Thursday, June 05, 2014

Menghargai kehidupan dengan memanfaatkan waktu

Kehidupan ini bagi orang yang singkat pemikiran ialah cuma sekadar masa-masa yang berlalu. Mereka tidak mengerti kepentingannya, tidak menghargai waktu dan selalu merasa bosan dengannya. Sungguh seandainya mereka mengetahui bahawa berlalunya waktu itu bermaksud telah hampir kematian dengan diri mereka dan telah berlalu usia dan kehidupan mereka maka nescaya barulah mereka akan sentiasa memanfaatkannya dengan bersungguh-sungguh.

Benarlah kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang diriwayatkan berkata;

يا ابن آدم إنما أنت أيام ! ، فإذا ذهب يوم ذهب بعضك
Wahai anak Adam, kamu sesungguhnya hanyalah sekadar himpunan hari-hari. Lalu apabila sehari telah berlalu maka sebahagian daripada dirimu juga telah hilang.

Kerana itu disebut bahawa الوقت هو الحياة waktu itu ialah kehidupan.

Jika masih bujang, segeralah bernikah, jika sudah bernikah segeralah beranak dan mencari pekerjaan, jika sudah bekerja, segeralah membina perancangan hidup dan mempertingkatkan kualiti kehidupan dan jika sudah berkeluarga maka segeralah beramal dan membuat persediaan untuk membesarkan anak-anak.

Jika masih belajar, manfaatkan waktu dengan ilmu, jika sudah mengajar maka manfaatkan waktu dengan beramal dan menyampaikan ilmu. Jangan dibuang masa ke arah yang tidak berguna dan menjadi penyesalan di hari kemudiaan.

Andai masih punya waktu terluang di rumah, buatlah kuih, keluar menghadiri majlis ilmu, menziarahi sanak-saudara, orang sakit, ahli keluarga atau meluangkan masa mendidik anak-anak dan menjalinkan hubungan cinta antara suami dan isteri.

Jangan sesekali membuang waktu, kerana mereka yang sudah berada di dalam kubur pasti sangat mencemburui dirimu !

Dua punca masalah sebenar umat Islam

Di dalam sebuah hadith yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dan Ahmad, daripada riwayat Abdullah bin Mas'ud RA ada menjelaskan kepada kita tentang punca sebenar yang menjadi pokok permasalahan umat dan penyebab kerosakan dan kehancuran umat Islam.

Dua perkara itu ialah ;

يقولون ما لا يفعلون ويفعلون ما لا يؤمرون

'Mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan perkara yang tidak diperintahkan.'

1. Mengatakan apa yang mereka tidak lakukan ialah merupakan salah satu daripada sifat munafik yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam. Golongan ini cukup pandai bercakap tentang deen dan sebagainya namun tiada suatu pun usaha yang 'konkrit' dan berkesan dilakukan bagi menyelesaikan masalah umat Islam.

2. Melakukan atau membuat perkara yang tidak disuruh atau diperintahkan oleh Allah dan Rasul pula ialah bermaksud melakukan bid'ah dalam agama. Apa yang disuruh oleh Islam dan al-sunnah ditinggalkan sebaliknya apa yang tidak disuruh itu pula yang beriya-iya hendak dibuat atas alasan apa salahnya ?

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

ما من نبي بعثه الله في أمة قبلي إلا كان له من أمته حواريون وأصحاب يأخذون بسنته ويقتدون بأمره ثم إنها تخلف من بعدهم خلوف يقولون ما لا يفعلون ويفعلون ما لا يؤمرون فمن جاهدهم بيده فهو مؤمن ومن جاهدهم بلسانه فهو مؤمن ومن جاهدهم بقلبه فهو مؤمن وليس من وراء ذلك من الإيمان حبة خردل

'Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah di tengah-tengah umatnya sebelumku kecuali terdapat di kalangan umatnya kaum hawariyun (para pengikut yang setia) dan para sahabat yang akan mengikuti sunnahnya dan mentaati perintahnya. Kemudian akan muncul setelah mereka akan generasi yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad menghadapi mereka dengan tangannya maka dia adalah Mukmin. Dan barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hartanya maka dia adalah mukmin, dan barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya maka dia adalah mukmin. Dan tidak ada lagi selepas itu dari keimanan walaupun seberat biji sawi.' [Riwayat Muslim]

Menentang dua golongan ini adalah sebuah jihad !

Agar hati menjadi lembut

Diriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa ada seorang lelaki mendatangi Nabi salalahualaihiwassalam dan mengadu tentang hatinya yang keras lalu baginda salallahualaihiwassalam pun pernah bersabda;

أتحب أن يلين قلبك وتدرك حاجتك أرحم اليتيم وامسح رأسه وأطعمه من طعامك يلن قلبك وتدرك حاجتك

'Adakah kamu suka supaya hatimu menjadi lembut dan hajat kamu dapat dicapai? Maka sayangilah anak yatim, usaplah kepala mereka dan berikanlah mereka makan daripada makanan kamu nescaya hati kamu akan menjadi lembut dan hajat kamu akan dapat dicapai.' [Riwayat Al-Tabarani, disahihkan oleh Syeikh Albani]

# Kerasnya hati adalah petanda ditariknya nikmat dan rahmat kerana Allah SWT telah berfirman;

فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

"Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang hatinya keras untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata [Az-Zumar:22]

Thursday, May 15, 2014

Wali Allah ialah orang yang paling kuat mengikut al-sunnah dan menjauhi bid'ah

Kata orang yang jahil, mereka yang menjadi wali Allah itu, sudah tentu lebih faham tentang al-Quran dan al-sunnah dari kita. Ini kenyataan bathil, ayat ahli bid'ah dan golongan zindiq yang jahil tentang al-Quran dan al-sunnah, mereka beribadah dengan mengikut hawa nafsu kemudian 'perasan' mereka sudah menjadi wali kerana diberi keramat atau kelebihan tertentu sedangkan semuanya itu adalah talbis iblis dan tipudaya syaitan.

Orang kafir pun ada yang diberi kelebihan, itu bukan petanda mereka betul.

Sebabnya mereka yang jahil menganggap kena jadi wali dulu baru dapat 'ilmu' tentang Allah, tentang al-Quran dan tentang al-sunnah.

Hakikatnya wali Allah itu ialah orang yang paling beriman dan yang paling dekat dengan sunnah Nabi salallahualaihiwassalam, paling patuh dan taat kepada Allah dan rasul-Nya. Kemudian orang yang ingin menjadi wali Allah (kekasih Allah) itu hendaklah terlebih dahulu memahami al-Quran dan al-sunnah.

Bak kata Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya, العلم قبل القول والعمل 'Bab Berilmu sebelum berkata dan beramal.' Kerana jika kita tidak ada ilmu maka segala amalan dan perkataan akan menjadi sia-sia dan menyesatkan.

Bahkan Nabi salallahualaihiwassalam yang merupakan wali Allah yang 'original' bersabda ;
من يرد الله به خيرا يفقه في الدين
Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya maka Allah akan menjadikan dia faqih dalam urusan agama.' [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Jadi faqih dalam agama itu bermakna Allah dorong dia untuk belajar supaya jadi alim tentang deen Islam. Para sahabat Nabi Salallahualaihiwassalam yang merupakan generasi yang paling terbaik itu pun kena pergi mengaji bukan duduk-duduk saja atau sekadar zikir tunggu mimpi.

Contohnya sahabat Nabi yang bernama Jabir bin Abdullah RA (wafat 74 hijrah) yang tinggal di Madinah, terpaksa mengembara selama sebulan perjalanan untuk belajar tentang sebuah hadith dari Abdullah bin Unais RA yang berada di Syam. Bukan seorang tetapi ramai lagi seperti Abu Ayyub al-ansori dan lain-lain.

Hal yang sama dilakukan oleh tokoh umat yang warak lagi bertaqwa seperti Imam al-Syafi'ie, Imam Ahmad, Imam Al-Bukhari dan lain-lain ulama yang mengembara timur dan barat mencari ilmu.

Kata Imam Ibn Jauzi rahimahullah ;
طاف الإمام أحمد بن حنبل الدنيا مرتين حتى جمع المسند
Imam Ahmad bin Hambal mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehingga dia dapat mengumpulkan kitab hadith musnad.'

Ini barulah wali Allah yang sebenar, para ulama al-sunnah yang ilmu dan amal mereka benar-benar mengikut sunnah Rasulullah bukannya sekadar pandai zikir, bernasyid, menari joget lalu mimpi jumpa Nabi kemudian mengaku wali.

ِAkhir kata, Imam al-Syafie rahimahullah berpesan dengan berkata ;

إذا رأيتم الرجل يمشي على الماء ويطير في الهواء فلا تغتروا به حتى تعرضوا أمره على الكتاب والسنة

'Jika kamu melihat ada orang yang berjalan di atas air atau berjalan di atas angin maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehinggalah kamu menilai amalannya dengan al-Quran dan al-sunnah.'

Kebaikan itu dibina di atas prinsip meninggalkan keburukan


Setiap kebaikan yang ingin kita lakukan adalah terbina dengan meninggalkan keburukan. Dengan berzikir mengingati Allah bermaksud kita akan meninggalkan kelalaian dan kealpaan. Dengan bertauhid bermaksud kita akan meninggalkan syirik dan kekufuran. Dengan mendirikan solat bermaksud kita akan meninggalkan perbuatan keji dan mungkar, dengan berpuasa bermaksud kita akan meninggalkan hawa nafsu dan syahwat.

Maka istighfar dan taubat juga terbina di atas meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Justeru apabila seseorang itu bermaksud hendak mendirikan al-sunnah, mengajak kepada mengikuti al-kitab dan al-sunnah maka ianya tidak akan tertegak tanpa seruan untuk mengajak meninggalkan bid'ah dan kebathilan yang bercanggah dengan al-haq dan jalan menuju Allah.

Islam tanpa al-baraa'ah atau pemisahan daripada kebathilan ialah Islam yang palsu atau seruan yang keliru.

Sedang Allah SWT telah berfiman;

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى

“Barangsiapa yang kufur terhadap thaghut dan beriman kepada Allah, maka dia itu telah berpegang teguh kepada simpulan tali yang sangat kukuh.” (Al Baqarah: 256)

Begitu juga Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan teladan dengan menyebut;

وَأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Dan aku tinggalkan kamu dan apa yang kamu seru selain Allah” (Maryam: 48)

Inilah Iman yang diajarkan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui seruan supaya mencintai dan membenci kerana Allah (الحب و البغض في الله).

Beliau faqir dan tidak mempunyai harta

Komen Imam Adz-Zahabi rahimahullah tentang keperibadian Syeikhul Islam, Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;

ما رأيت في هذا العالم أكرم منه ، ولا أفرغ منه عن الدنيا والدرهم ، لا يذكره ، ولا أظنه يدور في ذهنه ، وفيه مروءة ، وقيام مع أصحابه ، وسعي في مصالحهم ، وهو فقير لا مال له

'Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih mulia di alam ini daripada beliau (Ibn Taimiyyah) dan jiwanya tidaklah dipengaruhi oleh dunia dan dirham bahkan langsung tidak disebutkan olehnya dan tidak sama sekali aku menyangka ia berada dalam fikirannya. Pada dirinya ada sifat muruah (iaitu sifat kemuliaan insan) dan beliau sering berdiri bersama para sahabatnya, serta berusaha memenuhi maslahat mereka. Dan beliau (Imam Ibn Taimiyyah) faqir, lagi tidak mempunyai harta.....'

[Adh-Dhayl 'alaa Tabaqat al-Hanabilah]

# Kasihan sang Imam yang menjadi rujukan ummah, hidupnya dalam penjara, dunianya miskin, sedang seluruh dunia sehingga kini menjadikan karya dan ilmunya sebagai rujukan dan pelajaran.

Semoga Allah merahmati sang Imam dan memberi ganti yang lebih baik di sini-Nya.

Tuesday, April 08, 2014

Jangan memandang rendah pada apa jua amalan kebaikan

 
Diriwayatkan daripada seorang sahabat bernama Abu Juray al-Hujaymi RA (nama sebenarnya Jabir bin Sulaim) yang berkata aku mendatangi Rasulullah salallahualaihiwassalam lalu bertanya kepada baginda;

 يا رسول الله ؟ إنا قوم من أهل البادية فعلمنا شيئاً ينفعنا الله تبارك وتعالى به

‘Ya rasulullah, kami ialah kaum daripada padang pasir, maka ajarkanlah kami sesuatu yang dapat memanfaatkan kami di sisi Allah tabaraka wata'ala.

Lalu baginda pun bersabda :

 لا تحقرن من المعروف شيئاً ولو أن تفرغ من دلوك في إناء المستقي، ولو أن تكلم أخاك ووجهك إليه منبسطاً

‘Janganlah kamu memandang rendah perbuatan baik sekalipun sekadar mengosongkan baldimu ke dalam bekas minuman orang yang ingin minum dan sekalipun sekadar berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang ceria.’ [Riwayat Ahmad]

Diriwayatkan dalam hadith yang lain, Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : ‘Ada seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam syurga kerana sewaktu di dunia dahulu pernah mengalihkan sebatang dahan pokok yang menganggu kaum muslimin di jalanan.’ [Riwayat Muslim]