Thursday, April 20, 2006

Muqadimah Ilmu Tafsir Al-Qur'an (Special Edition- Ringkasan Dari Buku "Al-Mufassir" oleh Ustaz Emran

Al-Quran merupakan panduan dan pertunjuk yang mengandungi pelbagai rahsia dan hikmah kepada orang-orang yang beriman dan yang mahu mengambil pengajaran seperti firman Allah swt :

الۤر كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَاتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ.
Alif, Lam, Ra , Kitab yang kami turunkan kepada –Mu supaya kamu dengannya dapat mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya (pertunjuk) dengan izin tuhan ke jalan-Nya yang Maha Perkasa dan Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim :1).

Sesungguhnya sesuai dengan kedudukannya sebagai mukjizat kepada Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam maka ianya penuh dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan serta panduan yang dapat menunjuki manusia ke jalan yang selamat. Namun tidak semua orang mampu memahami akan isi kandungan Al-Quran kerana ianya dalam bahasa Arab yang tinggi dan penuh sastera sebagai mukjizat dan cabaran kepada kaum musyrikin Makkah. Maka proses memahaminya memerlukan kepada penafsiran oleh ahli ilmu dan para ulama’ tafsir.

Maksud tafsir dari sudut bahasa ialah “ Penerangan dan Menyingkap sesuatu, Menjelaskan sesuatu atau menyingkap sesuatu rahsia.” (lihat Dr. Manna’ Khalil Qathan dalam Mabahis Fi Ulum Quran m/s 295). Disebut oleh Al-Quran akan perkataan tafsir dalam firman Allah :
وَلاَ يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلاَّ جِئْنَاكَ بِٱلْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيراً “ Dan tidaklah kami mendatangkan pada-mu sesuatu perumpamaan melainkan mendatangkannya dengan Haq (benar) dan sebaik-baik tafsir.” (Surah Al-Furqan : 33).

Ibn Abbas mengatakan وأحسن تفسيرا ialah bermaksud “Penjelasan”. Manakala tafsir dari sudut istilah ulama’ dan para ahli ilmu mengatakan ianya ialah Ilmu yang mengkaji mengenai maksud dan lafaz ayat dalam Quran, hukum dan hakam serta pengajaran dan manfaat dari Quran (lihat Dr. Manna’ Khalil Qathan dalam Mabahis Fi Ulum Quran m/s 295).

Menurut Zarqasyi (التفسير ) Tafsir bermaksud ilmu untuk memahami kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam serta menjelaskan maknanya dan mengeluarkan hukum-hakam dan pengajaran (lihat Al-Itqan Fi Ulum Quran m/s 174, Jilid 2 ).

Sesungguhnya telah menjadi sunnah Allah swt dalam menurunkan kitab dan wahyu-Nya dengan menurut bahasa dan lisan kaum rasul yang diutuskan-Nya. Seperti yang dijelaskan dalam ayat ; وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ “ Dan tidaklah kami mengutuskan rasul melainkan dengan lisan kaumnya sendiri untuk memberi penerangan kepada mereka.” (Surah Ibrahim :4).
Maka untuk ummat baginda rasulullah sallahulaihiwasalam, bahasa arab telah dipilih sebagai bahasa yang menjadi pengantara bagi wahyu-Nya dan dipilih untuk memuliakan bangsa yang melahirkan rasul utusan terakhir ini sebagai bahasa bagi Al-Quran dan disebut oleh Allah swt : إِنَّآ أَنْزَلْنَاهُ قُرْآناً عَرَبِيّاً لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ “ Dan sesungguhnya kami telah turunkan Qur’an itu dalam bahasa arab moga-moga kamu memikirkan (memahaminya).” (Surah Yusof : 2).

Oleh yang demikian, disebabkan Al-Quran ini diturunkan dalam bahasa arab maka ianya merupakan satu kewajipan kepada umat Islam untuk mengetahui ilmu tafsir supaya dapat menjelaskan maksud-maksudnya yang tidak difahami oleh orang yang bukan arab (Ajam) bahkan terdapat banyak ayat dalam Al-Quran yang bangsa arab sendiri pun tidak memahaminya lantaran tinggi bahasa dan sasteranya, agung makna dan penyusunan kata-katanya sehingga ianya benar-benar menjadi mukjizat dan cabaran kepada sesiapa yang tidak beriman untuk mencipta sepertinya sebagaimana cabaran Allah swt kepada hamba-Nya dengan berfirman : وَإِن كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ “ Dan jika kamu meragui akan apa yang kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka buatlah satu surah sepertinya “ (Surah Al-Baqarah : 23). Sebagai contoh seperti yang disebut oleh Abu Ubaidah dari riwayat Mujahid dari Ibn Abbas ra bahawa katanya “ Aku tidak mengetahui apakah itu ‘fathirul Samawatul wal Ardh’ sehinggalah datang 2 orang arab yang bersumpah di tepi telaga dan seorangnya mengatakan , Ana fathiruha : yang bermaksud akulah yang membuatnya (memulakan penciptaannya).” (lihat Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 113, Jilid 2).

Lalu penafsiran Al-Quran itu dilakukan demi memahami maksud sebenar disebalik perumpamaan-perumpamaan yang digunakan dalam Al-Quran bagi menyampaikan sesuatu maksud atau mengeluarkan hukum dan perintah dari sesuatu ayat atau memahami tegahan dan larangan disebalik iktibar kisah dan penjelasan keburukan sesuatu perkara. Tafsir berperanan mencungkil hikmah dan rahsia yang tersembunyi disebalik firman dan kalam Allah yang berupa mukjizat dan sesungguhnya ilmu tafsir ialah ilmu mengenali hikmah Al-Quran seperti firman Allah :

يُؤّتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ
“ Sesungguhnya Allah memberi hkmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

Dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim dari riwayat Ibn Abi Talhah dari Ibn Abbas ra dalam menafsirkan ayat ini dengan berkata “ يؤ تي الحكم” itu bermaksud “ Mengenal Al-Quran, memahaminya serta mengetahui nasakh dan mansukh, ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat, mengetahui yang awal dan akhir diturunkan serta mengetahui halal dan haram dan yang berkaitan dengannya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 452, Jilid 3).

Menyentuh perihal tafsir, maka para ulama’ telah menetapkan panduan dan kaedah khusus dalam membuat penafsiran pada ayat-ayat Quran. Sepertimana disebut oleh Imam Ibn Katsir ra yang mengatakan sebaik-baik tafsir ialah tafsir dengan menggunakan Al-Quran bagi menafsirkan Al-Quran.

Sesungguhnya Penafsiran Al-Quran dengan menggunakan Al-Quran ialah tafsiran yang paling utama dan benar kerana hanya Allah mengetahui apa yang dimaksudkannya dan lafaz tertentu dalam Al-Quran akan dapat diketahui dengan merujuk ayat yang lain tapi membawa makna kepada ayat yang tidak difahami itu.

Sebagai contoh seperti yang dilakukan sendiri oleh para sahabat ra dalam memahami ayat-ayat Allah dengan menafsirkannya kepada ayat-ayat yang lain yang membawa makna ayat yang tidak difahami atau menjelaskan apa yang tidak jelas atau mengkhususkan apa yang terlalu umum seperti firman Allah swt : أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ ٱلأَنْعَامِ إِلاَّ مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ “Bagi kamu dihalalkan memakan binatang ternak kecuali yang akan didatangkan kepada-mu selain itu.” (Surah Al-Mai’dah :1).

Pada ayat di atas perintah dan kebenaran memakan binatang sangatlah umum kerana tidak disebut binatang yang bagaimanakah pula yang tidak boleh dimakan sebab pengecualian kepada halal tidak disebut jelas sehinggalah para sahabat mentafsirkannya dengan ayat 3 Surah Al-Mai’adah yang membawa maksud dan pemahaman yang lebih jelas iaitu pada firman-Nya :
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلْدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنْزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِ
"Diharamkan kepada kamu memakan bangkai , darah, daging khnzir (babi) dan binatang yang tidak disembelih dengan nama Allah….” (Surah Al-Maidah :3).

Manakala dalam perkara yang tiada disebut dalam Al-Quran maka tafsir dilakukan dengan menggunakan As-Sunnah kerana sunnah rasulullah itu merupakan sebaik-baik tafsir bagi Al-Quran selepas Al-Quran itu sendiri dalam mencapai makna dan pemahaman yang sahih (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 15 Jilid 1) sebagaimana firman Allah :
وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ ٱلذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ
“ Dan kami turunkan kepada kamu Al-Zikr (Al-Quran) sebagai memberi penerangan kepada manusia.” (Surah An-Nahl : 44). Fungsi sunnah ialah sebagai pentafsir dan penjelas kepada isi-isi kandungan Al-Quran sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam :
ألا أوتيت القرأن ومثله معه
“ Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah)”
(Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643).

Imam Syafie ra juga pernah mengatakan “ Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran.” (lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, m/s 302).

Antara contoh-contoh tafsir dengan sunnah nabi salallahualaihiwasalam ialah seperti perbuatan sahabat bertanyakan kepada baginda maksud ayat-ayat tertentu, atau wujud penerangan dari baginda pada maksud ayat tertentu yang boleh diketahui dengan merujuk pada hadith-hadith baginda dalam kitab hadith seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain. Seperti dalam riwayat dari Ibn Mas’ud ketika turunnya ayat ٱلَّذِينَ آمَنُواْ وَلَمْ يَلْبِسُوۤاْ إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ “ Mereka yang beriman dan tidak mencampuri iman mereka dengan kezaliman” (Surah Al-An’am : 82).

Maka para sahabat pun kehairanan bagaimana memakai (mencampuri) keimanan dengan kezaliman maka mereka pun bertanya kepada baginda lalu baginda pun menjawab dengan sabdanya :
انما هو الشرك “Sesungguhnya yang dimaksudkan ialah Syirik” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.3560 lihat Fathul Bari m/s 484 Jilid 6 & Muslim no. 124).

Begitulah juga seperti dalam Surah Al-Kausar ketika ditanya kepada baginda apakah itu Al-Kausar maka baginda menjawab
الكوثر نهر أعطانيه ربي فى الجنة “ Al-Kausar itu ialah sungai yang diberikan oleh tuhanku di Syurga” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.400 & Ahmad no. 102 Jilid 3 ).

Seterusnya menduduki tangga ketiga selepas penafsiran Al-Quran dengan Al-Quran dan Al-Quran dengan As-Sunnah maka para ulama’ menetapkan bahawa Al –Quran itu boleh ditafsirkan dengan menggunakan perkataan dan riwayat dari salaf soleh kerana mereka memahami Al-Quran dengan kefahaman yang diwarisi dari rasulullah.


Sebagaimana kata Abdullah ibn Mas’ud, “ Demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, tidaklah turun satu ayat pun dalam Al-Quran melainkan aku tahu pada siapa diturunkan dan di mana diturunkan dan tidaklah aku mengetahui ada orang yang lebih alim kitab Allah dari aku melainkan aku segera menunggangi kenderaan mendatanginya.(lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 15 Jilid 1).

Juga disebut sikap para salaf soleh yang menyebabkan tafsir mereka dapat dijadikan pedoman seperti dalam kalam Ibn Mas’ud ra “ Sesungguhnya para sahabat ra jika belajar 10 ayat dari Al-Quran maka tidaklah mereka meneruskan dengan ayat yang lainnya melainkan mereka terlebih dahulu telah mengetahui maknanya dan beramal dengannya.” (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 15, Jilid 1 ).

Bahkan pada zaman salaf soleh mereka terkenal sebagai ulama’ dan pentafsir Al-Quran seperti Ibnu Abbas yang digelar sebagai “Penterjemah Al-Quran” lantaran berkah doa rasulullah padanya (اللهم فقهه فى الدين وعلمه التأويل ) “Ya Allah fahamkanlah dia dalam agama dan alimkanlah dia akan tafsir.” (riwayat Bukhari no. 135 & Muslim no. 2477).

Demikianlah penafsiran yang dilakukan berdasarkan pendapat Imam Ibn Katsir yang mengatakan sebaik-baik tafsir ialah tafsir bil Ma’sur yang mengutamakan dalil dan pertunjuk dari Al-Quran mahupun As-Sunnah atau yang membawa kepada kedua-duanya seperti tafsir dari riwayat salaf soleh.

Walaubagaimana pun hendaklah kita berhati-hati dalam menerima tafsir berdasarkan riwayat dengan hanya memilih dan mengambil yang sahih sanadnya sahaja kerana wujud terlalu banyak penipuan dan pemalsuan hadith serta riwayat dengan menyandarkannya kepada rasulullah atau para sahabat dan tabi’en dalam membuat tafsir yang menyeleweng.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab sebagai menunjukkan kemuliaan bangsa arab dan penghormatan Allah kepada keturunan dan bangsa baginda salallahualahiwasalam. Justeru itu amat perlulah kepada setiap ahli agama dan mereka yang ingin memahami Islam supaya menekuni bahasa arab dan ilmunya. Dalam penafsiran Al-Quran dan memahami isi kandungannya kemahiran bahasa arab amatlah diperlukan.

Sebagaimana riwayat dari Mujahid yang berkata “ Tidak halal bagi sesiapapun yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk berkata sesuatu perihal Al-Quran sedang dia tidak menguasai bahasa arab.” (lihat Mabahis Fi Ulum Quran m/s 302 ).

