Wednesday, July 09, 2008

Masalah Tuduhan Liwath Di sisi Syariah Islam


Hari ini orang ramai bercakap soal agama dan setiap perkataan terkeluar dari mulut mereka hampir kesemuanya tidak langsung di dasari ilmu agama. Berita semasa, media masa mengulas isu agama tanpa ditapis oleh ahli agama dan pakar-pakar agama, begitu juga ahli politik, para pemimpin sehingga menular sikap ini kepada rakyat jelata.

Liwath bukan sebuah kata mulia atau perbuatan yang wajar dijadikan modal berita.

Allah swt berfirman :

“ Dan Kami juga telah mengutuskan Luth kepada kaumnya. Ingatlah tatkala dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu (LIWATH), yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelum kamu ?” (Al-A’raaf : 80)

Liwath bermaksud melakukan hubungan seks di antara lelaki dengan lelaki melalui lubang dubur dan ianya pernah dilakukan oleh suatu kaum di zaman dahulu (di sebuah Bandar yang dikenali sebagai Sodom di kawasan Syam) sehingga Allah swt mengirimkan kepada mereka Nabi Luth as (iaitu Luth Bin Haran bin Azar, merupakan anak saudara Nabi Ibrahim as) untuk memberi peringatan.

Allah swt berfirman :

“Apakah patut kamu mendatangi (memuaskan nafsu dengan) orang-orang lelaki dan kamu meninggalkan isteri-isteri kamu yang telah dijadikan oleh Tuhan untuk kamu? Sesungguhnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (as-Syu'ara': 165-166)

Kedegilan mereka kepada amaran dan nasihat daripada Nabi Luth as menyebabkan Allah swt menurunkan bala dan siksa berupa rejaman batu daripada langit dan kemudiannya disusuli pula oleh negeri dan bandar mereka di angkat oleh malaikat lalu diterbalikkan dan dihempap kembali ke muka bumi sehingga seluruh bandar mereka ditenggelamkan di dalam tanah.

Allah swt berfirman :

“Dan Kami rejamkan kepada mereka hujan batu, Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (Al-A’raaf : 84)

Memandangkan Al-Quran tidak menyebutkan hukum Liwath secara jelas maka para ulama Islam berselisih pendapat di dalam menentukan hukuman ke atas perlaku kesalahan Liwath.

Hukuman perlaku Kesalahan Liwath Di sisi Syariah Islam Menurut Pendapat Imam Mazhab

Mazhab Imam Abu Hanifah ra

Menurut Imam Abu Hanifah ra perlaku kesalahan Liwath akan dibaling dengan batu seperti mana yang diperbuat ke atas kaum Luth.

Mazhab Imam Syafie ra

Manakala daripada Imam Syafie ra terdapat dua pendapat di dalam masalah ini iaitu perlaku maksiat Liwath akan dikenakan hukuman rejam baik sudah berkahwin atau pun belum (bujang) dan yang kedua diriwayatkan beliau berpendapat ianya seperti Zina, iaitu sekiranya bujang disebat seratus rotan dan jika telah bernikah maka akan direjam sehingga mati.

Adapun pendapat yang paling dianggap mendekati kebenaran oleh para ulama’ bagi Imam Ibn Katsir ra ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra dan Abu Daud serta Tirmidzi dan Ibn Majah daripada hadis Ibn Abbas ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam ; “Barangsiapa yang kamu temui telah melakukan amalan kaum Luth maka hendaklah kamu membunuh orang yang melakukannya beserta pasangannya.” (hadis sahih)

Permasalahan di dalam Isu kes Liwath Dato Seri Anwar Ibrahim


Memang wujud masalah di dalam kes tuduhan liwath yang menimpa Dato Seri Anwar Ibrahim.

Pertama

Pertuduhan Liwath apakah memerlukan empat (4) orang saksi seperti kes zina atau tidak perlu ?

- Mufti Perak mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan (pengadu kes Liwath bahawa beliau diliwat oleh Dato Seri Anwar) perlu membawa 4 orang saksi bagi menyabitkan kesalahan dan menjadikan kesnya di dengari oleh Qadhi atau hakim menurut undang-undang Islam. Jika Saiful gagal membawa 4 orang saksi maka beliau sudah melakukan kesalahan di bawah hukum Qazaf (menuduh orang berzina tanpa bukti) yang boleh dikenakan 80 sebatan.

- Mufti Perlis mengatakan tidak perlu empat (4) orang saksi kerana ini bukan kes pertuduhan sebaliknya ialah kes pengaduan Liwath kerana bukan ada sesiapa yang menuduh bahawa Dato Seri Anwar meliwath orang sebaliknya mangsa sendiri iaitu Saiful yang mengadu diliwath oleh Anwar. Jadi beliau sendiri ialah mangsa dan mengadu minta diadili (kes ini sama macam kes rogol yang tidak memerlukan 4 orang saksi) sebaliknya tanggungjawab jatuh kepada Dato Seri Anwar untuk membela diri dan menjawab aduan yang ditimpakan ke atas beliau dengan mengemukakan bukti, sumpah atau saksi.

Kedua

Apakah Sumpah (Mubahalah) wajar dilakukan ?

- Mufti Perlis berpendapat ianya wajar dilakukan kerana kes ini unik disebabkan, mangsa (Saiful) mendakwa diliwath oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan beliau tidak memiliki saksi yang boleh menjadi bukti dan mengesahkan dakwaan maka untuk mendapatkan pembelaan bagi beliau (SAIFUL) maka Dato Seri Anwar perlu bertanggungjawab dengan mengemukakan bukti beliau tidak bersalah dan bersumpah membersihkan diri beliau berdasarkan kaedah syariah dan panduan hadis.

Penyamaan kes zina dengan Liwath dilakukan bagi menghasilkan keputusan SUMPAH LIAN (sumpah laknat) yang terhasil disebabkan tiada saksi dan untuk membela mereka yang menjadi mangsa zina tetapi tiada saksi.

Allah swt berfirman :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.” ( An-Nur : 6)

“Dan (sumpah) yang kelima: bahwa lak'nat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur : 7)

- Mufti Perak dan lain-lain berpendapat, sumpah laknat tidak perlu dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim kerana beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Mereka berpendapat beliau bersih dan tidak perlu melayan kes ini sehinggalah Saiful dapat mendatangkan 4 orang saksi bagi mensahihkan pertuduhan dan dakwaan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim.

Saiful sekalipun dalam kes ini menjadi mangsa Liwath, tidak akan dilayan segala aduannya sehingga membawakan 4 orang saksi dan sebarang tuduhannya boleh dikenakan Qazaf ( 80 sebatan ) demikian menurut pendapat mereka.

Allah swt berfirman :

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita (termasuk lelaki) yang baik-baik berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali pukulan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (An-Nur : 4)

Pendapat dari saya mengenai KES ini (Ustaz Emran Ahmad)

Di dalam menangani isu ini, saya berpendapat kepakaran ulama’-ulama’ luar wajar dibawa bagi mendamaikan suasana di dalam Negara kita. Ini disebabkan perlaksanaan hukuman syariah di Negara kita masih belum pun mencapai tahap yang memuaskan. Perlaksanaan Undang-undang Syariah di Negara kita sangatlah terhad dan sudah tentu mengundang kecetekkan ilmu dan kemahiran di dalam hal pengurusan undang-undang syariah Islam. Di tambah pula kes yang jarang terjadi di Negara kita seperti kes Liwath ini menyebabkan masing-masing berhujah dan berpendapat tanpa berdasarkan fakta atau hujah yang kukuh disebabkan terkejut dan bersikap emosi dengan dipengaruhi oleh sentimen politik, persaudaraan, keluarga dan persahabatan serta lain-lain isu.

Ulama luar yang tidak terpengaruh oleh sentimen politik tanahair, isu semasa wajar dibawa agar mengadili kes ini dan mengeluarkan hujah yang bernas, kukuh dan segar daripada Al-Quran dan As-Sunnah menurut mana-mana mazhab yang dirasakan sesuai dan wajar diamalkan berdasarkan situasi tanahair Malaysia.

Manakala bagi orang awam, saya menasihati janganlah melampaui batas mengatakan sesuatu, mengucapkan sesuatu perkataan atau memanjangkan bicara isu ini tanpa pengetahuan dan maklumat yang kukuh seperti mencela peribadi tertentu, bersikap berat sebelah dan menokok tambah cerita.

“ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka , kerana sebahagian daripada buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah memburukkan di antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati (perumpamaan mengumpat seseorang itu sama seperti memakan daging orang itu) ? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat : 12)


Segala puji hanyalah bagi Allah swt kerana membantu saya menunaikan kewajipan saya.

No comments: