Monday, May 23, 2011

Sikap Ulama Salaf yang tegas terhadap Pemerintah


Ramai beranggapan bahawa ulama salaf itu ialah suatu kaum yang membodek dan menjilat para pemerintah dari hasil pembacaan mereka atau dengan menghadiri pengajian yang dikendalikan oleh beberapa ilmuan Islam yang mengalami kecuaian dan kekeliruan dalam memahami Al-Quran dan As-sunnah menurut jalan dan teladan salaf as-soleh.

Sedangkan hakikatnya adalah sangat jauh dari itu mereka kaum salaf bahkan sangat terkenal tegas dan keras kritikan terhadap pemerintah serta selalu menghindari golongan pembesar dan tidak mahu bersekongkol dalam memikul tanggungjawab yang melibatkan amanah rakyat.

Di antara ikutan yang boleh kita pelajari dari mereka (kaum salaf) ialah tokoh seperti Fudhail bin Iyadh rahimahullah (186 H)

Nama sebenar beliau ialah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khuraasaani. Beliau dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di Samarqand dan dibesarkan di suatu tempat di daerah Khurasan. Ulama yang hidup seangkatan dengannya ialah seperti Imam Malik, Sufyan bin ‘Uyainah, dan Abdullah bin Al-Mubarak.

Banyak kisah diriwayatkan daripada Imam Fudhail bin Iyadh berkenaan dengan sikap tegasnya kepada kepimpinan dan pemerintah antaranya ucapan beliau yang terkenal apabila menyebut :

لو كان لي دعوة مستجابة ما صيرتها إلا في الإمام لأني لو جعلتها للنفسي لم تجاوزني ولو جعلتها له كان صلاح الإمام صلاح العباد والبلاد

Yang bermaksud : “Seandainya aku memiliki doa yang mustajab nescaya aku tidak akan menyimpannya untuk diriku tetapi akan aku doakan kepada pemimpin kerana jika aku menggunakannya untuk diriku maka manfaatnya tidak melepasi diriku(hanya untuk diriku sendiri) tetapi jika aku menggunakannya untuk kebaikan pemimpin (maksudnya mendoakan agar pemimpin menjadi baik) nescaya akan baiklah manusia dan negara.” (Lihat dalam Syar As-Sunnah oleh Imam Al-Barbahari rahimahullah)

Teguran Fudhail bin Iyadh terhadap Khalifah Harun Ar-Rasyid (193 H)

Fadhl bin Rabi’ (Salah seorang menteri Harun Ar-Rasyid)(1)meriwayatkan, “Ketika tiba suatu musim haji, Amirul Mukminin Harun Ar-Rasyid menunaikan ibadah haji. Ketika itu aku sedang tidur di Mekkah. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Aku pun bertanya, “Siapa?” Si pengetuk pintu menjawab, “Amirul Mukminin!.” Dengan serta merta aku keluar. Aku berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku akan datang menghadap.” Harun berkata,”Celaka-lah kamu! Ada sesuatu keinginan dalam diriku. Tunjukkan kepadaku orang yang alim. Aku ingin bertanya kepadanya!” Aku berkata , “Ya, di sini ada Sufyan bin Uyainah.” Harun berkata, “Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun mengunjunginya.

Ketika aku mengetuk pintu, Sufyan bertanya, “Siapa?” aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin.!” Dia pun keluar dengan tergesa-gesa untuk menemuinya seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku akan datang menghadap.” Harun berkata, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu. Semoga Allah merahmatimu!” Dia pun bercakap-cakap dengannya dalam beberapa ketika. Kemudian, dia bertanya,”Adakah kamu mempunyai hutang?” Sufyan berkata , “Ya.”Harun berkata, “Lunaskan semua hutangmu!” sambil memberi kepada Sufyan belanja untuk melunaskan hutangnya.

Ketika kami keluar, Harun berkata, “Kawanmu tadi tidak menolak apa yang aku berikan. Bawakan aku orang yang lain. Aku ingin bertanya kepadanya!” Aku berkata, “Ya, di sini ada Abdul Razzaq bin Hammad.”

Harun berkata,”Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun pergi menemuinya. Ketika Ali mengetuk pintu, Abdul Razzaq bertanya,”siapa?” Aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin!” Dia pun keluar dengan tergesa-gesa untuk menemuinya seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin ! Kalau tuan mengirimkan utusan kepadaku sebelumnya, nescaya aku datang menghadap.” Harun berkata, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu, semoga Allah merahmatimu!” Dia pun bercakap-cakap dengannya dalam beberapa ketika. Kemudian, dia bertanya, “Adakah kamu mempunyai hutang?” Abdul Razzaq menjawab, “Ya” Harun Berkata, “Wahai orang Abbasi, lunaskanlah semua hutangmu!” sambil memberi kepadanya belanja untuk melunaskan hutangnya.

Kemudian, kami beranjak pun pergi.

Harun berkata kepadaku, “Kawan kamu tadi tidak menolak apa yang kuberikan. Tunjukkan kepadaku orang yang lain. Aku ingin bertanya sesuatu kepadanya!” Aku berkata, “Ya, di sini ada Fudhail bin Iyadh!” Harun berkata, “Mari kita mengunjunginya!”

Kami pun pergi menemuinya. Waktu itu Fudhail sedang solat dengan maembaca salah satu ayat Al-Quran serta mengulang-ulanginya. Harun berkata, “Ketuklah pintunya!” Aku pun mengetuk pintu. Fudhail bertanya, “Siapa di luar?” Aku berkata, “Jumpailah Amirul Mukminin!” Namun,Fudhail sebalik bertanya, “Ada urusan apa antara aku dengan Amirul Mukminin?” Aku berkata, “Subhanallah, mengapa tuan tidak patuh kepadanya?” Fudhail pun turun, lalu membukakan pintu. Kemudian, dia naik lagi ke mimbarnya dan mematikan lampu, lantas beranjak ke salah satu sudut rumahnya.

Kami pun masuk. Kami sibuk mencari-carinya dengan telapak tangan. Akan tetapi, tangan Harun lebih dulu memegangnya berbanding aku. Fudhail berkata, “Oh,betapa lembut dan indahnya telapak tangan ini. Hendaknya kelak pada hari kiamat ia selamat dari seksa Allah SWT.” Dalam hati aku berbisik, “Pada malam ini, Fudhail akan berbincang dengannya dengan kata-kata mutiara yang indah penuh makna dari hati yang jernih.” Harun berkata kepadanya, “Ambillah apa yang kami bawakan ini untukmu, semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah, dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saran dan nasihat kepada saya!”

Fudhail melanjutkan perkataannya kepada Harun, “Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Salin bin Abdullah bin Umar r.a. berpesan kepada Umar, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT, berpuasalah dirimu dari keduniaan, dan jadikanlah kematian sebagai santapan berbukamu!”

Muhammad bin Kaab r.a berpesan kepadanya, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT, jadikanlah orang-orang tua dari kalangan kaum muslimin sebagai bapa(pendidik), orang-orang dewasa(yang sebaya) sebagai saudara, dan anak-anak kecil sebagai anak. Lalu, hormatilah ibu bapamu, muliakanlah saudaramu, dan sayangilah anak-anakmu!”

Raja’ bin Haiwah juga berpesan kepadanya, “Jika kamu ingin selamat dari seksaan Allah SWT. Kasihanilah kaum muslimin dengan segala sesuatu yang kamu kasihi untuk dirimu sendiri. Di samping itu, bencilah bagi mereka dengan segala sesuatu yang kamu benci untuk dirimu sendiri. Selanjutnya, matilah kamu jika kamu berkehendak. Sesungguhnya, aku mengutarakan ini kepadamu kerana aku sangat bimbangkan dirimu. Sesungguhnya, pada suatu hari kelak, ketika semua kaki akan tergelincir, adakah kamu-semoga Allah merahmatimu-memiliki orang-orang yang akan memberi pesanan dan nasihat kepadamu sebagaimana kaum muslimin? Atau, yang menyuruh kamu melakukan hal seperti ini?”

Harun Ar-Rasyid pun menangis semahunya hingga hampir tidak sedarkan diri. Aku berkata kepada Fudhail, “Kasihanilah Amirul Mukminin!” Fudhail berkata, “ Wahai Ibnu Ummu Rabi’! Justeru kamu dan rakan-rakanmu yang telah membunuhnya. Oleh itu, kenapa aku yang harus kasihan kepadanya?” Setelah Harun reda dan sedar, dia berkata, “Tambahkan nasihatmu, semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Wahai Amirul Mukminin! Aku pernah mendengar khabar bahawa salah seorang gabenur yang dipilih oleh Umar bin Abdul Aziz diajukan kepadanya”. Fudhail melanjutkan, “Umar bin Abdul Aziz menuliskan sepucuk surat kepada gabenur itu yang berisi,’Wahai saudaraku! Ingatlah betapa panjang penderitaan para penghuni neraka dalam neraka, sementara mereka kekal selama-lamanya. Sesungguhnya, hal yang demikian itu cukup membuatkanmu berlari menuju pangkuan Rabb-mu, baik dalam keadaan tidur mahupun jaga. Oleh itu, jangan sekali-kali kamu berpaling dari sisi Allah SWT menuju api neraka sehingga ia menjadi tempat terakhir bagimu dan pemupus harapanmu.”

Fudhail berkata,”Saat pegawai tersebut membaca surat tadi, dia pun keluar sehingga berjumpa dengan Umar bin Abdul Aziz r.a, Umar bertanya kepadanya,”Apa yang membuatkanmu sampai disini?” Dia menjawab, “Tuan telah mencabut hatiku dengan tulisan tuan. Lalu aku tidak akan menjadi pegawai tuan lagi hingga berjumpa dengan Allah SWT.”

Harun ar-rasyid menangis semahunya. Lalu, dia berkata, “Berikan lagi nasihatmu,semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “wahai Amirul Mukminin ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib r.a.,iaitu bapa saudara Rasulullah SAW menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”(2)

Harun Ar-Rasyid pun menangis. Kemudian, dia berkata “ Berikan lagi nasihat semoga Allah merahmatimu!”

Fudhail berkata, “Wahai pemilik raut wajah yang tampan! Kamulah yang akan disoal Allah SWT tentang wajah ini. Jika kamu mampu melindungi wajah ini dari jilatan api neraka,lakukanlah. Selanjutnya,jangan sampai ada dalam hatimu ada rasa benci dan dengki terhadap sesiapapun dari rakyatmu, sama ada pada waktu pagi mahupun petang.”

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :“Barangsiapa yang berada pada pagi hari dalam keadaan menipu kepada mereka(rakyatnya), maka dia tidak akan tercium bau syurga.” (3)

Harun Ar-Rasyid pun menangis semahunya. Kemudian, ia berkata, “Apakah kamu mempunyai hutang?”

Fudhail menjawab, “Ya,aku ada hutang dengan Allah yang belum lagi Dia hisab (tagih). Sungguh betapa celakanya aku jika Dia bertanyakannya. Betapa celakanya aku jika Dia menuntutnya, dan betapa celakanya aku jika tidak dapat berhujah.”

Harun berkata, “ Maksud aku ialah hutang dengan sesama manusia!”

Fudhail berkata, “ Sesungguhnya, Rabb-ku tidak pernah memerintahkan hal ini kepadaku. Rabb-ku hanya menyuruh untuk membenarkan semua janji-Nya dan mematuhi segala perintah-Nya.

“Sesungguhnya Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada Sekalian makhluk-Nya),(dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Amat Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.(Setelah ternyata hakikat yang demikian) maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim(yang menentang ajaran Nabi Muhammad)itu ada bahagiannya(dari azab seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka(kaum kafir yang telah lalu). Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaku menyegerakan kedatangannya. (Surah adz-Dzariyat, 51 : 58-59)

“Nah, ini wang 1000 Dinar. Ambillah ! Belanjakanlah dan manfaatkanlah untuk menguatkan dirimu dalam beribadat kepada Rabb-mu!” kata Harun kepada Fudhail.

“Maha Suci Allah, aku menunjukkanmu jalan menuju keselamatan, tetapi kamu membalasnya seperti ini. Semoga Allah menyelamat dan memberikan taufik kepadamu!” balas Fudhail. Kemudian, dia pun diam tanpa mahu bercakapapa-apa lagi. Oleh itu, kami pun beranjak dari hadapan Fudhail.

Namun, ketika kami menghampiri pintu, Harun berkata kepadaku, “Wahai orang Abbasi! Jika kamu ingin menemukan aku dengan seseorang lagi, pertemukanlah aku dengan orang seperti ini (Fudhail bin Iyadh). Orang ini adalah pemimpin kaum muslimin pada masa ini,” kata Harun ketika kami sudah hampir di pintu.

Seterusnya, Abu Umar (Fadhl bin Rabi’) berkata, “ketika kami sedang seperti itu, tiba-tiba salah seorang isteri Fudhail menghampirinya dan berkata, “Wahai fulan! Tahukah kamu,betapa miskin dan susahnya kita sekarang? Kalau kamu terima wang itu, dapatlah meringankan bebanan kita.” Fudhail berkata. “ Diumpamakan aku dengan semuanya, laksana suatu kaum yang mempunyai seekor keldai. Mereka makan dari hasil pencarian keldai itu. Namun, ketika keldai itu besar mereka sembelih dan memakan dagingnya.” Apabila Harun Ar-Rasyid mendengarnya, dia pun berkata “ Mari kita kembali kepada Fudhail, mudah-mudahan dia mahu menerima wang ini!”

Harun pun masuk dan ketika Fudhail mengetahui siapa yang masuk, dia pun keluar dan duduk diatas tanah di tingkat atas tepat di tepi pintu bilik. Lalu, Harun menghampirinya dan duduk bersebelahan Fudhail. Seterusnya, Harun mengajaknya bercakap, tetapi Fudhail sedikit pun tidak mahu membuka mulut dan bercakap dengannya.

Ketika kami berada dalam keadaan begitu, tiba-tiba seorang hamba perempuan berkulit hitam keluar lalu berkata, “Wahai fulan! Sejak malam tadi kamu telah menyakiti syaikh ini(Fudhail)!

Pergilah kamu, semoga Allah merahmatimu!”

Maka kami pun pergi.

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi serta banyak lagi tulisan buku-buku nasihat oleh para ulama salaf rahimahumullah.

-------------------

(1)Beliau ialah Abu Abbas Fadhl bin Rabi’ bin Yunus meninggal tahun 208 Hijrah.
(2)Hadis ini marfu dan mauquf darjatnya riwayat baihaqi tetapi mempunyai syawahid dari jalan riwayat yang lain dan maksudnya adalah sahih serta mempunyai jalan riwayat lain yang lebih sahih seperti dari hadis riwayat Bukhari, Nasaie dan Ibn Hibban.
(3)Hadis ini mursal dan masyhur dalam kitab-kitab tazkirah ulama salaf dan perkataan mereka terhadap larangan menipu rakyat dan mempunyai jalan riwayat yang sahih daripada Bukhari dan Muslim.

Thursday, May 19, 2011

Apakah panduan kita dalam menghukum seseorang ?




Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 8)

Ramai orang pada hari ini cukup mudah sekali melabel seseorang itu sebagai ahli bid’ah, perosak agama, khawarij dan bermacam lagi tuduhan demi tuduhan yang berat sedangkan sandarannya cumalah perkataan beberapa orang ulama atau ustaz yang tidak terselamat daripada kesilapan jua kesalahan.

Wajarkah begitu ?

Tindakan tersebut sangatlah tidak beretika, tidak berakhlak dan bahkan sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam apatah lagi mahu mendakwa ianya berasal daripada sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.

Sesat, Khawarij, Ahli Bid’ah ialah satu hukuman dan tuduhan yang berat

Mengatakan seseorang itu sebagai sesat, ahli bid’ah dan khawarij sudah merupakan bukan lagi sebuah kritikan yang membina dan membantu sesama Muslim tetapi telah menjadi sebuah permusuhan dan merupakan hukuman yang dijatuhkan dalam keadaan yang lalai, tidak berhati-hati serta belot terhadap syariah Islam sekiranya orang yang dituduh tidak dibicarakan secara adil, tidak diberi peluang membela diri dan diberi ruang untuk menegakkan hujahnya.

Imam Az-Zahabi diriwayatkan berkata : “Sejak dahulu lagi adalah perkara biasa jika terjadi perbezaan pendapat di kalangan para Imam dan ulama apabila sebahagian mereka membantah dan mengkritik sebahagian yang lain tetapi kita bukanlah termasuk di kalangan orang yang suka mencela para ulama dengan mengikut hawa nafsu dan kebodohan.” (Siyar Alam Nubala)

Apabila ada seseorang di kalangan kita yang berani menuduh seorang Muslim yang lain dengan tuduhan yang berat seperti sesat, ahli bid’ah dan sebagainya maka adalah WAJIB ke atasnya untuk mengemukakan hujah, bukti dan saksi di atas tuduhannya itu agar maruah dan hak seorang Muslim itu tetap terpelihara dan dijaga.

Allah swt berfirman : “Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Olah kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta.” (An-Nur : 13)

Sekalipun ayat di atas diturunkan berkenaan kes jenayah hudud seperti zina namun ianya juga bertujuan menjelaskan kepada manusia secara umum bahawa keperibadian seseorang muslim itu adalah terpelihara sehingga datangnya bukti (qarinah) yang boleh mencacatkan statusnya.

Apabila si penuduh gagal membawakan saksi yang boleh menjelaskan kesesatan orang yang dituduh, hujah dan bukti kukuh mengapa orang itu menjadi sesat, ahli bid’ah atau sebagainya seperti yang didakwa maka hendaklah dia bertaubat dan diberikan hukuman takzir oleh pihak yang berkuasa agar tidak lagi berani menimbulkan fitnah dan kerosakkan dalam masyarakat.

Ini kerana baginda rasulullah pernah bersabda : Sesiapa yang memanggil orang lain dengan “Kafir” atau “musuh Allah” sedangkan orang tersebut tidaklah begitu, maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya (orang yang menuduh)” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jangan mudah percaya berita buruk atau cerita yang mengaibkan seorang Muslim
Allah swt berpesan di dalam Al-Quran : “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat : 6)

Kita begitu mudah memburukkan seseorang, menuduhnya sebagai sesat, khawarij dan pelbagai lagi kata nista dan penghinaan kerana dia tidak bersependapat dengan kita atau apabila kita mendengar guru-guru agama tertentu pun turut memburukkan dan membid’ahkan tokoh dan orang tertentu.

Jangan begitu !

Allah swt berpesan : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.” (Al-Isra : 36)

Sedangkan kita tidak mengetahui banyak perkara tentang tokoh yang dibid’ahkan, kita pula tidak mengetahui latar belakangnya, tidak pula mengkaji penulisan dan ilmunya tetapi kerana guru kita menyesatkan orang itu maka kita juga turut menyesatkannya lalu bukankah itu sejenis taklid buta yang terlarang dan selalu ditentang oleh kita ?

Taklid kepada guru dalam menyesatkan seseorang ulama, tokoh dan Muslim

Berapa ramai di kalangan kita menyesatkan orang-orang yang lebih hebat, lebih alim dan lebih berpengetahuan daripada diri kita sendiri. Sekiranya tokoh-tokoh itu benar tersesat maka apakah pula status kita yang lebih bodoh, lebih jahil dan tidak pula menguasai ilmu dan sangat sedikit pengetahuan daripada mereka ?

Orang yang bodoh menyesatkan orang yang lebih alim bukankah sesuatu yang amat mustahil ?

Al-Imam Ibn Rejab Al-Hanbali ra juga pernah menyebut dalam kitabnya Al Farqu baina An Nasihat wa At Ta'yiir : “Seandainya tujuan seorang pengkritik itu ialah untuk menampakkan kekurangan orang yang dikritiknya, merendahkan tarafnya, menjelaskan kebodohan dan kekurangannya dalam hal ilmu dan yang seumpama dengannya maka hal itu adalah haram hukumnya. Baik dia mengkritik dihadapan orangnya itu atau pun melakukannya secara dibelakang, sama ada dibuat ketika dimasa hidupnya atau setelah orang yang dikritik itu telah pun meninggal dunia.

Perbuatan ini adalah termasuk dalam perkara yang dicela oleh Allah dan mendapat ancaman sebagai pengumpat lagi pembuat cela dalam kitab-Nya dan termasuk dia si pembuat itu sebagai orang yang disabdakan oleh Nabi salallahualaihiwasalam : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan belum beriman dengan hatinya, janganlah kalian menyakiti kaum muslimin dan janganlah pula kalian mencari-cari kekurangan dan kelemahan mereka, kerana sesungguhnya barangsiapa yang mencari-cari kekurangan-kekurangan orang lain maka kelak Allah akan membukakan kekurangan dirinya dan akan membiarkan orang lain pula mengetahui keaibannya, sekalipun di dalam rumahnya."(Lihat hadis ini dalam Sunan At-Tirmidzi)

Berhukumlah dengan hukum Allah

Apabila telah jelas dan zahir kerosakkan yang dilakukan oleh seseorang maka adalah wajib ditegakkan hukuman Allah kepadanya dan menjadi keperluan untuk mencegah kemudharatan yang diketahui akan berlaku. Ini kerana Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda, “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan tangannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah (mengingkari) dengan lisannya, jika tidak mampu hendaklah dia mengubah dengan hatinya, dan itulah keimanan yang paling lemah.”(hadis riwayat Muslim)

Kita tidak disuruh mencari kesalahan seseorang atau menyebut kesilapannya tetapi Islam mengajar kita untuk mencegah kemungkaran dengan hikmah dan mengikuti pertunjuk Allah dan mencari kemanfaatan daripada hukum syarak agar kebajikan umat Islam terpelihara. Di sinilah kita boleh mengambil pelajaran daripada kisah Abu Darda’ ra yang melihat orang ramai pada suatu hari sedang mengerumuni seorang lelaki sambil mencelanya dan memukulnya. Lalu bertanyalah Abu Darda’ ra tentang lelaki tersebut lalu dijawab bahawa si lelaki itu telah melakukan suatu dosa besar (tidak disebutkan dosa apa tetapi bukanlah yang melibatkan hudud)

Maka bertanyalah Abu Darda kepada orang ramai, jika lelaki ini terjatuh di dalam telaga maka apakah kamu akan mengeluarkannya ? Lalu dijawab dengan berkata sudah tentu kami akan membantu untuk menyelamatkannya. Maka segera dijawab oleh Abu Darda ra dengan berkata : “Jika begitu maka janganlah kami memaki dan memukulnya, sebaliknya tutuplah aibnya dan bimbinglah dia serta bersyukurlah kamu semua kerana telah dipelihara oleh Allah swt akan dosa seperti itu . Orang ramai pun bertanya kembali kepada Abu Darda, apakah beliau tidak membenci lelaki itu ? Maka dijawab oleh Abu Darda bahawa aku membenci perbuatannya tetapi jika dia bertaubat dan tidak melakukannya lagi maka dia adalah saudaraku !

Akhirnya Allah swt telah berfirman yang bermaksud : “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Kesimpulannya maka hendaklah kita semua bermuhasabah tentang apakah sandaran dan landasan kita dalam menghukum seseorang sebagai sesat, ahli bid’ah atau pun Khawarij dan sebagainya. Apakah neraca kita ialah pertimbangan akal yang waras dengan saksi dan hujah daripada Al-Quran dan As-sunnah ? Ataukah sekadar sentimen perasaan dan taklid buta kepada kenyataan dan fatwa-fatwa guru-guru kita di timur tengah atau di dalam Negara yang terdedah kepada salah faham, perbezaan pendapat dan merupakan perselisihan peribadi yang tidak layak menjadi hukuman yang memutuskan kesesatan atau kebenaran seseorang di hadapan Allah swt !




Wednesday, May 11, 2011

Bukan semua soalan wajib dijawab



Al-Quran datang kepada kita sebagai pertunjuk dan pembawa rahmat melalui ajaran-ajaran dan hikmah yang terkandung di dalam ayat-ayat yang dibacakan. Sebahagian ayat Al-Quran pula diturunkan oleh Allah swt sebagai menjawab pertanyaan dan persoalan yang ditimbulkan oleh manusia.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang gunung-gunung, maka katakanlah: "Tuhanku akan menghancurkannya (di hari kiamat) sehancur-hancurnya,” (Thaha : 105)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Dzulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepadamu cerita tantangnya." (Al-kahfi : 83)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: "Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Al-Isra : 85)

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah." Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.” (Al-Ahzab : 63)

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang didatangkan kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam sebagai menjawab persoalan demi persoalan yang ada di dalam kepala manusia. Walaubagaimanapun bukan semua persoalan itu dijawab oleh Allah swt dan tidak pula setiap soalan yang telah dijawab itu terus menjawab perkara yang ditanyakan. Seringkali setiap jawapan yang diberikan oleh Allah swt di dalam Al-Quran berupa sebuah pertanyaan pula dan ada kalanya persoalan itu dijawab dengan sebuah jawapan yang menjawab kepada persoalan yang lain tetapi berkaitan.

Pendek kata, bukan semua soalan wajib dijawab dan setiap jawapan itu pula tidak semestinya wajib menjawab apa yang dipersoalkan sebaliknya boleh jadi memberikan pula persoalan dan pertanyaan balas kepada pihak yang menyoal.

Kenapa begitu ?

Jawapannya ialah kerana Islam ialah agama hikmah dan rahmat kepada manusia. Matlamat Allah swt di dalam bertanya soalan kepada manusia bukanlah bertujuan untuk mendapatkan jawapan atau ilmu kerana Allah swt Maha Mengetahui tetapi soalan yang ditanyakan oleh Allah sebaliknya memberikan muhasabah, peringatan dan pengajaran kepada hamba-hamba-Nya.

Demikianlah pula setiap soalan yang ditanyakan oleh hamba-hamba kepada Allah swt tidak semuanya akan dijawab demi rahmat dan hikmah yang mendalam. Jika dijawab maka soalan itu pastilah soalan yang membawa kebaikan dan memberikan pengajaran dan jika tidak dijawab maka perbuatan yang sedemikian itu memberikan manfaat kepada hamba-hamba-Nya melalui diam-Nya agama pada hal yang tersebut.

Inilah yang dijelaskan oleh Allah swt pada ayat berikut :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Quran itu diturunkan, niscaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” (Al-Maidah : 101)

Begitu pula di dalam hadis baginda nabi salallahualaihiwassalam yang diriwayatkan bahawa baginda pernah bersabda : “Sesungguhnya keburukkan yang paling besar dapat dilakukan oleh seorang Muslim terhadap kaum Muslim yang lain ialah bertanyakan tentang sesuatu perkara yang belum diharamkan lalu menjadi haram hukumnya kerana pertanyaan oleh dirinya tersebut.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jenis-jenis soalan yang ditanya

Ramai orang selalu bertanya dan suka bertanya kerana ianya adalah fitrah manusia yang diciptakan oleh Allah swt dengan akal untuk mengetahui dan mempelajari sesuatu yang tidak diketahuinya. Tetapi soalan dan pertanyaan itu berbahagi kepada beberapa bahagian adanya dan mengikut jenis-jenis manusia yang suka bertanya atau kepada bentuk soalan yang ditanya.

Jika mahu dibahagikan kepada bentuk soalan yang sering ditanya oleh manusia maka kita dapat membahagikan soalan-soalan tersebut kepada tiga bahagian iaitu : Soalan yang berbentuk kejiwaan, soalan berbentuk keduniaan dan soalan berkaitan alam semesta dan persekitaran.

Manusia bertanya soalan-soalan berbentuk kejiwaan ialah apabila mereka berbicara soal ghaib, ketuhanan, agama dan perasaan serta mental dan emosi. Manakala persoalan keduniaan pula ialah apabila mereka berhadapan kesulitan dalam kehidupan, pekerjaan, pengajian dan segala yang berkaitan dengan perihal dunia dan fizikal. Seterusnya soalan ketiga iaitu persoalan alam sekitar dan semesta ialah persoalan yang manusia selalu fikir-fikirkan dan tanyakan jika mereka mempunyai kaitan dan hubungan dengan hal tersebut seperti banjir, gempa bumi, peredaran alam dan segala macam yang berlaku sehingga mengundang manusia mengkaji dan mencari jawapan bagi semua persoalan yang timbul dalam pemikiran akal manusia.

Walaubagaimanapun, jika kita melihat dalam aspek yang lain pula maka kita boleh memandang kepada sifat atau jenis manusia dalam bertanyakan sesuatu soalan dan itu lebih mudah bagi kita untuk mengambil pelajaran.

1.Pertanyaan demi mencari kebenaran

Pertanyaan seseorang yang mencari kebenaran dapat dilihat melalui usahanya dalam mencari jawapan dan kepada soalan yang diucapkan. Apa yang ingin diketahuinya ialah ikhlas, sesuatu yang sudah dia usahakan sekian lama tetapi tertutup makluman dan pengetahuan daripada dirinya dan dia ingin mengetahuinya.

2.Pertanyaan demi mencari kesalahan dan kesilapan

Ada juga orang yang bertanya demi mencari kesilapan dan kesalahan dirinya, orang lain atau sesuatu perkara yang ingin diketahuinya. Misalnya seseorang yang sudah lama membesar dan berada di dalam kesesatan bertanya tentang dirinya apakah kesilapannya, kesalahannya atau pada diri orang lain atau sesuatu yang dilihatnya.

3.Pertanyaan demi mencari keseronokkan atau mempersendakan

Pertanyaan sebegini dilakukan oleh mereka yang tidak serius, main-main dan bertujuan menyeronokkan diri mereka apabila mendengar jawapan daripada orang yang menjawab persoalan mereka. Mereka menanti dengan khusyuk dan bersedia untuk ketawa sebaik sahaja jawapan kepada soalan mereka disampaikan. Boleh jadi mereka ketawa kerana telah mengetahui jawapan tersebut, boleh jadi kerana tidak mempercayainya dan boleh jadi juga kerana sengaja mahu mempersendakan peribadi orang yang ditanya.

4.Pertanyaan demi menutup kebenaran, mengalihkan perhatian serta membela kesalahan dan menentang kebenaran

Ada orang yang melakukan kejahatan dan kesalahan lalu demi menutup kesalahan dan kejahatan tersebut maka dia segera mengaburi orang lain dengan seribu satu keraguan dan persoalan demi menutup mata dan perhatian orang terhadap kesalahan dirinya atau agar kebenaran tidak diterima sebaliknya diragu-ragui dengan persoalan dan pertanyaan yang ditimbulkan.

5. Pertanyaan yang berbentuk pujian

Pujian juga boleh datang dalam bentuk persoalan, misalnya seseorang berkata : “Siapakah yang lebih cantik dan jelita berbanding Farah ?” Ini bukanlah persoalan tetapi sesuatu kenyataan atau luahan perasaan yang dimuatkan dalam bentuk soalan sebagai pujian kepada seseorang.

6. Pertanyaan untuk memudahkan urusan dan kerana kemalasan usaha

Ada sesetengah orang bertanya kerana sifat malas untuk usaha dan malas untuk mencari jawapan dengan tenaga diri mereka sendiri sebaliknya mengharapkan orang lain untuk memberikan jawapan kepada persoalan yang dimiliki oleh mereka. Contohnya apakah maksud “criticise ” dalam bahasa Melayu tanya seorang budak sekolah darjah enam kepada cikgunya sedangkan kamus dewan bahasa English-Melayu ada ditangannya. Dia tahu jawapan ada di situ tetapi malas mahu membuka buku itu dan dirasakan jika ditanyakan kepada cikgu maka jawapannya adalah lebih cepat dan mudah.

Ramai sekali orang kita yang termasuk dalam kategori ini dan banyak pula soalan-soalan agama mahupun soalan-soalan biasa yang kedengaran adalah berlatar belakangkan konsep ini. Tentu kita pernah mendengar soalan apakah hukumnya orang yang sekian dan sekian, bolehkah saya itu dan ini…apa maksud bla-bla…sehingga pernah ada seorang pelajar agama di sebuah universiti yang meminta saya menjawab soalan bagi pihak dirinya akan soalan-soalan “assignment” yang diberikan oleh pensyarah kerana dia mengatakan sukar untuk mencari bahan rujukan atau jawapan bagi soalan-soalan tersebut dan ingin mengambil jalan mudah dengan bertanya terus kepada seorang ustaz !

7. Soalan dan pertanyaan yang melambangkan kesombongan dan bongkak

Sesetengah orang pula bertanyakan soalan kerana mahu menunjukkan kebesaran dirinya atau bertanya dengan rasa sombong dan bongkak setelah mengetahui bahawa tiada orang lain yang mnegetahui jawapan bagi soalan tersebut kecuali dirinya sendiri atau kerana beranggapankan bahawa jawapan yang akan dijawab nanti akan memuliakan atau membanggakan dirinya.

Contohnya seseorang yang paling kaya di sebuah kampung itu bertanya kepada orang ramai : Siapakah orang yang paling kaya di kampung ini ? Dia tahu bahawa dialah yang paling kaya tetapi sengaja soalan itu diucapkan demi kerana kesombongan dan kepuasan dirinya.

Panduan menjawab soalan

Jawablah soalan yang ditanyakan oleh manusia jika kita mampu untuk menjawabnya dan jika soalan itu pula berhak untuk dijawab. Sekiranya jawapan kita itu boleh memberikan kebaikan dan tidak mengundang keburukkan serta kerosakkan atau mendatangkan fitnah kepada manusia.

Kata kunci yang penting sebelum menjawab sesuatu soalan atau pertanyaan ialah anda harus mengenal pasti tiga perkara iaitu :

1. Mengenal pasti orang yang bertanya
2. Mengetahui tentang soalan yang ditanya
3. Memahami keadaan semasa dan sekitar ketika soalan itu ditanya

Dengan mengenal pasti orang yang bertanya maka anda akan terselamat daripada membuat kesilapan meletakkan sesuatu yang berharga ke dalam mulut musuh atau memberikan ruang kepada si pembuat fitnah. Kenal pasti dahulu orang yang bertanya kerana diriwayatkan Ibn Mas’ud ra pernah menyebutkan : “Tidaklah engkau berbicara terhadap sesuatu kaum dengan pembicaraan yang tidak mampu difahami oleh akal mereka, melainkan sebahagian daripada mereka akan tertimpa fitnah.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam riwayat yang lain Khalifah Ali bin Abi Tolib ra pernah menyebutkan : “Berbicaralah kepada manusia dengan apa-apa yang mampu mereka fahami, apakah kamu suka jika Allah dan Rasul-Nya akan didustakan?” (riwayat Bukhari)

Tahu dan kenal siapa yang bertanya seperti dari mana asalnya, apa tujuannya dan mengapa dia bertanya nescaya akan membantu anda dalam memberikan jawapan yang berguna dan bermanfaat.

Seterusnya mengetahui tentang soalan yang ditanya pula bukan sahaja berkait apakah jawapannya tetapi untuk apa soalan itu dikemukakan dan kepada siapakah soalan ini nanti akan bertemu dan berakhir ? Apakah soalan ini untuk si penanya ? Atau akan berakhir jawapan untuk soalan tersebut kepada seorang si buta di hujung kampung yang mengirimkan utusan buat menanyakan soalan ?

Lihatlah di dalam hadis betapa setiap soalan itu berbeza jawapannya untuk orang yang bertanya dan setiap soalan itu pula ada seni di dalam menjawabnya.

Seni itu fiqih

Ianya kefahaman mendalam yang datang melalui pengalaman dan kemahiran serta anugerah daripada tuhan.

“Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman, di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu, Maka Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) ; dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan Hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud dan kamilah yang melakukannya”. (Al-Anbiya : 78-79).

Keghairahan mahu menjawab soalan hendaklah diseimbangkan dengan ketaqwaan kerana lihatlah teladan daripada kaum salaf yang seringkali mengelak daripada menjawab sebarang persoalan yang dapat dielakkan.

Utbah ibn Muslim pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah berkawan dengan Ibn Umar ra (Abdullah Ibn Umar ra) selama tiga puluh empat bulan dan seringkali ketika beliau ditanya dengan sesuatu persolan maka djawab oleh beliau dengan berkata : “Aku tidak tahu”.

Demikian juga Ibn Abi Laila ra yang menyebutkan aku pernah melihat seratus dua puluh lebih para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam dari kalangan ansar yang apabila ditanyakan dengan sesuatu permasalahan agama maka dia menyerahkan kepada yang lain sehingga sahabat yang lain itu menyerahkan kepada yang lain sehinggalah seringkali persoalan itu kembali kepada sahabat yang pertama ditanyakan tadi.

Akhirnya dalam panduan menjawab soalan maka saya ingin berpesan bahawa hendaklah si penanya dan penjawab soalan memastikan bahawa sesuatu soalan itu dijawab dengan mengambil kira dan mempertimbangkan zaman dan keadaan serta maslahat dan persekitaran yang mungkin mempengaruhi atau dipengaruhi oleh soalan dan jawapan yang ditanyakan.

Misalnya seseorang bertanya tentang liwath, apakah yang dikehendaki daripada si penanya itu merujuk kes liwath seorang tokoh yang bernama Anwar Ibrahim ? Ataukah ianya berbentuk umum tanpa terikat dengan status dan keadaan semasa ?

Mempertimbangkan keadaan dan realiti semasa disebut sebagai fiqh waqi’ie yang amat penting difahami oleh pemberi fatwa atau tukang penjawab soalan-soalan agama.

Prof. Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebutkan berkenaan hal fiqh waqi’ dengan membawakan kata-kata Imam Ibn Qayyim rahimahullah dalam kitabnya I’lam Al-Muwaqi’ien bahawa seorang mufti atau hakim tidak akan dapat memberikan fatwa atau hukum yang tepat kecuali dengan dua bahagian daripada kefahaman dan salah satu daripada kefahaman yang diperlukan ialah memahami realiti dan fiqh yang terhasil daripada keadaan realiti semasa itu. ~

Kesimpulannya baik soalan mahupun jawapan ianya hendaklah dilakukan kerana Allah swt, demi mencari keredhaan-Nya dan dilakukan dalam keadaan yang bersungguh-sungguh dan agama ini bukanlah tempat untuk bersenda gurau dan bermain-main secara sia-sia.

Oleh itu bagi yang bertanya maka sabarlah dan carilah jawapannya dengan pertunjuk Allah dan bagi yang menjawab soalan yang ditanyakan maka sabarlah dan jawablah dengan penuh pertunjuk daripada Allah swt.

Jika ada yang bertanya tetapi masih belum mendapatkan jawapan daripada soalan yang ditanya mungkin anda harus kembali bertanya diri anda sendiri apakah soalan yang ditanyakan oleh anda itu termasuk di antara soalan-soalan yang tidak wajib dijawab ?

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

Friday, April 22, 2011

Sampaikanlah pada yang sudi menerima



Ramai beranggapan bahawa dakwah ini ialah satu perkara yang memaksa dan menekan. Barangkali jika ada yang tidak menerima seruan dan ajakan yang disampaikan maka dia (pendakwah) akan menangis kesedihan dan merasa kesusahan.

Ya, benar dia perlu melakukan muhasabah dan koreksi pembetulan cara dan isi dakwah yang telah disampaikan tetapi jangan sekali-kali memaksa diri ke jalan buntu dan berkeras pada hal yang sudah disediakan jalan dan panduan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau Dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau Dia tidak membersihkan diri (menjadi beriman).” (Abasa : 1-7)

Kadang-kadang kita berasa kecewa kerana yang mendengar seruan dakwah kita ialah orang buta, orang lemah seperti kanak-kanak manja yang sukakan ribena dan lelaki dewasa yang tiada pekerjaan tetap dan tidak mempunyai apa-apa jawatan dan kuasa. Tetapi itulah mereka yang dipandang mulia dan dikehendaki oleh Allah untuk kita sampaikan dakwah kepada-Nya.

Siapa sangka rupa-rupanya Allah mengutuskan kita adalah untuk mereka yang susah, fakir dan lemah tak berdaya bukannya kepada si kaya, gagah dan mereka yang sombong bergaya.

Sabda Rasulullah salallahualaihiwassalam : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang yang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ilmu adalah rezeki, dakwah dan hidayah juga adalah rezeki. Maka sedarkah kita bahawa rezeki-rezeki ini diberikan kerana adanya orang yang lemah di kalangan kita bukan kerana orang yang kuat dan gagah perkasa.

Sedangkan di sisi kita, kita mahukan lelaki-lelaki kaya, mak-mak datin yang suka menyumbang dan professor-professor serta pensyarah dan ahli politik berpangkat besar untuk tampil menyokong dan menaungi dakwah kita. Berkeras kita ceramah dan mengajar, berkejar kita ke tempat mereka menyampaikan isi kandungan Islam tetapi di sisi Allah amalan kita adalah sia-sia dan tidak memberi dosa jika kita tidak datang ke tempat mereka untuk mengajar sekalipun.

Sampaikanlah pada yang sudi, itulah maksud Allah swt.

Islam itu dicari dan didatangi. Demikian sifatnya agar ianya lebih dihargai dan dimuliakan.

Kata kuncinya ialah kehendak diri

Lihatlah firman Allah swt kepada Firaun yang bermaksud : “Pergilah kamu kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, dan katakanlah (kepada Fir'aun): "Adakah kamu berkeinginan untuk membersihkan diri (dari kesesatan). Dan kamu akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar supaya kamu takut kepada-Nya? Lalu Musa memperlihatkan kepadanya mukjizat yang besar, Tetapi Fir´aun mendustakan dan mendurhakai. (An-Naazi’aat : 17-21)

Keinginan dan kehendak seseorang itu adalah kunci kepada hidayah dan pertunjuk daripada Allah swt dan kunci utama kepada dakwah dan seruan agama. Kalau hendak maka akan ada seribu daya tetapi jika tidak hendak maka lemahlah jiwa dengan seribu dalil dan alasan yang akan digunakan.

Kuasa kehendak dan keinginan

Daripada Ibn Abbas ra, bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah swt menulis kebaikan dan kejahatan dan menjelaskannya dengan berkata : “Barangsiapa yang berhasrat (berkehendak) untuk melakukan sesuatu amalan kebaikan tetapi belum melakukannya maka ditulis oleh Allah sebagai telah melakukan satu kebaikan yang sempurna di sisinya. Dan jika dia berkehendak melakukannya dan kemudian melaksanakan pula kehendaknya itu maka Allah menulis baginya 10 kebaikan dengan digandakan tujuh ratus kali ganda dan sehingga kepada berkali-kali ganda. (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Musa alaihissalam walaupun seorang Rasul dan mempunyai mukjizat tetapi baginda hanya mampu memimpin dan mengajar Firaun jika lelaki itu mempunyai kehendak dan keinginan untuk menyucikan jiwanya.

Jika tidak maka tiada gunanya.

Kerana itulah tindakan Abdullah bin Ummi Makhtum yang datang mengunjungi Nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam di saat-saat baginda sedang sibuk menerangkan tentang Islam kepada pembesar-pembesar Quraisy telah dipuji oleh Allah swt.
Apa ada pada kuasa kerana Allah yang memiliki kuasa.

Apa ada pada kekayaan kerana Allah yang memiliki kekayaan

Yang Allah mahukan dari hamba-hamba-Nya ialah kehendak dan kesungguhan…

Kerana itu kita melihat dalam sejarah Islam para sahabat semuanya beriman dengan penuh kesedaran dan kesungguhan untuk mencari kebenaran dan nilai erti sebuah kehidupan.

Betapa banyak peluang yang kita selalu abaikan, potensi besar yang selalu kita lalai untuk memberi perhatian lantaran asyik terkenang kemasyhuran dan kegemilangan pujian dan kata-kata sokongan. Seorang pendakwah yang ditolak kata-katanya di kota tidak harus berputus asa. Boleh jadi dakwahnya adalah untuk penduduk kampung atau rumah-rumah setinggan yang masih sudi mendengar kuliahnya.

Jika diluar sudah tidak mahu menerima maka boleh jadi dakwah dan ilmunya ialah untuk mereka yang berada di dalam rumahnya. Positiflah dan janganlah terlalu jumud dan terikat dengan pandangan-pandangan manusia yang selalu menyesatkan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang berada di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Al-An’am : 116)

Ikutilah sunnah nabi dalam berdakwah, apabila seruan baginda sudah ditolak di dalam Mekah maka baginda pun segera keluar menuju ke Thaif untuk menyampaikan Islam di sana. Ramai yang dijumpai oleh rasulullah dan mereka semua diseru kepada agama yang lurus. Namun tidak seorang pun dari pemimpin bani Tsaqif (kabilah di Tha’if) yang memeluk Islam bahkan baginda dibaling dengan batu sehingga luka berdarah.

Ketika Malaikat bertanya nabi apakah mahu membalas perbuatan penduduk Tha’if tersebut ? Maka jawab baginda : “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka keturunan yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak disekutukanNya dengan apa-apa pun.” (Riwayat Bukhari)

Jadi rugilah penduduk Mekah dan penduduk kota Tha’if yang terlepas peluang mendapat hidayah di tangan rasulullah dan mendapat kemuliaan Islam sebagai kota hidayah dan pertunjuk yang diredhai Allah. Sebaliknya dakwah baginda nabi salallahualaihiwassalam kemudian diterima oleh penduduk Yatsrib dan jadilah mereka sebagai penduduk kota yang bercahaya dan diberkati oleh Allah swt dengan kedatangan Islam dan kedatangan rasulullah salallahualaihiwassalam yang memilih Madinah (Kota Yatsrib) sebagai tempat tinggal kekal baginda sehinggalah wafat.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Luqman : 5)


P/s :

Ditujukan buat mereka yang berada dalam kesedihan kerana dakwah dan seruannya tidak bersambut dan dialu-alukan.

Sunday, April 17, 2011

Panduan dan Tips membeli buku-buku agama


Saya pernah ditanya oleh beberapa orang ikhwah mengenai panduan dan tips untuk membeli buku-buku agama atau kitab maka di sini saya ingin berkongsi sekadar mampu apakah perkara yang sewajarnya perlu diperhatikan oleh kita semua apabila hendak membeli buku-buku khasnya berkenaan isu agama.

1.Matlamat dan tujuan pembelian

Ramai orang membeli buku atau kitab-kitab agama tanpa tujuan atau tidak mengikut keperluan yang bersesuaian dengan dirinya lalu kitab-kitab itu pun akan tersadai di rumah atau menjadi bahan makanan anai-anai setelah sekian lama terperap di dalam rak atau almari.

Jangan begitu !


Sebaliknya anda harus terlebih dahulu memiliki matlamat atau tujuan yang jelas sebelum membeli buku. Tidak salah jika anda seorang ustaz atau guru agama yang kebetulan berjalan di kedai-kedai buku atau berkunjung ke pesta buku yang diadakan di mana-mana lalu tertarik kepada buku yang dijual dan ingin membelinya secara langsung.


Tidak salah apabila anda mengetahui dengan pasti bahawa anda memang memerlukannya. Buku memanglah bukan bahan makanan yang ada tarikh luputnya tetapi selain dapat mengelak daripada kerugian, berfikir sebelum beli dapat membuatkan anda terselamat daripada penyesalan kerana terpaksa membeli dua atau tiga buah buku yang mempunyai tajuk yang serupa kerana faktor kualiti, kelemahan percetakan dan pelbagai lagi sebab-sebab yang boleh berlaku jika tidak berhati-hati.


2.Belilah buku mengikut keperluan


Ilmu dalam Islam ada tangganya yang perlu di daki. Seseorang itu tidak boleh menjadi alim sebelum belajar dan begitu juga seseorang itu tidak sesuai mempelajari bidang hadis sebelum menguasai ilmu bahasa arab. Oleh itu jika ke kedai buku, belilah buku-buku yang sesuai dibaca untuk anda dan keluarga. Buku asas-asas agama, buku panduan keluarga, buku asas ilmu hadis dan bahasa atau buku-buku pengetahuan am Islam yang membantu anda mendekatkan diri kepada Allah swt.


Jauhilah membeli buku-buku kritis dan sensasi semata-mata kerana ianya popular dan hangat diperbahaskan. Sebuah kaedah fiqh ada menyebut bahawa “Barangsiapa yang ingin mendapatkan sesuatu sebelum tiba masanya maka dia akan dilarang daripada memiliki apa yang dimahukannya itu.”


Nasihat saya belilah buku mengikut kemampuan ilmu dan tahap kebolehan anda sebelum terjebak dalam jenayah ilmu dan perangkap syaitan yang merbahaya. Ilmu boleh menjadi racun apabila ianya tidak ditapis oleh neraca kebijaksanaan dan kemahiran. Pelajarilah ilmu daripada para ulama dan berguru sekalipun tidak salah menuntut ilmu daripada buku.


Buku adalah catitan fakta atau boleh sahaja menjadi bahan pemutar belit cerita. Pembaca akan terdedah kepada ilmu yang berada di dalamnya atau kedustaan dan kepalsuan yang tercatat bersama dengannya. Menapis ilmu dan informasi itulah yang sukar jika tiada guru dan rujukan yang mampu memandu dan menyuluh jalan.


3. Ilmu itu bertambah dengan bertahap


Tidak salah membeli buku-buku baru yang berguna untuk membuka minda dan mata serta menambah ilmu baru dan pengetahuan sekeluarga. Tetapi biarlah ianya bertahap dan tidak terus secara langsung mengugat jiwa dan minda tanpa persediaan mental dan emosi yang kukuh untuk menelan segala isi dan menghadamkan isu perbincangan secara bijaksana dan teliti. Belilah buku-buku secara bertahap seperti mana proses ilmu itu juga berjalan secara bertahap.


Mula-mula beli buku-buku asas hadis dan pengenalan, setelah terbiasa dan mula memahami isunya barulah melompat ke lebih tinggi mempelajari berkenaan isu-isu dan ilmu mustolahah hadis dan membaca kitab-kitab hadis yang asas. Jangan terus melompat membaca Kitab Fathul Bari atau sahihnya iaitu Jami As-Sahih (Sahih bukhari) sedangkan susunan hadis-hadis ringkas oleh Imam Nawawi seperti hadis empat puluh dan kitab Riyadus Solihin pun belum mampu anda habiskan.


4. Bertanya ustaz atau orang yang lebih tahu tentang buku


Tidak semua buku dan isinya sama sekalipun tajuk di muka hadapan seakan-akan sama atau sememangnya sama. Diolah dan digubah oleh sang penulis maka isinya pasti akan berbeza. Sifat solat nabi misalnya sekalipun tajuk seolah-olah sama semuanya tetapi kini sudah berbagai-bagai versi dan jenis buku bercerita tentang solat mengikut nabi. Ada dalil hadis semuanya, ditahqiq semuanya tetapi kenapa berlainan fakta dan versi ?


Itulah yang dinamakan buku ialah catitan ilmu dan informasi. Ianya sebuah hidangan yang dimasak oleh sang penulis dengan ramuan dan resepi masing-masing. Bertindak bijaklah dengan mengambil menu yang bersesuaian dengan kemampuan, keperluan dan yang mampu memberi lebih banyak kemanfaatan. Tanyalah orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu.


5. Mengenal pengarang dan penulisnya


Buku adalah hasil tulisan seseorang yang dikenali sebagai penulis, penyusun atau penterjemah. Dikatakan penulis apabila dia yang menulis buku tersebut secara sendiri atau dituliskan bagi pihak dirinya dengan ilmu dan informasi yang berasal daripada dirinya sendiri. Dialah sumber ilmu yang terkandung dalam buku tersebut.


Maka mengenali siapakah sumber ilmu kita dan apakah pegangannya, manhajnya dan mengenali latar belakangnya membantu kita memahami sedikit sebanyak method atau cara penulisan serta idea dan informasi yang disampaikan di dalam bukunya.


Penyusun ialah orang yang tidak menulis bahan-bahan asal tetapi bertindak sebagai tukang susun dan atur dengan mengambil pelbagai sumber-sumber asas dan asal yang sedia ada atau sudah ditulis oleh orang lain lalu menyusunnya ke dalam sebuah buku baru dan memberi tajuk baru atau meringkaskannya kepada topik tertentu yang dikehendakinya sahaja.


Manakala penterjemah ialah seorang tukang terjemah daripada bahasa asal buku itu seperti kitab arab dari bahasa arab kepada bahasa Melayu dengan memberikan penjelasan dan makna-makna tambahan agar pembaca dapat memahami tajuk yang disampaikan oleh pengarang asal.


Mengenali penulis (pengarang), penyusun serta penterjemah adalah penting dan memilih buku juga bergantung kepada pemilihan mereka bertiga di atas kerana sudah pasti kelemahan dan kredebiliti seseorang itu mempengaruhi kekukuhan fakta dan ketepatan ilmu dan isi di dalam buku yang dihasilkan. Ilmu itu ialah agama maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama !


6. Tahqiq, syarah dan taklid


Belilah buku yang mempunyai edisi tahqiq (penyemakan) terhadap dalil-dalil yang ada di dalamnya jika ianya sebuah buku asas dan ringkas tentang ilmu agama. Tahqiq bermaksud kajian dan semakan terhadap isi-isi kitab agar tiada kesalahan dan melakukan sebarang pembetulan. Biasanya tahqiq diperlukan pada menilai dalil-dalil dalam sesuatu buku apakah hadis-hadisnya sahih, lemah dan boleh dibuat hujah atau sebaliknya.


Manakala bagi buku-buku berat dan besar yang mengandungi perkara pokok ajaran Islam, isu halal dan haram serta melibatkan hukum-hukum penting adalah diwajibkan kepada mereka yang mampu untuk mendapatkan buku-buku tersebut dalam bentuk telah siap di syarahkan oleh para ulama. Syarah bermaksud “menerangkan atau menjelaskan maksudnya yang tersirat dan tersurat.” Kitab hadis Sahih Bukhari misalnya, sahih Muslim dan lain-lain yang seumpama dengannya adalah memerlukan kepada syarahan oleh para ulama di dalam memahami isi kandungannya.


Belilah buku-buku agama yang penting dan induk sebagai rujukan dengan disertakan oleh syarahan daripada pelbagai ulama Islam yang berkaliber dan berpengalaman luas moga-moga ianya membantu kita memahami isi-isi kitab dengan jelas.


Taklid berlaku apabila kita sebagai pembaca menerima bulat-bulat tidak hanya isi kandungan buku yang ditulis oleh penulisnya. Tetapi menerima tahqiq kepada dalil-dalil di dalamnya (seperti hadis di dalam buku itu sahih atau tidak) semuanya kita taklid sahaja semata-mata tanpa mengetahui pun apakah semakan dan status dalil-dalil di dalamnya benar-benar seperti yang didakwa ?


Taklid bermaksud memasang ikatan di tengkuk yang bermakna kita mengikut pendapat seseorang tanpa ilmu dan hujah. Itulah level dan peringkat orang awam seperti kita yang membaca buku-buku agama dalam keadaan tiada kemampuan untuk memeriksa status dalilnya, kaedah penulisannya dan menyemak pula apakah sumber rujukan dan dasar-dasar penulisannya. Syarahan sesebuah buku atau kitab oleh para ulama pun boleh jadi dibuat mengikut kefahaman atau mengikut aliran pendapat yang dipegang oleh seseorang ulama.


Sebuah kitab yang satu boleh memiliki pelbagai versi syarahan yang saling berbeza antara satu sama lain kerana orang (ulama) yang mensyarahkannya ialah berlainan pendapat , mazhab atau berbeza gaya dan cara mereka. Itu belum lagi kerana faktor tahap keilmuan yang berbeza !


Pengajarannya ialah janganlah tunjuk alim atau mendakwa sudah mengetahui banyak benda jika kita hanya mendapatkan ilmu dan informasi tersebut hanya dengan buku atau dari sekadar membaca.


7. Pilih percetakan yang tidak mengawal kualiti dan kebebasan isi penulisan


Ada sesetengah syarikat percetakan melakukan beberapa kesalahan dan jenayah ilmu apabila bertindak melakukan edit atau ubahsuai buku dan isi kandungannya tanpa melalui cara dan proses yang betul sehingga menghilangkan keaslian ilmu dan naskah penulisan atau mengubah fakta dan pendirian seseorang penulis yang telah menyebut pendapat dan fatwanya di dalam buku atau kitab yang dicetak.


Kalau nama tajuk buku sesebuah kitab terjemahan pun sudah diubahsuai demi menarik minat pembaca dan pembeli sekalipun perbuatan tersebut sangat-sangatlah tidak beretika masakan isi kandungan dalamannya tidak mampu diubah suai mengikut citarasa dan hajat pembaca ?


8. Bacalah buku yang dibeli dan jangan membuang masa membeli buku baru sehingga selesai membaca buku yang lama


Tiada nasihat yang sesuai untuk saya sampaikan kecuali menaqalkan sebuah kisah berdasarkan hadis Ibnu Mas’ud ra : “Sesungguhnya para sahabat ra jika belajar 10 ayat dari Al-Quran, maka tidaklah mereka meneruskan dengan ayat yang lainnya melainkan mereka terlebih dahulu telah mengetahui maknanya dan beramal dengannya.” (Sila lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir Jilid 1, ms. 15,).


Baca dan amalkanlah terlebih dahulu ilmu yang sudah ada sebelum menambah dan membaca buku tentang ilmu yang baru. Pengetahuan ialah bebanan dan ianya akan dipersoalkan sejauh manakah anda telah beramal dan menyampaikannya.


Wallahu’alam

Tuesday, April 12, 2011

Salam Revolusi buat Rakyat Malaysia



Sekadar pandangan,

Manusia apabila tiada agama maka yang menyelamatkan mereka buat sementara ialah nilai kemanusiaan...nama lainnya ialah fitrah...tanpanya habislah mereka dibaham oleh sifat kebinatangan...

Keadilan dan kemanusiaan itulah yang menyelamatkan mereka...

Kerana itu apabila datangnya agama maka berbondong-bondong orang-orang yang ada "nilai" ini memeluk Islam...kerana mereka mendapati Islam membawa nilai kemanusiaan dan keadilan...kata lain ialah memenuhi fitrah.

Ini membuktikan bahawa sebelum Islam lagi mereka sudah mampu menilai dan diberikan sedikit bekal buat mengukur kebenaran...fitrah..kerana itu mereka mampu melihat keadilan dan ketinggian nilai Islam.

Malangnya, kita pula memiliki agama melalui kelahiran...dalam keadaan kita sendiri masih belum terlepas dari belenggu kebinatangan...fitrah asli...kemanusiaan dan keadilan yang asasi itu pun belum diasuh lantaran kita memandangnya sebagai tiada keperluan...Konon Al-Quran dan As-sunnah sudah mencukupi...

Ya, cukup ! Tapi untuk manusia yang sudah punya fitrah dan "nilai" keadilan dan kemanusiaan untuk membuat pertimbangan !!

Tapi kita ?? Masih bertaraf binatang dan haiwan sekalipun membaca Al-Quran dan mensyarahkan hadis rasul junjungan~

Apa jadi apabila binatang beroleh hujah dan senjata ??

Yang kuat berkuasa dan yang lemah terus tertindas....

Al-Quran dan As-sunnah itu adalah cahaya...perbaiki dahulu cermin diri-Mu (jiwa kita) agar kamu mampu untuk memancarkan cahaya itu...kerana cermin yang kotor tidak akan bermanfaat walau cahaya yang menyinarinya begitu terang memancar !!

~Emran Ahmad ~
Cetuskan revolusi kemanusiaan sebelum revolusi keagamaan

Tuesday, March 22, 2011

Wanita Melayu Menjadikan Allah sebagai Jin Lampu


Apabila Allah memerintahkan wanita Islam supaya menutup aurat maka mereka pun menjawab kembali dengan mengatakan perasaan saya belum bersedia untuk menerimanya. Apabila sudah bertudung dan memakai tutup kepala maka wanita diarahkan pula untuk melabuhkan pakaian mereka dan menutup tudung sehingga menutupi dada maka mereka pun akan berkata lagi ini sesuatu yang menyusahkan dan perasaan saya semakin rasa tidak selesa dan tidak tenteram kenapa harus wanita yang menutup badan bukannya lelaki yang menundukkan pandangan ?

Takala Islam datang membawa hukum keharusan poligami kepada lelaki maka mereka pun melenting dan berkata ini bukanlah sebuah keadilan tetapi sebenarnya kejahatan daripada tuhan dan agama yang mahu menindas golongan wanita. Lelaki tidak wajar dan tidak boleh berpoligami ! Biarkan tuhan mengizinkan tetapi saya sama sekali tidak bersedia untuk suami berpoligami.

Kata-kata mereka yang selalunya dijadikan hujah ialah jika tuhan itu sendiri tidak suka diduakan maka kenapakah wanita-wanita ciptaan tuhan pula mahu diduakan sedangkan kami adalah wanita-wanita yang baik ? Demikianlah ujar mereka yang perasan dirinya sedang disayangi tuhan.

Melihatkan kaum lelaki memonopoli urusan agama maka mereka juga mahu ke depan dan mengambil peranan sebagai hakim dalam urusan syariah. Ketika melihat al-quran dan hadis ditafsirkan dan diajar oleh kaum lelaki maka mereka juga tidak berpuas hati dan mahukan kedudukan yang sama untuk boleh mentafsir al-quran dan hadis demi memastikan tiada kezaliman yang akan dilakukan ke atas diri mereka.

Maka ditafsirlah agama dan disyarahkanlah al-quran dan hadis mengikut kesesuaian mereka dan diterima mana-mana yang tidak menyalahi perasaan dan hawa nafsu mereka sedangkan yang dianggap menindas dan sukar diterima oleh perasaan maka akan tertolaklah ia.

Kita melihat golongan wanita sekarang dan kita merasa kasihan.

Kasihan kerana mereka sedang disesatkan oleh perasaan, hidup dalam keadaan perasan dan setiap hari meneruskan kehidupan demi memenuhi perasaan mereka terhadap sesuatu. Makan dan minum kerana perasaan, berkahwin kerana perasaan dan segala-galanya dilakukan dengan mengikut kehendak perasaan.

Allah swt sebagai Jin Lampu (Khadam kepada kaum wanita)

Di sisi wanita-wanita yang mempertuhankan hawa nafsu dan diri mereka sendiri ini kedudukan Allah swt disamping mereka tidak lebih dari sekadar Teddy Bear yang comel dan diseru serta dipeluk di saat kesunyian, kesedihan dan sebagai teman gomol ketika tidur buat menemani diri mereka dan buat mengadu kesusahan. Manakala di saat kegembiraan, ketika dating dengan "boyfriend" dan sewaktu teman lelaki ajak ke kedai makan maka Allah swt akan dilupakan. Sewaktu dalam dakapan kekasih hati dan lelaki yang dicintai maka soal halal haram akan dihilangkan daripada ingatan.

Seumur hidup mereka bermula daripada soal aqidah (mengenal Allah swt) dan mengenali rasul-Nya tidaklah diambil peduli atau diambil kisah seperti mana mereka mengenali dan mengambil pusing berkenaan artis-artis barat dan pujaan hati. Ibadah mereka sangat caca merba dengan alasan datang bulan sambil bermusim-musim lamanya tidak menunaikan solat dan penuh dengan kelompongan dan kejahilan apabila makna bacaan dalam solat langsung tidak dihiraukan.

Pun begitu mereka akan mengaku sebagai beragama dan sangat cintakan tuhan. Buktinya adalah melalui ucapan dan kad-kad cinta serta nasyid-nasyid yang mengembirakan serta bacaan doa-doa yang dibaca agar Allah swt menjaga mereka agar selama mereka keluar dari rumah dengan tanpa mahram, keluar ke panggung wayang dan berdating dengan pakwe atau kekasih mereka maka mereka akan dipelihara oleh Allah swt.

Bukanlah Allah itu jin lampu yang boleh diseru untuk menunaikan segala hasrat mereka ? apabila ada keperluan maka akan digosok-gosoklah Al-Quran dan dibacalah ia dengan air mata bercucuran kerana telah bercerai, ditinggalkan atau ditipu kekasih hati. Datanglah Allah sekonyong-konyong dan bertanya mereka apakah hasrat kamu ?

Maka mereka pun akan memintalah kepada Allah itu ini...begini dan begitu...lalu berkata : "Thank you Allah.." kalau ada- apa lagi nanti i call you again...i love you...you have been so nice to me...i love you Allah...dengan wajah ceria, senyuman gembira kerana Allah telah memakbulkan hasrat mereka.

Hakikatnya mereka lebih mengasihi pakwe, suami dan kekasih mereka melebihi Allah swt, mereka mensyirikkan-Nya setiap masa tetapi itu tidak mengapa yang penting perasaan mereka terjaga.

Bukankah Islam ini datang untuk menjaga perasaan mereka ? Bukankah Allah itu teddy bear mereka ? Bukankah nabi salallahualaihiwassalam itu adalah rasul yang datang membawakan Islam sebagai motivasi kepada mereka agar dapat berjaya dalam peperiksaan, agar anak-anak mereka taat kepada mereka dan agar suami-suami mengasihi mereka ?

apa yang penting dalam hidup ini ialah diri mereka....perasaan mereka itulah lebih penting daripada bumi dan langit....

Kerana mereka adalah tuhan...

Perasaan itu sebenarnya adalah nafsu yang membawa mereka kepada kehancuran. Syaitan yang sedang menunggang hawa nafsu dan perasaan mereka kepada kesesatan dan mengikut jalan-jalan yang membawa kepada kegelapan.

Islam melarang mengikuti nafsu tanpa batasan

Ramai wanita tidak menyedari bahawa sebenarnya apa yang dianggap sebagai perasaannya itu hakikatnya adalah nafsu. Perasaan cinta itu adalah nafsu, perasaan sayang itu adalah nafsu dan perasaan suka dan berkehendak itu juga adalah nafsu. Nafsu ini boleh membawa kepada kerosakkan dan kehancuran jika tidak dapat dikawal oleh keimanan.

Allah swt berfirman yang bermaksud : “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.” (Yusof : 53)

Manakala dalam ayat yang lain Allah swt berpesan yang bermaksud : “Janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Shaad : 26)

Perasaan manusia itu terbahagi kepada dua, satu ialah bahagian yang fitrah yang menyeru kepada kebaikan dan hati nuraini serta naluri yang menuju kepada kebaikan manakala satu lagi bahagian ialah ruangan syaitan dan pintu masuk kepada kejahatan serta menjadi ruang serta alat untuk digunakan oleh Iblis dan syaitan. Perasaan yang kedua dikenali sebagai emosi dan rasa-rasa di hati yang didalangi oleh kehendak dan kecintaan kepada sesuatu. atau emosi yang terzahir melalui hasil pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara atau sebagai tindak balas terhadap kejadian yang menimpa dirinya.

Bagi perasaan dalam bahagian pertama maka ianya tidak salah dan Islam menitik beratkan persoalan hati dan perasaan manusia. Ini kerana dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat Allah yang mengajarkan hamba-hamba-Nya untuk menjaga hati dan perasaan manusia lain.

Firman Allah swt yang bermaksud :“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima) maka mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah : 262)

Manakala dalam ayat yang seterusnya Allah swt berfirman yang bermaksud : “Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al-baqarah : 263)

Berdasarkan ayat di atas, menjaga hati dan perasaan manusia sememangnya merupakan salah satu daripada suruhan agama. Begitu juga dengan perintah supaya tidak bercakap kasar, menghormati orang tua dan tidak meninggikan suara di hadapan mereka serta lain-lain hal yang berkait bab akhlak dan adab yang diajarkan di dalam Islam semuanya adalah bertujuan untuk menjaga hati dan perasaan manusia kerana Allah swt memuliakan orang-orang yang berakhlak yang pandai memelihara hubungan baik dengan Allah dan hubungan baik dengan sesama manusia dan makhluk-makhluk-Nya.

Daripada Ibn Mas’ud ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : ““Apabila kamu bertiga , maka janganlah dua orang berbisik-bisik tanpa disertai oleh yang seorang lagi , kecuali kamu berada dengan orang ramai , kerana perbuatan tersebut akan menyakitinya (orang ketiga tadi).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaubagaimanapun, disebalik segala suruhan supaya menjaga hati dan perasaan manusia kerana ianya merupakan perintah agama maka Allah swt juga memerintahkan manusia supaya tidak mengikut hawa nafsu dan perasaan sehingga melampaui batasan dan menjadikan ianya kiblat ikutan dalam kehidupan.

Ini ialah bahagian kedua perasaan manusia yang menjadi bahan dan alat tunggangan syaitan dalam menyesatkan kaum wanita serta anak adam.

Wanita Melayu mem”Pertuhan”kan Perasaan

Situasi umat Islam sekarang semakin parah dan berada dalam keadaan yang sangat tenat apabila kaum wanita mereka telah pun dikuasai oleh kejahilan dan hawa nafsu yang bernama perasaan.

Melalui perasaan sesuatu hukum agama boleh diterima atau ditolak secara mentah-mentah dan dengan perasaan seseorang wanita boleh mentafsirkan al-quran dan as-sunnah sekalipun tidak boleh berbahasa arab dan jahil tentang hokum hakamnya. Apa yang penting ialah memuaskan hati dan perasaannya.

Mereka beragama juga demi kerana menghilangkan rasa bersalah dan kerana mahu menjaga kestabilan perasaannya. Agama mampu menjaga perasaan dan merasakan diri mereka sedang dalam keadaan dirahmati dan dilindungi oleh tuhan. Perasaan demi perasaan kaum wanita menjadi panduan dalam kehidupan apabila segala-galanya bermula daripada soal jodoh, makanan, pekerjaan dan kehidupannya adalah ditentukan oleh perasaan dan bukanlah lagi Al-Quran dan As-sunnah mahupun Allah selaku tuhan.

Di dalam sebuah forum wanita yang dianjurkan oleh sebuah persatuan wanita maka berbicaralah orang-orang di dalamnya berkenaan hal-ehwal kaum wanita. Segala isu dan cerita yang terkeluar adalah tidak menyalahi lima perkara iaitu : tentang isu yang menyentuh perasaan, apa perasaan kita, kenapa kita berperasaan seperti itu, penegasan bahawa perasaan perlu dijaga, perkongsian perasaan antara satu sama lain.


Sikap mereka ini jelas menunjukkan bahawa mereka telah kufur kepada tuhan dan mempertuhankan perasaan dan hawa nafsu mereka dengan menjadikan ianya bukan sahaja sebagai Rabb sembahan, Illah dan ikutan sebaliknya menjadikan perasaan mereka sebagai berhala-berhala yang disembah setiap masa dan ketika.

Tanyakanlah mereka kenapakah kamu bersolat ?

Mereka akan menjawab kerana solat itu dapat membuatkan hati menjadi tenteram dan perasaan saya menjadi tenang. Kasihan mereka yang sudah terkeliru dalam sembahan apabila menyangka bahawa kehidupan mereka itu sebenarnya untuk memenuhi perasaan mereka sendiri bukannya untuk mengabdikan diri kepada tuhan di waktu senang dan di waktu sempit.

Kasihan dengan generasi masa depan kerana mereka sama sekali tidak akan bertemu dengan zaman kegemilangan. Masakan umat boleh gemilang jika wanitanya masih tenggelam dalam khayalan perasaan.