Oleh yang demikian amatlah disedihkan kerana wujud ramai orang dikalangan kita yang berfatwa dengan Al-Quran sedangkan mereka langsung tidak menguasai ilmu-ilmu berkait Al-Quran bahkan tidak boleh menguasai bahasa Arab sedikit pun !!. Apakah mereka tidak takut kepada Allah dalam mengatakan sesuatu yang mereka tidak ketahui ? Sedang Allah swt pernah berfirman :
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ ٱلْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَٱلإِثْمَ وَٱلْبَغْيَ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَاناً وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
“ Katakanlah sesungguhnya yang diharamkan oleh tuhanku ialah…dan mengatakan sesuatu terhadap Allah sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-A’raf : 33).

Malangnya dapat kita lihat terlalu ramai berani berfatwa yang bukan-bukan perihal ayat-ayat Allah dan mengeluarkan hukum hakam yang ganjil dari Al-Quran tanpa ilmu. Sedangkan hal itu diharamkan kerana baginda rasul sendiri pernah menyebut dari riwayat Ibn Abbas ra bahawa baginda bersabda :
من قال فى القرأن برأيه او بما لا يعلم فليتبؤا مقعده من النار
“Barangsiapa yang mengatakan sesuatu perihal Al-Quran dengan menggunakan akalnya atau dengan apa yang tidak diketahuinya maka bersedialah dia dengan tempat di neraka.” (Hadith hasan, riwayat Ibn. Jarir 34 Jilid 1 & Tirmidzi no. 2950).

Sesunguhnya dalam persoalan Islam yang terdiri dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka para ulama’ perlulah berwaspada dan tegas mempertahankan keaslian Islam dan memeliharanya dari tafsiran menyimpang. Begitulah yang dilakukan oleh golongan salaf soleh yang memelihara keaslian Al-Quran dan menjaganya dengan tidak menafsirkannya kecuali apa-apa yang datang dari dalil dan hujah yang jelas dari Allah dan rasul-Nya.

Sangatlah ditentang dan dicela perbuatan menafsirkan ayat Allah dengan menggunakan logik akal atau dengan kejahilan sekalipun benar apa yang ditafsirkan. Sebagaimana dari riwayat Jundub ra bahawa baginda pernah bersabda “ من قال فى القرأن برايه فقد أخطأ “ Barangsiapa yang mengatakan sesuatu tentang Al-Quran dengan menggunakan akalnya maka dia telah tersilap (Hadith Hasan, riwayat Abu Daud no. 3652, tirmidzi no. 2952). Dan disebut dalam riwayat yang lain dengan darjat hadith hasan bahawa ditambah فاصاب فقد أخطأ" “ Sekalipun benar apa yang ditafsirkan dengan akalnya maka tetap salah (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.2951 & Ahmad 269 Jilid 1).

Penafsiran Al-Quran hanya dibuat dengan ilmu dan kefahaman yang mendalam dan tidak semua pula dapat kita tafsirkan dalam kitab Al-Quran kerana ada perkara-perkara yang hanya diketahui oleh Allah dan bukanlah menjadi keperluan kepada kita untuk mentafsirkannya seperti persoalan ghaib, perkara-perkara yang tidak dikhabarkan kepada baginda kerana tiada manfaat mengetahuinya seperti perihal tongkat Nabi Musa as diperbuat dari kayu apa ? Bahtera Nabi Nuh as dibina di atas bukit apa ? Apakah nama-nama Ashabul Kahfi dan warna anjingnya, perkara-perkara ini di tegah oleh para ulama’ salaf soleh dari diperbincangkan kerana ianya membuang masa dan mengurangkan akal sedang Allah sendiri mencela perbuatan itu sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran :
سَيَقُولُونَ ثَلاثَةٌ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْماً بِٱلْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلاَّ قَلِيلٌ فَلاَ تُمَارِ فِيهِمْ إِلاَّ مِرَآءً ظَاهِراً وَلاَ تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِّنْهُمْ أَحَداً
“ Nanti akan ada orang yang akan mengatakan jumlah mereka (Ashab kahfi) adalah tiga orang dan ke-empatnya ialah anjing dan juga akan mengatakan yang lainnya jumlah mereka itu (Ashab kahfi) ialah lima dan ke-enamnya ialah anjingnya sebagai tekaan dan menyangka perihal ghaib manakala yang lain pula mengatakan mereka itu tujuh orang dan kelapannya ialah anjingnya. “ Katakanlah sesunguhnya tuhanku mengetahui bilangan sebenar mereka dan tidaklah kamu ketahui perihal itu melainkan sedikit. Kerana itu janganlah kamu bertengkar kerana hal mereka itu dan kecuali kamu mengambil pengajaran dari apa yang zahir dan janganlah bertanya perihal mereka itu sesiapa pun.”
(Surah Al-Kahfi : 22).

Demikianlah seperti yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra bahawa “ Tafsir itu terbahagi kepada 4 bahagian, iaitu perkara yang dapat diketahui oleh orang arab akan maknanya, tafsir dan perkara yang tidak ada keuzuran bagi sesiapa pun untuk mengetahuinya lantaran terlalu jelas dan tafsir yang hanya diketahui oleh para ulama’ serta tafsir dan perkara yang hanya diketahui oleh Allah swt.” (Mabahis Fi Ulum Quran m/s 320).

Ringkasan Perkembangan Ilmu Tafsir

Islam bermula pada zaman rasulullah dengan nabi salallahualaihiwasalam berperanan sebagai penerang dan pembimbing serta pentafsir kepada Al-quran.
إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَٱتَّبِعْ قُرْآنَهُ ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ “Sesungguhnya kamilah yangmengumpulkan Quran itu bagi kamu dan jika kami membacanya maka ikutlah dan kepada kamilah yang meneranginya.” (Surah Al-Qiyamah :17).

Ketika fasa penurunan Al-Quran, para sahabat dapat mempelajarinya dengan mudah kerana ia diturunkan di sisi mereka, serta dengan bahasa arab dan uslub balaghah yang di fahami oleh kebanyakan meraka (Mabahis Fi Ulum Quran m/s 306). Setiap permasalahan dirujuk kepada baginda dan hal ini menyebabkan penafsiran Al-Quran dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat mempelajarinya dan memahaminya serta mengamalkanya dengan ayat-ayat yg diajarkan. Sebagaimana dari riwayat Abu Dzar ra bahawa baginda salallahualaihiwasalam bersabda “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat membawa ke syurga dan menjauhkan dari neraka melainkan telah diterangkan kepada kalian. (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra 4/416 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat lain).

Walaubagaimanapun segala penjelasan yang diberikan oleh rasulullah tidaklah semuanya sampai pada kita kerana disebabkan terputusnya sanad dan tiada penyusunan yang rapi dalam menyimpan isi kandungan penjelasan rasulullah kecuali apa yang sampai pada kita hari ini.

Zaman Sahabat

Pada zaman ini para sahabat berdepan dengan cabaran-cabaran baru dan umat Islam mula terdedah kepada pelbagai masalah. Namun kewujudan para sahabat menjadi penyelamat kepada keadaan ini. Kemampuan mereka memahami Al-quran dan memahami pertunjuknya menyebabkan umat Islam masih terpelihara dan mampu mengatasi masalah yang dihadapi. Para ulama’ sahabat yang masyhur ialah Khalifah ar-rasyidin yang empat, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Zaid Ibnu Thabit, Abu Musa Al-asya’ari, Abdullah ibnu Zubair, Anas Ibnu Malik, Abdullah Ibnu Umar, Jabir ibnu Abdillah, Abdullah ibnu Amru bin Al-Ash, Ummul Mukminin Aishah dan ramai lagi yang tidak termuat di sini.

Mereka tidak menghadapi sebarang masalah dengan kefahaman mereka yang mendalam dan sikap mereka yang teguh serta tegas dalam mempertahankan sunnah menyebabkan masyarakat ketika itu masih mengikut Al-Quran dan As-Sunnah hasil didikan mereka.

Dalam menghadapi permasalahan para sahabat menjelaskan maksud-maksud Al-Quran kepada maksud asal yang di fahami oleh mereka berdasarkan penerangan dari rasulullah di samping menggunakan kekuatan bahasa arab yang mereka miliki untuk memahami ayat-ayat Allah. Suasana ini berterusan hingga ke zaman anak-anak mereka iaitu tabien. Para sahabat ra berusaha mendidik generasi anak-anak mereka dengan didikan yang sama yang mereka terima dari nabi salallahualaihiwasalam. Ketika ini kebanyakan para sahabat mempunyai madrasah dan mendidik generasi tabien dengan apa-apa yang mereka telah pelajari dari rasulullah.

Di antara Khalifah Ar-Rasyidun, yang paling banyak diambil ilmu darinya ialah Ali Ibn Thalib ra, manakala yang lainnya agak kurang diambil riwayat dari mereka lantaran telah awal meninggal dunia. Sebagaimana riwayat Ma’I dari Wahab ibnu Abdullah dari Abi Tufail berkata aku menyaksikan Ali berkhutbah dan dia berkata “Tanyalah aku dan demi Allah tidaklah kamu bertanya aku melainkan aku memberikan kepada kamu jawapannya. Bertanyalah kepada aku tentang kitab Allah dan demi Allah tiadalah sesuatu pada ayat Allah melainkan aku mengetahuinya. (Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 479 Jilid 3).

Begitulah juga pada sahabat-sahabat yang lain yang juga mengetahui isi-isi Al-Quran. Di Kufah para sahabat yang mengajar antaranya ialah seperti Ali ra, Ibnu Mas’ud ra dan di Makkah ialah Ibn Abbas ra, Abdullah Ibn Umar ra dan di Madinah seperti Ubai Bin Ka’ab ra. (Al-Itqan Fi Ulum Quran, m/s 183 Jilid 2). Ibn Mas’ud banyak mengambil riwayat dan ilmu dari Ali ra, dan kemudiannya dari Ibn Mas’ud maka lahir madrasahnya yang mendidik tabien dan antara yang mengambil ilmu dari Ibn Mas’ud ialah seperti Al-Qamah bin Qais, Abu Ali’yah, Dhahak, Qatadah dan Hasan Al-Basri.

Manakala di Makkah, Ibn Abbas merupakan antara ulama’ sahabat yang tersohor dan masyhur serta menjadi tempat ramai tabien mengambil ilmu. Antara yang mengambil ilmu dari Ibn Abbas ialah seperti Mujahid, Atho ibn Rabih, Ikrimah, Sa’id ibn Jubair dan Thowus bin Kaisan Al-Yamani. Di Madinah pula yang mengajar terdiri dari Ubai bin Ka’ab ra dan lain-lain sahabat yang menetap di Madinah (golongan Ansar) yang darinya lahir Zaid Ibn Aslam dan ramai lagi ulama’ tabien. Demikianlah proses pewarisan ilmu dan kefahaman dari sahabat kepada tabien dan kemudiannya disambung oleh tabien sebagai pemegang amanah ilmu dan amal selepas kematian para sahabat ra.

Zaman tabien

Para tabien merupakan generasi ke –3 yang lahir selepas sahabat dalam sekitar tahun 150 Hijrah dan mereka merupakan pewaris ilmu dan peninggalan para sahabat dalam ilmu kefahaman dan amal. Namun pada zaman para tabien disebabkan oleh perluasan wilayah dan ramainya golongan yang memeluk Islam dari pelbagai bangsa dan suku kaum menyebabkan Islam menghadapi masalah akibat kejahilan dan perpecahan yang melanda masyarakat ditambah peranan kaum munafiq dan yahudi yang secara diam-diam berusaha menghancurkan kekuatan Islam dari dalam.

Golongan tabien yang mengambil ilmu dari sahabat secara umum masih mampu menangani masalah walaupun ketika itu dalam sekitar pemerintahan akhir Bani Umaiyah dan awal pemerintahan Abasiyyah yang menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku yang membawa pertumpahan darah, perpecahan akibat politik dan fitnah serta munculnya golongan sesat seperti Khawarij, Syiah dan Qadariah serta Murjiah dan Muktazilah. Namun Allah tetap menjaga umat ini dengan menetapkan bagi setiap umat ulama’ yang menjaga agama dan ketika itu ulama’ tabien yang mewarisi ilmu dari sahabat ialah seperti Sa’ad Ibn Jubair, Mujahid, Atho ibn Rabih, Hasan Al-Basri, Qatadah, Zaid Ibn Aslam, Muhammad Ibn Ka’ab dan lain-lain ulama ummah yang merupakan pelita menerangi zaman.

Dari Fudhail bin Mai’I yang telah menyebut aku mendengar dari Mujahid yang telah berkata “Aku membaca Al-Quran kepada Ibn Abbas sebanyak 3 kali dan aku berhenti pada setiap ayat dan bertanya tentang apa yang diturunkan dan bagaimana keadaannya.” (Al-Itqan Fi Ulum Quran m/s 485 Jilid 3). Malah berkata Sufyan As-Sauri “ Ambillah ilmu tafsir dari Sa’ad Ibn Jubair, Mujahid, Ikrimah dan Dha’hak” (lihat Hilyatul Auliya’ m/s 329 Jilid 3). Ketika ini ulama’ tabien bukan sahaja terpaksa berusaha memahami ayat Allah menurut maksud asal seperti yang difahami oleh para sahabat yang mengambil dari rasullullah sebaliknya terpaksa berusaha mendidik masyarakat dan memahamkan golongan baru Islam dengan apa yang diturunkan Allah di samping memberi pemahaman tentang situasi yang berlaku ketika itu yang tidak pernah menimpa para sahabat sebelumnya.

Kemasukan orang Ajam (bukan arab) ke dalam Islam , pembukaan kota-kota besar dan penaklukan dan perluasan wilayah Islam menyebabkan zaman tabien ketika itu terdedah kepada kemasukan pelbagai budaya dan pegangan asing yang cuba diserap masuk untuk dijadikan sebahagian dari ajaran Islam dan menyebabkan para tabien terpaksa berusaha keras memahamkan masyarakat akan ajaran Islam yang asli dan sebenar di samping membanteras kemasukan fahaman asing yang cuba dijadikan sebagai sebahagian dari Islam demi memelihara keaslian dan kesucian agama Islam.

Di Makah ulama tabien yang membuka madrasah dan mengajar ialah seperti Atho ibn Rabih, Mujahid dan lain-lain murid ibn Abbas ra. Manakala di Kufah pula dari murid Ibn Mas’ud seperti Ibrahim An-Nakhaie’ dan Qatadah dan di Basrah pula seperti Hasan Al-Basri manakala Said ibn Musayyib serta Salim Ibn Abdullah ibn Umar pula di Madinah.

Zaman Pembukuan Tafsir

Selepas tamatnya zaman tabien dan di era pengakhiran zaman Bani Umaiyah serta memasuki zaman baru Bani Abbasiyyah maka telah wujud usaha dan proses membukukan hadith dan tafsir. Seperti usaha membukukan tafsir oleh Sufyan Ibn Uyainah (meninggal 160 Hijrah), Waqi ibn Jarah (meninggal 197 Hijrah), Syu’bah Bin Hajjaj (meninggal 160 Hijrah), Yazid Ibn Harun (meninggal 117 Hijrah), Rauhah Ibn Ubadah (meninggal 205 Hijrah), malangnya tafsir mereka tidak sampai kepada kita sedikit pun melainkan kesan-kesan riwayat dalam periwayatan dari anak-anak murid mereka dan ulama’ terkemudian.

Mereka ini merupakan ulama’ hasil didikan dari tabi’ tabien yang mengambil ilmu dari tabien dan membukukan kitab tafsir berdasarkan riwayat dari tabien yang diambil dari sahabat ra dari rasulullah salallahaualihiwasalam. Mereka ini menafsirkan Al-Quran menurut kaedah ilmu hadith dengan meletakkan riwayat bagi setiap ayat dan tafsiran yang dibuat.

Seterunya selepas golongan ini muncul pula segolongan ulama terkemudian yang menafsirkan Al-Quran menurut turutan mushaf dan dari ayat ke ayat seperti dalam Mushaf Quran dengan secara tersusun seperti Ibn Majah (meninggal 273 Hijrah), Ibn Jarir At-Tabari (meninggal 310 Hijrah), Abu Bakr Al-Munzir Naisaburi (meninggal 318 Hijrah), Ibn Abi Hatim (meninggal 327 Hijrah) dan terkenal dengan Tafsir Ibn Abi Hatim, Ibn Hibban (meninggal 329 Hijrah) dan Hakim (meninggal 405 Hijrah). Mereka ini membukukan kitab tafsir mereka berdasarkan ilmu riwayat dari para tabi’ tabien , tabien dan sahabat sehingga ke nabi salallahualaihiwasalam disamping menyertakan tarjih (penentuan pendapat yang lebih rajih/ tepat ) pada khilaf (perselisihan) pendapat dikalangan tabien dan istinbat hukum-hukum dan I’rab seperti yang dilakukan oleh Imam At- Tabari.

Maka setelah berlalu zaman ini kemudiannya muncullah zaman percambahan feqah dan kelahiran mazhab, percampuran antara ilmu berdasar riwayat dengan ilmu berdasarkan akal dan logik seperti kelahiran ilmu kalam, ilmu falsafah dan mantik. Pada zaman ini ilmu telah berpecah kepada pelbagai bidang dan cabang kecil yang melahirkan tafsir menurut cabang ilmu seperti tafsir Sa’labi “ Jawahir Al-Hissan Fi Ulum Tafsir” yang berbentuk periwayatan sirah dan tarikh serta muncul tafsir berbentuk mazhab hasil ta’asub dan muncul pula pelbagai fahaman dan ajaran-ajaran baru yang menyebabkan kelahiran tafsir mendokong fahaman tertentu seperti tafsir Ali Al-Jubaie yang mendokong fahaman muktazilah serta tafsir lain seperti sufi dan lain-lain.

Oleh yang demikian zaman ini mempengaruhi penafsiran Al-Quran apabila Al-Quran ditafsirkan menurut pegangan mazhab seperti Tafsir Jami’ Ahkam oleh Qurtubi yang berbentuk permasalahan feqah atau fahaman yang didokong yang dimasukkan dalam penafsiran Al-Quran atau ilmu-ilmu seperti falsafah dan mantik bagi menafsirkan AL-Quran menurut perspektif akal dan logik seperti tafsir Fakhrul Din Ar-Razi yang berbentuk falsafah, tafsir Al-Alusi “ Ruh Al-Ma’ani Fi Tafsir Quranil Azim Wa’ Sab’ul Masani” , Tafsir Al-Baidhawi “ Anwar At-Tanzil Wa’ Asrar Ta’wil” dan Tafsir Jalalain.

Terdapat juga tafsir–tafsir lain seperti Tafsir ibn Katsir “ Tafsir Al-Quran Azim”, Tafsir Al-Baghawi “ Ma’alim At-Tanzil” serta tafsir Syaukani “ Fathul Qadir” yang masih menurut tradisi dan kebiasaan tafsir berdasar riwayat para sahabat, tabien, dan tabi’ tabien.

Zaman Tafsir Berdasarkan Maudhu’ie (tajuk-tajuk )

Seterusnya muncullah pula zaman tafsir berdasar Maudhu’ie (tajuk-tajuk ) bahagian tertentu dalam Quran . Penafsiran berdasarkan bab-bab tertentu dalam Al-Quran dan berdasarkan tajuk terpilih ini menjadi kebiasaan dan kegemaran para ulama’ zaman ini kerana senang dan mudah serta mencapai tujuan tafsir yang ingin dilakukan. Antara contoh tafsir berdasarkan Maudhu ialah seperti “At-Tibyan Fi Aqsam Quran” oleh Ibn Qayyim Al-Jauziyah dan kitab “Majaz Al-Quran” oleh Abu Ubaidah dan “Mufradat Al Quran” oleh Al-Asfahani serta kitab “Asbabul Nuzul” oleh Al-Wahidi.

Demikianlah era penafsiran Al-Quran sehinggalah ke hari ini walaupun dari masa ke semasa masih dan akan lahir pelbagai ulama’ yang akan membuat pelbagai aliran dalam penulisan kitab tafsir, aspek tertentu serta berdasarkan matlamat tertentu sebagai contohnya tafsir berasaskan hukum-hakam seperti “Tafsir Ayat Ahkam” oleh Syeikh Muhammad Syanqiti, “Tafsir Jawahir Fi Tafsir Quran” oleh Tantawi Juhari bekas Syeikh Al-Azhar, Tafsir Al-Manar oleh Syeikh Muhammad Rasyid Redha yang membawa gagasan baru Islam dan mengandungi seruan reformasi dan perubahan (islah) masyarakat, tafsir “Fi Zilalul Quran” oleh Syed Qutb yang membawa seruan jihad dan ajakan membanteras jahiliyyah moden dan mengandungi seruan kebangkitan Islam di Mesir serta tafsir Syeikh Muhammad Syaltut “ Tafsir Quran Al-Karim”dan lain-lain.

Tafsir Al-Quran terus berkembang dan lahir pelbagai cabang, aliran serta bidang di dalamnya apabila muncul ulama’ yang pelbagai yang menafsirkan Al-Quran menurut gaya bahasa dan sastera arab, menurut I’jaz Ilmi (Mukjizat Al-Quran dari sudut Ilmiah) dengan menafsirkan ayat-ayat Al-Quran menurut pandangan sains dan teknologi ilmu moden seperti ilmu genetik, geologi dan fisiologi serta pelbagai lagi ilmu moden atau menafsirkan Al-Quran menurut kesenian dan falsafah.

p/s :

Berikut di atas ialah petikan dari buku "Al-Mufassir" tulisan ustaz emran bagi muqadimah ilmu tafsir dan kaedah Menafsir Al-Qur'an yang tergendala urusan menyiapkannya.

Tujuan di paparkan sedutan artikel di atas ialah supaya menjelaskan bahawa kewajipan memahami Al-Qur'an menurut kaedah tafsir yang sahih dan menjelaskan bahawa ilmu tafsir dan hujah dari Al-qur'an haruslah di fahami dengan teliti dan kaedah yang benar bagi mengelakkan kesesatan dan penyelewengan dari ayat Al-Qur'an.

Di Malaysia sudah berkembang syiah yang menyalah tafsirkan ayat suci, juga berkembang golongan anti-hadith yang mengelar diri mereka golongan bacaan (mereka ini telah jatuh kafir) juga kita ada ahli bid'ah dan puak sufi yang menyalah fahamkan ayat-ayat Allah. Jadi hati-hatilah kerana banyak sumber kesesatan yang boleh menyesatkan.

No comments: