Wednesday, December 17, 2008

Generasi Al-Quran yang Unik

Muhasabah Tahun Baru !

Setelah puas saya berusaha akhirnya berpeluang juga untuk menjengah ke ruangan ini disebalik kesibukan yang pelbagai, kemudian saya berfikir apakah tulisan yang paling sesuai untuk dijadikan bahan bacaan sebagai mengisi momentum tahun baru ini, melihatkan suasana di sekeliling saya yang amat kacau maka saya memandang amat wajar penulisan seorang mujahid silam dijadikan sebagai bahan renungan buat kali ini....bacalah.


Generasi Al-Quran Yang Unik


Dakwah Islamiyah telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah SAW, Ridhwanullahi alaihim, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya.

Generasi itu tidak pernah muncul dan timbul lagi sesudah itu, walaupun terdapat juga beberapa peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah, tetapi tidaklah lahir lagi segolongan besar manusia, di satu tempat yang tertentu pula, seperti yang telah muncul dan timbul di dalam peringkat pertama dari penghidupan dakwah ini.

Ini adalah satu fakta dan kenyataan yang terang dan memanglah telah berlaku, mempunyai maksud-maksud tertentu yang perlu kita perhatikan dan sayugia kita merenungnya bersungguh-sungguh, agar dapat kita menyelami rahsianya.

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW sahaja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Adakah ini rahsianya?

Al-Quran yang menjadi sumber dakwah ini masih berada bersama-sama kita. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirahnya yang mulia itu juga masih ada di samping kita, seperti juga kedua-duanya telah ada bersama-sama dengan generasi yang terdahulu itu, tidak jejas oleh perjalanan sejarah dan tidak lapuk oleh perkembangan zaman; hanya diri peribadi Rasulullah SAW sahaja yang telah tiada lagi bersama-sama kita sekarang.

Adakah ini rahsianya?

Tetapi Allah SWT telah membuat jaminan untuk memelihara Al-Quran, dan telah mengetahui bahawa dakwah ini boleh tegak selepas zaman Rasulullah SAW pun, juga boleh membuahkan hasil yang baik; lalu diwafatkan-Nya Rasulullah SAW setelah 23 tahun beliau menjalankan tugas berdakwah dan menyampaikan perutusan Ilahi dan Allah SWT akan tetap memelihara agamaNya ini hingga ke hari kiamat. Dengan demikian maka ketiadaan diri peribadi Rasulullah SAW itu tidak boleh dijadikan jawapan di atas kegagalan dakwah di zaman ini.

Yang demikian kita perlu selidiki sebab lain yang menjadi punca kegagalan itu. Mari kita lihat kepada sumber pengambilan generasi pertama itu. Mungkin sesuatunya telah berubah. Kemudian kita lihat pula kepada program dan jalan yang telah dilalui mereka, barangkali ada sesuatu yang berlainan dan berbeza.

Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama itu ialah Al-Quran, hanya Al-Quran sahaja. Hadis Rasulullah SAW dan petunjuk-petunjuk beliau adalah semata-mata merupakan pentafsiran kepada sumber utama itu.

Ketika Assaiyidah `Aisyah Radhiallahu'anha ditanya mengenai kelakuan, perangai dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab: yang bermaksud: “kelakuan dan perjalanan hidup beliau [Rasulullah SAW] itu ialah Al-Quran” (Hadis riwayat Nasai)

Hanya Al-Quran sahajalah yang menjadi sumber panduan mereka, perjalanan hidup dan gerak-geri mereka. Ini bukanlah kerana umat manusia di zaman itu tidak punya tamaddun, tidak punya kebudayaan, tidak punya pelajaran, tidak punya buku karangan dan tidak punya kajian!

Sekali lagi tidak!

Kerana sebenarnya di zaman itu telah pun ada tamaddun dan kebudayaan Romawi, buku-buku dan undang-undangnya, yang telah dan masih diikut dan dijadikan panduan oleh orang-orang Eropah sampai hari ini.

Di sana juga telah wujud peninggalan tamaddun Yunani (Greek), ilmu mantiknya, falsafah dan keseniannya, yang juga masih menjadi sumber pemikiran Barat hingga sekarang; malah di sana juga telah wujud tamaddun dan peradaban Parsi, keseniannya, sajaknya, syair dan dongengnya, kepercayaan dan sistem perundangannya, serta tamaddun lain, seperti tamaddun India, China dan lain-lain kebetulan pula kedua-dua tamaddun.

Romawi dan Parsi berada di sekeliling semenanjung Arab, baik di utara mahu pun di selatan, ditambah lagi oleh agama Yahudi dan Nasrani yang telah wujud di tengah-tengah semenanjung itu sejak berapa lama dahulu.

Jadi bukanlah faktor kekurangan tamaddun dan kebudayaan duniawi yang menyebabkan generasi pertama itu mencedok dari Kitab Allah (Al-Quran) sahaja dalam peringkat pertumbuhan mereka, tapi ialah justeru kerana “planning” yang telah ditentukan dan program yang telah diatur.

Dalil yang terang atas keadaan ini ialah kemurkaan Rasulullah SAW ketika beliau melihat Sayyidina Umar bin Al- Khattab R.A. ada memegang sehelai kitab Taurat. Melihat keadaan ini beliau pun bersabda: “Demi Allah sekiranya Nabi Musa masih hidup bersama-sama kamu sekarang pun, tidak halal baginya melainkan mesti mengikut ajaranku.” (Hadis riwayat Al-hafidz Abu Ya'la dari Hammad dari Asy-sya'bi dari Jabir)

Yang demikian maka dapatlah diambil kesimpulan bahawa Rasulullah SAW, bermaksud dan mengarahkan supaya sumber panduan dan pengajaran generasi pertama itu, dalam peringkat pertumbuhan mereka lagi, hanya terbatas kepada kitab Allah (Al-Quran) sahaja supaya jiwanya melurus ke arah programNya yang tunggal itu; oleh kerana itu beliau murka melihatkan Saydina Umar bin AI-Khattab R.A. cuba mencari panduan daripada sumber yang lain dari Al-Quran itu.

Rasulullah SAW bertujuan membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Ilahi yang terkandung dalam Al-Quranul Karim.



Generasi sahabat-sahabat itu menerima panduannya daripada sumber yang tunggal itu sahaja. Oleh kerana itulah generasi itu telah berhasil membentuk sejarah gemilang di zamannya.

Tetapi apakah yang telah terjadi kemudiannya?

Sumber-sumber panduan itu rupanya telah bercampur baur!

Sumber itu telah dimasuki oleh falsafah Yunani (Greek), cara berfikir dan lojikanya, dongeng-dongeng Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita Israeliat Yahudi, falsafah Ketuhanan ala-Kristian yang telah bercampur baur di dalam tafsir Al-Quran dan ilmu Al-Kalam, dan juga telah dimasuki oleh saki baki peninggalan tamaddun zaman lampau yang sukar dikikis.

Di samping itu banyak lagi sumber panduan lain yang telah bercampur baur dengan tafsir Al-Quran, ilmu Al-Kalam, ilmu fiqah dan malah ilmu usuluddin juga.

Campuran panduan inilah yang telah melahirkan generasi-generasi berikutnya. Oleh kerana itulah maka bentuk generasi pertama iaitu generasi para sahabat Rasulullah SAW, tidak lahir lagi kemudiannya.

Memang tak dapat diragukan lagi bahawa bercampur-baurnya sumber panduan itulah yang menjadi faktor utama mengapa generasi berikutnya berlainan sama sekali dari bentuk generasi pertama yang unggul itu.

Di sana ada satu lagi faktor asasi selain daripada perubahan sumber itu, iaitu berbezanya cara menerima pengajaran antara generasi para sahabat Rasulullah SAW dengan generasi-generasi kemudiannya.

Mereka, iaitu para sahabat Rasulullah di dalam generasi pertama itu tidak mendekatkan diri mereka dengan Al-Quran dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan, bukan juga dengan tujuan mencari hiburan dan penglipur lara.

Tiada seorang pun dari mereka yang belajar Al-Quran dengan tujuan menambah bekal dan bahan ilmu semata-mata untuk ilmu dan bukan juga dengan maksud menambah bahan ilmu dan akademi untuk mengisi dada mereka sahaja. Bahkan dia pelajari Al-Quran itu dengan maksud hendak belajar bagaimanakah arahan dan perintah Allah dalam urusan hidup peribadinya dan hidup bermasyarakat, juga urusan hidup mereka sendiri dari hidup masyarakat mereka.

Dia belajar untuk dilaksanakan serta merta, seperti seorang perajurit menerima, “arahan harian” atau “surat pekeliling” bagi dilaksanakan serta merta!

Juga tiada seorang pun dari mereka yang mencari pelajaran tambahan atau pun arahan tambahan dalam satu majlis pengajian atau suatu majlis taklimat sahaja, kerana dia tahu bahawa yang demikian itu akan menambah beratkan tugasnya, malah kadang-kadang dia cukup dengan hanya sepuluh ayat sahaja sehingga dia benar-benar menghafalnya dan dia laksanakan arahan-arahannya seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud r.a.

Perasaan inilah perasaan belajar untuk melaksanakan, yang telah menambah luasnya lapangan hidup mereka, menambah luasnya ma'rifat dan pengalaman mereka dari ajaran Al-Quran itu yang tidak mungkin mereka capai kalau sekadar belajar dari Al-Quran dengan tujuan menyelidik dan mengkaji serta membaca sahaja. Perasaan belajar untuk melaksanakan ini jugalah yang telah memudahkan mereka bekerja dan meringankan beban mereka yang berat, kerana Al-Quran telah sebati dan menjadi daging, darah mereka.

Perasaan ini jugalah yang menanam Al- Quran ke dalam jiwa mereka hingga ia meresap menjadi panduan dalam gerakan mereka, ia melahirkan pelajaran yang menggerakkan aktiviti, pelajaran yang tidak lagi merupakan teori yang bersarang di dalam kepala manusia dan di halaman kertas dan akhbar-akhbar sahaja, bahkan ianya menjadi kenyataan yang melahirkan kesan dan peristiwa yang mengubah garisan hidup.

Al-Quran tidak-akan memberi dan mencurahkan isi perbendaharaannya kecuali kepada orang yang datang bertumpu kepadanya dengan roh dan jiwa ini: iaitu roh dan jiwa ma'rifat yang membuahkan amal dan tindakan. Al-Quran dating bukan sebagai sebuah buku penglipur lara, bukan sebagai sebuah buku sastera, juga bukan sebagai sebuah buku kesenian, sejarah dan novel, malah ia datang untuk dijadikan panduan hidup, panduan Ilahi yang tulen; dan Allah SWf sendiri telah merasmikan Al-Quran ini sebagai garis pemisah di antara hak dan batil.

Firman Allah:
Maksudnya: “Dan Al-Quran itu telah Kami bahagi-bahagikan dia agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dengan lambat dan tenang dan Kami menurunkannya dengan beransur-ansur.” (Al-Isra': 106)

AI-Quran ini tidak diturunkan sekaligus, malah ia diturunkan mengikut keperluan-keperluan yang sentiasa berubah, mengikut perkembangan fikiran dan pandangan hidup serta perubahan masyarakat. Ia diturunkan mengikut perkembangan masalah praktikal dan fakta kehidupan masyarakat Islam.

Ayat demi ayat diturunkan untuk suasana tertentu dan peristiwa khusus dan untuk membongkar isi hati manusia; untuk menggambarkan urusan yang mereka hadapi, dan menggariskan program kerja mereka dalam sesuatu suasana, juga untuk memperbetul kesilapan perasaan dan perjalanan hidup, supaya mereka sentiasa merasa terikat dengan Allah dalam setiap suasana.

Ia diturunkan secara beransur-ansur bagi mengajar mereka mengenal Allah SWT melalui sifat-sifatNya dan juga melalui bukti-bukti perkembangan dan perubahan alam. Dengan demikian mereka akan merasakan bahawa diri mereka terus menerus terikat dengan tertakluk kepada Allah SWT, terus menerus di bawah perhatian Ilahi.

Pada ketika itu mereka merasakan bahawa mereka sedang hidup di bawah pengawasan Allah SWT secara langsung.

Dasar “belajar untuk melaksanakan terus” itu merupakan faktor utama membentuk generasi pertama dahulu, manakala dasar “belajar untuk, dibuat kajian dan penglipurlara” itulah yang merupakan faktor penting yang melahirkan generasi-generasi kemudiannya. Dan tidak syak lagi bahawa faktor kedua inilah menapakan sebab utama mengapa generasi-generasi yang lain itu berlainan sama sekali dengan generasi pertama, generasi para sahabat Rasulullah SAW.

Di sana ada satu lagi faktor yang mesti diperhati dan dicatat benar-benar. Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah; dan sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.

Dia merasakan bahawa segala sesuatu di zaman jahiliyah dahulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Dengan perasaan inilah dia menerima hidayah dan petunjuk Islam yang baru itu dan sekiranya dia didorong oleh nafsunya sesuatu waktu, atau sekali sekala dia merasa tertarik dengan kebiasaannya yang dahulu, atau kalau dia merasa lemah dari menjalankan tugas dan kewajipan kelslamannya sesuatu ketika, nescaya dia merasa bersalah dan berdosa, dan dia merasakan dari lubuk hatinya bahawa dia perlu membersihkan dirinya daripada apa yang berlaku itu; lalu dia berusaha sedaya upaya mengikuti panduan yang digariskan oleh Al-Quran.

Di sana juga terdapat pemisahan perasaan sepenuhnya di antara zaman lampau seseorang Muslim dalam keadaan jahiliyahnya dahulu dan zaman barunya di dalam Islam, yang akan menimbulkan pula pemisahan secara menyuluruh dalam segenap hubungannya dengan masyarakat jahiliyah.

Dia berputus arang berkerat rotan dengan tata hidup masyarakat jahiliyah dahulu dan berhubungan langsung selama-lamanya dengan masyarakat Islam; walaupun kelihatan pada lahirnya dia sering berhubungan dengan orang-orang musyrik di dalam lapangan perdagangan dan pergaulan hidup seharian, tetapi perpisahan perasaan dan pergaulan hidup seharian adalah dua hal yang berlainan dan berbeza sekali.

Di sana ada semacam pemisahan lagi, iaitu perpisahan suasana jahiliyah dalam kebiasaan dan pandangannya, adat resam dan hal-hal yang berkaitan dengannya, yang timbul dari pemisahan syirik ke akidah tauhid, dari konsep jahiliyah ke konsep Islam mengenai masalah hakikat hidup dan hakikat wujud; juga timbul dari percantumannya dengan perkumpulan dan organisasi Islam yang baru, di bawah pimpinan baru, dan sikap memberi segenap perhatian, kepatuhan dan kesetiaan kepada masyarakat, perkumpulan dan organisasi baru di bawah pimpinan baru itu.

Inilah dia persimpangan jalan dan permulaan langkah di jalan baru, langkah yang bebas merdeka dari segala tekanan adat resam yang dipatuhi sepenuhnya oleh masyarakat jahiliyah dan segala nilai yang menjadi kebiasaannya.

Di sana tiada risiko yang akan ditempuh selain dari ujian dan penderitaan, namun demikian dia secara otomatis telah bertekad tegas dan bulat untuk tidak akan kembali lagi kepada sebarang bentuk jahiliyah, kepada tekanan dan kebiasaan jahiliyah buat selamalamanya.

Kita sekarang sedang berada di tengah-tengah suasana jahiliyah yang serupa dengan suasana jahiliyah yang ada.pada zaman kedatangan Islam dahulu, malah lebih gelap lagi. Segala sesuatu di sekitar kita ialah jahiliyah konsep hidup manusia sekarang, akidah kepercayaan mereka, adat istiadat dan kebiasan mereka, sumber pelajaran seni dan sastera mereka, peraturan dan undang-undang mereka, hinggakan banyak perkara yang kita anggap sebagai pelajaran Islam, buku rujukan Islam, falsafah Islam dan pemikiran Islam sebenarnya adalah hasil ciptaan jahiliyah!

Oleh kerana itulah maka nilai Islam tidak tulus dan tidak hidup subur lagi di dalam jiwa kita, teori Islam itu tidak begitu terang lagi di dalam pemikiran kita, dan di kalangan kita sekarang tidak muncul lagi suatu generasi manusia raksaksa dari model yang dilahirkan oleh Islam di zaman pertama dahulu.

Oleh itu, di dalam program gerakan ke-Islaman, kita mesti membebaskan diri di peringkat permulaan, di peringkat taman kanak-kanak lagi, dari sebarang pengaruh jahiliyah yang selalu menghayati kita sekarang.

Kita mesti rujuk semula ke pangkal jalan, kepada sumber yang murni yang telah dicedok dan ditimba oleh orang-orang sebelum kita; iaitu sumber yang terjamin tidak bercampur baur dengan sumber yang lain.

Kita mesti kembali semula kepadanya untuk mendapatkan teori mengenai hakikat wujud seluruhnya dan juga hakikat wujudnya umat manusia ini dan segala pertalian di antara kedua jenis wujud ini dengan wujud yang hakiki, iaitu wujud Allah SWT.

Dari situlah kita mengambil pandangan terhadap hidup, kita mengambil nilai diri dan akhlak kita, serta kita mengambil panduan dan program pemerintahan, politik, ekonomi dan segala aspek kehidupan kita.

Bila kita rujuk semula, maka kita mestilah rujuk berdasarkan kaedah dan dasar “belajar untuk melaksanakan”, bukan dengan kaedah dan dasar belajar untuk mengetahui dan menglipur lara; kita rujuk kepadanya untuk mengetahui apa yang sebenar diminta kita lakukan, maka kita lakukan; dan di dalam perjalanan itu kita akan bersua dengan keindahan seni Al-Quran, dengan cerita dan kisah yang menyeronokkan dan juga dengan pandangan-pandangan kiamat di dalam Al- Quran juga dengan logik kesedaran hati nurani di dalam Al-Quran dan juga dengan semua yang dicari-cari oleh pakar-pakar penyelidik... ya, kita akan jumpai semuanya itu, bukan dengan maksud hendak belajar dan menglipur lara tapi dengan tujuan utama hendak mengetahui apakah pekerjaan yang Al-Quran kehendaki kita kerjakan? Apakah konsep umum yang Al-Quran kehendaki kita berkonsep?

Bagaimanakah tuntutan Al-Quran mengenai pandangan dan perasaan kita terhadap Allah SWT? Dan bagaimanakah tuntutan Al-Quran mengenai akhlak kita, realiti hidup kita, dan bagaimanakah corak sistem kita di dalam hidup ini?

Kemudian kita mesti membebaskan diri dari tekanan masyarakat jahiliyati, dari tekanan konsep jahiliyah, dari adat resam jahiliyah dan juga dari pimpinan ala jahiliyah di dalam hidup diri kita sendiri. Bukanlah tugas kita untuk berkompromi dengan realiti masyarakat jahiliyah sekarang dan bukan untuk tunduk dan menumpahkan kesetiaan kepadanya sebab keadaan realiti jahiliyah itu tidak memungkinkan kita berkompromi dengannya sama sekali.

Tugas utama kita ialah mengubah realiti masyarakat ini. Tugas utama kita ialah mencabut realiti jahiliyah itu dari akar umbinya, realiti yang bertentangan dan berlanggar secara prinsipal dengan aspirasi Islam dan dengan konsep Islam, reality yang menghalang kita dengan menggunakan kekerasan dan tekanan dari kita hidup seperti yang dikehendaki oleh program Ilahi.

Langkah pertama di dalam perjalanan kita ialah menghapuskan masyarakat jahiliyah ini, nilai-nilai dan teori-teorinya. Kita tidak boleh mengubah-suai sedikit jua pun untuk kemudiannya bertemu semula di pertengahan jalan.

Sekali lagi tidak! Kerana jalan kita adalah berlainan dan bersimpangan dengan jalan jahiliyah. Seandainya kita cuba berjalan seiring dengannya biar pun selangkah jua nescaya kita kehilangan pedoman dan kita akan meraba dalam kesesatan.

Di dalam hal ini kita akan menempuh berbagai bentuk kesusahan dan penderitaan, kita akan menyumbangkan pengorbanan yang besar dan dahsyat, tetapi tiada alternatif lain kalau kita benar-benar hendak mengikuti langkah generasi pertama yang diiktiraf oleh Allah, yang telah menghancur dan memusnahkan jalan jahiliyah itu.

Adalah baik sekali bagi kita tetap menyadari bentuk program dan landasan kita, menyadari tabiat sikap kita dan juga tabiat jalan yang mesti kita lalui untuk keluar dari suasana jahiliyah yang telah dilalui oleh generasi yang agung dan unik itu.

-dipetik dari buku Ma'alim Fi Toriq oleh As-Syeikh Sayyid Qutb rahimahullah..

No comments: