dia membawa ajaran dan sistem nilai serta cara hidup yang dapat ditonjolkan sebagai atau kelihatan seolah-olah lebih baik dari sistem Islam.

Firman Allah SWT : “Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan acuan Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Al-baqarah : 138)

Ajaran Dajjal seolah-olah satu bid’ah (penambahan) dan pelengkap sehingga manusia merasa sayang untuk tidak menggunakannya dan merasa rugi jika tidak menerima apa yang dibawa oleh Dajjal kerana ianya kelihatan lebih baik dari Deen Allah dan lebih bagus serta lebih sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan di atas muka bumi ini dari syariat Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Katakanlah: "Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keuntungan." (Al-Maidah : 100)

Itulah bahaya paling besar Dajjal ke atas manusia !

Apabila umat Islam selama ini beraqidah dengan Al-Quran dan As-sunnah maka Dajjal membawa sistem pemikiran dan keyakinan berasaskan realiti semasa dan fakta serta mengajak umat Islam untuk berpindah dari kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya kepada faham baru yang kelihatan seolah-olah lebih baik dan lebih menyesuai dengan zaman dan tuntutan semasa.

Demikian juga di dalam perihal ibadah, solat, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan agama yang lain semuanya akan menerima pengaruh Dajjal sehingga seolah-olah kedatangan Dajjal itu merupakan suatu rahmat dan kebaikan yang melengkapkan Deen Islam yang masih kurang dan tidak lengkap.

Apabila Islam mengajar manusia tentang hukum-hakam dan peraturan jenayah serta undang-undang maka Dajjal pun membawa sistem peraturan dan undang-undangnya yang kemudian diterima serta dipakai di seluruh dunia dengan anggapan ianya lebih adil dan bertimbang rasa dari undang-undang Islam.

Begitu juga dengan pemerintahan, politik dan sebagainya. Manusia pasti akan terpedaya dengan sistem dan cara hidup Dajjal yang mengubah sistem nilai dan fokus umat Islam daripada mempertuhankan Allah SWT perlahan-lahan bertukar kepada mempertuhankan kekuasaan Dajjal.

Dari syura kepada demokrasi, dari ekonomi berteraskan kebajikan dan usaha kepada penindasan riba dan kapitalis. Dari sistem undang-undang syariah kepada peraturan sivil dan perlembagaan Negara. Perlahan-lahan idea Dajjal berjalan dan bergerak masuk ke dalam kehidupan umat Islam.

Siapakah yang dapat menyelamatkan diri dari Dajjal ?

Firman Allah yang bermaksud : “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka." (Al-Hijr : 39-40)

Anda mungkin dapat menyelamatkan diri anda daripada Dajjal jika sekarang ini pun anda masih seorang Muslim dan mukmin yang kuat bertawakal dan hanya yakin kepada Allah SWT. Maksudnya anda bukanlah ahli MLM, atau peminat setia kelab rahsia tarikh lahir dan pelangan dukun dan bomoh.

Ini kerana Dajjal berkuasa meramal dan mendapat pertolongan Syaitan serta mampu melakukan hal-hal yang luar biasa seperti menyembuhkan orang yang sakit, memanggil dan menahan hujan serta pelbagai lagi keajaiban.

Jika bomoh patah yang menggunakan jin pun orang sanggup percaya demi terbelit oleh tipuan syaitan yang menggunakan ayat keramat berbunyi : “Apa salahnya kita mencuba berikhtiar saja, mana tahu kalau-kalau sembuh.” Bayangkan jika Dajjal yang muncul dan sememangnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, buah pinggang, kencing manis dan jantung ??

Siapakah yang dapat menolak ajakan dan godaan Dajjal ?

Orang kita sanggup berbuat apa sahaja demi sembuh dari sakit walaupun berjumpa bomoh yang jelas diharamkan oleh Islam inikan pula Dajjal yang datang dengan tipudaya dan kemampuan yang lebih dahsyat.

Di dalam hadis juga menyebutkan bahawa Dajjal berupaya mendatangkan rezeki dan kekayaan serta hasil bumi kepada kaum yang beriman dengannya dan menarik serta menahan rezeki kepada golongan yang mengingkari ajakannya.

Si Dajjal ini selain dari tipudaya yang berupa magik dan keajaiban dia juga mampu menghidupkan orang yang sudah mati serta boleh mendatangkan syurga dan neraka sehingga mengabui mata manusia bahawa tidak syak lagi dia inilah tuhan yang sebenar.

Nah, bahaya yang diungkapkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah bahaya fizikal dan badan tetapi jiwa dan agama yang bakal dimusnahkan oleh Dajjal apabila tiba fitnahnya kepada kemuncak di akhir zaman.

Sesungguhnya Dajjal itu tidaklah berkuasa tetapi yang berkuasa itu adalah Allah SWT. Bahkan segala keajaiban Dajjal adalah dari Allah jua sebagai ujian kepada manusia untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman.

Hanya yang ikhlas dan jujur dalam beragama kerana mengharap redha Allah SWT sahaja yang dapat selamat dari kedahsyatan fitnah Dajjal.

Sungguh layak kebimbangan baginda rasul apabila fitnah Dajjal itu bagaikan singa lapar yang mengeroyak Iman yang nipis seperti kulit bawang.

Kerana itulah dari Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam telah mengajar kita agar selalu berdoa dengan sabdaNya :

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya : “ Apabila seseorang dari kamu telah bertasyahud maka hendaklah dia membaca doa memohon perlindungan Allah daripada empat perkara iaitu ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah hidup dan selepas mati dan daripada kejahatan fitnah al-masih Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)

Akhir kata, masihkah anda berasa Dajjal itu tidaklah bahaya dan tidak perlu dibimbangkan ?

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.


p/s : Sila sebarkan demi manfaat umat Islam.

Sunday, November 06, 2011

Khutbah Hari Raya Eid Al-Adha 1432



اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ
2) كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ . وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا أَوْلانَا وَنَشْكُرُهُ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى بِهَا وَالانَا. وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ…… فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita telah diberikan nikmat dan peluang oleh Allah SWT untuk bersama-sama meraikan hari raya Eid Al-Adha yang disambut oleh setiap Muslim sebagai memperingati pengobanan Nabi Allah Ibrahim as dan juga sebagai memenuhi perintah Allah SWT di dalam menyambut ibadah haji dan korban yang disyariatkan kepada umat Islam.

Sidang hadirin muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Allah SWT telah berfirman : Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur. Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang akan dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj : 36-37)

Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Al-Hajj : 32)

Imam Al-Bukhari meriwayatkan Di dalam Sahihnya, “Dari Al-Barra bin Azib: Aku mendengar Rasulullah salallahualaihiwassalam berkhutbah. Dengan baginda bersabda, “Perkara pertama yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mendirikan solat, dan selepas itu, kamu menyembelih haiwan korban; dan sesiapa yang melakukan ini maka dia berjalan di atas sunnahku.”

Eid-ul-Adha berasal dari kalimah ‘udhiyah yang bermaksud korban. Ia juga disebut dengan nama lainnya sebagai yaum-An-Nahar (Hari di mana ibadah korban dilaksanakan). Jika hari raya Eidul fitri diraikan dengan puasa Ramadhan maka hari raya Eidhul Adha pula diraikan dengan ibadah haji dan juga korban.

Ibadah korban merupakan salah satu di antara syiar penting dalam Islam sebagai memberi peringatan kepada manusia bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dan kejayaan itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan bayaran harga sebuah pengorbanan.

Sesungguhnya Syurga dan kejayaan hidup itu adalah tidak percuma.

Ianya perlu dibeli dengan jiwa dan raga sebagai pengorbanan untuk mendapatkan keduanya.

Allah SWT telah berfirman : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.(At-Taubah : 111)

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Syariat Islam itu di sisi Allah SWT turut disebut sebagai Millah Ibrahim, iaitu jalan atau sunnah yang diasaskan oleh Ibrahim AS di dalam menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Baginda telah diuji oleh Allah SWT dan didapati lulus dalam ujian keimanan tersebut lalu diangkat menjadi imam dan pemimpin kepada seluruh manusia.

Firman Allah SWT :

Ceritakanlah (Hai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Al Kitab (Al Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan lagi seorang Nabi. Ingatlah ketika ia berkata kepada bapaknya; "Wahai bapakku, mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Wahai bapakku, sesungguhnya telah datang kepadaku sebahagian ilmu pengetahuan yang tidak datang kepadamu, maka ikutilah aku, niscaya aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lurus. Wahai bapakku, janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu durhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Wahai bapakku, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan ditimpa azab dari Tuhan Yang Maha Pemurah, maka kamu menjadi kawan bagi syaitan. Berkata bapanya: "Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka nescaya kamu akan kurejam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama. Berkata Ibrahim: "Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan memintakan ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku. Maka ketika Ibrahim sudah menjauhkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, Kami anugerahkan kepadanya Ishak, dan Ya'qub. Dan masing-masingnya Kami angkat menjadi nabi. Dan Kami anugerahkan kepada mereka sebagian dari rahmat Kami dan Kami jadikan mereka bahan bicara manusia (teladan) yang baik lagi tinggi.” (Maryam : 41-50)

Allah SWT telah menguji Nabi Ibrahim AS dengan bapanya dan kaum kerabatnya yang mensyirikkan Allah dan baginda telah lulus dalam ujian tersebut. Baginda memisahkan diri daripada mereka dan meninggalkan apa yang mereka sembah lalu mendapat rahmat dan anugerah. Kemudiannya Allah SWT menguji pula baginda dengan isterinya hajar yang perlu diletakkan jauh ke tengah padang pasir di suatu tempat yang bernama Bakkah iaitu Bandar Mekah sekarang.

Takala usia anaknya sudah meningkat remaja maka baginda diuji pula dengan arahan supaya menyebelih anaknya Ismail ra. Kesemua ujian ini telah ditempuhi oleh baginda dengan berjaya dan dengan penuh taqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman : Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku. Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim." (Al-Baqarah : 124)

Kesemua ujian-ujian keimanan tersebut adalah ujian kehidupan yang lazim akan ditempuhi oleh seseorang manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Apakah kita fikir bahawa kita akan dapat berkata yang kita telah beriman namun tidak diuji ? Sesungguhnya Allah pasti akan menguji kita dengan ibubapa kita, dengan pasangan kita, dengan anak-anak, dengan harta dan kemewahan yang kita miliki untuk melihat siapakah yang benar-benar beriman dan menjadikan Allah SWT sebagai Ilah dan tuhan dan siapakah pula yang tidak?

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Allah SWT berfirman : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka belum lagi diuji ?” (Al-Ankabut : 2)

Ramai orang berkata mereka amat cinta dan kasih kepada Allah SWT tetapi mereka sebenarnya adalah berdusta. Mereka hanya mengambil kesempatan di atas sifat pemurah dan rahmat Allah SWT untuk melakukan ibadah dan menunaikan kebaikan sekadar yang dapat menyenangkan diri mereka sahaja. Mereka bersolat, semata-mata kerana ianya dapat memberi ketenangan jiwa. Mereka bersedekah dan membayar zakat semata-mata kerana ianya dapat menzahirkan diri mereka sebagai manusia yang pemurah dan menghilangkan rasa bersalah.

Kehidupan mereka penuh dengan syirik dan andad yang bermaksud tandingan dan saingan kepada Allah SWT. Mereka lebih kasih dan cinta kepada pasangan mereka, kepada anak-anak mereka, kepada teman lelaki dan teman wanita mereka, kepada harta dan milikan mereka lebih daripada cinta mereka kepada Allah SWT.

Sebaik sahaja mereka diuji, ditimpa musibah dan kesusahan maka mereka dengan segera akan marah dan menderhakai Allah SWT dan mempertikaikan kenapa mereka diuji sedangkan mereka bersolat ? Kenapa mereka diuji sedangkan mereka membayar zakat ? Kenapa mereka ditimpa bala sedangkan mereka bersedekah dan melakukan kebaikan ? Apakah tidak cukup lagi kebaikan yang mereka sudah lakukan ?

Apakah yang tuhan mahu ? Kenapakah Allah SWT tidak membiarkan mereka dan jangan menganggu kebahagiaan dan kesenangan yang mereka miliki ? Mereka mahu hidup aman dan selesa dan tidak mahu diganggu oleh tuhan dan ujian-ujianNya.

Inilah manusia yang bodoh dan sombong.

Firman Allah SWT : “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” (Al-Kahfi : 7)

Mereka menyangka mereka sudah menunaikan kewajipan mereka lalu mereka akan dibiarkan begitu sahaja ternyata mereka tersilap. Kita akan mampu melihat dalam kehidupan orang-orang seperti ini banyak melakukan perkara-perkara yang zahirnya kelihatan baik namun sebenarnya mereka tidak lebih dari sekadar membohongi diri mereka sendiri.

Mereka inilah yang benci kepada agama Islam dan Millah Ibrahim yang dinyatakan oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman : "Dan tidak ada yang benci kepada Millah ibrahim melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.” (Al-baqarah : 130)

Kehidupan mereka tidak ubah seperti manusia yang bertungkus lumus mahu hidup demi kerana mahu memenuhi perut dan hawa nafsu mereka sendiri dan merasakan mereka berhak hidup dan berhak untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan kerana usaha-usaha kecil mereka.

Mereka berkata saya berhak mendapat kemewahan kerana saya telah berusaha 24 jam sehari bekerja mencari rezeki. Mereka berkata saya berhak menjadi pemimpin kerana sayalah yang telah menyatukan orang ramai dan berhasil menyelesaikan masalah rakyat. Ada pula yang berkata saya berhak mendapat kesenangan kerana saya telah mengaji bersungguh-sungguh di universiti selama bertahun-tahun.

Allah SWT menempelak mereka dengan berkata siapakah yang memberikan kamu nikmat kesihatan yang dengannya kamu dapat bekerja ? Siapakah pula yang melahirkan kamu dengan kesempurnaan yang dengannya kamu tidak menjadi cacat ? Siapakah pula yang memberikan kamu kebijaksanaan yang dengannya kamu dapat menyelesaikan masalah umat ? Siapakah pula yang memberikan kamu kecantikan, kekuatan dan kelapangan untuk mendapat apa yang kami miliki ?

Siapakah Dia jika bukan Allah SWT !

Dialah tuhan yang menciptakan dan memelihara kamu agar tidak menjadi bayi buangan.

Dialah tuhan yang telah menyelamatkan kamu ketika ditimpa mara bahaya dan kesusahan.

Dialah Allah yang menuntut daripada hamba-hambaNya supaya disembah dan jangan disekutukan.

Allah SWT memerintahkan kamu untuk hidup di atas muka bumi ini bagi menjalankan kewajipan kepadaNya bukan untuk bersenang-lenang.

Allah SWT berfirman : “Barangsiapa membawa amalan yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan yang setimpal dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak akan dizalimi. Katakanlah: "Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar, agama Ibrahim yang lurus, dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik." (Al-An’Am : 160-161)

للهُ أَكبرُ اللهُ أَكبرُ، لا إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكبرُ، اللهُ أَكبرُ وَللهِ الحَمدُ

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua :

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kita kepada Allah SWT kerana itulah yang membawa kita kepada keredhaanNya. Sesungguhnya keampunan dan rahmat Allah SWt itu tidaklah datang kepada kita kerana banyaknya jumlah daging yang kita korbankan atau kerana ribuan lembu yang kita tumbangkan. Tetapi kejayaan mendapat keampunan dan rahmat Allah SWt itu adalah dari ketaqwaan yang dimiliki dari hasil pengorbanan yang dilakukan.

Kehidupan ini adalah sebuah medan ujian yang besar yang dijadikan oleh Allah sebagai tempat untuk menilai manusia siapakah di antara mereka yang benar-benar beriman dan menyembah-Nya dan siapakah pula yang tidak.

Manusia boleh berpura-pura, menyamar dengan pakaian dan penampilan tetapi tiada siapa akan dapat berselindung dari kemunafikan dan kepalsuan iman apabila ditimpa oleh musibah dan ujian. Hal ini adalah dari sifat nifaq yang ada diri manusia yang hanya akan gembira dan redha kepada Allah SWt apabila mereka diberikan kesenangan dan kemudahan tetapi apabila diberikan kesusahan dan ujian maka mereka pun akan menjadi marah dan merasa dianaiya atau dikejami oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT : Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezkinya maka dia pun berkata: "Tuhanku telah menghinakanku.” (Al-fajr : 15-16)

Ini adalah termasuk di antara sifat munafik yang hanya beragama apabila senang dan menjual Islam dan deen Allah apabila mereka terhimpit oleh kesusahan dan lari menyelamatkan diri. Sedangkan jika mereka menyedarinya pasti mereka akan sedar ke manakah mereka mahu lari ? Di bumi manakah dan di langit manakah manusia itu akan dapat terselamat dari kemurkaan Allah jika dia telah berbuat dosa dan derhaka ?

Adapun orang yang beriman apabila diuji akan segera sedar dan kembali kepada Allah SWt dan menundukkan dirinya serta sujud kepada Allah SWt dan menyedari bahawa dunia dan segala isinya adalah pinjaman semata-mata.

Firman Allah SWT : Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun.” (Al-Baqarah : 155-156)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Dunia telah menyaksikan bahawa telah datang dan pergi manusia-manusia yang hebat dan tokoh-tokoh serta pembaharu yang muncul di kalangan umat Islam lalu membawa bermacam-macam seruan dan kekuatan hujah. Ada tokoh pendakwah yang memenangkan mazhabnya di atas mazhab yang lain, ada tokoh yang memenangkan pendapat ulamanya ke atas pendapat ulama yang lain. Ada pula tokoh yang berjaya memenangkan pemikirannya ke atas semua pemikiran yang lain.

Mereka adalah juara dari pelbagai bidang ilmu Islam baik hadis, fekah dan sebagainya. Mereka disanjung sebagai ilmuan, diangkat sebagai ulama dan tokoh pembaharu umat Islam. Kita berbangga dengan mereka tetapi kita sebenarnya telah terlupa bahawa kita kekurangan satu jenis tokoh yang jarang dilahirkan dalam masyarakat umat Islam hari ini.

Kita kekurangan rijal dan tokoh yang berjaya memenangkan agama Allah ke atas musuh-musuhnya.

Kita hanya menang atas mazhab-mazhab yang lain, kita hanya selalu menang atas pendapat-pendapat yang lain dan kita selalu menang atas tokoh-tokoh yang lain.

Namun jarang sekali muncul kepada kita tokoh yang mampu menewaskan musuh Islam, memusnahkan kebathilan dan menghancurkan jahiliyyah serta kesyirikkan dan menjadikan musuh-musuh Allah bacul dan kecut di dalam rumah-rumah mereka.

Allah SWT pernah menyebutkan betapa orang-orang yang kafir dan memusuhi Islam itu amat takut kepada tokoh-tokoh seperti ini dalam FirmanNya : Sesungguhnya kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti. Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat kuat. Kamu kira mereka itu bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.” (Al-hasyr : 13-14)

Tokoh –tokoh seperti ini sudah lama tidak kedengaran dalam sejarah kita sejak kematian para pejuang seperti Tok Janggut, Abd Rahman Limbong dan para mujahidin yang muncul sekali-sekala dalam lipatan akhbar sebagai pengganas, militan dan memikul pelbagai lagi tuduhan oleh pengekor-pengekor kekufuran dan thaghut yang takut dan gentar kepada tokoh-tokoh ini.

Semoga dengan semangat korban dan Eid Al- Adha kali ini, akan lahir dan muncul tokoh-tokoh yang diharapkan akan dapat mengembalikan kemuliaan dan kemenangan ke atas umat Islam dan membersihkan deen Allah dari kepalsuan dan kesesatan.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إينْدُوْنِيْسِيَا وَفِى تَايْلَنْدِ وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِي سَبِيْلِكَ فِي كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ. اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللَّهُمَّ إِنِّا نعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ تَحَصَّنَّا بِذِى الْعزَّةِ وَالْجَبَرُوْتِ وَاعَتَصَمْنَا بِرَبِّ الْمَلَكُوْتِ وَتَوَكَّلْنَا عَلَى الْحَيِّ الَّذِى لاَ يَمُوْتُ اللّهُمَّ اصْرِفْ عَنَّا هَذا الْوَبَاءَ وَقِنَا شَرَّ الرَّدَى وَنَجِّنَا مِنَ الطَّعْنِ والطَّاعُوْنِ وَالْبَلاَءِ بِلُطْفِكَ يَا لَطِيفُ يَا خَبِيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَزَكَاتَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Thursday, November 03, 2011

5 Bukti Si DIA cintakan Kita kerana Allah SWT !

Pepatah arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat yang berbunyi “Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”

Aduh ! Perkataan yang indah tetapi kerap disalah guna.

Jika kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita sedang berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di dada sehingga menyukarkan pernafasan.

Jantung berdegub laju dan tangan menjadi sejuk.

Itulah tanda-tanda awal virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai.

Lalu apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan salah satu dari jerangkap samar syaitan ?

Firman Allah SWT : Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

Dalam Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau keterangan.

Hal ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah itu diucapkan iaitu:

Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT !

Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda : “Jika seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang sepertinya)

Kita juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :

أحبك الله الذي أحببتني فيه

Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud)

Hadis-hadis berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan.

Bukti Cinta kerana Allah

Ada 5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian kepada hadis-hadis nabawiyah.

Pertama :

1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah

Adalah mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat.

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari)

Lihatlah pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja.

Lelaki yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang berada dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan.

Perkara yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si gadis.

Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.

Caranya tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari berusaha mempertikaikannya.

Jangan terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan kesesatan.

Kedua :

2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan

Pasti ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan kita kepada-Nya ?

Jika cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT.

Tanyakan SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?

Jika jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan.

Ini dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan yang telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT.

Wanita yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya.

Tanyalah diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !

Ketiga :

3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah

Orang-orang yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.

Ini disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya, kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)

Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam.

Cinta yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi keperluannya.

Ke-empat:

4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa

Diantara ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)

Ini kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan.

Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri.

Mujahid bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat Muslim)

Imam Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka itu sedang beribadah.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa.

Ramai orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah dilanggarnya.

Bertudung labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.

Ada orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya mahu bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan. Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan maksiat ringan masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak dalam hubungan haram ini.

Allah itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap dalam perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan memohon keampunan daripada-Nya.

Janganlah terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di dalamnya.

Kelima :

5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah

Cinta yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)

Jika benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.

Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani)

Lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT.

Lelaki yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah SWT ke atasnya.

Jika dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya, mahu mengasihi dan memanfaatkannya di jalan Allah SWT. Adapun jika ada lelaki lain yang terlebih dahulu hadir dalam kehidupan wanita itu maka dia akan sentiasa mendoakannya dan mengharapkan kebaikan di antara kedua-duanya.

Hatinya Ikhlas dan hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT.

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda :“Doa seorang muslim kepada saudaranya di belakang pengetahuan saudaranya pasti dimakbulkan. Di atas kepalanya akan ada malaikat yang menjaganya dan setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya itu maka malaikat pun ikut berkata “Amin” dan mendoakan supaya baginya juga mendapat serupa apa yang telah didoakan kepada saudaranya.” (riwayat Muslim)

Inilah sifat orang yang beriman dan menjadikan Allah sebagai matlamat dan tujuan. Mereka tidaklah menjadikan cinta kepada wanita, lelaki, teman dan kekasih mereka itu sebagai sekutu atau saingan dan tandingan kepada Allah SWT bahkan sebaliknya ia menjadi baja dan air yang menyuburkan keimanan mereka serta sokongan kepada ketaqwaan mereka.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan (aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yunus : 105)

Mereka inilah yang termasuk dalam hadis nabi yang bermaksud : “ Manusia yang paling bahagia di hari akhirat dengan syafaatku kelak ialah yang berkata “Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan dirinya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Syaitan tidak mampu menggoda mereka bahkan oleh wanita yang paling cantik jelita atau oleh lelaki yang paling kacak dan tampan sekalipun. Takala dikatakan oleh Syaitan tidak takutkan kamu jika jarang bertemu atau bersms dengan kekasihmu itu nanti dia akan mencari atau dipikat oleh lelaki lain ?

Orang ini akan berkata : “Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan kepada Allah-lah kita akan kembali. Jika benar begitu maka saya akan mempermudahkan urusannya, membantunya agar dapat menikahi gadis yang ku sayangi ini jika benar lelaki yang lain itu adalah yang terbaik untuknya.”

Sesungguhnya saya mencintainya hanya kerana ALLAH !

---------------------------------

-Mohon disebarkan artikel ini jua kerana Allah !