Wednesday, February 07, 2007

Murjiah : Pemahaman Bathil Sehingga Ke Hari Ini


Sejarah golongan Murjiah bermula apabila muncul para fuqaha yang menangguhkan amalan daripada iman dengan bermaksud iman itu pada mereka hanyalah bermaksud tasdiq (membenarkan) dan tidak termasuk daripada amalan perbuatan. Kemunculan faham murjiah sudah lama sejak zaman Hammad Ibn Abi Sulaiman guru Imam Abu Hanifah ra lagi dan daripadanya disebutkan oleh para ulama bahawa Abu Hanifah turut terpengaruh dengan beberapa kefahaman Irja.

Kemudian gelaran murjiah ini menjadi istilah kepada golongan yang memisahkan dan tidak memasukkan amal di dalam iman serta berkongsi faham golongan ini dengan kumpulan jahmiyah yang dinisbahkan kepada Jahm Ibn Sofwan As-Samarqandi dan pengikutnya yang mengatakan iman itu cuma sekadar makrifah (mengetahui) dan kufur itu ialah kejahilan dan puak karamiyah yang mengatakan iman itu hanyalah bermaksud pengakuan lisan sahaja.

Bahkan pemikiran bahawa Iman hanyalah sekadar tasdiq (membenarkan) dan tidak termasuk amal perbuatan turut dipegang oleh ramai fuqaha ilmu kalam dan usul misalnya seperti Abu Hasan Al-Asya’ari (sebelum bertaubat) dan juga Abu Ma’ali Al-Juwaini As-Syafie (Imam Haramain, ulama besar Asya’irah, meninggal 478 hijrah) serta Qadhi Abu Bakr ibn Muhammad Al-Baqilani (ulama kalam dan usul meninggal 403 hijrah).

(Rujuk dan lihat Kitab Al-Iman oleh Imam Ibn Taimiyyah ra m/s 150).

Baginda rasul pernah bersabda sebagai maksud " Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik ajaran adalah ajaran Rasulullah. Dan sesungguhnya sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya sesuatu yang baru diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan." (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 867).

Pemahaman bahawa iman itu termasuk amal merupakan suatu yang disepakati oleh ahli ilmu dan fuqaha Islam yang menetap di atas jalan sunnah dan berpegang kepada pertunjuk salaf soleh seperti apa yang disebutkan oleh Imam Al-Hujjah Muhammad Ibn Ismail Al-Bukhari ra yang mengatakan : “ Aku bertemu lebih dari seribu orang ahli ilmu, baik ahli hijjaz, Mekah dan Madinah, Kufah, Basrah dan pertengahan Baghdad, serta Syam dan Mesir, aku bertemu mereka berkali-kali kurun demi kurun dan selepas kurun itu kemudian kurun selepasnya …kemudian menyebutkan tokoh-tokoh ulama yang dijumpainya lalu menyebutkan … “ Aku tidak mendapati seorang pun di kalangan mereka itu yang berselisih pendapat dan bahkan bersepakat bahawa sesungguhnya deen itu perkataan dan amal perbuatan maka demikian itu firman Allah swt :


وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Al-Bayinah : 5)

(Rujuk Syarh Sunnah m/s 172 Jilid 1 oleh Al-Lalikaie dengan sanadnya yang sahih kepada Imam Bukhari dan juga yang dinaqalkan darinya oleh Imam Hafidz Ibn Hajar ra di dalam Fathul Bari m/s 48 Jilid 1).

Berkata Ibrahim An-Nakhaie ra (seorang tabien masyhur, ulama kufah meninggal 96 Hijrah dan di antara muridnya ada yang berfaham murjiah seperti Hammad ibn Sulaiman) bahawa :
“ Al-Irja itu bid’ah.”

“Hati-hatilah kamu daripada ahli fahaman yang baru ini (murjiah).”

(Rujuk Al-Ibanah Al-Kubra oleh Ibn Battah m/s 169-170).

Juga berkata Said Ibn Jubair ra :

“Murjiah itu seperti penyembah berhala”

(Rujuk Al-Ibanah Al-Kubra oleh Ibn Battah m/s 169-170).


