Tuesday, February 25, 2014

Tidak semua kritikan itu diterima walaupun yang mengkritiknya ialah seorang tokoh

Perkataan seorang ustaz, tokoh atau ulama' kepada ustaz dan tokoh yang lain adalah tidak diterima kecuali dengan bukti dan hujah yang benar

Disebutkan oleh Imam Adz-Zahabi rahimahullah, (seorang pakar ilmu rijal dan riwayat tentang biografi serta Jarh wa Ta'dil yang merupakan ilmu kritik perawi dalam hadith) dalam kitabnya Siyar A'lam al-Nubala tentang perkataan seseorang tokoh kepada seorang tokoh yang lain yang didorong oleh hawa nafsu dan fanatik atau wujud pertengkaran antara mereka itu maka ianya adalah tidak patut diterima.

Beliau menyebut;

كلام الأقران إذا تبرهن لنا أنه بهوى وعصبية لا يلتفت إليه بل يطوى ولا يروى
'Perkataan mereka yang sebaya atau setaraf, jika terbukti kepada kita bahawa ianya didorong oleh hawa nafsu dan sifat asobiyyah (fanatik) maka ianya tidaklah perlu dihiraukan bahkan perlu ditutup dan tidak diriwayatkan.' [Siyar A'lam al-Nubala]

Hal yang sama disebutkan oleh beliau dalam kitab yang lain dengan mengatakan;

وكلام الأقران بعضِهم في بعضٍ لا يعبأ به لا سيما إذا لاح لك أنه لعداوة أو لمذهب أو لحسد وما ينجو منه إلاّ من عصمه الله، وما علمت أنّ عصرًا من الأعصار سَلِمَ أهلُهُ من ذلك سِوَى الأنبياءِ والصدِّيقين
' Perkataan rakan sebaya di antara satu sama lain tidaklah diambil kira, tambahan pula apabila jelas kepada kamu bahawa ianya adalah disebabkan oleh permusuhan antara mereka atau kerana perbezaan mazhab atau disebabkan kerana hasad. Dan tidaklah ada sesiapa yang terselamat dari sifat-sifat ini pada dirinya kecuali mereka yang dimaksumkan oleh Allah (diselamatkan Allah) dan aku tidaklah mengetahui bahawa adanya dari zaman ke zaman mereka yang terselamat dari sifat ini selain para anbiya (nabi-nabi) dan siddiqin.' [Mizan al-Iktidal]

# Dalam sejarah, kritikan seseorang tokoh kepada tokoh yang lain adalah merupakan suatu perkara yang lazim dan kerap berlaku. Ianya berpunca dari banyak sebab antaranya seperti perbezaan mazhab, perselisihan aliran pemikiran, hasad dan dengki, permusuhan dan pertengkaran serta wujud masalah peribadi.

# Sebagai Muslim, kita harus cerdik dan tidak taasub dalam menilai kritikan seseorang tokoh kepada tokoh yang lain. Contohnya Imam Yahya bin Ma'in rahimahullah pernah mendhaifkan Imam al-Syafi'ie dengan mengatakan (ليس بثقة) beliau tidak siqah. Begitu juga beliau pernah mendhaifkan para ulama' seperti Imam Al-Zuhri, Imam Thawus, Imam Al-Auzaie rahimahullah. Imam Al-Auzaie dikatakan tidak alim dan sebagainya. Namun hal ini dibantah oleh Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah dan lain-lain ulama'.

Tidak ada tokoh dan ulama' yang tidak mempunyai kisah silam dan kelemahan atau kesilapan. Tugas kita ialah mengambil manfaat bukan mencari kesalahan dan aib insan!

Keseorangan di jalan dakwah itu lumrah

Mehnah dan ujian di jalan dakwah

Diriwayatkan daripada seorang tabien yang masyhur bernama Uwais bin Amir (Uwais al-Qarni) rahimahullah yang berkata;

إن الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر لم يدعا للمؤمن صديقا : نأمرهم بالمعروف ، فيشتمون أعراضنا ، ويجدون في ذلك أعوانا من الفاسقين ، حتى والله لقد رموني بالعظائم ، وايم الله ، لا أدع أن أقوم فيهم بحقه

'Sesungguhnya melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar itu akan menyebabkan seorang mukmin itu tidak mempunyai kawan. Apabila kita mengajak mereka kepada kebaikan maka mereka pun akan mencela kehormatan kita dan mencari penyokong daripada kalangan orang yang fasik (untuk melakukan kerosakan kepada kehormatan diri kita).

Sesungguhnya demi Allah, mereka telah menuduh aku dengan pelbagai tuduhan buruk yang dahsyat. Namun Demi Allah juga, aku sama sekali tidak akan meninggalkan untuk menegakkan (amar makruf nahi mungkar) kepada mereka dengan kewajipannya.'

[Kitab Al-I'tishom, Al-Syatibi]

# Uwais bin Amir al-Qarni merupakan Imam dan penghulu para tabien, salah seorang wali Allah yang masyhur diriwayatkan oleh para ulama hadith akan kelebihannya. Sebahagian riwayat mengatakan beliau meninggal pada tahun 37 hijrah di dalam peperangan Siffin, menyertai pasukan Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib RA dan ada pula yang mengatakan beliau terbunuh di peperangan di Azerbaijan. WA

# Jika tokoh seperti Uwais al-Qarni RA pun memberitahu kita bahawa dakwah dan amar makruf nahi mungkar itu menyebabkan beliau kehilangan kawan, dituduh dan difitnah bermacam-macam, apatah lagi kita yang bukan wali Allah dan orang biasa yang mempunyai banyak kelemahan?

Dakwah ternyata bukan jalan mudah, tetapi ia kewajipan yang boleh membawa kita ke syurga Allah !

Monday, February 24, 2014

Persahabatan yang bermanfaat di hari akhirat

Bersahabat dan menambah kenalan dengan orang yang beriman adalah sunnah.

Termasuk amalan sunnah yang sudah ditinggalkan ialah mencari kawan-kawan baru dan bersahabat kerana Allah. Para salaf selalu menziarahi sahabat-sahabat mereka kerana Allah dan menjaga hak-hak ukhuwah sesama mereka.

Kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah;
استكثروا في الأصدقاء المؤمنين فإن لهم شفاعة يوم القيامة
'Perbanyakkanlah berkawan dengan orang yang beriman kerana mereka itu dapat menjadi pemberi syafaat (kepada kita) di hari kiamat.'

Di dalam hadith ada disebut bahawa di hari akhirat nanti orang yang beriman itu akan dapat memberi syafaat kepada saudaranya yang berada di dalam neraka. Mereka itu akan berkata ;
ربنا كانوا يصومون معنا ويصلون ويحجون، فيقال لهم: أخرجوا من عرفتم
'Wahai Tuhan kami, mereka (yang di dalam neraka itu) dahulu pernah berpuasa, bersolat dan mengerjakan haji bersama kami, maka dikatakan kepada mereka. 'Keluarkanlah (mereka itu dari neraka) sesiapa yang kamu kenali.' [Hadith sahih riwayat Muslim]

Bahkan ketika menyebut tentang hadith ini maka Imam Ibn Jauzi rahimahullah berkata kepada sahabat-sahabatnya;
إن لم تجدوني في الجنة بينكم فاسألوا عني وقولوا : يا ربنا عبدك فلان كان يذكرنا بك
'Jika kalian tidak menemukan aku di syurga, maka tanyakanlah tentang aku kepada Allah dan bermohonlah kepadanya: ’Wahai Tuhan kami, hambaMu fulan, dahulu dia pernah mengingatkan kami untuk mengingati Engkau.'

Lalu beliau (Imam Ibn Jauzi) pun menangis.

# Biarpun kita bukanlah orang yang baik namun cintailah orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang baik kerana baginda salallahuallahualaihiwassalam pernah bersabda; أنت مع من أحببت 'Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.' [Riwayat al-Bukhari]

Para ulama terbahagi kepada 3 golongan

Diriwayatkan bahawa Imam Sufyan Al-Sauri Rahimahullah pernah berpesan;

كان يقال العلماء ثلاثة : عالم بالله عالم بأمر الله ، وعالم بالله ليس بعالم بأمر الله ، وعالم بأمر الله ليس بعالم بالله . فالعالم بالله وبأمر الله : الذي يخشى الله تعالى ويعلم الحدود والفرائض ، والعالم بالله ليس بعالم بأمر الله : الذي يخشى الله ولا يعلم الحدود ولا الفرائض . والعالم بأمر الله ليس العالم بالله : الذي يعلم الحدود والفرائض ولا يخشى الله عز وجل

'Pernah disebutkan bahawa para ulama' itu terbahagi kepada tiga golongan, iaitu si alim yang mengetahui tentang Allah dan juga mengetahui tentang perintah Allah, dan si alim yang mengetahui tentang Allah tetapi tidak mengetahui tentang perintah Allah serta orang alim yang mengetahui tentang perintah Allah tetapi tidak mengetahui tentang Allah.

Adapun yang dikatakan si alim yang mengetahui tentang Allah dan juga perintah-Nya ialah orang alim yang takut kepada Allah ta'ala, serta mengetahui tentang batas dan kewajipan agamanya.

Manakala orang alim yang mengetahui tentang Allah tetapi tidak mengetahui tentang perintah Allah ialah orang yang takut kepada Allah tetapi tidak mengetahui tentang perintah, batas dan kewajipan agamanya.

Kemudian orang alim yang mengetahui tentang perintah Allah tetapi tidak mengetahui tentang Allah ialah mereka yang mengetahui tentang batas dan kewajipan dalam agama tetapi tidak merasa takut kepada Allah Azza waJalla.'

[Tafsir Al-Quran al-Azim, Ibn Katsir]

# Kata Imam Ibn Sirin Rahimahullah;
إذا أراد الله عز وجل بعبده خيراً جعل له واعظا من قلبه يأمره وينهاه
'Apabila Allah Azza Wajalla mengehendaki kebaikan kepada seorang hamba-Nya, maka dijadikan baginya penasihat dari dalam hatinya yang memerintahkannya (kepada kebaikan) dan melarangnya (dari keburukan).'

[Hilyah Al-Awliya, Abu Nuaym]

Thursday, February 20, 2014

Kenapa terjadi fitnah pada seseorang?

Pesan Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah;

الفتنة لها سببان: إما ضعف العلم، وإما ضعف الصبر، فإن الجهل والظلم أصل الشر

'Fitnah memiliki dua sebab: (1) Sama ada kerana kelemahan dalam ilmu, atau kerana (2) Kelemahan dalam sabar. Sesungguhnya kebodohan dan kezaliman itu adalah pokok atau asal bagi segala keburukan.'

[Al-Furu', Ibn Muflih]

# Imam Ibn Muflih rahimahullah, ialah salah seorang daripada murid Imam Ibn Taimiyyah.

# Kelemahan kita dalam ilmu menyebabkan keputusan dan tindakan kita sering menyalahi kehendak syarak atau tidak menguntungkan agama. Betapa ramai orang kerana lemahnya pengetahuan dalam fiqh dan kefahaman terhadap al-sunnah telah membuat keputusan-keputusan yang merugikan agama dan hidupnya...

