Thursday, August 03, 2006

Dakwah Kisah dan Cerita Haruslah Daripada Kitab dan Sunnah Bukan daripada Cerita Peribadi Atau Memberi Hiburan Kepada Manusia

Pada hari ini kita melihat wujud sesetengah golongan ustaz dan ustazah yang kerap-kali menjadikan konsep cerita sebagai medium dakwah. Method pendekatan ini tidak dihairankan menjadi pilihan mereka memandangkan kebanyakkan guru-guru ustaz dan ustazah ini dalam bidang penulisan ialah para penulis dan sasterawan dan ahli kemanusian yang belajar dari sistem barat dan kemanusian manusia serta tidak terbiasa dengan sikap dan pengamalan agama salaf soleh yang berkonsepkan kitab dan sunnah.

Sikap manusia itu sedikit sebanyak terpengaruh dengan persekitarannya dan sudah pastinya ustaz yang membesar dalam suasana politik harakah islam berbentuk jemaah dan kepartian, kemudian belajar agama dengan tokoh-tokoh terbuka yang bersikap mudah dalam agama kemudian pula berada di Negara eropah sekian lama sudah pasti akan memberi pengaruh dan kesan kepada peribadinya untuk menjadi seorang ustaz yang terbentuk dari acuan pengalamannya.

“Sesungguhnya jawapan orang-orang yang beriman, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka maka mereka menjawab : “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapatkan kemenangan.”
(An-Nur: 51-52).

Manusia tidak dapat menewaskan pengalamannya dan sekiranya mereka dapat mengalahkan pengalaman dan ilmu yang pernah dimiliki oleh mereka maka barulah mereka benar-benar dapat menjadi adil dalam membuat keputusan dengan apa yang akan berlaku di masa hadapan atau di waktu sekarang. Juga setiap tindakan yang dibuat tidak dihantui oleh pengalaman yang lalu (ilmu lama) juga tidak dipengaruhi oleh pengetahuan yang sekarang diperolehi sebaliknya adil dan saksama menilai sesuatu dengan hujah dan hatinya tetap lapang dan tenteram.

Bolehkah Berdakwah dengan cerita dan Kisah ?

Berdakwah dengan mengunakan medium cerita dan kisah ialah satu perbuatan yang bagus dan berkesan untuk mendidik manusia sekiranya digunakan dengan cara yang betul dan menepati kaedah syarak serta benar-benar dilakukan untuk membawa manusia kepada tauhid dan aqidah yang sahih.

"Belum tahukah kamu, bahawa sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi; dan Dia telah sempurnakan buat kamu nikmat-nikmat-Nya yang terlihat mahupun yang tidak kelihatan." (Luqman: 20).

Perbuatan berdakwah dengan cerita sekalipun tidak terlalu kerap digunakan oleh rasulullah namun ianya masih menjadi salah satu di antara uslub yang digunakan oleh baginda dalam menyampaikan mesej Islam kepada para sahabat.

Kisah –kisah teladan seperti yang termuat di dalam hadith sahih ialah seperti kisah tiga orang pemuda yang terkunci serta tertutup di dalam gua, kisah pemuda ashabul ukhdud, kisah pemuda ashabul kahfi, kisah Adam dan Musa, kisah – kisah teladan umat terdahulu serta kisah masa akan datang yang berupa mukjizat seperti kisah dajjal dan fitnah akhir zaman.

Semua mesej ini jika diteliti akan mendapati bahawa baginda rasulullah menyampaikannya dalam bentuk cerita supaya memahamkan para sahabat akan mesej yang hendak disampaikan dengan memberikan mereka contoh dan kisah yang benar sebagai teladan.

Al-qur’an pula bahkan jika dikaji akan dapat kita simpulkan sebagai sebuah “buku cerita” yang benar dan mengandungi pelbagai pengajaran dan teladan disebalik isinya yang menyeru kepada ketaatan dan meninggalkan larangan cerita dan kisah teladan berperanan sebagai perumpamaan dan pengajaran serta contoh dari perintah dan larangan.

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf : 111).

Surah Yusof yang mengisahkan cerita Yusof disebalik perintah supaya mentaati Allah, surah Al-baqarah yang mengandungi pelbagai hukum hakam turut memuatkan kisah lembu dengan Nabi Musa dan hampir setiap surah di dalam Al-Qur’an mengandungi kisah-kisah dan cerita.

Sesungguhnya Al-Quran merupakan hujah dan pertunjuk bagi mereka yang beriman sebagaimana sabda baginda “ Al-Quran itu hujah bagi kamu dan hujah ke atas kamu.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.223 ).

Apakah Tujuan cerita dan Kisah dalam Agama ?

Tujuan dan matlamat dari setiap kisah inilah yang harus menjadi penekanan dan penelitian oleh kita semua bahawa di dalam Al-Qur’an dan hadith bahawa setiap kisah yang dikemukakan hanya membawa kita kepada satu tujuan iaitu mentaati Allah dan meninggalkan larangannya.

Oleh itu maka perlulah difahami oleh para pendakwah yang ingin mengunakan medium dakwah melalui cerita dan kisah supaya membawa manusia kepada menuju ketaatan kepada Allah swt dan rasul-Nya.

Sabda baginda Salallahualaihiwasalam : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Tidak boleh membuat sebarang kisah dan cerita hanya dengan tujuan untuk menghiburkan orang ramai dan demi sekadar mengisi masa kerana hal ini ialah satu perbuatan sia-sia (lagha) yang merugikan masa serta lebih teruk membuat cerita-cerita yang hanya berkisar soal peribadi dan individu tertentu bagi mengangkat dirinya atau tokoh tertentu di hadapan manusia dan bukan untuk membawa manusia kepada mentaati Allah dan rasul maka hal ini ialah suatu yang haram.

Sabda rasulullah : “Celakalah orang-orang yang menipu dengan bercerita bagi membuatkan orang-orang lain ketawa celakalah dia dan celakalah dia” (hadith hasan riwayat Ahmad no. 3 Jilid 5, Tirmidzi no. 2315 dan hakim).

Berkata Syeikh Soleh ibn Fauzan ibn Abdullah Al-Fauzan di dalam kitabnya Persoalan bermanfaat Terhadap Manhaj Baru di m/s 103 dengan menyebutkan bahawa para salaf soleh sangat membenci majlis cerita dan kisah-kisah yang bukan berasal dari kitab dan sunnah dan selalu memberikan peringatan kepada umat Islam mengenai hal ini dan boleh menjumpai masalah ini di dalam kitab Al-Muzakkir Wal Tazakir Wal Zikr oleh Imam Ibn Abi Asim ra di halaman 26.

Diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi Asim dengan Isnad yang sahih bahawa : “Sesungguhnya Ali ra pernah melihat seorang lelaki bercerita maka dikatakan kepada lelaki itu apakah engkau mengetahui nasakh dan mansukh ? maka dijawab : Tidak ! Lalu Ali ra pun berkata engkau telah hancur dan menghancurkan orang”.

Imam Malik ra pernah berkata : “ Dan sesungguhnya aku membenci orang bercerita di masjid” dan juga beliau berkata : “ Aku tidak nampak bahawa patut duduk mendengar cerita mereka dan juga ianya bid’ah” .

Manakala Imam Ahmad ra pula menyebut : “Manusia yang paling berdusta ialah pencerita dan ditanyakan kepadanya apakah engkau duduk mendengar cerita kisah mereka ? Lalu dijawab : Tidak !! (Lihatlah di dalam Al-Bid’uWal Hawadis oleh Imam Turtusi m/s 109 -122).


Apakah Isi Kandungan Kisah dan Cerita Yang Sesuai Untuk Dijadikan Medium Dakwah ?

Kesilapan para pendakwah hari ini ialah menjadikan kisah pengalaman manusia yang cetek ilmunya, kisah manusia yang tidak terbukti kesahihannya serta kisah-kisah pengalaman dan apa yang terjadi di hadapan mata serta kisah isu semasa sebagai bahan pengajaran ialah satu kesalahan dalam agama.

