Monday, July 02, 2007

Seorang Ustaz, sebuah perjalanan yang panjang


Membawa obor atau panji dakwah Islam, berarak mengelilingi ramai manusia, menampilkan diri sebagai jaguhan agama tentu menjadi hasrat kebanyakkan mereka yang mendapat anugerah dan peluang dalam menceburi bidang agama atau yang bergelar Ustaz.

Terasa di hati ini, sangat malu dengan gelaran yang diberikan akibat watak dan taraf itu di Negara Malaysia sangat mengecewakan. Pada hari ini manusia beragama di Malaysia sangat dikelirukan apabila jaguhan agama semuanya mahu menuntut nama dan wajah manusia atau semuanya berhasrat menyumbang kepada agama jika kita mahu menyedapkan istilah tanpa menyedari akan prinsip dan matlamat sebuah ubudiyah.

Pada waktu dan ketika ini di negara saya, ramai manusia mengaku mengikuti manhaj salaf soleh hanya kerana berpendapat Hajjaj Ibn Yusof sebagai adil dan soleh kerana solatnya sahabat seperti Anas ibn Malik ra dan Abdullah Ibn Umar ra dibelakangnya, kerana memang pun benar banyak kisah palsu menambah-nambah akan kejahatannya juga kerana muncul beberapa buah kitab membelanya maka Hajjaj Ibn Yusof As-Saqafi, muslim yang fajir dan fasiq yang membunuh ulama tabien Said Ibn Jubair ra, diangkat menjadi hero dan diangkat dipuji lantaran “sangkaan” dan “kajian” mereka yang terlalu muda ilmunya kemudian masing-masing berbangga merasakan telah melakukan kebajikan dan gembira kerana mengetengahkan perkara baru yang tidak diketahui oleh orang ramai dan mendapat nama dan pujian dari usaha mereka.

“Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat kebaikan” (Al-Kahfi : 104)

Saya tidak mencela mereka, tetapi mendoakan moga Allah memberikan kebaikan dan panduan kepada saya dan mereka juga bersangka baik agar dari usaha mereka menyelidiki dan mengkaji riwayat-riwayat dan urusan agama membawa saya dan mereka pada suatu hari nanti kepada keredhaan Allah swt namun saya melihat wajar muncul seseorang menjelaskan kesilapan mereka pada hari ini.

Disebutkan oleh Imam Tirmidzi ra di dalam Kitab Ilal-nya yang disyarahkan oleh Ibn Rejab ra, jilid 1, m/s 194 yang menceritakan mengenai kisah Abu Bakar Ibn Khalal ra, yang meriwayatkan bahawa dia telah masuk menemui Yahya Ibn Said Al-Qahtan ra yang ketika itu sedang sakit. Dia bertanya kepada aku apakah yang sedang dicakapkan oleh manusia lalu aku menjawab kepadanya, mereka mengatakan kepada engkau kebaikan kecuali mereka takut daripada kalam engkau terhadap orang-orang lain. Maka berkatalah beliau (Yahya bn Said), hafazlah dari aku bahawa terjadinya bagiku musuh seteru lelaki daripada kalangan manusia lebih aku sukai daripada nantinya yang menjadi seteruku ialah Nabi salallahualaihiwasalam yang akan mengatakan telah sampai kepada engkau akan hadis yang padanya engkau tahu tidak sahih tetapi mengapa engkau tidak memungkirinya (menafikannya) ?

Menukilkan pendapat Syeikh Dr Abdullah Ad-Domaiji, bekas Dekan Kuliah Aqidah Universiti Ummul Qura’ bahawa bukanlah satu peristiwa baru apabila peribadi Ummu Mukminin Aisyah ra kononnya cuba dibersihkan oleh kaum muktazilah mengenai hujah perkahwinannya dengan Rasulullah salallahualaihiwasalam ketika berusia 9 tahun. Juga bukan asing dan ganjil dari sejarah Islam kemunculan orang-orang yang mencari popular di atas urusan ini apabila banyak hadith sahih di dalam Kitab Jami’ Bukhari sendiri pernah dipertikaikan juga sudah tentu bukan hal yang baru apabila riwayat di dalam tulisan kitab-kitab ulama seperti Ibn Katsir ra dan lain-lain dipertikaikan.

Membaca pertuduhan orang-orang alim di Negara saya terhadap Imam Muhammad Ibn Ishaq periwayat kisah-kisah sirah Islam menjadikan saya tersentap lantaran hal ini bercanggah dengan kaedah para ulama hadis yang menolak periwayatan aqran (seangkatan atau rakan) apabila Imam Malik ra mengatakan Imam Muhammad Ibn Ishaq ra sebagai dajjal kerana disebutkan oleh para ulama hadis riwayat sebegini tidak diterima lantaran berlaku perselisihan di antara mereka semasa hayat. Hal ini juga berlaku seperti tuduhan Imam As-Sauri kepada Imam Abu Hanifah ra, dan kalam Imam Yahya Ibn Main’ ra (Imam Jarah Wal Ta’dil) terhadap Imam Syafie ra yang menjarahkan Imam Syafie dengan mengatakan beliau iaitu Imam Syafie ra, “Laisabil Hujjah” iaitu bukanlah hujjah.

Demikian juga berlaku perselisihan di antara Imam Nasaie ra dengan Ahmad Ibn Soleh Al-Misri ra dan Imam Ibn Mandah ra (Hafizd Muhammad Ibn Ishaq Ibn Yahya) dengan Imam Abi Nuaim Al-Asfahani. Maka benarlah nasihat Imam Adz-Zahabi ra bahawa kalam di antara satu sama lain yang seangkatan dan rakan-rakan wajar dilihat dan diteliti. Disebabkan mereka sekalipun ulama’ tidak maksum dan tidak terlepas daripada pengaruh hawa nafsu, hasad dan pergaduhan dari hal yang berlaku di antara mereka secara peribadi yang tidak wajar diambil pegang sebagai titik tolak pengukur riwayat atau ilmu yang disampaikan.

Al-Imam Bukhari ra juga pernah dituduh sebagai mubtadi’ (ahli bid’ah) seperti yang disebutkan oleh Az-Zuhalli apabila Imam Bukhari berkata Al-Qur’an itu kalam Allah dan alfadzuna makhluk iaitu lafaz kita ialah makhluk, maka beliau dituduh sebagai mubtadi’ oleh gurunya iaitu az-Zuhalli sedangkan disebut oleh para ulama hasil tuduhan ini ialah kerana hasad. Maka amat zalim menuduh ulama yang berjasa dalam penulisan sirah dengan sangka buruk dan tohmahan tanpa pengamatan yang kukuh serta jauh daripada pertunjuk ulama silam yang mengisahkan hal yang demikian.

Tentu sekali syiah’ sejak zaman dahulu sudah terkenal dan diketahui berpengaruh dalam memalsukan hadis dan riwayat maka apakah hal ini terhijab daripada ulama muhaqqiq seperti Imam Ibn Katsir ra, Adz-zahabi, Hafidz al-Iraqi dan lain-lain ? Hanya ulama alim di Negara saya sahajakah yang sangat hebat menyingkap kisah-kisah pendustaan syiah di dalam kisah sirah dan menuduh Muhammad Ibn Ishaq ra sebagai syiah yang hasad pada Islam ?

Allahumusta’an,
Moga Allah swt memberikan saya waktu menulis secara ilmiah dan membahaskan sanad-sanad dan riwayat kisah-kisah yang diperselisihkan oleh alim ulama tanahair saya dalam persoalan manhaj dan pegangan mereka dari aliran hadis India.

Sewaktu mengajarkan hadis perihal taharah di dalam Kitab Umdatul Ahkam kepada pelajar-pelajar saya, maka kami pun sampai ke hadis yang kedua apabila telah melepasi hadis perihal niat, lalu saya pun menyebutkan seperti biasa dengan memilih untuk membawa sanad daripada Imam Muslim ibn Hajjaj ra yang telah menyebutkan bahawa telah diberitakan kepada kami oleh Muhammad Ibn Rafi’ iaitu Syeikh Khurassan, seorang perawi yang siqah, wara’ di ambil hadisnya sebanyak 17 buah oleh Imam Bukhari, meninggal pada 245 Hijrah dari riwayat Ibn Hibban ra.

Telah berkata Muhammad Ibn Rafi’ bahawa telah diberitakan kepada kami oleh Abd Razaq ibn Hammam ibn Nafi’ Al-Himyari Al-Yamani iaitu Abu Bakr As-San’ani, siqah sabit tetapi pernah dituduh sebagai syiah masa hayatnya, buta ketika tua meninggal pada 211 Hijrah ketika Syawal. Beliau berkata telah diberitakan kepada kami Ma’mar ibn Rasyid iaitu tabi’ tabien, siqah, meninggal pada bulan Ramadhan pada tahun 152 Hijrah sewaktu berusia 58 tahun. Ma’mar kemudian mengatakan daripada Hammam Ibn Munabih iaitu tabien, siqah berasal daripada San’a, Yaman dan meninggal pada tahun 31 Hijrah menurut Ibn Saad dan pada 32 hijrah pula menurut riwayat Ibn Hibban, meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah, Muadz, Ibn Zubair, dan lain-lain, merupakan saudara kepada Wahb ibn Munabih, yang berkata ini ialah apa yang diberitahukan kepada kami oleh Abu Hurairah daripada Muhammad Rasulullah salallahualaihiwasalam yang bersabda :

لا تقبل صلاة أحدكم إذا أحدث حتى يتوضأ
Maksudnya : “ Tidaklah diterima solat seseorang daripada kamu jika berhadas sehinggalah dianya berwudhuk.”

Sebaik sahaja selesai membacakan hadis di atas hati kecil saya berbunyi membisikkan supaya saya melanjutkan syarah mengenai sanad hadis terlebih dahulu sebelum memjelaskan apa syarah mengenai matannya. Justeru sekarang pendedahan di tanahair saya terhadap bidang hadis sudah begitu berkembang.

Rata-rata pelajar pusat pengajian tinggi tidak terkecuali walau cuma pusat persediaan pengajian tinggi sekarang sudah giat membuka kitab-kitab hadis dan mensyarahkan hadis itu dan ini, mempertikaikan tulisan-tulisan ulama besar di dalam ruangan forum dan laman-laman web dan diskusi maya. Para Ustaz tidak kurang melayan fenomena ini dan menjamu para pelajar tadi dengan sekarung tulisan demi tulisan menulis perihal uslub dan kaedah di dalam ilmu hadis serta membentangkan sejumlah kajian-kajian ulama terkini dan lama di dalam kesenian mustolahah maka kritikan, pandangan, perbezaan di antara manhaj dan pemahaman serta pegangan satu sama lain mula terzahir dan kejahilan akhirnya tidak dapat ditutup dari terpamer mengambarkan kita tidak ubah seperti kanak-kanak bermain dengan permainan orang tua.

Masing-masing mahu menggambarkan bagaimanakah cara yang sebenar dalam memainkan permainan tersebut dan yang paling tua dalam kumpulan kanak-kanak itu biasanya berpeluang menunjukkan kehebatan dari yang lain kerana mengaku paling hampir dan dekatnya dia dengan orang dewasa dan tahu cara memainkan permainan tersebut manakala yang lain yang lebih muda bisanya mengikut.

Misalkan permainan Ragbi, Golf, lumba kereta, memanjat bukit dan berenang dan aksi sarkas.

Persoalannya salahkah mereka bermain permainan orang-orang dewasa ? Jawapannya tentu tidak salah jika ianya tidak merbahaya tetapi pasti salah jika ianya bahaya kemudian membawa masalah, membuang masa dan tidak membina pemikiran mereka dan membentuk jiwa sesuai dengan kanak-kanak. Demikian yang kita khuatiri daripada sikap yang menimpa di tanahair daripada perkembangan yang berlaku sewaktu ini. Permainan dewasa jika dimainkan oleh orangnya pasti memberikan manfaat sesuai dengan keperluan orang tersebut.

Juga keilmuan pada tangan yang berhak dan kesenian pada pemiliknya memberikan pulangan dan manfaat banyak kepada diri mereka dan orang lain tetapi pada tangan pelajar yang belum mencapai tahap dan waktu untuk itu mereka membuang masa khasnya bila menyibukkan diri dengan ilmu berkait manhaj Syeikh Albani ra dan Syeikh Dr Abd Fattah Abu Ghuddah yang ditukar nama sebagai manhaj mutaqadimin dalam soal pentashihan (mensahihkan) dan pendhaifan (mendhaifkan) hadis pastinya merugikan jika disibukkan sampai menjadi satu topik yang panjang.

Mengajak para umat dan remaja khasnya pelajar di pusat pengajian tinggi menghayati dan beramal dengan hadis dan isi kandungan sunnah itu merupakan satu hal pokok yang lebih utama dan wajar daripada mengetengahkan persoalan perubahan pada soal pensahihan hadis menurut manhaj albani kepada pensahihan menurut manhaj mutaqadimin. Walaupun begitu tidak di nafikan daripada kajian demi kajian yang dibuat membuka mata ramai umat Islam kepada kebenaran salaf soleh dan juga mengajar umat supaya berhati-hati dengan sumber agama dan mengambil yang bersih daripada yang palsu.

Teruskan usaha mengkaji demikian itu juga yang dilakukan oleh saya sendiri dengan mencuri-curi masa meneliti itu dan ini untuk mengetahui dan untuk mengkaji apa yang belum diketahui dan dari kesibukkan itu saya pernah bertanya diri sendiri.

Apakah akan saya menjadi seorang yang sibuk beramal sehingga terpaksa mencuri masa untuk mengkaji dan mengaji atau saya menjadi seorang yang sibuk mengkaji dan mengaji sehingga terpaksa mencuri masa untuk beramal ? Teringat saya akan kalam hikmah iaitu barangsiapa yang beramal dengan apa yang telah diketahuinya maka Allah swt akan memberikan kepadanya ilmu yang tidak diketahuinya.


Penghambaan diri kepada Allah swt ialah suatu kewajipan dan merupakan perintah dari Pemilik Alam Semesta supaya manusia tunduk dan patuh kepada ketetapan dan perintahnya serta supaya manusia mencari akan jalan-jalan yang dapat membawa mereka kepada mentaatinya secara penuh sempurna dan diredhai olehnya.

Kerana itu manusia diwajibkan menuntut ilmu serta dijadikan usaha menuntut ilmu iu sebagai sebahagian dari usaha ketaatan dan dikira dalam amalan ketaatan dan diberi ganjaran ketaatan iaitu pahala, keampunan, dan ketinggian darjat serta kedudukan di sisi-Nya sehingga akhirnya diberikan keredhaannya.

Semuanya supaya dari usaha menuntut ilmu itu manusia dapat meninggalkan kejahilan dan mengetahui serta menemui perkara-perkara yang dapat dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu dan mesti dilakukan bagi mentaatinya, yang perlu ditinggalkan bagi mentaatinya dan juga yang perlu dicari dan dikaji bagi mentaatinya serta mengetahui pula perkara yang mesti diperjuangkan, dipertahankan dan digadaikan nyawa dan darah demi menunaikan ketaatan kepadanya.

“Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah iaitu tuhan sekalian alam.” (Al-An’am : 162).

Pada hari ini kita sangat terdedah kepada pelbagai situasi yang menyukarkan kita membuat pilihan dan keputusan. Misalnya ramai sekali pelajar-pelajar wanita kita di luar Negara lalu menanyakan kepada saya apakah hukum musafir tanpa mahram dan keluar belajar di luar Negara ? Hal ini pasti sekali memeningkan kerana apakah saya akan mengatakan haram seperti mana yang tercatat pada hadis sahih dan fatwa ulama silam yang mengharamkan musafir wanita tanpa mahram dan tanpa darurat serta apakah saya akan mengatakan hanya untuk memperoleh sijil ijazah dalam perubatan atau bahasa asing maka anak-anak gadis Islam yang mentah remaja dan nakal-nakal itu diberikan alasan darurat boleh musafir ke luar Negara tanpa mahram ?

Maka hal ini pastinya mengakibatkan mereka terpaksa membayar kembali wang biasiswa yang ditaja dan pelanggaran syarat dengan pihak penaja pengajian amatlah berat dan menyusahkan. Seterusnya bagaimana pula situasi umat Islam yang menetap di Negara kafir dan penduduknya majoriti bukan Islam seperti di Negara barat ?

Pelbagai lagi masalah menjadikan seorang Ustaz itu bukan sahaja harus berani dan kukuh lisannya dalam memberikan hujah sebaliknya harus berani bertanggungjawab mengambil risiko dalam menyelesaikan permasalahan ummah. Tentu seorang ahli agama yang mahu melepas diri daripada masalah akan berpandukan kepada sepotong dua hadis lalu memberikan fatwa dan hujah bagi menghalalkan atau mengharamkan serta meninggalkan si penanya dengan jawapan tadi.

Apakah bukan sikap seorang pendakwah apabila dia ditanya dengan sesuatu masalah, bukan sahaja memberikan jawapan tetapi juga menolong mereka yang bermasalah dengan memberikan jalan keluar dan membantu mencari penyelesaian.

Pernah berlaku kisah seorang wanita yang berasal daripada Indonesia yang musafir tanpa mahramnya menetap di luar Negara lalu bernikah tanpa keizinan walinya dengan berpandukan kepada mazhab Abu Hanifah setelah usaha dilakukan bagi membolehkan bernikah melalui mazhab Syafie gagal maka ditanyakan kepada orang-orang yang alim apakah hukumnya itu lalu mereka hanya sama ada memberikan jawapan haram dan tidak sah, manakala alim ulama’ yang ringan dan memudahkan memberikan jawapan sah dan sahih nikahnya.

Persoalan bagi yang mengatakan haram maka apakah wajar wanita itu pulang ke negaranya seorang diri atau terus hidup tergantung dan berpisah dengan suaminya kemudian hidup menanti nasib sehingga keluarganya yang kurang faham agama itu menyetujui pernikahannya atau menyatukan dia dengan sesiapa yang mereka kehendaki ? Siapa yang menyedari nasib malang sebegitu akan menimpanya ? Pihak keluarga biasanya hanya akan memarahi kerana tidak mendengar nasihat, akan memuaskan nafsu amarah mereka untuk menjadikan si gadis menyesali perbuatannya yang mahu bernikah kerana mahu menjaga diri dan agama di luar Negara tanpa mahu bertindak yang sewajarnya bagi menyelesaikan masalah si gadis.

Sewaktu berhadapan dengan hal sebegini, saya sangat-sangat risau bertanggungjawab di hadapan Allah swt tetapi pendekatan dan hujah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradhawi menyenangkan hati saya apabila beliau berkata sekiranya sudah berlaku perkahwinan maka para ulama seharusnya berusaha mensahihkan muamalah kaum muslimin sekadar mampu seperti halnya yang berlaku di Mesir.

Kesimpulannya menjadi seorang Ustaz tidaklah mudah, selain berhadapan dengan cercaan dan fitnah, tuduhan dari mereka yang mempunyai nafsu amarah dan dari musuh-musuh yang jelas nampak dan tidak.

Wallahualam,
Segala puji hanyalah bagi Allah swt

No comments: