Tuesday, October 17, 2006

Zakat Fitrah Satu Kewajipan Yang diSyariatkan Kepada Umat Islam

Berikut ialah Artikel yang ditulis oleh ustaz emran ahmad mengenai zakat fitrah sebagai peringatan kepada umat Islam moga beroleh kebaikan dan kebajikan.

Bulan Ramadhan yang mulia ini bakal berakhir beberapa waktu lagi maka wajarlah kita saling memperingati sesama umat Islam supaya menunaikan kewajipan yang difardhukan kepada setiap muslim yang berkemampuan iaitu untuk menunaikan zakat Fitrah.

Berdasarkan istilah, zakat fitrah ialah sedekah yang wajib dikeluarkan oleh umat Islam pada bulan Ramadhan sebelum solat Aidulfitri dan ianya dilakukan untuk bertujuan memberi bantuan dan kesenangan kepada golongan fakir miskin khususnya untuk mereka dapat bersenang-senang di hari raya dan bergembira seperti umat Islam yang lain serta membersihkan amal ibadah golongan yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dan menunaikan kewajipan mereka (lihat Al-Mughni oleh Imam Ibn Qudahmah m/s 56 Jilid 3).

Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra dengan berkata : “Rasulullah salallahualaihiwasalam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan orang yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dengan memberikan makan kepada fakir miskin dan barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).


Kewajipan Zakat Fitrah


Kewajipan Zakat Fitrah merupakan ijmak ulama ummah bahawa ianya satu kewajipan berdasarkan sunnah rasulullah sekalipun ianya tiada dalil dalam Al-Qur’an selain hanya dari sunnah rasulullah namun ianya disepakati dan tiadalah yang menyalahinya dari kalangan ahlul ilmi seperti yang disebut oleh Imam Ibn Qudamah yang menaqalkan dari Imam Abi Bakr Muhammad Ibn Munzir Al-Naisaburi pengarang kitab Al-Ijmak (lihat Al-Ijmak oleh beliau m/s 55).

Sekalipun wujud pernyataan Imam Ibn Abd Bar bahawa sebahagian dari golongan yang terkemudian dari mazhab Malik dan Daud yang mengatakan ianya sunat yang sangat dituntut namun pendapat ini jelas salah dan terkeluar dari hujah jumhur dan ijmak muslimin termasuk pendapat golongan anti-hadith yang tidak menerima pensyariatan sunnah rasulullah dan mereka itu (anti-hadith) kafir bukanlah lagi muslim.

Kewajipan Zakat Fitrah ialah dituntut kepada setiap muslim berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata : “Rasulullah telah memfardhukan (mewajibkan) zakat Fitrah segantang tamar atau dari gandum ke atas hamba ataupun yang merdeka, lelaki dan perempuan yang kecil (muda) atau yang tua dari umat Islam dan mengarahkan supaya ditunaikan kewajipan ini sebelum keluarnya orang ramai ke solat (Solat Aidhul Fitri)” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Bukhari no. 1503 dan Muslim no. 984 dan lain-lain).

Perintah rasulullah dalam hadith di atas jelas menjadi hujah kewajipan dan tuntutan kepada Umat Islam untuk menunaikannya sebagai mentaati perintah Allah swt yang menyebut :

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (An-Nisa : 80).

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)

Dalam riwayat Abu Hurairah ra baginda rasulullah juga pernah bersabda dengan pesannya :
“Setiap Umatku akan masuk syurga melainkan mereka yang engkar, maka sahabat bertanya, siapakah yang engkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang engkar.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).

Demikianlah apabila dilihat kepada kata-kata Said ibn Musaiyib dan Umar ibn Abd Aziz ra pada firman Allah : “Sungguh telah berbahagialah mereka yang menyucikan diri” (Al-A’la : 14) iaitu yang dimaksudkan menyucikan diri ialah yang menunaikan zakat fitrah.

Disepakati oleh Ijmak ulama bahawa Zakat Fitrah ini wajib ke atas semua umat Islam yang mampu menunaikannya tanpa memudharatkan kehidupan keluarganya dalam menunaikannya dan menjadi kewajipan kepada mereka untuk menunaikan sesiapa yang dibawah tangungannya yang tidak mempunyai kemampuan misalnya kanak-kanak yang menjadi kewajipan bapa dan walinya menunaikan zakat itu bagi pihak mereka (lihat dalam Al-Iqna’ dan Al-Ijmak oleh Ibn Munzir m/s 55).

