Friday, May 28, 2010

Ustaz Emran di Malaysia Hari Ini (MHI) TV3


****Notis Perubahan***

Tak mengapalah, ianya cuma temuramah, yang penting anda boleh mendapatkan buku ini di pasaran sebagai mendapatkan manfaat berkenaan panduan rumahtangga Islam.

InsyaAllah, jika diperkenan Allah SWT maka dapatlah program ini berjalan lancar. Sama-samalah kita berdoa moga segala usaha ini diberkati Allah dan diterima sebagai amalan soleh.

Realiti dan fatamorgana, bagaimana Anda membezakannya ?


Allah menyebut di dalam Al-Quran berkenaan hidup dan mati itu hanyalah sebagai ujian kepada manusia.

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 1-2)

Menurut Al-Quran, kehidupan kita ini hanyalah fatamorgana, tiada apa yang realiti melainkan tipudaya belaka. Ini disebabkan di dalam kehidupan kita ini, bumi dan langit semuanya sudah diaturkan oleh Allah SWT, sudah disediakan dengan segala kemudahan dan kita diberikan pilihan.

Allah SWT memerhatikan kita, malaikat yang merupakan suruhan-Nya mengawasi dan mencatat segala amalan kita.

Kita menyangka sakit, sedih, sengsara,marah, kecewa, cinta dan gembira itu realiti kerana tubuh dan jasad kita menikmatinya.

Kita menyangka polis, tentera, kerajaan itu kuat dan berkuasa mengatur sistem pentadbiran manusia kerana kita merasai tekanan daripada mereka.

Kita menyangka manusia, doktor, guru, ibubapa inilah yang menolong kita, membuatkan kita berjaya dan memberi manfaat dan kebaikan kepada kita.

Tiada apa yang realiti di dalam dunia ini.

Definisi realiti pada diri kita adalah terlalu simple dan mudah.

Kita beranggapan realitinya sesuatu itu pada kita hanyalah disebabkan oleh apa yang diprogramkan oleh otak kita, apa yang didengari oleh telinga kita dan apa yang dilihat oleh mata kita.

Mata kita tidak ubah hanya sekadar kamera yang merakam cahaya, otak yang memberi definisi dan takrifan kepada apa yang dilihat. Otak yang membaca cahaya dan menafsirkannya.

Kita mendengar sesuatu bunyi, telinga cuma sekadar alat, otak yang memberi definisi bunyi dan menyatakan kepada kita apakah bunyian dan maksud bunyi yang kita dengar.
Kita sakit kerana saraf sakit kita memberi tindak balas kepada otak dan otak memberitahu kita maksud tekanan dan kesakitan itu serta menyebabkan tindakan daripada anggota badan kita.

Perasaan pula bagaimana ? Sedih, sakit, kecewa, marah, suka, derita ?

Ianya semua adalah permainan otak.

Otak kita pula bertindak balas menggunakan program yang kita masukkan ke dalam otak.

Ambil contoh berkenaan perhubungan manusia.

Jika program yang kita masukkan ialah sebuah program hubungan manusia versi barat, maka apabila seorang yang berlainan jantina dengan kita bersalaman dan mencium pipi kita, bagi otak menafsirkan hal tersebut adalah normal dan biasa.

Otak menafsirkan sedemikian kerana “Value”dan “nilai” atau disebut program yang bermain di dalam otak kita ialah sebuah program versi barat yang membuatkan otak kita memberi respon balas secara positif, kita pun akan membalas ciuman dan bersalaman dengan lawan jantina tanpa membangkitkan apa-apa perasaan dan rasa bersalah. Otak memberi respon menurut program yang kita masukkan ke dalamnya.
Jikalau kita mempunyai program versi timur dan versi Islam, maka otak akan memberi tindakbalas seperti kita mungkin mengelak, serba salah untuk bercium dan bersalaman berbeza jantina.

Kerana program yang berada di dalam otak kita ialah versi islam yang menyebabkan reaksi dan tindak balas kita berbeza.

Otak pun cuma sekadar alat.

Setelah anda baca apa yang saya tuliskan ini, cubalah fikirkan apakah sebenarnya yang merupakan realiti dan hakiki sebenar-benarnya ?

Perasaan marah kita tidak lebih daripada sekadar aktiviti otak dan tindakbalas fizikal akibat kita menggunakan program versi tertentu.

Bagi orang tertentu, jika ada lelaki bersalaman dan menari dengan isterinya adalah perkara biasa. Manakala bagi orang yang lain dia akan cemburu dan marah, bahkan boleh jadi dia akan membunuh orang yang menyentuh isterinya itu.

Jadi apakah yang realiti dalam kehidupan kita ?

Al-quran telah menjawabnya.

Realiti di dalam kehidupan ini cuma satu.

Iaitu amalan kita yang merupakan hasil tindak balas kita.

Tidak kisah apakah yang menimpa kita baik sedih, gembira, suka, duka itu semua
hanyalah sekadar fatamorgana yang tidak kekal dan berupa sekadar ujian atau di dalam bahasa lain bias kita sebut sebagai kesan tindakbalas.

Namun yang menjadi realiti dan penting ialah amalan.

Amalan kita itulah yang merupakan perkara yang realiti, pasti dan tidak boleh diubah.
Persis tenaga, ianya tidak boleh dimusnahkan tetapi boleh berubah menjadi pelbgai bentuk.

Manusia menghasilkan tenaga, tenaga yang dihasilkan itu tidak boleh dimusnahkan…

Amalan yang kita lakukan adalah kekal menjadi catatan para malaikat, tindak balas kita dan sebagainya itulah yang akan dilihat.

Amalan kita bagaimana terhasil ?

Daripada tindakbalas otak bukan ?

Otak berfungsi sebagai alat yang menafsirkan sesuatu dengan program yng kita masukkan ke dalamnya.

Maka nasihat saya, masukkanlah program yang betul ke dalam otak.

Program yang sahih memanglah Al-quran dan as-sunnah, tetapi sekadar program yang baik tidak berguna jika kita tidak tahu kaedah yang betul menggunakannya.

Semua komputer menggunakan windows tetapi tak ramai yang tahu memanfaatkannya .
Kata kunci bagi segala masalah ini ialah ilmu dan pengalaman.

Belajar untuk menjadi lebih baik bukan untuk tunjuk diri kita baik dan pandai.
Kesimpulannya, kita akan mengetahui bahawa kehidupan ini penuh dengan penipuan dan tipudaya pemikiran dan otak. Maka apakah kita akan terus menerus menikmati syahwat dan keseronokkan adrenaline struktur dalam tubuh kita yang bertindak balas dengan kelakuan buruk dan maksiat semata-mata untuk menikmati keseronokkan dunia yang cuma beberapa detik dan ketagihan syahwat dan duniawi yang cuma seketika ?

Usahlah tertipu maka bersegeralah beramalkebaikan dan mengumpul bekal amalan-amalan soleh kerana itulah sahaja realiti dan hakikat yang pasti.

Betulkanlah pemikiran dan program otak anda agar menyakini wujudnya hari pengadilan dan akhirat.

Mulakan mengumpul bekal yang membawa manfaat di akhirat.

Mati hanya sekali, jadikan ia di jalan Allah SWT

Kerana itulah pengakhiran yang pasti setiap orang akan melalui.

Wednesday, May 19, 2010

Diskusi Buku Bersama Ustaz Emran



Firman Allah SWT : “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (Muhammad): "Ikutilah agama Ibrahim yang lurus dan dia bukanlah termasuk orang-orang yang syirik.” (An-Nahl : 123)

Diskusi Buku Millah Ibrahim

Buku Millah Ibrahim merupakan antara buku terpenting di zaman ini apabila ianya banyak menimbulkan kesedaran beragama di kalangan para pemuda Islam. Buku tulisan Syeikh Abu Muhammad Asim Al-Maqdisi أبو محمد عصام ini mendapat pemerhatian khusus oleh Pusat Melawan Teroris, Akademik Ketenteraan, Amerika Syarikat (USMA).

Pihak Barat cukup takut kepada buku ini sehingga setiap Muslim yang membaca dan memiliki buku ini akan segera dianggap sebagai pengganas dan sudah cukup untuk dijadikan sebagai alasan bagi penahanan mereka.

Buku Millah Ibrahim ini mengandungi beberapa bab :

Bab 1: Penjelasan mengenai Islam sebagai Millah Ibrahim
Bab 2 : Tabiat Dakwah Millah Ibrahim yang menuntut pengorbanan
Bab 3 : Penjelasan Mengenai Wali Allah dan Wali Syaitan
Bab 4: Membongkar kejahatan Taghut di dalam menghalang dakwah tauhid

Buku ini banyak membuka minda umat Islam khasnya yang dihasut oleh kesenangan duniawi dan termakan umpan dakyah pemikiran golongan Murjiah.


Anda ialah apa yang anda baca.

Saturday, May 08, 2010

Ahlul Sunnah Wal Jamaah Milik Siapa ?


Kebelakangan ini ramai umat Islam mula bertanya kepada guru agama dan para ustaz mereka, bagaimanakah caranya untuk mendapatkan borang keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang memiliki kesungguhan di dalam agama ini juga berasa bimbang jika mereka tidak mengisi maklumat dan butiran di dalam borang keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah itu dengan betul oleh yang demikian mereka pun meminta pula para ustaz, protaz dan alim agama di kalangan mereka untuk mengajar bagaimanakah caranya untuk mengisi borang tersebut.

Usaha ini berjalan lancar dan menjadi topik hangat di kalangan komuniti agama apabila melalui forum, seminar, laman website, ceramah, kuliah dan tak kurang juga penulisan buku-buku agama yang menawarkan borang keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan menyediakan panduan mengisi borangnya dengan betul.

Permasalahannya cuma satu dan ianya cukup untuk memeningkan kepala semua pihak.

Iaitu kepada siapakah borang ini harus diserahkan ?

Pendaftaran Keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Orang ramai yang menganggap bahawa Ahlul Sunnah Wal Jamaah ini ialah sebagai sebuah kumpulan jamaah dan organisasi ketuhanan yang di dalam bahasa arabnya disebut sebagai rabbani semuanya akan menghadapi krisis dan masalah kekeliruan yang amat ketara.

Mereka menghadapi masalah kepimpinan iaitu tidak mengetahui siapakah yang harus diangkat menjadi pemimpin, mereka pula tidak tahu bagaimana harus digerakkan organisasi mereka ini (yang digelarkan sebagai Jamaah Sunnah) apakah setiap pergerakkan mereka itu harus dengan wahyu atau dengn ijtihad para ulama dan syeikh mereka atau bagaimana.

Lebih dahsyat dan menyedihkan mereka juga keliru kedudukan dan status mereka sendiri akan di manakah kedudukan mereka dan bagaimana yang harus dilakukan agar mereka dapat menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Mereka keliru apa yang perlu dibuat untuk menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Apakah harus membetulkan cara solat sehingga solat yang dibuat dapat menjadi persis menepati buku sifat solat cara nabikah ?

Atau,

Apakah harus menyertai setiap ceramah ustaz-ustaz tertentu yang digelar sebagai ustaz sunnah dan kena mengangkat kepala di dalam kelas dan bertanya soalan agar dikenali lalu diiktiraf sebagai ahlul sunnahkah ?

Bagaimana ? Apa yang harus dilakukan ?

Adakah menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah ini semudah mengisi borang keahlian kumpulan dan jamaah tertentu lalu menjadilah kita sebagai Ahlul Sunnah ? Sebahagian pendakwah dan umat Islam di dalam komuniti agama pula ada berpendapat bahawa jika kita menyokong kerajaan, tidak membangkang sebaliknya hanya mentaati dan bersabar di atas kezaliman kerajaan maka kita ini akan menjadi Ahlul Sunnah.

Kepada siapakah borang keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah perlu diserahkan ? Siapakah yang boleh meluluskan permohonan kita untuk menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah ?

Siapakah pemegang cop mohor pendaftaran keahlian Ahlul Sunnah Wal Jamaah ?

Ramai yang mengaku mereka itu Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan mendakwa amalan dan usaha dakwah mereka itu menepati sunnah rasulullah Salallahualaihiwassalam.

Apakah jaminan mereka ?

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang menganggap diri mereka itu suci ? Sebenarnya Allah lah yang menyucikan siapa yang dikehendaki-Nya dan mereka itu tidaklah dianiaya sedikitpun.” (An-Nisa : 49)

Para ulama menyebut ayat ini diturunkan untuk mencela perbuatan orang yahudi dan nasrani yang menganggap diri mereka itu suci dan bersih dan celaan yang sama ditujukan kepada semua orang yang beranggapan bahawa mereka itu suci dan terpelihara daripada kesesatan.

“Perhatikanlah, betapa mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).” (An-Nisa : 50)



Fiqh Agama yang lemah, mengundang Salah faham Maksud Agama

Betapa kita melihat hari ini ramai pendakwah Islam kerapkali menyeru manusia tidak kepada perkara yang sepatutnya dan menyalahi maksud syarak. Hal ini boleh jadi disebabkan semangat yang berkobar-kobar untuk berdakwah itu tidak disandarkan kepada kefahaman dan fiqh agama yang betul sehingga menyebabkan syaitan dan musuh Islam berpeluang mengambil kesempatan sehingga dakwah yang sepatutnya menyatukan umat akhirnya membawa perpecahan.

Kerana itu Imam Syafi’e ra pun pernah menyebut : “Tidak halal bagi seseorang untuk mengatakan sesuatu itu sebagai halal atau haram kecuali dengan ilmu. Maksud ilmu itu ialah dengan apa yang datang daripada Al-Quran dan as-sunnah atau daripada ijmak, atau qiyas daripada usul ini yang menepati maksudnya.” (Jami’ bayan ilm, jil 1, ms. 59)

Saya pernah menulis bahawa seorang pendakwah itu harus memiliki ilmu alat dan menguasai kefahaman Islam yang mendalam sebelum menyeru manusia ke jalan Allah SWT. Ini kerana dakwah itu memiliki beban dan tanggungjawab yang besar sekalipun anda hanya sekadar menyebarkan sesuatu bahan ilmu milik orang lain.

Anda akan bertanggungjawab terhadapnya lantaran itu terlebih dahulu yang menyebarkan haruslah menguasai dan mengetahui apa yang disebarkannya agar mengelak dari tersebarnya fitnah, dusta dan kejahilan.

Diriwayatkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud pernah berkata : “Sesuatu itu dianggap sebagai Ilmu bukanlah disebabkan kerana banyaknya riwayat tetapi ilmu itu ialah apabila (membawa manusia) takutkan Allah.” (Jami bayan Ilm,juz.2, ms.58)

Dakwah yang diserukan oleh pendakwah di TV, radio, kuliah dan seminar tidak banyak yang mengajak manusia takutkan kepada Allah SWT. Sedangkan seruan takutkan Allah SWT yang disebut sebagai seruan taqwa merupakan dakwah para rasul dan menjadi isi fokus perjuangan hidup para salaf.

Tidak banyak pula anak-anak muda remaja Islam yang sudah didedahkan dengan isi-isi kitab hadis dan tafsir yang mengajak supaya beriman dan mengetahui janji-janji Allah SWT di dalam syurga dan neraka sedangkan para nabi dan rasulullah seringkali mengucapkan janji-janji Allah SWT di dalam seruan dan ucapan mereka.

Bahkan di antara ucapan awal dakwah baginda rasul kepada kaum Quraisy ialah keselamatan daripada neraka dan kebahagiaan syurga.

Sejak bila semua yang begitu penting ini seperti dakwah dan seruan kepada mengajak manusia supaya beriman kepada wujudnya hari akhirat dan janji-janji syurga serta ancaman neraka itu bertukar tajuk menjadi seruan kepada topik feqah ibadat seperti cara mengerakkan jari ketika bertasyahud, kedudukan letak tangan di dalam solat dan tertib-tertib lain di dalam ibadat yang padanya patut wujud keluasan dan rahmat ?

Siapa yang membawa fitnah ini ke dalam masyarakat yang mengalihkan fokus umat Islam daripada isu penting dan perkara dasar Islam seperti Aqidah, Iman dan jihad kepada perkara-perkara ranting yang padanya wujud kelonggaran dan kemaafan untuk menjadi perpecahan dan perbalahan ?

Kejahilan atau kelemahan fiqh beragama menyebabkan ramai pendakwah dan pelajar agama pulang daripada pusat pengajian mereka di timur tengah dengan membawa mesej dan pemikiran yang salah. Mereka tidak pulang sebagai agen tauhid yang akan mengungkapkan bentuk kesyirikkan dan membanterasnya.

Mereka juga tidak pulang ke tanahair sebagai agen Iman yang menanamkan Iman di dalam masyarakat kepada Allah SWT dan menghapuskan kekufuran dan keraguan.

Mereka juga sayangnya tidak pulang sebagai agen ilmu yang menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan menghapuskan kejahilan dan kekeliruan mayarakat.

Ini semua kerana kurangnya taqwa.

Berkata Imam Malik ra : “Ilmu itu bukanlah pada banyaknya riwayat hadis, tetapi ilmu itu ialah cahaya yang dijadikan oleh Allah SWT di dalam hati.”(Jami’ bayan ilm jil 1,ms. 57)

Sistem Sekuler yang ditaati oleh sekumpulan jamaah yang mengakui sebagai Ahlul Sunnah kerana sikap mereka mentaati kerajaan itu telah menyebabkan ramai pelajar agama mempelajari agama sebagai salah satu bentuk sains atau seni.

Tetapi di dalamnya tiada isi atau jiwa yang dapat disebut sebagai taqwa.

Ilmu itu tidak mendekatkan dirinya dengan tuhan tetapi menjauhkan, memberi alasan dan hujah untuk semua kelakuannya. Ilmu itu menjadi lesen dan sandaran untuk mendapatkan keduniaan.

Inilah sistem yang menjadikan ilmu sebagai bidang kerjaya.

Maka oleh itu kita akan selalu rindu dan tanah kita akan selalu tandus dari dibasahi oleh taqwa para pendakwah yang menyeru di atas Iman dan ketaatan kepada Allah SWT.

Prof. Hamka pernah berkata ramai orang boleh bercakap dan menghuraikan tentang pelbagai jenis ilmu dan benda namun mereka akan tersungkur dan tertutup mulut tunduk tidak mampu berbicara tentang soal kehidupan, untuk apakah hidup dan apakah pengisian hidup.

Ramai pemuda hari ini ghairah dengan ilmu hadis, sejurus perkembangan dakwah salafiyah ilmu hadis mula mendominasi minat para pemuda agama. Mereka berbicara soal riwayat, soal perawi yang telah meninggal ratusan tahun, mereka berbangga dan gembira dengan pengetahuan yang mendalam di dalam bidang hadis dan ilmunya, soal sanad-sanad dan hukum sesebuah hadis.

Keterlaluan pengetahuan mereka tentang ilmu hadis itu sehingga bertahun-tahun lamanya bergelumang di sebalik buku-buku dan perbincangan tentang hadis sehingga kelihatan ianya menjadi sebuah seni.

Namun apakah hasilnya daripada pengetahuan itu ? Sudah berapa buah hadiskah yang sudah mereka amalkan ? Yang sudah dilaksanakan tuntutan atau perintahnya atau mereka akhirnya menjadi golongan yang dipermainkan oleh syaitan dengan belitan-belitan khayalan sehingga mereka tidak berhasil mengumpul sebanyak mungkin amalan untuk bekal di akhirat dan gagal mencari nilai di dalam kehidupan kerana tidak mengenali jalan menuju tuhan.

Muhasabahlah dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “ Wahai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak akan dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah. Mereka tidak mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Al-Haj : 73-74)

Ajaran agama itu tiada lain tugasnya melainkan membawa manusia itu dekat kepada Allah SWT bukan selainnya.

Pendakwah yang menjadi agen Iman, Ukhuwah, taqwa dan meningkatkan kesedaran kita kepada kehidupan beragama kerana itulah maksud agama iaitu mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan kepada sesama manusia walaupun kepada para ulama dan umara’.

Ahlul Sunnah Wal Jamaah bukan Milik Sesiapa

Penisbahan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dilakukan oleh para ulama Islam sejak berzaman secara berperingkat dan berkembang mengikut zaman. Penggunaan kalimah Ahlul Sunnah Wal Jamaah secara mutlak kepada sesuatu golongan adalah satu kesalahan kerana ianya merupakan sebuah kata nama perbuatan yang merujuk kepada golongan orang yang menetap diri di atas sunnah dan kesatuan jamaah yang disebut sebagai Ukhuwah Islamiyah.

Tiada siapa dapat menetap diri di atas sunnah secara berterusan dan terpelihara diri daripada kesalahan lantaran itu tiada siapa yang akan menjadi Ahlul Sunnah setiap masa. Apabila dia melakukan amalan sunnah maka dia menjadi ahli sunnah dan apabila dia melakukan amalan ahli bid’ah maka dia akan menjadi ahli bid’ah dan demikianlah putaran hidup dan Iman dengan ada kalanya manusia itu berada di dalam kebaikan dan ada masanya dia berubah menjadi buruk dan jauh daripada kebenaran.

Di situlah letaknya fungsi amalan amar makruf nahi mungkar, tazkirah, nasihat dan dakwah untuk mengembalikan pihak yang tersilap, salah dan tersasar untuk kembali kepada kebenaran dan semua usaha mengajak, seruan dan teguran ini perlulah dilakukan dengan penuh adab, akhlak bagi menepati kehendak ukhuwah Islamiyah.

Bahkan hal ini ditunjuki sendiri oleh teladan para salaf.

Para sahabat rasulullah sendiri tidak terlepas daripada kesalahan dan mereka terkadang terlupa dan tersilap. Misalnya Abu Hurairah ra pernah mengatakan bahawa seorang wanita itu akan membatalkan solat seorang lelaki jika dia melintas di hadapan lelaki yang bersolat dan hal itu kemudian dijawab oleh Ummul Mukminin Ai’syah yang berkata : “ Sesungguhnya rasulullah salallahualaihiwassalam bersolat dalam keadaan aku berada di antara baginda dan kiblat (berada di hadapan rasulullah)” (hadis riwayat bukhari dan muslim)

Begitu juga takala Ibn Umar ra mengatakan bahawa seseorang mayat itu akan diazab disebabkan oleh tangisan ahli keluarganya. Lalu A’isyah pun menjawab : “Telah keliru Abu Abd Rahman atau tersalah atau terlupa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga perkataan Ibn Mas’ud ra terhadap Abu Hurairah ra yang berkata : barangsiapa yang memandikan jenazah maka hendaklah dia mandi dan barangsiapa yang memikulnya maka hendaklah dia berwudhuk. Maka Ibn Mas’ud pun menjawab : “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya mayat orang yang mati di kalangan kamu tidaklah menajiskan.” (Jami’ bayan Ilm dan lihat dalam kitab-kitab sunan)

Pelbagai lagi hujah yang mampu mencelikkan mata kita supaya lebih banyak berfikir dan tidak mudah bertaklid buta kepada para guru dan ustaz kita untuk berkata sesuatu amalan itu sebagai sunnah atau tidak.

Sikap cekup, tangkap muat segala petikan kata-kata salaf dan riwayat yang dinukilkan di dalam buku-buku guru-guru kita untuk tujuan mempromosikan bentuk-bentuk idea dan pemikiran tertentu bagi memonopoli maksud Ahlul Sunnah Wal Jamaah perlulah dielakkan.

Ini kerana Ahlul Sunnah Wal Jamaah bukanlah milik kita dan kita tidak akan mampu sama sekali untuk “mengeksklusifkan” hakmilik untuk menjadikan ianya hanya untuk kita.

Ahlul Sunnah Wal Jamaah juga bukanlah milik Imam An-Nu’man Abu Hanifah, bukan juga Imam Malik, Imam As-syafi’e dan Imam Ahmad tetapi mereka telah menunjukkan contoh dan teladan yang sangat cemerlang di dalam usaha mereka untuk mengikuti as-sunnah dan menjauhi bid’ah.

Bahkan sirah menunjukkan bahawa Imam Abu Hanifah ra, di masa hayatnya pernah diminta untuk bertaubat di atas kesalahannya seperti yang tercatat di dalam Tarikh Baghdad dan Al-Majruhin karya Ibn Hibban Jilid 3, ms.73.

Juga ramai lagi para ulama yang terdahulu dan menjadi tokoh hebat Ahlul Sunnah yang tersilap dan tersalah di dalam ijtihad mereka namun itu semua tidak memberi kesan apa-apa kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Islam dan deen Allah ini.

Tiada apa yang perlu ditakutkan jika para ulama’ itu tersilap selama kita tidak bersandar kepada mereka sebaliknya kepada Allah SWT melalui Al-Quran dan As-sunnah.
Mereka semua adalah lelaki dan akan kekal sebagai lelaki yang telah datang dan telah berlalu pergi.

Agama Allah SWT ini tidak bersandar kepada mereka atau pun mana-mana tokoh selepas mereka kecuali umat Islam sendiri yang jahil dan malas di dalam melakukan usaha Ubudiyah dan hanya bersikap sambil lewa di dalam pengabdian kepada Allah SWT sahaja yang suka bersandar kepada para ulama’ dan apa yang disampaikan oleh mereka.

Apabila para ulama itu dikritik, dipersalahkan, ditolak pendapatnya maka mereka menjadi tidak senang duduk, kecoh dan ribut lantaran tokoh mereka dikritik kerana sandaran agama mereka dikritik dan kerana cara hidup mereka dikritik.

Cara hidup yang mengambil manusia sebagai perantara dengan Allah SWT sedangkan pengabdian kita hanyalah kepada Allah SWT dan kita bertanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang kita usahakan bukan guru dan syeikh kita.

Imam Al-Barbahari kemudian menyebut bahawa as-sunnah itu ialah Islam dan Islam itu ialah As-sunnah dan tidaklah tertegak salah satu melainkan dengan keduanya serentak. (Syarah as-sunnah ms. 65)

Menjadi Muslim bermaksud menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Apa yang dimaksudkan oleh sang Imam ialah adalah seseorang itu apabila dia menjadi seorang Muslim maka dia sebenarnya adalah merupakan Ahlul Sunnah Wal Jamaah kerana Muslimnya seorang itu hanyalah valid dan laku apabila dia menerima dan beriman dengan Al-Quran dan As-sunnah. Pelaksanaan hukum Allah SWT, ibadah dan segala amalan wajib pula dilakukan dengan berukhuwah, jamaah dan penuh akhlak sebagai seorang Muslim yang disebut sebagai Wal Jamaah.

Itulah nilai dan yang disebut oleh barat sebagai “value” kepada seorang Muslim.

Ahlul Sunnah Wal Jamaah ialah nilai dan tahap beragama yang dapat meluluskan dan melayakkan seorang Muslim untuk memasuki syurga Allah SWT. Manakala muslim yang tidak mencapai tahap Ahlul Sunnah Wal Jamaah maka dia gagal kelayakkan beragama yang dikehendaki oleh Allah SWT dan hasilnya terserah kepada Allah SWT.

Ianya bukan hanya sekadar idealism, bukan hanya sebuah sistem pemikiran yang mana jika ada seorang Muslim berkefahaman dengan sistem pemikiran Ahlul Sunnah Wal Jamaah tersebut maka dia terjamin syurga dan menduduki satu-satunya kelompok selamat daripada 73 golongan perpecahan yang disebutkan di dalam hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Hakim dan lain-lain itu.

Bukan sama sekali.

Ia lebih daripada itu, Ahlul Sunnah Wal Jamaah tiada borang khusus dan tiada pendaftaran yang khas sebalinya sesiapa sahaja dapat menjadi Ahlul Sunnah dan sesiapa sahaja juga boleh terkeluar daripadanya sekalipun para Imam dan ulama’ apatah lagi para ustaz dan guru agama masakini.

Imam Ibnu Rejab Al-Hambali menyebut tentang Ahlul Sunnah sebagai : “ Jalan yang dilalui oleh Nabi salallahualaihiwasalam dan yang diikuti oleh para sahabatnya yang terselamat daripada syubhat dan syahwat.” (Kaysful Kurbah, ms 15)

Nasihat kepada yang ingin menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah

Seperti semua nilai dan tahap piawaian tertentu yang ada di atas dunia ini, ianya hanya dapat dicapai dengan usaha dan amalan tertentu maka demikianlah juga dengan piawaian Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Ianya diperolehi dengan melakukan Ibadah iaitu apa yang disukai dan diredhai oleh Allah SWT seperti melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, meninggalkan larangan dan apa yang diarahkan, menuntut ilmu,menjaga solat, zakat, puasa, haji, bercakap benar, menunaikan amanah, berbakti kepada kedua orang tua, menyambung tali silaturrahim, menepati janji, memerintahkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, berjihad melawan orang kafir dan munafik, berbuat baik kepada tetangga, anak yatim, orang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan bekalan di perjalanan), berbuat baik kepada orang atau haiwan yang dijadikan sebagai alat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya adalah termasuk bahagian daripada ibadat. Begitu pula rasa cinta kepada ALLAH dan Rasul-NYA, takut kepada ALLAH, inabah (kembali taat) kepada-NYA, memurnikan agama (amal ketaatan) hanya untuk-NYA, bersabar terhadap keputusan (takdir)-NYA, bersyukur atas nikmat-nikmat-NYA, berasa redha terhadap qadak takdir-NYA, tawakal kepada-NYA, mengharapkan rahmat (kasih sayang)-NYA, berasa takut daripada seksa-NYA dan sebagainya juga termasuk ibadat kepada ALLAH” – al-Ubudiyah, ms. 6.

Ubudiyah kepada Allah SWT itulah jalan menjadi Ahlul Sunnah Wal Jamaah.


Monday, May 03, 2010

Perkahwinan Yang Ideal Menurut Al-Quran dan As-sunnah


Ketika saya ditanya oleh orang ramai berkenaan perkahwinan yang ideal di dalam Islam maka saya pun menjawab bahawa perkahwinan yang dituntut oleh agama ialah perkahwinan yang menjadi ibadah.

Perkahwinan itu ialah perintah Allah SWT bagi menyalurkan fitrah manusia ke jalan yang halal.

Maka selama perkahwinan itu adalah menjadi ibadah kepada Allah SWT, membuahkan pahala maka ianya adalah dikira ideal dan mencapai tuntutan dan perintah agama walau apa pun jua versi dan suasana perkahwinan itu.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan versi Asiah isteri Firaun, isteri solehah bersama suami yang jahat.

Di dalam Al-quran ada menceritakan perkahwinan Nabi Allah Luth, isteri jahat bersama lelaki soleh.

Di dalam Al-Quran ada menceritakan perkahwinan Ibrahim, perkahwinan Ismail, perkahwinan Musa, perkahwinan Ayub ,perkahwinan rasulullah salallahualaihiwasalam dan para rasul selainnya.

Kita melihat pada perkahwinan mereka terdapat bermacam-macam ragam dan cerita yang mampu menumpahkan air mata dan bukanlah kisah fantasi bahagia khayalan yang jauh dari realiti.

Para rasul di utuskan daripada kalangan manusia dan Islam ialah agama yang paling memahami realiti manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Katakanlah: "Al Quran itu diturunkan oleh (Allah) yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan mereka berkata: "Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama- sama dengan dia?” (Al-Furqan : 6-7)

“Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu, melainkan mereka sungguh memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan kami jadikan sebahagian kamu cubaan bagi sebahagian yang lain. Mahukah kamu bersabar?; dan adalah Tuhanmu maha Melihat.” (Al-Furqan : 20)

Banyak ayat yang menunjukkan maksud yang hampir serupa iaitu para rasul ialah manusia seperti kita dan yang membezakan mereka dan kita hanyalah kerana mereka itu diberi wahyu.

Wahyu iaitu Islam (Al-Quran dan As-sunnah) datang untuk memandu kehidupan manusia agar menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT. Kedatangan wahyu juga untuk menyedarkan kepada manusia erti sebenar kehidupan mereka ini di dunia.

Allah SWT befirman : “ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.” (Adz-Zariyat : 56)

Wahyu mengajarkan kita hidup ini singkat, kita akan dibangkitkan dan diberi pengadilan serta menyuruh kita beramal untuk akhirat.

Allah SWT befirman yang bermaksud : “Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Al Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya serta memberi peringatan (pula) tentang hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Segolongan manusia akan masuk ke syurga, dan segolongan pula akan masuk ke dalam Jahannam.” (As-syura : 7)

Allah SWT berfirman : “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Al-An’am : 32)

Itulah tugas utama wahyu.

Mukjizat, keramat, segala macam lagi kelebihan yang diberikan kepada rasul itu hanyalah semata-mata bagi membantu mereka mencapai objektif utama wahyu iaitu menyedarkan manusia hidup ini singkat, wujudnya akhirat dan hari pembalasan, mengajarkan manusia cara yang sebenar menyembah Allah SWT dan menyedarkan manusia agar beramal sebanyak mungkin menghadapi hari akhirat serta jangan lalai oleh dunia dan terpedaya oleh syaitan.

Maka mukjizat itu sekadar membantu agar orang percaya mereka ini ialah rasul yang benar-benar diutuskan.

Kehidupan para rasul itu pula dijadikan contoh dan teladan untuk diikuti oleh manusia dan kehidupan mereka itu adalah persis seperti kehidupan manusia lainnya cuma yang membezakan mereka dan kita ialah kehidupan mereka itu dipandu oleh wahyu.

Maka kita yang mahu mengikuti teladan mereka itu pula harus tahu apa yang mahu di ikut, iaitu mengikuti wahyu dan apa yang dikehendaki wahyu.

Jangan tersalah ikut pula, lalu perlulah kita memiliki ilmu.

Jika tidak maka kita akan disesatkan oleh Iblis dan syaitan di dalam keadaan kita tetap menganggap diri kita sedang di dalam jalan kebaikan dan sedang mengikuti wahyu walhal hakikatnya kita sebenarnya sedang mengikuti syaitan.

Ini banyak terjadi kepada ramai orang yang menganggap mereka sedang mengikuti sunnah dan agama tetapi tidak pula perbuatan mereka itu menjadi ibadah kepada Allah SWT dan tidak pula diterima oleh Allah SWT.

Pada hari ini orang ramai membuka buku agama, merujuk kepada para ustaz, membaca tulisan karya-karya sunnah di dalam perkahwinan semuanya kerana mahu mencari bahagia dan gembira semata-mata. Mereka mahu tahu bagaimana kami dapat menyelesaikan masalah kami dengan agama. Kami mahu tahu bagaimana Sunnah mengajar kita melakukan hubungan seksual suami isteri. Kami mahu tahu pula bagaimanakah bentuk perkahwinan, ciri-ciri rumahtangga yang menjadi idaman sunnah ?

Lalu segeralah tampil pemuka-pemuka agama menulis dan mencatatkan isi-isi hadis dan ayat-ayat al-quran bagi menzahirkan bentuk-bentuk rumahtangga idaman, perkahwinan yang menurut sunnah, cara sunnah menjalani kehidupan rumahtangga dan sebagainya.

Sayang sekali segala apa yang ditulis akhirnya menjadi kosong.

Ianya menjadi kosong apabila apa yang ditulis hanyalah kekal sebagai pengetahuan tetapi tidak diamalkan kerana masyarakat tidak dapat mengamalkannya kerana peribadi yang mampu mengamalkan sunnah-sunnah perbuatan yang disebut oleh hadis-hadis di dalam buku-buku agama itu tidak lagi wujud masa kini atau jarang sekali orang yang memiliki peribadi seperti itu.

Kemudian ada pula muncul tokoh-tokoh agama menulis buku tentang praktikel rumahtangga menurut Islam maka kita lihat dia memaparkan pengalaman sebenarnya menjalani rumahtangga, diceritakan bagaimana dia melayani anak dan isteri dan buku-buku seperti ini berkembang pesat menjadi kegilaan orang ramai yang mahu meniru dan mencontohi tokoh mulia ini di dalam berumahtangga.

Diceritakan setiap hari dia membasuh pinggan, membersihkan tandas membantu isteri dan menjadi bapa yang mithali di dalam rumah lalu memetik ayat-ayat Al-quran dan hadis bagi menghiasi dan menjadi bukti sokongan perbuatannya. Jadilah dia tokoh ikutan ramai dan teladan masa kini rumahtangga islami.

Namun jika dijenguk ke dalam rumahnya maka kita tidaklah mendapati apa yang diucapkan seindah khabar yang terpapar di dalam tulisan.Bahkan para mailakat di langit tinggi pun sudah puas menyumpah dan mencelanya setiap hari.

Kehidupan ini bukanlah seindah mimpi, jadi usahlah berkhayal di siang hari.

Oleh itu adalah mengarut apabila seseorang itu beranggapan bahawa apabila mengikuti Al-Quran dan As-sunnah maka dia akan menjadi selamat daripada di uji dan akan menjalani kehidupan yang sempurna tanpa gangguan dan dugaan.

Lupakah kita Kisah Nabi Allah Ya’kub a.s misalnya yang diuji dengan anak-anaknya yang brpecah, diuji dengan kehilangan anaknya Yusof lalu menangis sehingga menjadi buta ? Tergugat hati dan jiwa kita jika kita membaca ayat-ayat Allah SWT dengan penuh tadabbur dan memikirkan pengajarannya bahawa kehidupan yang kita lalui ini bukanlah sebuah cerita fantasi.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusof : 111)

Alam realiti tidak seindah mimpi.

Demikianlah ajaran Al-Quran yang mahu mengetuk kepala-kepala manusia yang masih dunggu dan leka mengimpikan kebahagiaan dunia yang sementara. Mereka ini disesatkan oleh Iblis dan kerana itu mereka bertanya-tanya tentang perkahwinan yang ideal daripada Al-Quran dan Asunnah yang pada anggapan mereka akan dapat diharapkan membawa bahagia, gembira dan kehidupan yang tiada susah dan derita di atas dunia ini.

Apakah mereka terlupa akan siapakah diri mereka ? Kenapa mereka datang ke atas muka bumi ini dan ke manakah mereka akan pergi selepas ini ?

Ternyata mereka terlupa.

Disebabkan itulah kita melihat buku-buku perkahwinan, tulisan berkait pernikahan dan hubungan suami isteri semuanya menjurus kepada tajuk “membawa bahagia” kerana itulah yang dicari oleh semua manusia yang telah dihanyutkan oleh Iblis ini iaitu untuk bahagia di dunia.

Ustaz, macam mana saya ingin rumahtangga saya lebih bahagia ?

Ustaz, tolong saya.. apa harus saya lakukan kerana rumahtangga kami tidak bahagia !

Ustaz kenapa suami saya tidak…

Ustaz, isteri saya gagal membahagiakan saya…

Saya merasa kasihan terhadap mereka yang bertanya kerana gagal memahami erti perkahwinan dan mengapa serta kenapa mereka hidup di atas muka bumi ini.

Punca kejahilan masyarakat ialah berpunca daripada kejahilan ulama dan pendakwah di dalam menerangkan maksud dan tuntutan sebenar agama.

Banyak buku-buku agama yang ditulis oleh ramai ilmuan cuba memaparkan sunnah-sunnah rumahtangga dan perkahwinan di dalam Islam mengikut acuan al-quran dan hadis. Malangnya seperti kata hukama, apabila seseorang itu hanya menguasai ilmu tekstual (digelar suhufiyun) maka kekallah ilmu itu di buku dan diteks-teks tulisan tanpa dapat diserap dan diamalkan kerana kejahilan mereka di dalam ilmu usul dan kaedah bagi menerapkan ilmu itu ke alam realiti bagi memenuhi perintah ilahi.

Boleh jadi kejahilan itu berlaku bagi mereka yang menulis buku dan boleh jadi kejahilan itu berlaku kepada mereka yang membaca apa yang ditulis.

Sebuah hadis tidak boleh difahami dengan lafaz zahir semata-mata dan sebuah hukum tidak boleh dihasilkan hanya melalui sebuah hadis atau sepotong ayat Al-quran.

Demikianlah juga menetapkan sesuatu sebagai sunnah dan tidak hanya dengan berdasarkan kefahaman singkat terhadap dalil-dalil syarak.

Salah Faham Maksud Sunnah

Sunnah menurut Imam Ibnu Rejab Al-Hambali ialah bermaksud : “ Jalan yang dilalui oleh Nabi salallahualaihiwasalam dan yang diikuti oleh para sahabatnya yang terselamat daripada syubhat dan syahwat.” (Kaysful Kurbah, ms 15)

Maksud sunnah ini pelbagai khasnya apabila dibaca mengikut tafsiran ulama bahasa, ulama hadis dan juga usul feqah. Namun keseluruhan pengertian berkenaan sunnah ini akan dapat bersepakat pada satu hal iaitu sunnah itu adalah merupakan wahyu. Mengikutinya mendapat pahala dan meninggalkannya serta menyalahinya akan mengundang dosa dan kesesatan.

Oleh yang demikian takrifan sunnah yang perlu diserapkan ke dalam minda umat Islam ialah apa yang disebutkan oleh Al-Imam Barbahari ra apabila beliau berkata : “Ketahuilah sesungguhnya Islam itu ialah As-sunnah dan As-sunnah itu ialah Islam dan tidaklah dapat menegakkan salah satu di antara keduanya secara bersendirian melainkan menegakkan dengan kedua-duanya serentak.” (Syarah as-sunnah, ms. 65)

Bagi mereka yang berilmu akan menyedari bahawa apabila merujuk kitab-kitab sunnah tulisan para salaf atau kitab yang padanya ada bertajuk sunnah karya ulama salaf maka apakah yang akan kita jumpai ?

Misalnya kitab As-sunnah oleh Imam Ahmad, Kitab As-sunnah oleh Imam Abdullah (Anak Imam Ahmad), Kitab As-sunnah Abu Bakar Al-khalal , Kitab Sorih As-sunnah oleh At-Tabari, Kitab As-sunnah Al-Muzni, Kitab As-sunnah oleh Ibn Abi A’sim, Kitab Syarh As-sunnah oleh Al-Baghawi, Kitab Syarh As-sunnah oleh Al-Barbahari, Kitab As-sunnah oleh Al-Muruzi, Kitab Usul As-Sunnah oleh Al-Humaidi dan lain-lain.

Jika kita lihat semua kitab ini ada berjudul Sunnah lalu apakah isinya ? Sekitar apakah perbincangannya ?

Jawapannya ialah Aqidah.

Kita tidak akan mendapati mereka berbincang soal sunnah itu lalu merujuk kepada persoalan memakai serban atau jubah sebaliknya apabila disebut kalimah sunnah itu ianya merujuk kepada Aqidah dan usul agama yang menjadi pegangan dan dasar Islam.

Sunnah menurut kefahaman Salaf ialah sesuatu yang bermaksud membawa tuntutan agama, merupakan sesuatu yang Allah kehendaki dan merupakan perkara yang perlu dilakukan bagi mencapai keredhaan Allah SWT. Dalam erti kata lain yang mudah ialah apa yang merupakan maqasid syarak (menjadi tujuan syarak) dan jika melakukannya bererti kita telah menunaikan perintah Allah, layak mendapat ganjaran pahala.

Oleh sebab kapasiti sunnah itu begitu besar maka sepotong dua hadis yang dibaca secara zahir tidak mampu dijadikan hujah untuk mengatakan sesuatu perbuatan itu ianya sunnah atau tidak.

Statusnya sama seperti anda mengatakan sesuatu itu halal dan haram.

Sunnah ialah apa yang halal dan baik serta disukai oleh Allah manakala lawannya iaitu bid’ah dan segala yang menyalahi sunnah sebagai dosa dan haram dan dibenci oleh Alah SWT.

Maka hendaklah difahami bahawa menyimpulkan sesuatu itu sebagai sunnah atau tidak memerlukan kepada ilmu dan kefahaman yang kukuh terhadap Kitab Allah SWT dan Hadis rasulullah salallahualaihiwasalam.

Tingginya darjat mereka yang berilmu ini ialah kerana mereka sukar disesatkan oleh Iblis dan syaitan kerana setiap lubang-lubang dan helah syaitan diketahui dan dapat dipatahkan oleh mereka.

Allah SWT befirman : “Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui. Sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang mereka seru selain Allah. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.” (Al-Ankabut : 41-43)

Lalu apabila ada orang-orang berilmu yang turut disesatkan oleh syaitan, terpedaya oleh belitan iblis dan godaan dunia serta terperangkap di dalam perbahasan hadis dan agama yang tak berkesudahan kerana tidak mengetahui apa yang harus dilakukan, buntu yang mana satukah yang benar maka pada ketika itu mungkin kita patut bermuhasabah kembali.

Perlu atau tidak kita menilai semula definisi tentang siapakah orang yang berilmu ? Khuatir selama ini kita tersilap menilai dan memberi gelar “alim” kepada orang yang tidak berhak. Baginda rasulullah SAW bersabda lagi : “ Janganlah kamu berteman kecuali dengan orang yang beriman dan janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis riwayat Abu daud dan Tirmidzi)

Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang bertaqwa.

Wallahu’alam.

Wednesday, April 07, 2010

Memahami Siapakah Golongan Khawarij


Mazhab Khawarij adalah merupakan mazhab Aqidah yang paling lama dan terawal muncul selepas Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Bahkan kemunculan mazhab Khawarij adalah lebih dahulu daripada Syi’ah.

Kalimah Khawarij di dalam bahasa Arab : خوارج bermaksud “Mereka yang Keluar” dan hal ini daripada sudut Istilah merujuk kepada kefahaman golongan yang keluar daripada ketaatan kepada Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu serta menolaknya.
Ajaran Khawarij ini sebenarnya telah muncul semenjak di zaman rasulullah lagi apabila mereka ini dikenali sebagai kaum pemberontak dan penentang yang menganggap hanya mereka sahaja yang benar sedangkan orang lain semuanya salah.

Hal ini berlaku berdasarkan riwayat Abu Said Al-Khudri radiallahuanhu yang menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang berkata kepada rasulullah sewaktu baginda membahagikan barangan kepada para sahabat supaya baginda berlaku adil. Maka ditegur oleh baginda dengan berkata : “Celakalah kamu bukankah aku ini orang yang paling bertaqwa kepada Allah ?” Maka Khalid Al-Walid ingin membunuh lelaki itu tetapi ditahan oleh Rasulullah dan baginda kemudian mengatakan bahawa daripada keturunan lelaki ini akan lahir golongan yang akan membaca Al-Quran tetapi bacaan itu tidak pun melewati kerongkong mereka dan agama ini akan terlepas daripada diri mereka seperti terlepasnya anak panah dari busurnya.

Menurut Kitab-kitab Firaq (perpecahan umat) awal kemunculan Khawarij secara rasmi ialah semasa zaman Amirul Mukminin Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu sewaktu terjadinya Majlis Tahkim bersama dengan Muawiyah radiallahuanhu. Mereka berkumpul disuatu tempat yang disebut Harurah (sebuah kawasan di daerah Kufah) dan membantah perlaksanaan Majlis tersebut kerana menganggap ianya membelakangi Kitab Allah dan hukum Allah swt.

Namun hakikatnya itu bukanlah punca sebenar mereka keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu.

Mereka juga sebelum kemunculan secara rasmi telah bertanggungjawab kepada beberapa siri fitnah dan kejahatan seperti pembunuhan Khalifah Utsman bin Affan radiallahuanhu. Setelah Utsman dibunuh, mereka kemudian bersembunyi ke dalam pasukan dan penyokong Ali bin Abi Tolib untuk mengelakkan diri mereka daripada diburu dan dibunuh balas oleh Muawiyah radiallahuanhu yang memiliki hubungan kekeluargaan dengan Khalifah Utsman bin Affan.

Pembunuh Utsman adalah tidak diketahui kerana jumlahnya ramai dan apabila Ali bertanya kepada golongan Khawarij ini siapakah yang membunuh Utsman maka ribuan manusia daripada penyokong Khawarij ini mengaku telah membunuh Utsman lalu hal itu menyebabkan Khalifah Ali bin Abi Tolib radiallahuanhu menangguhkan usaha untuk melakukan Qisos ke atas Utsman sehingga menyebabkan ketidak puasan hati di sisi Muawiyah dan juga ramai sahabat yang lain.

Akhirnya terjadilah perang siffin kerana perbezaan pendapat dan juga kerana masing-masing pasukan diapi-apikan oleh golongan munafiqin (seperti kaum Khawarij dan Abdullah bin Saba’ daripada Syiah). Kemudian masing-masing pihak mengirim utusan untuk berunding maka terjadilah perdamaian antara kedua belah pihak dan Majlis Tahkim.

Melihat hal ini orang-orang Khawarij menjadi bimbang bahawa dengan perdamaian di antara Ali dan para sahabat seperti Muawiyah akan menyebabkan mereka ditangkap dan diburu kerana telah membunuh Utsman bin Affan radiallahuanhu maka akhirnya mereka pun melarikan diri dan keluar daripada pasukan Ali bin Abi Tolib dan menubuhkan pasukan mereka sendiri untuk menyelamatkan diri.

Mereka juga kemudian membuat perancangan untuk membunuh para pemimpin Islam seperti Khalifah Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain sahabat radiallahuanhum tetapi hanya Ali yang berjaya di bunuh sewaktu solat subuh di masjid.
Khawarij menafsirkan Kitab Al-Quran secara zahir.

Mereka menolak tafsiran Al-Quran oleh para sahabat dan memahami Islam secara hukum zahir dan mengambil lafaz-lafaz Al-Quran secara zahir ayat. Hal ini menyebabkan mereka tersesat dan ditambah pula oleh sikap ta’asub mereka kepada diri mereka dan ibadah mereka yang tersangat banyak melebihi ibadah para sahabat menyebabkan mereka memperendahkan para sahabat rasulullah dan tidak mengambil hadis yang bertentangan dengan kefahaman dan tafsiran mereka.

Golongan Khawarij kemudian berkumpul serta berpusat di Nahrawan dan melantik Imam dan ketua perang mereka sendiri serta menubuhkan pasukan ketenteraan dan jamaah mereka dengan memiliki Imam solat, tukang azan dan mendirikan insititusi agama yang diharapkan dapat mengatasi ajaran Islam yang dikuasai oleh para sahabat rasulullah salallahualaihiwasalam.

Mereka mengkafirkan sejumlah besar para sahabat, khalifah-khalifah Islam dan umat Islam yang melakukan dosa besar serta maksiat pada pandangan mereka. Iman di sisi mereka ialah tetap dan tidak boleh berkurang dan jika berkurang pada seseorang kerana maksiat maka orang itu di sisi mereka telah menjadi kafir. Dakyah mereka sangat merbahaya sehingga mengakibatkan ramai para sahabat telah ditangkap dan dibunuh kerana pada anggapan mereka para sahabat rasulullah telah menjadi murtad disebabkan mereka tidak sefahaman dengan kepercayaan Khawarij.

Pokok seruan Khawarij ialah seperti berikut :

1) Kaum muslimin yang melakukan dosa besar adalah kafir
2) Al-Quran ditafsirkan menurut lafaz zahir
3) As-Sunnah tidak diterima sebagai hujah kerana nabi boleh tersalah dan tersilap dan para sahabat baginda tiada kelebihan bahkan kaum yang sesat
4) Pemimpin atau Imam boleh diangkat daripada sesiapa sahaja tidak semestinya daripada kaum Quraisy sebaliknya boleh jadi daripada hamba dan bahkan daripada kaum wanita.
5) Para sahabat yang terlibat di dalam perang Jamal, menerima majlis Tahkim ialah kafir.

Tokoh-tokoh utama Khawarij ialah Abdullah bin Wahhab ar-Rasyidi , Urwah bin Hudair , Mustarid bin Sa'ad , Hausarah al-Asadi , Quraib bin Maruah , Nafi' bin al-Azraq , Abdullah bin Basyir , Najdah bin Amir al-Hanafi yang mana setiap daripada mereka ini kemudian mempunyai pengikut dan menghasilkan cabang daripada ajaran Khawarij yang tambah menyesatkan dan menyeleweng daripada Islam yang lurus.

Sehingga kini sebilangan kecil Mazhab Kahwarij masih wujud di dunia Islam seperti kelompok Ibadi di Negara Oman, Zanzibar, dan Maghrib walaubagaimanapun mereka menolak untuk dikenali sebagai Khawarij.

Kesimpulannya Imam Al-Shahrastani menyatakan bahawa sesiapa yang keluar memberontak daripada Imam yang sah dilantik oleh jamaah umat Islam ialah Khawarij tidak kira apakah di zaman sahabat, tabien atau selepas mereka selama wujud Imam-imam yang sah. (Lihat : Kitab Al-Milal Wa Al-Nihal, Jilid 1, ms. 101)

Golongan salaf pula menjelaskan bahawa Khawarij ini ialah golongan yang beramal di dalam Islam menurut pendapat mereka sendiri dan mengambil ayat-ayat zahir di dalam Al-Quran tanpa merujuk kefahaman salaf soleh dan penafsiran rasulullah serta menolak hadis rasulullah dan tafsiran agama oleh para sahabat baginda.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada mereka.

Hukum Ahlul Sunnah Wal Jamaah Terhadap Khawarij

Disebut di dalam Kitab Al-Ahkam Sulthoniyah bahawa apabila berlaku perberontakan maka hendaklah di seru kedua-duanya kepada kitab Allah swt dan sunnah rasul-Nya maka sekiranya salah satu daripadanya enggan dan berdegil untuk berterusan menetap di atas kerosakkan maka mereka boleh diperangi.

Maksudnya :

“Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya tapi kalau yang satu melanggar Perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar Perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. kalau Dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu Berlaku adil; Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang Berlaku adil.” –Surah Al-Hujurah : 9.

Hakikatnya kefahaman khawarij pada zaman ini sebenarnya tidaklah sama seperti yang difahami oleh kebanyakkan ramai.

Pada zaman dahulu, khawarij muncul adalah disebabkan kerana fitnah harta, bermula di zaman Rasulullah salalahualaihiwasalam apabila seorang lelaki yang disebut sebagai bernama Dzul- Khuwairisah yang menegur Nabi supaya berlaku adil di dalam pembahagian harta sehinggalah kepada zaman Utsman bin Affan radiallahuanhu yang dibunuh oleh kumpulan Khawarij kerana masalah tanah di Iraq.

Rakyat yang gila harta di zaman tersebut mengambil peluang di atas politik Utsman yang lembut dan bertoleransi (Pemimpin yang adil dengan rakyat yang berhati serigala) untuk membuat tuntutan demi tuntutan melampau sehingga akhirnya membawa kepada pembunuhan Utsman radiallahuanhu. Kejahatan mereka jelas kelihatan dengan kelicikan mereka yang segera bergabung dengan Ali dan mengangkatnya sebagai Khalifah demi mengelakkan mereka daripada ditangkap begitu juga sikap mereka yang memulakan peperangan dengan Aisyah radilallahuanha dan tentera yang dipimpin oleh Talhah dan Zubair demi mengelakkan rahsia mereka pecah. Begitu juga peperangan dengan Muawiyah dilakukan demi memastikan mereka terselamat daripada diadili kerana membunuh Utsman sehingga apabila rencana mereka gagal kerana terbentuknya Majlis Tahkim yang mendamaikan para sahabat maka mereka akhirnya melarikan diri dan menuduh sesiapa yang menerima majlis Tahkim itu sebagai Kafir.

Tiada Hukum Selain Hukum Allah

لا حكم الا حكم الله

Seruan ini dipopularkan oleh Khawarij namun maksudnya adalah benar cuma digunakan oleh Khawarij pada jalan yang salah.

Mereka melaungkan slogan ini bukanlah demi untuk berhukum dengan hukum Allah kerana jika benar sedemikian pasti mereka mahu melaksanakan Qisos (bunuh balas) ke atas pembunuh Utsman sebaliknya mereka melaungkan slogan ini hanyalah sebagai retorik politik demi menolak Majlis Tahkim agar para sahabat berterusan berperang supaya mereka mudah menangguk di air yang keruh.

Perdamaian Ali bin Abi Tolib dan Muawiyah bin Abi Sufyan pasti akan membahayakan mereka kerana hal itu akan menyebabkan mereka akan diburu dan dibunuh oleh gabungan para sahabat (yang telah berhenti berperang) tersebut kerana mahu menuntut balas di atas pembunuhan Utsman bin Affan.

Mereka segera menyisih diri daripada pasukan Ali kononnya kerana membenci dan menolak dihukum dengan Majlis Tahkim hakikatnya mereka ketakutan dan melarikan diri dengan segera ke Nahrawan dan mengangkat Imam, pasukan perang dan melakukan persiapan perang kepada para sahabat.

Jumlah mereka ketika itu diriwayatkan hampir 6,000 orang.

Mereka ini sebenarnya adalah munafiq umat ini yang secara lisan dan zahir mereka seolah-olah beribadah kepada Allah dengan ibadah yang sangat mengkagumkan namun hati dan Iman mereka hanyalah senipis kulit bawang yang boleh dibeli dengan dunia.

Idealisme Khawarij pada umat sekarang masih wujud tetapi bukanlah kepada mereka yang menuntut supaya umat Islam melaksanakan Syariat Allah atau bukanlah pula kepada golongan yang berjuang dengan gigih jiwa dan harta mereka untuk menegakkan Islam.

Mereka itu bukanlah Khawarij sama sekali.

Sekalipun kumpulan mujahidin yang berjihad dengan jiwa dan raga mereka pada hari ini mendapat tentangan daripada musuh Islam dan pihak pemerintah di negara-negara mereka namun mereka ialah Ahlul Sunnah Wal Jamaah sebaliknya pihak pemerintah yang memerintah di kebanyakkan negara-negara Islam itulah yang merupakan Khawarij dan pemimpin-pemimpin yang sesat lagi menyesatkan.

Idealisme Khawarij ialah menafsirkan Al-Quran dan agama dengan akal serta kepentingan politik mereka dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan pemerintah.

Demikian juga sikap mereka yang menolak hadis dan tidak menerima tafsiran agama oleh para sahabat kerana menganggap mereka lebih bijak dan pandai daripada para sahabat baginda.

Jika kita perhatikan sikap mereka yang rajin beribadah di dalam upacara rasmi berarak di jalan-jalan mengangkat spanduk sewaktu program Maulidur Rasul dan hari kebesaran Islam jelas sekali menunjukkan secara zahir mereka beriman dan Islam tetapi pada hakikatnya Iman mereka hanyalah senipis kulit bawang yang boleh dijual beli dengan harga dunia. Mereka terkenal mengkafirkan umat Islam dan menghalalkan darah para pejuang Islam yang sebenar dengan memberi label sebagai pengganas, militan dan penjahat sehingga para pejuang kebenaran yang benar itu kelihatan salah dan boleh dibunuh tanpa perasaan bersalah dan orang yang salah serta tersangat jahat dan zalim itu dianggap benar.

Tidak sekadar itu mereka bahkan memuliakan orang-orang yang kafir dan menjalinkan kerjasama serta perkongsian kekayaan, membantu di dalam peperangan membunuh umat Islam seperti di Iraq dengan menyediakan pangkalan tentera, bekalan minyak dan bantuan kewangan sekalipun menyedari hasil sokongan mereka mendatangkan bencana dan pembunuhan ribuan nyawa umat Islam yang tidak bersalah.

Kesimpulannya para ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpendapat orang-orang Khawarij boleh diperangi dengan peperangan yang setaraf dengan kerosakkan yang dilakukan oleh mereka. Para ulama menyebut selama mereka masih dianggap sebagai Muslim, pembunuhan terhadap mereka tidaklah dilakukan sehinggalah mereka terlebih dahulu memerangi umat Islam.

Memerangi mereka adalah dilakukan sekadar untuk mencegah mudharat dan kerosakkan yang dilakukan oleh mereka serta usaha dakwah dan menasihati mereka untuk diajak kembali kepada Ahlul Sunnah Wal Jamaah hendaklah dilakukan selama mampu bagi mencontohi sikap Abdullah Ibnu Abbas radiallahuanhu yang meminta izin daripada Ali untuk memujuk golongan Khawarij.

Disebut di dalam Kitab Al-Ahkam Sulthoniyah bahawa apabila berlaku perberontakan maka hendaklah di seru kedua-duanya kepada kitab Allah swt dan sunnah rasul-Nya maka sekiranya salah satu daripadanya enggan dan berdegil mahu tetap di atas kerosakkan maka mereka boleh diperangi tetapi tidak boleh sama sekali bagi pihak yang berkuasa meminta atau menerima pertolongan orang yang kafir dalam memerangi pihak yang melampaui batas tadi. (lihat Al-Ahkam Sulthoniyah oleh Qadhi Abi Ya’la m/s 66)

Sebahagian ulama Islam serta dari riwayat Imam Ahmad ra seperti yang disebutkan di dalam kitab Al-Ahkam Sulthoniyah sendiri menyebutkan bahawa di larang mengunakan Manjanik (sejenis senjata dahulu semacam meriam) terhadap umat Islam yang memberontak atau disebut bughah (pada hari ini mereka dinamakan pengganas).

Ini semua membuktikan bahawa maruah dan nyawa seorang Muslim itu adalah sangat berharga berbanding seorang yang kafir sekalipun seorang Muslim itu berdosa.

Wallahu’alam.

Monday, April 05, 2010

Panduan Mudah Memagari Rumah dan Anak daripada Syaitan


Berikut ialah nasihat dan pedoman untuk memagari rumah dan anak-anak daripada gangguan syaitan seperti yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

1. Membaca surah Al-baqarah di dalam rumah

Rasullullah bersabda:"Janganlah jadikan rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya rumah yang dibacakan padanya surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan." (Hadis riwayat Muslim)

2. Membaca Bismillah sebelum masuk dan semasa keluar daripada rumah

3. Membaca ayat kursi kepada anak-anak sebelum tidur



{ اللَّهُ لا إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ }


4. Membaca doa berikut kepada anak, sambil tangan mengusap kepalanya :

اعذك بكلمات الله التامة من كل شيطان وشره

Maksudnya : “Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan kejahatannya.”

5. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur

Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan, bahawa apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbaring di perbaringan baginda pada malam hari, baginda menyatukan kedua telapak tangan baginda lalu baginda meniup keduanya dan membacakan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian baginda mengusap tubuh baginda yang mampu diusap dengan kedua tangannya. Baginda mulai dari kepala, wajah, dan bahagian muka tubuhnya. Baginda melakukan hal itu tiga kali.“ (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)

6. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam

Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, maksudnya: “Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan membersihkan hidungnya tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Disebut dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang membaca 100 kali :

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير


dibuat untuknya benteng sebagai pelindung dari syaitan pada hari tersebut hingga ke petang.

p/s :

Demi menjadikan amalan di atas berkesan maka terlebih dahulu orang yang mengamalkannya haruslah beriman dan melaksanakan perintah Al-Quran itu sendiri serta membersihkan diri dan ahli keluarganya daripada syirik dan maksiat kepada Allah SWT kerana tiadalah makbul doa melainkan dari jiwa yang suci daripada syirik dan derhaka kepada Allah SWT.