Thursday, February 06, 2014

Jangan membandingkan para ulama', asatizah dan para pendakwah di antara satu sama-lain

Termasuk budaya buruk yang berkembang dikalangan ahli ilmu dan anak-anak muda zaman sekarang ialah sikap suka membandingkan alim ulama' dan para asatizah akan yang manakah lebih alim dan yang mana lebih berilmu sedangkan ianya tak wajar dilakukan kerana termasuk dalam akhlak yang buruk dan tidak boleh diukur keilmuan seseorang hanya pada status 'degree' atau kerana ada Phd.

Tidak patut seseorang berkata, ustaz itu lebih alim dari ustaz ini, atau syeikh fulan lebih alim dari tok guru atau syeikh fulan, kerana siapa kita untuk menilai mereka? Sedang setiap alim dan para asatizah itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan;

أن الاشتغال بالتفضيل بين بعض المذاهب ، أو الشيوخ المتبوعين ، وتنقص الآخرين ، هو من أصول أهل البدع

'Sesungguhnya perbuatan menyibukkan diri dengan membeza-bezakan keutamaan di antara sebahagian mazhab ke atas mazhab yang lain, atau membandingkan antara syeikh-syeikh yang lebih patut diikuti dan kemudian merendahkan pihak yang lain, hal ini adalah termasuk dasar ahli bid’ah....[Majmuk al-fatawa, Ibn Taimiyyah]

Imam Abu Hanifah Rahimahullah pernah ditanya tentang Alqomah bin Qais dan juga al-Aswad bin Yazid, antara mereka berdua siapakah yang lebih alim ? Lalu dijawab ;
واللَه ما نحن بأهلٍ أن نذكرهم ؛ فكيف نفضل بينهم
'Demi Allah, kita bukanlah orang yang selayaknya untuk bercakap tentang peribadi mereka, lalu bagaimana kita boleh membandingkan antara mereka ?'

Di dalam Kitab Al-Asybah Wan Nazoir, Imam Tajuddin al-Subki rahimahullah ada menyatakan bahawa perbuatan membandingkan para ulama' adalah buruk dan membawa dosa serta merugikan dunia dan akhirat.

# Para ulama itu diambil ilmu mereka dan dimaafkan kesalahan mereka. Perbuatan membanding-bandingkan antara mereka tidak wajar dilakukan oleh orang awam dan para penuntut ilmu.

# Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Kecelaruan dan tertipu dalam menuntut ilmu

Tidakkah kita berasa hairan apabila saban tahun kita menuntut ilmu tetapi tidak membawa apa-apa perubahan pada amal dan perbuatan? Ramai orang suka menghadiri kelas-kelas agama dan kuliah ilmu. Bahkan semakin ramai yang suka mendengar kuliah sang Ustaz, Dr, Prof tertentu kerana kuliahnya dianggap berilmu dan bermutu.

Namun macam ada sesuatu yang tidak kena, apabila ramai yang hadir kerana tertawan dengan hujah, kepetahan dan ketinggian ilmu sang guru. Seolah-olah kita datang untuk menyaksikan 'pertunjukan ilmu' dan seronok dengan fakta, dalil dan hujah-hujah ilmu yang ditaburkan.

# Sedangkan ilmu adalah untuk menjadikan kita dekat dengan Tuhan, menambah amal dan menjauhi perkara yang dilarang. Bukan hiburan yang menyeronokkan dan pengetahuan yang melalaikan.

Allah Azza wajalla berfirman;
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu.” (Asy-Syams: 9)

# Kita sepatutnya hadir bukan kerana 'Kehebatan sang guru' tetapi kerana 'kelemahan sang murid' iaitu kerana diri kita memerlukan pembaikan dan perlu diperbetulkan dengan ilmu yang benar dari al-Kitab dan al-sunnah.

# Kita sepatutnya rasa takut kala menuntut ilmu bukan seronok kerana mengetahui benda baru. Tetapi takut dan bimbang jika tidak dapat mengamalkan ilmu tersebut. Kerana ia akan menjadi bebanan dihari akhirat dan akan dipersoalkan.

Begitu juga dengan buku, kita suka yang bernota kaki banyak, seolah-olah ianya bermutu. Kita merasa macam seorang ahli akademik dan bangga memikulnya dan gembira orang melihat kita membacanya.

# Sedang al-Quran tidak ada nota kaki, adapun hadith Nabi Salallahualaihiwassalam datang secara 'jawamiul kalim' iaitu ucapan yang ringkas dan padat maksudnya.

# Buku yang baik bukanlah yang banyak nota kaki tetapi buku yang ditulis dengan dalil yang jelas dan terang, penjelasan yang bermanfaat dan hikmah yang memberi kekuatan untuk pembacanya beramal mencari keredhaan Allah.

Demikianlah method Sahih al-Bukhari ditulis, Riyadh al-Solihin dan lain-lain.

Semoga Allah memelihara kita dari tertipu oleh Iblis di atas nama keilmuan...

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ

Penceramah semakin ramai dan ulama' semakin sedikit

Diriwayatkan bahawa sahabat Nabi yang bernama Abdullah bin Mas'ud RA pernah berkata kepada sahabat-sahabatnya ;

إنكم في زمان: كثير علماؤه قليل خطباؤه، وسيأتي بعدكم زمان: قليل علماؤه كثير خطباؤه

'Kamu berada di zaman yang sekarang ini ulamanya ramai dan tukang ceramahnya sedikit, nanti akan datang pula selepas kamu semua suatu zaman apabila tukang ceramahnya ramai dan ulamanya pula sedikit.'

[Qowa’id fi at-Ta’amul ma’al ‘Ulama]

Riwayat ini juga dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dari Abdullah bin Mas'ud di dalam Al-Adab Al-Mufrad dan dari jalan Abu Dzar RA yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad.

# Pendakwah, penceramah, ulama' perlulah dibezakan dan belum tentu orangnya adalah sama. Apa yang ingin dimaksudkan ialah, zaman dahulu keilmuan banyak sehingga ulamanya ramai, tukang cakap dan penceramah sedikit sebab orang lebih bertumpu untuk mengaji ilmu. Kini, ulama sedikit dan penceramah ramai sebab orang suka dengar ceramah, adapun pengajian ilmiah makin sedikit. WA

Sunday, January 26, 2014

Siapa yang ingin masuk ke syurga ?



Ada seorang Ustaz sedang berceramah kepada sekumpulan pelajarnya.

Saat tengah berceramah, tiba-tiba sang Ustaz pun bertanya kepada murid-muridnya, siapakah di antara kamu semua yang ingin masuk ke syurga ?

Semua murid pun menjawab : Sayaaa....kuat dan bersemangat jawapannya.

Kemudian sang Ustaz bertanya lagi : Siapakah di antara kamu semua yang mencintai Allah ?

Semua muridnya itu pun menjawab lagi : Sayaaa...Lebih kuat dan lebih bersemangat dari tadi.

Lalu kemudian sang Ustaz pun berkata sebagai reaksi kepada jawapan mereka : Jadi siapakah di antara kamu semua yang ingin mati pada hari ini ?

Langsung diam dan senyap bilik kuliah tersebut....Tiada lagi orang yang menjawab mengatakan saya atau sebagainya....

Ya, kematian itu sangat dibenci tetapi bukankah jika kita benar-benar sangat mencintai Allah maka kita akan berasa rindu dan ingin segera bertemu dengan-Nya ?

Bukankah jika kita tidak mati maka kita tidak akan dapat pergi ke syurga ?

Semua diam, tidak menjawab kerana tidak ada sesiapa yang bersedia atau mahu mati sedang nikmat dunia masih terasa sedap dalam hatinya....

Daripada Ibu orang yang beriman Aisyah RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللهِ أَحَبَّ لِقَائَهُ، وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللهِ كَرِهَ اللهُ لِقَائَهُ، فَقُلْتُ: يَانَبِيَ الله! أَكَرَهِيَةُ المَوْتِ، فَكُلُّنَا: نَكْرَهُ المَوْتَ؟ فَقَالَ: لَيْسَ كَذَلِكَ، وَلَكِنِ المُؤْمِنُ إِذَا بُشِّرَ بِرَحْمَةِ اللهِ وَرِضِوَانِهِ وَجَنَّتِهِ أَحَبَّ لِقَاءَ اللهِ، وَإِنَّ كَافِرَ إِذَا بُشِّرَ بِعَذَابِ اللهِ وَسُخْطِهِ كَرِهَ لِقَاءَ اللهِ وَكَرِهَ اللهُ لِقَائَهُ

"Barangsiapa yang suka untuk bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Dan barangsiapa yang tidak suka untuk bertemu dengan Allah, maka Allah pun benci untuk bertemu dengannya.” ‘Aisyah pun bertanya,”Wahai Nabi Allah! Apakah (yang dimaksud) adalah benci kematian? Bukankah kita semua tidak menyukai kematian?” Baginda pun menjawab,: ”Bukan seperti itu. akan tetapi, seorang mukmin, apabila diberi khabar gembira tentang rahmat dan redha Allah serta janji Syurga-Nya, maka dia pun akan suka untuk bertemu dengan Allah. Sementara, orang kafir, apabila diberi khabar tentang azab Allah dan kemurkaan-Nya, maka dia pun akan merasa benci untuk bertemu Allah, dan Allah pun akan benci untuk bertemu dengannya.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Saturday, January 18, 2014

Punca kita ditimpa fitnah dan berpecah

Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebutkan jawapannya dengan berkata;

فإذا ترك الناس الجهاد في سبيل الله فقد يبتليهم بأن يوقع بينهم العداوة حتى تقع
بينهم الفتنة كما هو الواقع ، فإن الناس إذا اشتغلوا بالجهاد في سبيل الله ؛
جمع الله قلوبهم وألف بينهم

'Apabila manusia meninggalkan jihad di jalan Allah, maka Allah pun akan menimpakan bala kepada mereka dengan terjadinya permusuhan di antara mereka sehingga berlakunya fitnah sesama mereka seperti yang terjadi pada keadaan sekarang.

Sesungguhnya jika manusia sibuk berjihad di jalan Allah nescaya Allah akan menyatukan hati-hati mereka dan menjadikan mereka saling berlemah-lembut antara satu sama lain.'

[Majmuk al-Fatawa, Ibn Taimiyyah]

Saturday, January 11, 2014

Kehidupan ini ialah peluang dari Allah


Ramai orang tidak menyedari bahawa hidup ini ialah peluang daripada Allah SWT kepada mereka untuk beramal, menikmati rezeki dan rahmat-Nya.

Begitu indah dunia namun mereka hanya memandang tempat yang buruk, begitu banyak nikmat Allah yang diberi namun mereka hanya melihat pada ujian yang sedikit. Begitu ramai orang yang mengasihi mereka namun mereka hanya melihat kepada sedikit yang membenci, betapa banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang lain namun mereka hanya melihat pada keburukannya.

Mereka hidup tetapi jiwa mereka sebenarnya mati, mereka melihat tetapi sebenarnya mata mereka buta, mereka mendengar tetapi sebenarnya pendengaran mereka pekak.

Mereka disesatkan oleh perasaan dan emosi mereka yang dikemudi oleh syaitan agar menyemarakkan benci bukan sayang, agar mencela bukan menasihati, agar marah bukan sabar, agar mencari salah orang bukan menutupi aibnya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِى قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ
'Seorang hamba apabila melakukan kesalahan atau dosa maka dititikkan di dalam hatinya akan satu titik hitam, apabila dia beristighfar dan bertaubat maka ditanggalkan titik hitam itu dari hatinya. Namun apabila dia mengulanginya semula maka dikembalikan titik hitam itu sehingga ia memenuhi hatinya.' [Riwayat al-Tirmidzi]

Kasihan, mereka menderita dalam diam, mereka sakit dalam sihat kerana yang parah bukan jasad tetapi hati mereka yang bernanah dan berulat. Sungguh jika tidak dirawat akan binasalah dunia dan akhirat!

Allah berfirman;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

“Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Yunus: 57)

Ya, ubat penyakit dalam dada itu ialah al-Quran dan alsunnah, jika dia membacanya, memahaminya dan beramal dengannya. Berzikir mengingati Allah dan beristighfar diatas segala dosa, sambil berpuasa dan menambah ilmu agama.

Barulah dia akan merasai erti betapa indahnya kehidupan ini!

Sunday, January 05, 2014

Panduan keluar rumah menurut sunnah


Disebut di dalam hadith bahawa baginda salallahualaihiwassalam bersabda ;

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ: “بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ” قَالَ: « يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ. فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِىَ وَكُفِىَ وَوُقِىَ

"Barangsiapa yang ketika keluar rumah membaca (zikir):

Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya), maka malaikat akan berkata kepadanya: “(sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan pun tidak dapat mendekatinya, dan syaitan pun berkata kepada temannya yang lain: Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”

[Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]