Tuesday, February 18, 2014

Anti-Hadith, pegangan orang-orang yang rugi di dunia dan akhirat

Dalam sebuah hadith yang sahih diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah salallahualaihiwassalam telah bersabda;
يوشك أن يقعد الرجل متكئاً على أريكته يحدث بحديث من حديثي فيقول بيننا وبينكم كتاب الله ، فما وجدنا فيه من حلال استحللناه ، وما وجدنا فيه من حرام حرمناه ، ألا وإن ما حرم رسول الله مثل ما حرم الله

'Akan datang (suatu zaman) apabila ada orang yang bersandar di tempat duduknya, meriwayatkan sebuah hadith daripada hadith aku, lalu kemudian dia berkata; 'Antara kami dan kamu ialah kitab Allah, apa yang kami dapati di dalamnya halal maka ianya halal dan apa yang kami dapati di dalamnya haram maka kami akan haramkannya. Ketahuilah, sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah.' [Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim]

Allah juga berfirman dalam surah Al-Nisa;
مَنْ يُطِعْ الرَّسُول فَقَدْ أَطَاعَ اللَّه
"Barangsiapa yang mentaati rasul, maka dia telah mentaati Allah.' [An-Nisa:80]

# Kemunculan mereka ini sudah diramalkan oleh Nabi Salallahualaihiwassalam, dan keadaan mereka ialah sangat bersenang-lenang dengan dunia, bercakap agama sambil bersandar atas kerusi mereka.

# Mereka akan mengatakan pegangan mereka cuma al-Quran sedangkan baginda Rasulullah menegaskan bahawa hadith dan sunnah baginda ialah sama dengan apa yang dibawa oleh Al-Quran.

Nasib mereka ini disebut dalam hadith yang lain, bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda; 'Setiap umatku akan masuk ke syurga kecuali orang yang engkar. Lalu para sahabat bertanya, siapa yang enggan wahai Rasulullah? baginda menjawab;
من أطاعني دخل الجنة، ومن عصاني فقد أبى
'Barangsiapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan barangsiapa yang menderhaka kepada aku maka dia termasuk di kalangan orang yang enggan.' [Riwayat Al-Bukhari]

Wednesday, February 12, 2014

Solat sunat selepas 'Akad Nikah', kekeliruan dan salah faham orang awam

Sepatutnya solat sunat selepas akad nikah tidak ada, ianya perkara baru. Biarpun yang melakukannya ialah artis dan orang terkenal namun tidaklah boleh diikuti apabila ianya menyalahi al-sunnah.

Apa yang dianjurkan ialah melakukan sujud syukur kepada Allah jika mahu dilakukan kerana telah mendapat nikmat isteri atau kerana terlalu gembira. Daripada Abi bakrah RA bahawa;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا أتاه أمر يسره وبشر به خر ساجدا شكرا لله تعالى
'Nabi Salallahualaihiwassalam apabila mendapati berita yang membuatkan baginda menjadi gembira maka baginda pun akan turun sujud menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT.' [Riwayat Ahmad, al-Tirmidzi dan lain-lain]

Tidak ada solat sunat selepas akad nikah, di depan orang ramai, dihadapan kamera dan lain-lain.

Adapun solat sunat yang dianjurkan ialah solat sunat ketika masuk menemui isteri dalam bilik daripada hadith Abu Said yang meriwayatkan bahawa ;
أن نفراً من أصحاب الرسول صلى الله عليه وسلم علّموه فقالوا له : إذا دخل عليك أهلك فصل ركعتين ثم سل الله من خير ما دخل عليك وتعوّذ به من شرّه
'Sekumpulan daripada sahabat rasulullah salallahualaihiwassalam telah mengajarnya dengan mengatakan apabila kamu masuk menemui pasanganmu maka solatlah dua rakaat lalu berdoa kepada Allah supaya meminta kebaikan yang ada padanya dan meminta perlindungan dari keburukannya.' [Riwayat Abd Razak] dan juga hadith dari riwayat Ibn Mas'ud RA yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah.

Inilah solat yang dianjurkan iaitu solat sebelum jimak (bersetubuh).

Kedua-dua hadith menyarankan dilakukan solat sunat ketika suami masuk menemui isteri dalam bilik berdua-duaan bukan ketika depan orang ramai dengan siap ditangkap gambar dan sebagainya lagi.

Hal itu adalah tidak benar dan menyalahi al-sunnah.

Allah SWT menyebut;

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

“(Hamba-hamba Allah yang diberi khabar gembira itu sifatnya ialah) Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.” (Az Zumar: 18)