Tuesday, December 16, 2008

Pendakwah Wajib Menguasai Ilmu Alat Islam

Tidaklah wajar bagi seorang pendakwah untuk terus berucap di hadapan khalayak ramai tanpa menguasai ilmu alat yang secukupnya bagi menyampaikan ilmu Islam yang diluar kemampuannya.




Contoh Ilmu Alat Di dalam Islam (Sila baca lanjut daripada buku Manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah oleh Al-Fadhil Syeikh Ismail Bin Omar )

Perkataan hadis "Sampaikanlah daripada aku walaupun sebuah ayat" tidak wajar menjadi alasan dan hujah untuk mencari makan dengan agama dan mengambil upah menyampaikan mesej Islam yang tersasar.

Matan hadis rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra itu berbunyi : "Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat dan ceritakanlah riwayat daripada Bani Israel, dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, maka disediakan tempat baginya daripada api neraka." (hadis riwayat Bukhari & Tirmidzi)

Ketahuilah, maksud hadis ini ialah menyampaikan "sebijik-sebijik seketul" seperti yang disampaikan oleh rasulullah, sedangkan yang "kita/ kalian/mereka" lakukan pula bukan menyampaikan sebaliknya "mengulas, menokok tambah, mentafsir ucapan tersebut, mensyarahkannya dan lain-lain yang menyalahi maksud menyampaikan."

Hal itu mengakibatkan alasan kita/kalian/mereka "hanya menyampaikan" tidak lagi dapat diguna pakai untuk berdakwah kerana lesen dakwah itu ditarik balik di atas kesalahan yang dilakukan kerana mencemari maksud asal arahan rasulullah.

Seperti yang dimaksudkan oleh hadis dengan riwayat yang lain apabila menyebut : "Semoga Allah memberikan nikmat kepada orang yang mendengar kata-kataku lalu dia menghafalnya kemudian menyampaikannya kepada orang lain sebagaimana yang dia dengar."

Bahkan perlu diingatkan, kesilapan menafsirkan hadis dan agama dengan harapan untuk mengaitkan dengan isu semasa boleh jadi tidak menjadi tujuan ucapan rasulullah atau memenuhi "Maqasid Syarak" (kehendak syarak) mengakibatkan pendakwah hanya mengundang dosa menyampaikan apa yang tidak benar dalam erti kata lain berdusta.

Ada orang bertanya saya, apakah benar ada hadis yang mempromosikan bumi hijau ? Saya kata ada hadis mengalakkan kita memelihara alam sekitar lalu orang yang bertanya mengatakan apakah ada hadis yang menyebut sekiranya di tangan kita masih ada benih tanaman dan dunia sudah hampir kiamat maka hendaklah dia berusaha menanam benih itu sebagai bukti Islam mempromosikan pertanian ? Saya menjawab ada hadis lain yang maksudnya mempromosikan pertanian sebagai usaha kebajikan seperti hadis yang menyebut sekiranya tanamannya dimakan burung dan manusia maka dia mendapat pahala sedekah namun bukan hadis ini yang mana maksudnya ialah perumpamaan beramal seperti yang diriwayatkan oleh para ulama, iaitu kesempatan beramal itu hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya sekalipun hampir pada hari kiamat. (Iklan )

Menyampaikan bererti mengungkapkan mesej rasulullah sama seperti yang disebutkan oleh baginda tanpa takwil, tanpa tambahan atau pengurangan dan tanpa pula menafsirkannya dengan maksud-maksud lain yang tidak diketahui pendek kata, hadis di atas bermaksud supaya yang hadir di majlis rasul itu berperanan menjadi perawi hadis, dan sampaikanlah walau sepotong ayat sekiranya jika itu sahaja yang mampu mereka hafal dari ucapan baginda.


Ini ditambah pula dengan baki hadis yang seumpama dengannya yang menyebut : "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba hamba-Mu."

(Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan disampaikan oleh Rasulullah Sallahualaihi wasallam dalam sabda baginda di dalam khutbah hajjatul wada’, di Lembah Uraynah, Bukit Arafah)

Mengambil iktibar hadis yang bermaksud : "Moga-moga yang hadir apabila mendengar ucapanku akan lebih memahaminya daripada mereka yang hadir."

Ini menandakan tugas perawi (serta peranan sebenar mereka yang nak berpegang dengan hadis ini) ialah menyampaikan sebijik-sebijik ucapan rasulullah atau potongan fakta dari agama ini tanpa tokok tambah dan sebagainya.

Seterusnya tinggalkan tugas mengulas, mengupas dan mensyarahkan ucapan tersebut kepada para ulama dan ahli yang pakar di dalam urusan agama untuk menunaikan kewajipan mereka.

Menurut riwayat Abdullah Ibnu Mas'ud ra pernah menyebut : “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama') mereka dan jika mereka mengambil dari Ashaghir dan buruk, mereka pasti hancur.” (Ibn Abd Bar' Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248). Yang dimaksud Ashaghir adalah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?” "Dia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal iaitu menafsir sendiri tanpa merujuk dalil) Adapun orang yang mengambil ilmu daripada pembesar (Ulama') bukan termasuk Ashaghir.” (Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 246

Dimaksudkan dengan pengetahuan mendalam ialah mereka (ulama’) haruslah memiliki kekuatan ilmu secara ilmiah terhadap kitab Alllah iaitu Al-Qur’an dengan menguasai ilmu alat dan kaedah seperti bahasa arab dan sasteranya, hadith dan usulnya serta ilmu tafsir dan kaedah penafsiran yang sahih, usul fiqh dan lain-lain ilmu yang berkaitan.

Firman Allah swt yang bermaksud : “ Maka kami memberi kefahaman kepada Sulaiman dan masing-masing kami berikan hukum (keputusan) dan pengetahuan.” (Al-Anbiya :79).

Kerana itulah pada kitab Al-Faqih Wal Mutafaqih oleh Imam Khatib al-Baghdadi ra menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebut : "Tidak halal bagi seseorang itu memberikan fatwa dalam agama kecuali mereka yang mengetahui tentang kitab Allah baik nasakh dan mansukhnya, muhkamat dan mutasyabihat, ta’wil dan penurunannya, makkiyah dan madaniyah dan lain-lain serta juga menguasai hadith seperti mana perlunya dia menguasai Al-Qur’an, mahir bahasa arab dan juga mahir ilmu usul dan kemahiran yang berkaitan." (lihat Al-Faqih Wal-Mutafaqih dan I’lamul Muwaqi’in oleh Imam Ibn Qayyim m/s 45 Jilid 1 dengan tambahan perkataan dari penulis).

Pengajaran daripada tulisan di atas :

1) Boleh berdakwah (bagi orang yang tak banyak ilmu & tak alim macam kita) dengan syarat menyampaikan ilmu yang dihafal sebijik-sebijik.
2) Alasan "Sampaikanlah daripada aku walau sepotong ayat" boleh diguna pakai jika kita hanya menyampaikan apa yang kita hafal atau dengar & baca dari sumber ilmu tanpa olah, ubah suai dan tokok tambah.
3) Mengulas ayat Quran dan hadis tanpa merujuk tafsiran dan menguasai ilmu alat adalah ditegah kerana dibimbangi maksudnya menyalahi tuntutan syarak (maqosid syarak) atau kehendak sebenar dalil.
4) Marilah kita bersama-sama menguasai ilmu alat dan bantu membantu, siapa "teror" maka silalah ajar kawan-kawan yang lain dan jangan memperendahkan semangat mereka atau padamkan semangat mereka dengan celaan tapi berilah sokongan dan bantuan.


Wallahua'alam

No comments: