Wednesday, September 29, 2010

Jadilah manusia yang hebat


Disebut di dalam hadis daripada Abu Hurairah ra yang pernah berkata bahawa Rasulullah Salalalahualaihiwassalam pernah ditanyakan berkenaan Siapakah orang yang paling mulia? Lalu jawab baginda: Orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertaqwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Baginda pun menjawab: Manusia yang paling mulia ialah Nabi Allah bin Nabi Allah bin Khalil Allah iaitu Yusuf bin Ya'qub bin Ishak bin Ibrahim. Kata mereka : Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Kemudian Baginda Nabi salallahualaihiwassalan pun bersabda : Kalau begitu, apakah kamu ingin bertanya tentang siapakah orang Arab yang paling mulia kepadaku? Lalu baginda pun menyebut : “Sesungguhnya orang paling mulia dikalangan kamu pada masa jahiliyah, dialah orang yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia itu tafaqquh fiddin (yakni memahami agama).” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari)

Jika kita perhatikan hadis nabi di atas, baginda nabi ingin menjelaskan bahawa kualiti seseorang manusia itu tetap terzahir sekalipun dia belum memeluk Islam. Ada di kalangan kita manusia yang cabul mulutnya, lemah akal dan peribadinya kemudian apabila dia mendatangi kuliah ustaz-ustaz sunnah dan mendapat hidayah berupa keinginan untuk mengamalkan Islam dan sunnah lalu dia pun berlagak bongkak serta merasa diri lebih baik daripada orang lain dan mahu digelar perwira golongan sunnah yang menentang bid’ah.

Haakikatnya orang seperti ini tidak menambah apa-apa kepada dakwah Islam itu melainkan fitnah.

Jiwa yang buruk tidak dapat menyerap kebaikan Islam

Perangai yang buruk tidak akan berubah sekalipun seseorang itu menguasai Kitab hadis sahih Bukhari dan Kitab Muslim atau menghafaz Al-quran sebanyak tiga puluh juzuk. Orang yang lemah akalnya, kurang sabar dan cepat marahnya, gopoh dan gelojoh jiwanya tetap akan terbawa-bawa kelemahan dan keburukkan itu sehingga walau bergelar pendakwah dan ustaz yang berceramah dia tetap meneruskan tabiat buruk tersebut sekalipun yang keluar dari lidahnya ialah kalam Allah dan hadis-hadis rasulullah.

Kerana itulah umat Islam berpecah.

Di dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging yang disebut di dalam hadis sebagai penentu tabiat dan perangai manusia. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad dan jika buruk daging itu maka buruklah seluruh jasad. Jiwa kita adalah ibarat “bekas” dan ilmu Allah yang berupa Al-Quran dan As-sunnah itu ialah cahaya yang memberikan hidayah buat menerangi kegelapan.

Sekalipun banyak ilmu yang masuk ke jiwa tetapi jasad yang buruk ibarat “bekas yang rosak” yang tidak mampu menyerap cahaya dan manfaatnya guna menerangi jalan. Apa gunanya ilmu ? apa gunanya fakta ? apa gunanya pengetahuan dan kehebatan sijil-sijil agama yang diiktiraf dan ijazah dari universiti terkemuka ?

Perangai buruknya tidak pernah berubah !

Orang menyangka apa yang dia cemuhkan ialah bid’ah, orang menganggap apa yang dia kata ialah Islam dan sunnah, tetapi mereka lupa penceramah itu ialah seorang anak muda yang biadap sejak zaman remaja, tidak pandai menghormati orang tua, tidak penyayang kepada jiran tetangga dan selalu pula membawa kacau dan menimbulkan masalah sejak awal usia.

Masyarakat akhirnya tersalah sangka antara sunnah dan perangai seorang pendakwah.

Kejahatan tidak dapat menampung jiwa yang hebat

Umar Al-khattab ra akhirnya memeluk Islam, tidak hairan kerana memang sudah sampai masanya sahaja ini kerana sifat Jahiliyyah itu tidak akan mampu menampung seorang manusia yang hebat.

Jahiliyyah, kebathilan dan kejahatan adalah kegelapan, sifatnya itu tidak akan mampu berjalan seiringan dengan “bekas yang cemerlang” yang mampu menyerap cahaya kebenaran.

Orang yang hebat tidak akan mampu ditanggung oleh kejahatan kerana peribadi dan jiwa-jiwa cemerlang ini akan menyusahkan kebathilan, akan menghalang kejahatan dan akan menganggu perjalanan dan percaturan jahiliyyah.

Kami tidak mampu menanggung engkau wahai anak khattab ! Kata Jahiliyyah.

Kami tidak mampu menipu anda lagi wahai Salman Al-Farisi ! Kata Kekufuran.

Kami tidak mampu menyesatkan engkau lagi wahai Abu Hassan Al-Asya’ari ! Kata Kebathilan.

Sejarah menunjukkan kepada kita, biarlah peribadi yang hebat itu lahir dalam kelompok sesat seperti Syiah, keluarga kafir seperti Yahudi dan Nasrani, masyarakat khurafat seperti tariqat batiniyyah dan sufi namun itu tidak akan menyekat potensi dirinya daripada berkembang untuk mencari hidayah Allah SWT.

Nabi Salalallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “ Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat yang menimpa bumi maka ada bahagiannya yang subur dan yang mudah untuk menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras yang hanya mampu menampung air tetapi tidak mampu menyerapnya, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak dapat menerima air dan tidak pula dapat menumbukan tanam-tanaman di atasnya.Demikianlah perumpamaan untuk orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu dia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan perumpamaan untuk orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu dan perumpamaan untuk orang yang tidak dapat menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku". (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadilah manusia yang hebat

Asuhlah potensi diri dan basuhlah jiwa dan hati dengan keinsafan dan ketundukkan kepada Allah SWT.Kerana itu pesanan agung supaya menginsafi dan memperbaiki diri sendiri sebelum sibuk melihat dan menegur orang lain ialah satu kewajipan.

Ramadhan telah pergi, peluang untuk melatih jiwa agar tidak tunduk kepada nafsu sudah pun berlalu maka kini di bulan Syawal kita harus mengekang sekuat mungkin jiwa dan nafsu dari mempergunakan agama untuk kepentingan diri.

Ada penceramah berkata sunnah begini dan begitu. Ada ustaz memberitahu Islam ini seperti ini dan seperti itu. Masing-masing cuba menyakinkan masyarakat bahawa ilmu yang dipelajarinya dahulu tidak sia-sia serta tidak mungkin salah dan adalah mustahil tersilap. Jika ada orang yang berselisih dengannya maka membaralah api, terkeluarlah dalil-dalil kitab dan sunnah menjadi kuda tunggangan buat memerangi golongan yang menyelisih.

Ya Allah, tunjuki aku jalan yang engkau redhai ! Peduli apa aku dengan ilmuku yang lalu, biarlah puluhan tahun masa pengajianku sekalipun, andai ada pengetahuan dan ilmu yang lebih benar dari itu maka kurniakanlah ia kepadaku, permudahkanlah untukku dan ahli keluargaku mendapat kebenaran.

Aku sanggup membuang segala ilmuku ke tong sampah untuk mendapat ilmu yang baru daripada-Mu jika ilmu yang baru itulah ilmu yang Engkau redhai !

Aku hidup hanya untuk mencari redha-Mu !

Ya Ilahi.

Emran Ahmad
KL, 2010.

Monday, September 06, 2010

Selamat Hari Raya dan Eid Al-Mubarak


Assalamualaikum warahmatullah,

Ramadhan semakin di penghujung dan kelibat syawal semakin dirasai, adalah sudah sampai masa dan waktunya saya memohon kita semua bermuhasabah dengan kualiti puasa serta amal ibadah di sepanjang bulan yang mulia ini. Apapun saya mengucapkan selamat hari raya puasa dan Eid Al-Mubarak kepada seluruh muslimin dan muslimat, semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT dan menjadikan kita sebagai orang-orang yang bertaqwa.


تقبل الله منا ومنكم

Thursday, September 02, 2010

Madrasah Ramadhan Membina Insan Bertaqwa


Saban tahun umat Islam di Malaysia berpuasa di seluruh negara dan amalan ini telah pun berlangsung selama beberapa generasi semenjak kedatangan Islam ke tanah Melayu pada tahun 1326 masihi mengikut sebahagian pendapat sejarah.

Apa yang menjadi isu kepada kita ialah mengapa perangai dan sikap umat Islam masih tidak berubah dan menjadi bertambah baik dengan kedatangan bulan Ramadhan saban tahun. Masalah sosial umat Islam Melayu seperti pembuangan bayi, zina, lari dari rumah, rosak akhlak semakin menjadi-jadi dan bertambah buruk dari zaman ke zaman dan Ramadhan tetap datang setiap tahun.

Puasa Ibadat Vs Puasa Adat

Rupa-rupanya apabila kita melihat dengan lebih dekat dan terbuka maka kita akan mendapati bahawa puasa umat Islam Melayu hanyalah berdasarkan adat dan bukannya ibadat. Masyarakat melayu mengagungkan bulan ramadhan dengan mempopularkan fadhilat dan kebesaran bulan ini melebihi dari pengisian yang sepatutnya dibuat oleh mereka.


Orang Melayu kagum kepada bulan Ramadhan itu, keramatnya dan keberkatannya sehingga mereka lupa kenapakah bulan itu boleh menjadi berkat,bermanfaat dan mendatangkan kebaikan.

Bulan Ramadhan adalah mulia, berkat dan rahmat hanya apabila kita mengambil peluang dari Allah SWt dengan beribadat di dalamnya adapun jika tidak maka bulan ini tidaklah memberikan sebarang kebaikan apa-apa kepada kita.

Tetapi orang Melayu tidak beraqidah seperti itu.

Pada mereka, Bulan ramadhan ini sama seperti benda atau perkara keramat dan berkat lain yang berada di alam Melayu yang pantang dicemari kesuciannya dan mesti dihormati dan dijadikan sebagai pantang larang di dalamnya.

Ramadhan menduduki taraf seperti benda keramat lain yang dihormati seperti Al-Quran, Masjid, Air Zam Zam, sejadah, Naskah Yassin, Malam Jumaat, Tasbih, kayu Kokka, mentaati ibubapa dan sebagainya.

Kalau Al-Quran misalnya orang Melayu beranggapan jangan dipegang jika tiada wudhuk, masjid jangan dimasuki selain untuk solat, air zam zam jangan dilangkah, naskah yassin mesti diletak ditempat tinggi atau disimpan di dalam kereta atau rumah bagi menghalau syaitan, tasbih jangan diletak merata-rata, malam jumaat mesti baca yassin dan jangan merayau kerana ada hantu,kayu kokka punyai azimat dan kuasa, ibubapa mesti ditaati jika dilawan boleh derhaka dan hidup menjadi tidak berkat.

Itulah antara benda-benda keramat masyarakat Melayu termasuklah bulan ramadhan.

Bagi orang Melayu apa yang penting ialah bulan Ramadhan mestilah disambut, diraikan dan dihormati akan bulannya dan pantang larang serta perintah dan amalan di dalamnya dikerjakan kerana bulan tersebut ialah bulan mulia.

Puasa Adat Menyembah Bulan, Puasa Ibadat Menyembah Allah

Pendidikan orang Melayu mengajar anak-anak untuk berpuasa kerana bulan itu bulan Ramadhan yang mulia bukannya kerana Allah SWT.

Maka berpuasalah orang Melayu kerana kebesaran bulan itu dan bukannya kerana kebesaran Allah SWT.

Ini adalah sikap dan amalan jahiliyyah yang wujud di dalam masyarakat Musyrikin Mekah apabila mereka memuliakan bulan-bulan haram semenjak zaman selepas Nabi Ibrahim lagi.

Perbuatan menghormati dan mensucikan bulan-bulan haram sememangnya ada disuruh di dalam Islam seperti yang disebutkan oleh baginda nabi Salallahualaihiwassalam : “Sesungguhnya zaman telah berputar seperti keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi, dalam setahun itu terdapat dua belas bulan. Empat diantaranya adalah bulan haram (disucikan). Tiga dari empat bulan itu, (jatuh secara) berurutan iaitu Dzulqa’dah, Dzulhijah, Muharram. Sedangkan Rajab (yang disebut juga sebagai) syahru Mudhar, terletak diantara Jumada (ats Tsaniyah) dan Sya’ban.”(hadis riwayat Bukhari)

Imam Ibnu Katsir ra mengatakan, “Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu ada empat. Tiga bulan secara berururtan dan satu bulannya berdiri secara sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka , ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, yaitu bulan Dzulqa’dah, kerana ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Dzulhijah diharamkan(disucikan) kerana pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai urusan ritual manasik Haji. sebulan setelahnya, iaitu bulan Muharram juga disucikan kerana pada bulan ini mereka kembali dari Haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai.

Adapun bulan Rejab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) kerana orang yang berada di seluruh pelosok tanah Jazirah Arab berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang untuk berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.” (Lihat dalam Tafsir Ibn Katsir)

Orang-orang Musyrikin Mekah menganggap bulan-bulan yang empat ini(Dzulqa’idah,dzulhijjah, Muharram, Rejab) sebagai bulan suci yang harus dihormati dan haram serta berdosa berperang di dalamnya.

Islam menerima dan mengiktiraf perbuatan mereka pada bab,mengakui bahawa bulan ini sebagai bulan suci melalui firman Allah SWT :

“Mereka bertanya tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah:’ Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar…’” (Al Baqarah:217)

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan Haram…” (Al Maidah:2)

Tetapi Islam sama sekali tidak menerima KONSEP MEMBESARKAN BULAN-BULAN SUCI semata-mata tanpa wujud pengisian dan menjadikan bulan-bulan tersebut bermanfaat untuk agama Allah SWT atau membesarkan Allah SWT dan menyembah serta mentauhidkan-Nya.

Oleh itu maka Allah menempelak golongan musrikin yang terlalu mengagungkan bulan-bulan tersebut melebihi Allah SWT dan lalai akan maksud sebenar kenapa bulan-bulan itu sepatutnya disucikan ialah untuk membolehkan manusia membesarkan Allah SWT.

Maka Allah pun befirman :

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”(Al-Baqarah : 217)

Ayat di atas turun bagi membela perbuatan seorang sahabat rasulullah yang bernama Abdullah bin Jahsy Al-Asadi kerana berperang dan menumpahkan darah di bulan Haram.

Ya bulan haram itu suci, tetapi kesuciannya itu tiada manfaat apabila kita kufur atau syirik kepada Allah SWT.

Bulan yang suci itu seperti bulan Ramadhan Al-Karim adalah tidak bermakna kepada manusia yang berpuasa, beribadah terawih dan melakukan amalan-amalan pantang larang puasa hanya semata-mata kerana ianya adat yang dibuat bagi mengikuti amalan nenek moyang tanpa mengalami dan merasai kebesaran Allah SWT apatah lagi mensyukuri nikmat dan rezeki dari-Nya.

Ramadhan disucikan oleh orang Melayu dengan meraikannya melalui pelbagai tokok tambah dan budaya yang menjadikannya sebagai salah satu rutin tahunan.Maka amalan seperti terawih dipakejkan dengan Morey (jamuan makan) dan amalan seperti program ihya Ramadhan di pakejkan dengan rancangan-rancangan keagamaan, tazkirah , nasyid dan seumpamanya.

Seolah-olah musim Ramadhan ialah musim budaya keIslaman

Artis akan memakai tudung, Astro memberi ruang yang lebih kepada program agama, masjid mula dipenuhi oleh pengunjung, peniaga-peniaga baju melayu mula meraih untung, barangan timur menjadi laris seperti kismis, kurma dan busana seperti jubah.

Maka oleh itu lahirlah satu suasana baru dalam masyarakat kita apabila hasil pakej “adat+agama” menyebabkan semua orang berpuasa tetapi semua orang juga tetap melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Kita akan melihat wujudnya kaum pelacur yang berpuasa kerana sekarang bulan Ramadhan, kaum ahli perniagaan kaya yang kaki rasuah dan dia juga berpuasa, ahli politik menipu yang dia juga berpuasa dan ahli segala macam ahli baik maksiat,judi, riba dan perlaku syirik seperti pemuja kubur, dukun, bomoh dan semuanya turut berpuasa.

Semuanya berpuasa kerana bulan ini ialah Bulan Ramadhan.

Tidak keterlaluan jika kita berkata, mungkin gadis yang baru bersenggama dengan pasangannya itu juga berpuasa kerana mereka menanti dahulu sehingga waktu berbuka dan kedengaran azan maghrib sebelum berbuat zina.

Itulah ramadhan dan nilainya bagi masyarakat Melayu

Mulia Ramdhan, Mulia ramadhan tetapi hina muslim dan rugi Muslim apabila kita gagal memahami bahawa Islam mengajar kita bahawa ramadhan ialah sebuah peluang dari Allah SWT.

Peluang rahmat dan peluang keampunan

Apabila Allah mahu memberikan peluang dan rahmat kepada hamba-hamba-Nya maka apakah Dia yang Maha Agung akan mencampakkan rahmat itu ke dada kita semua tanpa perlu usaha atau perlu sebarang sebab ?

Tidak sama sekali.

Allah memberikan rahmat kepada kita dengan cara memberikan peluang untuk kita berusaha mendapatkan rahmat-Nya dan peluang itu antaranya ialah diberikan bulan Ramadhan kepada kita supaya memanfaatkannya untuk mendapat rahmat dan keredhaan-Nya.

Matlamat Ramadhan

Jika Allah menyebutkan bahawa matlamat Ramadhan ialah taqwa maka jadilah ramadhan itu seperti sekolah yang mengajarkan manusia di dalamnya cara untuk mendapatkan taqwa.

Apakah pula subjek-subjek taqwa itu ?

Di dalam bulan Ramadhan, Allah SWT menguji manusia dengan perintah supaya meninggalkan larangan-larangan dan perkara yang membatalkan puasa. Suatu perintah pelik apabila manusia perlu berlapar dan berdahaga serta menahan diri daripada memenuhi keperluan fitrah mereka.

Kenapa ?

Manusia perlu menahan diri dan berlapar, dahaga dan mengawal nafsu untuk mentaati perintah Allah itu sahaja.

Kerana ianya perintah Allah untuk melihat siapakah yang sanggup menyusahkan dirinya untuk Allah SWT dan siapakah pula yang tidak sanggup berbuat demikian kerana merasa dia mempunyai dunia dan isinya.

Puasa mengajar kita supaya sedar bahawa kita tidak memiliki dunia.

Makanan yang ada, tanpa izin Allah (jika belum masuk waktu) biarpun seedap mana tidak akan dapat dirasai oleh kita.

Isteri yang cantik tidak dapat disentuh dan dipergunakan untuk memuaskan diri.
Segala milik kita menjadi kepunyaan Allah SWT dari terbit fajar sehinggalah ke terbenamnya matahari.

Kita menahan diri kita dari apa yang kita miliki demi kerana Allah SWT.

Pengajarannya mudah supaya manusia sedar bahawa dunia ialah pinjaman di samping supaya diri dapat dibimbing dan dilatih menyedari bahawa kawalan diri itu penting dalam kehidupan.

Puasa membantu mengawal diri sendiri.

Kerana musuh kita bukanlah syaitan yang diikat itu, bukan jua nafsu yang meluap-luap menjilat, tetapi ialah diri kita sendiri.

Apakah kita punya KEMAHUAN untuk mentaati perintah Allah dengan kemampuan mengawal diri ? atau kita tiada KEMAHUAN ? atau kita punyai kemahuan tetapi gagal mengawal diri ?

Demikianlah syurga dan neraka disusun mengikut jenis manusia seperti ini.
Maka mereka yang berjaya akan beroleh taqwa iaitu punyai KEMAHUAN DIRI untuk tunduk kepada Allah SWt dan MAMPU MENGAWAL DIRI.

Wallahualam.