Sunday, August 31, 2008

Menyemarak Semangat Ramadhan yang Mulia


Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.

Harta itu racun, zakat itu ubatnya.

Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.

Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.

Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.



Ihya Ramadhan bermaksud menghidupkan semangat Ramadhan menjadikan manusia ramai bersemangat melakukan ibadah dan memanfaatkan masa-masa di dalam bulan yang mulia ini dengan amalan kebajikan dan kebaikan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “ Barangsiapa yang mengingini pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan ibadahnya kepada tuhan dengan sesuatu.” (Al-Kahfi : 110)

Puasa Ramadhan dapat mengukuhkan keimanan kita disamping memperbaiki perhubungan kita dengan Allah swt dan juga perhubungan kita dengan hamba-hamba- nya.

Hubungan dengan Allah

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasa lam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan Ramadhan.” (hadis sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16)

Pada bulan ini peluang kita untuk mengukuhkan perhubungan kita dengan Yang Maha Esa sangatlah banyak dan melimpah ruah. Di sepanjang bulan ini keampunan, rahmat dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Allah swt kepada hamba-Nya melebihi waktu-waktu biasa.

Hadis nabi riwayat Abu Hurairah ra yang menyebut mengenai fadhilat berpuasa iaitu antaranya baginda bersabda dengan bermaksud : “…bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi dan indah di sisi Allah dari bauan wangian kasturi.” (hadis sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151)

Menghadiri solat terawih


Dicadangkan kepada umat Islam supaya mengerjakan solat terawih bagi memanfaatkan bulan yang mulia ini walaupun dengan jumlah rakaat yang sedikit.

Buatlah 2 rakaat jika tidak mampu 4 dan buatlah 8 jika tidak mampu dengan 20 rakaat, terpulang kepada anda kerana solat sunat itu sangat membantu meringankan beban dosa dan maksiat.

Mengadakan tadarus Al-Quran


Bacalah Al-Quran dengan maknanya di dalam bulan ini, biarlah hati kita dapat menghayati isi kandungan Islam sekalipun sedikit sekurang-kurangnya kita beroleh rahmat dan manfaat.

Mendirikan solat malam


Solat Malam ibarat senjata utama orang Islam, kerana doa yang terkeluar dari perlaku dan orang yang mendirikan solat di tengah malam baik tahajud, hajat, istikharah dan solat witir sangat-sangat disukai oleh Allah swt dan permintaan mereka akan segera dimakbulkan.

Dekatkanlah diri anda dengan tuhan sebelum menemuinya di dalam hukuman.

Firman Allah yang bermaksud : "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai solat tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji." (Surah Al-Isra :79)


Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadis riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan.” (hadis sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

Hubungan dengan Manusia


Saya mencadangkan pada bulan Ramadhan yang akan datang menghampiri kita pada kali ini dihidupkan dengan beberapa aktiviti bermanfaat agar kita beroleh rahmat dan kebaikan.

Ini bersempena dengan hadis hadis baginda al-Rasul s.a.w yang bermaksud: “… bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan yang akan mengembirakannya (iaitu) apabila berbuka, mereka berasa gembira, dan apabila bertemu dengan tuhannya, (maka tuhannya) gembira dengan puasanya.” – Bukhari (1499), (6175), Muslim (2550), Ibn Majah (1638), al-Nasai (2215)

Cadangan tersebut ialah :

Memulakan acara berbuka puasa berjemaah (Iftar Jamaie )

Berbuka puasa berjemaah boleh dilakukan di dalam pelbagai situasi yang menarik antaranya –

Jiran


Allah swt berfirman yang bermaksud : “Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan- Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36)

Setiap orang Islam yang tinggal di taman perumahan misalnya boleh berpakat untuk mengumpulkan wang ringgit di antara jiran sepanjang satu blok atau satu deretan untuk berkongsi wang bagi menampung program iftar jamaie (berbuka puasa jamaah).

Masak-memasak boleh dilakukan secara bergilir-gilir atau gotong-royong dengan kos perbelanjaan digunakan daripada duit yang dikumpul daripada setiap rumah.

