Tuesday, January 25, 2011

Perbezaan Antara Celaan dan Kritikan kepada Ulama'




Kritikan seorang yang alim kepada seorang alim yang lain merupakan sesuatu yang lumrah di dalam bidang pengajian ilmu dan pengetahuan. Kritikan berlaku apabila wujud pembetulan, teguran atau menyatakan tidak bersetuju dengan sesuatu kenyataan atau pendapat seseorang ahli ilmu yang lain.

Ianya bukanlah sebuah kesalahan.

Tiada sesiapa yang maksum dan terpelihara dari kesalahan sehinggakan Al-Imam As-syafie sendiri diriwayatkan pernah menyebut bahawa jika dilihat di dalam kitab-kitab penulisan para ulama nescaya kita akan mendapati banyak perselisihan dan pertentangan dengan Al-Quran disebabkan hanya Al-quran dan as-sunnah sahaja yang dapat terjamin daripada kesilapan.

Allah berfirman yang bermaksud : “ Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalaulah kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka akan mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya. " (An-Nisa : 82)

Makanya semua yang datang bukan daripada Allah swt sebaliknya hasil ijtihad dan pendapat para ulama adalah tidak kosong dan tidak sunyi daripada kesalahan sekalipun ulama tersebut seorang yang alim, warak dan tersohor namun gelaran dan label yang disandang kepadanya tidaklah menjamin kesempurnaan.

Disebabkan itulah maka baginda nabi salallahualaihiwassalam pun bersabda : Jika seorang hakim itu berijtihad dan tepat ijtihadnya, maka baginya dua pahala dan jika hakim itu tersalah dalam ijtihadnya maka baginya satu pahala."(hadis riwayat Bukhari)

Kesalahan seorang alim atau ulama dalam ijtihad tidaklah dianggap sebagai dosa dan sesungguhnya yang menilai dan menentukan apakah ijtihadnya benar atau tersilap bukanlah manusia dan bukanlah di dunia tetapi oleh Allah swt dan hanya Dia yang berhak menghukum dan menentukan siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Apabila setiap manusia berupaya melakukan kesilapan dan tidak ada yang akan selamanya betul maka sudah pasti kritikan dan teguran itu perlu diberikan ruang untuk memperbaiki keadaan dan mencari kebenaran.

Kritikan adalah Nasihat

Ibnu Rajab Al-Hanbali ra dalam kitabnya Jami Al-Ulum wal Hikam berkata dengan menukil perkataan Imam Al-Khaththabi ra menyebut : "Nasihat ialah kalimat yang diucapkan kepada seseorang kerana menginginkan kebaikan baginya."

Kerana itu daripada Abu Ruqaiyyah Tamim bin Aus ad-Darie ra bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam telah bersabda (yang bermaksud) : “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam sejarah Islam budaya kritik dan menyanggah pendapat seseorang sudah lama wujud sejak zaman rasulullah salallahualaihiwassalam lagi dan ianya bukanlah semestinya buruk bahkan kadang-kadang amat dialu-alukan sebagai usaha pembaikan dan penilaian untuk mencari kebenaran.

Misalnya Umar Al-Khattab ra ketika dilantik menjadi khalifah pernah berkata : “Kalau kamu melihat pada diriku ada penyelewengan, maka perbetulkanlah aku.” Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: “Kalau kami mendapati pada diri engkau ada penyelewengan, maka kami akan memperbetulkan engkau dengan pedang kami.” Lalu Umar berkata: “Segala puji bagi Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar ada yang sanggup memperbetulkannya dengan pedang mereka”.

Walaubagaimanapun celaan ialah suatu perkara yang lain.

Hukum mencela tidak sama dengan kritik kerana kritikan bermaksud teguran dan menginginkan pembaikan manakala celaan bermaksud memburukkan seseorang atau memalitkan kebencian kepada orang yang dicela.

Mencela seseorang Muslim adalah haram

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari sangka-sangka itu adalah dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menyebut keburukan antara satu sama lain. Adakah seseorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat : 12)

Di dalam sebuah hadis Rasulullah kepada para sahabatnya : Tahukah kamu apakah yang disebut ghibah itu? Mereka menjawab : Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Maka jawab Nabi, Iaitu: Kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang Dia tidak menyukainya. Kemudian Nabi ditanya: Bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah salallahualaihiwassalam menjawab : Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu, maka bererti kamu telah mengumpat dia, dan jika tidak ada padanya seperti apa yang kamu bicarakan itu, maka bererti kamu telah membuat satu tuduhan kepada dia." (Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan Nasa'ie)

Begitu juga dalam hadis yang lain menyebut : "Mencerca seorang mukmin itu adalah fasik dan membunuhnya adalah kafir." (Hadis Muttafaq 'Alaih)

Al-Imam Ibn Rejab Al-Hanbali ra juga pernah menyebut dalam kitabnya Al Farqu baina An Nasihat wa At Ta'yiir : “Seandainya tujuan seorang pengkritik itu ialah untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan tarafnya, menjelaskan kebodohan dan kekurangannya dalam hal ilmu dan yang seumpama dengannya maka hal itu adalah haram hukumnya. Baik dia mengkritik dihadapan orangnya itu atau pun melakukannya secara dibelakang, sama ada dibuat ketika dimasa hidupnya atau setelah orang yang dikritik itu telah pun meninggal dunia.

Perbuatan ini adalah termasuk dalam perkara yang dicela oleh Allah dan mendapat ancaman sebagai pengumpat lagi pembuat cela dalam kitab-Nya dan termasuk dia si pembuat itu sebagai orang yang disabdakan oleh Nabi salallahualaihiwasalam : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan belum beriman dengan hatinya, janganlah kalian menyakiti kaum muslimin dan janganlah pula kalian mencari-cari kekurangan dan kelemahan mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari-cari kekurangan-kekurangan orang lain maka kelak Allah akan membukakan kekurangan dirinya dan akan membiarkan orang lain pula mengetahui keaibannya, sekalipun di dalam rumahnya."(Lihat hadis ini dalam Sunan At-Tirmidzi)

Kesimpulannya saya berpesan kepada anak-anak muda untuk menjauhi bidang ini dan meninggalkan bahagian dan urusannya kepada orang alim yang benar-benar berhak dan layak untuk menceburinya. Sesungguhnya banyak perkara yang disangka oleh anak muda sebagai wajib tidaklah menduduki tangga wajib dan disangkanya sebagai haram maka tidaklah haram dan disangkanya ijmak maka bukanlah mencapai tahap ijmak.

Hal ini disebabkan oleh kekurangan ilmu dan kelemahan di dalam memahami nash-nash Al-Quran dan As-sunnah serta gagal memahami keseluruhan teks-teks dan catatan para ulama salaf yang terdahulu. Apabila potongan demi potongan dari kitab yang diambil dan dijadikan sebagai hujah mereka terlupa betapa banyak lagi potongan dan helaian serta lembaran dari ulama yang sama menyatakan sesuatu yang menyalahi sangka dan faham mereka yang terhasil dari potongan demi potongan perkataan yang diambil.

Akhir kata, berhati-hatilah kita dalam berkata dan menulis.

Nabi salallahualaihiwassalam berkata kepada para sahabatnya yang mulia : “Apakah kalian mengetahui siapakah orang yang bangkrup ?”. Para sahabat menjawab : “Orang yang bangkrup adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang bangkrup dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala, solat, puasa, zakat namun dia juga mencaci, menuduh, memakan harta orang lain, menumpahkan darah orang lain, serta memukulnya. Lantas diambillah pahala kebaikan-kebaikannya sebagai bayaran kepada orang yang telah dianiayainya. Apabila telah habis kebaikan-kebaikannya sedangkan kesalahan-kesalahannya belum terbayar, maka diambil pula dosa-dosa orang yang dianiayai tadi untuk dibebankan kepadanya sehinggalah akhirnya dia pun dilemparkan ke dalam neraka.”(Hadis riwayat Muslim)

Sunday, January 09, 2011

Wanita kerjaya janganlah abai rumahtangga anda


Orang ramai mengadu dan berkeluh kesah tentang kes cerai yang semakin tinggi di bandar-bandar besar dan ibu kota. Kita seharusnya ingat bahawa kehidupan rumahtangga itu bukanlah penjamin kehidupan bahagia sebaliknya ia cuma sebagai wadah dan peralatan untuk mendapatkan bahagia. Kita harus pandai memanfaatkan peralatan dan peluang berikut untuk memberikan buah dan hasilnya bukan sekadar menanti pucuk dicita dan ulam mendatang dengan begitu sahaja.

Ibarat kereta yang mahal sekalipun adalah tidak berguna jika tidak dapat dipandu dengan baik.

Kemahiran memandu itulah yang menzahirkan kehebatan sesebuah kereta apabila anda dapat menggunakan segala kelebihan dan memahami kekurangannya lalu memandu dengan baik untuk menuju kepada destinasi yang diinginkan. Begitulah lumrah kehidupan apabila dalam hubungan rumahtangga yang paling penting ialah bagaimana anda “memandu” keluarga yang dianugerahkan oleh tuhan untuk menuju kepada kebahagiaan.

Sekadar berkahwin dengan orang yang dikasihi bukanlah syarat bahawa anda akan mendapat bahagia jika perkahwinan dan kehidupan rumahtangga tidak di isi dengan aktiviti yang boleh menyebabkan anda bahagia.

Isteri sibuk, suami busy

Sudah beberapa kali saya terserempak dan terpandang secara tidak sengaja kepada kereta-kereta di sisi saya yang menghimpit dengan laju dan penuh perasaan pada setiap pagi kerana mahu segera menuju ke tempat kerja. Jam di tangan baru menunjukkan pukul 6. 45 pagi tetapi wanita-wanita yang bekerjaya sudah pun bertolak keluar dari rumah-rumah mereka memandu seorang diri dan memecut laju ke tempat kerja.

Saya tertanya-tanya apakah mereka semua ini sudah bersarapan sebelum keluar dari rumah ? Apakah para isteri dan wanita ini sudah pun siap sedia menyiapkan sarapan dan makanan buat suami dan anak-anak mereka ?

Apakah sebelum keluar didahului dengan salam dan ciuman mesra kepada suami dan anak-anak yang tercinta ? Atau keluar dengan tergesa-gesa kerana mahu mengejar masa sedangkan suami masih nyenyak terbaring di atas tilam yang selesa ?

Anak-anak ke sekolah siapa yang mempersiapkan mereka ?

Saya bukan sengaja tetapi selalu terpandang mereka apabila menoleh ke kiri dan kanan dari kaca tingkap kereta saya. Pakaian mereka penuh berketerampilan, menawan dan bergaya demikianlah yang mampu saya gambarkan. Jika boleh ingin saya tegur dan bertanya apakah suami memang mengizinkan mereka berpakaian sedemikian ?

Berpakaian tetapi telanjang

Pilihan warna yang terlalu terang, bergaya bukanlah fesyen dan budaya pemakaian seorang wanita Islam apatah lagi dengan manik-manik dan labuci yang menghiasi baju seolah-olah mahu mengarah pandangan mata penonton ke dada-dada anda. Bertudung sahaja bukanlah satu-satunya syarat pemakaian Muslimah sebaliknya perlu labuh, tidak menampakkan bentuk tubuh, longgar dan warnanya tidak menarik perhatian mata-mata lelaki dan manusia yang memandang.

Janganlah terlalu bergaya sehinggakan mampu menaikkan ghairah para lelaki di tempat kerja.

Make-up dan wangian yang dipakai ke badan pula haruslah jangan sampai terhidu atau dapat menarik pandangan dari mata kaum lelaki yang memandang. Sekali pandang hukumnya harus tetapi jika kerap memandang maka hukumnya sudah pun jatuh haram.

Cantik di luar tetapi buruk di dalam

Kenapa harus cantik diluar tetapi buruk di dalam rumah ? Suami dan anak-anak hanya mendapat layanan kelas kedua apabila isteri dan ibu yang pulang ke rumah berada dalam keadaan masam dan kusam. Layanan itu pun tidak dapat dinikmati sepenuhnya pula kerana badan sudah penat dan mahukan kerehatan.

Apa yang suami dan anak-anak anda dapat setiap bulan ?

Gaji isteri yang lumayan ?

Jika ada make up dan wangian mahal yang dibeli ketika bersiar-siar di pasaraya kegemaran maka pakailah ia sewaktu di dalam rumah semasa bersama anak-anak dan suami tercinta. Biarkan yang menjadikan mereka gembira dan bahagia ialah anda dan demikian sebaliknya.

Biarlah yang mengatakan anda cantik dan indah di mata ialah suami dan anak-anak di dalam rumah berbanding lelaki-lelaki liar dan bernafsu jahat di tempat kerja.

Status isteri hanya pada nama

Ramai orang kini bergelar isteri hanyalah sekadar pada nama dan pangkat rasmi dalam jemputan-jemputan majlis. Ini kerana kita hanya akan dapat melihat wanita itu bersama suaminya sewaktu datang dalam majlis rasmi sebagai suami isteri dan berada di sisi suaminya itu hanya sewaktu ada agenda dan urusan keluarga.

Manakala tugasan seorang isteri yang lazim seperti memasak bukan dilakukan olehnya, mengemas rumah bukan dibuat olehnya, melayani makan dan pakai suami dan anak-anak pun tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Habis siapa yang membuatnya ?

Siapa lagi kalau bukan wanita pembantu rumah upahan daripada Indonesia, petani dan filiphina.

Merekalah yang melayani anak-anaknya, memberi makan dan pakai suaminya dan mengemaskan rumah bagi pihak dirinya. Mujur jika nafsu seks dan syahwat suaminya itu masih lagi mampu dipenuhi oleh dirinya jika tidak akan ada pembantu rumah yang sampai turut terlanjur melayani nafsu dan kehendak fitrah tuannya.

Sekadar mengambil tahu bukanlah bermakna sudah menunaikan tanggungjawab anda

Akan ada nanti wanita yang berkata saya sudah pun berusaha membuat apa yang termampu.

Semua perkara berkait kehidupan rumahtangga itu saya sudah ambil tahu dan peduli. Saya tahu tentang suami saya dan saya peduli berkenaan anak-anak saya. Saya tahu itu dan ini dan begini dan begitu.

Tahu sahaja tidak mengubah apa-apa.

Tanggungjawab rumahtangga bukan sekadar mengambil tahu dan peduli tetapi memikul dan melaksanakannya oleh diri dan usaha tenaga anda sendiri.

Apakah dia tuntutan dan tugasan itu ?

Melayani, memenuhi, memberi, menyokong, mengasihi dan mengawal diri.

Sudahkah anda melakukan semuanya itu ?

Sabda Rasulullah Salallahualaihiwassalam yang bermaksud : “Aku menjenguk ke dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang miskin dan aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Saturday, January 01, 2011

Jangan Berebut Tanah Pusaka


Perebutan dan pergaduhan adik beradik disebabkan oleh tanah pusaka sudah begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Di mana-mana dan bila-bila masa kita selalu sahaja mendengar berita dan cerita yang sama. Isunya ialah pergaduhan kerana harta dan perebutan tanah pusaka peninggalan orang-orang tua yang sudah pun meninggal dunia.

Semuanya kerana harta.

Talian persaudaraan menjadi buruk dan boleh terputus kerana perselisihan dan pertengkaran mengenai siapa yang lebih berhak terhadap harta dan tanah pusaka. Hakikatnya Islam telah datang menyelesaikan masalah mengenai warisan harta apabila Allah swt telah mengajarkan kepada rasululullah salallahualaihiwassalam berkait pengurusan pusaka kematian di dalam al-Quran.

Allah swt telah menyebut yang bermaksud :

“Bagi orang laki-laki ada hak bagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan.” (An-Nisa : 7)

Manakala nabi salalallahualaihiwasalam juga pernah bersabda daripada Ibnu Abbas ra dengan sabdanya yang bermaksud : "Hendaklah kamu membahagi-bahagikan harta (pusaka) di antara ahli waris itu berdasarkan Kitabullah.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Membahagikan harta menurut panduan Al-Quran dan As-sunnah ialah suatu kewajipan sebagai amanah daripada Allah swt dan sebagai bukti keimanan manusia kepada keadilan Islam. Hal ini juga merupakan salah satu perintah yang termasuk dalam ayat-ayat yang mewajibkan manusia berhukum dengan hukum Allah swt.

Malangnya, dalam masyarakat kita hari ini khususnya orang Melayu, pembahagian harta pusaka tidak dilakukan secara telus dan adil mengikut hukum syarak sebaliknya dipengaruhi oleh unsur-unsur penipuan dan penyelewengan. Hal ini terjadi kerana didorong oleh sifat tamak, dengki dan penyakit hati yang dikaburi oleh kemewahan harta dan kecintaan kepada dunia yang menyebabkan manusia lupa kepada azab dan janji-janji seksa bagi mereka yang melanggar amanah dan perintah daripada Allah swt.

Allah swt berfirman yang bermaksud :

“Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dan yang bathil), Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. Jangan (berbuat demikian). apabila bumi digoncangkan berturut-turut, Dan datanglah Tuhanmu; sedang Malaikat berbaris-baris. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, akan tetapi tidak berguna lagi perbuatan mengingat itu baginya.” (Al-Fajr : 19-23)

Daripada Abdullah bin Umar ra yang berkata secara marfu yang bermaksud : “Sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke tujuh lapis bumi.” (Riwayat Bukhari)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ya’la bin Murrah ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “ Sesiapa yang menzalimi orang lain dengan mengambil tanahnya walau sejengkal maka nescaya Allah akan membuatkan dia menggali tanah tersebut dan dalam riwayat yang lain menyebut : “Tanah itu akan dihadirkan sebanyak tujuh lapis bumi yang dalam lalu dibebankan kepadanya pada hari kiamat sehingga seluruh manusia diadili.” (hadis riwayat Tibrani)

Pada hari ini orang menyangka kecerdikan menipu dan memperdayakan termasuk sebagai sebuah kemahiran yang dibanggakan konon dapat membawa keuntungan duniawi tetapi mereka lupa bahawa yang tertipu dan terpedaya sebenarnya ialah diri mereka sendiri.

Syaitan telah menjadikan tanah pusaka sebagai alat untuk menjadikan manusia saling bergaduh, memutuskan silaturrahim dan perhubungan darah yang sepatutnya terikat utuh dan kukuh. Akhirnya manusia yang tamak itulah yang akan menjadi bahan bakar api neraka.

Dalam masyarakat kita bukanlah perkara yang ganjil dan pelik perbuatan menipu dalam persoalan harta khasnya yang melibatkan urusan tanah pusaka. Betapa ramai orang yang mengubah geran, jumlah tanah dan ada yang sampai menukar nama pemilik tanah kepada namanya sendiri demi tamakkan harta.

Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Allah melaknat orang yang mengubah batu penanda batas tanah.” (Hadis riwayat Muslim)

Ketahuilah wahai saudara-saudari sekalian, sesungguhnya adalah tidak berbaloi berebut tanah pusaka yang akhirnya membawa petaka dan bala bencana serta seksa neraka. Biarlah rugi di dunia kerana tidak mendapat warisan harta asalkan kita terselamat daripada seksa dan neraka Allah swt.

Sesungguhnya syurga itu amatlah nikmat jika dibanding dengan segala harta dan pusaka.