Adapun bagi wanita yang belum bernikah maka menjadi kewajipan untuk mereka menunaikan zakat Fitrah bagi diri mereka sendiri dan sekiranya mereka dibawah tangunggan wali mereka maka walilah yang menjadi penanggung dan sekiranya yang sudah bernikah maka suaminya yang menjadi pembayar zakat dan dipertangungjawabkan.

Bagaimana menunaikan Zakat Fitrah ?

Zakat Fitrah boleh dikeluarkan dengan memberi segantang tamar atau gandum atau kismis menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah ra dan Hakim. Walaubagaimanapun ianya secara umum dibolehkan memberikan makanan yang menjadi pemakanan asasi sesuatu masyarakat seperti beras bagi masyarakat Melayu di Malaysia ini berdalilkan kepada hadith dari Abu Said al-Khudri ra yang menyebut mereka mengeluarkan segantang dari makanan atau dari gandum …(lihat dalam Bukhari no. 1505 dan Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi dan Nasaie).

Ini dapat dilihat dalam pelbagai hadith baik dari Ibn Umar ra dan juga dari Ibn Abbas ra yang hanya menyebut sejumlah gantang dari makanan dan tanpa mengkhususkan apakah jenis makanan kecuali memberi contoh bahawa ada yang memberi tamar, gandum dan kismis dan daqiq (tepung) dan lain-lain seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya dengan sanad yang sahih.

Kiraan gantang ini ialah menurut kiraan ahlul Madinah berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Timbangan (berat) itu ditimbang menurut ahlul Makkah dan Sukatan (jumlah) itu ialah dikira pada sukatan Ahlul Madinah” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2340, Nasaie dan Baihaqi).

Ditunaikan zakat Fitrah itu ialah hanya kepada golongan fakir miskin seperti yang disebutkan dalam pelbagai hadith yang berkait dengan zakat Fitrah seperti yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra dengan berkata : “Rasulullah salallahualaihiwasalam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan orang yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dengan memberikan makan kepada fakir miskin dan barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).


Maka pendapat ini dipegang oleh Syeikhul Islam Imam Ibn taimiyyah ra dalam Majmuk Fatawa Jilid 13 dan pelajarnya Imam Ibn Qayyim ra serta fuqaha Mazhab Malikiyah dan inilah yang paling rajih menurut ana sendiri daripada pendapat lain seperti pendapat kebanyakkan orang ramai yang khususnya dalam mazhab syafie yang mengatakan ianya boleh ditunaikan kepada ashab yang lapan yang berhak menerima zakat dan ana tidak bersetuju dalam hal ini kerana ianya tiada dalil khas dan zakat fitrah bukanlah seperti zakat harta.

Berdasarkan dalil dan hujah yang jelas ialah menyebutkan bahawa kewajipan zakat ini hanya berlaku khas dalam Bulan Ramadhan dan di dalam hadith hanya menyebut golongan fakir miskin yang berhak menerima zakat fitrah ini adapun golongan ashab yang lapan seperti yang termaktub dalam Surah At-Taubah ayat 60 itu ialah untuk zakat harta bukan zakat fitrah, wallahualam.


Waktu menunaikan Zakat Fitrah


Pelaksanaan zakat fitrah dilakukan dalam Bulan Ramadhan namun menurut sunnah yang sahih ialah pada dua hari dan sehari sebelum Aidhul Fitri seperti yang terdapat dalam riwayat Ibn Khuzaimah yang menyebut mengenai perbuatan Ibn Umar ra yang menunaikannya pada sehari atau dua hari sebelum hari Aidhul Fitri.

Juga dalam hadith yang beran’an dari Ibn Umar ra yang menyebut : “Rasulullah telah memerintahkan supaya menunaikan zakat Fitrah sebelum keluarnya orang ramai ke Solat Aidhul Fitri” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1509 dan Muslim no. 986 dan lain-lain).

Maka pelaksanaan zakat Fitrah hendaklah dilakukan sebelum selesainya solat Aidhul Fitri kerana waktu tamatnya ialah pada selepas solat seperti yang disebut oleh baginda “…barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).

Demikianlah serba ringkas ana cuba ungkapkan persoalan zakat fitrah secara umum menurut panduan sunnah tanpa terlalu menuruti helaian mazhab dan khilaf fiqhiyah sebaliknya mengambil dari qaul rajih pilihan fuqaha ummah dari asar dan riwayat sahih dari sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam.


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (An-Nisa : 80).

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)

Wallahualam



No comments: