Pertama
Bersolat di kawasan lapang seperti padang atau kawasan terbuka jika mampu dan bukannya bersolat di masjid sebagai menuruti sunnah rasulullah yang keluar meninggalkan masjid dan bersolat di kawasan lapang.
Daripada Abi Said al-Khudri ra berkata : “Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam keluar pada hari Eidhul Fitri dan Adha ke musolla (tempat solat bukan masjid) dan seawal perkara yang dilakukan ialah menunaikan solat…” (hadith sahih Bukhari no. 905 dan Muslim no. 889 dan lain-lain).
Sesungguhnya sunnah yang dilakukan oleh rasulullah ialah keluar dari rumah baginda lalu menuju ke kawasan yang telah ditetapkan untuk bersolat yang biasanya kawasan lapang seperti padang pasir dan lain-lain yang luas terbuka dan meninggalkan solat di dalam masjid.
Tujuan bersolat di tempat lapang dan bukannya masjid ialah supaya hanya wujud satu jemaah dan umat Islam dapat berkumpul bersatu di bawah bumbungan langit sambil menunaikan kalimah Allah swt di bawah ajaran sunnah baginda salallahualaihiwasalam.
“Janganlah kamu menjadi seperti orang yang musyrikin iaitu mereka yang BERPECAH-BELAH dalam agama mereka dan setiap HIZBI (golongan, parti, jemaah) itu bergembira dengan apa yang merka punyai” (Ar-Rum 31-32).
Kecualilah apabila berada di masjidil haram bagi yang menyambut Aidhil Fitri atau Adha di Makkah kerana bersolat di Masjidil Haram lebih utama dari bersolat di musolla (tempat solat yang bukan masjid seperti kawasan lapang)
Kedua
Menunaikan sunnah takbir sebelum menunaikan solat dan sewaktu berjalan menuju ke tempat solat dan bertakbir menurut sunnah yang sahih
Sesungguhnya seperti apa yang sampai riwayat kepada kita daripada rasulullah bahawa sesungguhnya baginda keluar pada hari Aidhil Fitri dan bertakbir sehingga sampai ke tempat solat dan sehingga selesai menunaikan solat dan apabila selesai solat maka barulah berhentilah takbir” (hadith mursal sahih yang mempunyai syawahid oleh Ibn Abi Syaibah no. 487 Jilid 1 dan lihat Kitab Sahihah oleh Syeikh Albani ra no. 170).
Disyariatkan mengangkat suara (meninggikan suara) dalam bertakbir sewaktu dalam perjalanan menuju ke tempat solat merupakan sesuatu yang disepakati oleh para imam yang empat walaubagaimanapun tidaklah disebut langsung dalam mana-mana riwayat bahkan ditentang oleh para ulama salaf apabila menjadikan takbir itu sebagai satu suara yang dilakukan secara serentak beramai-ramai dan beralunan lagu dan ianya dilarang. (lihat dalam kitab sahihah oleh Syeikh albani dan fatwa Syeikh Soleh Utsaimin dan Syeikh bin baz ra dan lain-lain).
Perbuatan mengadakan takbir sebagai satu alunan dan lagu dan juga dilakukan secara serentak ialah bid’ah dan bukan sunnah ditambah lagi takbir yang dilaksanakan pada hari ini bukanlah dari riwayat yang sahih.
Adapun bacaan takbir yang sahih yang sampai kepada kita pada hari melalui riwayat yang sahih ialah :
Berdasarkan kepada riwayat Ibn Mas’ud ra :
الله اكبر , الله اكبر , لا اله الا الله و الله اكبر الله اكبر ولله الحمد
Isnad riwayat ini sahih daripada Ibn Mas’ud ra seperti yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah ra dalam Musnadnya no. 168 Jilid 2.
Berdasarkan riwayat Ibn Abbas ra pula :
الله اكبر , الله اكبر , لا اله الا الله و الله اكبر الله اكبر ولله الحمد
الله اكبر و اجل الله اكبر على ما هدانا
Isnad riwayat ini sahih daripada Ibn Abbas ra dan dikeluarkan oleh Baihaqi no. 315 Jilid 3.
Manakala Salman ra bertakbir dengan menyebut :
الله اكبر , الله اكبر , الله اكبر كبيرا
Riwayat ini sahih isnadnya seperti yang dikeluarkan oleh Baihaqi no. 316 Jilid 3.
Adapun apa yang ditambah-tambah pada zaman ini yang kemudian dijadikan satu rutin takbir dan cara bertakbir yang berkumandang di masjid-masjid amatlah tidak bersesuaian dan wajar ditnggalkan. Disebutkan oleh Hafidz Ibn hajar ra dalam kitabnya Fathul Bari m/s 536 Jilid 2 dengan menyebut : “ telah diadakan bacaan takbir itu pada zaman ini (zaman beliau) sedangkan ianya sesuatu yang tiada asal usul (bid’ah)…”.
Dari riwayat Aisyah ra bahawa baginda rasulullah pernah bersabda: “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien). “ (Hadith sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).
Bahkan lebih teruk pada zaman ini umat Islam bernasyid pula pada takbir itu dengan menjadikan bacaan takbir beralunan-alunan mendayu suara meniti di angkasa takbir raya menurut cara bid’ah yang bukan sunnah.
Ketiga
Sunnah keluarnya wanita ke tempat solat sehingga para wanita yang haid dan juga kanak-kanak digalakkan untuk mendengar peringatan khutbah bagi yang tidak boleh bersolat dan hal ini perlu dipromosikan kepada masyarakat Islam Malaysia.
Daripada Umm Athiyah ra : “ Rasulullah memerintahkan kami (para muslimah) supaya kami keluar pada hari Aidhil Fitri dan Adha yang hamba mahupun yang haid dan kanak-kanak serta orang tua maka yang didatangi haidh tidaklah bersolat sebaliknya mendengar khutbah dan mendoakan para muslimin maka aku berkata kepada baginda : wahai rasulullah dikalangan kami ada yang tidak mempunyai jilbabnya maka baginda bersabda : “ Maka pakaikanlah jilbab kepadanya oleh saudara perempuannya dari jilbab mereka” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 971 dan Muslim no. 890).
Demikianlah kesungguhan baginda ingin menegakkan sunnah supaya disuruh juga sekalipun yang tidak memiliki jilbab supaya dipinjamkan atau diberikan jilbab oleh saudara-saudaranya yang lain supaya wanita itu dapat keluar menyaksikan hari raya dan menikmati ganjaran pahala dan mendengar nasihat khutbah dan beraya bersama akum muslimin.
Adapun umat Islam Malaysia pula sangat malang sudahlah kaum wanita tidak keluar pada waktu menunaikan solat dan sebaliknya duduk di rumah sahaja menonton televisyen sehingga setelah selesai solat dan selesai khutbah barulah mereka (kaum wanita Malaysia) akan keluar berhias-hias “tabarruj” cantik-cantik memamerkan kecantikan yang diharamkan.
“Dan hendaklah kalian (para wanita) tetap di rumah kalian dan janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah.” ( Al-Ahzab: 33).
Sesungguhnya secara umum selain dari waktu yang diperintahkan dan disyariatkan mereka sewajarnya tidak berhias dan harus berada di rumah.
“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluan-nya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.” (An-Nur: 31)
Keempat
Sunnah pergi ke tempat solat dan pulang melalui jalan yang berbeza
Ini sunnah yang kerap ditinggalkan apabila kita selalu pergi dan kembali melalui jalan yang sama demi menjimatkan masa dan kerana hendak segera sampai lalu menyebabkan kita gagal mengikuti sunnah.
Daripada Jabir ibn Abdillah ra berkata : “Sesungguhnya nabi salallahualaihiwasalam sewaktu hari raya akan menukar jalan (sewaktu pergi dan kembali)” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 987).
Daripada Abu Hurairah ra berkata : “Sesungguhnya baginda nabi salallahualaihiwasalam sekiranya keluar pada hari raya maka baginda akan kembali pada jalan yang lain dari jalan yang dilaluinya sewaktu keluar” (hadith sahih riwayat Ibn Majah no. 1301 dan lain-lain).
Orang ramai berusaha menyegerakan kembali dan pergi dengan melalui jalan yang sama kerana hal duniawi dan ini sangatlah dicela apabila hanya demi mengejar rancangan televisyen sedangkan sunnah menyuruh kita berziarah, bertemu sahabat dan kenalan serta saling beramah mesra dan mengeratkan silaturrahim.
Kelima
Sunnah berjalan kaki menuju ke tempat solat
Daripada Ali ibn Abi Tahlib ra yang berkata : “Sesungguhnya termasuk sunnah ialah keluar pada hari raya dengan berjalan kaki” (Hadith hasan riwayat Tirmidzi).
Juga dari riwayat Ibn Umar ra yang menyebut : “Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwasalam keluar pada hari raya dengan berjalan dan pulang dengan berjalan” (hadith sahih riwayat Ibn Majah).
Walaubagaimana pun sekiranya tempat solat itu tersangatlah jauh maka tidaklah mengapa jika menaiki kenderaan dan Islam ini bukanlah menyusahkan sebaliknya memudahkan.
“ Dan tidaklah kami menjadikan deen ini kepada kamu sebagai sesuatu yang menyusahkan” (Al-hajj : 78).
Sebaliknya sunnah pula janganlah ditinggalkan bahkan diamalkan jika berkemampuan untuk melaksanakannya dan keletihan dan kemalasan bukanlah alasan dan hujah yang sesuai dan wajar untuk meninggalkan sunnah apatah lagi Allah swt juga pernah berfirman :
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu” (At-taghabun :16).
Dan sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu urusan maka hendaklah kamu memenuhinya semampu kamu” (hadith sahih, riwayat bukhari dan Muslim no. 3199).
Keenam
Mengadakan bid’ah dengan melakukan azan dan iqamah sedangkan sunnah ialah mendirikan solat hari raya dengan ditiadakan azan dan iqamah.
Wujud kebanyakkan tempat yang masih mengalunkan azan sedangkan ianya bukan sunnah dalam agama.
Daripada Ibn Abbas ra dan Jabir ra yang berkata : “Tiada azan pada hari Eidhul Fitri dan hari Adha” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 970 dan Muslim no. 886).
Juga berkata Jabir ibn Samrah ra bahawa beliau telah solat hari raya bersama rasulullah berkali-kali dan semuanya tanpa azan dan iqamah (hadith sahih riwayat Muslim no. 887 dan Abu Daud dan Tirmidzi).
Berkata Ibn Qayyim ra bahawa sunnah ialah tidak mengadakan seruan azan dan iqamah dan juga tiada mengadakan apa-apa seruan. Walaubagaimanapun saya selalu mendapati di sesetengah tempat terdapat orang yang menambah : “ As-Solah, As-Solatu rahimakumullah…”
Baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .
Ketujuh
Sunnah ialah meninggalkan perbuatan menziarahi kubur dan kawasan perkuburan keluarga baik ibubapa dan adik-beradik serta tidak melakukan bid’ah dengan menyiram air mawar dan sebagainya.
Menziarahi kubur tidaklah haram dan berdosa bahkan dibolehkan dan menjadi kebaikan apabila ianya dapat mengingatkan kematian sebaliknya yang dicegah ialah apabila menetapkan hari khusus seperti hari raya sebagai hari menziarahi kubur dan ini ialah bid’ah.
Baginda rasulullah pernah bersabda : “Sesungguhnya aku pernah melarang kamu menziarahi kubur maka sekarang ziarahilah ia” (hadith sahih riwayat Muslim no. 977 dan Abu Daud, Nasaie dan lain-lain).
Hadith di atas menunjukkan kebolehan menziarahinya namun sama sekali tidak membenarkan perbuatan bid’ah dan kejahilan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu.
Baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .
Sekiranya perbuatan menziarahi kubur dilakukan pada hari raya kerana hanya itulah hari yang lapang dan cuti baginya maka tidaklah mengapa dan dibolehkan dan tidaklah termasuk bid’ah sebaliknya sekiranya dilakukan sebagai merasakan ianya ibadah menziarahi kubur pada hari raya maka hukumnya berdosa dan haram.
“Sesungguhnya hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmatku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu.” (Al-Mai’dah : 3).
Secara ringkas perbuatan membaca al-fatihah di sisi kubur, menyedekahkan pahala bacaan ayat-ayat suci juga perbuatan bacaan Yasin dan lain-lain adalah ditegah oleh para Sunnah.
“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Alil-Imran –31).
No comments:
Post a Comment