Tuesday, August 05, 2008

Majlis Bersama Mufti Perak - Dato Seri Harussani Zakaria


Alhamdulilah, satu perkembangan yang sangat baik apabila Dato' Seri Haji Harussani Zakaria sudi meluangkan masanya untuk bersama kami di dalam sebuah program sederhana yang membincangkan isu agama dan semasa tanahair.

Di dalam ruangan tersebut, saya mendapat banyak input dan pendedahan mengenai situasi semasa tanahair daripada seorang VIP yang mendapat banyak maklumat dan informasi serta pendedahan daripada kedudukan beliau sebagai seorang Mufti Kerajaan Negeri Perak sekaligus juga sebagai "seorang lama" di dalam persada masyarakat.



Memang benar, ramai tokoh-tokoh muda lahir dan terkenal pada hari ini, internet, laman web, majalah, televisyen dan radio kerap memberi liputan dan layanan istimewa terhadap mereka. Ramai orang dan media massa kerap menonjolkan seseorang tokoh kontemporari agama baru, aliran baru, segar dan bermutu, namun lupakah kita pada jasa orang yang lama ?

Saya sungguh tidak menyangka, banyak sungguh maklumat dan informasi yang dapat saya pelajari daripada seorang tua. Sungguh tidak sia-sia tuhan menciptakan usia tua agar manusia yang muda dapat mempelajari pengalaman dan cerita-cerita mereka.



Dato Seri Harussani Zakaria tidak banyak membawakan dalil, tiada pula menyatakan kitab itu dan ini, rujukan di sana dan di sini, bahkan hadis yang dibacakan oleh beliau pun tidak pula disebut akan sanad dan nama perawi atau riwayatnya namun yang pasti saya berpuas hati.

Beliau berkesempatan bercerita kepada kami mengenai isu murtad, penjelasan kepada hal-hal semasa dan yang melibatkan beliau termasuk permasalahan mengenai Bar Council dan isu orang Melayu, hak raja-raja dan juga masalah di antara Dato Seri Anwar Ibrahim dan Saudara Saiful Bukhari.

Beliau memberi penjelasan mengenai hujah mengapa mesti hukum qazaf bukan mubahalah dan mengapa beliau tidak bersetuju dengan Dr Mohd Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Saya berkesempatan mendengar secara terus segala isu panas ini.
Saya mendapat penjelasan mengenai isu ini, masalah perundangan, soal kehakiman yang berkecelaru melibatkan undang-undang Islam dan sivil serta juga mendapat informasi yang banyak membuka minda.

Sememangnya umum mengetahui pengaruh besar Dato Seri Harussani Zakaria di dalam masyarakat Melayu Islam Malaysia termasuk sokongan Majlis Raja-Raja, pembesar dan tokoh-tokoh negara.

Maaf, tidak keterlaluan sekiranya saya terpaksa memohon maaf kerana hampir-hampir berkata kepada anak buah saya selepas itu, "Ana baru faham isu ini dan mengapa kita mesti bertegas bahawa Saiful mesti mendatangkan 4 orang saksi (menggunakan kaedah qazaf) bukan Mubahalah kerana isu ini penuh dengan helah politik dan bukannya isu mangsa rogol atau liwat yang perlu diberikan kaedah baru untuk mengelakkan kezaliman kepada mangsa yang diliwat."

Saya menarik balik ucapan saya kerana Ustaz Emran mesti bersikap adil dan tidak menyebelahi mana-mana selain kebenaran, keadilan dan ukhuwah ! Sekiranya kebenaran tidak dapat disingkap, maka saya akan memperjuangkan keadilan dan sekiranya keadilan kelam dan tidak dapat dilihat maka saya akan berusaha memelihara Ukhuwah.

Apapun,
Isi ceramah beliau ternyata mengupas dan memberikan kesedaran, itu yang penting !

Sejak beliau menjejakkan kaki ke tempat program, para wanita di pejabat saya terus mengenakan "tudung tutup kepala" yang sebelum ini hanya bergaya "free hair". Sekalipun jangka hayat tudung di kepala cuma sedetik waktu sehingga kereta Perdana beliau meninggalkan bangunan pejabat namun kesannya sungguh memukau jiwa.


Tidak sekadar itu, pekerja di syarikat yang sibuk dengan aktiviti duniawi menghentikan seketika acara mereka sambil memberikan perhatian kepada orang tua ini. Mereka khusyuk mendengar pengisian dan mengambil berat akan buah kata yang dilontarkan.


Ini bukan hanya kerana ianya suara Mufti, tetapi saya sifatkan kerana "seorang tua" berusia 69 tahun berucap, mengisi masa dengan butir-butir pengalaman beliau, cerita-cerita yang sangat memberikan kesan dan menyedarkan insan tentang kepentingan agama, kepentingan Islam dan keperluan manusia mencintai agamanya sambil sesekali memberikan buah petua orang tua-tua.


Saya insaf, jiwa muda sungguh banyak tenaga dan kesungguhan namun tanpa dipandu oleh yang tua, kita akan kerap tersasar dan tersesat tanpa hala tujuan. Saya seorang ustaz, sekalipun boleh mendakwa punyai ilmu dan kemahiran namun sesekali akan tersentak kerana keilmuan saya yang bersifat teori tidak banyak membantu menjalani kehidupan yang terbentang di hadapan mata.

Pernah saya keutarakan dahulu, sekalipun kita mengetahui sesuatu hukum tidak bermakna kita tahu bagaimana hendak melaksanakannya. Kerbau di hadapan mata, kapak dan pisau di tangan kiri dan kanan bagaimanakah kita hendak menyembelih lembu tersebut bagi melaksanakan ibadah korban ?

Setelah selesai urusan teori seperti doa, bacaan nama Allah dan lain-lain maka apa harus dilakukan ? Menikam kerbau sambil mengelak daripada ditanduk ? Mengikat kaki sambil dengan bersedia untuk disepak ? bagaimana ?

Petua orang tua-tua ternyata berguna.

Saya ternyata banyak mengembara, mencari nilai hidup untuk diabadikan kepada Yang Maha Esa. Kita berusaha menyerahkan amal ibadah kita kepada Yang Maha Kuasa, apakah diterima atau tidak, hanya Dia yang mengetahuinya, kita hanya mencuba dan cubaan kita ada kalanya berjaya dan adakalanya tidak.

Saya mencari cara dan usaha untuk memastikan amalan saya terselamat sampai kepada Yang Maha Esa tanpa di tolak moga-moga mendapat perkenan daripada-Nya.

Thursday, July 31, 2008

Duit Membuatkan Orang Jadi Syirik

Tidak ramai yang menyedari bahawa wang ringgit boleh menyebabkan kita menjadi kufur kepada Allah swt.



Mengapa demikian ?


Jawapannya ialah kerana ramai orang sekarang telah menjadikan duit dan wang sebagai matlamat di dalam pekerjaan dan urusan mereka.

Segala-galanya yang sepatutnya dilakukan kerana Allah swt dahulu (seperti yang berlaku ketika umat Islam hidup di zaman salaf dahulu sewaktu mereka menaiki unta) kini telah bertukar dengan melakukan segala aktiviti dan usaha demi wang dan untuk mendapatkan wang.
Masyarakat kita sudah sampai ke tahap syirik sehingga sanggup sujud pada wang !

(gambar cuma ilustrasi tiada kena mengena dengan tajuk)

Berkerja 24 jam sehari kerana wang, pergi ke sekolah adalah demi sijil untuk mendapatkan pekerjaan kelak kerana wang dan berniaga serta berurusan ke sana sini demi mendapatkan wang.
Wang di tangan pula perlu dibelanjakan sebaik-baiknya dan secermat dan sejimat mungkin demi mendapatkan kembali pulangan wang dan supaya perbelanjaan berbaloi agar wang selamat.
Adapula yang boros dengan wang, kerana mudah dan senang hendak mendapatkan wang maka hiduplah dia dengan sombong dan angkuh disebabkan kerana dia memiliki wang.

Ustaz mengajar juga kerana wang, ke sana-sini berdakwah juga untuk wang, apakah ustaz tidak mahu wang ? nanti ustaz pun tak dapat makan kerana yang memberi makan dan minum pada zaman sekarang ialah wang.


Apabila sudah percaya dan yakin, kalau tiada wang maka tiadalah dia boleh makan....wang memberi makan....

Apabila tiada wang maka tiada pula boleh berkahwin....wang memberikan jodoh...



Apabila tiada wang maka tiadalah pula ilmu...wang memberikan ilmu


Apabila tiada wang maka tiadalah tempat tinggal dan kediaman...wang memberikan tempat teduh dan menjadikan bumi sebagai hamparan...

Apabila tiada wang maka hidup kita susah....wang membuka jalan dan memberi perlindungan

Apabila ada wang semuanya senang dan mudah....wang berkuasa ke atas setiap sesuatu....


Tidakkah seseorang itu boleh jatuh ke lembah syirik ? Menjadi kufur kepada Allah swt dan batal keimanan serta syahadah keIslamannya apabila berkeyakinan sesat dengan bertuhankan wang ?



ketuhanan tidaklah mesti dengan hanya gerak ibadah fizikal tetapi keyakinan juga hati...


Kalau hati dan keyakinan sudah pun menyembah wang..menletakkan kedudukan wang begitu tinggi di dalam kehidupan....



Maka apakah hukumnya ?

Saya bukan mufti....biarkan mereka yang menjawabnya !

Tahukah anda ?


Apabila menjadi seorang Muslim, bermakna anda telah melafazkan kalimah Syahadah dan bersaksi :


ان لا اله الا الله وان محمدا رسول الله


"Bahawasanya tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad itu adalah rasul Allah."


Konsep Syahadah ini sangatlah penting kerana ianya merupakan asas utama Islam dan merupakan perkara yang pertama dalam rukun Islam.

Seseorang yang ingin memeluk Islam diwajibkan bersyahadah sebagai penyaksian dan iqrar (perakuan) bahawa dia menerima Islam sebagai agamanya dan sebagai Deen. Demikian pentingnya syahadah ini maka haruslah kita memperincikan mengenainya.

Memahami Syahadatain

لا اله الا الله و محمدا رسول الله

Syahadah pada kebiasaannya mengandungi pemberitahuan, ilmu dan khabar akan perkara sesuatu. Perkara pertama yang menjadi kewajipan seorang mukallaf untuk melakukannya ialah bersyahadah bahawa “ Tiada tuhan selain Allah dan bersyahadah bahawa Nabi Muhammad itu rasulullah” (lihat Aqidah tauhid, m/s 37).

Perintah bersyahadah sangatlah penting sehingga baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda :


أمرت ان اقاتل الناس حتى يقولوا لا اله الا الله و محمدا رسول الله


“ Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad sebagai rasulullah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 25 & Muslim no.22).

Makna Syahadah

Dari sudut bahasa Syahadah bermaksud :

شهد Berasal dari perkataan
Penyaksian atau pengakuan kepada sesuatu
Pengakuan yang disertai dengan tangungjawab

Manakala Syahadatain (Dua Syahadah) dari sudut Istilah dan pemahaman para ulama’ialah
لا اله الا الله و محمدا رسول الله

Iktiqad dan iqrar (pengakuan) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah swt serta mengakui dan beriman bahawa Nabi Muhammad itu rasul Allah dan persuruh-Nya dengan pengakuan yang berbentuk jazam (putus) dan sabit (jelas) di hati serta diucapkan melalui lisan dan dibuktikan dengan amalan angggota badan dengan mengerjakan suruhan Allah swt (lihat Aqidah Tauhid m/s 39, Aqidah Wasitiyyah m/s 96, Syarah Salasa Usul m/s 701).

لا اله الا الله Syarah Maksud
“ Tiada Ilah selain Allah”. Yang dimaksudkan dengan “ilah” itu ialah yang disembah dan ditaati .

اله Kalimah
Mengandungi makna yang tersangatlah dalam. Sesetengah ulama’ menyebut ilah bermakna tuhan dan itulah yang paling mudah difahami. Namun sebenarnya kalimah ‘ilah’ ini lebih dari tuhan. Ilah bermaksud pemberi rezeki, tempat pengaduan doa & meminta perlindungan dan pertolongan, tempat kecintaan, ketaatan dan penyerahan serta pergantungan. (Aqidah Tauhid m/s 39).

Pada kalimah “la ilah ila Allah” mengandungi nafi dan isbat.
. لا اله Adapun lafaz nafi datang pada
Iaitu menafikan kewujudan sebarang sembahan dan ketaatan atau tuhan.

الا الله Manakala
Membawa maksud Isbat dan penegasan bahawa kecuali Allah. Dengan kata lain, isbat berfungsi sebagai penegasan selepas penafian demi menghasilkan satu kenyataan yang paling tegas dan kukuh.

لا اله الا الله
Demikian membawa maksud tiada tuhan yang disembah selain Allah sebagai satu pernyataan yang paling kuat dan teguh tanpa goyang dan syak

Para ulama’ salaf soleh menyebut bahawa pernyataan ini haruslah difahami secara zahir dan batin bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Penambahan berhak itu diperlukan kerana tanpanya (kalimah berhak) akan menyebabkan berlaku penyelewengan. Walaupun ianya tidak ditambah pada kalimah syahadatain namun penambahan dengan menambah berhak sangatlah diperlukan (lihat Aqidah Tauhid m/s 40).

Kerana, penyelewengan maksud kalimah syahadah sangatlah kerap disalah fahami oleh golongan awam dan jahil.

Apabila wujud golongan mengatakan “ tiada yang disembah selain Allah” bermaksud maka segala yang disembah itu ialah maksud Allah. Seperti menyembah berhala dan lain-lain segalanya membawa maksud Allah. Demikianlah golongan yang kafir musyrikin yang apabila ditanya kepada mereka siapakah tuhan yang menciptakan langit dan bumi maka mereka menjawab Allah.

" قل من رب السموات السبع ورب العرش العظيم ؟ سيقولون الله (المؤمنون : 87)"


“ Katakanlah siapakah Rabb (tuhan, pengatur) yang menciptakan 7 lapis langit dan pencipta Arasy yang agung ? Maka mereka pun pasti akan menjawab, dialah Allah.” (Surah Al-Mukminun :87).

Dan demikianlah juga golongan yang mengambil tuhan-tuhan (berhala) dan menyembahnya semata-mata untuk mendekat diri kepada Allah swt.

“ Dan orang-orang yang mengambil tuhan selain Allah lalu mengatakan kami tidak menyembahnya melainkan sebagai mendekatkan diri kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.”
(Surah Az-Zumar : 3)

Hari ini orang menyembah wang pun membuat alasan bahawa mereka mencari wang, berusaha mendapatkan wang adalah kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah swt apabila sudah kaya dan berwang....macam sama je jawapan dengan orang yang kafir.

Sedangkan Allah swt pernah berfirman dengan maksudnya :

“ Barangsiapa yang mengkufuri tahgut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali ikatan yang kukuh (Aqidah Islam).” (Surah Al-Baqarah: 256).

Maka perlu bagi kita mengkufuri kedudukan wang di dalam hidup kita dengan menegaskan bahawa :



Wang hanyalah alat bukan matlamat

Macam mana hal tersebut ?

Berani membelanjakan wang ke arah yang diperintahkan oleh Allah swt, tidak sayang pada wang dan kasih kepadanya melebihi kecintaan kepada Allah swt dan perintah-perintahnya.

Tidak takut mengorbankan wang ringgit demi agama Allah swt dan tidak menjadikan matlamat wang sebagai tujuan di dalam usaha kerja dan tindak tanduk kita seharian.
Ini dapat dicapai jika kita tidak menjadikan wang sebagai habuan dan ganjaran daripada usaha kita sebaliknya mengharapkan pahala akhirat dan ganjaran syurga sebagai balasan.

Adapun untuk menyara kehidupan dan makan minum, Islam mengajar prinsip qanaah (bercukupan dengan apa yang ada) sebagai benteng utama di dalam menangani jenayah wang.

Jenayah ?

Syirik ialah dosa besar, melebihi dosa mencuri dan meminum arak, bahkan dosa liwat serta dosa membunuh model perempuan Monggolia pun tidak seberat dosa syirik yang tidak akan di ampunkan oleh Allah swt sehinggalah kita mensucikan diri kita kembali dan mentauhidkan Allah swt dan menghapuskan segala sekutu bagi-Nya.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari Muaz bin Jabal ra, bahawa baginda salalallahualaihiwasalam bersabda :

فأن حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئا وحق العباد على الله أن لا يعذب من لا يشرك به شيئا

“ Hak Allah ke atas hambanya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya ,dan hak hamba ke atas Allah ialah untuk tidak mengazab hamba-Nya.”
(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.77).

Maka hendaklah kita berhati-hati daripada dosa syirik kerana wang !!!

Tuesday, July 29, 2008

Sejenak masa berlalu


(Bersama bekas Mufti Terangganu, Dato Abd Halim Abd Kadir - berjubah kelabu)




(Ustaz Adlan Aziz - Alitantawi dari al-ahkam.net, jazakallahukhairan kasiro kerana sudi mengajar pekerja2 syarikat di tempat saya)

Ada cerita menarik untuk dikongsi :

Beliau mengajar bahawa sifat 20 tidak salah dan saya pula mengatakan bahawa salaf soleh menolak fahaman falsafah, adakah wujud perselisihan ? oh tidak, saya jelaskan bahawa sifat 20 yang dibaca hari ini oleh guru pondok tidak salah dan tidak pun sesat, sama seperti penjelasan Ustaz Adlan, jadi ?

Cuma saya selama ini menegaskan bahawa cara syarahan sifat 20 itu yang boleh menjadi salah jika masih terikut-ikut dengan bacaan berdasarkan ilmu falsafah dan kanun al-kuli, rujuk buku Syeikh Dr Safar Al-Hawali hafizahullah, jika baca kaedah falsafah, sesuatu yang ada lawannya tiada dan buktinya ialah... letakkan kaedah itu pada syurga, neraka, perkara ghaib akhirnya semua jadi tertolak kerana apa yang tidak dapat dibuktikan bermakna tiada dan apa yang akan terjadi kalau ikut cara falsafah faham akidah melalui cara itu ?

Alhamdulillah, penjelasan Ustaz Adlan menenangkan saya apabila beliau menyebut sifat 20 tidak salah dan menyarankan ianya kemudian disokong oleh dalil-dalil Quran dan sunnah mengenai kewujudan Allah, sifat-sifat-Nya yang mulia dll....saya berpuas hati.

Dato Abd Halim Abd Kadir, bekas mufti juga menyatakan hal yang sama , katanya lebih baik baca sifat 20 sambil mengambil ayat-ayat Al Quran dan hadis bagi menjelaskannya kepada orang ramai kerana lebih mudah dan jelas. Beliau juga menyarankan agar orang ramai banyak berguru bagi mengelakkan kesalahan dan kesilapan.

Satu nasihat yang bagus !

(Ustaz Emran berceramah di sebuah sekolah rendah pendalaman di Kedah, lokasi tidak di dedahkan kerana risau nanti ada pula pihak nak pergi siasat apalah ustaz emran dah racun pemikiran budak-budak di sana...hehehe)


Wednesday, July 09, 2008

Masalah Tuduhan Liwath Di sisi Syariah Islam


Hari ini orang ramai bercakap soal agama dan setiap perkataan terkeluar dari mulut mereka hampir kesemuanya tidak langsung di dasari ilmu agama. Berita semasa, media masa mengulas isu agama tanpa ditapis oleh ahli agama dan pakar-pakar agama, begitu juga ahli politik, para pemimpin sehingga menular sikap ini kepada rakyat jelata.

Liwath bukan sebuah kata mulia atau perbuatan yang wajar dijadikan modal berita.

Allah swt berfirman :

“ Dan Kami juga telah mengutuskan Luth kepada kaumnya. Ingatlah tatkala dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu (LIWATH), yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelum kamu ?” (Al-A’raaf : 80)

Liwath bermaksud melakukan hubungan seks di antara lelaki dengan lelaki melalui lubang dubur dan ianya pernah dilakukan oleh suatu kaum di zaman dahulu (di sebuah Bandar yang dikenali sebagai Sodom di kawasan Syam) sehingga Allah swt mengirimkan kepada mereka Nabi Luth as (iaitu Luth Bin Haran bin Azar, merupakan anak saudara Nabi Ibrahim as) untuk memberi peringatan.

Allah swt berfirman :

“Apakah patut kamu mendatangi (memuaskan nafsu dengan) orang-orang lelaki dan kamu meninggalkan isteri-isteri kamu yang telah dijadikan oleh Tuhan untuk kamu? Sesungguhnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.” (as-Syu'ara': 165-166)

Kedegilan mereka kepada amaran dan nasihat daripada Nabi Luth as menyebabkan Allah swt menurunkan bala dan siksa berupa rejaman batu daripada langit dan kemudiannya disusuli pula oleh negeri dan bandar mereka di angkat oleh malaikat lalu diterbalikkan dan dihempap kembali ke muka bumi sehingga seluruh bandar mereka ditenggelamkan di dalam tanah.

Allah swt berfirman :

“Dan Kami rejamkan kepada mereka hujan batu, Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (Al-A’raaf : 84)

Memandangkan Al-Quran tidak menyebutkan hukum Liwath secara jelas maka para ulama Islam berselisih pendapat di dalam menentukan hukuman ke atas perlaku kesalahan Liwath.

Hukuman perlaku Kesalahan Liwath Di sisi Syariah Islam Menurut Pendapat Imam Mazhab

Mazhab Imam Abu Hanifah ra

Menurut Imam Abu Hanifah ra perlaku kesalahan Liwath akan dibaling dengan batu seperti mana yang diperbuat ke atas kaum Luth.

Mazhab Imam Syafie ra

Manakala daripada Imam Syafie ra terdapat dua pendapat di dalam masalah ini iaitu perlaku maksiat Liwath akan dikenakan hukuman rejam baik sudah berkahwin atau pun belum (bujang) dan yang kedua diriwayatkan beliau berpendapat ianya seperti Zina, iaitu sekiranya bujang disebat seratus rotan dan jika telah bernikah maka akan direjam sehingga mati.

Adapun pendapat yang paling dianggap mendekati kebenaran oleh para ulama’ bagi Imam Ibn Katsir ra ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra dan Abu Daud serta Tirmidzi dan Ibn Majah daripada hadis Ibn Abbas ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam ; “Barangsiapa yang kamu temui telah melakukan amalan kaum Luth maka hendaklah kamu membunuh orang yang melakukannya beserta pasangannya.” (hadis sahih)

Permasalahan di dalam Isu kes Liwath Dato Seri Anwar Ibrahim


Memang wujud masalah di dalam kes tuduhan liwath yang menimpa Dato Seri Anwar Ibrahim.

Pertama

Pertuduhan Liwath apakah memerlukan empat (4) orang saksi seperti kes zina atau tidak perlu ?

- Mufti Perak mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan (pengadu kes Liwath bahawa beliau diliwat oleh Dato Seri Anwar) perlu membawa 4 orang saksi bagi menyabitkan kesalahan dan menjadikan kesnya di dengari oleh Qadhi atau hakim menurut undang-undang Islam. Jika Saiful gagal membawa 4 orang saksi maka beliau sudah melakukan kesalahan di bawah hukum Qazaf (menuduh orang berzina tanpa bukti) yang boleh dikenakan 80 sebatan.

- Mufti Perlis mengatakan tidak perlu empat (4) orang saksi kerana ini bukan kes pertuduhan sebaliknya ialah kes pengaduan Liwath kerana bukan ada sesiapa yang menuduh bahawa Dato Seri Anwar meliwath orang sebaliknya mangsa sendiri iaitu Saiful yang mengadu diliwath oleh Anwar. Jadi beliau sendiri ialah mangsa dan mengadu minta diadili (kes ini sama macam kes rogol yang tidak memerlukan 4 orang saksi) sebaliknya tanggungjawab jatuh kepada Dato Seri Anwar untuk membela diri dan menjawab aduan yang ditimpakan ke atas beliau dengan mengemukakan bukti, sumpah atau saksi.

Kedua

Apakah Sumpah (Mubahalah) wajar dilakukan ?

- Mufti Perlis berpendapat ianya wajar dilakukan kerana kes ini unik disebabkan, mangsa (Saiful) mendakwa diliwath oleh Dato Seri Anwar Ibrahim dan beliau tidak memiliki saksi yang boleh menjadi bukti dan mengesahkan dakwaan maka untuk mendapatkan pembelaan bagi beliau (SAIFUL) maka Dato Seri Anwar perlu bertanggungjawab dengan mengemukakan bukti beliau tidak bersalah dan bersumpah membersihkan diri beliau berdasarkan kaedah syariah dan panduan hadis.

Penyamaan kes zina dengan Liwath dilakukan bagi menghasilkan keputusan SUMPAH LIAN (sumpah laknat) yang terhasil disebabkan tiada saksi dan untuk membela mereka yang menjadi mangsa zina tetapi tiada saksi.

Allah swt berfirman :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.” ( An-Nur : 6)

“Dan (sumpah) yang kelima: bahwa lak'nat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur : 7)

- Mufti Perak dan lain-lain berpendapat, sumpah laknat tidak perlu dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim kerana beliau tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Mereka berpendapat beliau bersih dan tidak perlu melayan kes ini sehinggalah Saiful dapat mendatangkan 4 orang saksi bagi mensahihkan pertuduhan dan dakwaan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim.

Saiful sekalipun dalam kes ini menjadi mangsa Liwath, tidak akan dilayan segala aduannya sehingga membawakan 4 orang saksi dan sebarang tuduhannya boleh dikenakan Qazaf ( 80 sebatan ) demikian menurut pendapat mereka.

Allah swt berfirman :

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita (termasuk lelaki) yang baik-baik berbuat zina dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali pukulan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (An-Nur : 4)

Pendapat dari saya mengenai KES ini (Ustaz Emran Ahmad)

Di dalam menangani isu ini, saya berpendapat kepakaran ulama’-ulama’ luar wajar dibawa bagi mendamaikan suasana di dalam Negara kita. Ini disebabkan perlaksanaan hukuman syariah di Negara kita masih belum pun mencapai tahap yang memuaskan. Perlaksanaan Undang-undang Syariah di Negara kita sangatlah terhad dan sudah tentu mengundang kecetekkan ilmu dan kemahiran di dalam hal pengurusan undang-undang syariah Islam. Di tambah pula kes yang jarang terjadi di Negara kita seperti kes Liwath ini menyebabkan masing-masing berhujah dan berpendapat tanpa berdasarkan fakta atau hujah yang kukuh disebabkan terkejut dan bersikap emosi dengan dipengaruhi oleh sentimen politik, persaudaraan, keluarga dan persahabatan serta lain-lain isu.

Ulama luar yang tidak terpengaruh oleh sentimen politik tanahair, isu semasa wajar dibawa agar mengadili kes ini dan mengeluarkan hujah yang bernas, kukuh dan segar daripada Al-Quran dan As-Sunnah menurut mana-mana mazhab yang dirasakan sesuai dan wajar diamalkan berdasarkan situasi tanahair Malaysia.

Manakala bagi orang awam, saya menasihati janganlah melampaui batas mengatakan sesuatu, mengucapkan sesuatu perkataan atau memanjangkan bicara isu ini tanpa pengetahuan dan maklumat yang kukuh seperti mencela peribadi tertentu, bersikap berat sebelah dan menokok tambah cerita.

“ Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka , kerana sebahagian daripada buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah memburukkan di antara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati (perumpamaan mengumpat seseorang itu sama seperti memakan daging orang itu) ? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Al-Hujurat : 12)


Segala puji hanyalah bagi Allah swt kerana membantu saya menunaikan kewajipan saya.

Sunday, May 04, 2008

Antara Wakil Tuhan dan Hamba tuhan, sangat jauh beza maksudnya !

Apabila disoal dan ditanyakan kepada saya, apa pendapat Islam di dalam sesuatu masalah, apa kata Quran ? apa kehendak Allah swt ? Kenapa Allah swt menjadikan...? Apa yang Allah swt mahu ...?

Saya jawab pada anda Wallahua'lam (Dan sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahuinya)

Manusia yang merupakan hamba Allah swt tidak wajar mengaku mereka ialah wakil-wakil tuhan di atas muka bumi, mendakwa mengetahui apa yang dikehendaki oleh Al-Quran dan As-Sunnah dan merasakan mereka mengerti segala apa kehendak Allah swt dan segala rahsia dan ajarannya.

Itu perkara mustahil !!

Islam bukan seperti agama yang mendakwa paderi dan pendeta mereka bercakap sebagai wakil tuhan di atas muka bumi. Islam ialah agama yang diturunkan sebagai panduan hidup manakala kitab sucinya iaitu Al-Quran dan pertunjuk as-Sunnah rasul menjadi panduan secara ilmiah serta dikaji dengan disiplin ilmu lalu dihuraikan untuk kegunaan manusia untuk hidup di dunia bukan untuk kegunaan tuhan !

Sabda Nabi Salallahualaihiwasalam :

“Apa yang Allah halalkan dalam kitabNya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafanNya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).

Ramai sekali manusia hari ini, khasnya mereka yang mendalami ilmu agama terjebak ke dalam belitan syaitan apabila menjadi wakil tuhan lantikan diri sendiri bahkan mendakwa mengetahui siapakah yang sesat, yang salah dan siapakah orang yang jahat dan siapakah pula orang yang baik, mendakwa mengetahui segala isi luar dan dalam dan mendakwa boleh menjelaskan isi ilmu Islam hanya dengan beberapa helaian kertas atau buah buku yang pernah ditulisnya.

Tuan-tuan yang dihormati,

Kuasa Menghukum hanya Milik Allah swt


Tuan-tuan yang dihormati, sangat ramai manusia pada hari ini suka menghukum dan mencerca serta mengeji sesama sendiri. Menyangka keredhaan Allah swt sudah terjamin milik mereka dan kemurkaan tuhan pula adalah pasti milik lawan mereka.

Tidak sekali, bukan dua kali bahkan lebih, apabila kita melihat penjenayah dan penjahat ditangkap lalu dihadapkan ke kandang bersalah serta dihukum dengan seberat-berat hukuman. Kita mengeji, mencela dan memaki hamun segala perkataan buruk yang kita mampu untuk memuaskan hati kita dengan menyangka tuhan membenci hamba-Nya itu dan akan memberikan kebaikan dan kelebihan dengan perbuatan kita itu kerana membenci musuhnya.

Tuhan kita bukan seperti manusia, jauh sekali punyai hati dan berperasaan seperti kita, Yang Maha Esa berlaku adil dan pengasih terhadap semua makhluk-Nya disamping tegas dan berlaku gagah dan bengis terhadap musuh-musuh-Nya. Berjalan di bawah sunnatullah yang hanya diketahui oleh ilmu-Nya.

"Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya. " (Al-Hajj : 69)

"Jika ada segolongan daripada kamu beriman kepada apa yang aku diutus untuk menyampaikannya dan ada (pula) segolongan yang tidak beriman, Maka bersabarlah, sehingga Allah menetapkan hukumnya di antara kita; dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya." (Al-A'raf : 87)

- Kenapa kita (manusia) lemah terlalu cepat mahu menghukum sesama manusia ?

Begitu tangkas dan cepat kita melayani orang lain dengan persepsi dan tanggapan kita dan seringkali kita menjatuhkan hukuman kepada orang lain tanpa menyelidiki serta menilai segala aspek menyeluruh. Peduli kita ialah apa perlu susah dan perlu penat menyelidiki ? cukuplah aku menilai dengan apa persepsi dan pendapat aku.

Benar, namun sekiranya hukuman anda itu mempengaruhi hidup orang lain ? Bayangkan betapa besar tanggungjawab dan kesan yang perlu dipikul.

- Anda seorang wanita, bekerja di pejabat kerajaan, didatangi oleh seorang lelaki yang tidak berpakaian kemas, bagi meminta sesuatu khidmat di hujung waktu pejabat ( 5. 15 PM) . Reaksi mudah anda, sila datang lagi esok kerana anda berpendapat urusan ini tidak penting !! (tanggapan anda) juga anda menilai lelaki ini tidak wajar untuk mendapatkan masa-masa akhir anda yang berharga yang wajar anda gunakan untuk mengemas barang untuk pulang ke rumah. (hukuman anda kepada lelaki itu !!)

Anda boleh membantu lelaki tersebut tetapi anda memilih untuk tidak membantu !! (hukuman anda dan juga pilihan anda menentukan nasib anda di masa depan dan dinilai oleh tuhan)

Nah, hakikatnya lelaki itu kusut masai sebab dirundung masalah dan kesusahannya semakin bertambah akibat keputusan anda. Bayangkan sendiri situasi-situasi getir yang lain.

Tidak perlu menjadi dukun, meramal situasi orang lain sebaliknya anda cuma perlu memperbaiki situasi diri anda dan keadaan yang berlaku dengan beramal sebagai manusia yang baik setiap masa, di mana-mana dan suka membantu dan merahmati orang lain.

"Melayani orang lain seperti mana anda ingin diri anda dilayani."

Tuan-tuan,

Semua orang melakukan dosa, perbezaannya cuma dosa yang mana dan dosa yang bagaimana ?

Ustaz, saya banyak dosa demikian pengakuan seorang rakan, alhamdulillah (segala puji bagi Allah swt) yang telah menjadikan hamba-hamba-Nya menyedari dosa-dosa mereka dan mahu memohon ampun. Sekurang-kurangnya wujud ramai lagi manusia yang merasa mereka tidak berdosa, tidak pernah membuat dosa dan mustahil akan berbuat dosa.
Tidak perlu mengakui dosa anda kepada saya, saya bukan wakil tuhan !

Saya mungkin dapat memohon keampunan tuhan untuk anda tetapi lebih makbul dan utama jika anda sendiri yang memohonnya dan paling penting serta jangan lupa bahawa saya sendiri punyai dosa dan bahkan lebih banyak dari anda. Siapa pula di dalam dunia ini yang tiada dosanya ? Lalu kalau ustaz dan ulama pun terdedah kepada dosa dan boleh melakukan dosa maka siapa pula yang bersih serta suci untuk mengakui dirinya sebagai wakil tuhan ? jurucakap bagi tuhan dan wakil agama Islam yang mulia ?

Hanya mereka yang tidak sedar diri...

Ini tidak mustahil berlaku khasnya kepada golongan yang menyangka mereka di jalan perjuangan dan "pendakwahan".

Apabila berdosa dan terlanggar batasan mereka akan mengatakan tidak mengapa kerana Allah Maha Pengampun lagi pun kerana matlamat yang mereka tuju lebih besar dan lebih hebat, jadi terlanggar sikit-sikit hukum tuhan, mencederakan hak-hak sesama Islam dan mencerobohi maruah seorang Muslim tidak sebesar mana dibandingkan dengan beban perjuangan yang mereka bawa serta pikul.

Ini bencana dari belitan Syaitan.

Para sahabat radiallahuanhum yang bersama Rasulullah salallahualaihiwasalam sewaktu berperang dan berjuang mempertahankan Islam, berjihad dan bertempur gagah mengangkat daulah (kerajaan) Islam Madinah juga tidak terlepas dari di didik dan dihukum oleh baginda di atas kesilapan dan kesalahan.

Di dalam sebuah hadis :
"Ada mengisahkan perihal seorang perempuan yang hendak direjam di atas kesalahan zina, Lalu datang Khalid bin Al-Walid membawa sebuah batu, dan melempar perempuan itu tepat pada kepalanya. Darah dari kepala perempuan itu memancut sehingga mengenai muka Khalid, sehingga Khalid mencela perempuan itu.

Maka Rasulullah berkata: "Tenanglah wahai Khalid. Demi yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya perempuan ini telah bertaubat
dengan taubat yang jika dilakukan oleh seorang yang zalim pun nescaya akan diampunkan lalu baginda memerintahkan supaya mayat perempuan itu diuruskan dan baginda bersolat ke atas jenazahnya dan mengebumikannya." (Hadis sahih riwayat Muslim )

Begitu juga kisah para sahabat yang datang kepada Rasulullah bagi mengakui kesalahan-kesalahan mereka yang lain.

Pokoknya, memperjuangkan Islam tidak bermakna anda akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Oleh itu hentikan sikap suka mencela dan menyalahkan orang lain seolah-olah kita tidak pernah membuat kesilapan dan kesalahan.

Membolak-balik Hati Manusia Itu Kerja Tuhan

Berhati-hati tuan-puan yang dihormati,

Pada hari ini kita mungkin dipermudahkan oleh Allah swt untuk melakukan segala kerja-kerja kebaikan tetapi tidak bermakna pada hari hadapan kita tetap akan istiqamah (berterusan) menjadi baik dan melakukan hal yang baik-baik. Segala kejahatan yang kita dengar di kaca TV dilakukan oleh manusia yang bernafas, berfikir dan berotak seperti kita hanya "kawalan dan pilihan" yang membezakan situasi kita dan mereka.
hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).

Penjenayah rogol dihadapkan ke mahkamah di kaca TV mungkin bermula sebagai pegawai atau eksekutif atau pemuda seperti kita. Berpeluang bersama wanita di dalam lif atau pejabat tanpa ada kehadiran orang lain " tidak mampu Mengawal nafsu dan gagal membuat pilihan yang betul" telah menjerumuskan kepada tindakan yang salah dan berakhir dengan tragedi yang buruk.

Pembunuh kejam dan sadis, pada awalnya mungkin seorang pak cik peramah dan lelaki yang disayangi oleh keluarga atau bapa yang manja dengan anak-anak, hanya kerana gagal mengawal diri dan tidak mampu memilih menyebabkan dia sanggup menetak si pemungut hutang sepuluh tetakan gara-gara cakapnya yang menghina, menjatuhkan maruah atau ugutan yang menyakitkan hati.

Tuan-puan, apakah semua ini tidak pernah terjadi di dalam hidup tuan dan puan ? bersyukurlah kepada tuhan, masih belum di uji ....tidak bermakna akan terselamat dari akan mengalaminya..

Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam kerap membaca doa :

يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك

“Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ?

Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkannya sebagaimana yang dikehendaki-Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Jadilah Hamba yang Penyayang kepada Tuhan Yang Penyayang

Manusia seperti saya yang banyak berdosa, mengharapkan tuan-puan yang dihormati dapat menjadi hamba Allah seperti saya bukan malaikat atau wakil tuhan yang perlu saya tundukkan kepala, saya perlukan makhluk setaraf seperti saya agar saya dapat bergaul, berkawan dan menjalinkan persaudaraan.

Sabda rasululah :
"Orang-orang yang penyayang, mereka itu akan disayangi oleh Allah Tabaaraka wa Ta'ala (Yang Maha berkat dan Maha Tinggi). oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang di muka bumi, nescaya zat yang di atas langit akan menyayangi kamu". (Hadis Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Dawud No. 4941. Ahmad 2/160. Hakim 4/159. dari jalan Abdullah bin 'Amr bin 'Ash. Hadis ini telah disahihkan oleh Imam Hakim dan telah pula disetujui oleh Imam Zahabi)

Juga disebut dalam hadis yang lain :

"Barangsiapa yang tidak menyayangi orang yang di muka bumi, nescaya tidak akan disayang oleh zat yang di atas langit". (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh Imam Thabrani di kitabnya "Mu'jam Kabir No. 2497 dari jalan Jarir bin Abdullah. Imam Zahabi)

Saya perlukan manusia yang dapat menerima saya, menerima kelemahan dan kesalahan saya dan membantu saya untuk keluar dari permasalahan saya bukan untuk menghukum saya, memuaskan hati tuan dan puan melihat saya terseksa dan menderita dan merasa gembira telah mengenakan seorang hamba yang berdosa seperti saya di atas nama tuhan dan merasakan bahawa tuan-puan sudah menjalankan kehendak tuhan bagi menyeksa hamba-hamba-Nya.

Mana janji tuhan kepada saya bahawa penyeksaan itu di akhirat ? Dijadikan dunia sebagai ladang amalan ? orang kafir dibiarkan mencecap dan menikmati rezeki tuhan di muka bumi sekalipun tidak beriman dan mereka boleh membina hidup lumayan.

Saya masih beragama, beriman dan berhasrat menuju kepada tuhan setiap hari saya berusaha membuat persediaan dan menyediakan diri saya untuk melaksanakan arahan tuhan sekalipun saya tahu banyak pula saya tertinggal dan terlanggar perintah tuhan.

Berikan saya hak sebagai hamba Allah swt untuk mendapat wakil saya, pembela saya, yang akan membela maruah dan menjaga hak-hak saya serta mengurangkan beban dan derita saya.

Wakil saya ialah seorang manusia, hamba Allah swt seperti saya yang mengasihani saya dan menyedari penderitaan saya, dia berusaha mengurangkan beban saya.

Dialah seperti Rasulullah ! Abu Bakar ! Umar, Utsman dan Ali juga sahabat serta tabien, kasih sayang sesama manusia dan sentiasa membantu orang lain.
- Rasulullah membuat bakti walau kepada yahudi tua yang sering mencela baginda
-Abu Bakar memberi sedekah walau kepada orang yang mencela keluarganya
-Umar melayani rakyat walau yang mengkritik pentadbirannya
-Utsman membantu orang susah walau tidak menyukainya
-Ali memuliakan Muawiyah walau tidak sefaham politik dengannya

Dakwah ialah seruan bukan Penghukuman
Perlu bagi para pendakwah (penyeru) agama ini memahami bahawa matlamat Islam ialah membawa manusia kepada jalan yang diredhai tuhan dan ianya berlaku dengan penuh kewaspadaan dan jauh dari kecelaruan dan kecuaian.

Oleh itu wajar seruan menuju kepada tuhan dilakukan dengan berhati-hati dan penuh keikhlasan untuk menyeru manusia menuju kebaikan dan kebahagian bukan untuk memuaskan hati sesiapa atau untuk mencapai apa-apa kepentingan.

Sekiranya anda tidak dapat melakukan usaha seruan, sering terpesong oleh belitan syaitan dengan asyik suka menghukum dan memburukkan mana-mana manusia di atas nama tuhan maka hentikanlah dakwah anda kepada kami, kerana kami manusia yang berdosa ini tidak mahukan wakil tuhan yang hanya tahu menghukum kami tetapi kami memerlukan wakil manusia yang akan mengeluarkan kami dari dosa membantu kami dari kesalahan dan membimbing kami menuju keredhaan.

Lailahaillallah....wahdahu la syarikalah...

Moga pintu taubat masih terbuka untuk kami ya Allah
Berikanlah kami wakil dan pemimpin yang akan membantu kami
bukan orang-orang yang hanya tahu mencela dan menghina kami
menyusahkan hidup kami di atas pembohongan nama-Mu ya Allah !

Monday, March 10, 2008

Kejayaan Pilihanraya : Cabaran dan Amanah Menanti


Assalamualaikum,

Alhamdulillahi wahdah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt yang Maha Esa kerana dengan kemurahan rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya kita telah berjaya mencapai kejayaan cemerlang buat Pas dan barisan alternatif lainnya di dalam usaha mencapai matlamat memperjuangkan Islam di tanahair serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Saudara -saudari yang dihormati sekalian,

Dakwah tidak boleh hanya disandarkan hanya kepada proses demokrasi dan kemenangan di dalam pilihanraya semata-mata sebaliknya mestilah berjalan berterusan seperti biasa akan segala proses tarbiyah dan pembentukan masyarakat melalui pendidikan yang bersifat tidak formal dan formal.

Usaha dakwah haruslah bersifat fleksibel, meluas dan boleh disuaikan dengan situasi serta pengisiannya pula haruslah teratur, berkesinambungan dan bertepatan dengan kebenaran dan memenuhi apa yang dituntut daripada al-kitab dan as-sunnah.

Kejayaan Pas di dalam pilihanraya haruslah dihargai dengan menjalankan amanah, menunjukkan contoh teladan yang baik serta memperbaiki pengurusan dan sistem-sistem agama yang wujud di tanahair kita dengan mandat baru yang telah diberikan oleh rakyat.

Sekadar cadangan, saya mengharapkan pihak yang berwajib segera mengambil berat akan perihal berikut :

1) Sistem pengurusan Masjid diperbaiki - Masjid-masjid "PoYo" yang ditadbir oleh golongan yang selama ini bertindak "mengongkong masjid" agar menjadi mandul digantikan dengan tenaga muda disamping "orang lama" diberikan kedudukan sebagai penasihat.

2) Balairaya dan Dewan Masyarakat serta surau, lain-lain kemudahan awam diperkemaskan dan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

3) Program-program masyarakat diperbanyakkan dan aktiviti kawasan dianjurkan secara berjadual dan tetap bagi membolehkan masyarakat bertemu pemimpin dan meningkatkan taraf hidup serta memperbaiki diri mereka.

4) Hubungan antara kaum di jaga dan diberikan perhatian, dakwah secara berhemah dan berhati-hati sangatlah perlu.

5) Rakyat dilayani secara adil dan saksama tanpa wujud pilih kasih dan memilih bulu

6) Diperbanyakkan peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup seperti memberi kursus-kursus percuma kepada rakyat dan golongan susah.

- Kursus jahitan percuma beserta sijil dan diploma untuk kaum wanita, janda, surirumah (pendapatan keluarga di bawah RM 2000)

- Kursus Perniagaan dan keusahawanan dengan sijil daripada badan berkaitan bagi penganggur muda

- lain-lain yang perlu

7) Diwujudkan pusat-pusat hiburan yang Islamik atau bermoral di kawasan kampung atau taman perumahan untuk anak-anak muda bersosial dan berhibur dengan suasana yang terkawal.

- Dibuka pusat bermain Snuker berhampiran Masjid (ditutup setiap waktu solat- agar anak-anak muda boleh bersolat / kunci pusat hiburan dipegang oleh Tok Imam atau Tok Siak)

- Dibuka pusat bermain game atau play station 2 berhampiran balairaya atau masjid dengan seliaan JKK Kampung atau ahli JKK Masjid yang dipilih daripada mereka yang berkebolehan dan bersifat positif.


(akan ditambah lagi dari semasa ke semasa)

Sekiranya kita berjaya menyelesaikan banyak masalah kecil maka kita seolah telah berjaya menyelesaikan banyak masalah yang akan menjadi besar...jika dibiarkan.

Syabas BA (Barisan Alternatif) !!!

Sunday, March 02, 2008

Bersikap Rileks Menghadapi Kerenah Pilihanraya tetapi Serius Membuat Bekerja



Bersikap sederhana di dalam agama sangatlah dituntut oleh Islam kerana ini membuatkan kita tidak terlajak daripada melampaui batasan dan had sekatan yang ditetapkan oleh Allah swt baik kita menjadi terlalu longgar atau menjadi terlalu ketat.


Perkara biasa apabila orang tidak menerima pendapat kita, bermakna kita masih belum sempurna dan berjaya menyakinkan orang kepada apa yang hendak kita perjuangkan dan kita juga mempunyai seribu satu kelemahan.

Wahai rakan-rakan PAS,

Anda usahlah bersikap kolot dan menunjukkan anda di pihak yang beremosi dan tertekan dengan sikap serta gelagat manusia ramai kerana pemilihan anda untuk menyertai parti PAS ialah di dasari kerana kehendak anda untuk memperjuangkan ISLAM.

Memperjuangkan Islam memerlukan akhlak dan kesabaran yang utuh serta membuktikan kebenaran perjuangan kita adalah mustahil melainkan diikuti oleh usaha gigih untuk beramal dan muhasabah serta tazkiyah dilakukan pada harakah dan jemaah bagi mencapai kehendak kitab dan sunnah serta menuju ke matlamat yang diredhai Allah swt.

Usah melatah, usah mempamerkan kegeraman dan kekecewaan pada kata-kata, tulisan atau air muka anda terhadap mereka-mereka yang enggan menerima perjuangan anda, misi dan matlamat anda kerana sampai kiamat tetap akan ada manusia seperti itu.

Biarkan mereka dengan labu-labunya, salafi ori dengan tok gurunya.

Rileks....

Penyokong PAS harus tahu, kita sendiri pun kadang-kala walau ahli PAS seumur hidup namun masih tertekan dengan sikap dan situasi Pas yang banyak tidak menyenangkan kita maka mampukah ianya menjadi satu tarikan kepada orang lain pula untuk menyertai PAS ?

Kawal tenaga dan emosi anda, usah bazirkan di gelanggang sia-sia..

Marilah kita bekerja keras, mencapai matlamat kita, membantu harakah PAS menegakkan Islam di Malaysia, terdapat ruang yang cukup besar disediakan oleh PAS untuk kita berkhidmat dan membantu bagi menegakkan Islam dan usahakanlah dengan mengubah sikap dan diri kita ke arah yang lebih positif.

Kepada ikhwah yang tidak menyokong pembangkang di dalam pilihanraya,

Bersikaplah sederhana, jangan terlalu ta'asub pada Pak Lah dan Islam Hadharinya, belum tentu sempurna dek mata dan maksum dek akal minda sangat banyak ruangan dan cabang yang boleh anda perjuangkan.

Usah cakap dan kata sahaja tanpa tindakan, anda inginkan Malaysia yang melaksanakan Islam ? Anda tidak yakin pada PAS dan pembangkang ? Maka ayuh buktikan komitmen anda pada agama dan bangsa, beramallah untuk negara, bersikap jujur dengan amanah agama.

Sudah 50 tahun memerintah, rakyat tetap mendapat hasil yang sama dan bahkan Islam makin terseksa, usah bermain kata-kata, sudah sekian lama memerintah kini buktikan komitmen anda pada agama dan bangsa !

Kami tidak mahu masjid kristal anda tetapi kami inginkan keadilan dan kejujuran serta sikap amanah menguruskan khazanah harta negara ditadbir dengan ketaqwaan.

Rileks....

Setiap kali kita bercakap soal politik maka hati dan perasaan harus dijaga, usah fikir hanya kita yang tahu kebenarannya tetapi fikirlah bahawa bukan hanya kita yang inginkan Islam dan kebenarannya, cuma hanya pendapat berbeza menghasilkan tindakan yang tidak sama.

Nasihat buat salafi Ori,

Anda memanglah seorang yang rileks kerana anda tidak bersikap serius pada pilihanraya, nasib bangsa dan negara serta penderitaan rakyat 50 tahun di bawah pentadbiran BN.

Rileks...jangan marah kerana agama itu nasihat...

Kami memohon anda sekali-sekala kemukakan usaha anda apa yang perlu diperbuat untuk memperbaiki taraf dan nasib rakyat jelata ? Bersikap serius harus ada sebagai tanda kita buat kerja dan beramal dengan ilmu agama bukan hanya ikuti kelas dan majlis pengajian sahaja lalu mendakwa kita sudah perjuangkan Islam di dalam negara...

Rileks...rileks

Anda menyokong UMNO dan BN, syabas tandanya anda berperihatin pada nasib bangsa orang Melayu, bagus kami menyokong, sila contohi Dr Asyraf Wajdi, saudara Pisdaus di Kepala Batas, Dr Abdullah Mat Zin, Puan Dato Dr Mashitah Ibrahim, saudara Astora Jabat dan pelbagai lagi tokoh-tokoh alim di dalam UMNO dan BN.

Ubah dan perbaikilah UMNO semampu anda, jangan paksa kami yang telah memilih Pas sebagai Proxy kerana kami akan mengubahnya di sini....

Adapun tanggungjawab UMNO sekarang terpikul di bahu anda...untuk membersihkannya dari dalam....bukankah anda di dalamnya sekarang ??

Rileks...rileks...

Anda tetap saudara kami....anda perlukan bantuan ? panggil sahaja kami..ramai ustaz-ustaz PAS memang pun tak sabar-sabar nak pergi bagi ceramah pada orang UMNO, Cuma lesen dan permit kami yang ditarik dan kuliah kami disekat...rileks.

Rileks itu indah bila kita duduk sahaja tanpa membuat apa-apa kerja...

Rileks itu payah bila kita serius berusaha tetapi terpaksa mengekalkan sifat cool dan bersahaja di tengah-tengah amarah....

Macam mengekalkan temperature di dalam kereta sewaktu memandu laju di jalan raya tanpa air yang mencukupi, kita tidak mampu bertahan lama...hehehe

Selamat berusaha untuk PRU ke12

Segala puji hanyalah bagi Allah swt