Perbuatan ini perlu ditegur kerana manusia tidak sempurna dan setiap kisah pengalaman peeribadi itu tidak wajar diketengahkan disebabkan tiada “pembuktian” terhadap kebenaran kisah tersebut serta hal itu sekalipun benar ianya tidak dapat dijadikan bahan dakwah kerana pengajaran dari kisah itu tidak semestinya menepati maksud dan kehendak syarak.

Kisah Ashabul Kahfi dimuatkan di dalam Al-qur’an dan hal ini menjadi satu jaminan hakiki oleh Allah swt sendiri di atas kebenaran cerita ini. Jaminan kebenaran kisah ini oleh kitab dan sunnah seterusnya menjadikan kisah ini layak dijadikan bahan dakwah oleh para ulama dan umat Islam.

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Al-Kahfi : 13).

Selain itu, usaha mengambil teladan dari kisah ini seterusnya akan mendapat kebaikan disebabkan yang pertama kisah ini telah dibuktikan kebenarannya dari langit dan yang kedua kisah ini bersih dari sebarang kehendak dan penyelewengan kerana yang memberitahu kepada manusia ialah tuhan yang maha tinggi.

Sedang baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : " Berhati-hatilah kamu terhadap apa yang disampaikan dari aku melainkan kamu mengetahuinya (akan kebenarannya)” (Hadith Hasan, Riwayat Tirmidzi, Abi Syaibah dan Ahmad).

Seterusnya kisah ini sesuai di ambil pengajaran dan iktibar oleh para pendakwah sebagai bahan dakwah kerana kisah ini terdapat di dalam kitab suci Al-Qur’an dengan memberikan kita pedoman kaedah-kaedah membuat istinbat (cara mengambil pengajaran hukum) disamping turut memberitahu cerita.

Misalnya di dalam Surah Al-Kahfi diberitahu teladan yang perlu diikuti ialah mesej yang dapat difahami secara zahir cerita bukan pada soal-soal remeh dan ranting cerita seperti bilangan watak, perlaku dan tempatnya.

“ Nanti akan ada orang yang akan mengatakan jumlah mereka (Ashab kahfi) adalah tiga orang dan ke-empatnya ialah anjing dan juga akan mengatakan yang lainnya jumlah mereka itu (Ashab kahfi) ialah lima dan ke-enamnya ialah anjingnya sebagai tekaan dan menyangka perihal ghaib manakala yang lain pula mengatakan mereka itu tujuh orang dan kelapannya ialah anjingnya. “ Katakanlah sesunguhnya tuhanku mengetahui bilangan sebenar mereka dan tidaklah kamu ketahui perihal itu melainkan sedikit. Kerana itu janganlah kamu bertengkar kerana hal mereka itu dan kecuali kamu mengambil pengajaran dari apa yang zahir dan janganlah bertanya perihal mereka itu sesiapa pun.” (Surah Al-Kahfi : 22).

Baginda rasul juga pernah bersabda sebagai maksud " Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik ajaran adalah ajaran Rasulullah. Dan sesungguhnya sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya sesuatu yang baru diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan." (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 867).

Itulah kelebihan cerita-cerita dan kisah di dalam kitab suci Al-Qur’an dan sunnah yang mulia apabila memuatkan kisah dan memberitahu manusia akan kisah yang benar disamping turut memuatkan cara bagaimanakah harus diperhatikan dalam mengambil pengajaran dari kisah ini.

Dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda bersabda : “Barangsiapa yang mengatakan sesuatu perihal Al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya maka bersedialah dia dengan tempat di neraka.” (Hadith hasan, riwayat Ibn. Jarir 34 Jilid 1 & Tirmidzi no. 2950).

Adapun muda-mudi pendakwah hari ini seringkali melakukan kesilapan dalam dakwah dengan memuatkan kisah-kisah peribadinya dan kisah-kisah individu serta tokoh tertentu.

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Tidaklah aku menyukai untuk menceritakan perihal manusia bahawa seseorang itu bagiku demikian dan demikian”. (hadith sahih riwayat Ahmad dan tirmidzi no. 2503).

Berkatalah Syeikh Soleh Al-Fauzan bahawa menjadi masalah kepada usaha dakwah hari ini apabila pendakwah menyeru kepada mencontohi perbuatan manusia dan menceritakan kehebatan mereka sehingga manusia bertaqlid kepada tokoh-tokoh tersebut dan ini bukanlah daripada teladan pertunjuk salaf soleh serta dari sunnah rasulullah.

Hal ini disebabkan ialah pertamanya kisah tersebut belum tentu terbukti benar dan kedudukan kisah dan cerita tersebut di dalam ilmu agama tidak mendapat nilai. Bukankah Islam menitik beratkan ilmu sanad dan riwayat ? Kerana itu kita tidak menerima sebarang cerita yang hendak dijadikan cerita agama melainkan terbukti kesahihan sanad dan kesahihan rawi yang menyampaikan cerita.

Selain itu apakah martabat dan kedudukan seseorang ustaz dan tokoh terbabit untuk dijadikan ikutan sedangkan tiada jaminan dan perintah dari kitab dan sunnah untuk kita berbuat demikian ? Sebaliknya yang disuruh dan diperintahkan oleh kitab dan sunnah ialah menuruti Allah dan rasul serta jalan orang-orang yang beriman dan merupakan salaf soleh kita semua.

" Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman " (Surah Al-Anfaal : 1).

“Dan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21).

Mengakui peribadi rasul sebagai contoh terbaik yakni dengan mengimani ayat Allah maka sewajarnyalah juga setiap muslim menuruti sunnah dan meninggalkan bid’ah kerana menyakini jika setiap perkara itu baik nescaya sudah ada pertunjuk dari nabi melakukannya, atau sudah diterangkan oleh baginda kerana bagindalah pelopor kebaikan dan sebaik contoh teladan.

Sebagaimana dalam riwayat Abu Dzar berkata : Rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka kecuali telah diterangkan pada kalian.”

Juga disebut oleh Abu Zar ra akan katanya “ Rasulullah meninggalkan kami dalam keadaan tidak ada seekor burung pun yang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya di udara kecuali beliau menyebutkan ilmunya pada kami.” (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra 416 Jilid 4 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat lain).

Seorang ustaz menceritakan pengalamannya berada di Negara eropah dan beraksi sekian dan sekian, bersikap demikian dan begini sehingga dari kisahnya itu cuba diketengahkan pelbagai pengajaran dan kaedah pendapat yang diutarakannya sebagai salah satu medium dakwah sehingga lebih teruk rujukan hukum dalam agama apakah ini suatu hal yang dibolehkan ?

Nasihat ana ialah hendaklah dijauhkan sikap begini kerana hal ini ialah suatu yang menyalahi teladan ulama salaf soleh. Pertamanya ialah cerita seorang ustaz yang mengisahkan pengalamannya itu tidak boleh dijadikan hujah kerana cerita itu tidak dapat dibuktikan benar.

Driwayatkan dari Abd Ibn Mubarak bahawa beliau berkata : " Kalaulah tidak kerana Isnad (riwayat) maka berkatalah siapa pun apa yang ingin dikatanya (yakni dalam agama).” (Sila rujuk Kitab Tarikh Baghdad (166 / 6).

Apakah seseorang menceritakan apa sahaja yang dilaluinya boleh terus diterima hanya kerana dia seorang ustaz ? Ilmu rijal dan disiplin ilmu salaf soleh yang meneliti kedudukan darjah seorang perawi cerita dalam menilai sikap amanah seseorang serta kelayakannya perlulah dipakai dan oleh itu kisah ini akan menjadi kisah yang tiada nilai dalam agama.

Seterusnya apakah diyakini pencerita iaitu seorang ustaz dan pendakwah tersebut lapang dan kosong hatinya daripada sebarang tujuan dan hasrat kepentingan yang tidak jujur dan tidak benar dalam menyampaikan kisah ?

Seterusnya apa kelebihan kisahnya tersebut sehingga dapat dijadikan sebagai rujukan dakwah dan sebagai isi pengajaran kepada umat Islam berbanding dengan apa yang telah termuat di dalam kitab dan sunnah yang mulia yang telah terbukti kebenarannya dan telah lengkap penjelasannya.

"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahwa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia." (an-Nahl: 116)

Bahkan yang paling bahaya dari kisah-kisah peribadi dan cerita individu ialah Istinbat hukum serta pengajaran kisah yang kerap kali melanggar matlamat syarak serta kaedah-kaedahnya disebabkan tokoh serta watak cerita dan tukang pencerita baik yang bergelar ustaz dan pendakwah akan memuatkan segala pengajaran dengan berdasarkan “pandangannya” dan pendapatnya yang dengan idea dan pandangannya itu lantas disuapkan kepada manusia yang mendengar dan membaca ceritanya sehingga apa yang disuapkan oleh si pendakwah ini bukanlah agama tetapi ialah pemikiran dari hasil kelemahannya sebagai manusia.

“Dan apabila kamu melihat orang-orang mempermain-mainkan ayat-ayat kami,maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan perbicaraan yang lain dan jika syaitan menjadikan kamu lupa(akan larangan-larangan ini),maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat(akan larangan itu)”. (Al-An’am:68)

Kenapa harus mengambil cerita peribadi dan pengalaman individu untuk dijadikan bahan dakwah ?

Ini satu permasalahan yang merumitkan masalah umat Islam dan menambah bahaya kepada dakwah Islam. Kita terpaksa berdepan dengan ustaz-ustaz yang mahu menyampaikan mesej dakwah atau mesej Islam dengan jalan cerita tetapi cerita yang digunakan bukan bersumber dari kitab dan sunnah.

Mengapa tidak di ambil cerita-cerita di dalam Al-Qur’an yang tidak terkira jumlah banyaknya dan juga apa yang terdapat di dalam sunnah yang mulia sedangkan kesemua cerita dan kisah ini sudah terjamin benar dan cara serta panduan untuk mengambil pengajarannya pun sudah dimaklumkan.

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri , duduk dan sewaktu berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi sambil berkata : Wahai tuhan kami sesungguhnya tidaklah Engkau menjadikan segalanya ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau maka peliharalah kami dari siksaan neraka” (Alil-Imran : 191).

Nasihat ana kepada para pendakwah ialah hendaklah janganlah terlalu menurut perasaan dan kehendak hati melebihi ketaatan dan kepatuhan kepada Allah swt dan rasul serta hendaklah menetap diri di jalan salaf soleh.

Begitu juga seperti yang disampaikan oleh Sufyan ibn Uyainah berkata aku mendengar Asim berbicara kepada Abi Al-Aliyah dengan katanya “ Tetaplah pada perkara yang awal-awal dipegang dan diperintahkan (oleh para sahabat) sebelum khilafnya ummat”. Dan telah berkata juga Al-Auza’ie “Bersabarlah di atas sunnah dan berhentilah pada apa yang golongan terdahulu berhenti padanya (yakni pada perkara yang para sahabat berhenti dari melakukannya) dan berkatalah dengan apa yang dikatakan oleh mereka (para sahabat) dan berpadalah dengan apa yang mereka merasa cukup (sebagai panduan mereka) dan laluilah jalan salaf soleh.” (Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya 143 Jilid 6).

Daripada Anas ibn Malik ra bekata, Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2260).

Tujuan kebanyakkan ustaz dan pendakwah mengisahkan cerita-cerita mereka sendiri sebagai medium dan method dakwah ialah supaya memudahkan diri mereka sendiri disebalik alasan mahu memudahkan manusia. Ini disebabkan mereka tidak perlu dipersusahkan membuat kajian di atas rujukan kisah yang diceritakan, tidak perlu menguasai keilmuan yang diperlukan bagi menyampaikan kisah-kisah dari kitab dan sunnah seperti mengetahui ilmu tafsir bagi mengisahkan apa yang di dalam AL-Qur’an dan menguasai ilmu hadith bagi menyampaikan kisah yang di dalam hadith.

Sebaliknya dengan becerita apa yang diketahui dan dialami oleh mereka cukup dengan gaya bahasa yang menarik dan uslub yang memikat serta kemudian dimasukkan dalil-dalil kitab dan sunnah bagi menyokong ceritanya dan dibuat keputusan hukum serta istinbat cerita berdasarkan pendapatnya dengan mencari dalil-dalil kitab dan sunnah yang boleh menyokong.

Inilah bahaya dan kejahilan yang berlaku kepada para pendakwah Islam hari ini yang kurang teliti dalam masalah keilmuan dan manhaj agama berdasarkan laluan salaf soleh. Hendaklah setiap pendakwah sepatutnya mengambil kisah-kisah dari kisab dan sunnah serta dalil kitab dan sunnah sebagai asas sesuatu medium dan mesej dakwah kemudian sekiranya hendak memasukkan cerita dan kisah terkini yang sensasi dan hari ini sebagai menyokong apa yang di dalam kitab dan sunnah maka tidaklah mengapa.

Biarlah kisah dan cerita peribadi itu hanya berperanan menyokong apa yang di dalam kitab dan sunnah bukannya menjadi apa yang disampaikan kepada pendengar dengan Al-Qur’an dan sunnah pula menjadi penyokong cerita-ceritanya.

“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih” (Ali Imran –31).

Rahmat Allah itu ialah dengan ilmu seperti yang disebut oleh baginda sallahualaihiwasalam : "Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan baginya Maka Allah akan memberikannya kefahaman dalam urusan agama" (Hadith Sahih, Muttafaqun Alaih –Disepakati oleh Bukhari & Muslim).

Sesungguhnya kefahaman di dalam agama itu ialah suatu anugerah Allah swt dan hanyalah diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki oleh-Nya maka barangsiapa yang menjauhkan dirinya daripada mendapat pertunjuk Allah dengan memiliki rasa ego dan bongkak dengan kedudukan dan pengalamannya serta jua dengan kelebihan umurnya dari orang lain maka menjadilah dia di kalangan orang-orang yang merugi.

"Barangsiapa yang menentang rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang yang beriman maka kami membiarkan dia berleluasa dengan kesesatan yang dialaminya itu dan kami masukkan dia ke dalam neraka jahanam yang seburuk-buruk tempat kembali" (An-Nisa : 115).

Maka berkata Al-Imam Syirazi dalam kitabnya bahawa ayat di atas memerintahkan kita kepada menuruti "jalan orang yang beriman" dan larangan menyalahi mereka serta mengikuti jalan orang yang beriman itu ialah wajib (Al-Luma' Fi Usul Fiqh m/s : 180).

Jalan orang yang beriman di dalam ayat ini merujuk kepada sebaik-baik golongan manusia yang beriman iaitu mereka yang beriman di zaman rasul dan hidup di bawah pertunjuk Allah dan di zaman penurunan wahyu iaitu para sahabat ra dan kemudian para anak-anak mereka dan seterusnya cucu mereka yang disebut sebaik-baik golongan.

" Golongan yang terdahulu daripada Muhajirin dan Ansor dan golongan yang mengikuti mereka dengan ehsan maka telah redhalah Allah kepada mereka dan mereka pun merasa redha dengan Allah" (At-taubah : 100).

"Muhammad itu rasul Allah dan golongan yang bersamanya bersikap keras terhadap kuffar dan berkasih sayang di antara mereka dan kelihatan dari mereka beruku' dan bersujud dan mereka mencari fadhilat dari Allah dan redha-Nya" (Al-fath : 29).

Diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud " Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan.” Maka bertanyalah para sahabat ra kepada baginda akan siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda " Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku ." (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Hanya Allahlah yang dapat menyatukan hati manusia di kala mereka berselisih dan hanya golongan yang mendapat pertunjuk bersatu di atas tali-Nya yang kukuh.

“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Surah Al-Isra : 15).


Segala puji hanyalah bagi Allah swt

1 comment:

Unknown said...

Salam ustaz..sy nk copy boleh x