Sunday, May 04, 2008

Antara Wakil Tuhan dan Hamba tuhan, sangat jauh beza maksudnya !

Apabila disoal dan ditanyakan kepada saya, apa pendapat Islam di dalam sesuatu masalah, apa kata Quran ? apa kehendak Allah swt ? Kenapa Allah swt menjadikan...? Apa yang Allah swt mahu ...?

Saya jawab pada anda Wallahua'lam (Dan sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahuinya)

Manusia yang merupakan hamba Allah swt tidak wajar mengaku mereka ialah wakil-wakil tuhan di atas muka bumi, mendakwa mengetahui apa yang dikehendaki oleh Al-Quran dan As-Sunnah dan merasakan mereka mengerti segala apa kehendak Allah swt dan segala rahsia dan ajarannya.

Itu perkara mustahil !!

Islam bukan seperti agama yang mendakwa paderi dan pendeta mereka bercakap sebagai wakil tuhan di atas muka bumi. Islam ialah agama yang diturunkan sebagai panduan hidup manakala kitab sucinya iaitu Al-Quran dan pertunjuk as-Sunnah rasul menjadi panduan secara ilmiah serta dikaji dengan disiplin ilmu lalu dihuraikan untuk kegunaan manusia untuk hidup di dunia bukan untuk kegunaan tuhan !

Sabda Nabi Salallahualaihiwasalam :

“Apa yang Allah halalkan dalam kitabNya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafanNya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).

Ramai sekali manusia hari ini, khasnya mereka yang mendalami ilmu agama terjebak ke dalam belitan syaitan apabila menjadi wakil tuhan lantikan diri sendiri bahkan mendakwa mengetahui siapakah yang sesat, yang salah dan siapakah orang yang jahat dan siapakah pula orang yang baik, mendakwa mengetahui segala isi luar dan dalam dan mendakwa boleh menjelaskan isi ilmu Islam hanya dengan beberapa helaian kertas atau buah buku yang pernah ditulisnya.

Tuan-tuan yang dihormati,

Kuasa Menghukum hanya Milik Allah swt


Tuan-tuan yang dihormati, sangat ramai manusia pada hari ini suka menghukum dan mencerca serta mengeji sesama sendiri. Menyangka keredhaan Allah swt sudah terjamin milik mereka dan kemurkaan tuhan pula adalah pasti milik lawan mereka.

Tidak sekali, bukan dua kali bahkan lebih, apabila kita melihat penjenayah dan penjahat ditangkap lalu dihadapkan ke kandang bersalah serta dihukum dengan seberat-berat hukuman. Kita mengeji, mencela dan memaki hamun segala perkataan buruk yang kita mampu untuk memuaskan hati kita dengan menyangka tuhan membenci hamba-Nya itu dan akan memberikan kebaikan dan kelebihan dengan perbuatan kita itu kerana membenci musuhnya.

Tuhan kita bukan seperti manusia, jauh sekali punyai hati dan berperasaan seperti kita, Yang Maha Esa berlaku adil dan pengasih terhadap semua makhluk-Nya disamping tegas dan berlaku gagah dan bengis terhadap musuh-musuh-Nya. Berjalan di bawah sunnatullah yang hanya diketahui oleh ilmu-Nya.

"Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya. " (Al-Hajj : 69)

"Jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada apa yang aku diutus untuk menyampaikannya dan ada (pula) segolongan yang tidak beriman, Maka bersabarlah, sehingga Allah menetapkan hukumnya di antara kita; dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya." (Al-A'raf : 87)

- Kenapa kita (manusia) lemah terlalu cepat mahu menghukum sesama manusia ?

Begitu tangkas dan cepat kita melayani orang lain dengan persepsi dan tanggapan kita dan seringkali kita menjatuhkan hukuman kepada orang lain tanpa menyelidiki serta menilai segala aspek menyeluruh. Peduli kita ialah apa perlu susah dan perlu penat menyelidiki ? cukuplah aku menilai dengan apa persepsi dan pendapat aku.

Benar, namun sekiranya hukuman anda itu mempengaruhi hidup orang lain ? Bayangkan betapa besar tanggungjawab dan kesan yang perlu dipikul.

- Anda seorang wanita, bekerja di pejabat kerajaan, didatangi oleh seorang lelaki yang tidak berpakaian kemas, bagi meminta sesuatu khidmat di hujung waktu pejabat ( 5. 15 PM) . Reaksi mudah anda, sila datang lagi esok kerana anda berpendapat urusan ini tidak penting !! (tanggapan anda) juga anda menilai lelaki ini tidak wajar untuk mendapatkan masa-masa akhir anda yang berharga yang wajar anda gunakan untuk mengemas barang untuk pulang ke rumah. (hukuman anda kepada lelaki itu !!)

Anda boleh membantu lelaki tersebut tetapi anda memilih untuk tidak membantu !! (hukuman anda dan juga pilihan anda menentukan nasib anda di masa depan dan dinilai oleh tuhan)

Nah, hakikatnya lelaki itu kusut masai sebab dirundung masalah dan kesusahannya semakin bertambah akibat keputusan anda. Bayangkan sendiri situasi-situasi getir yang lain.

Tidak perlu menjadi dukun, meramal situasi orang lain sebaliknya anda cuma perlu memperbaiki situasi diri anda dan keadaan yang berlaku dengan beramal sebagai manusia yang baik setiap masa, di mana-mana dan suka membantu dan merahmati orang lain.

"Melayani orang lain seperti mana anda ingin diri anda dilayani."

Tuan-tuan,

Semua orang melakukan dosa, perbezaannya cuma dosa yang mana dan dosa yang bagaimana ?

Ustaz, saya banyak dosa demikian pengakuan seorang rakan, alhamdulillah (segala puji bagi Allah swt) yang telah menjadikan hamba-hamba-Nya menyedari dosa-dosa mereka dan mahu memohon ampun. Sekurang-kurangnya wujud ramai lagi manusia yang merasa mereka tidak berdosa, tidak pernah membuat dosa dan mustahil akan berbuat dosa.
Tidak perlu mengakui dosa anda kepada saya, saya bukan wakil tuhan !

Saya mungkin dapat memohon keampunan tuhan untuk anda tetapi lebih makbul dan utama jika anda sendiri yang memohonnya dan paling penting serta jangan lupa bahawa saya sendiri punyai dosa dan bahkan lebih banyak dari anda. Siapa pula di dalam dunia ini yang tiada dosanya ? Lalu kalau ustaz dan ulama pun terdedah kepada dosa dan boleh melakukan dosa maka siapa pula yang bersih serta suci untuk mengakui dirinya sebagai wakil tuhan ? jurucakap bagi tuhan dan wakil agama Islam yang mulia ?

Hanya mereka yang tidak sedar diri...

Ini tidak mustahil berlaku khasnya kepada golongan yang menyangka mereka di jalan perjuangan dan "pendakwahan".

Apabila berdosa dan terlanggar batasan mereka akan mengatakan tidak mengapa kerana Allah Maha Pengampun lagi pun kerana matlamat yang mereka tuju lebih besar dan lebih hebat, jadi terlanggar sikit-sikit hukum tuhan, mencederakan hak-hak sesama Islam dan mencerobohi maruah seorang Muslim tidak sebesar mana dibandingkan dengan beban perjuangan yang mereka bawa serta pikul.

Ini bencana dari belitan Syaitan.

Para sahabat radiallahuanhum yang bersama Rasulullah salallahualaihiwasalam sewaktu berperang dan berjuang mempertahankan Islam, berjihad dan bertempur gagah mengangkat daulah (kerajaan) Islam Madinah juga tidak terlepas dari di didik dan dihukum oleh baginda di atas kesilapan dan kesalahan.

Di dalam sebuah hadis :
"Ada mengisahkan perihal seorang perempuan yang hendak direjam di atas kesalahan zina, Lalu datang Khalid bin Al-Walid membawa sebuah batu, dan melempar perempuan itu tepat pada kepalanya. Darah dari kepala perempuan itu memancut sehingga mengenai muka Khalid, sehingga Khalid mencela perempuan itu.

Maka Rasulullah berkata: "Tenanglah wahai Khalid. Demi yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya perempuan ini telah bertaubat
dengan taubat yang jika dilakukan oleh seorang yang zalim pun nescaya akan diampunkan lalu baginda memerintahkan supaya mayat perempuan itu diuruskan dan baginda bersolat ke atas jenazahnya dan mengebumikannya." (Hadis sahih riwayat Muslim )

Begitu juga kisah para sahabat yang datang kepada Rasulullah bagi mengakui kesalahan-kesalahan mereka yang lain.

Pokoknya, memperjuangkan Islam tidak bermakna anda akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh itu hentikan sikap suka mencela dan menyalahkan orang lain seolah-olah kita tidak pernah membuat kesilapan dan kesalahan.

Membolak-balik Hati Manusia Itu Kerja Tuhan

Berhati-hati tuan-puan yang dihormati,

Pada hari ini kita mungkin dipermudahkan oleh Allah swt untuk melakukan segala kerja-kerja kebaikan tetapi tidak bermakna pada hari hadapan kita tetap akan istiqamah (berterusan) menjadi baik dan melakukan hal yang baik-baik. Segala kejahatan yang kita dengar di kaca TV dilakukan oleh manusia yang bernafas, berfikir dan berotak seperti kita hanya "kawalan dan pilihan" yang membezakan situasi kita dan mereka.
hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).

Penjenayah rogol dihadapkan ke mahkamah di kaca TV mungkin bermula sebagai pegawai atau eksekutif atau pemuda seperti kita. Berpeluang bersama wanita di dalam lif atau pejabat tanpa ada kehadiran orang lain " tidak mampu Mengawal nafsu dan gagal membuat pilihan yang betul" telah menjerumuskan kepada tindakan yang salah dan berakhir dengan tragedi yang buruk.

Pembunuh kejam dan sadis, pada awalnya mungkin seorang pak cik peramah dan lelaki yang disayangi oleh keluarga atau bapa yang manja dengan anak-anak, hanya kerana gagal mengawal diri dan tidak mampu memilih menyebabkan dia sanggup menetak si pemungut hutang sepuluh tetakan gara-gara cakapnya yang menghina, menjatuhkan maruah atau ugutan yang menyakitkan hati.

Tuan-puan, apakah semua ini tidak pernah terjadi di dalam hidup tuan dan puan ? bersyukurlah kepada tuhan, masih belum di uji ....tidak bermakna akan terselamat dari akan mengalaminya..

Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kerap membaca doa :

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ?

Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Jadilah Hamba yang Penyayang kepada Tuhan Yang Penyayang

Manusia seperti saya yang banyak berdosa, mengharapkan tuan-puan yang dihormati dapat menjadi hamba Allah seperti saya bukan malaikat atau wakil tuhan yang perlu saya tundukkan kepala, saya perlukan makhluk setaraf seperti saya agar saya dapat bergaul, berkawan dan menjalinkan persaudaraan.

Sabda rasululah :
"Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayangi oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi). oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, nescaya zat yang di atas langit akan menyayangi kamu". (Hadis Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadis ini telah disahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Zahabi)

Juga disebut dalam hadis yang lain :

"Barangsiapa yang tidak menyayangi orang yang di muka bumi, nescaya tidak akan disayang oleh zat yang di atas langit". (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh Imam Thabrani di kitabnya "Mu'jam Kabir No. 2497 dari jalan Jarir bin Abdullah. Imam Zahabi)

Saya perlukan manusia yang dapat menerima saya, menerima kelemahan dan kesalahan saya dan membantu saya untuk keluar dari permasalahan saya bukan untuk menghukum saya, memuaskan hati tuan dan puan melihat saya terseksa dan menderita dan merasa gembira telah mengenakan seorang hamba yang berdosa seperti saya di atas nama tuhan dan merasakan bahawa tuan-puan sudah menjalankan kehendak tuhan bagi menyeksa hamba-hamba-Nya.

Mana janji tuhan kepada saya bahawa penyeksaan itu di akhirat ? Dijadikan dunia sebagai ladang amalan ? orang kafir dibiarkan mencecap dan menikmati rezeki tuhan di muka bumi sekalipun tidak beriman dan mereka boleh membina hidup lumayan.

Saya masih beragama, beriman dan berhasrat menuju kepada tuhan setiap hari saya berusaha membuat persediaan dan menyediakan diri saya untuk melaksanakan arahan tuhan sekalipun saya tahu banyak pula saya tertinggal dan terlanggar perintah tuhan.

Berikan saya hak sebagai hamba Allah swt untuk mendapat wakil saya, pembela saya, yang akan membela maruah dan menjaga hak-hak saya serta mengurangkan beban dan derita saya.

Wakil saya ialah seorang manusia, hamba Allah swt seperti saya yang mengasihani saya dan menyedari penderitaan saya, dia berusaha mengurangkan beban saya.

Dialah seperti Rasulullah ! Abu Bakar ! Umar, Utsman dan Ali juga sahabat serta tabien, kasih sayang sesama manusia dan sentiasa membantu orang lain.
- Rasulullah membuat bakti walau kepada yahudi tua yang sering mencela baginda
-Abu Bakar memberi sedekah walau kepada orang yang mencela keluarganya
-Umar melayani rakyat walau yang mengkritik pentadbirannya
-Utsman membantu orang susah walau tidak menyukainya
-Ali memuliakan Muawiyah walau tidak sefaham politik dengannya

Dakwah ialah seruan bukan Penghukuman
Perlu bagi para pendakwah (penyeru) agama ini memahami bahawa matlamat Islam ialah membawa manusia kepada jalan yang diredhai tuhan dan ianya berlaku dengan penuh kewaspadaan dan jauh dari kecelaruan dan kecuaian.

Oleh itu wajar seruan menuju kepada tuhan dilakukan dengan berhati-hati dan penuh keikhlasan untuk menyeru manusia menuju kebaikan dan kebahagian bukan untuk memuaskan hati sesiapa atau untuk mencapai apa-apa kepentingan.

Sekiranya anda tidak dapat melakukan usaha seruan, sering terpesong oleh belitan syaitan dengan asyik suka menghukum dan memburukkan mana-mana manusia di atas nama tuhan maka hentikanlah dakwah anda kepada kami, kerana kami manusia yang berdosa ini tidak mahukan wakil tuhan yang hanya tahu menghukum kami tetapi kami memerlukan wakil manusia yang akan mengeluarkan kami dari dosa membantu kami dari kesalahan dan membimbing kami menuju keredhaan.

Lailahaillallah....wahdahu la syarikalah...

Moga pintu taubat masih terbuka untuk kami ya Allah
Berikanlah kami wakil dan pemimpin yang akan membantu kami
bukan orang-orang yang hanya tahu mencela dan menghina kami
menyusahkan hidup kami di atas pembohongan nama-Mu ya Allah !

No comments: