Alhamdulilah, satu perkembangan yang sangat baik apabila Dato' Seri Haji Harussani Zakaria sudi meluangkan masanya untuk bersama kami di dalam sebuah program sederhana yang membincangkan isu agama dan semasa tanahair.
Di dalam ruangan tersebut, saya mendapat banyak input dan pendedahan mengenai situasi semasa tanahair daripada seorang VIP yang mendapat banyak maklumat dan informasi serta pendedahan daripada kedudukan beliau sebagai seorang Mufti Kerajaan Negeri Perak sekaligus juga sebagai "seorang lama" di dalam persada masyarakat.
Memang benar, ramai tokoh-tokoh muda lahir dan terkenal pada hari ini, internet, laman web, majalah, televisyen dan radio kerap memberi liputan dan layanan istimewa terhadap mereka. Ramai orang dan media massa kerap menonjolkan seseorang tokoh kontemporari agama baru, aliran baru, segar dan bermutu, namun lupakah kita pada jasa orang yang lama ?
Saya sungguh tidak menyangka, banyak sungguh maklumat dan informasi yang dapat saya pelajari daripada seorang tua. Sungguh tidak sia-sia tuhan menciptakan usia tua agar manusia yang muda dapat mempelajari pengalaman dan cerita-cerita mereka.
Dato Seri Harussani Zakaria tidak banyak membawakan dalil, tiada pula menyatakan kitab itu dan ini, rujukan di sana dan di sini, bahkan hadis yang dibacakan oleh beliau pun tidak pula disebut akan sanad dan nama perawi atau riwayatnya namun yang pasti saya berpuas hati.
Beliau berkesempatan bercerita kepada kami mengenai isu murtad, penjelasan kepada hal-hal semasa dan yang melibatkan beliau termasuk permasalahan mengenai Bar Council dan isu orang Melayu, hak raja-raja dan juga masalah di antara Dato Seri Anwar Ibrahim dan Saudara Saiful Bukhari.
Beliau memberi penjelasan mengenai hujah mengapa mesti hukum qazaf bukan mubahalah dan mengapa beliau tidak bersetuju dengan Dr Mohd Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
Saya berkesempatan mendengar secara terus segala isu panas ini.
Saya berkesempatan mendengar secara terus segala isu panas ini.
Saya mendapat penjelasan mengenai isu ini, masalah perundangan, soal kehakiman yang berkecelaru melibatkan undang-undang Islam dan sivil serta juga mendapat informasi yang banyak membuka minda.
Sememangnya umum mengetahui pengaruh besar Dato Seri Harussani Zakaria di dalam masyarakat Melayu Islam Malaysia termasuk sokongan Majlis Raja-Raja, pembesar dan tokoh-tokoh negara.
Maaf, tidak keterlaluan sekiranya saya terpaksa memohon maaf kerana hampir-hampir berkata kepada anak buah saya selepas itu, "Ana baru faham isu ini dan mengapa kita mesti bertegas bahawa Saiful mesti mendatangkan 4 orang saksi (menggunakan kaedah qazaf) bukan Mubahalah kerana isu ini penuh dengan helah politik dan bukannya isu mangsa rogol atau liwat yang perlu diberikan kaedah baru untuk mengelakkan kezaliman kepada mangsa yang diliwat."
Saya menarik balik ucapan saya kerana Ustaz Emran mesti bersikap adil dan tidak menyebelahi mana-mana selain kebenaran, keadilan dan ukhuwah ! Sekiranya kebenaran tidak dapat disingkap, maka saya akan memperjuangkan keadilan dan sekiranya keadilan kelam dan tidak dapat dilihat maka saya akan berusaha memelihara Ukhuwah.
Apapun,
Isi ceramah beliau ternyata mengupas dan memberikan kesedaran, itu yang penting !
Sejak beliau menjejakkan kaki ke tempat program, para wanita di pejabat saya terus mengenakan "tudung tutup kepala" yang sebelum ini hanya bergaya "free hair". Sekalipun jangka hayat tudung di kepala cuma sedetik waktu sehingga kereta Perdana beliau meninggalkan bangunan pejabat namun kesannya sungguh memukau jiwa.
Tidak sekadar itu, pekerja di syarikat yang sibuk dengan aktiviti duniawi menghentikan seketika acara mereka sambil memberikan perhatian kepada orang tua ini. Mereka khusyuk mendengar pengisian dan mengambil berat akan buah kata yang dilontarkan.
Ini bukan hanya kerana ianya suara Mufti, tetapi saya sifatkan kerana "seorang tua" berusia 69 tahun berucap, mengisi masa dengan butir-butir pengalaman beliau, cerita-cerita yang sangat memberikan kesan dan menyedarkan insan tentang kepentingan agama, kepentingan Islam dan keperluan manusia mencintai agamanya sambil sesekali memberikan buah petua orang tua-tua.
Saya insaf, jiwa muda sungguh banyak tenaga dan kesungguhan namun tanpa dipandu oleh yang tua, kita akan kerap tersasar dan tersesat tanpa hala tujuan. Saya seorang ustaz, sekalipun boleh mendakwa punyai ilmu dan kemahiran namun sesekali akan tersentak kerana keilmuan saya yang bersifat teori tidak banyak membantu menjalani kehidupan yang terbentang di hadapan mata.
Pernah saya keutarakan dahulu, sekalipun kita mengetahui sesuatu hukum tidak bermakna kita tahu bagaimana hendak melaksanakannya. Kerbau di hadapan mata, kapak dan pisau di tangan kiri dan kanan bagaimanakah kita hendak menyembelih lembu tersebut bagi melaksanakan ibadah korban ?
Setelah selesai urusan teori seperti doa, bacaan nama Allah dan lain-lain maka apa harus dilakukan ? Menikam kerbau sambil mengelak daripada ditanduk ? Mengikat kaki sambil dengan bersedia untuk disepak ? bagaimana ?
Petua orang tua-tua ternyata berguna.
Saya ternyata banyak mengembara, mencari nilai hidup untuk diabadikan kepada Yang Maha Esa. Kita berusaha menyerahkan amal ibadah kita kepada Yang Maha Kuasa, apakah diterima atau tidak, hanya Dia yang mengetahuinya, kita hanya mencuba dan cubaan kita ada kalanya berjaya dan adakalanya tidak.
Saya mencari cara dan usaha untuk memastikan amalan saya terselamat sampai kepada Yang Maha Esa tanpa di tolak moga-moga mendapat perkenan daripada-Nya.
No comments:
Post a Comment