Adapun hadith Muadz ini sangatlah masyhur dan terdapat di dalam pelbagai kitab termasuk Al-Wajiz Fi Usul Fiqh oleh Dr Abd Karim Zaidan yang merupakan pakar usul fiqh masa kini dalam memasukkannya sebagai hujah dalam ijtihad dengan akal dan hal ini agak perlu diperjelaskan.
Darjah hadith ini ialah dhaif pada sanadnya dan matannya seperti berikut yang dikeluarkan oleh At-Tirmidzi ra :
Diberitahu kepada kami oleh Hanad yang berkata telah memberitahu kami oleh Waki' daripada Syu'bah daripada Abi Aun As-Saqafi daripada Haris ibn Amri daripada salah seorang dari sahabat Muadz ibn Jabal bahawa nabi salallahualaihiwasalam kononnya bertanya kepada Muadz ra sebelum diutuskan ke Yaman dengan bersabda : "Bagaimanakah kamu akan berhukum ? Lalu dijawab dengan Kitab Allah maka bersabda baginda : Sekiranya kamu tidak mendapati ianya di kitab Allah ? Maka dijawab akan aku berhukum dengan sunnah rasulullah lalu bersabda lagi : Sekiranya tidak terdapat dalam sunnah rasulullah ? Maka dijawab Muadz : Aku akan berijtihad dengan fikiran aku maka bersabdalah baginda : “Segala puji hanyalah bagi Allah yang menepati utusan rasulullah dengan apa yang disukai rasulullah” .
Hadith ini dhaif pada sanadnya dan diriwayatkan oleh Al-Imam Tirmidzi di dalam Sunannya pada hadith benombor 1327 dan menyebutkan hadith ini gharib (ganjil) dan isnadnya tidak bersambung dan Abu Aun As-Saqafi ialah Muhammad ibn Ubaidillah.
Manakala Haris ibn Amru ialah majhul dan tidak diketahui perihalnya menjadikan hadith ini jatuh kepada kedudukan di antara dhaif dan maudhuk (palsu) dan lelaki dari sahabat Muadz ini pun yang disebut dalam hadith juga majhul tidak diketahui siapakah dia.
Hadith ini tidak dapat dipakai untuk dibuat hujah kerana pada sudut maknanya juga hadith ini tidak menepati kehendak syariat kerana ijtihad dengan akal sangatlah dicela dan menyalahi kaedah ulama fiqah dan usul Islam yang meletakkan asas ijtihad dalam perkara yang tiada di kitab Allah dan sunnah dengan seperti menggunakan ijmak, qiyas dan sebahagian ulama seperti Imam Ahmad ra mengutamakan hadith dhaif daripada akal (ra'yu).
Berkata Ibn Hazm di dalam kitabnya Al-Ihkam fi Usul Al-Ahkam Jilid 2 m/s 773 bahawa hadith ini layahillu al-ihtijaju bihi (ianya tidak halal untuk diterima) dan menyebut kerana gugurnya rawi dan terputus sanad.
Walaubagaimanapun berkata Al-Imam Ibn Qayyim ra di dalam kitabnya A'lamul Muwaqi'ien & I'lamul Muwaqi'ien di jilid 1 m/s 162 bahawa hadith ini masyhur di kalangan ahli ilmu dan Imam Syu'bah turut meriwayatkan hadith ini sedangkan ahli hadith menyebutkan jika kamu melihat riwayat hadith yang pada sanadnya terdapat Syu'bah maka peganglah dengan kukuh hadith tersebut dan ramai ahli ilmu menerima hadith ini dengan tidak menanyakan sanadnya dan berkata juga Abu Bakar Al-Khatib bahawa Ubadah meriwayatkan daripada Abd Rahman ibn Ghanam dariada Muadz dan sanadnya bersambung wallahualam.
Saya menyimpulkan hadith ini termasuk dalam silsilah (senarai) hadith dhaif lantaran tidak ada bukti jelas mensahihkannya dan Muhadith mutakhir seperti Allamah Syeikh Albani ra turut mendhaifkan hadith ini dan meletakkannya di Silsilah hadith Dhaifnya pada bilangan hadith bernombor 881.
Wallahualam.
p/s :
Sebenarnya ana berhasrat mengulas panjang hadith ini dan mengulas mengenai kaedah usul feqah terhadap berhujah dengan akal dan cara mengunakan akal menurut kaedah Islam dalam memahami agama tetapi masa terlalu singkat disebabkan ana terlalu sibuk menguruskan banyak hal. Doakan ana dalam menghadapi menhah ujian dakwah dan kehidupan.
jazakumullahukhairan.
No comments:
Post a Comment