Bersikap sederhana di dalam agama sangatlah dituntut oleh Islam kerana ini membuatkan kita tidak terlajak daripada melampaui batasan dan had sekatan yang ditetapkan oleh Allah swt baik kita menjadi terlalu longgar atau menjadi terlalu ketat.
Perkara biasa apabila orang tidak menerima pendapat kita, bermakna kita masih belum sempurna dan berjaya menyakinkan orang kepada apa yang hendak kita perjuangkan dan kita juga mempunyai seribu satu kelemahan.
Wahai rakan-rakan PAS,
Anda usahlah bersikap kolot dan menunjukkan anda di pihak yang beremosi dan tertekan dengan sikap serta gelagat manusia ramai kerana pemilihan anda untuk menyertai parti PAS ialah di dasari kerana kehendak anda untuk memperjuangkan ISLAM.
Memperjuangkan Islam memerlukan akhlak dan kesabaran yang utuh serta membuktikan kebenaran perjuangan kita adalah mustahil melainkan diikuti oleh usaha gigih untuk beramal dan muhasabah serta tazkiyah dilakukan pada harakah dan jemaah bagi mencapai kehendak kitab dan sunnah serta menuju ke matlamat yang diredhai Allah swt.
Usah melatah, usah mempamerkan kegeraman dan kekecewaan pada kata-kata, tulisan atau air muka anda terhadap mereka-mereka yang enggan menerima perjuangan anda, misi dan matlamat anda kerana sampai kiamat tetap akan ada manusia seperti itu.
Biarkan mereka dengan labu-labunya, salafi ori dengan tok gurunya.
Rileks....
Penyokong PAS harus tahu, kita sendiri pun kadang-kala walau ahli PAS seumur hidup namun masih tertekan dengan sikap dan situasi Pas yang banyak tidak menyenangkan kita maka mampukah ianya menjadi satu tarikan kepada orang lain pula untuk menyertai PAS ?
Kawal tenaga dan emosi anda, usah bazirkan di gelanggang sia-sia..
Marilah kita bekerja keras, mencapai matlamat kita, membantu harakah PAS menegakkan Islam di Malaysia, terdapat ruang yang cukup besar disediakan oleh PAS untuk kita berkhidmat dan membantu bagi menegakkan Islam dan usahakanlah dengan mengubah sikap dan diri kita ke arah yang lebih positif.
Kepada ikhwah yang tidak menyokong pembangkang di dalam pilihanraya,
Bersikaplah sederhana, jangan terlalu ta'asub pada Pak Lah dan Islam Hadharinya, belum tentu sempurna dek mata dan maksum dek akal minda sangat banyak ruangan dan cabang yang boleh anda perjuangkan.
Usah cakap dan kata sahaja tanpa tindakan, anda inginkan Malaysia yang melaksanakan Islam ? Anda tidak yakin pada PAS dan pembangkang ? Maka ayuh buktikan komitmen anda pada agama dan bangsa, beramallah untuk negara, bersikap jujur dengan amanah agama.
Sudah 50 tahun memerintah, rakyat tetap mendapat hasil yang sama dan bahkan Islam makin terseksa, usah bermain kata-kata, sudah sekian lama memerintah kini buktikan komitmen anda pada agama dan bangsa !
Kami tidak mahu masjid kristal anda tetapi kami inginkan keadilan dan kejujuran serta sikap amanah menguruskan khazanah harta negara ditadbir dengan ketaqwaan.
Rileks....
Setiap kali kita bercakap soal politik maka hati dan perasaan harus dijaga, usah fikir hanya kita yang tahu kebenarannya tetapi fikirlah bahawa bukan hanya kita yang inginkan Islam dan kebenarannya, cuma hanya pendapat berbeza menghasilkan tindakan yang tidak sama.
Nasihat buat salafi Ori,
Anda memanglah seorang yang rileks kerana anda tidak bersikap serius pada pilihanraya, nasib bangsa dan negara serta penderitaan rakyat 50 tahun di bawah pentadbiran BN.
Rileks...jangan marah kerana agama itu nasihat...
Kami memohon anda sekali-sekala kemukakan usaha anda apa yang perlu diperbuat untuk memperbaiki taraf dan nasib rakyat jelata ? Bersikap serius harus ada sebagai tanda kita buat kerja dan beramal dengan ilmu agama bukan hanya ikuti kelas dan majlis pengajian sahaja lalu mendakwa kita sudah perjuangkan Islam di dalam negara...
Rileks...rileks
Anda menyokong UMNO dan BN, syabas tandanya anda berperihatin pada nasib bangsa orang Melayu, bagus kami menyokong, sila contohi Dr Asyraf Wajdi, saudara Pisdaus di Kepala Batas, Dr Abdullah Mat Zin, Puan Dato Dr Mashitah Ibrahim, saudara Astora Jabat dan pelbagai lagi tokoh-tokoh alim di dalam UMNO dan BN.
Ubah dan perbaikilah UMNO semampu anda, jangan paksa kami yang telah memilih Pas sebagai Proxy kerana kami akan mengubahnya di sini....
Adapun tanggungjawab UMNO sekarang terpikul di bahu anda...untuk membersihkannya dari dalam....bukankah anda di dalamnya sekarang ??
Rileks...rileks...
Anda tetap saudara kami....anda perlukan bantuan ? panggil sahaja kami..ramai ustaz-ustaz PAS memang pun tak sabar-sabar nak pergi bagi ceramah pada orang UMNO, Cuma lesen dan permit kami yang ditarik dan kuliah kami disekat...rileks.
Rileks itu indah bila kita duduk sahaja tanpa membuat apa-apa kerja...
Rileks itu payah bila kita serius berusaha tetapi terpaksa mengekalkan sifat cool dan bersahaja di tengah-tengah amarah....
Macam mengekalkan temperature di dalam kereta sewaktu memandu laju di jalan raya tanpa air yang mencukupi, kita tidak mampu bertahan lama...hehehe
Selamat berusaha untuk PRU ke12
Segala puji hanyalah bagi Allah swt
No comments:
Post a Comment