Tuesday, November 30, 2010

Mandarin, syarat pekerjaan atau RACIST ?


Di penghujung tahun seperti ini ramai orang biasanya memilih untuk memohon pekerjaan baru dan mencuba nasib dengan memperbaiki taraf hidup mereka melalui berusaha mencari pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang lebih baik atau menukar profession bidang yang diceburi serta mencari suasana tempat bekerja yang lebih baik.

Malangnya suatu perkara yang tidak sihat telah berkembang di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila desas-desus bahawa orang-orang Melayu khasnya pekerja bumiputra seringkali ditindas di dalam bidang pekerjaan semakin jelas kedengaran.

Hal ini semakin ketara dan kerap berlaku apabila ramai orang telah mengadu bahawa mereka ditindas oleh majikan, pihak syarikat dan orang atasan yang berbeza kaum dan melepaskan geram serta rasa tidak puas hati mereka kepada pekerja-pekerja Muslim yang berbangsa Melayu.

Saya bukanlah pembela kaum Melayu cuma saya merasakan isu ini patut diperbincangkan secara serius oleh pihak berwajib.

Syarat Mandarin dalam pekerjaan


Rata-rata syarikat korporat yang beroperasi di Malaysia meletakkan syarat kebolehan bahasa mandarin untuk jawatan penting dan mustahak dalam syarikat mereka sekalipun urusniaga dan operasi yang dijalankan langsung tidak memerlukan kebolehan berbahasa Mandarin.

Ramai anak-anak muda berbangsa Cina boleh menjawat dan memohon jawatan penting dalam bidang operasi dan pengurusan kerana syarat tersebut sedangkan anak-anak Melayu dan India tidak boleh berbuat demikian kerana faktor bahasa Mandarin. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hal yang sedemikian menyebabkan berlakunya “jurang” pendapatan yang ketara di kalangan masyarakat Malaysia apabila orang Cina sekalipun di usia muda sudah berjaya menduduki kerjaya professional dan menjawat posisi penting yang membuahkan pendapatan lumayan berbanding pekerja berbangsa lain yang sekalipun memiliki kelayakan yang sama tetapi terpaksa menanti waktu yang lama sebelum boleh mendapat pendapatan yang setaraf dengan pemuda-pemudi berbangsa Cina.

Syarikat Guaman, kejuruteraan, bidang Insurans dan kewangan, hartanah, pelaburan serta lain-lain tidak memerlukan bahasa Mandarin bahkan jika dilihat kepada prospek dan realiti perdagangan maka bahasa antarabangsa seperti Inggeris, Arab dan France dilihat lebih diperlukan untuk dikuasai. Ini disebabkan pelaburan kewangan dan pelaburan sekarang ini berusaha giat memperkenalkan produk-produk kewangan dan pelaburan Islamik dan menepati syariah.

Hal semacam ini diperkenalkan demi menarik pelabur berbangsa asing khasnya daripada timur tengah dan kekayaan pelabur arab ke dalam Negara. Walaubagaimanapun bank-bank yang beroperasi di Malaysia masih meletakkan syarat Mandarin dalam sesetengah jawatan mereka yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan di Negara China, Hong kong dan sebagainya. Oleh yang demikian di manakah relevennya bahasa Mandarin ?

Bahasa Melayu tidak dikuasai dan digunakan dengan baik

Ramai orang mengakui bahawa di pelabuhan, syarikat guaman dan pusat-pusat kewangan terdapat banyak sekali pekerja berbangsa Cina yang memiliki penguasaan yang amat teruk dalam bahasa Melayu. Anda terpaksa bercakap Inggeris di bumi Malaysia dengan mereka sekalipun didakwa bahawa semua pelajar sekolah di Malaysia perlu dan wajib menguasai bahasa Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu tidak digunakan oleh mereka dan jika dilihat penguasaan bahasa Melayu oleh orang India adalah lebih baik daripada kebanyakkan muda-mudi berbangsa Cina. Ini disebabkan penggunaan Mandarin di Negara ini lebih meluas dan menyeluruh berbanding bahasa Melayu di tempat kerja, pejabat dan urusan harian mereka.

Oleh yang demikian peletakkan syarat kebolehan berbahasa Mandarin adalah dibuat semata-mata memudahkan pihak syarikat dan pengurusan berurusan dengan para pekerja mereka sekaligus memupuk semangat “RACIST” yang ketara sesama bangsa mereka.

Orang Melayu memilih bidang perkhidmatan awam

Kerana gagal temuduga dan disebabkan oleh syarat kelayakan yang tidak menepati kehendak syarikat maka ramai sekali anak-anak Melayu memohon jawatan dan pekerjaan dengan kerajaan demi kerana hanya itu sahaja peluang pekerjaan yang memberikan peluang dan sanggup menerima mereka berbanding syarikat-syarikat Melayu yang tersangat sedikit jumlah dan bilangannya berbanding syarikat milik orang Cina dan luar Negara.

Fenomena ini bukanlah suatu perkara yang sihat kerana tindakan yang sedemikian akan mewujudkan jurang perkauman yang sangat luas dan besar di antara kaum dalam bidang pekerjaan dan menjejaskan perpaduan Negara serta mengugat kesejahteraan Negara di masa hadapan.

Pandangan Islam dalam hal ini

Allah swt berfirman yang bermaksud : "Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. " (Al-Hujurat : 13)

Islam tidak mengira bangsa baik Melayu, Cina atau India sebaliknya agama Islam yang diturunkan sebagai rahmat oleh Allah SWT ini menyarankan kepada kita untuk membina keamanan dan kestabilan yang seimbang di antara manusia. Disebabkan itulah konsep kejiranan yang tidak mengira agama dan keadilan yang tidak melihat kepada kepercayaan atau bangsa diperkenalkan dan diterima oleh Islam sebagai hukum-hakam dalam agama.

Allah swt berfirman : “Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : “Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.”(hadis sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Memberi peluang kepada semua

Islam memberikan peluang dan pertolongan kepada semua manusia dan oleh sebab yang demikian segala rakyat Malaysia seharusnya diberikan pertolongan dalam pekerjaan dan diberikan peluang yang sama rata tanpa mengira bangsa dan agama. Syarikat yang memiliki nilai mulia akan menerima pekerja mereka dengan syarat yang minimum dan sanggup mengeluarkan belanja atau membuat pelaburan di dalam bidang sumber manusia dengan mengadakan latihan atau kursus menaik taraf kebolehan para pekerja mereka.

Sabda baginda : “ Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan manusia dan bukan untuk mempersusahkan.” (hadith sahih, dikeluarkan oleh jamaah kecuali Muslim).

Syarikat tidak akan rugi membelanjakan sedikit wang untuk latihan dan kursus kepada pekerja bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran dan skill yang diperlukan untuk memenuhi standard operasi atau melaksanakan kewajipan-kewajipan dan tugas mereka dengan lebih baik. Tindakan syarikat sebenarnya akan memberikan pulangan yang lumayan apabila mereka bukan sahaja boleh mendapatkan potongan cukai daripada kerajaan bahkan turut meningkatkan penghasilan produktiviti di masa hadapan dengan peningkatan taraf dan kecekapan pekerja melalui latihan atau motivasi kerja.

Selain itu banyak penjimatan dapat diperolehi melalui tenaga kerja yang berkualiti, berdaya saing dan bersemangat di tempat kerja kerana kebajikan dan keperluan mereka dipenuhi secara saksama dan adil oleh pihak majikan.

Ibarat kata pepatah, anda dapat apa yang anda berikan.

Syarikat dan pengeluar produk yang tidak bermoral, mementingkan keuntungan semata-mata serta gagal menghayati nilai-nilai mulia dan positif serta kesama rataan dan keadilan akan berdepan dengan pelbagai pulangan negatif dan dapatan yang tidak memberangsangkan serta bakal menghadapi kerugian di dalam pasaran masa depan.

Allah swt menjadikan kehidupan manusia di dunia ini berlangsung dengan fitrah dan peraturan. Hal yang sedemikian diakui oleh semua agama dan sejarah hidup manusia iaitu orang yang tidak bermoral dan berakhlak serta suka menindas, tidak adil dalam kehidupan mereka tidak akan beroleh kejayaan dan kebaikan sekalipun di atas dunia.

Allah Swt berfirman :“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ma’idah : 8)

Walau apa pun agama anda, keturunan dan ras bangsa tetapi bersikaplah adil dan saksama kerana sesungguhnya rahmat dan pertolongan Allah swt itu adalah kepada orang-orang yang adil dan menjalankan kewajipan terhadap manusia tanpa kezaliman dan penindasan.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

p/s :

Berdasarkan link dibawah, sudah 3 tahun saranan Perdana Menteri Malaysia dikemukakan tetapi masih belum ada tindakan berkesan daripada Kerajaan bagi membendung gejala sekatan syarat Mandarin dalam pekerjaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

4 comments:

sahidzan said...

"Syarat mahir bahasa Mandarin". Baik tulis "jawatan ini untuk org cina saja".

HijabRockers said...

Assalamu'alaikum ustaz...

Tapi kan ustaz,masalahnya dia kata syaratnyer boleh berbahasa Mandarin, bukannya berbangsa cina. Org bukan cina skang dah ramai yang boleh cakap Mandarin sbb skolah cina ms kecik2. Pastu amik course bahasa Mandarin etc. Ni sebenarnya bleh jadik satu motivasi utk orang kita. Memang ada iklan keje yang tulis "Chinese preferred". Tapi sgt2 jarangla nampak tulis "Chinese ONLY". Kalau ada, rsnya yang ni menyalahi undang2 dah ni.

Maybe lenkali kalau kita amik staff Melayu je, kita kene tanya satu soalan suruh jawab pantun. Masa tu baru menggelabahla bangsa-bangsa lain yang boleh berbahasa Melayu tapi tak fasih =). Kalau yg bleh jwb pantun tu kira okla tu =). Maybe diorang akan nampak point kita nnt kot?

Owh very the 1 Malaya =). Tepuk tangan kuat2 utk Malaysia.

WUZARA said...

Salam...

Sekadar berkongsi sedikit pengalaman dan pandangan.
Saya pernah bekerja dengan syarikat Jepun, Multinasional, tokey cina dan sekarang bersama syarikat Melayu. Sebelum ini lebih 80% work contact saya bukan bangsa Melayu.

Syarikat milik tokey Cina yang syaa pernah bekerja memang agak ketara sikap racistnya kepada pekerja. Untuk membahagikan masa antara kerja yang mencabar, usaha dakwah, persiapan untuk ceramah, bukanlah suatu yang mudah. Alhamdulillah, sebagai Muslim kita diajar menjadi seorang yang komited, berpandangan jauh dan mempunyai integiriti yang tinggi. Rezeki dari yang maha Esa, saya dinaikkan pangkat melebihi rakan2 berbangsa Tionghua, malah kenaikan gaji dan bonus juga lebih tinggi dari mereka. Sekarang saya sudah bersama syarikat lain yang berbeza.

Sedikit pandangan yang ingin saya kongsi:
-Bangsa lain seperti Cina dan India, juga ramai yang komplen mereka sukar diterima masuk dalam sektor kerajaan, dan peluang untuk kenaikan pangkat agak sukar berbanding orang Melayu.
- Bangsa melayu pula komplen mereka sukar diterima, atau naik pangkat di sektor swasta.

Di sini kita boleh lihat masing2 pihak menyalahkan satu sama lain. Saya ulas perkara ini dalam posting di blog saya tidak lama dulu.http://jemaah-islam.blogspot.com/2010/10/definisi-berserabut-1-malaysia.html . Saya berikan pandangan Islam, yang pada saya memang mempunyai sistem dan mekanisme yang sepatuytnya permasalahan seperti ini bukan isu yang sukar diselesaikan, dan malahan tidak speetutnya menjadi isu. Wallahua'lam.

Unknown said...

Saudara Hijabrockers,

Sila buka minda anda,

1) Syarat boleh berbahasa Mandarin tu sendiri telah menapis semua bangsa yang tidak boleh berbahasa Mandarin.

2) Bangsa lain yang boleh berbahasa Mandarin juga diketepikan resumenya.

3) Syarat itu hanyalah sandiwara untuk menutup tujuan asal iaitu hanya mengambil bangsa cina sahaja.

4) Di Malaysia sebenarnya kebanyakan urusan dengan kerajaan adalah dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Kenapa perlu ada syarat sebegitu?