Tuesday, July 12, 2011

Syubhat orang yang Keliru : Mengikuti Akal bermaksud mengikuti hawa nafsu


Ramai orang yang berkata jangan menggunakan akal dalam agama dan jangan pula berhukum dengan menggunakan logik akal sebagai panduan dan menyuruh kita semua hanya berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-sunnah yang sahihah semata-mata.

Kata-kata ini adalah benar separuh iaitu ianya benar untuk mengajak kita supaya berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-sunnah tetapi ianya salah dan menyimpang bahkan sangat bodoh dan keliru apabila ia bermaksud melarang manusia supaya jangan menggunakan akal di dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah !

Apabila akal tidak digunakan dalam memahami atau membaca Al-Quran dan As-sunnah lalu apa yang dipakai ketika memahami Al-Quran dan as-sunnah itu ?

Bukankah hawa nafsu ?

Mereka yang tidak menggunakan akal yang waras dalam memahami kitab Allah dan sunnah rasulullah ialah seperti golongan yang sesat dan hanyut di dalam kegilaan tetapi cuba merungkai dan mendalami sesuatu yang tinggi dan mulia dalam kehidupan.

Lalu bagaimanakah hal itu bisa terjadi ? (gaya bahasa Indo sikit..hehe)

Al-Quran dan As-sunnah itu seperti cahaya dan akal itu pula ibarat cermin

Banyak perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh nabi salallahualaihiwassalam daripada as-sunnah adalah sangat jelas MEMAKSA dan MEWAJIBKAN kita menggunakan akal kerana tanpa berfikir dan bertadabbur dengan ayat-ayat-Nya dan hadis rasul-Nya nescaya kita tidak akan dapat memahami apakah yang ingin disampaikan oleh kedua-dua-Nya.

Kerana itu penurunan Al-Quran itu sendiri adalah diKHUSUSkan untuk golongan yang berakal !

Firman Allah SWT : “Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penerangan, dan contoh-contoh dari orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang berkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (An-Nur : 34-35)

Allah SWT menyifatkan bahawa hidayah iaitu adalah Al-Quran dan As-sunnah yang mempunyai sifat seperti cahaya yang menyinari manusia dan mampu menyuluh kehidupan agar ianya terang daripada kegelapan. Tetapi cahaya tetap cahaya ianya datang dan pergi dan ianya menyuluh manusia tetapi untuk melihat diri sendiri dan mengambil manfaat daripada cahaya itu sebuah ALAT diperlukan bagi menangkap, menyimpan dan memanfaatkan cahaya tersebut.

Akal ialah cermin yang digunakan bagi memantulkan cahaya untuk menyuluh wajah manusia dan melihat diri sendiri di hadapan cermin melalui cahaya yang menyuluhnya.

Tanpa cahaya cermin tidak ada fungsinya, tanpa Al-Quran dan As-sunnah akal akan kehilangan arah dan tidak tahu kemanakah mahu dituju.

Allah SWT Berfirman : “ Musa berkata (kepada Firaun): "Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya: (Itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal." (As-Syuara : 28)

Tetapi cahaya tanpa cermin atau alat yang mampu mengurungnya, memancarkan cahayanya maka cahaya hanya tinggal cahaya tanpa dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Firman Allah SWT : “Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras, maka bertakwalah kepada Allah hai orang-orang yang mempunyai akal; (iaitu) orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan peringatan kepadamu,” (At-Talaq : 10)

Akal itu alat dan Al-Quran dan as-sunnah itu ialah bahan mentahnya serta melalui proses berfikir dan mengkaji menggunakan akal maka lahirlah ijtihad-ijtihad dan istinbat hukum syarak yang menghasilkan hukum halal, harus, haram, wajib, sunat dan makruh.

Lalu dimanakah salahnya menggunakan akal dalam memahami syarak dan nass agama ?

Golongan yang menakut-nakutkan manusia akan bahaya akal sebenarnya ialah mereka yang lemah jiwanya dan tidak mampu berfikir dan mengkaji ayat-ayat Allah SWT dan tidak pula mampu memahami sunnah-sunnah rasulullah dengan kefahaan yang baik dan penguasaan yang jitu serta tidak pandai untuk memanfaatkan cahaya tersebut dengan keperluan demi keperluan umat Islam yang semakin lama semakin berkembang dan berubah-ubah.

Mereka lebih suka berada di takuk lama, tidak berijtihad, ta’asub kepada satu pendapat dan mahukan pengikut mereka untuk terus mengikuti dengan tidak banyak bersoal dan berbicara kerana sudah ada dalil dan hujah lalu buat apa mahu berfikir panjang.

Firman Allah SWT : “Dan orang-orang yang menjauhi thaghut (iaitu) tidak menyembah- nya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira; sebab itu sampaikanlah berita itu kepada hamba- hamba-Ku, yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (Az-Zumar : 17-18)

Hakikatnya fikir panjang tidak pernah mengundang mudharat kepada agama tetapi berfikir singkatlah yang sering membawa petaka, bencana dan mudharat dalam kehidupan di dunia dan di akhirat !

Seruan supaya jangan menggunakan akal dalam agama ini adalah seruan orang yang jahil dan bodoh kerana mereka tidak pun mengetahui dan dapat membezakan di manakah letak duduknya akal dan di manakah pula letak duduknya nafsu dan keinginan. Sedang perbezaan di antara kedua-duanya adalah amat besar dan jelas .

Akal terletak di dalam kepala iaitu letak duduk akal itu berada di dalam otak dan tugasnya ialah untuk berfikir dan memproses maklumat yang diterima oleh seluruh pancaindera badan manusia seterusnya membuat keputusan yang tepat tentang apa yang harus dilakukannya.

Manakala tempatnya nafsu dan keinginan manusia itu berada di dalam hati dan tugasnya pula ialah untuk mendorong manusia atau jiwa itu supaya melakukan sesuatu yang memenuhi keperluannya dan keinginannya.

Peranan akal dan hawa nafsu jauh sama sekali berbeza dan kedua-duanya saling bertentangan di antara satu sama lain dan manusialah yang seterusnya memilih apakah mahu mengikuti akalnya atau pun hawa nafsu !

Kedatangan wahyu adalah demi menyokong akal dalam pertarungan abadi dan kekal dengan hawa nafsu. Kedatangan wahyu ialah sebagai suatu kuasa dan usaha dari Tuhan supaya hawa nafsu itu dapat ditundukkan oleh akal dan dipergunakan kepada manfaat manusia.

Nafsu makan, nafsu minum, nafsu kahwin semuanya adalah nafsu yang asalnya buruk dan jahat tetapi dengan akal semata-mata nafsu-nafsu ini tidak dapat ditundukkan apatah lagi dikawal. Justeru itu masih ramai cendiakawan dan sarjana barat yang bijak-bijak belaka masih dapat dikalahkan oleh hawa nafsu. Tetapi apabila wahyu datang kepada manusia maka nafsu dan hawa pun dapat dijinakkan dan kemudian ditewaskan melalui kekuatan wahyu dan dapatlah akal menggunakan nafsu untuk melakukan tugas-tugasnya di dalam kehidupan.

Akal ialah manusia, hawa nafsu pun berada dalam jiwa manusia tetapi wahyu adalah daripada tuhan dan hanya mengikuti wahyu tanpa menggunakan akal atau hawa nafsu ialah sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pertembungan akal dan wahyu tidak boleh berlaku !

Adalah tidak mungkin akal bertembung dengan wahyu kerana akal itu terhad dan wahyu itu tidak terbatas. Yang terjadi selalunya ialah wahyu tidak dapat difahami oleh akal bukan bertembung kerana akal itu tugasnya mengenal dan memproses dan itulah fungsinya. Manakala peranan wahyu pula ialah memandu dan menyuluh manusia dan itulah fungsinya.

Dalam hal ini kita perlu menjelaskan maksud kata-kata Ali bin Abu Talib ra yang diriwayatkan berkata: “Kalaulah hukum-hukum agama ini terbina atas dasar akal, tentulah menyapu di bahagian bawah khuf itu lebih afdhal berbanding atasnya. Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di atas kedua-dua belah khufnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, ad-Darimi, Daruqutni, al-Baihaqi. Ibnu Hajar mengatakan sanadnya sebagai sahih serta demikian juga Syeikh Al-bani dalam Irwa al-ghalil)

Apa yang dimaksudkan oleh Ali ra bukanlah bermakna akal itu mendahului wahyu tetapi bermaksud bahawa batas-batas akal manusia ialah ianya tidak mampu memikirkan persoalan bagaimanakah cara yang benar dalam beribadah kepada Allah yang Maha Ghaib dan dalam persoalan ibadah ini kita sewajibnya perlu mengikuti wahyu tanpa mengadakan sebarang tafsiran logik dan kerana itulah kaedah dalam beribadah ialah mengikuti wahyu kerana akal tidak mampu mengenal pasti cara yang benar dalam beribadah disebabkan ruangan ibadah termasuk dalam ruangan ghaib yang hanya dapat diketahui melalui suluhan wahyu.

Aisyah ra meriwayatkan hadis bahawa rasulullah pernah bersabda : “Barangsiapa yang mengada-adakan urusan baru dalam urusan kami ini sedangkan ianya bukan daripadanya maka ianya tertolak.” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Ibadah ialah hubungan antara manusia dengan Tuhan dan kerana itu akal berhenti daripada mencampuri urusan ini dan menyerahkan kepada wahyu. Pun begitu akal berperanan menapis dan mengenal pasti wahyu yang sahih (tafsiran ayat quran dan hadis sahih) daripada wahyu yang palsu (tafsiran menyeleweng dan hadis palsu)

Manakala dalam perihal muamalah kehidupan, politik dan dakwah yang mana hubungan antara manusia dan manusia lebih menjadi keutamaan maka akal lebih berperanan dan wahyu pula berfungsi sebagai pengawal dan penunjuk akal.

Ini kerana baginda sendiri mengatakan yang sedemikian dalam hadis baginda yang berkait isu penduduk Madinah yang mengahwinkan pokok Tamar. Mereka mengatakan mereka mengahwinkan pokok tamar. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apa yang kamu lakukan? Mereka menjawab: “Kami sering kali melakukannya. Baginda bersabda, boleh jadi kalau tidak melakukannya tentu lebih baik. Kemudian mereka tidak melakukannya lalu buah menjadi tidak bermutu atau kurang. Rafi’ berkata: Mereka pun mengadu hal kepada baginda dan baginda bersabda: “Sesungguhnya aku seorang manusia, apabila aku memerintah kepada kamu dengan sesuatu urusan agama kamu maka hendaklah kamu berpegang dengannya dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu pandangan aku sendiri maka aku hanyalah seorang manusia.” (hadis ini diriwayatkan oleh Muslim)

Demikian juga hadis yang menyebut kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam sahih mereka dan yang seumpamanya menjadi isyarat bahawa peranan wahyu adalah mengawal dan menjaga perbatasan kehidupan manusia agar akal tidak terpesong atau melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah swt.

Imam al-Nawawi ra menjudulkan hadis ini dengan judul yang membayangkan hukum yang difahami daripada sabda berkenaan, iaitu:

وُجُوبُ امْتِثَالِ مَا قَالَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ شَرْعًا، دُونَ مَا ذَكَرَهَ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَعَايِشِ الدُّنْيَا عَلَى سَبِيلِ الرَّأيِ

Terjemahan: “Wajib mematuhi sabda Nabi saw yang berupa hukum syarak, tetapi tidak diwajibkan mematuhi sabda baginda yang berupa pendapat yang berhubung urusan keduniaan.”

Selama dalam batas dan dalam hak lingkungan yang terkawal maka akal bebas mentakwil, menafsir dan berijtihad dalam hak dan keperluannya sendiri demi meneruskan kepentingan dan keperluan manusia di atas mukabumi dengan sokongan dan galakan daripada syarak atau wahyu itu sendiri.

Firman Allah SWT :

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakkan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakkan.” (al-Qassos : 77)

Apa yang perlu dilakukan ialah akal haruslah mengikuti suluhan dan panduan wahyu supaya akal berada di bawah naungan Allah swt dan menuju kepada keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian menggunakan akal dan memanfaatkannya ialah suatu kewajipan dan membiarkan akal serta menyalahinya dalam hal yang tidak terlarang dan sangat-sangat mustahak pula seperti perihal politik, dakwah, hukum masyarakat dan membangun kehidupan adalah suatu kejahatan dan kerosakkan walaupun dilakukan oleh orang-orang yang beragama.

Kesimpulannya ambillah pelajaran wahai manusia yang berakal dan gunakanlah akalmu dalam memahami bicara Tuhan dan rasul utusan !


Rujukan cadangan :

1. Fasl al-Maqal oleh Ibn Rusyd
2. Dar’ Ta’arud al-Aql Wa An-Naql oleh Imam Ibn Taimiyyah

Sunday, July 03, 2011

Hikayat Hang Nadim dalam Melayu Moden, Generasi Muda yang Ditakuti Raja


Alkisah, maka tersebutlah kisah akan kewujudan seorang anak muda yang bijak dan bernilai laksana permata. Lidahnya petah berkata-kata dan akalnya panjang berjela-jela. Hang Nadim namanya dipanggil, dikatakan pula sebahagiannya yang dia itu adalah daripada keturunan laksamana terkenal Melaka bernama Hang Tuah.

Tidak penting siapakah dia dan di manakah asalnya dia tetapi yang menjadi genting untuk diperkatakan ialah tentang apakah yang dilakukannya kerana hal yang itulah yang menjadi catatan sejarah dan igauan para pemerintah.

Hang Nadim hidup sebagai seorang budak kecil di dalam sebuah negeri yang bernama Tanjong Pagar. Di sana terdapatnya seorang pemerintah yang menaiki takhta pemerintahan kerana warisan dan digelar Sri Maharaja oleh sekalian rakyat jelata.

Pendekkan cerita, Sri Maharaja itu seorang raja yang zalim dan kejamnya itu tidak mengenal siapa. Maka seorang hamba Allah yang merupakan ulamak dari Pasai dan digelar Tun Jana Khatib telah pun dibunuhnya tanpa belas. Sejak dari itu maka segeralah Tanjong Pagar menjadi medan sengsara akibat sumpah seorang hamba Allah yang teranaiya.

Ikan todak muncul dengan jumlah yang banyak dari laut dan menyerang mereka.

Dek kerana bodoh maka Seri Maharaja pun menyuruh rakyat jelata melawan ikan itu dengan menahan badan, betis dan kekuatan mereka maka ramailah yang mati. Takala itu muncullah seorang kanak-kanak yang bijak bernama Hang Nadim dan berkata :

Apakah kerjanya kita berkotakan betis ini ? Memperdayakan diri kita sedang jika kita berkotakan batang pisang itu bukankah lebih baik ?

Anak muda itu ternyata tidak dunggu seperti sekalian rakyat jelata dan pembesar lainnya yang sudah terbiasa dengan sistem dan peraturan atau prosedur kerajaan yang dibuat-buat dan direka-reka itu. Persis kata pembesar dalam kisah hikayat “Si Musang Berjanggut” yang berkata : “Kita yang membuat undang-undang itu dan kita juga boleh menukarnya ikut kemahuan kita.”

Batang pisang diletakkan di sekeliling pantai dan matilah ikan-ikan todak yang melompat apabila dibunuh orang-orang di pantai setelah ikan itu terlekat mulutnya di batang pisang.

Akhirnya terselamatlah negeri Tanjong Pagar itu kerana idea dan pemikiran si budak kecil yang tidak terus tunduk dan patuh kepada undang-undang ciptaan manusia yang tidak bijak itu. Tetapi hikayatnya tidak tamat di situ kerana dunia ini memang isinya celaka dan jahat selalu.

Hendak dijadikan kisah, orang ramai sudah mula berkata kebijaksanaan si budak sudah mengatasi pemikiran si raja. Hasutan dan dengki dari pembesar istana pula telah menambah murka dan kemarahan Sang Maharaja.

Kata mereka sedang ia masih budak pun sudah mampu memiliki idea dan pemikiran yang bijak bagaimanakah pula jika ianya sudah menjadi besar ? Lebih baik dibunuh sahaja si budak itu.

Dengar katanya si budak itu dibunuh akhirnya dengan disuruh dibuang ke dalam laut sedang usianya ketika itu masih kecil sahaja. Tanjong Pagar kemudiannya tidaklah menjadi mundur tetapi namanya sudah bertukar menjadi Sinagpura dan Seri Maharaja pun akhirnya kehilangan kuasa dan takhta.

Kini negeri itu sudah dikuasai oleh bangsa asing dan pedagang dan keturunan Melayu sudah semakin menghilang kerana bukanlah hasil dari tangan-tangan penjajah dan musuh kepalang tetapi oleh orang-orang Melayu dan pembesar-pembesar yang berjiwa binatang.

Mereka menggadaikan agama dan bangsa demi sedikit projek dan kemewahan dunia yang sementara tanpa mempedulikan dosa dan pahala.

Di dalam Islam kisah Hang Nadim ini tidaklah asing.

Allah SWT berfirman : “Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit, yang dinyalakan api (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman, Dan mereka tidaklah menyeksa orang-orang yang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,” (Al-Buruj : 4-8)

Jika di dalam sejarah Melayu kaum Hang Nadim itu membuat pagar dari batang pisang maka di dalam kisah Ashabul Ukhdud pula yang berlaku ialah golongan yang jahil dan tidak beriman ini telah menggali parit dengan menyalakan api untuk membunuh orang-orang yang beriman kepada Allah swt.

Di dalam hadis riwayat Muslim baginda rasulullah SAW juga tidak lupa menceritakan kisah yang penting ini kepada para sahabat sebagai pengajaran dan teladan. Bahkan hadis berkenaan Ashabul Ukhdud ini diriwayatkan juga oleh para imam hadis yang lain seperti Imam at-Tirmidzi dan dikatakan oleh para ulama bahawa pada zaman Umar bin Khattab ra, kubur pemuda itu telah ditemui dan sewaktu dipindahkan jenazahnya maka didapati oleh para sahabat yang jasad pemuda itu masih dalam keadaan yang elok dan tangannya tetap saja berada di keningnya seperti keadaan ketika dia dibunuh.

Tidak sahaja disitu, kita juga boleh melihat fenomena yang serupa dan semacam ini seperti yang menimpa Hang Nadim juga berlaku kepada Nabi Allah Musa A.s

“Dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman beserta tentaranya apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.” (Al-Qasos : 6)

Firaun begitu takut akan kelahiran seorang rasul yang kelak akan mencabar kerajaannya dan disebabkan oleh perasaan takut akan dicabar itu maka Firaun telah membunuh anak-anak lelaki bani Israel dan memastikan tidak akan lahir pemimpin atau rasul yang diramalkan dalam kitab samawi atau suhuf rasul-rasul terdahulu. Tetapi Allah maha kuasa dan tetap berhasil menewaskan kejahatan dan helah Firaun itu.

Firman Allah SWT : “Dan kami ilhamkan kepada ibu Musa; "Susuilah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah (pula) bersedih hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.” (Al-Qasos : 7)

Generasi Muda yang Ditakuti oleh Pemerintah

Kita melihat dengan pemerhatian yang lama bahawa sudah menjadi suatu macam kelaziman dan perkara yang sama bagi setiap maharaja dan pemimpin yang zalim iaitu mereka pasti akan bertindak kejam dan ganas terhadap generasi muda.

Kekuatan generasi muda adalah sangat digeruni oleh pemerintah yang zalim kerana anak-anak muda berupaya menjadi suara yang kukuh dan menjadi pengubah masyarakat serta mempengaruhi orang ramai sehingga berkemampuan menjatuhkan pemerintah yang kejam dan zalim di dalam sejarah manusia.

Allah SWT menyebutkan peranan orang muda dalam firman-Nya : “Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan PEMUDA-PEMUDA dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahawa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di atas muka bumi. Dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang melampaui batas.” (Yunus : 83)

Orang-orang muda itu selalunya sanggup mengambil risiko dan berani mencuba serta kerana itulah mereka selalunya berhasil mendapatkan kebaikan dan kemenangan di dunia dan di hari akhirat.

Dalam ayat yang lain Allah SWT memuji pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi dengan berkata : “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Al-Kahfi : 13)

Demikianlah pula orang-orang muda ini kerap kali menjadi pengkritik dan pemikir yang bernas apabila mereka mampu mempersoalkan kesilapan dan kejahilan orang-orang sebelum mereka yang terdiri daripada golongan tua yang tidak mahu berfikir dan lebih selesa menetap di dalam ruangan selesa dan taklid buta.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Mereka berkata: "Siapakah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim." Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang PEMUDA yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim ." (Al-Anbiya : 59-60)

Pemerintah yang zalim di setiap zaman pasti akan berusaha menyekat kebebasan dan kebijaksanaan para pemuda di bawah kekuasaannya demi memastikan kelangsungan pemerintahan dan legasi kekuasaannya dapat dinikmati selama yang mungkin tanpa sebarang gangguan dan ancaman daripada mana-mana pihak dan sudah pasti golongan pemuda ialah cabaran yang paling utama kepada hasrat penguasa yang zalim itu di mana-mana.

Kisah Hang Nadim tidak sahaja menunjukkan sikap dengki, buruk sangka dalam masyarakat Melayu bahkan menjelaskan kepada kita betapa bahayanya sistem pemikiran dan doktrin kepatuhan kepada sultan atau pemerintah secara mutlak tanpa ada ruang untuk pembaikan atau teguran.

Prosedur dan adat kebiasaan orang ramai itu kadang-kadang menjadikan manusia tidak lagi berfikiran waras sebaliknya hanya bergantung kepada sistem dan peraturan yang dibuat oleh mereka sendiri sehingga apabila keadaan berada di luar kawalan maka mereka pun menjadi buntu dan menanti masa sahaja untuk dimusnahkan.

Maka harapan rakyat dan seluruh umat Islam kini terletak di bahu pemuda-pemuda Islam yang berfikiran waras, bijaksana dan mampu menggunakan segala panca indera anugerah tuhan untuk berfikir dengan mencari kebenaran serta tujuan dan matlamat hidup yang sebenar dan berusaha membangunkan diri, keluarga dan Negara agar berada di atas jalan atau minhaj yang diredhai Allah SWT.

Malangnya kerajaan dan pihak yang berkuasa pula berusaha menghancurkan kuasa pemuda dengan hiburan, pendidikan yang merosakkan dan sistem yang memecahkan kekuatan anak-anak muda dengan kawalan dan peraturan yang menekan dan menyekat pergerakkan anak-anak muda agar terbatas dalam ruang lingkup yang terhad.

Kini Hang Nadim cuma diabadikan pada nama sebuah kapal milik angkatan tentera laut Malaysia yang bernama KD Hang Nadim.

Tuesday, June 14, 2011

Air yang terlalu jernih, ikan pun tak boleh hidup



Tanggapan manusia tidak selalunya benar kerana kerap kali sangkaan kita selalunya meleset dan jangkaan kita selalunya tersasar. Ini kerana kita amat lemah dan kebijaksanaan kita pula amatlah terhad.

Ramai orang membuat aduan bahawa anaknya nakal sewaktu kecil, ada pula ibubapa yang membuat keputusan untuk mendidik anaknya menghafal Al-Quran dan mahukan anak-anaknya itu terkawal, terpelihara dan lemah-lembut di dalam kawalan ibubapa. Pendek kata ramai yang berteori tentang sistem pendidikan, kaedah mendidik anak dan ramai pula yang berangan-angan mahukan anak-anak mereka menjadi alim dan ulamak di waktu usia yang muda.

Hal yang sedemikian itu tidak salah tetapi dibimbangi melawan fitrah !

Kita kadang-kadang terlalu idealistik, mahukan kesempurnaan, Islami dan membayangkan kesucian yang keterlaluan sedangkan realiti kehidupan hari ini kita berdepan cabaran, fitnah dan kepalsuan saban hari. Lantaran kejahilan kita terhadap fitrah dan hikmah yang disampaikan oleh Allah SWT melalui ayat-ayat kauniyah-Nya (tanda-tanda kebesaran Allah di dalam penciptaan-Nya) kita pun berangan-angan mahukan sesuatu yang bukan keperluan.

Ramai ibubapa mahukan anak-anak mereka hafiz dan hafizah yang menghafaz Al-Quran di usia muda sedangkan hal itu bukanlah suatu keperluan atau pun membawa kepentingan yang jika hendak dibandingkan dengan keperluan-keperluan yang lain. Ada pula ibubapa yang menekankan aspek mengaji Al-Quran dengan berlagu, bertaranum dan mahukan anak-anak mereka jadi juara dalam pertandingan dalam melagukan Al-Quran sedangkan itu bukanlah sebuah kebaikan khasnya apabila usia budak itu baru menjejaki umur 10 tahun !

Kata mereka usia muda anak-anak jangan dibazirkan dengan bermain dan berhibur lalu memaksa anak-anak itu menduduki peperiksaan, pelajaran khusus dan diberikan pelbagai info dan ilmu pengetahuan yang sarat-sarat dan berat. Anak itu pun hampir biul tetapi ibubapanya berbangga dengan kejayaan si anak itu menguasai sifir matematik sukar, menyelesaikan soalan fizik dan bercakap dalam sepuluh bahasa !

Akhirnya jadilah anak-anak itu orang-orang yang rosak mental dan emosinya oleh keangkuhan dan ketamakan serta sikap tidak realistik si ibu dan si bapa. Cukuplah ramai remaja yang rosak itu terdiri daripada mereka-mereka yang geliga otaknya.

Hak si Anak untuk menikmati Fitrahnya !

Mana hak anak-anak untuk bermain ? Ianya telah dinafikan oleh ibubapa si budak tersebut dengan alasan kami lebih mengetahui apakah yang lebih baik untuknya maka sedang di waktu usia kanak-kanak lain sedang asyik leka bermain maka si ibubapa yang merasa diri mereka terpilih ini pun berbangga apabila anak-anaknya sudah pun bijak menghafal dan membaca serta sibuk berkurung di dalam rumah untuk menelaah pelbagai buku dan kitab pelbagai bahasa !

Nabi SAW pernah bersabda : “Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak.” (Riwayat Muslim)

Mereka ternyata telah menzalimi haknya sebagai seorang budak yang berhak menikmati fitrahnya untuk bersenda gurau, bermain dan berkawan serta membuat kesilapan yang semestinya satu kewajipan sebagai manusia. Maka tidak hairan ada di kalangan kanak-kanak genius atau terlebih ajar ini kelak apabila sudah dewasa menjadi lelaki-lelaki atau perempuan yang lembap, pemalu atau gagal berkomunikasi dan tidak menjadi seperti yang diharapkan sewaktu usia muda.

Mereka matang tidak pada tempatnya dan kemudian ada di kalangan mereka yang kita pernah temui walaupun sudah berusia hampir 30 tahun namun tetap bermain dengan anak-anak patung kerana sewaktu kecil dia tidak pernah berkesempatan untuk bermain dengannya !

Sedangkan budak-budak ini sewaktu mereka masih kecil jika terjadi apa-apa dan mereka mati sebelum sampai usia baligh maka mereka adalah ahli syurga baik apakah mereka telah menghafaz Al-Quran atau pun tidak dan apakah mereka telah menguasai pelbagai persoalan fiqih atau pun belum jadi kenapa harus memaksa mereka ?

Ada ibubapa cukup marah apabila anak-anaknya itu nakal, membuat onar dan selalu melanggar arahan dan melakukan pelbagai kesalahan. Kadang-kadang itulah didikan tuhan dan kuasa fitrah dalam memperkukuhkan jiwa seorang insan.

Nabi Allah Musa as pernah membunuh orang

Allah Swt berfirman : “Dan Musa masuk ke kota ketika penduduknya sedang berehat, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang laki-laki yang sedang bergaduh yang seorang dari golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) dari musuhnya (kaum Fir'aun). Maka orang yang dari golongannya itu meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya lalu Musa pun menumbuknya dan matilah musuhnya itu. Musa pun berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).” (Al-Qashash : 15)

Para rasul sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan di usia muda sebagai salah satu bentuk tarbiyah dan didikan daripada Allah swt demi memperkukuhkan jiwa mereka dan mengajar mereka erti kehidupan.

Misalnya air yang jernih selalunya dianggap bersih dan suci sedangkan di dalamnya boleh sahaja mengandungi bahaya dan keracunan yang tidak kelihatan. Begitulah pula dengan air yang keledak dan kotor lalu dianggap buruk dan berbahaya kepada kehidupan sedangkan di dalamnya mungkin sahaja boleh menjadi tempat pembiakan yang selesa buat si ikan.

Kata ahli “Ichthyologist” iaitu sejenis bidang pengajian berkenaan sains ikan, bahawa air yang terlalu jernih bahkan boleh memberikan bahaya dan kematian kepada ikan. Ini kerana ikan memerlukan kadar pH air yang tidak berasid dan lebih kepada beralkali serta sedikit berkeledak bagi membantu kesuburan dan kelangsungan hidupnya. Selain itu faktor lain yang turut memainkan peranan penting kepada ikan ialah gas Oksigen dan Karbon Dioksida yang mencukupi dalam air, kadar garam, ammonia dan nitrit yang terkawal serta bahan cemaran air seperti logam dan klorin serta seumpamanya yang tidak melampau dan membahayakan ikan.

Kehidupan ini telah pun yang diaturkan oleh Sang Pencipta iaitu Rabbul Alamin dengan sebaik-baik kejadian dan sebaik-baik perancangan. Bermula daripada hujan yang menjadi sumber kehidupan, gunung-ganang yang berdiri teguh, sungai-sungai yang mengalir, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang subur sehinggalah kepada haiwan yang berterbangan di angkasa raya semuanya diatur oleh tuhan dengan penuh kehebatan dan keseimbangan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.” (Luqman : 10)

Pelajarannya daripada ikan ialah setiap yang kelihatan negatif itu tidak selalunya buruk dan setiap yang buruk itu tidak semestinya teruk !

Kesimbangan dan keperluan berjalan di atas fitrah

Saya tidak menghalang sesiapa yang mahukan kelebihan kepada anak-anaknya dan menanamkan pendidikan Al-Quran dan As-sunnah semenjak kecil tetapi saya menyeru kita semua agar jangan keterlaluan dan melanggar batas-batas fitrah dan kemanusiaan.
Berpada-padalah dalam melakukan sesuatu kebaikan.

Tidak salah nak mengajar anak-anak Al-Quran, tidak salah mendorong anak-anak menghafaz Al-Quran di usia muda dan kanak-kanak tetapi lakukanlah dengan cermat dan secara sederhana tanpa paksaan atau dengan penuh keseimbangan.

Sudah tentu kita tidak mahu melahirkan generasi pencuri, penyamun dan perompak yang boleh menguasai pelbagai hadis dan menghafaz al-quran bukan ? Apakah kita tidak takut dengan kemunculan penjahat dan perogol bersiri yang merogol mangsa-mangsanya sambil membaca ayat-ayat AL-quran ?

Jika tidak mahu begitu mulakanlah dengan menanamkan apa yang utama dan utama sebelum kedua dan ketiga.

Didiklah anak-anak dengan Iman, dengan adab dan akhlak kesopanan yang merupakan asas dalam kehidupan dan tonggak kemanusiaan. Lengkapkan anak-anak anda dengan keperluan asasi sebagai manusia seperti komunikasi yang baik, respek dan penghormatan kepada orang tua dan mereka yang dewasa, mengenal letak duduk dan taraf dirinya dalam masyarakat dan mengajar anak-anak mengenali alam semesta dan hak-haknya.

Hormat ialah didikan yang utama.

Hormat kepada tuhan, hormat kepada alam, hormat kepada ibubapa dan hormat kepada manusia.

Kemudian ajarkan kasih sayang kepada mereka.

Kasih sayang kepada Allah, kasih sayang kepada ibubapa, kasih sayang kepada sesama makhluk dan seterusnya dan seterusnya.

Agama dalam bahasa anak-anak bukanlah dalil-dalil Al-Quran dan hadis !

Tetapi agama dalam bahasa anak-anak ialah mengenali diri, alam dan sang pencipta !

Tunjukkan kepada mereka melalui teladan dan pelajaran amal daripada perbuatan baik ibubapa agar dapat dilihat dan ditiru oleh anak-anak.

Kerana fitrah menetapkan syarat “bagaimana ibubapa maka demikianlah si anak”

Demikianlah kehidupan ini semuanya telah disusun atur oleh Allah swt dengan penuh kebijaksanaan agar segala kelengkapan dan keperluan buat manusia demi menjalankan kehidupan di atas muka bumi ini dapat dipenuhi bagi membantu kita memikul amanah daripada Allah swt untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah yang mentadbir bumi-Nya.

Kerana itu kita diberikan akal untuk berfikir dan mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku disekeliling kita sebagai bentuk usaha mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menambah keimanan kita serta menjadi motivasi yang membantu kita mempergiatkan amalan kebajikan.

Wassalam.

Thursday, June 09, 2011

Janji Akhir Zaman dan Kaitannya dengan Perjuangan Umat Islam


Sinopsis Ringkas

Kiamat atau kehancuran dunia merupakan suatu kejadian yang pasti akan berlaku dan fasa kehidupan manusia yang mendekati hari kiamat itu disebut sebagai akhir zaman. Tidak kira istilah apa pun yang digunakan baik Apocalypse, Armageddon, dan Ragnarok atau akhirat namun kehancuran bumi adalah suatu perkara global yang diyakini oleh semua pengikut agama yang diturunkan oleh Allah swt daripada langit yang disebut sebagai agama samawi.

Perkataan Kiamat bermaksud kebangkitan selepas kehancuran dunia kerana disebut dalam kitab-kitab samawi (agama langit) bahawa apabila dunia ini dihancurkan maka manusia akan dihidupkan semula untuk diadili dan hari tersebut dipanggil sebagai hari kiamat atau hari akhirat yang bermaksud hari kebangkitan selepas mati. Al-Quran menyebutkan perihal kiamat dengan sangat banyak sekali sehinggakan beberapa surah di dalam Al-Quran itu sendiri diberi nama dengan nama-nama kiamat seperti Surah Al-Waqiah, Al-Qiyamah, Al-Qari’ah dan lain-lain.

Dalam surah Al-Waqiah, Allah swt berfirman yang bermaksud : “Apabila terjadi hari kiamat, tidak seorangpun dapat berdusta tentang kejadiannya. (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain), apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancur luluhkan seluluh-luluhnya, maka jadilah ia debu yang berterbangan.” (Al-Waqiah : 1-6)

Sangat banyak ayat-ayat Al-Quran yang mengajak kita semua untuk beriman dengan hari akhirat dan menceritakan perihal yang akan berlaku di sana. Bahkan perkara berkenaan kepercayaan kepada hari akhirat ini turut sama dimuatkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri di dalam hadis-hadis dan ucapan baginda kepada para sahabat radiallahuanhum.

Al-Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadis-hadis tentang hari kiamat dalam Jami As-Sahih beliau pada Kitab Al-Iman, Kitab Fitnah dan Kitab At-tauhid. Manakala Imam Muslim bin Hajjaj An-Naisaburi pula meletakkan hadis-hadis berkenaan hari kiamat dalam Jami As-Sahih beliau pada kitab Al-Iman, Kitab Sifat Kiamat, Syurga dan neraka, Kitab Fitnah dan Tanda-tanda hari kiamat. Seterusnya Imam Abu Daud Sulaiman bin Al-Asy’as ra , Imam At-Tirmidzi Muhammad bin Isa ra, Imam Ibn Majah Muhammad bin Yazid ra, Imam Nasaie Ahmad bin Syuaib ra dan ramai lagi Imam-imam hadis yang meletakkan hadis-hadis akhir zaman dalam kitab mereka yang merekodkan sabda-sabda baginda rasulullah salallahualaihiwassalam tentang kedatangan kiamat dan janji-janji akhir zaman berkenaan kejadian-kejadian yang akan berlaku dan pasti terjadi.

Beriman dengan kiamat dan hari akhirat adalah suatu kewajipan dan merupakan salah satu daripada rukun Iman yang enam yang wajib dipercayai dan diyakini oleh setiap orang yang beragama Islam. Walaubagaimanapun tarikh dan waktu sebenar kedatangan hari kiamat tidak dapat ditentukan dan menyibukkan diri dalam urusan menentukan tarikh kedatangan hari kiamat adalah dilarang dan ditegah oleh agama.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Manusia bertanya kepadamu tentang hari kebangkitan. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah." Dan tahukah kamu (hai Muhammad), bahawa hari kiamat itu sudah dekat waktunya.” (Al-Ahzab : 63)

Walaubagaimanapun masih terdapat ulama Islam yang meluangkan waktunya untuk menulis dan meneka-neka persoalan ini dengan membuat andaian dan tekaan bilakah tarikh kedatangan hari kiamat berdasarkan beberapa hal yang dianggap oleh mereka sebagai bukti. Antaranya Imam At-tabari yang beranggapan kiamat akan terjadi selepas 500 tahun bermula dari tarikh kerasulan nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.

Manakala Imam As-Suyuthi ra pula berpendapat kiamat akan terjadi selepas seribu tahun dari masa kerasulan nabi Muhammad salallahualaihiwassalam dan ternyata tekaan beliau juga tersalah dan meleset. Sesungguhnya kata Al-Imam Ibnu Taimiyyah ra, perbuatan meneka-neka persoalan ghaib dan meneka tarikh kiamat adalah termasuk perbuatan dusta dan menipu atas nama agama serta berdosa dan wajar ditinggalkan.

Umat Akhir Zaman

Allah swt berfirman yang bermaksud : Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup bagi para nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Ahzab : 40)

Kata Al-Imam Ibn Katsir ra, ayat di atas menjelaskan secara tegas dan pasti bahawa tidak akan ada lagi rasul dan nabi selepas nabi Muhammad salallahualaihiwassalam.

Kedudukan nabi lebih umum daripada rasul kerana setiap yang menerima wahyu itu dinamakan sebagai nabi dan yang wajib menyampaikannya ialah rasul. Maka Allah menyebutkan bahawa tidak akan ada nabi lagi sesudah Muhammad sebagai memutuskan bahawa wahyu akan terhenti dengan kewafatan rasulullah salallahualaihiwassalam dan apabila tiada wahyu (iaitu tiada nabi) masakan boleh lagi ada rasul dan demikianlah yang ditegaskan pula oleh hadis-hadis baginda yang tersangat banyak dan mencapai tahap mutawatir. (Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Katsir)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra yang berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya kerasulan dan kenabian telah terputus maka tidak akan ada lagi rasul selepas aku dan tidak pula nabi.” (hadis riwayat Ahmad)

Apabila tiada lagi rasul selepas Nabi Muhammad salallahualaihiwasalam maka kita juga mengetahui bahawa umat baginda ialah umat yang terakhir dan akan dibangkitkan sebagai umat akhir zaman di sisi Allah swt.

Maka sebagai umat akhir zaman ianya turut bermaksud segala janji-janji akhir zaman dan dalil-dalil daripada Al-Quran dan hadis yang menceritakan tentang kejadian-kejadian yang akan berlaku seperti fitnah Dajjal, kemunculan Imam Mahdi, kedatangan Nabi Isa as, peperangan besar, kerosakkan oleh Ya’juj dan Mak’juj, Asap hitam di langit, Api besar dari Yaman dan pelbagai lagi kejadian-kejadian yang dinyatakan dalam hadis-hadis sahih pastinya melibatkan kita dan amat berkait rapat dengan umat Islam hari ini.

Oleh yang demikian adalah penting bagi kita untuk menilai dan memahami setiap hadis-hadis serta pertunjuk wahyu dan khabar daripada Allah swt dan rasul-Nya itu dengan berhati-hati dan melihat dengan penuh hikmah akan kaitannya dengan perjuangan umat Islam di seluruh dunia dan menjadikan amaran serta janji-janji akhir zaman sebagai neraca kayu ukur kebenaran dan bahan muhasabah agar kita dapat terselamat daripada fitnah-fitnah yang diberitakan akan terjadi.

Methodologi kajian ini melibatkan beberapa perkara penting seperti kesahihan dalil-dalil dan khabar-khabar berkenaan kejadian akhir zaman, memahami maksud dan isi tersirat daripada hadis-hadis dan khabar tersebut, melihat cara pergantungan ulama salaf dan khalaf terhadap khabar-khabar akhir zaman dan melihat sikap dan kaedah mereka dalam beramal dengan khabar-khabar tersebut.

Seterusnya adalah penting bagi kita untuk melihat perjuangan umat Islam di seluruh dunia secara global dan menilai apakah ada isyarat-isyarat yang jelas daripada dalil-dalil hadis dan khabar akhir zaman terhadap mana-mana perjuangan umat Islam hari ini dan mengkaji apakah kesan-kesan daripada khabar tersebut serta menilai secara adil dan teliti mengenai hukum dan hasil-hasil dapatan daripada penilaian tersebut untuk dijadikan bahan amalan umat Islam dan panduan kepada kita dalam menjalani hidup di zaman fitnah agar terselamat dan diredhai Allah swt.

Janji-janji Akhir Zaman

Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar radiallahuanhu yang berkata : Rasulullah salallahualaihiwassalam berkhutbah di hadapan manusia lalu baginda memuji Allah dan kemudiannya menyebutkan tentang Dajjal dengan bersabda : “Aku mewasiatkan kepada kamu semua agar berhati-hati terhadapnya kerana tidak ada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mengingatkan umatnya (tentang fitnah Dajjal) tetapi aku akan memberitahu kamu sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh nabi yang sebelumku kepada kaumnya iaitu dia (Dajjal) itu bermata buta sebelah dan sesungguhnya Allah itu tidaklah buta sebelah.” (hadis riwayat Bukhari)

Hadis-hadis tentang masalah Dajjal sangatlah banyak dan ianya terkandung dalam Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Tirmidzi, Ibn Majah dan lain-lain. Bahkan disebut oleh Abi Umamah ra yang meriwayatkan bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Sejak penciptaan Adam tiadalah fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal dan Allah tidak mengutuskan seorang nabi pun melainkan dia berpesan kepada kaumnya tentang bahaya Dajjal dan Aku adalah nabi yang terakhir dan kalian semua adalah umat yang terakhir maka dia (Dajjal) pasti akan muncul di tengah-tengah kalian.” (riwayat Ibn Majah, Khuzaimah dan Hakim dalam Mustadraknya)

Selain Dajjal, kita juga akan melihat tentang konsep Al-Mahdi dalam Aqidah Islam dan membahaskan secara mendalam tentang konsep Al-Mahdi di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kaitannya dengan umat Islam dan keadaan semasa. Kita juga akan melihat tentang janji kedatangan Ya’juj dan Mak’Juj dan kemunculan pelbagai tanda kiamat yang menakutkan dan melihat apakah hal tersebut telah berlaku atau belum dan mencari hikmah dan pelajaran di sebalik janji-janji dan tanda-tanda tersebut.

Perjuangan umat Islam

Setelah kewafatan rasulullah, berlalunya zaman sahabat, beransurnya zaman salaf dan munculnya zaman khilafah sehinggalah akhirnya ia runtuh pada tahun 1924 M maka kita dapat melihat umat Islam telah didatangi dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran yang pelbagai sehingga memaksa mereka untuk sentiasa terus berjuang.

Bermula pada zaman rasulullah salallahualaihiwassalam masih hidup, umat Islam perlu berjuang untuk menegakkan Islam dan menjatuhkan syirik dan jahiliyyah melalui pelbagai usaha dakwah dan jihad peperangan kemudian setelah kewafatan baginda kita menyaksikan kesungguhan Abu Bakar As-Siddiq ra dan para khalifah rasulullah pula dalam memelihara Islam dan menghapuskan nabi palsu, golongan murtad, penyelewengan dan kebathilan.

Seterusnya umat Islam diuji pula dengan zaman fitnah dan perselisihan dalam mendapatkan keadilan dan perjuangan untuk meneruskan kepimpinan sehinggalah bermulanya sejarah baru apabila pemerintahan beraja dan dinasti keturunan muncul dalam sejarah Islam apabila seorang tokoh sahabat bernama Muawiyah bin Abi Sufyan ra menaiki jawatan Khalifah.

Kemudian jangan dilupakan pula perjuangan menuntut hak dan keadilan yang berterusan berlaku dalam sejarah Islam apabila ramai menentang pemerintahan Hajjaj Ibn Yusof As-Saqafi di kalangan ulama Islam. Seterusnya zaman fitnah aqidah apabila golongan bid’ah dan ajaran sesat berkembang dalam umat Islam apabila munculnya fahaman Syiah, Khawarij, Qadariyah, Mukzatilah dan pelbagai lagi.

Apabila Khalifah Al-Makmun berkuasa dari tahun 198-218 Hijrah dan menjadikan fahaman sesat Muktazilah sebagai mazhab rasmi negara maka ramai ulama Islam bangkit dan berjuang melawan kesesatan tersebut dan mereka terpaksa menghadapi tekanan dan ujian yang dahsyat seperti diseksa dan dipenjarakan demi mempertahankan Islam dan membela agama daripada kebathilan.

Kita juga akan melihat perkembangan mazhab-mazhab agama dalam Islam, perselishan agama, perbahasan fiqh dan isu-isu aqidah dan perkembangan aliran-aliran pemikiran dan ilmu dalam sejarah Islam sebagai salah satu bentuk perjuangan.

Tidak sudah disitu sepanjang sejarah Islam pelbagai perkara telah berlaku yang boleh dilihat dan dibaca melalui kitab-kitab sirah Islam seperti Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh at-Tabari oleh Imam Ibn Jarir At-tabari, Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir, Tarikh Khulafah oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi dan lain-lain.

Kita akan membaca bagaimana kejatuhan dinasti Umaiyah yang berakhir dengan kejatuhan Khalifah Marwan pada tahun 750 M kepada dinasti Abasiyyah yang kemudiannya berakhir pada tahun 1258 M apabila Baghdad jatuh ke tangan Monggol. Seterusnya kita akan membaca pula sejarah perjuangan umat Islam dalam zaman peralihan kepada dunia moden, zaman penubuhan khilafah Utsmaniyah, percaturan politik semasa dunia Islam kepada tangan-tangan bukan arab dan seterusnya kepada kejatuhan Khilafah Turki dan kemunculan Negara-negara umat Islam di seluruh dunia yang mewujudkan pemerintahan sendiri dan perjuangan-perjuangan umat Islam yang bersifat mengikut kawasan dan sempadan geografi, mempunyai budaya dan mazhab tertentu.

Melalui media massa dan beberapa sumber yang boleh dipercayai dan bahan-bahan bacaan yang ada maka kita akan cuba menyingkap pula realiti dan status keadaan perjuangan umat Islam pada hari ini di seluruh pelusuk dunia dan gerakan-gerakan yang aktif mewakili umat Islam dan menilai kecenderungan dan arah tuju mereka. Misalnya gerakan Islam di timur tengah seperti Ikhwan Muslimun, gerakan salafiyah di Arab Saudi dan pelbagai negara arab, gerakan jihad dan kumpulan mujahidin di Afghanistan, Iraq dan Yaman serta Hamas dan perjuangan umat Islam di sekitar Palestin.

Turut disentuh segala jenis perjuangan umat Islam seperti usaha tabligh, dakwah kepada non-Muslim, perjuangan menegakkan Khilafah dan seruan Hizbut Tahrir, usaha menegakkan negara Islam melalui demokrasi dan pilihanraya serta penubuhan parti-parti politik Islam di negara-negara umat Islam dan juga dakwah-dakwah kepada jihad dan aktiviti perjuangan bersenjata yang dilabel sebagai militan dan pengganas.

Kita akan cuba mengulas sedikit sebanyak perjuangan mereka dan mencari-cari dalil-dalil daripada khabar janji akhir zaman dan hadis-hadis yang mampu menjadi isyarat kepada perjuangan mereka dan melakukan kritikan dan muhasabah terhadap perjuangan tersebut untuk manfaat umat Islam.

Oleh itu kita juga akan menilai dan melakukan penelitian terhadap perjuangan umat Islam di dalam negara-negra Islam itu sendiri seperti di Malaysia, Indonesia dan di timur tengah yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Yaman, Palestin, Iran dan Iraq.

Misalnya dalam hadis Auf bin Malik ra yang berkata, "Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda yang bermaksud :"Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat." Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." (hadis sahih bukhari)

Kita juga akan turut membincangkan isu berkaitan negara-negara bukan Islam seperti India, Amerika Syarikat, Israel dan England serta negara-negara Eropah yang berkefahaman Kristian dan yang diramalkan akan menjadi musuh-musuh umat Islam atau sedang memusuhi perjuangan umat Islam.

Diriwayatkan oleh Tsauban bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Dua kumpulan daripada umatku akan dilindungi oleh Allah daripada api neraka iaitu kelompok yang menyerbu India dan kumpulan yang bersama Isa bin Maryam (semasa Isa turun di akhir zaman nanti).” (hadis riwayat Ahmad dan Nasaie)

Termasuk juga dalam perbincangan kita ialah kawasan-kawasan penting yang mempunyai peranan dan pengaruh di dalam khabar-khabar akhir zaman seperti Iran, Syiria, Jordan, India, Palestin, Yaman dan lain-lain.

Bahkan di dalam beberapa hadis rasulullah diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud : “Akan keluar daripada Aden Abyan (kawasan daripada Aden) seramai 12 000 orang yang akan menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itu adalah sebaik-baik orang di antaraku dan mereka.” (hadis riwayat Ahmad, Tibrani dalam Mu’jam Al-kabir)

Kemudian kita akan cuba mengungkitkan ramalan-ramalan nabi salallahualaihiwassalam dan khabar janji-janji akhir zaman dan melihat pula perkembangan zaman hari ini untuk mengetahui apakah sudah terjadi semua yang diramalkan oleh nabi atau masih berbaki dan melihat potensi-potensi ramalan itu akan terjadi dan melakukan persediaan dan bermuhasabah serta mempertimbangkan kesannya kepada perjuangan umat Islam.

Khasnya apabila sekarang ini sewaktu tulisan ini ditulis sepasukan mujahidin di Yaman yang dilabelkan sebagai Al-Qaidah oleh Amerika Syarikat telah berjaya menawan wilayah Abyan di Aden, Yaman pada hari Sabtu 28 Mei 2011 yang lalu dan sedang mempersiapkan pasukan tentera mujahidin sejumlah 12 000 orang untuk menubuhkan daulah Islamiyah yang bebas dan merdeka apabila Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh telah melarikan diri ke Riyadh, Arab Saudi. Seterusnya mereka sedang berazam untuk menuju ke Palestin dan mengembalikan Masjidil Al-Aqsa ke tangan umat Islam.

Secara kesimpulannya, apabila membincangkan tentang perjuangan umat Islam maka kita boleh membahagikannya kepada lima bahagian penting iaitu Pertama ialah perjuangan membela agama dan mempertahankan Islam. Kedua ialah perjuangan membela diri serta hak-hak yang dicabuli. Seterusnya perjuangan ketiga ialah perjuangan membela idea dan fahaman tertentu, ke-empat ialah perjuangan mendapatkan kedudukan duniawi dan memajukan taraf hidup. Manakala yang terakhir iaitu perjuangan kelima ialah perjuangan diri sendiri untuk melaksanakan kewajipan agama dan perintah Allah dalam kehidupan.

InsyaAllah di dalam buku yang sedang dan akan disiapkan oleh saya ini yang bertajuk “Janji Akhir zaman dan Kaitannya dengan Perjuangan Umat Islam” ini kita akan dapat melihat secara manhaji menurut panduan Al-Quran dan As-sunnah akan segala perkara yang disampaikan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwassalam berkenaan janji-janji akhir zaman dan membuat penilaian yang adil dan saksama terhadap kumpulan-kumpulan umat Islam, memahami sebab perpecahan dan mencari jalan selamat bagi menuju kepada Allah swt dan panduan bagaimanakah menjalani kehidupan di zaman fitnah serta cara dan kaedah untuk memperjuangkan agama Allah swt.

Semoga Allah swt merahmati kita semua.

Barakallahufikum jami’an.

Monday, May 23, 2011

Sikap Ulama Salaf yang tegas terhadap Pemerintah


Ramai beranggapan bahawa ulama salaf itu ialah suatu kaum yang membodek dan menjilat para pemerintah dari hasil pembacaan mereka atau dengan menghadiri pengajian yang dikendalikan oleh beberapa ilmuan Islam yang mengalami kecuaian dan kekeliruan dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah menurut jalan dan teladan salaf as-soleh.

Sedangkan hakikatnya adalah sangat jauh dari itu mereka kaum salaf bahkan sangat terkenal tegas dan keras kritikan terhadap pemerintah serta selalu menghindari golongan pembesar dan tidak mahu bersekongkol dalam memikul tanggungjawab yang melibatkan amanah rakyat.

Di antara ikutan yang boleh kita pelajari dari mereka (kaum salaf) ialah tokoh seperti Fudhail bin Iyadh rahimahullah (186 H)

Nama sebenar beliau ialah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khuraasaani. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di Samarqand dan dibesarkan di suatu tempat di daerah Khurasan. Ulama yang hidup seangkatan dengannya ialah seperti Imam Malik, Sufyan bin ‘Uyainah, dan Abdullah bin Al-Mubarak.

Banyak kisah diriwayatkan daripada Imam Fudhail bin Iyadh berkenaan dengan sikap tegasnya kepada kepimpinan dan pemerintah antaranya ucapan beliau yang terkenal apabila menyebut :

لو كان لي دعوة مستجابة ما صيرتها إلا في الإمام لأني لو جعلتها للنفسي لم تجاوزني ولو جعلتها له كان صلاح الإمام صلاح العباد والبلاد

Yang bermaksud : “Seandainya aku memiliki doa yang mustajab nescaya aku tidak akan menyimpannya untuk diriku tetapi akan aku doakan kepada pemimpin kerana jika aku menggunakannya untuk diriku maka manfaatnya tidak melepasi diriku(hanya untuk diriku sendiri) tetapi jika aku menggunakannya untuk kebaikan pemimpin (maksudnya mendoakan agar pemimpin menjadi baik) nescaya akan baiklah manusia dan negara.” (Lihat dalam Syar As-Sunnah oleh Imam Al-Barbahari rahimahullah)

Teguran Fudhail bin Iyadh terhadap Khalifah Harun Ar-Rasyid (193 H)

Fadhl bin Rabi’ (Salah seorang menteri Harun Ar-Rasyid)(1)meriwayatkan, “Ketika tiba suatu musim haji, Amirul Mukminin Harun Ar-Rasyid menunaikan ibadah haji. Ketika itu aku sedang tidur di Mekkah. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Aku pun bertanya, “Siapa?” Si pengetuk pintu menjawab, “Amirul Mukminin!.” Dengan serta merta aku keluar. Aku berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku akan datang menghadap.” Harun berkata,”Celaka-lah kamu! Ada sesuatu keinginan dalam diriku. Tunjukkan kepadaku orang yang alim. Aku ingin bertanya kepadanya!” Aku berkata , “Ya, di sini ada Sufyan bin Uyainah.” Harun berkata, “Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun mengunjunginya.

Ketika aku mengetuk pintu, Sufyan bertanya, “Siapa?” aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin.!” Dia pun keluar dengan tergesa-gesa untuk menemuinya seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku akan datang menghadap.” Harun berkata, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu. Semoga Allah merahmatimu!” Dia pun bercakap-cakap dengannya dalam beberapa ketika. Kemudian, dia bertanya,”Adakah kamu mempunyai hutang?” Sufyan berkata , “Ya.”Harun berkata, “Lunaskan semua hutangmu!” sambil memberi kepada Sufyan belanja untuk melunaskan hutangnya.

Ketika kami keluar, Harun berkata, “Kawanmu tadi tidak menolak apa yang aku berikan. Bawakan aku orang yang lain. Aku ingin bertanya kepadanya!” Aku berkata, “Ya, di sini ada Abdul Razzaq bin Hammad.”

Harun berkata,”Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun pergi menemuinya. Ketika Ali mengetuk pintu, Abdul Razzaq bertanya,”siapa?” Aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin!” Dia pun keluar dengan tergesa-gesa untuk menemuinya seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin ! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku datang menghadap.” Harun berkata, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu, semoga Allah merahmatimu!” Dia pun bercakap-cakap dengannya dalam beberapa ketika. Kemudian, dia bertanya, “Adakah kamu mempunyai hutang?” Abdul Razzaq menjawab, “Ya” Harun Berkata, “Wahai orang Abbasi, lunaskanlah semua hutangmu!” sambil memberi kepadanya belanja untuk melunaskan hutangnya.

Kemudian, kami beranjak pun pergi.

Harun berkata kepadaku, “Kawan kamu tadi tidak menolak apa yang kuberikan. Tunjukkan kepadaku orang yang lain. Aku ingin bertanya sesuatu kepadanya!” Aku berkata, “Ya, di sini ada Fudhail bin Iyadh!” Harun berkata, “Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun pergi menemuinya. Waktu itu Fudhail sedang solat dengan maembaca salah satu ayat Al-Quran serta mengulang-ulanginya. Harun berkata, “Ketuklah pintunya!” Aku pun mengetuk pintu. Fudhail bertanya, “Siapa di luar?” Aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin!” Namun,Fudhail sebalik bertanya, “Ada urusan apa antara aku dengan Amirul Mukminin?” Aku berkata, “Subhanallah, mengapa tuan tidak patuh kepadanya?” Fudhail pun turun, lalu membukakan pintu. Kemudian, dia naik lagi ke mimbarnya dan mematikan lampu, lantas beranjak ke salah satu sudut rumahnya.

Kami pun masuk. Kami sibuk mencari-carinya dengan telapak tangan. Akan tetapi, tangan Harun lebih dulu memegangnya berbanding aku. Fudhail berkata, “Oh,betapa lembut dan indahnya telapak tangan ini. Hendaknya kelak pada hari kiamat ia selamat dari seksa Allah SWT.” Dalam hati aku berbisik, “Pada malam ini, Fudhail akan berbincang dengannya dengan kata-kata mutiara yang indah penuh makna dari hati yang jernih.” Harun berkata kepadanya, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu, semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah, dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saran dan nasihat kepada saya!”

Fudhail melanjutkan perkataannya kepada Harun, “Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Salin bin Abdullah bin Umar r.a. berpesan kepada Umar, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT, berpuasalah dirimu dari keduniaan, dan jadikanlah kematian sebagai santapan berbukamu!”

Muhammad bin Kaab r.a berpesan kepadanya, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT, jadikanlah orang-orang tua dari kalangan kaum muslimin sebagai bapa(pendidik), orang-orang dewasa(yang sebaya) sebagai saudara, dan anak-anak kecil sebagai anak. Lalu, hormatilah ibu bapamu, muliakanlah saudaramu, dan sayangilah anak-anakmu!”

Raja’ bin Haiwah juga berpesan kepadanya, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT. Kasihanilah kaum muslimin dengan segala sesuatu yang kamu kasihi untuk dirimu sendiri. Di samping itu, bencilah bagi mereka dengan segala sesuatu yang kamu benci untuk dirimu sendiri. Selanjutnya, matilah kamu jika kamu berkehendak. Sesungguhnya, aku mengutarakan ini kepadamu kerana aku sangat bimbangkan dirimu. Sesungguhnya, pada suatu hari kelak, ketika semua kaki akan tergelincir, adakah kamu-semoga Allah merahmatimu-memiliki orang-orang yang akan memberi pesanan dan nasihat kepadamu sebagaimana kaum muslimin? Atau, yang menyuruh kamu melakukan hal seperti ini?”

Harun Ar-Rasyid pun menangis semahunya hingga hampir tidak sedarkan diri. Aku berkata kepada Fudhail, “Kasihanilah Amirul Mukminin!” Fudhail berkata, “ Wahai Ibnu Ummu Rabi’! Justeru kamu dan rakan-rakanmu yang telah membunuhnya. Oleh itu, kenapa aku yang harus kasihan kepadanya?” Setelah Harun reda dan sedar, dia berkata, “Tambahkan nasihatmu, semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Aku pernah mendengar khabar bahawa salah seorang gabenur yang dipilih oleh Umar bin Abdul Aziz diajukan kepadanya”. Fudhail melanjutkan, “Umar bin Abdul Aziz menuliskan sepucuk surat kepada gabenur itu yang berisi,’Wahai saudaraku! Ingatlah betapa panjang penderitaan para penghuni neraka dalam neraka, sementara mereka kekal selama-lamanya. Sesungguhnya, hal yang demikian itu cukup membuatkanmu berlari menuju pangkuan Rabb-mu, baik dalam keadaan tidur mahupun jaga. Oleh itu, jangan sekali-kali kamu berpaling dari sisi Allah SWT menuju api neraka sehingga ia menjadi tempat terakhir bagimu dan pemupus harapanmu.”

Fudhail berkata,”Saat pegawai tersebut membaca surat tadi, dia pun keluar sehingga berjumpa dengan Umar bin Abdul Aziz r.a, Umar bertanya kepadanya,”Apa yang membuatkanmu sampai disini?” Dia menjawab, “Tuan telah mencabut hatiku dengan tulisan tuan. Lalu aku tidak akan menjadi pegawai tuan lagi hingga berjumpa dengan Allah SWT.”

Harun ar-rasyid menangis semahunya. Lalu, dia berkata, “Berikan lagi nasihatmu,semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “wahai Amirul Mukminin ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib r.a.,iaitu bapa saudara Rasulullah SAW menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”(2)

Harun Ar-Rasyid pun menangis. Kemudian, dia berkata “ Berikan lagi nasihat semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Wahai pemilik raut wajah yang tampan! Kamulah yang akan disoal Allah SWT tentang wajah ini. Jika kamu mampu melindungi wajah ini dari jilatan api neraka,lakukanlah. Selanjutnya,jangan sampai ada dalam hatimu ada rasa benci dan dengki terhadap sesiapapun dari rakyatmu, sama ada pada waktu pagi mahupun petang.”

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :“Barangsiapa yang berada pada pagi hari dalam keadaan menipu kepada mereka(rakyatnya), maka dia tidak akan tercium bau syurga.” (3)

Harun Ar-Rasyid pun menangis semahunya. Kemudian, ia berkata, “Apakah kamu mempunyai hutang?”

Fudhail menjawab, “Ya,aku ada hutang dengan Allah yang belum lagi Dia hisab (tagih). Sungguh betapa celakanya aku jika Dia bertanyakannya. Betapa celakanya aku jika Dia menuntutnya, dan betapa celakanya aku jika tidak dapat berhujah.”

Harun berkata, “ Maksud aku ialah hutang dengan sesama manusia!”

Fudhail berkata, “ Sesungguhnya, Rabb-ku tidak pernah memerintahkan hal ini kepadaku. Rabb-ku hanya menyuruh untuk membenarkan semua janji-Nya dan mematuhi segala perintah-Nya.

“Sesungguhnya Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada Sekalian makhluk-Nya),(dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Amat Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.(Setelah ternyata hakikat yang demikian) maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim(yang menentang ajaran Nabi Muhammad)itu ada bahagiannya(dari azab seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka(kaum kafir yang telah lalu). Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaku menyegerakan kedatangannya. (Surah adz-Dzariyat, 51 : 58-59)

“Nah, ini wang 1000 Dinar. Ambillah ! Belanjakanlah dan manfaatkanlah untuk menguatkan dirimu dalam beribadat kepada Rabb-mu!” kata Harun kepada Fudhail.

“Maha Suci Allah, aku menunjukkanmu jalan menuju keselamatan, tetapi kamu membalasnya seperti ini. Semoga Allah menyelamat dan memberikan taufik kepadamu!” balas Fudhail. Kemudian, dia pun diam tanpa mahu bercakapapa-apa lagi. Oleh itu, kami pun beranjak dari hadapan Fudhail.

Namun, ketika kami menghampiri pintu, Harun berkata kepadaku, “Wahai orang Abbasi! Jika kamu ingin menemukan aku dengan seseorang lagi, pertemukanlah aku dengan orang seperti ini (Fudhail bin Iyadh). Orang ini adalah pemimpin kaum muslimin pada masa ini,” kata Harun ketika kami sudah hampir di pintu.

Seterusnya, Abu Umar (Fadhl bin Rabi’) berkata, “ketika kami sedang seperti itu, tiba-tiba salah seorang isteri Fudhail menghampirinya dan berkata, “Wahai fulan! Tahukah kamu,betapa miskin dan susahnya kita sekarang? Kalau kamu terima wang itu, dapatlah meringankan bebanan kita.” Fudhail berkata. “ Diumpamakan aku dengan semuanya, laksana suatu kaum yang mempunyai seekor keldai. Mereka makan dari hasil pencarian keldai itu. Namun, ketika keldai itu besar mereka sembelih dan memakan dagingnya.” Apabila Harun Ar-Rasyid mendengarnya, dia pun berkata “ Mari kita kembali kepada Fudhail, mudah-mudahan dia mahu menerima wang ini!”

Harun pun masuk dan ketika Fudhail mengetahui siapa yang masuk, dia pun keluar dan duduk diatas tanah di tingkat atas tepat di tepi pintu bilik. Lalu, Harun menghampirinya dan duduk bersebelahan Fudhail. Seterusnya, Harun mengajaknya bercakap, tetapi Fudhail sedikit pun tidak mahu membuka mulut dan bercakap dengannya.

Ketika kami berada dalam keadaan begitu, tiba-tiba seorang hamba perempuan berkulit hitam keluar lalu berkata, “Wahai fulan! Sejak malam tadi kamu telah menyakiti syaikh ini(Fudhail)!

Pergilah kamu, semoga Allah merahmatimu!”

Maka kami pun pergi.

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi serta banyak lagi tulisan buku-buku nasihat oleh para ulama salaf rahimahumullah.

-------------------

(1)Beliau ialah Abu Abbas Fadhl bin Rabi’ bin Yunus meninggal tahun 208 Hijrah.
(2)Hadis ini marfu dan mauquf darjatnya riwayat baihaqi tetapi mempunyai syawahid dari jalan riwayat yang lain dan maksudnya adalah sahih serta mempunyai jalan riwayat lain yang lebih sahih seperti dari hadis riwayat Bukhari, Nasaie dan Ibn Hibban.
(3)Hadis ini mursal dan masyhur dalam kitab-kitab tazkirah ulama salaf dan perkataan mereka terhadap larangan menipu rakyat dan mempunyai jalan riwayat yang sahih daripada Bukhari dan Muslim.

Thursday, May 19, 2011

Apakah panduan kita dalam menghukum seseorang ?




Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 8)

Ramai orang pada hari ini cukup mudah sekali melabel seseorang itu sebagai ahli bid’ah, perosak agama, khawarij dan bermacam lagi tuduhan demi tuduhan yang berat sedangkan sandarannya cumalah perkataan beberapa orang ulama atau ustaz yang tidak terselamat daripada kesilapan jua kesalahan.

Wajarkah begitu ?

Tindakan tersebut sangatlah tidak beretika, tidak berakhlak dan bahkan sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam apatah lagi mahu mendakwa ianya berasal daripada sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Sesat, Khawarij, Ahli Bid’ah ialah satu hukuman dan tuduhan yang berat

Mengatakan seseorang itu sebagai sesat, ahli bid’ah dan khawarij sudah merupakan bukan lagi sebuah kritikan yang membina dan membantu sesama Muslim tetapi telah menjadi sebuah permusuhan dan merupakan hukuman yang dijatuhkan dalam keadaan yang lalai, tidak berhati-hati serta belot terhadap syariah Islam sekiranya orang yang dituduh tidak dibicarakan secara adil, tidak diberi peluang membela diri dan diberi ruang untuk menegakkan hujahnya.

Imam Az-Zahabi diriwayatkan berkata : “Sejak dahulu lagi adalah perkara biasa jika terjadi perbezaan pendapat di kalangan para Imam dan ulama apabila sebahagian mereka membantah dan mengkritik sebahagian yang lain tetapi kita bukanlah termasuk di kalangan orang yang suka mencela para ulama dengan mengikut hawa nafsu dan kebodohan.” (Siyar Alam Nubala)

Apabila ada seseorang di kalangan kita yang berani menuduh seorang Muslim yang lain dengan tuduhan yang berat seperti sesat, ahli bid’ah dan sebagainya maka adalah WAJIB ke atasnya untuk mengemukakan hujah, bukti dan saksi di atas tuduhannya itu agar maruah dan hak seorang Muslim itu tetap terpelihara dan dijaga.

Allah swt berfirman : “Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Olah kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta.” (An-Nur : 13)

Sekalipun ayat di atas diturunkan berkenaan kes jenayah hudud seperti zina namun ianya juga bertujuan menjelaskan kepada manusia secara umum bahawa keperibadian seseorang muslim itu adalah terpelihara sehingga datangnya bukti (qarinah) yang boleh mencacatkan statusnya.

Apabila si penuduh gagal membawakan saksi yang boleh menjelaskan kesesatan orang yang dituduh, hujah dan bukti kukuh mengapa orang itu menjadi sesat, ahli bid’ah atau sebagainya seperti yang didakwa maka hendaklah dia bertaubat dan diberikan hukuman takzir oleh pihak yang berkuasa agar tidak lagi berani menimbulkan fitnah dan kerosakkan dalam masyarakat.

Ini kerana baginda rasulullah pernah bersabda : Sesiapa yang memanggil orang lain dengan “Kafir” atau “musuh Allah” sedangkan orang tersebut tidaklah begitu, maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya (orang yang menuduh)” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan mudah percaya berita buruk atau cerita yang mengaibkan seorang Muslim
Allah swt berpesan di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat : 6)

Kita begitu mudah memburukkan seseorang, menuduhnya sebagai sesat, khawarij dan pelbagai lagi kata nista dan penghinaan kerana dia tidak bersependapat dengan kita atau apabila kita mendengar guru-guru agama tertentu pun turut memburukkan dan membid’ahkan tokoh dan orang tertentu.

Jangan begitu !

Allah swt berpesan : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (Al-Isra : 36)

Sedangkan kita tidak mengetahui banyak perkara tentang tokoh yang dibid’ahkan, kita pula tidak mengetahui latar belakangnya, tidak pula mengkaji penulisan dan ilmunya tetapi kerana guru kita menyesatkan orang itu maka kita juga turut menyesatkannya lalu bukankah itu sejenis taklid buta yang terlarang dan selalu ditentang oleh kita ?

Taklid kepada guru dalam menyesatkan seseorang ulama, tokoh dan Muslim

Berapa ramai di kalangan kita menyesatkan orang-orang yang lebih hebat, lebih alim dan lebih berpengetahuan daripada diri kita sendiri. Sekiranya tokoh-tokoh itu benar tersesat maka apakah pula status kita yang lebih bodoh, lebih jahil dan tidak pula menguasai ilmu dan sangat sedikit pengetahuan daripada mereka ?

Orang yang bodoh menyesatkan orang yang lebih alim bukankah sesuatu yang amat mustahil ?

Al-Imam Ibn Rejab Al-Hanbali ra juga pernah menyebut dalam kitabnya Al Farqu baina An Nasihat wa At Ta'yiir : “Seandainya tujuan seorang pengkritik itu ialah untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan tarafnya, menjelaskan kebodohan dan kekurangannya dalam hal ilmu dan yang seumpama dengannya maka hal itu adalah haram hukumnya. Baik dia mengkritik dihadapan orangnya itu atau pun melakukannya secara dibelakang, sama ada dibuat ketika dimasa hidupnya atau setelah orang yang dikritik itu telah pun meninggal dunia.

Perbuatan ini adalah termasuk dalam perkara yang dicela oleh Allah dan mendapat ancaman sebagai pengumpat lagi pembuat cela dalam kitab-Nya dan termasuk dia si pembuat itu sebagai orang yang disabdakan oleh Nabi salallahualaihiwasalam : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan belum beriman dengan hatinya, janganlah kalian menyakiti kaum muslimin dan janganlah pula kalian mencari-cari kekurangan dan kelemahan mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari-cari kekurangan-kekurangan orang lain maka kelak Allah akan membukakan kekurangan dirinya dan akan membiarkan orang lain pula mengetahui keaibannya, sekalipun di dalam rumahnya."(Lihat hadis ini dalam Sunan At-Tirmidzi)

Berhukumlah dengan hukum Allah

Apabila telah jelas dan zahir kerosakkan yang dilakukan oleh seseorang maka adalah wajib ditegakkan hukuman Allah kepadanya dan menjadi keperluan untuk mencegah kemudharatan yang diketahui akan berlaku. Ini kerana Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda, “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.”(hadis riwayat Muslim)

Kita tidak disuruh mencari kesalahan seseorang atau menyebut kesilapannya tetapi Islam mengajar kita untuk mencegah kemungkaran dengan hikmah dan mengikuti pertunjuk Allah dan mencari kemanfaatan daripada hukum syarak agar kebajikan umat Islam terpelihara. Di sinilah kita boleh mengambil pelajaran daripada kisah Abu Darda’ ra yang melihat orang ramai pada suatu hari sedang mengerumuni seorang lelaki sambil mencelanya dan memukulnya. Lalu bertanyalah Abu Darda’ ra tentang lelaki tersebut lalu dijawab bahawa si lelaki itu telah melakukan suatu dosa besar (tidak disebutkan dosa apa tetapi bukanlah yang melibatkan hudud)

Maka bertanyalah Abu Darda kepada orang ramai, jika lelaki ini terjatuh di dalam telaga maka apakah kamu akan mengeluarkannya ? Lalu dijawab dengan berkata sudah tentu kami akan membantu untuk menyelamatkannya. Maka segera dijawab oleh Abu Darda ra dengan berkata : “Jika begitu maka janganlah kami memaki dan memukulnya, sebaliknya tutuplah aibnya dan bimbinglah dia serta bersyukurlah kamu semua kerana telah dipelihara oleh Allah swt akan dosa seperti itu . Orang ramai pun bertanya kembali kepada Abu Darda, apakah beliau tidak membenci lelaki itu ? Maka dijawab oleh Abu Darda bahawa aku membenci perbuatannya tetapi jika dia bertaubat dan tidak melakukannya lagi maka dia adalah saudaraku !

Akhirnya Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Kesimpulannya maka hendaklah kita semua bermuhasabah tentang apakah sandaran dan landasan kita dalam menghukum seseorang sebagai sesat, ahli bid’ah atau pun Khawarij dan sebagainya. Apakah neraca kita ialah pertimbangan akal yang waras dengan saksi dan hujah daripada Al-Quran dan As-sunnah ? Ataukah sekadar sentimen perasaan dan taklid buta kepada kenyataan dan fatwa-fatwa guru-guru kita di timur tengah atau di dalam Negara yang terdedah kepada salah faham, perbezaan pendapat dan merupakan perselisihan peribadi yang tidak layak menjadi hukuman yang memutuskan kesesatan atau kebenaran seseorang di hadapan Allah swt !




Wednesday, May 11, 2011

Bukan semua soalan wajib dijawab



Al-Quran datang kepada kita sebagai pertunjuk dan pembawa rahmat melalui ajaran-ajaran dan hikmah yang terkandung di dalam ayat-ayat yang dibacakan. Sebahagian ayat Al-Quran pula diturunkan oleh Allah swt sebagai menjawab pertanyaan dan persoalan yang ditimbulkan oleh manusia.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang gunung-gunung, maka katakanlah: "Tuhanku akan menghancurkannya (di hari kiamat) sehancur-hancurnya,” (Thaha : 105)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Dzulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepadamu cerita tantangnya." (Al-kahfi : 83)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Al-Isra : 85)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah." Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.” (Al-Ahzab : 63)

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang didatangkan kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sebagai menjawab persoalan demi persoalan yang ada di dalam kepala manusia. Walaubagaimanapun bukan semua persoalan itu dijawab oleh Allah swt dan tidak pula setiap soalan yang telah dijawab itu terus menjawab perkara yang ditanyakan. Seringkali setiap jawapan yang diberikan oleh Allah swt di dalam Al-Quran berupa sebuah pertanyaan pula dan ada kalanya persoalan itu dijawab dengan sebuah jawapan yang menjawab kepada persoalan yang lain tetapi berkaitan.

Pendek kata, bukan semua soalan wajib dijawab dan setiap jawapan itu pula tidak semestinya wajib menjawab apa yang dipersoalkan sebaliknya boleh jadi memberikan pula persoalan dan pertanyaan balas kepada pihak yang menyoal.

Kenapa begitu ?

Jawapannya ialah kerana Islam ialah agama hikmah dan rahmat kepada manusia. Matlamat Allah swt di dalam bertanya soalan kepada manusia bukanlah bertujuan untuk mendapatkan jawapan atau ilmu kerana Allah swt Maha Mengetahui tetapi soalan yang ditanyakan oleh Allah sebaliknya memberikan muhasabah, peringatan dan pengajaran kepada hamba-hamba-Nya.

Demikianlah pula setiap soalan yang ditanyakan oleh hamba-hamba kepada Allah swt tidak semuanya akan dijawab demi rahmat dan hikmah yang mendalam. Jika dijawab maka soalan itu pastilah soalan yang membawa kebaikan dan memberikan pengajaran dan jika tidak dijawab maka perbuatan yang sedemikian itu memberikan manfaat kepada hamba-hamba-Nya melalui diam-Nya agama pada hal yang tersebut.

Inilah yang dijelaskan oleh Allah swt pada ayat berikut :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Quran itu diturunkan, niscaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” (Al-Maidah : 101)

Begitu pula di dalam hadis baginda nabi salallahualaihiwassalam yang diriwayatkan bahawa baginda pernah bersabda : “Sesungguhnya keburukkan yang paling besar dapat dilakukan oleh seorang Muslim terhadap kaum Muslim yang lain ialah bertanyakan tentang sesuatu perkara yang belum diharamkan lalu menjadi haram hukumnya kerana pertanyaan oleh dirinya tersebut.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jenis-jenis soalan yang ditanya

Ramai orang selalu bertanya dan suka bertanya kerana ianya adalah fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah swt dengan akal untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu yang tidak diketahuinya. Tetapi soalan dan pertanyaan itu berbahagi kepada beberapa bahagian adanya dan mengikut jenis-jenis manusia yang suka bertanya atau kepada bentuk soalan yang ditanya.

Jika mahu dibahagikan kepada bentuk soalan yang sering ditanya oleh manusia maka kita dapat membahagikan soalan-soalan tersebut kepada tiga bahagian iaitu : Soalan yang berbentuk kejiwaan, soalan berbentuk keduniaan dan soalan berkaitan alam semesta dan persekitaran.

Manusia bertanya soalan-soalan berbentuk kejiwaan ialah apabila mereka berbicara soal ghaib, ketuhanan, agama dan perasaan serta mental dan emosi. Manakala persoalan keduniaan pula ialah apabila mereka berhadapan kesulitan dalam kehidupan, pekerjaan, pengajian dan segala yang berkaitan dengan perihal dunia dan fizikal. Seterusnya soalan ketiga iaitu persoalan alam sekitar dan semesta ialah persoalan yang manusia selalu fikir-fikirkan dan tanyakan jika mereka mempunyai kaitan dan hubungan dengan hal tersebut seperti banjir, gempa bumi, peredaran alam dan segala macam yang berlaku sehingga mengundang manusia mengkaji dan mencari jawapan bagi semua persoalan yang timbul dalam pemikiran akal manusia.

Walaubagaimanapun, jika kita melihat dalam aspek yang lain pula maka kita boleh memandang kepada sifat atau jenis manusia dalam bertanyakan sesuatu soalan dan itu lebih mudah bagi kita untuk mengambil pelajaran.

1.Pertanyaan demi mencari kebenaran

Pertanyaan seseorang yang mencari kebenaran dapat dilihat melalui usahanya dalam mencari jawapan dan kepada soalan yang diucapkan. Apa yang ingin diketahuinya ialah ikhlas, sesuatu yang sudah dia usahakan sekian lama tetapi tertutup makluman dan pengetahuan daripada dirinya dan dia ingin mengetahuinya.

2.Pertanyaan demi mencari kesalahan dan kesilapan

Ada juga orang yang bertanya demi mencari kesilapan dan kesalahan dirinya, orang lain atau sesuatu perkara yang ingin diketahuinya. Misalnya seseorang yang sudah lama membesar dan berada di dalam kesesatan bertanya tentang dirinya apakah kesilapannya, kesalahannya atau pada diri orang lain atau sesuatu yang dilihatnya.

3.Pertanyaan demi mencari keseronokkan atau mempersendakan

Pertanyaan sebegini dilakukan oleh mereka yang tidak serius, main-main dan bertujuan menyeronokkan diri mereka apabila mendengar jawapan daripada orang yang menjawab persoalan mereka. Mereka menanti dengan khusyuk dan bersedia untuk ketawa sebaik sahaja jawapan kepada soalan mereka disampaikan. Boleh jadi mereka ketawa kerana telah mengetahui jawapan tersebut, boleh jadi kerana tidak mempercayainya dan boleh jadi juga kerana sengaja mahu mempersendakan peribadi orang yang ditanya.

4.Pertanyaan demi menutup kebenaran, mengalihkan perhatian serta membela kesalahan dan menentang kebenaran

Ada orang yang melakukan kejahatan dan kesalahan lalu demi menutup kesalahan dan kejahatan tersebut maka dia segera mengaburi orang lain dengan seribu satu keraguan dan persoalan demi menutup mata dan perhatian orang terhadap kesalahan dirinya atau agar kebenaran tidak diterima sebaliknya diragu-ragui dengan persoalan dan pertanyaan yang ditimbulkan.

5. Pertanyaan yang berbentuk pujian

Pujian juga boleh datang dalam bentuk persoalan, misalnya seseorang berkata : “Siapakah yang lebih cantik dan jelita berbanding Farah ?” Ini bukanlah persoalan tetapi sesuatu kenyataan atau luahan perasaan yang dimuatkan dalam bentuk soalan sebagai pujian kepada seseorang.

6. Pertanyaan untuk memudahkan urusan dan kerana kemalasan usaha

Ada sesetengah orang bertanya kerana sifat malas untuk usaha dan malas untuk mencari jawapan dengan tenaga diri mereka sendiri sebaliknya mengharapkan orang lain untuk memberikan jawapan kepada persoalan yang dimiliki oleh mereka. Contohnya apakah maksud “criticise ” dalam bahasa Melayu tanya seorang budak sekolah darjah enam kepada cikgunya sedangkan kamus dewan bahasa English-Melayu ada ditangannya. Dia tahu jawapan ada di situ tetapi malas mahu membuka buku itu dan dirasakan jika ditanyakan kepada cikgu maka jawapannya adalah lebih cepat dan mudah.

Ramai sekali orang kita yang termasuk dalam kategori ini dan banyak pula soalan-soalan agama mahupun soalan-soalan biasa yang kedengaran adalah berlatar belakangkan konsep ini. Tentu kita pernah mendengar soalan apakah hukumnya orang yang sekian dan sekian, bolehkah saya itu dan ini…apa maksud bla-bla…sehingga pernah ada seorang pelajar agama di sebuah universiti yang meminta saya menjawab soalan bagi pihak dirinya akan soalan-soalan “assignment” yang diberikan oleh pensyarah kerana dia mengatakan sukar untuk mencari bahan rujukan atau jawapan bagi soalan-soalan tersebut dan ingin mengambil jalan mudah dengan bertanya terus kepada seorang ustaz !

7. Soalan dan pertanyaan yang melambangkan kesombongan dan bongkak

Sesetengah orang pula bertanyakan soalan kerana mahu menunjukkan kebesaran dirinya atau bertanya dengan rasa sombong dan bongkak setelah mengetahui bahawa tiada orang lain yang mnegetahui jawapan bagi soalan tersebut kecuali dirinya sendiri atau kerana beranggapankan bahawa jawapan yang akan dijawab nanti akan memuliakan atau membanggakan dirinya.

Contohnya seseorang yang paling kaya di sebuah kampung itu bertanya kepada orang ramai : Siapakah orang yang paling kaya di kampung ini ? Dia tahu bahawa dialah yang paling kaya tetapi sengaja soalan itu diucapkan demi kerana kesombongan dan kepuasan dirinya.

Panduan menjawab soalan

Jawablah soalan yang ditanyakan oleh manusia jika kita mampu untuk menjawabnya dan jika soalan itu pula berhak untuk dijawab. Sekiranya jawapan kita itu boleh memberikan kebaikan dan tidak mengundang keburukkan serta kerosakkan atau mendatangkan fitnah kepada manusia.

Kata kunci yang penting sebelum menjawab sesuatu soalan atau pertanyaan ialah anda harus mengenal pasti tiga perkara iaitu :

1. Mengenal pasti orang yang bertanya
2. Mengetahui tentang soalan yang ditanya
3. Memahami keadaan semasa dan sekitar ketika soalan itu ditanya

Dengan mengenal pasti orang yang bertanya maka anda akan terselamat daripada membuat kesilapan meletakkan sesuatu yang berharga ke dalam mulut musuh atau memberikan ruang kepada si pembuat fitnah. Kenal pasti dahulu orang yang bertanya kerana diriwayatkan Ibn Mas’ud ra pernah menyebutkan : “Tidaklah engkau berbicara terhadap sesuatu kaum dengan pembicaraan yang tidak mampu difahami oleh akal mereka, melainkan sebahagian daripada mereka akan tertimpa fitnah.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam riwayat yang lain Khalifah Ali bin Abi Tolib ra pernah menyebutkan : “Berbicaralah kepada manusia dengan apa-apa yang mampu mereka fahami, apakah kamu suka jika Allah dan Rasul-Nya akan didustakan?” (riwayat Bukhari)

Tahu dan kenal siapa yang bertanya seperti dari mana asalnya, apa tujuannya dan mengapa dia bertanya nescaya akan membantu anda dalam memberikan jawapan yang berguna dan bermanfaat.

Seterusnya mengetahui tentang soalan yang ditanya pula bukan sahaja berkait apakah jawapannya tetapi untuk apa soalan itu dikemukakan dan kepada siapakah soalan ini nanti akan bertemu dan berakhir ? Apakah soalan ini untuk si penanya ? Atau akan berakhir jawapan untuk soalan tersebut kepada seorang si buta di hujung kampung yang mengirimkan utusan buat menanyakan soalan ?

Lihatlah di dalam hadis betapa setiap soalan itu berbeza jawapannya untuk orang yang bertanya dan setiap soalan itu pula ada seni di dalam menjawabnya.

Seni itu fiqih

Ianya kefahaman mendalam yang datang melalui pengalaman dan kemahiran serta anugerah daripada tuhan.

“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, Maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) ; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan Hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud dan kamilah yang melakukannya”. (Al-Anbiya : 78-79).

Keghairahan mahu menjawab soalan hendaklah diseimbangkan dengan ketaqwaan kerana lihatlah teladan daripada kaum salaf yang seringkali mengelak daripada menjawab sebarang persoalan yang dapat dielakkan.

Utbah ibn Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra (Abdullah Ibn Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persolan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.

Demikian juga Ibn Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehinggalah seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Akhirnya dalam panduan menjawab soalan maka saya ingin berpesan bahawa hendaklah si penanya dan penjawab soalan memastikan bahawa sesuatu soalan itu dijawab dengan mengambil kira dan mempertimbangkan zaman dan keadaan serta maslahat dan persekitaran yang mungkin mempengaruhi atau dipengaruhi oleh soalan dan jawapan yang ditanyakan.

Misalnya seseorang bertanya tentang liwath, apakah yang dikehendaki daripada si penanya itu merujuk kes liwath seorang tokoh yang bernama Anwar Ibrahim ? Ataukah ianya berbentuk umum tanpa terikat dengan status dan keadaan semasa ?

Mempertimbangkan keadaan dan realiti semasa disebut sebagai fiqh waqi’ie yang amat penting difahami oleh pemberi fatwa atau tukang penjawab soalan-soalan agama.

Prof. Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebutkan berkenaan hal fiqh waqi’ dengan membawakan kata-kata Imam Ibn Qayyim rahimahullah dalam kitabnya I’lam Al-Muwaqi’ien bahawa seorang mufti atau hakim tidak akan dapat memberikan fatwa atau hukum yang tepat kecuali dengan dua bahagian daripada kefahaman dan salah satu daripada kefahaman yang diperlukan ialah memahami realiti dan fiqh yang terhasil daripada keadaan realiti semasa itu. ~

Kesimpulannya baik soalan mahupun jawapan ianya hendaklah dilakukan kerana Allah swt, demi mencari keredhaan-Nya dan dilakukan dalam keadaan yang bersungguh-sungguh dan agama ini bukanlah tempat untuk bersenda gurau dan bermain-main secara sia-sia.

Oleh itu bagi yang bertanya maka sabarlah dan carilah jawapannya dengan pertunjuk Allah dan bagi yang menjawab soalan yang ditanyakan maka sabarlah dan jawablah dengan penuh pertunjuk daripada Allah swt.

Jika ada yang bertanya tetapi masih belum mendapatkan jawapan daripada soalan yang ditanya mungkin anda harus kembali bertanya diri anda sendiri apakah soalan yang ditanyakan oleh anda itu termasuk di antara soalan-soalan yang tidak wajib dijawab ?

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.