Selamat menyambut Puasa Ramadhan Al-Mubarak, berikut ialah kertas kerja seminar Ramadhan yang sepatutnya disampaikan oleh Ustaz Emran tetapi tidak dapat disampaikan oleh beliau lantaran faktor kesihatan.
Mukadimah @ Pendahuluan
الحَمْدُ ِللهِ نَحمَدُهُ وَنَستَعِينُهُ وَنَستَهدِيهِ وَنَستَغفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِن شُرُورِ أَنفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعمَالِنَا، مَن يَهدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَن يُضلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجمَعِينَ، أَمَّا بَعدُ.
Alhamdulillah, seluruh pujian dan tasbih kepada Allah yang telah memberikan kita nikmat Iman dan Islam serta yang telah memberikan kita peluang untuk menikmati Ramadhan buat yang ke sekian kalinya InsyaAllah. Semoga kita akan tergolong dalam kumpulan orang-orang yang bertaqwa dan mendapat hasil yang lumayan daripada kedatangan ramadhan yang sangat dinanti-nantikan.
Latar belakang Ramadhan di tanah Melayu
Saban tahun umat Islam di seluruh negara akan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan amalan ini telah pun berlangsung selama beberapa generasi sejak tahun 1303 Masihi lagi. Walaubagaimanapun apa yang menjadi isu kerisauan kepada kita semua ialah mengapa sikap dan perangai umat Islam masih tidak berubah dan menjadi bertambah baik dengan kedatangan bulan Ramadhan setiap tahun. Masalah sosial umat Islam Melayu seperti pembuangan bayi, zina, lari dari rumah, rosak akhlak semakin menjadi-jadi dan bertambah buruk dari tahun ke tahun sekalipun Bulan Ramadhan tetap datang dan umat Islam pun berpuasa setiap tahun.
Apabila diperhatikan secara teliti maka kita mendapati umat Islam di Negara ini lebih menjadikan puasa di bulan Ramadhan itu sebagai sebuah adat yang diwarisi daripada ibadah yang khusus sehingga maksud, pengertian dan matlamat puasa itu sudah tidak dihiraukan lagi dan ditinggalkan. Masyarakat melayu mengagungkan bulan ramadhan dengan mempopularkan fadhilat dan kebesaran bulan ini melebihi dari pengisian yang sepatutnya dibuat oleh mereka. Orang Melayu kagum kepada bulan Ramadhan itu, keramatnya dan keberkatannya sehingga mereka lupa kenapakah bulan itu boleh menjadi berkat, bermanfaat dan mendatangkan kebaikan.
Majoriti orang Melayu khususnya masyarakat awam memandang bulan Ramadhan ini seperti benda berkat atau perkara keramat yang berada di alam Melayu yang pantang dicemari kesuciannya dan mesti dihormati dan dijadikan sebagai pantang larang di dalamnya. Oleh itu bulan Ramadhan, di sisi orang Melayu menduduki taraf seperti Al-Quran, Masjid, Air Zam Zam, Sejadah, Baca Yassin malam Jumaat, Tasbih, Kayu Kokka, Tahlil dan seumpamanya.
Kalau Al-Quran misalnya orang Melayu beranggapan jangan dipegang jika tiada wudhuk dan mesti dijunjung 3 kali di atas kepala serta dicium, masjid jangan dimasuki selain untuk solat dan orang kafir jika masuk ke masjid akan mencemarkan kesucian masjid, air zam zam jangan dilangkah, malam Jumaat mesti dibaca yassin, jika berlaku kematian maka mesti dibuat tahlil, Ayat-ayat Al-Quran di gantung di dalam rumah bagi menghalau syaitan, atau diletak mushaf di dalam kereta untuk mendapat berkat dan perlindungan daripada kemalangan, kayu kokka mempunyai azimat dan kuasa serta bermacam-macam lagi kepercayaan yang bercampur adur antara agama dan adat.
Ramadhan juga termasuk dalam senarai perkara keramat di alam Melayu
Bagi orang Melayu apa yang penting ialah bulan Ramadhan mestilah disambut, diraikan dan dihormati akan bulannya dan pantang larang serta perintah dan amalan di dalamnya dikerjakan kerana bulan tersebut ialah bulan mulia. Pendidikan orang Melayu mengajar anak-anak untuk berpuasa kerana bulan itu ialah bulan Ramadhan yang mulia dan bukannya kerana itu perintah Allah SWT atau perlu dilakukan demi kerana suruhan di dalam Al-Quran dan sebagai salah satu daripada kewajipan rukun Iman. Maka berpuasalah orang Melayu kerana kebesaran bulan itu dan bukannya kerana kebesaran Allah SWT.
Sebenarnya perbuatan orang Melayu ini adalah lebih hampir dan mirip kepada
sikap dan amalan masyarakat Jahiliyyah yang wujud di zaman Nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam daripada kalangan Musyrikin Mekah. Mereka dikatakan amat memuliakan bulan-bulan dan hari kebesaran tertentu seperti bulan-bulan yang dikenali sebagai bulan haram semenjak zaman selepas Nabi Allah Ibrahim alaihisalam lagi.
Kita perlu faham bahawa perbuatan menghormati dan mensucikan bulan-bulan haram sememangnya ada disuruh di dalam Islam seperti yang disebutkan oleh baginda nabi Salallahualaihiwassalam melalui hadis daripada sahabat yang bernama Abi Bakrah ra dengan sabdaNya :
السنة اثنا عشر شهراً منها أربعة حرم ، ثلاث متواليات : ذو القعدة ، وذو الحجة ، والمحرم ، ورجب مضر الذي بين جمادى وشعبان
Yang bermaksud : “Setahun itu terdapat dua belas bulan. Empat diantaranya adalah bulan haram (disucikan). Tiga dari empat bulan itu, (jatuh secara) berturutan iaitu Dzulqai’da, Dzulhijah, Muharram. Sedangkan Rejab (yang disebut juga sebagai) syahru Mudhar, terletak diantara Jumada (ats Tsaniyah) dan Sya’ban.”
Imam Ibnu Katsir ra mengatakan, “Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu ada empat. Tiga bulan secara berurutan dan satu bulannya berdiri secara sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang terletak sebelum bulan-bulan Haji, iaitu bulan Dzulqai’da, kerana ketika itu mereka menahan diri dari berperang sebagai persiapan untuk ke jahi. Seterusnya bulan Dzulhijah diharamkan (iaitu disucikan) kerana pada bulan ini mereka pun pergi menunaikan ibadah Haji dan juga kerana mereka sibuk dengan berbagai urusan ritual Ibadah Haji. Manakala sebulan setelahnya, iaitu bulan Muharram juga disucikan kerana pada bulan ini mereka baru sahaja kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai.
Akhirnya datanglah bulan Rejab yang terletak di tengah-tengah tahun yang diharamkan berperang di dalamnya (iaitu disucikan) kerana orang yang berada di seluruh pelosok tanah Jazirah Arab akan datang berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.”
Orang-orang Musyrikin Mekah menganggap bulan-bulan yang empat ini(Dzulqa’idah,dzulhijjah, Muharram, Rejab) sebagai bulan suci yang harus dihormati dan haram serta berdosa berperang di dalamnya. Dan Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan mereka pada bab,mengakui bahawa bulan ini sebagai bulan suci melalui firman Allah SWT :
Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram.”
Tetapi hal ini bukanlah semata-mata kerana bulan sebaliknya kerana Allah SWT. Sekalipun Islam memuliakan bulan-bulan haram namun Islam sama sekali tidak menerima KONSEP MEMBESARKAN BULAN-BULAN SUCI semata-mata tanpa wujud pengisian dan menjadikan bulan-bulan tersebut bermanfaat untuk agama Allah SWT atau membesarkan Allah SWT dan menyembah serta mentauhidkan-Nya !
Kerana itu dalam ayat yang lain pula Allah SWT menyebut :
Yang bermaksud : “Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu Dia mati dalam kekafiran, Maka mereka Itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka Itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Ayat 217 surah Al-baqarah di atas diriwayatkan turun bagi membela perbuatan seorang sahabat rasulullah yang bernama Abdullah bin Jahsy Al-Asadi kerana berperang dan menumpahkan darah di bulan Haram dan Al-Quran diturunkan bagi membenarkan tindakan sahabat tersebut yang membunuh musuh Allah dan menegaskan bahawa bulan yang suci itu pun tidak bermakna tanpa dibesarkan Allah di dalamnya.
Kesucian tidak bermakna tanpa pengisian
Demikianlah bulan Ramadhan yang suci itu pun adalah tidak bermakna kepada manusia yang berpuasa, beribadah terawih dan melakukan amalan-amalan pantang larang puasa hanya semata-mata kerana ianya adat yang dibuat bagi mengikuti amalan nenek moyang tanpa mengalami dan merasai kebesaran Allah SWT apatah lagi mensyukuri nikmat dan rezeki dari-Nya.
Ramadhan hanya menjadi bulan agama atau musim keinsafan sementara apabila para artis akan memakai tudung, rancangan TV pun memberi ruang yang lebih sedikit kepada program agama, masjid mula dipenuhi oleh pengunjung, peniaga-peniaga menukar subjek jualan kepada baju melayu, barangan timur menjadi laris seperti kismis, kurma dan busana seperti jubah.
Maka oleh itu lahirlah satu suasana baru dalam masyarakat kita apabila hasil pakej “adat+agama” menyebabkan semua orang berpuasa tetapi semua orang juga tetap melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Kita akan melihat wujudnya kaum perempuan yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat sempurna, ahli perniagaan dan politik yang kaki rasuah dan dia juga berpuasa, pemuda dan pemudi yang berbuat maksiat, berjudi, melakukan syirik dan mendatangi bomoh dan dukun tetapi mereka semua juga berpuasa. Semuanya berpuasa kerana bulan ini ialah Bulan Ramadhan.
Sedangkan daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW pernah bersabda dalam satu hadisnya:
من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه
Yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)”
Oleh yang demikian adalah menjadi keperluan bagi umat Islam yang memiliki kesedaran dan keinsafan untuk memahami sejarah kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan, apakah puasa dan tuntutan ibadah yang sebenar dan seterusnya memahami kenapakah umat Islam diperintahkan supaya berpuasa dan kemudian beramal di dalam agama dengan penuh kefahaman dan kesedaran sebagai hamba Allah yang disebut dalam Al-Quran sebagai golongan ulul albab.
Maksudnya : “(Al Quran) ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka diberi peringatan dengan-Nya, dan supaya mereka mengetahui bahwasanya Dia adalah Tuhan yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran.”
Sejarah Ramadhan dan Kewajipan berpuasa
Kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan adalah bermula sejak tahun ke dua Hijrah di Madinah dan berlaku di dalam bulan Sya’ban menurut pendapat ulama dan dianggarkan bahawa jumlah rasulullah salallahualaihiwassalam sempat berpuasa Ramadhan sebulan penuh sepanjang hayat baginda adalah sebanyak 9 kali.
Pada awalnya dalam Islam puasa itu adalah dilakukan sebanyak 3 hari dalam setiap bulan seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT sebelum datangnya kewajipan puasa Ramadhan. Ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Katsir dalam riwayat yang dibawakan olehnya daripada Muadz, Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Atho, Qatadah dan Dhahak bin Muzahim bahawa puasa itu pada zaman awalnya ialah seperti mana puasa umat yang terdahulu iaitu tiga hari bagi setiap bulan. Bahkan beliau berkata dan tidaklah syariat ini berubah sejak dari zaman Nuh Alaihisalam sehinggalah kepada turunnya perintah puasa di bulan Ramadhan yang memansuhkan amalan tersebut.
Selain daripada itu puasa asyura juga pada asalnya diwajibkan dalam Islam ini berdasarkan hadis daripada Ummul Mukminin Aisyah ra yang berkata :
كان عاشوراء يصام قبل رمضان، فلما نزل رمضان كان من شاء صام، ومن شاء أفطر
Yang bermaksud : “Dahulunya asyura itu orang berpuasa padanya (iaitu diwajibkan) sebelum Ramadhan. Apabila datangnya Ramadhan (kewajipan perintah berpuasa di bulan Ramadhan maka ianya menjadi pilihan bagi yang mahu akan berpuasa dan bagi yang tidak mahu akan berbuka.”
Amalan berpuasa sebelum itu dilakukan bagi mengikuti sunnah golongan yang terdahulu yang berpuasa seperti yang disebutkan dalam ayat Al-Quran dalam Surah Al-baqarah yang berbunyi :
Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Oleh yang demikian dapatlah kita memahami bahawa kewajipan puasa itu tidaklah turun secara sekaligus kepada umat Islam sebaliknya seperti mana dalam ayat-ayat yang lain Allah SWT menjelaskan kelebihan syariat Islam ini yang diturunkan secara beransur-ansur dan Islam ialah agama yang memahami kelemahan dan kekurangan manusia.
Hal ini juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qayyim ra yang mengatakan bahawa perintah Fardhu puasa Ramadhan itu melalui tiga fasa secara bertahap :
Tahap yang pertama : Perintah Puasa yang bersifat pilihan dan boleh memilih apakah mahu berpuasa atau tidak
Ini termuat dalam ayat 184 Surah Al-baqarah yang bermaksud : “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi Makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka Itulah yang lebih baik baginya. dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Sebahagian ulama seperti Imam Ibn Katsir berpendapat bahawa ayat ini telah pun mansukh hukumnya iaitu tidak lagi terpakai hukumnya kerana seperti pendapat Ibn Umar ra yang mengatakan bahawa “فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ” adalah untuk perintah di awal-awal kewajipan berpuasa apabila sesiapa yang mahu berpuasa boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa maka boleh memberi makan seorang miskin untuk jumlah hari yang dia tidak berpuasa.
Tahap yang kedua : Perintah puasa yang bersifat wajib dan mutlak serta ketat sehinggakan jika ada yang tertidur sebelum berbuka maka diharamkan baginya makan dan minum sampailah ke hari yang esoknya.
Seterusnya kewajipan puasa menjadi agak ekstrim dan sedikit ketat bagi para sahabat iaitu jika seseorang yang berpuasa itu tertidur sebelum berbuka puasa maka diharamkan baginya makan minum dan jima’ sampai hari berikutnya.
Ini dapat diketahui berdasarkan hadis yang mengisahkan seorang sahabat yang bernama Qais bin Shirmah al-Ansory yang tertidur sebelum berbuka dan terpaksa tunggu untuk berbuka puasa pada hari esoknya dan di waktu hari yang kemudiannya sebelum pun sempat waktu berbuka dia sudah pengsan sewaktu tengahari kerana keletihan dan kelaparan. Maka turunlah ayat Al-Quran yang mengizinkan umat Islam untuk berbuka puasa pada waktu malam sekalipun tertidur dan berjimak dengan isteri masing-masing.
Firman Allah SWT :
Yang bermaksud : “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan Makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, Yaitu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam mesjid. Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.”
Tahap yang ketiga dan terakhir : Perintah puasa yang bersifat sempurna dan terputus (qathie) berlaku sehingga ke hari ini setelah lengkap penurunan wahyu dan memansuhkan hukum yang sebelumnya dan memperbaiki perintah yang terdahulu dengan hukum yang telah sempurna dan lengkap.
Apabila turunnya ayat-ayat Al-Quran tentang puasa dan waktu yang jelas tentang berbuka dan dibolehkan para sahabat untuk mendatangi isteri-isteri mereka di malam hari dan segala hukum yang terdahulu telah pun dimansuhkan maka selesailah perintah puasa dan kewajipannya serta panduan-panduannya pun diperolehi oleh para sahabat dan akhirnya termaktublah puasa ramadhan sebagai salah satu daripada rukun Islam dan diwajibkan ke atas semua yang beriman dan berkemampuan untuk berpuasa agar menunaikannya sebagai salah satu perintah dan kewajipan daripada Allah SWT.
Pengertian Ramadhan
Ramadhan ialah bulan yang ke Sembilan dalam kalender hijrah dan menurut para ulama Islam, maksud Ramadhan dari sudut bahasa ialah berasal dari kata Ar-Ramadh (الرمض , يَرْمَضُ, رَمَضاً ) yang bermaksud kepanasan yang sangat terik oleh matahari.
Bulan ramadhan ialah bulan yang mulia dan Allah memilih bulan ini untuk menjadi sebagai salah satu daripada kurniaan yang berharga kepada hamba-hamba-Nya. Kita dapat memahami perihal anugerah Allah kepada kita melalui bulan Ramadhan jika kita mampu memikirkan beberapa persoalan iaitu apabila Allah ingin memberikan rahmat kepada hamba-hamba-Nya maka apakah Allah akan mencampakkan rahmat itu dengan begitu saja kepada hamba-hambaNya atau Allah memberikan kepada mereka PELUANG untuk mendapatkan rahmat-Nya ?
Demikianlah juga apabila Allah ingin mengampunkan dosa hamba-hambaNya maka apakah Dia akan menghapuskan dosa hamba-hamba itu dengan begitu sahaja atau Dia (Allah) memberikan PELUANG untuk hamba-hamba Nya itu mendapatkan keampunan ?
Maka datanglah Ramadhan menjawab semua persoalan ini.
Firman-Nya :
Maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). karena itu, Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan Barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.”
Ramadhan ialah peluang dan rahmat daripada Allah apabila didalamnya bukan sahaja diturunkan Al-Quran bahkan juga diberikan keampunan, rahmat dan segala macam pahala dan nikmat yang disediakan kepada mereka yang beriman. Pada bulan ini, Allah mengehendaki ianya menjadi bulan yang diturunkan Al-Quran yang padanya mempunyai dua ciri utama iaitu sebagai pertunjuk (huda) dan sebagai Al-Furqan (pembeza di antara perkara yang benar dan bathil).
Matlamat utama daripada bulan Ramadhan ini ialah untuk melahirkan
orang-orang yang bertaqwa dan mengampunkan dosa hamba-hamba Allah yang
memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan menjalani program pengisian di
dalamnya sehingga mereka keluar daripada bulan ini dengan keadaan
bersih daripada dosa dan cela.
Persis seruan hadis yang berbunyi :
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : “Barangsiapa yang berpuasa (di Bulan) Ramadhan (dalam keadaan) keimanan dan mengharapkan (pahala), maka dia akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu.”
Persoalan taqwa dan pengampunan ini bukanlah terletak semata-mata kepada amalan ibadah terawih atau solat yang dilakukan pada bilangan rakaat tertentu di malam hari tetapi terletak kepada seluruh kehidupan seseorang yang melalui bulan ramadhan itu apakah dengan ketaqwaan atau tidak.
Fahamkah kita bahawa Allah ingin menguji hamba-hamba-Nya dengan bulan Ramadhan untuk melihat siapakah yang bertaqwa. Ianya bukan ujian bertulis atau merupakan soalan objektif yang jawapannya sudah tersedia sebaliknya ujian Allah ini adalah berbeza-beza dengan tahap dan situasi semua level manusia. Ujian Allah itu bukan hanya pada menahan lapar dan dahaga kerana sebahagian manusia diberi rukhsoh (keringan) untuk tidak berpuasa, ujian Allah ini bukanlah juga pada menahan nafsu seksual kerana sebahagian manusia memang tidak dapat melakukannya kerana mereka belum beristeri.
Puasa menahan makan dan minum ini hanyalah simbolik dan sebagai usaha ibadah dari bahagian perbuatan untuk menghormati bulan ini seperti amalan tawaf dan jamrah ketika saat melakukan haji.
Ujian Allah adalah terletak kepada amalan hamba-hambaNya demi untuk melihat siapakah yang peduli, siapakah yang perihatin dan siapakah yang mahu berusaha dan menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Iblis diuji oleh Allah dengan perbuatan sujud kepada Adam dan bukanlah sujud kepada Adam itu yang menjadi isu tetapi sikap Iblis yang angkuh itu yang menjadi punca keengganannya bersujud. Bukan kerana susahnya perbuatan sujud atau kerana mulianya perbuatan sujud itu seperti ianya ada 1001 fadhilat bagi orang-orang yang bersujud. Tidak sama sekali !
Kemurkaan Allah kepada Iblis adalah kerana dia sanggup mengingkari perintah Allah dan bersikap bongkak dan sombong sekalipun perintah bersujud itu disuruh oleh Allah SWT. Manakala Adam alaihisalam pula diuji dengan pokok di dalam syurga yang dinamakan oleh Iblis sebagai pokok khuldi dan Adam juga gagal dalam ujiannya untuk mengawal hawa nafsu dan tergoda oleh Iblis sehingga melanggar larangan Allah.
Adam dimurkai bukanlah kerana pokok itu beharga, bukanlah kerana pokok itu memang ada 1001 fadhilat atau kelebihan sehingga Allah dan seluruh penghuni langit mengalami kerugian dengan perbuatan Adam. Sebaliknya Adam dimurkai oleh Allah SWT kerana Adam telah melanggar larangan Allah itu sahaja !
Maka bulan Ramadhan yang diberikan oleh Allah SWT dengan seribu satu ganjaran dan pahala ini pun sebenarnya adalah bertujuan untuk melihat dan menguji hamba-hamba-Nya siapakah yang beriman dan mahu mengambil manfaat dan siapakah pula yang tidak beriman dan mengabaikan sahaja pemberian Allah SWT tanpa berusaha apa-apa.
Semangat Ramadhan membawa Jihad dan Perubahan
Perjalanan Sirah menunjukkan kepada kita bahawa telah berlalu Ramadhan di zaman yang lalu dengan meninggalkan kepada kita pelbagai usaha dan hasil yang gilang gemilang. Mengikut riwayat Ibn Hisyam rasulullah SAW berangkat ke medan Badar pada 8 Ramadhan tahun ke dua Hijrah dan berlaku pertempuran pada 17 Ramadhan. Ketika hal itu berlangsung kewajipan puasa Ramadhan diriwayatkan sudah pun difardhukan dan para sahabat menjalani peperangan tersebut dalam keadaan “berbuka puasa” seperti yang dimaklumkan oleh al-Imam Ibn Qayyim dalam Zaadul Ma’ad.
Sejarah Islam menunjukkan bahawa peperangan tetap terjadi walau dalam bulan Ramadhan atau pun bukan misalnya peperangan Khandaq yang berlaku persiapannya dalam bulan Ramadhan dan berakhir dengan perang pada bulan Syawal. Peristiwa Fathul Mekah juga berlaku dalam bulan Ramadhan apabila baginda rasulullah akhirnya berhasil memasuki Mekah pada 21 Ramadhan.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadhan itu bukanlah alasan untuk berlemah-lemah atau mengurangkan produktiviti seorang Muslim lalu menjadikan Ramadhan sebagai kambing hitam dan dipersalahkan oleh orang lain atas kemalasan seorang Muslim. Bagi mereka yang memahami Sirah rasulullah dan sejarah Islam maka mereka akan memahami bagaimana meletakkan sesuatu menurut tempat dan kedudukannya.
Biarpun Ramadhan baru sahaja disambut dan kewajipan puasa Ramadhan itu baru sahaja diturunkan oleh Allah SWT namun sama sekali tidak menghalang baginda rasulullah dan para sahabat daripada mengusahakan kejayaan bagi dakwah Islam dengan melangkah ke era yang baru yang disebut sebagai fasa Madaniyah.
Fasa Madaniyah bermula dengan hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah pada tanggal 12 Rabiul Awwal bersamaan dengan tahun 622 Masihi dan membangunkan asasnya yang paling utama iaitu membina masjid dan mempersaudarakan umat Islam. Setelah siap membina negara dan membangunkan masyarakat maka baginda rasulullah dengan segera mempersiapkan pertahanan umat Islam dengan mendirikan pasukan-pasukan perang dan membuat rondaan kawalan di sekitar sempadan Madinah dan Mekah.
Hal ini adalah suatu keperluan kerana golongan Musyrikin Mekah tidak berdiam diri dengan Hijrah rasulullah bahkan mereka berazam untuk memusnahkan Islam dan membunuh Rasulullah serta dalam riwayat ada menyebutkan bahawa mereka berpakat dengan ketua munafiqin Abdullah bin Ubay bagi memperolehi kerjasama untuk melakukan kejahatan terhadap Islam.
Bahkan di dalam hadis daripada Ummul Mukminin Aisyah ada menyebutkan bahawa :
سهر رسول الله - صلى الله عليه وسلم - مقدمه المدينة ليلة فقال : " ليت رجلا صالحا يحرسني " إذ سمعنا صوت سلاح فقال : " من هذا ؟ " قال : أنا سعد قال : " ما جاء بك ؟ " قال : وقع في نفسي خوف على رسول الله - صلى الله عليه وسلم - فجئت أحرسه ، فدعا له رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ثم نام
Yang Maksudnya : “ Rasulullah salallahualaihiwassalam mengalami kesusahan tidur pada malam pertama kedatangan baginda ke Madinah. Baginda pun bersabda : “Alangkah baiknya kalau ada lelaki soleh yang menjaga aku (berkawal untukku). Kemudian ketika itu juga kami mendengar suara senjata berbunyi dari luar dan baginda pun bertanya : “Siapakah itu” ? Lalu dijawab oleh suara itu bahawa saya ialah Saad (Saad bin Abi Waqqas). Baginda bertanya untuk apa kamu ke sini ? lalu dojawab oleh beliau (Saad) bahawa saya berasa bimbang akan keselamatan rasulullah salallahualaihiwassalam maka saya pun datang untuk menjaga kamu. Maka beliau pun didoakan oleh rasulullah salallahualaihiwassalam dan kemudian baginda pun tidur.”
Kata para ulama’ penjagaan para sahabat terhadap rasulullah ini berterusan sehinggalah turunnya ayat Al-Quran yang berbunyi :
Maksudnya : “Dan Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia.”
Demikianlah hebatnya ancaman musuh dan risiko yang ditanggung oleh rasulullah sehinggalah sampai kepada ugutan bunuh dan terpaksa berjaga-jaga walau di malam hari. Akhirnya akibat didesak dan dihimpit oleh ancaman demi ancaman maka turunlah ayat Al-Quran yang mengizinkan umat Islam untuk berjihad di dalam Surah Al-Hajj ayat 39.
Maksudnya : “Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya. dan Sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.”
Mulai dari saat turunnya ayat inilah maka akhirnya umat Islam melangkah ke era baru apabila mereka mula menceburkan diri di dalam medan perperangan dan rasulullah pun mengambil peranan mengumpulkan informasi, kekuatan tentera dan mempersiapkan jalan-jalan untuk memukul musuh-musuh Islam yang terdiri daripada golongan musyrikin Mekah demi membela masa depan dan mempertahankan dakwah Islam daripada ancaman musuh.
Badar Al-Kubra Detik Permulaan dan Pengakhiran
Penindasan dan tekanan ke atas umat Islam secara berterusan oleh musuh Allah akhirnya telah sampai ke kemuncaknya dengan turunnya keizinan daripada Allah SWT kepada rasulullah dan para sahabat untuk membalas kembali kejahatan puak musyrikin dengan mempertahankan diri dan menjatuhkan kekuatan musuh agar mereka tidak berupaya lagi memasang makar dan kejahatan terhadap Islam.
Tindakan yang pertama dilakukan oleh rasulullah ialah mengirimkan pasukan-pasukan kecil untuk meronda dan memantau seluruh perbatasan Madinah dan mengekalkan keselamatan serta mengirimkan berita-berita penting mengenai pergerakan musuh. Setelah itu baginda rasulullah pun membuat perancangan untuk melemahkan musuh dengan mensabotaj ekonomi dan merampas harta dagangan pihak musyrikin Mekah yang ketika itu bergantung kepada perniagaan dan perdagangan mereka di Syam.
Tindakan ini pada sisi politik dan peperangan adalah amat penting kerana tanpa kekuatan ekonomi maka musyrikin Mekah akan lemah dan tidak akan mampu lagi menganggu dakwah Islam dan tidak akan berhasil membina pasukan ketenteraan yang kuat sekaligus tidak akan berdaya lagi membuat kejahatan terhadap Negara Islam Madinah yang masih baru berkembang dan perlu dipertahankan.
Peluang pun menghampiri umat Islam apabila berita rombongan Abu Sufyan yang mengetuai kafilah dagangan Qurasiy yang baru sahaja pulang membawa keuntungan berniaga di Syam disampaikan kepada baginda rasulullah oleh para sahabat yang berkawal dan melakukan tugas risikan di perbatasan seperti Talhah bin Ubaidillah dan Said bin Zaid.
Diriwayatkan oleh para ahli sejarah bahawa kafilah dagangan yang diketuai oleh Abu Sufyan tersebut telah membawa kekayaan penduduk Mekah sebanyak 1000 ekor unta yang sarat dengan harta benda dan duit emas kira-kira 5000 dinar emas dengan jumlah pengawal seramai empat puluh orang sahaja. Hal ini adalah satu peluang besar bagi umat Islam untuk mencapai kelebihan dan taktik peperangan apabila mereka berupaya menguasai modal dan kekayaan pihak musuh sekaligus melemahkan dan menghalang kemaraan golongan musyrikin Mekah.
Keputusan rasulullah untuk menghalang dan merampas harta dagangan yang diketuai oleh Abu Sufyan ini merupakan detik pertama berlakunya perang besar dalam sejarah Islam sehingga ianya membawa kepada satu nama khas iaitu Badar Al-Kubra. Peperangan ini adalah permulaan kepada era baru apabila umat Islam bangkit sebagai sebuah kuasa besar yang baru dan menjadi buah mulut masyarakat arab seluruhnya.
Ianya juga menandakan detik kematian dan penamat bagi era jahiliyyah dan zaman musyrikin Mekah yang kini telah pun diperangi oleh rasulullah sehinggalah mereka semuanya terhapus dan tunduk di bawah kekuasaan Islam.
Peperangan Badar bermula dengan jumlah pasukan tentera Islam ialah seramai 313 orang dengan terdiri daripada 82 Muhajiron dan 231 orang daripada kalangan Ansor (61 Aus dan 170 Khazraj). Abdullah bin Ummi Makhtum diangkat sebagai wakil rasulullah di Madinah dan kemudiannya digantikan dengan Abu Lubabah bin Abdul Mudzir.
Manakala pasukan musuh pula terdiri daripada 1300 orang dengan jumlah kuda sebanyak seratus ekor, 600 orang yang memakai baju besi dan kepimpinan pasukan mereka dipegang oleh Abu Jahal selaku komando perang.
Peperangan ini berakhir dengan kemenangan kepada tentera Islam dan seramai 14 orang daripada kalangan para sahabat yang terkorban dan mati syahid. Manakala daripada tentera musyrikin pula jumlah yang terkorban ialah lebih ramai iaitu seramai tujuh puluh orang dan yang tertawan pula ialah seramai tujuh puluh orang juga. Kemenangan ini menjadi satu hadiah kepada umat Islam dan telah memberikan nafas baru kepada dakwah apabila ramai sekali orang yang memeluk Islam sesudah itu termasuklah golongan munafiqin dan ketua mereka iaitu Abdullah bin Ubay kerana khuatirkan kekuatan tentera Islam dan kemenangan itu menimbulkan perasaan gerun kepada musuh-musuh Islam.
Kesimpulan
Peperangan Badar di bulan Ramadhan bukanlah sesuatu kebetulan sebaliknya mempunyai hikmah ilahiyah dan terkandung rahsia dan kepentingan yang sangat besar apabila di dalam peperangan Badar itu rasulullah banyak mengharapkan doa dan bantuan daripada Allah SWT bagi menghadapi pasukan musuh yang berkali-kali ganda lebih ramai dan berkelengkapan cukup berbanding tentera Islam yang sedikit jumlahnya dan terhad peralatannya.
Dalam Islam, faktor jumlah dan saiz tidaklah memainkan peranan penting bagi mencapai kejayaan tetapi kejayaan itu dapat diperolehi melalui kekuatan yang berada di dalam jiwa manusia. Kekuatan itu adalah daripada dalam jasad dan disebut sebagai kekuatan hati. Maka di sinilah peranan dan fungsi Ramahan yang paling utama iaitu membina kekuatan dalaman tersebut.
Daripada Abu Hurairah ra diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda :
التقوى ههنا ويشير إلى صدره ثلاث مرات
Yang bermaksud : “Taqwa itu di sini sambil menunjukkan ke dada baginda sebanyak tiga kali.”
Ramadhan itu membawa bersamanya rahmat dan berkat. Ianya seperti sebuah sekolah yang mengajarkan manusia di dalamnya cara untuk menjadi taqwa.
Apakah pula subjek-subjek taqwa itu ?
Di dalam bulan Ramadhan, Allah SWT menguji manusia dengan perintah supaya meninggalkan larangan-larangan dan perkara yang membatalkan puasa. Suatu perintah pelik apabila manusia perlu berlapar dan berdahaga serta menahan diri daripada memenuhi keperluan fitrah mereka.
Kenapakah begitu ?
Jawapan mengapa manusia perlu menahan diri dan berlapar, dahaga dan mengawal nafsu hanyalah satu iaitu untuk mentaati perintah Allah, itu sahaja. Kerana ianya perintah Allah untuk melihat siapakah yang sanggup menyusahkan dirinya untuk Allah SWT dan siapakah pula yang tidak sanggup berbuat demikian.
Puasa mengajar kita supaya sedar bahawa kita tidak memiliki dunia.
Makanan yang ada, tanpa izin Allah (jika belum masuk waktu) biarpun sesedap mana ia tetap tidak akan dapat dirasai oleh kita. Isteri yang cantik tidak dapat disentuh dan dipergunakan untuk memuaskan diri. Segala milik kita menjadi kepunyaan Allah SWT dari terbit fajar sehinggalah ke terbenamnya matahari.
Kita menahan diri kita dari apa yang kita miliki demi kerana Allah SWT.
Pengajarannya mudah supaya manusia sedar bahawa dunia ialah pinjaman di samping supaya diri dapat dibimbing dan dilatih menyedari bahawa kawalan diri itu penting dalam kehidupan.
Puasa membantu mengawal diri sendiri.
Kerana musuh kita bukanlah syaitan yang diikat itu, bukan jua nafsu yang meluap-luap menjilat, tetapi ialah diri kita sendiri. Apakah kita mempunyai KEMAHUAN untuk mentaati perintah Allah bersama dengan kemampuan mengawal diri atau kita hanya mempunyai kemahuan tanpa kemampuan ?
Demikianlah syurga dan neraka disusun mengikut jenis manusia seperti ini.
Maka mereka yang berjaya akan beroleh taqwa iaitu mempunyai sebuah kekuatan jiwa yang amat besar dan hebat perkasa. Ianya ialah KEMAHUAN DIRI untuk tunduk kepada Allah SWT dan KEMAMPUAN untuk MENGAWAL DIRI.
والله أعلم
Bacaan lebih jelas sila download di link berikut :
http://www.4shared.com/document/Dgdl4jLt/Inspirasi_Jihad_di_Bumi_Badar.html