Anda boleh memilih untuk berbuka puasa di rumah yang berbeza-beza atau tetapkan satu tempat yang khas untuk berbuka puasa pada setiap malam.

Bayangkan betapa meriahnya puasa ini, jika diisi dengan jalinan kerjasama, ukhuwah dan sikap bertolong-menolong di dalam perkara taqwa. DI samping mengeratkan semangat kejiranan dan memenuhi seruan Islam.

Juga baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya.” (Hadis sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48)



Rakan Sekerja


Boleh juga melakukan aktiviti berbuka puasa berjemaah dengan rakan sekerja dan sepejabat, perlu lantik seorang bendahari atau wujudkan tabung untuk mengumpulkan biaya dari setiap pekerja yang mahu menyertai aktiviti ini dan gunakan wang tersebut bagi tujuan membeli juadah berbuka setiap hari.

Tentu enak dan sedap berbuka bersama rakan di pejabat dengan banyak topik perbualan boleh dikongsi bersama. Di sinilah waktu bersosial yang indah dengan bersama menunaikan kewajipan ubudiyah.

Rakan belajar


Pelajar juga boleh melakukan aktiviti ini, bahkan tentu lebih meriah di universiti atau asrama sekolah apabila berbuka puasa menjadi acara rutin harian sepanjang bulan Ramadhan.

Bagi yang berdikari, eloklah berbuka berjemaah kerana fadhilat dan pahalanya cukup banyak.

Keluarga besar


Datuk dan nenek, saudara dan pak cik serta mak cik turut menyertai acara berbuka menjadikan tajuk cerita dan kesedapan juadah sangat dirasai.

Semakin ramai semakin lazat juadah yang dijamah ke mulut. Namun belanja tetap perlu dikumpulkan supaya adil dan masing-masing menyumbang pahala. Jangan bebankan perbelanjaan berbuka ke atas sesiapa sebaliknya masing-masing menyumbnag pahala dan belanja.

Masjid


Habiskan wang masjid dengan menjamu para jemaah dan tetamu berbuka. Khazanah harta yang bertompok dikumpulkan oleh masjid perlu dihabiskan supaya duit yang dikutip beroleh berkat dan rahmat bukan menjadi kebanggaan masjid mendabik dada konon pandai mengutip derma tetapi terlalu kedekut mahu membelanjakannya.

Duit derma biarkan ianya berjalan dan mengalir digunakan untuk tujuan kebaikan dan pastinya menjamu orang berbuka puasa mengundang pahala ribuan juta banyaknya.

Surau


Surau tentu tidak banyak wang seperti masjid, eloklah digerakkan surau sebagai alternatif kepada kawasan yang tinggal berjauhan daripada masjid. Isikan program di dalamnya dengan acara berbuka puasa berjemaah dengan mengajak orang kampung dan taman berhampiran berbuka di dalamnya.

Boleh membawa juadah sendiri dan makan sendiri, membawa juadah lebih menjamu orang atau paling praktikel imam surau mengumpulkan wang penduduk untuk tujuan berbuka secara berjemaah di surau.

Jemputlah ustaz-ustaz sebagai tetamu jemputan untuk bacakan dua tiga ayat Al-Quran dengan terjemahan cerita dan tafsiran sebagai pengajaran.

Bersahur bersama keluarga tercinta

Bersahur seeloknya dilakukan di dalam rumah bersama ahli keluarga dan anak-anak kerana waktu ini ialah waktu peribadi dan khusus untuk membina kemesraan rumahtangga dan kesepakatan keluarga.

Rasulullah s.a.w. amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w., “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no. 1923)

Oleh itu, Nabi s.a.w. amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda Baginda s.a.w.: “Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no. 10664)

Padanya berkat dan pengampunan serta doa yang makbul dan boleh menjadi waktu untuk berkongsi cerita, pesanan dan nasihat.

Waktu pagi yang hening dan tenang sesuai untuk segala macam perbualan yang membina dan bisikan kasih sayang sesama ahli keluarga.



ustaz emran

No comments: