Thursday, May 19, 2011

Apakah panduan kita dalam menghukum seseorang ?




Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 8)

Ramai orang pada hari ini cukup mudah sekali melabel seseorang itu sebagai ahli bid’ah, perosak agama, khawarij dan bermacam lagi tuduhan demi tuduhan yang berat sedangkan sandarannya cumalah perkataan beberapa orang ulama atau ustaz yang tidak terselamat daripada kesilapan jua kesalahan.

Wajarkah begitu ?

Tindakan tersebut sangatlah tidak beretika, tidak berakhlak dan bahkan sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam apatah lagi mahu mendakwa ianya berasal daripada sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Sesat, Khawarij, Ahli Bid’ah ialah satu hukuman dan tuduhan yang berat

Mengatakan seseorang itu sebagai sesat, ahli bid’ah dan khawarij sudah merupakan bukan lagi sebuah kritikan yang membina dan membantu sesama Muslim tetapi telah menjadi sebuah permusuhan dan merupakan hukuman yang dijatuhkan dalam keadaan yang lalai, tidak berhati-hati serta belot terhadap syariah Islam sekiranya orang yang dituduh tidak dibicarakan secara adil, tidak diberi peluang membela diri dan diberi ruang untuk menegakkan hujahnya.

Imam Az-Zahabi diriwayatkan berkata : “Sejak dahulu lagi adalah perkara biasa jika terjadi perbezaan pendapat di kalangan para Imam dan ulama apabila sebahagian mereka membantah dan mengkritik sebahagian yang lain tetapi kita bukanlah termasuk di kalangan orang yang suka mencela para ulama dengan mengikut hawa nafsu dan kebodohan.” (Siyar Alam Nubala)

Apabila ada seseorang di kalangan kita yang berani menuduh seorang Muslim yang lain dengan tuduhan yang berat seperti sesat, ahli bid’ah dan sebagainya maka adalah WAJIB ke atasnya untuk mengemukakan hujah, bukti dan saksi di atas tuduhannya itu agar maruah dan hak seorang Muslim itu tetap terpelihara dan dijaga.

Allah swt berfirman : “Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Olah kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta.” (An-Nur : 13)

Sekalipun ayat di atas diturunkan berkenaan kes jenayah hudud seperti zina namun ianya juga bertujuan menjelaskan kepada manusia secara umum bahawa keperibadian seseorang muslim itu adalah terpelihara sehingga datangnya bukti (qarinah) yang boleh mencacatkan statusnya.

Apabila si penuduh gagal membawakan saksi yang boleh menjelaskan kesesatan orang yang dituduh, hujah dan bukti kukuh mengapa orang itu menjadi sesat, ahli bid’ah atau sebagainya seperti yang didakwa maka hendaklah dia bertaubat dan diberikan hukuman takzir oleh pihak yang berkuasa agar tidak lagi berani menimbulkan fitnah dan kerosakkan dalam masyarakat.

Ini kerana baginda rasulullah pernah bersabda : Sesiapa yang memanggil orang lain dengan “Kafir” atau “musuh Allah” sedangkan orang tersebut tidaklah begitu, maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya (orang yang menuduh)” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan mudah percaya berita buruk atau cerita yang mengaibkan seorang Muslim
Allah swt berpesan di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat : 6)

Kita begitu mudah memburukkan seseorang, menuduhnya sebagai sesat, khawarij dan pelbagai lagi kata nista dan penghinaan kerana dia tidak bersependapat dengan kita atau apabila kita mendengar guru-guru agama tertentu pun turut memburukkan dan membid’ahkan tokoh dan orang tertentu.

Jangan begitu !

Allah swt berpesan : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (Al-Isra : 36)

Sedangkan kita tidak mengetahui banyak perkara tentang tokoh yang dibid’ahkan, kita pula tidak mengetahui latar belakangnya, tidak pula mengkaji penulisan dan ilmunya tetapi kerana guru kita menyesatkan orang itu maka kita juga turut menyesatkannya lalu bukankah itu sejenis taklid buta yang terlarang dan selalu ditentang oleh kita ?

Taklid kepada guru dalam menyesatkan seseorang ulama, tokoh dan Muslim

Berapa ramai di kalangan kita menyesatkan orang-orang yang lebih hebat, lebih alim dan lebih berpengetahuan daripada diri kita sendiri. Sekiranya tokoh-tokoh itu benar tersesat maka apakah pula status kita yang lebih bodoh, lebih jahil dan tidak pula menguasai ilmu dan sangat sedikit pengetahuan daripada mereka ?

Orang yang bodoh menyesatkan orang yang lebih alim bukankah sesuatu yang amat mustahil ?

Al-Imam Ibn Rejab Al-Hanbali ra juga pernah menyebut dalam kitabnya Al Farqu baina An Nasihat wa At Ta'yiir : “Seandainya tujuan seorang pengkritik itu ialah untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan tarafnya, menjelaskan kebodohan dan kekurangannya dalam hal ilmu dan yang seumpama dengannya maka hal itu adalah haram hukumnya. Baik dia mengkritik dihadapan orangnya itu atau pun melakukannya secara dibelakang, sama ada dibuat ketika dimasa hidupnya atau setelah orang yang dikritik itu telah pun meninggal dunia.

Perbuatan ini adalah termasuk dalam perkara yang dicela oleh Allah dan mendapat ancaman sebagai pengumpat lagi pembuat cela dalam kitab-Nya dan termasuk dia si pembuat itu sebagai orang yang disabdakan oleh Nabi salallahualaihiwasalam : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan belum beriman dengan hatinya, janganlah kalian menyakiti kaum muslimin dan janganlah pula kalian mencari-cari kekurangan dan kelemahan mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari-cari kekurangan-kekurangan orang lain maka kelak Allah akan membukakan kekurangan dirinya dan akan membiarkan orang lain pula mengetahui keaibannya, sekalipun di dalam rumahnya."(Lihat hadis ini dalam Sunan At-Tirmidzi)

Berhukumlah dengan hukum Allah

Apabila telah jelas dan zahir kerosakkan yang dilakukan oleh seseorang maka adalah wajib ditegakkan hukuman Allah kepadanya dan menjadi keperluan untuk mencegah kemudharatan yang diketahui akan berlaku. Ini kerana Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda, “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.”(hadis riwayat Muslim)

Kita tidak disuruh mencari kesalahan seseorang atau menyebut kesilapannya tetapi Islam mengajar kita untuk mencegah kemungkaran dengan hikmah dan mengikuti pertunjuk Allah dan mencari kemanfaatan daripada hukum syarak agar kebajikan umat Islam terpelihara. Di sinilah kita boleh mengambil pelajaran daripada kisah Abu Darda’ ra yang melihat orang ramai pada suatu hari sedang mengerumuni seorang lelaki sambil mencelanya dan memukulnya. Lalu bertanyalah Abu Darda’ ra tentang lelaki tersebut lalu dijawab bahawa si lelaki itu telah melakukan suatu dosa besar (tidak disebutkan dosa apa tetapi bukanlah yang melibatkan hudud)

Maka bertanyalah Abu Darda kepada orang ramai, jika lelaki ini terjatuh di dalam telaga maka apakah kamu akan mengeluarkannya ? Lalu dijawab dengan berkata sudah tentu kami akan membantu untuk menyelamatkannya. Maka segera dijawab oleh Abu Darda ra dengan berkata : “Jika begitu maka janganlah kami memaki dan memukulnya, sebaliknya tutuplah aibnya dan bimbinglah dia serta bersyukurlah kamu semua kerana telah dipelihara oleh Allah swt akan dosa seperti itu . Orang ramai pun bertanya kembali kepada Abu Darda, apakah beliau tidak membenci lelaki itu ? Maka dijawab oleh Abu Darda bahawa aku membenci perbuatannya tetapi jika dia bertaubat dan tidak melakukannya lagi maka dia adalah saudaraku !

Akhirnya Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Kesimpulannya maka hendaklah kita semua bermuhasabah tentang apakah sandaran dan landasan kita dalam menghukum seseorang sebagai sesat, ahli bid’ah atau pun Khawarij dan sebagainya. Apakah neraca kita ialah pertimbangan akal yang waras dengan saksi dan hujah daripada Al-Quran dan As-sunnah ? Ataukah sekadar sentimen perasaan dan taklid buta kepada kenyataan dan fatwa-fatwa guru-guru kita di timur tengah atau di dalam Negara yang terdedah kepada salah faham, perbezaan pendapat dan merupakan perselisihan peribadi yang tidak layak menjadi hukuman yang memutuskan kesesatan atau kebenaran seseorang di hadapan Allah swt !




1 comment:

Zikir Din said...

alhamdulillah, artikel yang membuatkan saya lebih bejaga-jaga sebelum meng'kelas'kan bberapa golongan manusia yang berkhilaf dengan pendapat yang ana pelajari.

moga Allah memelihara saya dari mengaibkan manusia lain.