Friday, August 27, 2010

Orang kafir boleh masuk masjid


Membaca surat khabar hari ini 27/8/01 membuatkan jiwa saya terdorong untukmenurunkan sedikit catatan meluahkan pendapat dan rasa tidak bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor.

Orang kafir boleh masuk ke masjid sebenarnya menurut hukum Islam tetapi sebelum saya bahaskan hal tersebut marilah cuba mendengar keluhan saya terlebih dahulu.

Sudah lama sebenarnya, jabatan Agama Islam di Malaysia lebih berperanan menyusahkan umat Islam, mengenakan pelbagai peraturan yang tidak membawa manfaat kepada dakwah dan kepentingan umat Islam sebaliknya lebih bertujuan menunjukkan kekuasaan agama dan pengaruhnya di dalam negara Malaysia. Saya tidak suka dengan sikap Jabatan Agama Islam yang lebih suka menjadi detektif penyiasat mencari salah masyarakat sekalipun mungkin itu adalah minda dan budaya mereka yang bekerja di bawah sistem Malaysia.

Saya juga kurang gemar dengan peraturan demi peraturan agama yang lebih berbentuk menghukum daripada mendidik dan menyelesaikan masalah.

Saya yakin tidak ramai ahli agama dan pegawai di pejabat agama yang didedahkan dengan latihan pengurusan yang berkesan. Mungkin mereka juga tidak pernah mendengar tentang prinsip pareto yang mengatakan bahawa dalam 100 % masalah yang timbul, hanya 20 % sahaja masalah yang merupakan pokok masalah sebenar adapun 80 % perkara yang baki lagi adalah lebih kepada masalah berbangkit yang timbul dari kesan masalah 20 % yang asal itu.

Jadi menurut prinsip pareto, jika kita ingin menyelesaikan masalah secara tepat kita perlu mensasarkan usaha penyelesaian pada perkara 20 % yang menjadi punca masalah lalu barulah 80% masalah berbangkit lain yang timbul akan dapat diselesaikan.

Aqidah dan perjuangan Islam dibuat mudah, Hal feqah dan persoalan remeh dipersusahkan

Saya hairan dengan Jabatan Agama Islam di Malaysia, persoalan berkait kepentingan Umat Islam dan dakwah menyeru manusia kepada agama seperti menyeru masyarakat agar mentauhidkan Allah SWT, mengajak masyarakat mengamalkan Islam seperti menegakkan solat, melaksanakan syariat-syariat Islam dan memahamkan mereka tentang agama melalui tarbiyah dan dakwah berbentuk ilmu dipandang mudah dan tidak dipedulikan.

Anak-anak remaja Muslim di sekolah rendah dan sekolah menengah jarang didekati oleh mana-mana pegawai dan Jabatan Agama Islam di Malaysia. Sepatutnya mereka boleh mengadakan program latihan untuk pelajar sekolah, lawatan, seminar dan pendedahan berkenaan Islam dan dakwah kepada golongan ini. Ibarat kata orang mencegah lebih baik daripada mengubat maka apa sahaja program, aktiviti dan usaha mendekati generasi muda Islam untuk menyampaikan kesedaran agama kepada mereka perlu dilakukan.

Tetapi mereka tidak muncul.

Anda akan melihat pegawai-pegawai agama ini muncul memakai jaket tanpa lengan (vest) dengan lagak pengawai detektif dan polis apabila telah berlaku gejala sosial dan peristiwa hitam seperti pelajar sekolah berzina, murid sekolah mencabul atau pelbagai kes lain.

Galak sekali muka-muka mereka muncul dengan popular di dalam majalah dan suratkhabar tabloid seperti Harian Metro untuk mendedahkan salah laku umat Islam di sana sini tetapi apa dan ke mana sudahnya ?

Masalah sosial dan kebejatan agama berlaku di sana sini dan tahukah anda apakah yang ada di dalam kotak pemikiran pegawai agama dan jabatan agama di Malaysia ? Mereka berkira-kira mahu menambah pegawai mereka dan mahu diberikan bajet lebih banyak untuk meningkatkan kekuatan pasukan mereka bagi memantau dan menjaga serta menguat kuasakan undang-undang syariah Islam di dalam negara.

Bilakah golongan seperti pegawai agama Islam di Malaysia ini akan sedar kebejatan mereka ?

Masjid dan hukumnya yang tunggang tebalik dengan Sikap Agamawan Malaysia

Masjid ialah merupakan tempat sujud bagi orang Islam secara bahasa manakala dari sudut istilah ilmu masjid merujuk kepada rumah ibadah Islam yang di dalamnya dikerjakan solat serta pelbagai ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah : 17)

Masjid disebut rumah Allah kerana di dalamnya orang mengabdikan diri kepada Allah SWt namun Islam bukanlah agama yang sempit ini dibuktikan oleh hadis nabi Sallahualaihiwasalam yang menyebut : “ Dimana sahaja kamu mendapati masuknya solat maka bersolatlah kerana di situ ialah masjid” dalam riwayat yang lain Nabi menyebut seluruh tanah di atas muka bumi ini dijadikan tempat sujud (masjid) bagi umat Islam sebagai menunjukkan kemudahan Islam kepada umatnya. (Lihat sahih bukhari dan Muslim serta lain-lain kitab hadis)

Apapun jika kita mahu jujur dan bersikap adil maka kita perlu menegur perkara berkenaan masjid dari semua sudut.

Bermegah-megah dalam binaan masjid

Islam melarang umatnya bermegah-megah dan membangunkan masjid menjadi hiasan dan tempat mewah. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasaie serta lain-lain ulama hadis bahawa nabi diriwayatkan pernah bersabda : “ Tidak akan tiba hari kiamat sehinggalah manusia berbanga-banga dengan pembinaan masjid.” Manakala dalam hadis yang lain seperti yang diucapkan oleh Ibn Abbas ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam pernah mengatakan bahawa baginda tidak dibenarkan menghiasi masjid seperti mana yahudi dan nasrani menghiasi masjid mereka. (Lihat hadis dalam Sunan Abu Daud dan Ibn Hibban)

Para sahabat dahulu apabila membina masjid, mereka besederhana di dalam binaanya agar tidak menjadi tempat perhiasan dan tempat manusia berbangga dengan pembinaannya dan melalaikan manusia daripada tujuan asal masjid dibangunkan iaitu sebagai tempat ibadah, menjalinkan ukhuwah dan persaudaraan Islam di atas ketaqwaan dan keimanan.

Mana perginya Jabatan Agama Islam di Malaysia apabila kerajaan membangunkan masjid Kristal dan pelbagai lagi masjid yang dibina cantik dan dijadikan hiasan serta kebanggan ibarat muzium sehingga dikawal rapi 24 jam serta tidak dibenarkan tidur mahupun berehat di dalamnya ?

Mereka tidak mendapat aduan atau laporan berkenaan hal tersebut, demikianlah agaknya jawapan mereka.

Makan dan minum dalam masjid serta tidur di dalamnya

Para ulama Islam membolehkan perbuatan makan dan minum di dalam masjid serta bahkan tidur di dalamnya. Masjid yang merupakan tempat suci kedua umat Islam sendiri dahulunya dijadikan pusat tidur para golongan ahlul suffah yang tinggal dan bermalam di dalamnya.

Kata Ibn Umar ra, kami dahulunya di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam tidur di dalam masjid serta berqailulah di dalamnya semasa kami masih muda dan demikian juga yang ditegaskan oleh Imam An-nawawi bahawa para sahabat rasulullah biasa tidur di masjid.

Bahkan seorang yang bukan Islam bernama Samamah bin A’sal pernah tidur di dalam masjid di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam sebelum beliau memeluk Islam.

Bahkan Al-Imam Syafie ra sendiri menyebut di dalam kitabnya Al-Umm, Bolehnya orang musyrik bermalam di masjid dan begitu juga dengan seorang muslim. Juga beliau menyebut tidak mengapa seorang yang musyrik (bukan Islam) bermalam di mana-mana masjid kecuali di masjidil haram.

Manakala Abdullah bin Harris ra menyebut bahawa : “Kami makan roti dan daging di dalam masjid ketika zaman rasulullah salallahualaihiwassalam.” (Lihat kitab Fiqh Sunnah karya Syed Sabiq)

Hukum orang bukan Islam masuk ke dalam masjid

Para ulama Islam seperti Syeikh Muhammad Soleh Al-Munanjid, menyebutkan bahawa orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuki masjid selain daripada masjid haram dan masjid nabawi. Perbuatan ini berdasarkan amalan di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam serta tidak terdapat larangan yang khusus berkenaan hal tersebut.

Keharusan orang bukan Islam memasuki masjid sekiranya mempunyai keperluan adalah berdasarkan memenuhi sifat syariah Islam yang menetapkan bahawa hukum larangan atau keharaman adalah mesti didokong oleh dalil dan perintah daripada nas Al-Quran mahupun al-hadis manakala dalam hal ini adalah tiada.Deligasi daripada Thaqif dan segolongan nasrani daripada Najran pernah menetap di masjid sebelum mereka memeluk Islam dan hal itu pernah berlaku di zaman rasulullah salallahualaihiwassalam.

Fatwa keharusan ini dikeluarkan oleh Lajnah Fatwa Arab Saudi yang memiliki kekuatan sokongan daripada ramai cendiakawan dan ulama Islam yang lebih menyakinkan kita.

Bahkan larangan bagi wanita haid memasuki masjid juga adalah suatu tindakan yang tidak wajar dikuat kuasakan sebagai undang-undang syariah kerana para ulama Islam sendiri tidak bersepakat dalam hal tersebut dan bahkan pendapat itu tidaklah menduduki pendapat yang mutlak.

Al-Imam Abu Hanifah ra dan mazhabnya misalnya mengharuskan kemasukan wanita ke masjid secara mutlak sekalipun ke dalam masjidil haram. Pendapat ini juga kemudiannya diperkembangkan oleh Al-Imam ibn taimiyyah ra yang menyatakan tidak salah bagi wanita haid untuk memasuki masjid dan duduk di dalamnya bagi tujuan atau keperluan tertentu.

Sebahagian ulama Islam seperti Syeikh Saud Al-Funaysan, bekas Dekan Jabatan Syariah Universiti Al-Imam, Arab Saudi menyatakan larangan kemasukan wanita haid ke masjid hanyalah disebabkan kebimbangan mereka akan mengotorkan masjid dengan darah yang menitis dan inilah yang diungkapkan oleh Al-Imam Ibn hajar ra ketika memberi komen kepada hadis Aisyah yang menyatakan wanita solat di zaman rasulullah dengan keadaan darah menitis daripada mereka.

Kata al-Imam ibn Hajar, ini menunjukkan bahawa seseorang wanita itu boleh iktikaf dan solat sekalipun bagi yang mengalami darah istihadah iaitu darah sakit selama dia mampu mengelak daripada mencemarkan masjid. (Lihat Fathul bari syarah sahih bukhari)

Maka bagi wanita Haid yang boleh menjaga kebersihannya serta mengelak daripada mencemari masjid maka tidak patut dihalang daripada memasuki masjid untuk tujuan-tujuan yang mulia dan keperluan tertentu yang diperlukan olehnya.

Permudahkanlah apa yang mudah.

Firman Allah SWT : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Wallahua'lam

Wednesday, August 25, 2010

Wanita, jangan takut untuk berbuka kerana Dia Kasih Kepada-Mu


Kasih Allah SWT terhadap kaum wanita tersangat dalam. Dia yang menciptakan kaum wanita dengan penuh kecantikan, kehalusan dan kelembutan. Dijadikan wanita itu sebagai perhiasan dan mutiara yang bernilai di atas mukabumi sebagai pasangan dan teman kepada kaum lelaki.

Dialah Allah yang Maha Mengerti.

Dia mengerti bahawa kaum wanita itu siang dan malam menyiapkan keperluan untuk suami dan anak-anaknya. Di bulan puasa mereka bangun seawal jam 3 pagi demi mempersiapkan makanan untuk bersahur. Ketika itu si suami dan anak-anak masih terlantar tidur nyenyak dan enak. Sebagai ibu dan isteri mereka tidakpernah bersunggut memasak dan mengemas rumah. Setelah suami bangkit dari tidur dan anak-anak dengan celoteh dan telatah mengada-gada mereka si isteri yang merangkap sebagai ibu itu tetap sabar melayani keperluan suami dan kerenah anak-anak.

Selesai makan, meja ditinggakan bersepah.

Wanita itu yang bergelar isteri dan ibu pun akan mengemas, membasuh pinggan dan mengelap meja serta menyiapkan pula pakaian suami dan anak-anak. Baju-baju di sterika dan seluar digosok halus sehingga kemas sang suami memakainya di pejabat. Anak-anak dipakaikan baju sambil memesan itu dan ini agar mereka menjaga pakaian sewaktu di sekolah.

Beg sekolah, buku anak-anak telah siap disemak dan dimasukkan mengikut jadual belajar.Semuanya mereka lakukan dan setelah itu ada di antara mereka yang keluar bekerja bersama-sama suami di luar rumah mencari nafkah dan rezeki halal bagi menampung keperluan belanja bulanan keluarga.

Keletihan pulang daripada kerja di pejabat atau lapangan tidak sempat hilang kerana mereka perlu segera bersiap untuk masak dan mengemas rumah. Belum dicampur kewajipan untuk menguruskan anak-anak serta mempersiapkan keperluan suami apabila pulang ke rumah.

Menyambut suami dan melayaninya sehingga di waktu malam hari, mereka menyerahkan diri dan tubuh kepada suami untuk memenuhi keperluan fitrahnya.

Mereka sungguh-sungguh dikasihani oleh Allah SWT.

Kerana itu Allah memberikan mereka haid.

Kitaran darah merah hitam yang keluar dari tubuh mereka itu menjadi penyelamat dan memberikan mereka rukhsoh serta kerehatan untuk tidak berpuasa di dalam bulan Ramadhan yang diwajibkan berpuasa kepada orang selain mereka.

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah : 185)

Kata ibu orang yang beriman, Aisyah ra : “Kami mengalami haid pada zaman rasulullah masih hidup dan kami disuruh mengantikan puasa (yang ditinggalkan) tetapi tidak disuruh mengantikan solat (yang ditinggalkan).” (hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)

Wanita, jangan takut untuk berbuka

Allah SWT telah menetapkan bahawa kaum wanita yang menyusu kanak-kanak dan hamil diperbolehkan untuk berbuka puasa tanpa perlu mengantikannya. Ibn Abbas menyebutkan bahawa wanita yang hamil da menyusukan anak serta merisaukan keadaan kesihatan mereka boleh berbuka puasa dan tidak perlu mengantikan puasa mereka. Sebaliknya mereka hanya perlu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari menurut jumlah puasa yang ditinggalkan.

Ketahuilah bahawa anda tetap mendapat pahala dangan ganjaran di bulan Ramadhan sekalipun ibadah puasa tidak dilakukan kerana ianya merupakan rukhsoh keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada anda.

Di dalam surah perempuan (An-Nisa) Allah jelas menyebutkan kepada-Mu akan firman-Nya : “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (An-Nisa : 28)

Puasa bertujuan membentuk taqwa, ketahuilah bahawa takwa itu bukanlah terbentuk dengan meninggalkan makan dan minum atau berlapar dahaga semata-mata sebaliknya dibina melalui latihan meninggalkan apa yang disukai kerana Allah SWT dan melakukan apa yang sukar kerana Allah SWT.

Engkau di bulan ini mahu berpuasa namun tidak mampu, maka berbukalah dan berkebajikanlah di dalam bulan ini dengan cara yang kamu mampu kerana ketaqwaan itu pasti dapat diperoleh di sebalik rahsia-rahsia ibadah dan pengabdian kepada tuhan-Mu.

Hadaplah kepada-Nya dan nyatakan kesyukuran-Mu sebagai hamba-Nya.

Wassalam.

Monday, August 16, 2010

Fiqh Puasa berkenaan waktu wajib berpuasa


Seandainya artikel ini tidak ditulis, orang mungkin akan terus menganggap bahawa saya ini bukanlah ustaz feqah kerana jarang sekali penulisan saya berkait masalah fiqih. Kurangnya minat saya menulis permasalahan fiqh bukanlah kerana isu yang berkait masalah fiqh itu sendiri sebaliknya kerana sikap orang kita yang gagal menerima keluasan ilmu fiqh dan tidak besar jiwanya untuk menerima perbezaan pendapat serta keluasan syariah Islam.

Apabila berbicara soal feqah, ianya bukanlah melibatkan masalah aqidah, tauhid, kepercayaan dan iktiqad seseorang hamba Allah SWT itu sebaliknya kita sedang berbicara tentang kaifiyat (cara) dan tertib dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Berbeza pendapat di dalam hal ini seharusnya menjadi kelapangan dan kemudahan kepada umat Islam bukan sebaliknya mengundang tohmah, cemuhan dan tuduhan yang menjengkelkan.

Malangnya masyarakat kita tidak suka kepelbagaian, mereka hanya mahu menerima sesuatu yang sudah diketahui dan sudah diterima oleh mereka dan nenek moyang mereka.

Maka sikap yang sebegini boleh ditontan di surau-surau dan masjid yang dimonopoli oleh sebahagian generasi lama yang mahu memaksakan pendapat dan pegangan mereka kepada orang lain sekalipun apa yang dipegang dan difahami oleh mereka belum tentu dijamin benar oleh Al-Quran dan al-hadis.

Sikap ini merugikan.

Dalil-dalil Al-Quran dan al-hadis sendiri memberi ruang kepada perbezaan fiqih. Bagi orang yang belajar agama secara mendalam misalnya, mereka pasti tak lekang berdepan dengan pelbagai kemusykilan fiqh dan perbezaan pendapat ulama berkenaan sesuatu masalah.

Ambillah contoh masalah berbekam di bulan puasa. Padanya sahaja ulama berbeza pendapat kepada tiga bahagian. Pertama ialah pendapat yang mengatakan bahawa berbekam di bulan Ramadhan boleh membatalkan puasa dan demikian itu ialah mazhab Imam Ahmad,Daud dan Auzaie serta Ishaq bin Rahawaih.

Mereka berdalilkan kepada hadis nabi salallahualaihiwassalam yang diriwayatkan oleh As-tsauban yang menyebut : “ Orang yang berbekam dan membekamkan orang itu terbatal puasanya.” (hadis riwayat Abu Daud, Nasa’ie, Ibn Majah dan Ahmad)

Pendapat kedua mengatakan bahawa perbuatan berbekam di bulan Ramadhan hanyalah membawa kepada hukum makruh dan mereka yang berpendapat sedemikian ialah Imam Malik, Syafie serta As-Sauri.

Pendapat yang ketiga kemudiannya mengatakan bahawa perbuatan berbekam langsung tidak membawa hukum makruh dan tidak membatalkan puasa dan ini ialah mazhab Imam Abu Hanifah serta sahabatnya.

Mereka yang beranggapan bahawa berbekam tidak membatalkan puasa (baik yang memakruhkannya atau tidak) berpegang kepada hadis Ikrimah daripada Ibn Abbas ra yang menyebutkan : “Sesungguhnya rasululllah salallahualaihiwassalam berbekam dalam keadaan baginda berpuasa.” (hadis riwayat Bukhari dan Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah serta Ahmad)

Hadis ini sahaja kemudian telah menyebabkan para ulama terbahagi kepada 3 bahagian di dalam menafsirkannya. Pertama ialah golongan yang melakukan tarjih dengan menimbangkan di antara salah satu hadis untuk menentukan hukum yang lebih tepat.

Manakala golongan yang kedua pula melakukan “percantuman” di antara dua buah hadis (yang seolah-olah bertentangan itu) dengan mengabungkan maksud dan tuntutan kedua-duanya untuk mencapai satu kata sepakat.

Manakala ulama yang tergolong dalam pihak yang ketiga pula mengambil tindakan mengugurkan perbezaan yang berlaku di antara hadis serta mengambil pendapat yang asal yang pernah diamalkan (sebelum berlaku perselisihan) sekiranya tidak diketahui akan hadis yang mana satu bertindak sebagai pemansuh kepada hadis yang lain.

Dipendekkan cerita, sejak dari zaman salaf lagi permasalahan fiqh tidak akan pernah tamat dan ianya menjadi kelonggaran dan rukhsoh kepada orang yang beriman dan berakal untuk memikirkan bahawa bukan untuk perkara ini kita diutuskan ke muka bumi.

Bermula waktu wajib berpuasa

Sebenarnya jam tidak wujud di zaman nabi salallahualaihiwassalam. Begitu juga kalender takwim dan jadual berbuka puasa dan jadual waktu solat yang menandakan masuknya waktu subuh yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama kerana Nabi Salallahualaihiwassalam hidup di zaman masyarakat arab yang jahiliyyah.

Tujuan saya membentangkan perbincangan ini di sini bukanlah untuk menidakkan kemajuan sains dan teknologi kita supaya kita berbalik ke zaman belakang untuk mengukur waktu solat dengan menggunakan batang kayu, tidak sama sekali.

Apa yang saya ingin sampaikan ialah berkenaan sikap sempit masyarakat kita dan sikap keterlaluan bergantung kepada kalender dan takwim serta jadual masuk waktu solat dan waktu berbuka sehingga menafikan kewujudan rukhsoh (keringanan) dan sunnah Islam yang berasaskan kemudahan kepada manusia di dalam menyembah Allah SWT.

Allah SWT tahu bahawa untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada-Nya adalah sukar kerana ujian dunia, syaitan dan nafsu. Maka dipermudahkan ibadah dan syariat Islam agar manusia beroleh kekuatan di dalam menyembah dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Manakah perginya kemudahan apabila kita sendiri yang menyusahkan agama ?

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahwasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma'af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam.” (Al-Baqarah : 187)

Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk makan dan minum serta bersenang-senang dengan isteri bagi yang tidak dapat menahan nafsu sehingga masuknya waktu siang di bulan Ramadhan.

Waktu siang di bulan Ramadhan itu ialah penandaan masuknya waktu berbuka dan bilakah masuknya waktu siang tersebut ?

Ianya terjawab melalui firman Allah SWT yang di atas pada ayat : “dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar.” (Al-baqarah : 187)

Kata para ulama’ kalimah “hatta yatabayyanu” itu bermaksud sehingga terang bagi kamu seolah-olah hendaklah kamu makan dan minum serta tidak berhenti daripada perbuatan tersebut sehingga telah yakin dan jelas bahawa telah masuknya waktu berpuasa dengan terbitnya fajar matahari.

Bahkan Huzaifah al-yamani pernah berkata : “Kami pernah bersahur bersama dengan nabi salallahualaihiwassalam dan kalau mahu aku boleh mengatakan bahawa hari telah siang kecuali matahari belum lagi terbit.” (hadis riwayat Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad dan hadis ini diperbahaskan panjang oleh para ulama hadis)

Hakikatnya pada zaman nabi salallahualaihiwassalam jam belum lagi wujud, begitu juga pengumuman masuk waktu solat subuh melalui radio. Maka penetapan masuknya waktu berpuasa dan waktu solat subuh dilakukan mengikut anggaran yang didasarkan kepada pengamatan mata kasar dan keyakinan diri sendiri.

Benang putih dan benang hitam

Benang putih itu ialah garisan putih di langit yang menandakan masuknya waktu siang melalui perubahan waktu dan berlaku apabila fajar matahari terbit sehingga kelihatan oleh mata kita.

Pun begitu sebahagian ulama berpendapat kita masih disuruh oleh rasulullah untuk menunggu sehingga terlihat di langit akan cahaya kemerahan fajar.Ini berdasarkan hadis rasulullah yang bermaksud : “Makan dan minumlah kamu dan janganlah mempedulikan sinaran cahaya yang memancar tetapi makanlah dan minumlah sehingga jelas terbentang kepada kamu akan merahnya (fajar).” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi namun hadis ini dikatakan syaz oleh Imam Abu Daud)

Jumhur ulama berpendapat bahawa masuknya waktu berpuasa ialah pada sinaran putih yang pertama terpancar. Hal ini sekalipun adalah jelas menunjukkan bahawa waktu berpuasa sebenarnya adalah lebih lewat bermula daripada apa yang diamalkan oleh orang ramai di negara kita.

Hal ini suatu yang bersalahan dengan sikap Islam yang mengajar kita supaya memberi ruang kepada keterbukaan dan kemudahan umat. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis yang menyebut bahawa umat Islam ini akan sentiasa berada di dalam kebaikan selama mereka mempercepatkan iftar (berbuka) dan melambatkan sahur.

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda lagi : “Makan dan minumlah sehingga Ibnu Ummi Makhtum melaungkan azan, sesungguhnya dia tidak melaungkan azan sehingga telah terbitnya fajar.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Ummi Makhtum ialah seorang yang buta dan dia tidaklah melaungkan azan melainkan sehingga telah dimaklumkan oleh orang ramai bahawa fajar telah terbit. Apa yang kita lihat di sini ialah sikap bermudah-mudahan yang ditunjukkan oleh rasulullah dan para sahabat di dalam bab penetapan tempoh kewajipan syarak sehingga ianya menjadi satu kemudahan kepada umat Islam bukan kepayahan atau kerumitan.

Masyarakat kita masih belum mampu membuka jiwa mereka untuk menerima perbahasan fiqih dan keluasan syarak Islam. Adat yang meresam dalam di dalam jiwa mereka menyebabkan mereka cukup risau dan bimbang jika seminit terlewat maka puasa mereka akan terbatal.

Jika takwim dan kalender di dinding mengatakan masuknya waktu subuh ialah pada jam 5.57 pagi maka sepuluh minit atau lima belas minit sebelum itu lagi umat Islam di negara kita sudah memberhentikan makan dan minum serta berhati-hati risau jika terlajak makan dan minum kerana khuatir ianya membatalkan puasa.

Sedangkan para sahabat nabi salallahualaihiwassalam yang diturunkan Al-Quran kepada mereka serta hadis disebut-sebut di hadapan mereka masih mampu makan dan minum serta menyempurnakan apa yang di dalam tangan dan di mulut mereka sekalipun azan telah berkumandang.

Diriwayatkan bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “ Jika seorang daripada kamu mendengar azan sedangkan di tangannya terdapat gelas (berisi air)maka janganlah dia meletakkan gelas tersebut sehingga dia menyempurnakan hajatnya itu (meminum air itu).” (hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Penetapan Waktu Imsak Sebagai Waktu Untuk Berhenti makan ialah menyalahi Sunnah


Sunnah tidak pernah suka menetapkan sesuatu yang bersikap terperinci, detail dan tetap kepada umat Islam dan hal ini terpapar melalui dalil-dalil yang pelbagai baik menurut Al-Quran yang kerap bersifat umum mahupun hadis nabi Salallahualaihiwassalam yang bersifat tidak putus dalam persoalan fiqhiyah.

Sangkaan orang ramai dengan mengambil hadis dari riwayat Anas ra yang bertanya kepada Zaid berkenaan jarak waktu di antara azan subuh dan sahur itu sebagai hujah untuk penetapan waktu penamatnya makan dan minum secara pasti dan mutlak adalah salah.

Ini kerana perbezaan pendapat, tafsiran dan istinbat hukum di kalangan ulama berkenaan hadis ini adalah pelbagai.

Zaid bin Tsabit ra berkata: “Kami makan sahur bersama-sama Rasulullah salallahualaihiwassalam kemudian baginda bangun untuk mengerjakan solat. Anas ra pun bertanya kepada Zaid ra : “Berapa lamakah antara azan (Subuh) dengan waktu makan sahur itu ?” lalu Zaid menjawab: “Kira-kira sebanyak membaca 50 ayat.”(hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini tidaklah membawa hukum mutlak untuk menunjukkan bahawa waktu tamatnya sahur itu ialah sebelum azan subuh dalam kira-kira 50 ayat atau tempoh yang seumpama itu jika dikira dalam kiraan minit seperti anggaran kebanyakkan orang ramai dengan mengatakan ianya 10-15 minit sebelum azan subuh.

Sekalipun ada para ulama seperti Al-Qurtubi misalnya yang mendokong hujah bahawa waktu tamatnya sahur itu ialah sebelum terbit fajar (bukannya setelah terbit) namun hal ini dijelaskan sendiri oleh Imam Ibn hajar dalam syarah Fath Al-bari bahawa tidaklah berlaku pertentangan di antara hadis ini dengan hadis Huzaifah pada maksud sebaliknya menunjukkan kepada perbezaan hal (situasi) yang berbeza.

Bahkan baginda rasul salalalhualaihiwassalam sendiri suka melewatkan sahur sehingga hampir kepada waktu solat dan azan subuh. Sudahlah begitu, azan subuh pada zaman rasulullah adalah secara lazimnya lewat dan lambat disebabkan para sahabat hanya melaungkan azan dan mendirikan solat apabila telah zahir dan jelas kepada mereka akan fajar yang terbit.

Mereka tiada takwim atau kalender solat mahupun jam seperti kita.

Mereka tiada rungsing dan bimbang akan perihal yang remeh temeh seperti ini sebaliknya lebih mementingkan kualiti puasa dan pengisian dalam sepanjang bulan ramadhan itu melebihi perkara teknikal sebegini.

Puasa yang Sah pada feqah tapi tidak diterima sebagai Ibadah


Orang Melayu cukup risau kalau puasa mereka tidak sah. Ini kerana kita diajar oleh nenek moyang dan adat budaya untuk bersikap patuh kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan sehingga kita mahu agar puasa kita sah.

Cukup bimbang jika puasa itu tidak sah kerana hal-hal yang remeh temeh lalu diperketatkan dan diambil segala macam hukum yang berbentuk wara’ dan berhati-hati.

Tetapi kemudian di dalam pengisian sepanjang bulan Ramadhan itu dia tidak pula takut kalau-kalau puasanya itu tidak diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah kerana wujud riya’, kata-kata keji , tidak sabar, tidak bersolat, tidak menunaikan kewajipan syarak dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT.

Puasa itu tujuannya ialah untuk bertaqwa kepada Allah SWT.

Amalan orang Melayu telah membuatkan puasa lebih menjadi sekadar adat dan amalan rasmi yang dilaksanakan sebagai peraturan dan undang-undang serta bukanlah pengabdian kepada Allah SWT yang dibuat dengan jiwa yang hadir, tunduk serta patuh, kesedaran bahawa bulan ini ialah sebuah bulan rahmat dan ujian untuk mendidik diri menjadi hamba yang bertaqwa.

Sayang seribu kali sayang.

Wallahua'lam.

Andai Islam itu kereta, pendakwah kena pandai main gear


Sebagai sebuah agama yang membawa manusia menuju kepada Allah SWT kita boleh memperumpamakan Islam itu seperti kereta. Oleh itu seperti lazimnya sebuah kereta ia bergerak melalui kawalan pemanduan yang dilakukan oleh pemandu. Laju, perlahan, ke kiri atau ke kanan pergerakan sebuah kereta itu ditentukan oleh pemandunya.

Siapa lagi pemandu Islam jika bukan para ulama dan pendakwah.

Pendakwah yang membawa dan memandu agama ini menuju Allah SWT perlu pandai mengawal kereta dan menggunakan gear kereta kerana setiap kereta itu bergerak mengikut kelajuan yang ditentukan oleh gearnya.

Rosak kereta jika tidak pandai menggunakan gear

Kereta yang dipandu tanpa pengendalian gear yang baik akan boleh merosakkan kereta dan membahayakan nyawa pemandu dan penumpang kereta tersebut. Jalan yang lurus dan lapang seperti lebuhraya bolehlah digunakan gear 5 tetapi masakan jalan kampung atau kawasan sekolah juga mahu dipasang gear 5 ? Habislah mati anak ayam dan anak orang yang melintas di jalanan.

Jalan pula tak selamanya indah, dengan lopak yang berlubang, berbonggol-bonggol dan ada kalanya berbengkang bengkok maka gear rendah seperti gear 1 dan 2 perlu digunakan.

Khasnya apabila menaiki jalan yang berbukit atau ketika sedang menuruninya.

Itulah Islam, ia umpama alat yang membawa manusia kepada Allah SWT. Namun pemanduan dan pengendaliannya di tangan kita.

Firman Allah yang bermaksud : “Telah nampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan oleh kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum : 41)

Harus tahu bagaimana membawanya. Umapama ketika waktu ujian dan kesempitan maka gear yang rendah harus digunakan kerana bimbang jika ada tindakan kita di dalam dakwah yang dibuat kerana tertekan, geram dan bagi melepaskan amarah.

Begitulah jua ketika di waktu senang dan ketika sedang menerima nikmat. Kita harus bimbang apakah takala kita menerima imbuhan wang ringgit dan jawatan daripada raja atau pemerintah maka fatwa dan dakwah yang kita serukan itu dibuat kerana pengaruh kesenangan atau kerana keseronokan ?

Perlahan-lahan dan berhati-hati dalam tindakan sambil melakukan muhasabah dan mengoreksi diri itulah namanya gear rendah.

Allah SWt befirman yang bermaksud : “Orang yang diredhai oleh Allah dan mereka itu selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya.” (Al-Anbiya: 28)

“Sesungguhnya orang-orang (yang beriman itu ialah) yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka.”(Al-Mukminun : 58)

Kita hanyalah manusia, seringkali kerana ghairah dan gembira maka kita memecut laju di jalanraya sehingga terlupa di atas jalan manakah kita berada. Apakah jalan itu berbukit ? Jalanraya ? lebuhraya ? jalan kampung ? atau ketika kita sedang melintasi sebuah kawasan sekolah ?

Lihatlah dahulu di mana kita berada dan bawalah Islam itu dengan kawalan diri yang baik kerana andainya kata berlaku kemalangan maka bukanlah kereta itu yang salah tetapi pemandunya.

Belajar Islam dan dakwah dari cara pemanduan kereta.

Khalifah Umar ra pernah bertanya kepada seorang sahabat yang bernama Ubai bin Ka'ab ra akan makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kembali kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”. Lalu Umar menjawab : “Aku melangkah dengan cermat dan berhati-hati”. Maka Ubai membalas : “Itulah yang dimaksudkan dengan taqwa.”

Membawa laju bukanlah pula bermakna tidak bertaqwa

Kelajuan jika kena pada jalan dan waktunya maka ianya adalah satu tindakan yang digalakkan. Bukan sahaja boleh menjimatkan masa bahkan dapat membantu mengurangkan kesesakan jalanraya.

Namun kita semua mengetahui bahawa semakin laju kereta yang dibawa maka semakin sukar untuk mengawal dan mengendalikannya. Khususnya di jalan yang licin, berbukit dan berbengkang bengkok maka kelajuan itu boleh membunuh.

Membawa laju di tempat yang salah boleh menyebabkan kereta terbabas, melanggar kereta lain dan mencetuskan pelbagai bahaya dan kerosakkan kepada kereta jika tidak berhati-hati.

Maka berhati-hati itu ialah taqwa.

Diperlukan oleh setiap pemandu untuk memilikinya setiap masa.

Lalu bagaimana ? harus perlahankah atau membawa laju ? Maka ianya berbalik kepada pengalaman dan kepandaian membawa kereta. Ilmu diperlukan untuk memastikan perjalanan dapat dibuat dengan selamat.

Ilmu itu bukan sekadar teori pemanduan di dalam buku tetapi praktikel kehidupan yang terhasil daripada pengalaman dan pengamatan.

Kefaqihan itu ternyata sebuah anugerah

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT akan kebaikan kepadanya maka dia akan difahamkan berkenaan urusan agama .” (hadis sahih riwayat bukhari dan Muslim)

Jika masih tidak pandai juga mengendalikan gear maka saranan saya cukuplah anda membawa kereta yang bertransmisi automatik iaitu menjadi pengikut dan bukannya orang yang diikut serta menjadi makmum dan bukannya Imam.

Dan jika anda seorang makmum maka carilah pemandu atau Imam yang pandai mengendalikan kereta dan menggunakan gearnya dengan baik. Kerana dikhuatiri bukan sahaja kereta yang anda naiki itu akan rosak di tengah jalan sebaliknya nyawa anda pun mungkin melayang akibat kegagalan pemandu atau pendakwah yang diikuti oleh anda itu dalam mengawal keretanya.

Kerana biarlah apa jua jenama pun sesebuah kereta itu ia tetap akan menjadi tidak bermakna apabila ianya tidak dapat bergerak kerana rosak atau kerana pemandunya tidak pandai memandu.

Wallahua’lam.


p/s : kempen mengelak kemalangan dalam dakwah, agar tiada yang terkandas menuju Allah SWT

Thursday, August 12, 2010

Konflik antara suami dan Ibubapa dalam Islam



Kedudukan ibubapa dan suami di dalam Islam adalah amat tinggi dan dimuliakan kerana mereka bertanggungjawab sebagai pemimpin dan pemegang amanah terhadap ahli keluarga mereka. Islam bukanlah sebuah agama ikutan buta buat penghuni gua yang mengikuti ajaran nenek moyang tetapi islam ialah sebuah agama yang merupakan cahaya dan pertunjuk daripada Allah SWT untuk menunjuki manusia akan jalan yang selamat dengan berpandukan kepada kitab suci al-Quran dan sunnah pembawa ajaran Islam iaitu rasulullah salallahualaihiwassalam.

Firman Allah SWT : “Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al-baqarah : 151)

Setiap perintah dan kewajipan di dalam Islam adalah untuk membawa manfaat kepada manusia, serta mengandungi hikmah dan pengajaran yang boleh difahami oleh golongan yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran. Imam Al-Izz Abdul Salam mengatakan bahawa "Syariat itu semuanya membawa maslahah, samada menolak keburukkan atau mendatangkan kebaikan.”

Misalnya Allah SWt befirman : “Khidhr berkata: "Inilah perpisahan antara aku dengan kamu(Nabi Musa) kelak akan kuberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.” (Al-Kahfi : 78)

Ada di antara rahsia syarak ini yang diberitahu kepada hamba-hamba-Nya dan ada pula yang disimpan tanpa diketahui namun sesungguhnya Islam ini yang pasti bukanlah sebuah agama ikutan buta yang menyuruh sesuatu tanpa sebuah penjelasan dan penerangan. Maka orang yang berfikir dan mencari ilmu agama serta diperkenan oleh Allah SWT akan dapat memahami akan kehendak-kehendak agama ini.

“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang dianugerahi hikmah dia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (Al-baqarah : 269)

Oleh yang demikian, ketaatan kepada suami mahupun ibubapa tidaklah berlaku secara sengaja dan kebetulan tanpa apa-apa sebab sebaliknya ia berlaku sebagai perintah Allah SWT supaya setiap anak mentaati ibubapa dan setiap isteri agar mentaati suami masing-masing kerana dengan bersebab dan berhikmah yang membawa tujuan tertentu yang dikehendaki oleh syarak.

Anak dan isteri sebagai Amanah dan tanggungjawab

Allah SWt befirman yang bermaksud : “Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Al-Anfaal : 28)

Anak-anak bukanlah milik ibubapa secara mutlak dan bukanlah merupakan harta milikan yang boleh dipergunakan sesuka hati dan dipersia-siakan. Mereka ialah amanah daripada Allah SWT yang terhasil melalui hubungan suami isteri dan dilahirkan ke dunia dengan izin Allah SWT.

“Dialah Yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan dari padanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya. Maka setelah dicampurinya, isterinya itu mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah dia merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, keduanya (suami-isteri) bermohon kepada Allah, Tuhannya seraya berkata: "Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang saleh,tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.Tatkala Allah memberi kepada keduanya seorang anak yang sempurna, maka keduanya menjadikan sekutu bagi Allah terhadap anak yang telah dianugerahkan-Nya kepada keduanya itu. Maka Maha Tinggi Allah dari apa yang mereka persekutukan.” (Al-A’raaf : 189-190)

Anak merupakan rezeki daripada Allah SWT kepada pasangan ibubapa yang menjadi pengubat hati dan pengikat cinta serta kasih sayang di antara kedua-duanya. Anak-anak membawa kegembiraan, hiburan dan menjadi penghiasan serta pemberi semangat jua motivasi kepada sebuah keluarga.

Walaubagaimanapun anak-anak itu sebenarnya merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu difahami oleh ibubapa agar menunaikan hak-hak Allah SWT kepada anak-anak tersebut.


“Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki,” (As-syura : 49)

Anak-anak ialah amanah yang dibela dengan tanggungjawab

Mendidik anak-anak dengan Islam adalah kewajipan setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul. Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”(Hadis riwayat Muslim no. 4803)

Kegagalan ibubapa mendidik dan membesarkan anak-anak dengan didikan Islam seperti mengajar anak-anak mengenal Allah SWT, mencintai rasul, mengetahui hukum hakam seperti halal dan haram merupakan kegagalan dan pencabulan ibubapa terhadap hak Allah SWT dan boleh membawa kepada kemurkaan-Nya.

Anak-anak juga perlu diberikan kasih sayang, nafkah seperti makan dan pakai yang mencukupi kerana hal tersebut merupakan kewajipan dan tanggungjawab ibubapa yang terbeban ke atas bahu-bahu mereka.

Kegagalan berbuat demikian juga menyebabkan ibubapa dicela dalam Islam serta berdosa kerana menzalimi anak-anak mereka dan tidak memberikan hak-hak yang sepatutnya.

Ibubapa juga diperintahkan di dalam Islam untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak mereka.

Dimaksudkan teladan yang baik ialah menjadi “role model” yang bertaqwa dan baik untuk diikuti oleh anak-anak sebagai panduan dan pendorong kepada mereka didalam menjadi hamba Allah SWT yang berguna dan bermanfaat kepada Islam.

Kita boleh mengambil contoh pesanan Luqman al-hakim kepada anaknya di dalam Al-Quran yang berpesan dan mendidik anaknya supaya menjadi manusia yang bertaqwa.

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu dia memberi pelajaran kepadanya: "Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar." (Luqman : 13)

Setelah itu apabila anak-anak sudah membesar dan menjadi dewasa, maka menjadi kewajipan dan amanah kepada ibubapa untuk memberikan pertolongan kepada anak-anak mereka dengan tidak menyusahkan anak-anak mereka serta meringankan beban mereka di dalam menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah SWT.

Manakala untuk anak perempuan, ibubapa berperanan memelihara haknya dan menjaga kebajikan anak mereka tersebut sehingga dia berkahwin. Anak perempuan mempunyai hak untuk memilih calon suaminya, mempunyai hak untuk menikahi lelaki yang disukai olehnya selama lelaki tersebut baik akhlak dan agamanya serta tiada memiliki kekurangan dan kecacatan yang dipersetujui oleh syarak.

Itu adalah haknya.

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Dan mereka minta fatwa kepadamu tentang para wanita. Katakanlah: "Allah memberi fatwa kepadamu tentang mereka, dan apa yang dibacakan kepadamu dalam Al Quran.” (An-Nisa : 127)

Telah diriwayatkan 'Aishah bahawa Baginda rasulullah bersabda: "Sesiapa yang menjaga anak-anak perempuan itu dan menjaga mereka dengan baik, mereka maka akan jadi pelindung untuk dia dari Neraka." (hadis Riwayat al-Bukhaari no. 5649 dan Muslim no. 2629)

Ibubapa berperanan sebagai pelindung anak gadis mereka dan berperanan sebagai pembela dan pelaksana kepada hak-hak anak gadisnya dan bukannya menjadi pencabul dan perampas kepada hak anak gadis mereka sekalipun lelaki pilihan anak gadis mereka tidak disukai oleh mereka.

Ini kerana hak anak gadis itu dipelihara oleh Islam dan ibubapa sewajarnya menjadi pembela dan bukannya perompak yang meragut hak anak-anak gadis dan pencabul yang meragut hak-haknya atas sebab-sebab dan alasan yang tidak syarak.

Tidak berkenan, perasaan ibubapa tidak dapat menerima, ibubapa mempunyai calon pilihan yang lain dan sebagainya bukanlah alasan syarak untuk menafikan hak anak gadis mereka memilih calonnya sendiri yang disukai olehnya.

Itu adalah antara amanah ibubapa dan tanggungjawab mereka kepada Allah SWT sewaktu mereka menerima berita gembira dan makluman daripada doktor akan kehadiran cahaya mata di dalam kandungan si ibu.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui. “ (Al-Anfaal :27)

Menunaikan amanah Allah SWT dengan sebaik-baiknya menurut syarak ialah kewajipan ibubapa.
Kebajikan si anak ditentukan oleh syarak bukannya dengan akal, pengalaman, asam garam sang ibubapa. Alasan menghalang perkahwinan anak-anak atas sebab kebajikan anak-anak adalah tertolak apabila alas an-alasan dan hujah-hujah yang diberikan bukan berpandukan kepada syarak sebaliknya semata-mata kerana kepentingan dunia dan kehendak peribadi ibubapa.

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda dalam sebuah hadis : "Takutilah Allah dan layanlah anak-anak kamu dengan adil." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebajikan anak-anak ditentukan oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan As-sunnah.

Tiada ketaatan terhadap Ibubapa yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab di dalam hal-hal yang bercanggah dengan kepentingan agama

Apabila berlaku percanggahan kehendak ibubapa dengan kebajikan anak-anak yang melibatkan kepentingan agama seperti dalam hal pendidikan, sara hidup, jodoh dan perkahwinan serta seumpamanya maka kehendak ibubapa boleh diabaikan apabila ianya bercanggah dengan suruhan Islam.

Misalnya ibubapa tidak mahu anak-anaknya belajar agama, maka kehendaknya untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang merugikan agama anak-anak boleh dibantah dan ditolak. Begitu juga di dalam hal yang melibatkan jodoh dan perkahwinan apabila ibubapa menghalang anak-anak berkahwin tanpa alasan yang dipersetujui oleh syarak, menolak calon pilihan si anak tanpa sebab syarak dan sebagainya maka kehendak ibubapa yang menyalahi kepentingan agama boleh diabaikan.

Ada juga ibubapa yang menyusahkan anak-anak seperti menyuruh supaya berhenti kerja,campur tangan di dalam hal kehidupan anak-anak yang tidak membawa kepada kepentingan agama dan maslahat agama si anak maka campur tangan seperti ini tiada kewajipan bagi si anak untuk mentaatinya.

Bahkan Syeikh Muhammad Soleh Al-Utsaimin menyatakan dalam fatwanya pada Kitab Al-Fatawa Asy-Syar'iyyah Fi Al-Masa'il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram menyebutkan bahawa adalah berdosa dan haram hukumnya kepada ibubapa yang enggan menikahkan anak gadisnya kerana mahu mendapatkan manfaat daripada hasil gaji anak-anaknya itu.

Ibubapa ditaati hanya dalam hal yang membawa manfaat kepada agama disebabkan Allah SWT menyuruh kita mentaati ibubapa dengan tujuan untuk mendapat keredhaan-Nya bukan sebaliknya menjauhkan kita daripada Allah SWT.

“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-AKu-lah kembalimu, lalu Aku kakan mengkhabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Ankabut : 8)

Ketaatan kepada ibubapa yang boleh menjauhkan si anak daripada agama Allah SWT ialah haram dan berdosa dan hal ini termasuklah seperti mentaati ibubapa dengan mengahwini lelaki yang tidak beragama, memasuki sekolah atau pusat pengajian yang merugikan agama, bekerja dan memasuki bidang yang penuh kemungkaran dan sebagainya hanya atas sebab perintah ibubapa dan demi mengembirakan hati mereka.

Tiada pahala dalam mengembirakan hati ibubapa jika perbuatan tersebut menjauhkan si anak daripada agama dan menjauhkan si anak daripada mengenal dan mendekat diri kepada Allah SWT.

Ketaatan anak-anak kepada ibubapa ialah disebabkan Amanah dan tanggungjawab mereka

Ibubapa diberikan kedudukan istimewa seperti dilayan dengan baik dan diperintahkan oleh agama supaya anak-anak mentaati mereka hanyalah disebabkan kerana amanah dan tanggungjawab yang dipikul ke atas bahu-bahu mereka.

Oleh yang demikian apabila ibubapa tidak melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak sebaliknya menjadi musuh kepada kepentingan agama dan mencabuli hak-hak serta tanggungjawab mereka kepada si anak disebabkan oleh kerana terpengaruh dengan suasana semasa, adat budaya, pemikiran jahiliyyah maka mereka telah menyebabkan ketaatan anak-anak tercabut secara syarak pada diri mereka.

Budaya “Biar mati anak, jangan mati adat” bukanlah daripada Islam

Masyarakat Melayu seringkali mendodoikan kepada anak-anak akan kisah-kisah yang banyak bercanggah dengan perintah syarak dan kehendak agama seperti kisah si tanggang, batu belah batu bertangkup yang menyarankan kepada si anak-anak suapaya mempertuhankan ibubapa. Semua ini adalah salah dan merupakan saki baki ajaran Hindu yang bertapak lama di dalam masyarakat Melayu.

Islam tidak membawa ajaran penyembahan seorang makhluk kepada makhluk tetapi meluruskan penyembahan manusia hanya kepada Allah SWT. Disebabkan itulah maka di dalam peperangan Badar menyaksikan keimanan para sahabat teruji apabila ada di kalangan sahabat yang terpaksa membunuh bapa mereka sendiri kerana mempertahankan agama di medan perang.

Ini adalah bukti keimanan kepada Allah SWT melebihi kasih dan sayang mereka kepada semua makhluk dan ini juga menjadi sunnah rasulullah salallahualaihiawassalam kepada ibubapa iaitu mengajar dan membesarkan anak-anak sebagai amanah Allah SWT dan bertanggungjawab bukannya menjadikan anak-anak sebagai hamba atau sebagai harta pelaburan yang diharapkan balasan dunia.

Seorang ibu dan seorang bapa yang beriman tidak membesarkan anak-anaknya untuk mengharapkan supaya si anak kemudian apabila dewasa membalas jasa dengan memberikan kepadanya kesenangan duniawi sebaliknya ibubapa yang beriman membesarkan anak-anaknya semata-mata kerana ianya amanah Allah SWT dan sebagai tanggungjawab agama yang diharapkan pahala dan kebajikan di hari akhirat.

Sifat mereka ini disebut di dalam Al-Quran pada firman-Nya : “Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)

Itulah ibubapa yang beriman.

Manakala ibubapa yang kufur atau diperdaya oleh dunia dan isinya maka mereka sangat keras sekali terhadap anak-anak apabila melibatkan kepentingan dan kesenangan mereka terjejas oleh tindakan si anak. Pada mereka anak-anak itu adalah milikan mutlak mereka yang merupakan kebebasan untuk berbuat sesuka hati tanpa menyedari sebenarnya anak-anak itu hanyalah ujian daripada Allah SWT dan amanah yang akan dipersoalkan.

“Maka janganlah harta benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak-anak itu untuk menyiksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir." (At-Taubah : 55)

Salah faham berkait ketaatan dan berlaku ehsan kepada ibubapa

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa.” (An-Nisa : 36)

Bersikap baik, melayani ibubapa dengan penuh kasih sayang dan tidak melukakan hati mereka bukanlah bermaksud menuruti kehendak mereka sehingga merugikan agama dan kepentingan Islam. Islam menyuruh umatnya supaya bercakap dengan lemah lembut dan sopan terhadap ibubapa, tidak menjadi anak yang derhaka dan tidak mengabaikan tanggungjawab anak kepada ibubapa.

“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah.” (Al-Ahqaaf : 15)

Semua itu berjalan serentak dan dalam masa yang sama kepentingan agama tidak dikecualikan serta tidak diabaikan semata-mata untuk mengembirakan hati ibubapa.

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah : 23-24)

Anak-anak hidup di atas mukabumi ini sebagai hamba Allah SWT dan mempunyai tanggungjawab dan tujuan yang lebih besar daripada sekadar membalas jasa ibubapa atau sekadar mengembirakan mereka.

Tugasan-tugasan sebagai hamba Allah SWT adalah tersangat banyak dan setiap kepentingan agama itu adalah tidak boleh diabaikan dengan kepentingan yang lain sebaliknya ditunaikan secara serentak mengikut keperluan dan keadaan.

“Kami tidaklah membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya.” (Al-Mukminun : 62)

Sekiranya para sahabat rasulullah hidup hanya untuk sekadar mengembirakan hati ibubapa dan mengembirakan orang tua mereka yang sudah lanjut usia maka nescaya islam tidak akan sampai kepada kita dan agama Allah yang sedang kita anuti ini telah lama lenyap dan hilang dimamah kesesatan, penyelewengan dan kezaliman serta kekufuran dan syirik sepanjang zaman.

Berbuat baik kepada ibubapa semampu yang dapat ialah kewajipan dan merupakan amanah Allah SWT kepada anak-anak namun itu bukanlah lesen untuk hidup dengan tidak beragama, jahil, jauh daripada tuhan dan tidak melaksanakan kewajipan agama yang lain.

Apabila kehendak suami bercanggah dengan kehendak ibubapa

Para ulama Islam semasa seperti Syeikh Muhammad Salleh Al-Munajjid di dalam fatwanya mengatakan bahawa apabila ada konflik di antara suami dan ibubapa maka kehendak suami hendaklah diutamakan.

Ini disebabkan oleh kerana pemegang amanah dan orang yang bertanggungjawab kepada sang isteri ketika itu ialah suami dan bukannya ibubapanya.

“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-baqarah : 228)

Kata kunci di sini ialah “pemegang amanah dan bertanggungjawab.”

Isteri wajib mentaati suaminya dan berusaha memujuk suami supaya dapat menerima atau berdamai dengan kedua ibubapanya dan bukanlah bersikap menyebelahi kedua-dua ibubapa kerana di waktu itu pemimpin isteri dan pemegang amanah yang bertanggungjawab ke atas dirinya ialah sang suami.

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita).” (An-Nisa : 34)

Dr Ahmad As-Sharbasi, pensyarah Universiti Al-Azhar juga turut mengatakan bahawa apabila seorang isteri itu menjadi kewajipan suaminya maka ketaatan si isteri kepada suami adalah lebih utama berbanding kedua ibubapanya.

Sikap campur tangan pihak ibubapa atau mertua ini kerap kali menjadi punca perceraian suami isteri dalam masyarakat dan hal tersebut sangatlah disesali kerana umat Islam gagal mengambil sunnah rasulullah dan Islam sebagai ikutan sebaliknya asyik mengikuti perasaan dan nafsu yang berlawanan dengan agama Allah SWT.

Seorang wanita yang memahami agama Islam akan menyedari bahawa perkahwinan ialah suatu institusi yang tersangat mulia dan keluarga yang dibina bersama suami haruslah dipertahankan daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Menyedari hal tersebut maka si isteri akan sanggup berdiri di sebelah suaminya sekalipun menerima ancaman dan tekanan daripada pihak ibubapa yang meminta dengan bermacam-macam permintaan dan desakan.

Seperti ibu yang teguh disebelah bapanya di dalam menghadapi hidup sehingga boleh melahirkan dan membesarkan anak maka seperti itulah seorang isteri harus dapat menyedari bahawa dia perlu tetap teguh dan damai bersama suaminya. Dia juga perlu berharap bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi seperti ibunya dan melihat anaknya membesar.

Maka sekiranya dia tidak mahu apa yang terjadi kepada dirinya sekarang berlaku kepada anak-anaknya di kemudian hari maka teguhlah disamping suami dan bersabarlah kerana perpisahan dan perceraian di antara suami dan isteri selain memberi kegembiraan kepada syaitan dan ibubapanya langsung tiada membawa manfaat kepada agama dan masa depan hidupnya.

Namun itulah realiti masyarakat kita di hari ini apabila ibubapa banyak menjadi peyumbang kepada kerosakan anak mereka dan tidak kurang yang membantu menghancurkan rumahtangga dan masa depan, agama serta kehidupan anak-anak mereka.

Seorang anak tidak boleh memilih ibubapanya maka dia harus bersabar dengan kerenah mereka tetapi dia boleh memilih bakal ibu dan ayah kepada anak-anaknya oleh itu dia perlu gigih dan berjuang mempertahankan atau mendapatkannya.

Ubahlah generasi masa depan dengan tindakan kita di hari ini dan sesungguhnya tiadalah daya upaya dan pertolongan melainkan pertolongan Allah SWT.

Wallahu’alam.