Berkata Qadhi Fudhail ibn Iyad ra :

“Ahli irja (golongan murjiah) mengatakan iman itu pengakuan tanpa amal dan berkata pula al-jahmiyah bahawa iman itu makrifah tanpa memerlukan pengakuan dan amal manakala ahlul sunnah pula mengatakan iman itu ialah makrifah, pengakuan beserta dengan amal.”

(Rujuk Tahzibul Al-A’sar m/s 182 Jilid 2).

Mengapa Perlu Ditekankan Iman Bukan Hanya Tasdiq (membenarkan) ?

Hal ini penting kerana dari usul yang salah pada awalnya akan menghasilkan cabang dan furu’ (ranting) yang menyeleweng dari kefahaman yang sahih. Iman sekiranya disebut hanya sebagai tasdiq (membenarkan) maka akan menghasilkan kejahatan di muka bumi yang sangat banyak dan kesesatan apabila manusia menganggap iman itu cukup sekadar dibenarkan tetapi tidak perlu ditunaikan segala perintahnya.

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ فَقُلْ أَفَلا تَتَّقُونَ
“Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang Kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah". Maka Katakanlah "Mangapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?. "
(Yunus : 31).

Cukup banyak dalil dari kitab Al-Quran yang menunjukkan golongan kafir turut mengakui dan membenarkan Allah swt sebagai tuhan yang menciptakan alam tetapi tidak mahu tunduk mentaati (inqiyad) dan enggan menerima keyakinan yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam dengan mendustakan dakwah Islam.

Kerana itu sekadar membenarkan tetapi tidak melaksanakan tuntutan Islam merupakan kekufuran atau sebahagian atau separuh dari kekufuran ini disebabkan Islam itu terdiri daripada amalan zahir dan batin serta iman itu pula menuntut ditunaikan dengan keyakinan tanpa ragu dan amalan ketaatan dari hasil penyerahan kepada apa yang telah diyakini.

Maka hal inilah yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Muhammad Ibn Abd Wahab ra di dalam kitabnya Kasyfu Syubhat yang menyebutkan bahawa sekalipun golongan yang kafir itu turut mengakui dan beriman kepada Allah di dalam tauhid rububiyah mereka dengan mengakui Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki tetapi mereka (musyrikin) tetap dibunuh dan dikafirkan oleh rasulullah disebabkan mereka tidak memberikan hak ibadah yang mutlak kepada Allah swt kerana tauhid yang dikehendaki oleh Allah ialah tauhid ibadah (perlaksanaan ketaatan) hanya kepada Allah swt.

Disebabkan itulah maka Syeikh Muhammad Abd Wahab menyebutkan bahawa orang-orang yang tidak memberikan hak ibadah mutlak kepada Allah dan mereka yang tidak mentauhidkan Allah di dalam ibadah sebagai kafir.

Di dalam ayat 31 Surah Yunus, dipersoalkan kepada kaum kafir mengapa kamu tidak bertaqwa ? dan di dalam ayat 84 Surah Al-Mukminun pula dipersoalkan mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran ? dan ayat 87 yang menyebut mengapa kamu tidak bertaqwa ? yang ayat sebelumnya menyebutkan mereka semua telah mengaku Allah swt yang menciptakan alam langit dan bumi dan memberi rezeki kepada manusia.

Hal ini menjadi hujah bahawa sekadar beriman pada tasdiq (membenarkan) atau memiliki makrifah (pengetahuan akan hal keimanan) bukanlah menjadikan seseorang itu sebagai beriman selagi belum ditegakkan tuntutan keimanan dari amalan perbuatan seperti solat, puasa dan zakat.

Sekaligus bermaksud termasuk dalam maksud tuntutan iman itu ialah ketaqwaan dan bukan hanya pembenaran dan pengakuan bahawa Allah itu yang menciptakan alam dan sebagainya serta demikian pada seluruh hal yang ghaib yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam tetapi juga perlu ditunaikan yang demikian itu lalu baru disebut sebagai bertaqwa iaitu menunaikan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Maka satu penjelasan yang cukup baik telah diberikan oleh Syeikh Hafiz Ibn Ahmad Al-Hakami ra di dalam kitabnya أعلام السنة المنشورة apabila menyebutkan syarat-syarat penyaksian keimanan itu mempunyai tujuh perkara sebelum membolehkan penyaksian itu membawa manfaat kepada seseorang. Iaitu mengetahui akan makna keimanan itu zahir dan batin, keyakinan hati kepadanya, ketaatan kepada tuntutan keimanan zahir dan batin, menerima segala prinsip-prinsip dan isi kandungannya tanpa penolakan, ikhlas dalam menerima dan melaksanakannya, membenarkan dengan hati dan lisan serta perbuatan tidak hanya pada ucapan lisan dan mencintainya mengasihi ahli keimanan dan isinya serta memberi wala dan membenci kekufuran dan musuh keimanan.

Berkata Imam Abu Bakr Muhammad ibn Husain Al-Bagdadi Al-Ajari ra di dalam kitabnya As-Syariah bahawa tidaklah seseorang itu dianggap muslim sehingga terkumpul padanya pembenaran iman itu pada perkara hati, lisan dan perbuatan kemudian menambah lagi hendaklah wahai kaum muslimin menetap diri pada apa yang dipegang oleh ulama muslimin iaitu sesungguhnya iman itu wajib kepada semua makhluk dan ianya pembenaran dengan hati dan iqrar (pegakuan) lisan serta dengan amalan perbuatan serta tidaklah dianggap iman pada hati melainkan telah diketahui dari pengakuan lisan dan tidaklah diterima pengakuan lisan dan hati melainkan dengan amalan perbuatan. Sekiranya telah sempurna ketiga perkara ini maka seseorang itu dianggap telah mencapai kedudukan mukmin seperti yang disebut oleh kitab dan sunnah serta pegangan ulama muslimin.

Imam Al-La’likaie ra di dalam kitab شرح أصل إعتقاد أهل السنة والجماعة pernah menyebutkan bahawa Imam Syafie ra pernah menyebutkan di dalam kitabnya Al-Umm pada bab niat di dalam solat yang menyebutkan bahawa telah ijmak para sahabat dan tabieen sesungguhnya iman itu ialah qaul (perkataan) dan amal perbuatan serta niat di hati dan tidaklah terpisah di antara satu sama lain melainkan iman mesti dengan ketiga-tiganya sekali.

Juga berkata Imam Al-Auzaie ra bahawa tidaklah tertegak iman melainkan dengan qaul (perkataan) dan tidaklah tertegak iman dengan qaul perkataan kecuali dengan amal dan tidaklah tertegak dengan perkataan dan amal kecuali mesti dengan niat. Para salaf kita yang terdahulu tidaklah memisahkan iman dengan amal perbuatan dan amal perbuatan dengan iman serta iman itu ialah dari amal dan amalan perbuatan itu dari keimanan.

Lihat lanjut di dalam kitab الإباناة لابن بطة m/s 807 Jilid 2.

Juga berkata Imam Al-Baghawi ra di dalam kitab شرح السنة bahawa telah bersepakat para sahabat dan tabien dan sesiapa yang selepas mereka dari kalangan ulama sunnah bahawa sesungguhnya iman itu ialah dengan amalan perbuatan.

Demikian juga al-Imam ibn Abd Bar ra yang menyebut di dalam kitab التمهيد bahawa telah ijmak para ulama fiqh dan hadith mengenai iman itu ialah perkataan dan amal perbuatan.


Dalil Iman itu Mesti dengan Hati

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar-Radd ; 28).


“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah Dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir Padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, Maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar.” (An-Nahl : 106).


Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Aku bersaksi disisi Allah bahawa tidaklah seseorang itu mati dan dia mengucapkan syahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini rasulullah dengan benar di hatinya kemudian dia tetap padanya melainkan dia menuju ke syurga.” (hadith hasan, riwayat Imam Ahmad).

Dalil Iman itu Mesti Dengan Lisan Perkataan

Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan Para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah Kami menyerahkan diri." (Ali-Imran : 84).

“Orang-orang Arab Badui itu berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah: "Kamu belum beriman, tapi Katakanlah 'kami telah tunduk', karena iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Hujuraat : 14).

Sabda baginda rasulullah sallahualaihiwasalam : “Aku diperintahkan untuk memerangi semua manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini ialah rasulullah dan setelah mereka mengatakan demikian maka selamatlah dari aku akan darah mereka dan harta mereka kecuali dengan haknya dan hisabnya ke atas Allah.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalil Iman Itu Mesti Dengan Amalan Perbuatan

“Orang-orang yang beriman itu berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana Sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.” (An-Nisa : 76).

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut : 2).

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, Padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat.” (Al-Baqarah : 214).

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan mereka itu tidaklah sombong.” (As-Sajdah : 15).

Sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam : “ Iman itu terbahagi kepada tujuh puluh lebih bahagian yang paling tinggi ialah kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan serendah-rendahnya ialah menghilangkan duri di jalanan dan malu itu sebahagian dari iman.” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Iman disisi bahasa arab bermaksud membenarkan atau mempercayai sesuatu khabar dan disebut oleh pakar bahasa Ibn Manzur sebagai membenarkan dan lawannya ialah mendustakan (lihat dalam Kitab لسان العرب m/s 223 Jilid 1).

Bagaimanapun maksud iman yang hakiki tidak hanya bermakna “Membenarkan” sebaliknya seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Jauzi Al-Bagdadi ra (meninggal 597 Hijrah) bahawa iman di dalam Al-Qur’an itu pernah disebut dan didatangkan dalam lima bentuk iaitu :

Pertama : Kepercayaan : iaitu mempercayai dan membenarkan apa yang didatangkan oleh Allah swt seperti di dalam ayat 17 Surah Yusof وَمَا أَنْتَ بِمُؤْمِنٍ لَنَا وَلَوْ كُنَّا صَادِقِينَ)) “Dan tidaklah kamu akan mempercayai kepada kami sekalipun kami ini benar”. Di dalam ayat di atas digunakan kalimah sodiqin yang bermaksud hubungan iman itu ialah mesti dicapai dengan kepercayaan yang terhasil apabila membenarkan apa yang disampaikan.

Kedua : Iqrar dan pengakuan dengan lisan tetapi tidak membenarkan dengan hati, Ketiga : At-Tauhid, Ke-empat :Syariah, Kelima :As-Solat.

Lihat keterangan lanjut di dalam kitab نزهة الأعين النواظر في علم الوجوه والنظائر m/s 145-147 Cetakan Beirut.

Al-Imam Ibn taimiyyah ra menyebutkan juga masalah ini bahawa iman itu tidaklah hanya bermaksud membenarkan seperti kebanyakkan sangkaan orang ramai kerana tidak dikatakan kepada seluruh perkara yang dibenarkan seperti khabar berita dan lain-lain yang disampaikan oleh seseorang itu dengan diberi jawapan أمنت “aku beriman” sebaliknya digunakan kalimah صدقت iaitu “aku membenarkan atau aku mempercayainya”. Ini disebabkan penggunaan jawapan aku membenarkan seringkali berlaku kepada perkara keduniaan dan urusan harian.

Adapun “keimanan” berlaku kepada perkara ghaib dan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar maka dari situlah ucapan aku beriman digunakan sebagai ganti aku membenarkan. Berkata lagi Syeikhul Islam Ibn taimiyyah bahawa iman itu ialah darjah keyakinan dan kepercayaan yang bermula di hati dengan mencapai ketenangan dan jauh dari keraguan serta darinya membenarkan seluruh apa yang didatangkan oleh Allah swt dan ditunaikan dengan ketaatan.

Kemudiannya kalimah iman itu juga hanya digunakan dalam perkara yang ghaib dan bersangkut soal-soal yang datang dari Allah swt. Iman pula memiliki ciri-ciri makna yang lebih khusus dari sekadar “tasdiq” membenarkan, iaitu iman membawa makna perkhabaran yang iltizam (pasti) dan keyakinan yang tidak tergugat serta jauh dari syak dan ragu-ragu.

Kalimah “tasdiq” membenarkan digunakan kepada sesuatu yang lebih umum dan hanya kepada zahir hal seperti dikatakan aku mempercayaimu dan aku membenarkan berita yang disampaikan lalu hanya sekadar itu.

Maka iman pula sebaliknya tidak boleh diterjemah demikian kerana, kalimah iman yang lawannya kufur ialah sesuatu yang tidak hanya membenarkan sebaliknya mengandungi keyakinan, ketegasan kepada janji dan berita khabar yang pasti lalu membawa kepada ketaatan dan perlakukan balas dari keyakinan yang dimiliki.

Pemahaman Iman yang sahih disisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah bermaksud : “Pengakuan keimanan kepada perkara yang dibawa oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam dengan iktiqad hati, pengakuan pada lisan dan amalan perbuatan serta menunaikan segala tuntutannya melalui hati, lisan dan anggota badan dengan ikhlas kepada Allah swt, disertai cinta dan kasih kepada perkara keimanan dan ahlinya serta membenci pula kepada kekufuran dan ahlinya maka iman itu bertambah dengan ketaatan serta berkurang dengan kemaksiatan dan iman itu mempunyai enam rukun yang wajib diketahui dan terbahagi kepada beberapa cabang.”

Demikian pegangan ulama salaf soleh terhadap makna iman dari pelbagai kitab dan tulisan-tulisan ulama sunnah dahulu dan sekarang yang diringkaskan.

لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 177).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi sallahualaihiwasalam ketika menjawab pertanyaan Jibrail mengenai iman dengan menyebut : “Iaitu kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat serta beriman kepada qadar yang baik dan buruk.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda baginda nabi salallahualaihiwasalam juga : “ Iman itu terbahagi kepada tujuh puluh lebih bahagian yang paling tinggi ialah kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) dan serendah-rendahnya ialah menghilangkan duri di jalanan dan malu itu sebahagian dari iman.” (Hadith sahih, diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

Juga di dalam hadith yang baginda menyebutkan : “Aku memerintahkan kamu beriman kepada Allah yang satu dan tahukah kamu apakah itu iman kepada Allah ? iaitu kamu bersyahadah tiada tuhan yang berhak disembah selain-Nya yang satu dan tidak mensyirikkan-Nya serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan menunaikan khumus (harta rampasan perang) dari apa yang kamu perolehi.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Keimanan itu tidak membawa manfaat kecuali telah lengkap syarat-syaratnya pada seseorang seperti yang disebutkan oleh Syeikh Hafiz Ibn Ahmad Al-Hakami ra di dalam kitabnya أعلام السنة المنشورة apabila menyebutkan syarat-syarat penyaksian keimanan itu mempunyai tujuh perkara sebelum membolehkan penyaksian itu membawa manfaat kepada seseorang.

Iaitu mengetahui akan makna keimanan itu zahir dan batin, keyakinan hati kepadanya, ketaatan kepada tuntutan keimanan zahir dan batin, menerima segala prinsip-prinsip dan isi kandungannya tanpa penolakan, ikhlas dalam menerima dan melaksanakannya, membenarkan dengan hati dan lisan serta perbuatan tidak hanya pada ucapan lisan dan mencintainya serta mengasihi ahli keimanan dan isinya serta memberi wala dan membenci kekufuran dan musuh keimanan.

Mengetahui Makna dan Perkara Keimanan

Dimaksudkan mengetahui makna dan perkara keimanan ialah menyaksikan keimanan dan mengetahui akan hal-hal yang perlu diimani seperti rukun iman dan apa yang datang dari Allah swt melalui rasulullah dan kemudian beriman dengannya.

“Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafa'at; akan tetapi (orang yang dapat memberi syafa'at ialah) orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka mengetahuinya (memahaminya).” (Al-Zukhruf : 86).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi sallahualaihiwasalam ketika menjawab pertanyaan Jibrail mengenai iman dengan menyebut : “Iaitu kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat serta beriman kepada qadar yang baik dan buruk.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Serta rasulullah juga pernah bersabda : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah maka dia masuk syurga.” (hadith sahih, diriwayatkan oleh Muslim)

Keyakinan dan keteguhan hati kepada Rukun Iman dan Perkara Keimanan

Disebabkan keimanan bermaksud kepercayaan dan membenarkan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam yang merupakan khabar dan perkara ghaib serta semuanya daripada Allah swt yang Maha Ghaib maka keyakinan dan keteguhan hati itu merupakan syarat kepada bukti wujudnya iman dan keraguan serta syak menunjukkan bukti kekufuran.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujuraat : 15).

Tunduk dan Patuh Kepada Tuntutan Keimanan

Dimaksudkan tunduk dan patuh kepada tuntutan keimanan ialah menerima segala perintah Allah swt dengan penyerahan hati dan jiwa serta mentaati apa yang dibawa oleh rasul-Nya Muhammad salallahualaihiwasalam.

“Dan Barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang Dia orang yang berbuat kebaikan, Maka Sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.” (Luqman : 22).

Juga baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ Tidaklah beriman seseorang di antara kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh aku.” (hadith hasan, disahihkan oleh An-Nawawi).

Ikhlas dalam Menerima dan Melaksanakan Tuntutan Keimanan

Keikhlasan ialah melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah swt tanpa ada tujuan lain dan dilakukan hanya kerana Allah swt dan demi ketaatan kepada perintah-Nya bukan selain-Nya.

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” (Al-An’am : 162).

Keimanan dicapai oleh seorang manusia dengan payah dan susah, terhasil keimanan itu bukan dengan hanya angan-angan dan cita-cita tetapi dengan amalan soleh dan kebajikan serta mujahadah. Matlamat dari mempercayai sesuatu yang tidak nampak dan ghaib di hadapan mata hanyalah satu iaitu mengharapkan keredhaan dan menunaikan ketaatan kepada Allah swt tuhan yang Maha Ghaib.

Maka penumpuan tujuan dan pengkhususan segala kepercayaan, kesusahan dan hasil usaha ibadah dari tuntutan keimanan haruslah ditunaikan dengan keikhlasan.

Sabda rasulullah : “Sesungguhnya Allah ta’ala mengharamkan neraka kepada sesiapa yang mengucapkan kalimah lailahaillallah (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah) demi mengharapkan wajah Allah.” (hadith sahih, diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad).

Membenarkan Iman dengan Hati, Lisan dan Perbuatan

Tasdiq (membenarkan) perkara keimanan dengan hati, lisan dan perbuatan merupakan kewajipan dan asas dalam keimanan yang perlu ditunaikan untuk mencapai iman.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut : 2-3).

Membenarkan iman dengan hati ialah mempercayai dan menyakini apa yang disampaikan oleh Muhammad salallahualaihiwasalam dan apa yang dibawa olehnya termasuk rukun-rukun iman yang enam dan selainnya sebagai benar daripada Allah swt dan sebagai merupakan perkara yang pasti, hakiki dan menyakini dengan kepercayaan yang teguh tanpa ada keraguan dan syak.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. mereka Itulah orang-orang yang benar.” (Al-Hujuraat : 15).

Membenarkan iman dengan lisan ialah dengan iqrar dan pengakuan keimanan dan diucapkan secara lisan dengan bersyahadah (penyaksian) ke atas ketaatan, penyerahan diri dan penyembahan kepada Allah swt secara mutlak serta tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan pengakuan penyaksian di atas kebenaran Muhamad salallahualaihiwasalam sebagai utusan Allah dan juga rasul-Nya yang terakhir disamping mengimani dan mengisytiharkan keimanan secara lisan kepada rukun iman yang enam dan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

“Katakanlah: "Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada Kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan Para Nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun di antara mereka dan hanya kepada-Nyalah Kami menyerahkan diri." (Ali-Imran : 84).

Sabda baginda rasulullah sallahualaihiwasalam : “Aku diperintahkan untuk memerangi semua manusia sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku ini ialah rasulullah dan setelah mereka mengatakan demikian maka selamatlah dari aku akan darah mereka dan harta mereka kecuali dengan haknya dan hisabnya ke atas Allah.” (hadith sahih, riwayat Bukhari dan Muslim).

Membenarkan keimanan dengan amalan perbuatan ialah dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya serta menunaikan ketaatan kepada tuntutan keimanan dengan tindak perlakuan baik meninggalkan atau mengerjakan sesuatu.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” (Al-Ankabuut : 2).

“Dan Itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amalan-amalan yang dahulu kamu kerjakan.” (Az-Zukhruf : 72).

Berkata Imam Bukhari di dalam Sahihnya bahawa Iman itu ialah amal dengan membawakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa rasulullah ditanyakan mengenai apakah amalan yang paling afdhal ? Lalu dijawab oleh baginda : “ Iman kepada Allah dan rasul-Nya.” Kemudian ditanya lagi apakah selepas itu lalu dijawab : “ Jihad di jalan Allah.” (hadith sahih riwayat Bukhari).

Jawapan baginda kepada amalan yang paling afdhal dengan mengatakan bahawa keimanan kepada Allah dan rasul-Nya ialah amalan yang paling utama memberi maksud bahawa keimanan itu ialah termasuk dalam amalan kebajikan dan keimanan itu mesti dibenarkan dan ditunaikan dengan amalan perbuatan bukan semata-mata di lisan dan hati.

Mencintai dan Mengasihi Perkara Keimanan dan Ahli Iman

Dimaksudkan dengan mencintai dan mengasihi perkara keimanan itu ialah menjadi kewajipan syarak kepada seseorang hamba untuk memiliki perasaan cinta dan kasih kepada perkara keimanan seperti diwajibkan kepadanya untuk memiliki rasa benci dan permusuhan kepada kekufuran. Demikian juga wajib baginya mencintai dan mengasihi ahli iman dan membenci ahli kuffar sebagai tanda kesempurnaan iman.

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman Amat sangat cintanya kepada Allah. dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah Amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Al-Baqarah : 165).

Demikian juga menjadi kewajipan mencintai ahli iman dan taqwa disebabkan mereka itu ialah auliya Allah dan merupakan golongan yang dikasihi Allah swt.

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Rabb Kami, berilah keampunan kepada Kami dan saudara-saudara Kami yang telah beriman terlebih dahulu dari Kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati Kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb Kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang." (Al-Mujadalah : 10).

Memberi Wala (Ketaatan) Kepada Keimanan dan Bara’ah (perlepasan diri) dari Kekufuran

Dimaksudkan dengan memberi wala (ketaatan) kepada keimanan ialah menyerahkan diri untuk ditadbir dan dipandu oleh Allah dan rasul serta apa yang datang dari keduanya dan bersikap menyertai diri di dalam keimanan dan ahli iman serta menetap diri bersama mereka dan mengikuti jalan mereka.

“Dan Barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang yang beriman, Maka Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (An-Nisa : 115).

Imam As-Syirazi di dalam kitab Al-Luma’ Fi Usul Fiqh menyebutkan bahawa ancaman mengikuti jalan yang bukan jalan orang yang beriman seperti di dalam ayat di atas menunjukkan bahawa mengikuti jalan orang yang beriman itu sebagai wajib dan dituntut. Dikeluarkan oleh Imam At-Tirmidzi ra , dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda pernah bersabda :

يد الله مع الجما عة
“Tangan Allah itu bersama jemaah.”
(Riwayat Tirmidzi m/s 367 Jilid 6).

Juga melalui riwayat yang lain di tambah dengan :
فان الشيطان مع الواحد وهو من الاثنين أبعد
“ Sesungguhnya Syaitan itu bersama seorang dan menjauh apabila berdua.”
(riwayat Ahmad dan Nasaie, Tirmidzi dan Ibn hibban dan lain-lain.)

Juga disebut melalui riwayat Umar Ibn Khattab ra menyebut bersabdanya baginda rasulullah salallahualaihiwasalam :
من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة
“Barangsiapa yang menginginkan tempat tinggal di syurga maka hendaklah berada dalam jemaah.”
(Hadith Sahih riwayat Tirmidzi no 2165, Ibn Majah dan Humaidi).

Jemaah yang dimaksudkan ialah jemaah keimanan yang benar menurut kehendak Allah swt dan mereka itu ialah golongan yang beriman kepada Allah dan rasul dengan sebenar-benar keimanan dan kepercayaan iktiqad tanpa penyelewengan dan kesesatan.

Menurut para ulama salaf soleh seperti apa yang diriwayatkan oleh Muhammad Ibn Sirrin dari Ibn Mas’ud ra bahawa yang dimaksudkan jemaah itu ialah para sahabat baginda dan sebahagiannya mengatakan mereka itu ialah para ulama kerana para ulama itu pewaris nabi salallahualaihiwasalam ان العلماء ورثة الأنبياء (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2606, Abu Daud dan Ibn Majah).

Dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.
Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .”
(Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Itulah jalan golongan yang beriman yang wajib bagi umat Islam menetap diri di dalamnya dan wala (mentaati) dan berlindung serta menyertai mereka dan mengabungkan diri bersama mereka serta menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah secara bersama di dalam naungan keimanan kepada Allah swt. Iaitu jalan serta manhaj yang padanya nabi dan para sahabatnya berada iaitu jalan salaf soleh dalam iktiqad (kepercayan) serta aqidah mereka itulah jalan yang benar.

“Wahai orang-orang yang beriman, Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang beriman, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).” (Al-Maidah : 54-55).

Dimaksudkan pula kemudiannya dengan Bara’ah (berlepas diri) daripada kekufuran ialah meninggalkan segala bentuk dan jenis kekufuran di dalam diri dan kehidupan serta berpindah menuju kepada keimanan dan membenci segala bentuk kekufuran dengan sebenar-benar benci.

Di dalam hadith riwayat Anas ra ada menyebutkan bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda akan ciri-ciri kemanisan iman dan di antaranya menyebutkan bahawa seseorang itu membenci kepada kekufuran seperti dirinya membenci untuk dicampakkan ke dalam neraka dan hadith tersebut sahih serta dikeluarkan oleh Bukhari.

Seperti yang telah disebutkan bahawa kewajipan menunaikan tuntutan keimanan dengan amalan perbuatan tidak hanya pada hati dan lisan, maka demikian juga di dalam persoalan ketaatan dan perlepasan diri dari kuffar serta permusuhan terhadap musuh iman yang memerlukan ditunaikan dengan amalan perbuatan, lisan dan juga hati.

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, Maka mereka Itulah orang-orang yang zalim. Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan-Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (At-Taubah : 23-24).

Ayat di atas dengan terang menjelaskan perintah Allah swt supaya orang yang beriman membezakan diri mereka dengan kuffar dan tidak menjadikan golongan kafir sebagai penaung atau rakan atau sahabat atau sekutu sekalipun mereka itu ialah kaum keluarga dan saudara mara.

Bahkan tidak sekadar itu, di dalam ayat di atas menyebutkan sekiranya mereka iaitu kaum keluarga lebih mengutamakan kekufuran daripada iman, sehingga memberi makna sekalipun mereka muslim tetapi lebih mengutamakan kekufuran dan hampir kepadanya maka hendaklah ditentang serta tidak ditaati akan mereka.

“Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: "Sesungguhnya Kami berlepas diri daripada kamu dari daripada apa yang kamu sembah selain Allah, Kami engkari (kekafiran)mu dan telah nyata antara Kami dan kamu permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja. Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: "Sesungguhnya aku akan memohon ampunan bagi kamu dan aku tidak dapat menolak sesuatupun dari kamu (seksaan) Allah". (Ibrahim berkata): "Ya Tuhan Kami hanya kepada Engkaulah Kami bertawakkal dan hanya kepada Engkaulah Kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah Kami kembali." (Al-Mumtahanah : 4).

Hukum berwala (mentaati) kepada orang yang kafir ialah haram menurut ijmak ulama Islam dan hanya mereka yang jahil serta angkuh kepada hukum Alah swt sahaja dan menginginkan pertolongan manusia yang kufur dan mengharapkan ganjaran dunia yang sedikit sahaja tertipu lalu berpaling dari perintah Allah dan meninggalkan pertunjuk dan panduan dari kitab dan sunnah.

Di dalam Kitab الولاء والبراء فى الإسلام oleh Dr Muhammad Said Al-Qahthani menyebutkan bahawa jihad ialah kewajipan yang paling jelas diperintahkan oleh Allah swt untuk memutuskan hubungan di antara umat Islam dengan musuh-musuhnya. Jihad juga merupakan tempat di mana seorang bapa yang beriman membunuh anaknya yang kufar dan engkar kepada Allah serta memerangi Islam dan disitu juga medan yang menemukan seorang anak membunuh bapanya yang memusuhi agama Allah swt seperti yang berlaku ketika perang Badar.

Pemisahan ini satu asas yang penting dalam agama apabila seseorang itu meletakkan keimanan sebagai dasar dalam sebarang aspek kehidupan termasuk pertalian darah, kasih sayang dan soal perasaan. Demikianlah sabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam yang menyebutkan : “Tidaklah beriman seorang kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya (dalam riwayat lain) daripada ibubapanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya.” (hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda rasulullah juga diriwayatkan pernah bersabda : “ Aku berlepas diri daripada setiap muslim yang berdiri di antara bahu-bahu orang musyrikin.” (hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

“Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, Sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka Itulah kumpulan Allah. ketahuilah, bahawa Sesungguhnya hizbullah itu adalah golongan yang beruntung.” (Al-Mujadalah : 22).

No comments: