Wednesday, February 23, 2011

Kenduri Kahwin Orang Sunnah yang menyalahi sunnah

Ramai anak-anak muda Islam yang berhasrat untuk bernikah merasa ghairah dengan impian masing-masing untuk mengadakan kenduri kahwin mereka mengikut ajaran sunnah. Malangnya mereka sendiri terkeliru dan tidak tahu bagaimanakah bentuk kenduri kahwin yang mengikut sunnah nabi salallahualaihiwassalam.

Ada yang berkata kenduri kahwin mengikut sunnah itu ialah dengan mendapat restu ibubapa, ada yang berkata kenduri kahwin sunnah itu pula adalah dengan mengadakan jamuan kambing kerana nabi suruh mengadakan walimah (kenduri nikah) walaupun dengan seekor kambing.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “ Adakanlah Walimah (kenduri kahwin) sekalipun dengan seekor kambing.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kambing bukan ukuran sunnah

Walimah atau kenduri kahwin dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran oleh pihak pengantin kerana telah diberikan oleh Allah swt dengan rezeki pernikahan. Maka penganjuran walimah (kenduri nikah) ini dilakukan semata-mata sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt dan untuk berkongsi nikmat kebahagiaan dan kegembiraan dengan orang-orang lain.

Apabila disebut sebagai tanda kesyukuran, maka ianya tidak pernah dihadkan oleh Allah swt dan juga oleh rasulullah akan batas-batas nilai kendurinya tetapi sebaliknya diberikan kemudahan kepada umat Islam untuk mengadakan majlis kesyukuran nikah atau disebut sebagai walimah dan kenduri nikah ini menurut kemampuan diri mereka sendiri.

Allah swt berfirman : “Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya.” (Al-Mukminun : 62)

Rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri pernah mengadakan majlis kesyukuran atau kenduri kahwin dengan hanya menjamu kurma yang telah dibuang bijinya dan dicampur susu atau gandum kepada para sahabat radiallahuanhum sempena perkahwinan baginda dengan Shofiyah binti Huyai bin Akhtab.

Oleh yang demikian, suka sekali saya katakan bahawa Sunnah yang pertama bagi kenduri kahwin ialah “Menzahirkan Kesyukuran kepada Allah swt” melalui jamuan makan kepada orang ramai dan memiliki rasa berterima kasih serta menghargai nikmat perkahwinan yang telah diberikan sebagai amanah Allah swt untuk saling bantu-membantu di atas taqwa bagi melayari bahtera rumahtangga.

Syukur tidak bernilai jika ada perbuatan kufur

Macam mana anda boleh mengatakan bahawa jamuan pernikahan ini sebagai syukur dan menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah swt apabila keluarga pengantin lelaki dan keluarga pengantin perempuan sejak dari awal-awal lagi kufur kepada Allah swt dan tidak menghargai nikmat ukhuwah dan perkenalan anak-anak mereka dengan meletakkan harga maskahwin dan belanja hantaran nikah yang begitu tinggi kerana beranggapan status dan kedudukan anak-anak mereka perlu diberi perhatian dengan menjadikan hantaran mahal dan belanja nikah sejajar dengan kedudukan.

Siapa anda berbanding Nabi ? Siapa anak gadis anda berbanding anak-anak rasulullah ? Sedang Fatimah kekasih hati rasulullah pun bernikah dengan belanja sekadar hasil gadaian dari baju besi !

Syukurlah kepada Allah swt kerana telah menyelamatkan anak-anak anda daripada dosa zina, syukurlah kepada Allah swt kerana telah menemukan jodoh kepada anak-anak gadis anda dengan lelaki yang sudi menikahi dan menjaganya. Buktikanlah tanda syukur dengan mempermudahkan nikah mereka dan mengurangkan belanja perkahwinan mereka agar tidak sampai kepada membebankan bakal pengantin lelaki dan keluarga pasangan.

Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Sebaik-baik pemberian mahar adalah yang paling memudahkan.” (Hadis riwayat Hakim)

Manakala dalam hadis yang lain menyebut tentang betapa Islam mengalakkan mempermudahkan urusan agama seperti kenduri kahwin dan sebagainya agar ianya dapat dilaksanakan sekadar menurut kemampuan manusia sehingga tidak perlu dan tidak patut urusan teknikal seperti ini menjadi sebab-sebab halangan pernikahan.

Maka zahirkanlah kesyukuran wahai ibubapa dengan memudahkan urusan mengadakan kenduri perkahwinan ini sekadar kemampuan pihak yang menganjurkannya kerana itulah sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Jauhilah pembaziran dan kemewahan yang tidak perlu kerana sesungguhnya seburuk-buruk belanja pernikahan ialah pada jalan kemasyhuran dan kebesaran yang membawa kepada kemurkaan tuhan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu berbelanja secara boros terhadap hartamu. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.” (Al-Isra : 27)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “ Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya sebesar zarah.” (hadis riwayat Muslim)

Usahlah bersombong dan berbongkak dengan majlis keraian dan sambutan pernikahan yang meriah dan gemilang kerana kebahagiaan anak-anak dan mereka yang bernikah bergantung kepada keredhaan Allah swt bukannya kepada kegemilangan majlis tersebut.

Yang kebulur tidak dijemput yang kenyang dan gemuk itu pula yang diajak datang

Sudah jadi budaya orang zaman sekarang apabila mereka berasa mulia dengan kedatangan orang-orang kaya dan pembesar-pembesar manusia di dalam majlis mereka sekalipun dikalangan muda-mudi yang bernama sunnah.

Sedangkan baginda rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Janganlah bersahabat kecuali dengan orang-orang yang beriman dan janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Jemputlah orang yang bertaqwa, anak-anak orang susah dan janda serta fakir miskin untuk mendatangi hidangan jamuan pernikahan kerana itulah sunnah dan bukannya menjemput mereka sebagai tetamu sampingan anda tetapi sebaliknya kepada merekalah jamuan pernikahan itu sepatutnya diadakan.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Tahukah kamu (orang-orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, Dan tidak menganjurkan memberi Makan orang miskin.” (Al-Ma’un : 1-3)

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam lagi : “Seburuk-buruk makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri perkahwinan apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak dijemput.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah selalu dalam Islam VVIP bagi umat ini ialah orang yang bertaqwa, orang alim dan anak-anak yatim serta fakir miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Mereka inilah VVIP dan orang besar yang perlu diberi perhatian kerana rezeki dan pertolongan Allah swt kepada anda sebenarnya bergantung kepada mereka.

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Tidaklah Kamu diberikan pertolongan dan rezeki oleh Allah melainkan kerana bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah di sisi kamu.” (hadis riwayat Bukhari)

Anak-anak yatim itu bukan tetamu sampingan tetapi merekalah tetamu utama dan ini ialah Sunnah dalam mengadakan jamuan pernikahan.

Apabila prinsip-prinsip Sunnah di atas telah terpelihara seperti menjaga kebajikan orang-orang susah, mencapai maksud kesyukuran melalui kenduri perkahwinan yang diadakan maka janganlah pula anda yang menganjurkannya kemudian mencemari majlis untuk mensyukuri nikmat Allah swt tersebut dengan maksiat.

Warna-warni kenduri perkahwinan di Malaysia

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu.” (Al-Ahzab : 33)

Kain satin yang licin sehingga mengundang mata-mata liar untuk memandang, baju kurung dan kain sampin yang dipakai sebagai hiasan kemegahan semuanya bukanlah membawa kepada kesyukuran dan kegembiraan yang dibenarkan. Dipersilakan buat pengantin untuk mengadakan jamuan dengan menjemput artis nasyid untuk menghiburkan tetamu, atau permainan akrobatik, wayang kulit, ceramah agama sebagai pengisian majlis, silakan kerana ianya bukan bid’ah yang dilarang bahkan termasuk adab dan akhlak pihak penganjur majlis untuk menghiburkan tetamu.

Adakanlah syair dan pertandingan berbalas pantun, ya silakan kerana tiada kesalahan.

Tetapi pakaian anda yang berkilau-kilauan, sendat kain satin dan baju kurung yang cantik mempesonakan itu sudah bukan sahaja menjadi bid’ah yang tercela bahkan termasuk tabarruj yang diharamkan.

Asingkanlah tempat duduk lelaki dan wanita dalam majlis kerana Allah swt berpesan kepada kita supaya saling menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Jauhilah ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita yang sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Malulah kerana sesungguhnya malu itu sebahagian daripada Iman.

Kenapa kau tabarruj wahai pengantin ?

Allah swt berfirman : “Wahai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raaf : 26)

Raja sehari bukan daripada adat dan amalan umat Islam bahkan bukan sekali dalam amalan rasulullah salallahualaihiwassalam. Pada hari perkahwinan dan hari jamuan pernikahan bukan engkau yang makan dan dilihat oleh orang ramai atau bersanding dan didatangi oleh orang kebanyakkan tetamu lelaki dan perempuan.

Bukan engkau yang makan tetapi harus orang yang susah itu yang makan dan engkau wahai pengantin seharusnya tunggu dan tidak makan kerana melayani mereka. Itulah sunnah dan keraian sebagai tanda kesyukuran.

Pengantin jadi pelayan dan melayani tetamu kerana itulah sunnah walimah pernikahan.

Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk melayani tetamu dan keperluan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beza sunnah dan bid’ah ialah apabila pengantin yang melahap sakan, makan dengan hidangan mewah yang berbeza dari tetamu yang lain sementara orang ramai berdiri meraikan mereka konon-kononnya merekalah raja seharian.

Itulah pembuat bid’ah di kalangan orang-orang Sunnah, mentah akal dan lemah pemikiran dalam memahami sunnah beragama dan bukanlah mereka pemuda dan pemikul amanah ummat, sekali tergoda oleh pakaian yang smart habis jatuh kredebiliti dan ketegasan beragama kepada adat dan khurafat.

Kesimpulannya, sukalah sekali saya rumuskan. Yang sudah itu sudahlah, yang akan datang maka perbaikilah. Masih ada masa untuk kita semua insaf dan bertaubat sebelum ajal datang menghambat.

Lurus katakan lurus, yang bengkok katakan bengkok. Jelaskanlah yang sunnah daripada yang bid’ah agar kelak perkahwinan anda dapat membawa berkat dan semoga rumahtangga anda aman dan selamat.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

Saturday, February 19, 2011

Revolusi antara Dalil Nash dan Realiti


Pertembungan di antara hak kemanusiaan dan agama Islam adalah tidak wajar berlaku memandangkan agama Islam ini diturunkan oleh Allah swt sebagai rahmat dan membawa kebaikan kepada kehidupan manusia itu serta menyelamatkan manusia daripada kerosakkan yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka sendiri melalui petunjuk wahyu dan pedoman agama.

Allah swt berfirman : “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya : 107)

Walaubagaimanapun, rahmat agama ini yang terkandung dalam kematangan serta hikmah dan kebijaksanaannya tidak semestinya dapat dikongsi dan dimiliki oleh semua umat Islam khasnya apabila terdapat pelbagai faktor penghalang yang timbul. Kita boleh membahagikan perkara yang menghalang manusia daripada memahami agama secara matang kepada dua bahagian iaitu penyebab luaran dan penyebab dalaman manusia.

Penyebab luaran seperti taraf ekonomi, status sosial dan keadaan masyarakat boleh menjadi punca kenapa seseorang agamawan berfikiran kolot, sempit dan prejudis terhadap situasi dan realiti mereka sehingga menyebabkan ada beberapa fatwa dan tafsiran mereka terhadap dalil-dalil dan nash-nash syarak baik daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis rasulullah dipandang sebagai tidak praktikel dan menentang kebaikan umum serta menyalahi keperluan realiti semasa.

Penyebab dalaman pula boleh berpunca daripada sikap dan sifat seseorang pendakwah yang mempunyai masalah, berpenyakit, takut mati atau inginkan kesenangan dan kehidupan mudah. Kelemahan jiwa untuk memperjuangkan kebenaran boleh mendorong dirinya untuk membuat tafsiran dan takwilan yang sesuai dengan kehendaknya.

Dua faktor inilah yang boleh menjadi penghalang kepada umat Islam daripada mencapai kematangan beragama serta mendapatkan hikmah dan rahmat daripada ajaran Islam yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwassalam.

Al-Quran dan As-sunnah bukan sekadar fakta

Merujuk Al-Quran dan As-sunnah adalah tidak semudah perbuatan mengambil fakta sejarah daripada buku teks. Sedangkan ayat-ayat Al-Quran itu sendiri dijelaskan oleh Allah swt sebagai mempunyai hukum yang jelas dan yang tersembunyi yang disebut sebagai ayat Muhkamat dan Mutasyabihat.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 7)

Demikianlah juga dengan sesebuah hadis apabila Allamah Al-Qasimi rahimahullah telah berkata : “Tidak semua hadis sahih boleh disampaikan kepada orang awam.” Buktinya lihatlah hadis yang diriwayatkan oleh dua Imam iaitu Bukhari dan Muslim berkenaan kisah Muadz yang berada di belakang Nabi ketika sedang menunggang seekor keldai dan baginda bertanya kepada Muadz : “Wahai Muadz, apakah engkau tahu akan hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya dan apakah pula hak hamba ke atas Allah ?Lalu dijawab oleh Muadz dengan berkata : “Allah dan rasul-Nya yang lebih mengetahui. Maka baginda pun bersabda dengan berkata : “Sesungguhnya hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya ialah mereka wajib menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatupun. Manakala hak hamba ke atas Allah ialah Dia tidak akan mengazab sesiapa yang tidak menyekutukannya dengan sesuatu.” Muadz pun bertanya : “ Wahai rasulullah, apakah boleh aku menyampaikannya kepada orang ramai ? Rasulullah menjawab : “Jangan kamu beritahu mereka kerana nanti mereka akan menjadi malas.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dr.Yusof al-Qaradhawi dalam Kitabnya Kaifa Nata’amal Ma’a Sunnah Nabawiyah (Bagaimana kita harus beramal dengan Sunnah Nabawiyah) ada membawakan kisah berkenaan Ibn Mas’ud yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berkenaan larangan daripada memperkatakan tentang sebuah hadis yang tidak difahami oleh sesuatu kaum dan akal mereka kerana dibimbangi akan menjadi fitnah kepada sesetengah mereka.

Bahkan para ulama hadis seperti Imam Ibn hajar ra juga turut menyebutkan berkenaan hadis-hadis yang tidak boleh dan tidak wajar diperkatakan kepada orang ramai kerana khuatir akan menimbulkan salah faham kecuali bagi orang-orang yang berilmu. Imam Al-Hasan rahimahullah sendiri pernah mengecam tindakan Anas bin Malik ra yang memberitahu Hajjaj bin Yusof berkenaan sebuah hadis yang menjadi hujah buat Hajjaj kemudiannya untuk memerangi musuh-musuhnya dengan takwilan yang salah.

Menjatuhkan Regim Yang Zalim Tidak Dicela oleh Agama

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Hud : 113)

Jelasnya menyokong dan mempertahankan regim yang zalim itulah yang dicela oleh agama dan dibenci oleh fitrah dan kewarasan akal manusia. Malangnya ada segolongan manusia percaya bahawa mentaati pemerintah yang zalim ini adalah suatu kewajipan dan merupakan arahan daripada syariat Islam sekalipun ianya dilihat dan dipandang sebagai sesuatu yang menyalahi fitrah dan kewarasan akal manusia.

Mereka berhujah berdasarkan sebuah riwayat yang dibawakan oleh Al-Imam Bukhari dalam sahihnya berkenaan kisah Zubair bin Addi yang menyebutkan bahawa kami mendatangi Anas bin Malik dan mengadu kepadanya berkenaan apa yang kami hadapi dengan pemerintahan Hajjaj. Lalu Anas bin Malik pun berkata : “Bersabarlah kamu kerana sesungguhnya pada setiap zaman itu ada kejahatan yang lebih buruk daripada sebelumnya sehinggalah kamu datang menemui tuhan kamu dan aku telah mendengar hal ini daripada Nabi kamu.” (Riwayat Bukhari)

Dr.Yusof Al-Qaradhawi hafizahullah berkata dalam menjelaskan maksud hadis ini bahawa para ulama terdahulu ramai yang bersikap tawaqquf (mendiamkan diri) apabila berbicara tentang hadis-hadis seperti ini kerana mereka menyedari dengan ilmu mereka bahawa perbicaraan dan penggunaan hadis ini bukanlah seperti yang disangkakan oleh orang ramai.

Pada sudut zahir, makna hadis itu sendiri adalah salah dan tidak tepat. Ini kerana sudah jelas dan nyata sekali bahawa zaman selepas Hajjaj adalah lebih baik daripada zaman sebelumnya (zaman Hajjaj) apabila umat Islam kemudiannya diberikan rezeki oleh Allah swt dengan mendapat pemerintah yang adil seperti Khalifah Umar bin Abd Aziz ra.

Zaman Umar bin Abd Aziz, walaupun adalah merupakan zaman selepas zaman Hajjaj namun ianya ternyata lebih baik dan membawa keamanan dan ketenangan kepada rakyat berbanding zaman sebelumnya (Zaman Hajjaj). Jadi itulah sebabnya hadis tidak pernah dipakai secara zahir kecuali pada persoalan yang sudah terang, disepakati dan jelas maksudnya.

Adapun apabila menyingkap urusan umat Islam, masalah siyasah dan perkara yang masih menjadi perselisihan di kalangan ulama Islam sejak berzaman maka ianya harus diperhatikan dengan cermat dan berhati-hati sebelum membuat kenyataan.

Kemudiannya, Lafaz yang digunakan oleh Anas bin Malik dengan katanya : “Bersabarlah kamu,” adalah bukan bermaksud supaya redha dengan kezaliman, berdiam diri dan tidak berusaha mencegah kezaliman tersebut. Sedangkan dalil yang banyak daripada Al-Quran dan As-sunnah menyuruh kita supaya menegakkan kebenaran dan menentang kebathilan dan kezaliman.

Lagipun di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra juga ada menyebutkan mengenai sabda rasulullah yang menyuruh kita supaya membantu saudara segama yang dizalimi dan yang zalim. Apabila sahabat bertanya bagaimanakah caranya hendak menolong orang yang zalim ? Maka rasulullah pun menjawab dengan bermaksud : “Kamu menghalangnya daripada membuat kezaliman.” (hadis riwayat Bukhari)

Disebabkan itulah Dr. Yusof Al-Qaradhawi dalam tulisannya menyebut : “ Adapun sangkaan orang bahawa hadis itu (Hadis Anas bin Malik yang awal tadi) membawa maksud menyeru supaya berdiam diri terhadap kezaliman, sabar terhadap paksaan dan penindasan, sukakan kemungkaran dan kerosakan serta membawa sikap negatif dalam menghadapi golongan thaghut dan pelampau di muka bumi maka ianya ditolak”(Bagaimana kita harus beramal dengan Sunnah Nabawiyah)

Kesimpulannya kita tidak harus takut untuk berkata kepada pembuat zalim bahawa engkau zalim kerana itu adalah suatu fitrah dan merupakan hak yang menjadi milik setiap insan untuk meluahkan perasaan dan apa yang dihadapinya daripada kesusahan dan tekanan oleh penguasa yang zalim.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru yang berkata aku telah mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Jika kamu melihat umatku tidak berani mengatakan kepada pelaku zalim itu dengan berkata : “Sesungguhnya engkau zalim maka hendaklah kamu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir pada hadis no. 6521)

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

Maulidur Rasul Antara Adat dan Agama


Sambutan Maulid nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah suatu perkara yang digalakkan dalam Islam apabila ianya tidak pernah diperintahkan oleh nabi Salallahualaihiwassalam sendiri dan tidak pula pernah dilakukan oleh mana-mana kaum salaf yang terdahulu di kalangan para sahabat, tabieen dan tabi' tabien yang lebih berilmu dan lebih mencintai nabi salallahualaihiwassalam daripada kita.

Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda (Yang bermaksud) : "Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku, kemudian diikuti zaman selepas itu dan kemudian zaman selepas itu." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Mencontohi amalan salaf dalam beragama ialah sesuatu yang mulia dan dianjurkan oleh Islam walaubagaimanapun majlis memperingati nabi salallahualaihiwassalam dan mengadakan sambutan Maulidur Rasul bukanlah suatu bid'ah yang berdosa sekiranya perjalanan program dan majlis yang diadakan itu adalah bersih daripada perkara yang haram, sia-sia (lagha) dan dapat memberikan manfaat kepada umat Islam.

Kesimpulannya, apa yang paling utama ialah berbalik kepada pengisian program itu sendiri, niat dan tujuannya serta matlamat kita di dalam mengadakan Majlis sambutan Maulidur Rasul.

Jika yang mendapat manfaat daripada program ini hanyalah orang VVIP yang dirinya dihormati dan dimuliakan dalam majlis, mendapat liputan media dan berita, sekadar menunaikan tanggungjawab sosial dan memenuhi arahan atau menganjurkan Maulidur Rasul kerana adat dan ikutan maka tidak ada faedahnya program sebegini kepada umat Islam dan tidaklah beroleh pahala dan bukanlah ianya dikehendaki oleh agama.

Namun jika yang dimaksudkan oleh para pendakwah, ustaz dan pihak Masjid yang menganjurkan program Maulidur Rasul dengan tujuan untuk orang awam mendekati masjid,
menjadi insaf dan turut menyertai acara-acara agama seperti kuliah sirah, ceramah agama dan mendekatkan manusia kembali kepada Allah swt dan mencintai Rasulullah salallahualaihiwassalam maka tidak ada dosanya dan tidak ada salahnya penganjuran program-program atau majlis sambutan Maulidur Rasul seperti ini.

Islam tidaklah memandang kepada nama, luaran dan tempelan pada sesuatu amalan. Kerana itu sesuatu acara dan aktiviti seperti Maulidur rasul ini tidak menjadi bid'ah dan sesat hanya kerana namanya dan hanya kerana gambaran Maulidur rasul ini seolah-olah majlis menyambut kelahiran nabi yang tidak pernah dibuat oleh syarak lalu ianya dicela dan menjadi bid'ah yang haram.

Sebaliknya Islam memandang kepada isi dalamannya, apa pengisiannya dan apakah tujuan serta matlamat dari program, sambutan dan majlis seperti ini. Jika ianya menuruti syarak, membawa faedah kepada ummah dan dibuat kerana Allah swt dengan hati yang Ikhlas dan menuruti sunnah-sunnah nabi seperti mengadakan tazkirah, nasihat, ceramah ilmu maka ianya sama sahaja seperti aktiviti-aktiviti dan program kebaikan yang lain cuma namanya sahaja Maulidur rasul bersempena tarikh tertentu yang dipergunakan sebagai tarikan dan ransangan kepada orang ramai untuk turut serta mendekati usaha dakwah dan hal ini diperbolehkan.

Cumanya kita berpesan kepada umat Islam di Malaysia agar lebih berhati-hati dengan sambutan seperti ini dan hendaklah berusaha memperbaiki mutu penyampaian dakwah Islam dengan lebih berilmu, berkualiti dan lebih tekun. Misalnya tarikh kelahiran rasulullah bukanlah 12 Rabiul awal tetapi sebaliknya ialah pada tanggal 9 Rabiul Awwal, permulaan awal tahun gajah bersamaan 571 Masihi (Lihat Sirah Nabawiyah, Rahiiq Al-Makhtum,ms.45)

Kita menyeru umat Islam khasnya pihak berkuasa, masjid dan pengurusan agama lebih berkaliber dalam pengendalian program agar matlamat untuk mendekatkan manusia kepada agama dapat tercapai berbanding sekadar menjalankan Maulidur Rasul hanya sebagai siri sambutan tahunan dan program kerasmian serta keraian yang sia-sia dan tidak membawa makna. Jemputlah penceramah yang berkualiti, pendakwah yang jujur dan amanah dengan ilmu dan menyampaikan fakta yang benar tentang agama serta tidak hanya sekadar menghiburkan manusia dengan cerita keperibadian baginda nabi sebaliknya mampu mengajar masyarakat akan sunnah-sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam yang sebenar.

Semoga Allah membantu kita dan memberikan Hidayah dan Petunjuk daripada-Nya.

Sunday, February 13, 2011

Bangkitlah Selepas Bercerai


Manual Bimbingan Menghadapi Perceraian menurut Islam

Bangkitlah Selepas Bercerai
Ustaz Emran Ahmad

Harga: RM 18.00
ISBN: 978-967-86-0367-6
Halaman: ~408
Bahasa: Bahasa Melayu
Berat: 400 gram
Tarikh Terbit: 15 Feb 2011
Kategori: Agama

Isi kandungan Menarik

• Cari Ketenangan Diri
• Hidup Ini Penuh Ujian
• Perceraian Dalam Islam
• Mengapa Bercerai Muda?
• Anakku Disihir Orang!
• Anak dan Isteri Sebagai Amanah
• MasalahTidak Akan Pernah Hilang
• Hadapi Perceraian Dengan Hikmah
• Kita Bukan Phoenix yang Bangkit Dari Api!
• Perkahwinan Bukan Jaminan Kelangsungan Cinta

Selamat Membaca !

Promosi Buku-buku Agama - Ustaz Emran

Dapatkan tiga buah buku karya Ustaz Emran iaitu Bangkitlah Selepas Bercerai,
Mencari Pasangan Hidup & Petunjuk Jalan Lurus



1. Petunjuk Jalan Lurus (Tafsir Surah Al-Fatihah) - RM 8
2. Mencari Pasangan Hidup - RM 16
3. Bangkitlah Selepas Bercerai - RM 18

Boleh dapatkan secara online di link berikut :

http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=1638