Sunday, July 03, 2011

Hikayat Hang Nadim dalam Melayu Moden, Generasi Muda yang Ditakuti Raja


Alkisah, maka tersebutlah kisah akan kewujudan seorang anak muda yang bijak dan bernilai laksana permata. Lidahnya petah berkata-kata dan akalnya panjang berjela-jela. Hang Nadim namanya dipanggil, dikatakan pula sebahagiannya yang dia itu adalah daripada keturunan laksamana terkenal Melaka bernama Hang Tuah.

Tidak penting siapakah dia dan di manakah asalnya dia tetapi yang menjadi genting untuk diperkatakan ialah tentang apakah yang dilakukannya kerana hal yang itulah yang menjadi catatan sejarah dan igauan para pemerintah.

Hang Nadim hidup sebagai seorang budak kecil di dalam sebuah negeri yang bernama Tanjong Pagar. Di sana terdapatnya seorang pemerintah yang menaiki takhta pemerintahan kerana warisan dan digelar Sri Maharaja oleh sekalian rakyat jelata.

Pendekkan cerita, Sri Maharaja itu seorang raja yang zalim dan kejamnya itu tidak mengenal siapa. Maka seorang hamba Allah yang merupakan ulamak dari Pasai dan digelar Tun Jana Khatib telah pun dibunuhnya tanpa belas. Sejak dari itu maka segeralah Tanjong Pagar menjadi medan sengsara akibat sumpah seorang hamba Allah yang teranaiya.

Ikan todak muncul dengan jumlah yang banyak dari laut dan menyerang mereka.

Dek kerana bodoh maka Seri Maharaja pun menyuruh rakyat jelata melawan ikan itu dengan menahan badan, betis dan kekuatan mereka maka ramailah yang mati. Takala itu muncullah seorang kanak-kanak yang bijak bernama Hang Nadim dan berkata :

Apakah kerjanya kita berkotakan betis ini ? Memperdayakan diri kita sedang jika kita berkotakan batang pisang itu bukankah lebih baik ?

Anak muda itu ternyata tidak dunggu seperti sekalian rakyat jelata dan pembesar lainnya yang sudah terbiasa dengan sistem dan peraturan atau prosedur kerajaan yang dibuat-buat dan direka-reka itu. Persis kata pembesar dalam kisah hikayat “Si Musang Berjanggut” yang berkata : “Kita yang membuat undang-undang itu dan kita juga boleh menukarnya ikut kemahuan kita.”

Batang pisang diletakkan di sekeliling pantai dan matilah ikan-ikan todak yang melompat apabila dibunuh orang-orang di pantai setelah ikan itu terlekat mulutnya di batang pisang.

Akhirnya terselamatlah negeri Tanjong Pagar itu kerana idea dan pemikiran si budak kecil yang tidak terus tunduk dan patuh kepada undang-undang ciptaan manusia yang tidak bijak itu. Tetapi hikayatnya tidak tamat di situ kerana dunia ini memang isinya celaka dan jahat selalu.

Hendak dijadikan kisah, orang ramai sudah mula berkata kebijaksanaan si budak sudah mengatasi pemikiran si raja. Hasutan dan dengki dari pembesar istana pula telah menambah murka dan kemarahan Sang Maharaja.

Kata mereka sedang ia masih budak pun sudah mampu memiliki idea dan pemikiran yang bijak bagaimanakah pula jika ianya sudah menjadi besar ? Lebih baik dibunuh sahaja si budak itu.

Dengar katanya si budak itu dibunuh akhirnya dengan disuruh dibuang ke dalam laut sedang usianya ketika itu masih kecil sahaja. Tanjong Pagar kemudiannya tidaklah menjadi mundur tetapi namanya sudah bertukar menjadi Sinagpura dan Seri Maharaja pun akhirnya kehilangan kuasa dan takhta.

Kini negeri itu sudah dikuasai oleh bangsa asing dan pedagang dan keturunan Melayu sudah semakin menghilang kerana bukanlah hasil dari tangan-tangan penjajah dan musuh kepalang tetapi oleh orang-orang Melayu dan pembesar-pembesar yang berjiwa binatang.

Mereka menggadaikan agama dan bangsa demi sedikit projek dan kemewahan dunia yang sementara tanpa mempedulikan dosa dan pahala.

Di dalam Islam kisah Hang Nadim ini tidaklah asing.

Allah SWT berfirman : “Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit, yang dinyalakan api (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman, Dan mereka tidaklah menyeksa orang-orang yang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,” (Al-Buruj : 4-8)

Jika di dalam sejarah Melayu kaum Hang Nadim itu membuat pagar dari batang pisang maka di dalam kisah Ashabul Ukhdud pula yang berlaku ialah golongan yang jahil dan tidak beriman ini telah menggali parit dengan menyalakan api untuk membunuh orang-orang yang beriman kepada Allah swt.

Di dalam hadis riwayat Muslim baginda rasulullah SAW juga tidak lupa menceritakan kisah yang penting ini kepada para sahabat sebagai pengajaran dan teladan. Bahkan hadis berkenaan Ashabul Ukhdud ini diriwayatkan juga oleh para imam hadis yang lain seperti Imam at-Tirmidzi dan dikatakan oleh para ulama bahawa pada zaman Umar bin Khattab ra, kubur pemuda itu telah ditemui dan sewaktu dipindahkan jenazahnya maka didapati oleh para sahabat yang jasad pemuda itu masih dalam keadaan yang elok dan tangannya tetap saja berada di keningnya seperti keadaan ketika dia dibunuh.

Tidak sahaja disitu, kita juga boleh melihat fenomena yang serupa dan semacam ini seperti yang menimpa Hang Nadim juga berlaku kepada Nabi Allah Musa A.s

“Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.” (Al-Qasos : 6)

Firaun begitu takut akan kelahiran seorang rasul yang kelak akan mencabar kerajaannya dan disebabkan oleh perasaan takut akan dicabar itu maka Firaun telah membunuh anak-anak lelaki bani Israel dan memastikan tidak akan lahir pemimpin atau rasul yang diramalkan dalam kitab samawi atau suhuf rasul-rasul terdahulu. Tetapi Allah maha kuasa dan tetap berhasil menewaskan kejahatan dan helah Firaun itu.

Firman Allah SWT : “Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; "Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.” (Al-Qasos : 7)

Generasi Muda yang Ditakuti oleh Pemerintah

Kita melihat dengan pemerhatian yang lama bahawa sudah menjadi suatu macam kelaziman dan perkara yang sama bagi setiap maharaja dan pemimpin yang zalim iaitu mereka pasti akan bertindak kejam dan ganas terhadap generasi muda.

Kekuatan generasi muda adalah sangat digeruni oleh pemerintah yang zalim kerana anak-anak muda berupaya menjadi suara yang kukuh dan menjadi pengubah masyarakat serta mempengaruhi orang ramai sehingga berkemampuan menjatuhkan pemerintah yang kejam dan zalim di dalam sejarah manusia.

Allah SWT menyebutkan peranan orang muda dalam firman-Nya : “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan PEMUDA-PEMUDA dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di atas muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.” (Yunus : 83)

Orang-orang muda itu selalunya sanggup mengambil risiko dan berani mencuba serta kerana itulah mereka selalunya berhasil mendapatkan kebaikan dan kemenangan di dunia dan di hari akhirat.

Dalam ayat yang lain Allah SWT memuji pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi dengan berkata : “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Al-Kahfi : 13)

Demikianlah pula orang-orang muda ini kerap kali menjadi pengkritik dan pemikir yang bernas apabila mereka mampu mempersoalkan kesilapan dan kejahilan orang-orang sebelum mereka yang terdiri daripada golongan tua yang tidak mahu berfikir dan lebih selesa menetap di dalam ruangan selesa dan taklid buta.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka berkata: "Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim." Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang PEMUDA yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim ." (Al-Anbiya : 59-60)

Pemerintah yang zalim di setiap zaman pasti akan berusaha menyekat kebebasan dan kebijaksanaan para pemuda di bawah kekuasaannya demi memastikan kelangsungan pemerintahan dan legasi kekuasaannya dapat dinikmati selama yang mungkin tanpa sebarang gangguan dan ancaman daripada mana-mana pihak dan sudah pasti golongan pemuda ialah cabaran yang paling utama kepada hasrat penguasa yang zalim itu di mana-mana.

Kisah Hang Nadim tidak sahaja menunjukkan sikap dengki, buruk sangka dalam masyarakat Melayu bahkan menjelaskan kepada kita betapa bahayanya sistem pemikiran dan doktrin kepatuhan kepada sultan atau pemerintah secara mutlak tanpa ada ruang untuk pembaikan atau teguran.

Prosedur dan adat kebiasaan orang ramai itu kadang-kadang menjadikan manusia tidak lagi berfikiran waras sebaliknya hanya bergantung kepada sistem dan peraturan yang dibuat oleh mereka sendiri sehingga apabila keadaan berada di luar kawalan maka mereka pun menjadi buntu dan menanti masa sahaja untuk dimusnahkan.

Maka harapan rakyat dan seluruh umat Islam kini terletak di bahu pemuda-pemuda Islam yang berfikiran waras, bijaksana dan mampu menggunakan segala panca indera anugerah tuhan untuk berfikir dengan mencari kebenaran serta tujuan dan matlamat hidup yang sebenar dan berusaha membangunkan diri, keluarga dan Negara agar berada di atas jalan atau minhaj yang diredhai Allah SWT.

Malangnya kerajaan dan pihak yang berkuasa pula berusaha menghancurkan kuasa pemuda dengan hiburan, pendidikan yang merosakkan dan sistem yang memecahkan kekuatan anak-anak muda dengan kawalan dan peraturan yang menekan dan menyekat pergerakkan anak-anak muda agar terbatas dalam ruang lingkup yang terhad.

Kini Hang Nadim cuma diabadikan pada nama sebuah kapal milik angkatan tentera laut Malaysia yang bernama KD Hang Nadim.

No comments: