Tuesday, November 30, 2010

Mandarin, syarat pekerjaan atau RACIST ?


Di penghujung tahun seperti ini ramai orang biasanya memilih untuk memohon pekerjaan baru dan mencuba nasib dengan memperbaiki taraf hidup mereka melalui berusaha mencari pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang lebih baik atau menukar profession bidang yang diceburi serta mencari suasana tempat bekerja yang lebih baik.

Malangnya suatu perkara yang tidak sihat telah berkembang di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila desas-desus bahawa orang-orang Melayu khasnya pekerja bumiputra seringkali ditindas di dalam bidang pekerjaan semakin jelas kedengaran.

Hal ini semakin ketara dan kerap berlaku apabila ramai orang telah mengadu bahawa mereka ditindas oleh majikan, pihak syarikat dan orang atasan yang berbeza kaum dan melepaskan geram serta rasa tidak puas hati mereka kepada pekerja-pekerja Muslim yang berbangsa Melayu.

Saya bukanlah pembela kaum Melayu cuma saya merasakan isu ini patut diperbincangkan secara serius oleh pihak berwajib.

Syarat Mandarin dalam pekerjaan


Rata-rata syarikat korporat yang beroperasi di Malaysia meletakkan syarat kebolehan bahasa mandarin untuk jawatan penting dan mustahak dalam syarikat mereka sekalipun urusniaga dan operasi yang dijalankan langsung tidak memerlukan kebolehan berbahasa Mandarin.

Ramai anak-anak muda berbangsa Cina boleh menjawat dan memohon jawatan penting dalam bidang operasi dan pengurusan kerana syarat tersebut sedangkan anak-anak Melayu dan India tidak boleh berbuat demikian kerana faktor bahasa Mandarin. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hal yang sedemikian menyebabkan berlakunya “jurang” pendapatan yang ketara di kalangan masyarakat Malaysia apabila orang Cina sekalipun di usia muda sudah berjaya menduduki kerjaya professional dan menjawat posisi penting yang membuahkan pendapatan lumayan berbanding pekerja berbangsa lain yang sekalipun memiliki kelayakan yang sama tetapi terpaksa menanti waktu yang lama sebelum boleh mendapat pendapatan yang setaraf dengan pemuda-pemudi berbangsa Cina.

Syarikat Guaman, kejuruteraan, bidang Insurans dan kewangan, hartanah, pelaburan serta lain-lain tidak memerlukan bahasa Mandarin bahkan jika dilihat kepada prospek dan realiti perdagangan maka bahasa antarabangsa seperti Inggeris, Arab dan France dilihat lebih diperlukan untuk dikuasai. Ini disebabkan pelaburan kewangan dan pelaburan sekarang ini berusaha giat memperkenalkan produk-produk kewangan dan pelaburan Islamik dan menepati syariah.

Hal semacam ini diperkenalkan demi menarik pelabur berbangsa asing khasnya daripada timur tengah dan kekayaan pelabur arab ke dalam Negara. Walaubagaimanapun bank-bank yang beroperasi di Malaysia masih meletakkan syarat Mandarin dalam sesetengah jawatan mereka yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan di Negara China, Hong kong dan sebagainya. Oleh yang demikian di manakah relevennya bahasa Mandarin ?

Bahasa Melayu tidak dikuasai dan digunakan dengan baik

Ramai orang mengakui bahawa di pelabuhan, syarikat guaman dan pusat-pusat kewangan terdapat banyak sekali pekerja berbangsa Cina yang memiliki penguasaan yang amat teruk dalam bahasa Melayu. Anda terpaksa bercakap Inggeris di bumi Malaysia dengan mereka sekalipun didakwa bahawa semua pelajar sekolah di Malaysia perlu dan wajib menguasai bahasa Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu tidak digunakan oleh mereka dan jika dilihat penguasaan bahasa Melayu oleh orang India adalah lebih baik daripada kebanyakkan muda-mudi berbangsa Cina. Ini disebabkan penggunaan Mandarin di Negara ini lebih meluas dan menyeluruh berbanding bahasa Melayu di tempat kerja, pejabat dan urusan harian mereka.

Oleh yang demikian peletakkan syarat kebolehan berbahasa Mandarin adalah dibuat semata-mata memudahkan pihak syarikat dan pengurusan berurusan dengan para pekerja mereka sekaligus memupuk semangat “RACIST” yang ketara sesama bangsa mereka.

Orang Melayu memilih bidang perkhidmatan awam

Kerana gagal temuduga dan disebabkan oleh syarat kelayakan yang tidak menepati kehendak syarikat maka ramai sekali anak-anak Melayu memohon jawatan dan pekerjaan dengan kerajaan demi kerana hanya itu sahaja peluang pekerjaan yang memberikan peluang dan sanggup menerima mereka berbanding syarikat-syarikat Melayu yang tersangat sedikit jumlah dan bilangannya berbanding syarikat milik orang Cina dan luar Negara.

Fenomena ini bukanlah suatu perkara yang sihat kerana tindakan yang sedemikian akan mewujudkan jurang perkauman yang sangat luas dan besar di antara kaum dalam bidang pekerjaan dan menjejaskan perpaduan Negara serta mengugat kesejahteraan Negara di masa hadapan.

Pandangan Islam dalam hal ini

Allah swt berfirman yang bermaksud : "Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. " (Al-Hujurat : 13)

Islam tidak mengira bangsa baik Melayu, Cina atau India sebaliknya agama Islam yang diturunkan sebagai rahmat oleh Allah SWT ini menyarankan kepada kita untuk membina keamanan dan kestabilan yang seimbang di antara manusia. Disebabkan itulah konsep kejiranan yang tidak mengira agama dan keadilan yang tidak melihat kepada kepercayaan atau bangsa diperkenalkan dan diterima oleh Islam sebagai hukum-hakam dalam agama.

Allah swt berfirman : “Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : “Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.”(hadis sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Memberi peluang kepada semua

Islam memberikan peluang dan pertolongan kepada semua manusia dan oleh sebab yang demikian segala rakyat Malaysia seharusnya diberikan pertolongan dalam pekerjaan dan diberikan peluang yang sama rata tanpa mengira bangsa dan agama. Syarikat yang memiliki nilai mulia akan menerima pekerja mereka dengan syarat yang minimum dan sanggup mengeluarkan belanja atau membuat pelaburan di dalam bidang sumber manusia dengan mengadakan latihan atau kursus menaik taraf kebolehan para pekerja mereka.

Sabda baginda : “ Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan.” (hadith sahih, dikeluarkan oleh jamaah kecuali Muslim).

Syarikat tidak akan rugi membelanjakan sedikit wang untuk latihan dan kursus kepada pekerja bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan skill yang diperlukan untuk memenuhi standard operasi atau melaksanakan kewajipan-kewajipan dan tugas mereka dengan lebih baik. Tindakan syarikat sebenarnya akan memberikan pulangan yang lumayan apabila mereka bukan sahaja boleh mendapatkan potongan cukai daripada kerajaan bahkan turut meningkatkan penghasilan produktiviti di masa hadapan dengan peningkatan taraf dan kecekapan pekerja melalui latihan atau motivasi kerja.

Selain itu banyak penjimatan dapat diperolehi melalui tenaga kerja yang berkualiti, berdaya saing dan bersemangat di tempat kerja kerana kebajikan dan keperluan mereka dipenuhi secara saksama dan adil oleh pihak majikan.

Ibarat kata pepatah, anda dapat apa yang anda berikan.

Syarikat dan pengeluar produk yang tidak bermoral, mementingkan keuntungan semata-mata serta gagal menghayati nilai-nilai mulia dan positif serta kesama rataan dan keadilan akan berdepan dengan pelbagai pulangan negatif dan dapatan yang tidak memberangsangkan serta bakal menghadapi kerugian di dalam pasaran masa depan.

Allah swt menjadikan kehidupan manusia di dunia ini berlangsung dengan fitrah dan peraturan. Hal yang sedemikian diakui oleh semua agama dan sejarah hidup manusia iaitu orang yang tidak bermoral dan berakhlak serta suka menindas, tidak adil dalam kehidupan mereka tidak akan beroleh kejayaan dan kebaikan sekalipun di atas dunia.

Allah Swt berfirman :“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ma’idah : 8)

Walau apa pun agama anda, keturunan dan ras bangsa tetapi bersikaplah adil dan saksama kerana sesungguhnya rahmat dan pertolongan Allah swt itu adalah kepada orang-orang yang adil dan menjalankan kewajipan terhadap manusia tanpa kezaliman dan penindasan.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

p/s :

Berdasarkan link dibawah, sudah 3 tahun saranan Perdana Menteri Malaysia dikemukakan tetapi masih belum ada tindakan berkesan daripada Kerajaan bagi membendung gejala sekatan syarat Mandarin dalam pekerjaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Friday, November 19, 2010

Salam Baitullah 19/11/2010


Alhamdulillah saya telah dijemput untuk memberikan pengisian dalam rancangan Salam Baitullah berkenaan Haji Mabrur dalam siri terakhir program TV RTM tajaan Bank Rakyat. Terima kasih diucapkan kepada pihak RTM dan pengacara program Ustaz Farid Ravi atas sokongan dan kepada semua muslimin dan muslimat yang mendoakan saya. Jazakumullahukhairan kasiro.

Tuesday, November 16, 2010

Eid Al-Mubarak "Selamat Hari Raya Korban"


Assalamualaikum,

Eid al-mubarak, taqabbalallahuminna waminkum! kullu am wa antum bil khair~Selamat Hari Raya Korban buat semua muslimin dan muslimat daripada saya dan keluarga.

Allahuakbar ! Allahuakbar !! Allahuakbar !! Walillahilhamd.

Sunday, November 07, 2010

Salah faham & salah ambil pengajaran dari kisah nabi dan rumahtangganya


Ramai orang berkata, sedangkan isteri-isteri nabi pun cemburu inikan pula kita, sedangkan itu dan sedangkan ini. Namun disebabkan kekurangan ilmu, informasi dan lemahnya kefahaman tentang sunnah dan sirah islam maka kita kerap membuat kesimpulan yang salah dan mengambil pengajaran pada perkara yang bukan dikehendaki oleh agama.

Kita kerap mengambil pengajaran berdasarkan keinginan hati kita bukan berdasarkan ketepatan fakta dan kebenaran peristiwa yang menimpa. Itulah namanya hikmah yang gagal dimiliki oleh kita kecuali sedikit dikalangan mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Setiap orang mempunyai tugasan dan perlu bekerjasama dalam agama dan manfaat akhirat demikianlah teladan salaf bukan semua perlu sentiasa hadir dalam majlis ilmu tapi bekerjasama demikian juga bukan semua perlu jadi pendakwah tetapi membahagikan tugas dan bekerjasama

Khalifah Umar bin Khattab ra pernah bercerita tentang sebuah kejadian yang mengemparkan pernah berlaku dalam sejarah rumah tangga baginda rasulullah salallahualaihiwassalam. “Aku dan tetanggaku dari kalangan Ansor berada di tempat Bani Umayyah bin Zaid dan mereka termasuk di antara penduduk daerah yang dekat dengan kota Madinah. Kami bergilir-gilir menghadiri majlis Nabi seperti jika hari ini giliranku maka hari berikut yang berikutnya ialah gilirannya. Maka apabila tiba giliranku maka aku pun akan mendatangi jiran tetanggaku itu untuk memberitahu kepadanya akan berita yang telah aku dapati pada hari itu seperti apakah ianya berupa wahyu atau yang selainnya. Maka apabila tiba gilirannya pula dia pun akan melakukan hal yang sama.

Faktor persekitaran/pengaruh massa punca perselisihan rumahtangga

Kami orang-orang Quraisy juga terkenal dengan menguasai isteri-isteri kami dan dahulunya kami tidak pernah menyertakan mereka dalam urusan kami. Ketika kami datang dan tinggal di kalangan orang-orang Ansor kami mendapati mereka itu telah dikalahkan oleh isteri-isteri mereka. Maka setelah itu mulailah isteri-isteri kami belajar mengambil adab dan sikap daripada wanita-wanita Ansor. Sehinggakan pada suatu hari ketika aku mengherdik isteriku dan bersuara keras kepadanya maka dia pun menjawab dan berdebat denganku.

Dia juga selalu mengikutiku dalam urusanku dengan mengatakan: “Alangkah baiknya kalau engkau melakukan hal sebegitu dan begini.” Melihatkan hal tersebut maka aku pun mengingkari perbuatannya. Lalu dia pun menjawab dan membalas dengan berkata : “ Mengapa engkau (Umar) mengingkari apa yang aku lakukan sedangkan demi Allah, para isteri nabi pun berdebat ke atas baginda sehingga seorang daripada mereka pun ada yang sampai memboikat baginda dari siang hingga ke malam.” Kata isteri Umar.Hal itu mengejutkan aku lalu aku pun berkata kepadanya : “ Sungguh rugi orang yang melakukan perkara tersebut di kalangan mereka.”

Umar membangkang perbuatan isteri yang berbantah dengan suami


Lalu aku pun memakai pakaianku dengan lengkap dan segera menemui anak perempuanku iaitu Hafsah. Seterusnya aku pun berkata kepada Hafsah : “ Wahai Hafsah, apakah benar ada di antara kalian semua (isteri-isteri nabi) yang memboikot nabi dari siang sehingga ke malam ? lalu dijawab oleh Hafsah dengan mengatakan ya. Aku pun berkata : “Sungguh rugi orang yang melakukan hal tersebut.” Kemudian aku menambah : “Apakah kalian akan dapat merasa aman daripada kemurkaan Allah dan kemarahan rasulullah ? Janganlah kamu banyak menuntut kepada nabi dan janganlah kamu berdebat dengan baginda dalam sesuatu urusan pun serta janganlah kamu memboikotnya. Akan tetapi mintalah kepadaku apa yang kamu ingin minta dan janganlah kamu tertipu oleh madumu yang lebih cantik daripadamu dan lebih dicintai oleh rasulullah daripada kamu. (iaitu Aisyah)

Umar pun berkata lagi : “Telah menjadi perbincangan di kalangan kami bahawa Ghassan memakaikan ladam pada kuda mereka sebagai persiapan untuk memerangi kami dan pada suatu ketika kemudian temanku Al-Ansori itu pun pergi ke majlis nabi dan di waktu solat Insyak dia pun kembali kepada kami dan mengetuk pintu rumahku dengan keras sambil berkata : “Apakah Umar berada di dalam ? dan apabila aku keluar dia pun berkata : “Hari ini telah berlaku satu peristiwa besar.” Aku pun bertanya apakah Ghassan telah datang untuk memerangi kita ?

Maka dia pun menjawab bahkan lebih besar daripada itu. “Nabi telah menceraikan isteri-isteri baginda.” Katanya kepada ku. Lantas aku pun berkata alangkah ruginya Hafsah dan sungguh aku telah menyangka hal yang semacam ini akan terjadi.” Oleh yang demikian aku pun segera bersiap dan pada waktu pagi selesai menunaikan solat Subuh bersama dengan baginda nabi maka aku pun mendapati nabi memasuki biliknya dan menyendiri di dalamnya. Maka aku segera ke rumah Hafsah dan mendapati dia sedang menangis. Lalu aku pun bertanya kenapakah dia menangis.

Aku pun turut memarahi Hafsah dan bertanya tentang apakah benar baginda telah menceraikan mereka ? Tetapi dijawab oleh Hafsah bahawa dia tidak mengetahuinya dan memberitahu nabi sedang menyendiri di dalam kubah dan memisahkan dirinya daripada semua isteri-isterinya.

Aku pun keluar daripada rumah Hafsah tersebut dan mendatangi mimbar nabi salallahualaihiwassalam dan di sana ada segolongan orang yang sedang menangis lalu aku pun duduk bersama mereka seketika sehingga aku pun bangkit lalu menuju ke kubah yang di dalamnya nabi berada. Aku pun berkata kepada Rabah, hamba berkulit hitam yang menjadi milik Nabi supaya memohon izin daripada baginda untuk membenarkan Umar masuk menghadap baginda. Maka masuklah Rabah ke dalam dan bercakap dengan Nabi dan kemudian dia pun keluar seraya berkata : “Aku telah berbicara kepada baginda rasulullah tetapi baginda hanya berdiam diri.”

Adab yang dimiliki oleh Umar ra dalam menghadap Rasulullah


Lantas aku pun pergi daripada situ dan kembali berada bersama dengan orang-orang lain yang berada di Mimbar. Kemudian apabila perasaan menguasai diriku kembali maka aku pun meminta kepada Rabah lagi untuk memohon izin daripada nabi agar dapat menemuinya. Tetapi nabi tetap diam dan aku pun kembali ke tempatku. Tidak lama selepas itu aku pun bertanya lagi kepada Rabah dan sekali lagi Rabah pun membalas bahawa nabi tetap diam.

Akhirnya aku pun hampir berpaling dan beredar daripada tempat itu tiba-tiba Rabah pun memanggilku dan berkata nabi telah mengizinkan aku masuk. Maka aku pun masuk menemui nabi dan mendapati baginda sedang berbaring di atas tikar yang nipis tanpa katil sehingga kelihatan bekas-bekas batu di rusuk baginda dalam keadaan baginda berpangku di atas bantal yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak dan diisi dengan sabut di dalamnya.

Aku pun mengucapkan salam kepada baginda dan berkata dalam keadaan berdiri : “Wahai rasulullah, apakah engkau telah menceraikan isteri-isterimu ?” Lalu baginda pun mengangkat pandangan baginda kepadaku dan menjawab : “Tidak.” Aku pun segera bertakbir : “Allahuakbar!” Kemudian aku pun berkata : “ Wahai rasulullah, Dahulunya kita ini golongan Quraisy yang menguasai dan mengalahkan isteri-isteri kita tetapi apabila kita ke Madinah ternyata orang-orang mereka (Ansor) telah ditewaskan oleh isteri-isteri mereka.” Tujuanku ialah untuk menyenangkan baginda.

Maka Nabi pun tersenyum mendengar perkataanku dan aku pun berkata lagi. “ Wahai rasulullah seandainya engkau melihatku nescaya engkau akan tahu bahawa aku telah pun masuk menemui Hafsah dan mengatakan kepadanya : “Janganlah engkau terpedaya bahawa sesungguhnya madumu itu lebih cantik daripadamu dan lebih dicintai oleh rasulullah darimu (iaitu Aisyah).” Lalu baginda nabi pun tersenyum lagi dan melihatkan hal yang sedemikian maka aku pun duduk.

Bijak mengenali situasi, tidak terus bercakap tetapi mencari kesempatan yang sesuai


Aku memandang tempat bilik baginda tersebut dan mendapati tiada apa-apa di situ kecuali kulit yang belum disamak maka aku pun berkata : “Wahai rasulullah, berdoalah moga kamu diberikan keluasan dan kesenangan buat umatmu kerana Parsi dan Rom telah disenangkan dunia mereka serta menikmati kemewahan dunia sedangkan mereka tidak beribadah kepada Allah.”

Kemudian baginda nabi pun duduk setelah sebelumnya baginda berpangku di atas bantal sambil bersabda : “Apakah engkau ragu wahai anak khattab sesungguhnya kesenangan di akhirat adalah lebih baik daripada kesenangan di dunia ? Mereka itu adalah orang-orang yang disegerakan kesenangan mereka di dunia ini.”

Maka aku pun meminta kepada baginda dengan berkata : “Wahai rasulullah, mohonlah keampunan untukku.” Setelah itu baginda rasulullah pun memisahkan diri daripada isteri-isteri baginda selama 29 malam.

Baginda sangat marah kepada mereka kerana telah menyebabkan Allah menegur baginda maka aku pun berkata :”Wahai rasulullah, janganlah menyusahkan dirimu kerana wanita kerana apabila engkau menceraikan mereka maka sesungguhnya Allah bersamamu dengan beserta para malaikatnya, Jibril dan Mikail dan aku serta Abu Bakar dan kaum mukminin pun ikut bersamamu.” (Hadis riwayat Bukhari no. 4913 dan Muslim no. 1479)

Kesimpulannya tidak semua perkara yang kita dapati dan lihat itu dapat dijadikan alasan dan hujah bahawa ianya ialah perkara yang boleh dilakukan. Maka jawapan kepada isteri-isteri yang enggan berpoligami dengan alasan bahawa jika isteri-isteri nabi pun cemburu masakan pula kita wanita biasa adalah tidak valid dan tidak munasabah. Perbuatan cemburu dan menyusahkan suami adalah bukan daripada Islam dan janganlah menggunakan hujah agama untuk menghalalkan segala tindakan dan perbuatan kita ketika kita tersepit oleh peperangan perasaan dan hawa nafsu dari syaitan.

Agama bukan permainan atau bahan alasan untuk dijadikan hujah atas keinginan nafsu dan hasrat kita dalam hal duniawi. Termasuklah mereka yang berkata kita perlukan kekayaan, hubungan erat dengan tokoh politik dan menduduki jawatan penting dalam kerajaan bagi mempermudahkan dakwah. Itu adalah kata-kata nafsu yang menjadikan agama hanyalah sebagai alat kuda tunggangan.

Agama tidak diperjuangkan dalam keselesaan.

Wallahu'alam.