Friday, September 26, 2014

Kekalahan PAS

Agak menghairankan apabila ramai orang yang bersorak di atas kekalahan PAS di Pengkalan Kubor, Kelantan ialah orang-orang daripada parti pembangkang (PR) sendiri seperti PKR, DAP dan sebahagian daripada ahli PAS. 

Nasihat saya cuma tiga perkara;

1. Jika bagi PAS (ahli dan pimpinannya) bahawa politik cuma sekadar wasilah, demokrasi dan pilihanraya adalah sebagai jalan yang diambil untuk melaksanakan fardhu kifayah maka PAS tidak perlu bimbang akan kekalahan, sebaliknya lebih memikirkan tentang tindakan politik yang diambil dalam mengatur langkah, apakah ianya menepati syarak dan diredhai ALLAH?

Ibarat kata Imam Al-Bukhari rahimahullah kala difitnah;
لا أبالي إذا سلم ديني
Aku tak peduli (apa yang dikatakan padaku) asalkan agamaku selamat [Siyar A'lam al-Nubala, Adz-Zahabi]

2. Namun sekiranya PAS terlibat dengan politik yang kotor seperti mengumpat, mencela peribadi sesama Muslim, menyalah-gunakan ayat Allah dan agama untuk tujuan politik seperti memesongkan al-Quran dan sunnah dengan tafsiran-tafsiran yang salah, kegagalan merancang dan bertindak secara bijaksana dari sudut politik dan keduniaan, kelemahan pengurusan kerajaan negeri dan gagal menunaikan amanah yang diberi selama ini, maka sesungguhnya kekalahan ini adalah sesuatu yang wajar dan patut dijadikan pengajaran.

3. Kebenaran sesebuah perjuangan dan kemenangan yang sebenar bagi sesuatu gerakan politik tidak bergantung kepada jumlah undi yang diperolehi dalam pilihanraya kecil atau pilihanraya umum. Hanya mereka yang berjiwa sempit dan berakal pendek akan berfikir begitu.

Kemenangan yang sebenar ialah apabila parti politik atau sesuatu gerakan itu berjaya berdiri teguh di atas prinsip-prinsip dan nilai-nilai mulia yang menjadi slogan perjuangan mereka serta berhasil mendidik masyarakat dan generasi baru menurut acuan mereka.

PAS akan menang jika berdiri teguh di atas kejujuran, integriti, amanah, cekap dan cemerlang dalam menyumbang kepada masyarakat, komited melaksanakan keadilan dan kebajikan, istiqamah di atas prinsip-prinsip Islam dan akhlak sehingga menjadi contoh teladan kepada seluruh dunia dan sejarah akan datang sekalipun berkali-kali gagal dalam pilihanraya. Ianya akan tercatat dalam sejarah dan jiwa anak-anak muda serta generasi baru sebagai obor dan panduan.

Jika parti lain memenangi pilihanraya, membentuk kerajaan dan menguasai negara selama 5 tahun atau 50 tahun, PAS akan menguasai negara tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang selama ratusan tahun, dicatat dalam sejarah dalam dan luar sebagai teladan dan ikutan manusia yang dikaji dan diteladani.

Itu baru dunia belum lagi ganjaran di akhirat.

Allah SWT berfirman;

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
"Dan Katakanlah: "Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat perbuatan kamu itu." [At-Taubat:105]

Tuesday, September 23, 2014

Kesalahan bersubahat menurut Islam

Seseorang itu dihukum bersama dengan siapa yang hampir dengannya

Abdullah bin Mas'ud RA diriwayatkan pernah menyebut ;

اعتبروا الناس بأخدانهم، المسلم يتبع المسلم، والفاجريتبع الفاجر

Nilailah seseorang itu berdasarkan teman dekatnya, kerana seorang Muslim akan mengikuti orang yang Muslim dan orang yang fajir akan mengikuti orang yang fajir.

Selain itu adalah turut dilarang dalam agama untuk duduk bersama dengan mereka yang fasik, murtad atau derhaka kepada Allah khususnya apabila mereka mengucapkan sesuatu perkataan atau ucapan yang menzahirkan penghinaan kepada agama.

Pernah di zaman Khalifah Umar bin Abd Aziz rahimahullah sekumpulan peminum arak dibawa kehadapan beliau lalu mereka pun diperintahkan supaya dihukum sebat. Tetapi orang bertanya kepada beliau bahawa dikalangan kumpulan yang ditangkap itu ada yang tidak meminum arak dan berpuasa. Mendengar hal yang demikian maka Umar bin Abd Aziz pun berkata;

ابدأوا به
Mulakanlah dengannya dulu, tidakkah kamu semua mendengar firman Allah SWT ;

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ

"Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Al Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka." [Al-Nisa: 140]

Kemudian diriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas RA turut menyebut;

لا تجالس أهل الأهواء ، فإن مجالستهم ممرضة للقلوب
Janganlah kamu duduk dengan pengikut hawa nafsu (ahli bid'ah) kerana sesungguhnya duduk dalam majlis mereka itu menyebabkan hati menjadi sakit.

# Adapun duduk dalam majlis untuk tujuan dialog dan sebagainya adalah turut dilarang kecuali diyakini dapat membawa mereka kepada kebenaran dan bersungguh di atas usaha itu. Bahkan para ulama' sunnah turut mensyaratkan hendaklah majlis itu dibuat secara tertutup agar kesesatan dan hujah-hujah mereka tidak memikat hati-hati orang yang lemah. WA

Buah hati bernikah dengan orang lain

Ada orang bertanya,

Salam ustaz, buat hati saya telah menjadi isteri orang. Sedangkan itulah gadis yang paling saya harapkan untuk menjadi isteri saya.

Saya amat mencintainya.

Sekarang saya merasa sangat kecewa dan buntu, kerana hati saya sudah tawar pada orang lain dan hilang semangat hidup.

Aljawab,

1. Bersegeralah mengambil wudhuk dan menunaikan solat kepada Allah. Hadapkan diri kepada Tuhan untuk memohon kesabaran dan kekuatan daripada solat.

Allah SWT berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah: 153]

2. Syaitan akan berusaha menjadikan kita lemah dan syirik kepada Allah. Menganggap hidup sudah tiada erti kerana yang dicintai sudah menjadi milik insan lain.

Lalu hidup kita, dunia dan akhirat pun menjadi musnah. Jangan begitu!

Ketahuilah bahawa wanita dan gadis itu bukannya hanya ada satu. Ada berjuta dan berbagai-bagai yang lebih indah dan lebih cantik, lebih baik dan lebih solehah.

Bukankah Allah itu Maha Kuasa? Dia mampu menjadikan insan yang lebih lawa, lebih mempesona dan lebih membahagiakan kita daripada yang sudah dikahwini oleh orang lain itu.

Bacalah;

إنا لله وإنا إليه راجعون، اللهم أجرني في مصيبتي وأخلف لي خيرا منها

' Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali, Ya Allah, berilah pahala kepadaku atas musibah yang menimpa diriku dan gantikanlah untukku dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.'

Kerana disebut dalam hadith yang sahih barangsiapa yang membacanya selepas ditimpa sesuatu musibah maka Allah akan memberikannya pahala atas musibah yang menimpanya dan mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. [Lihat hadith dalam riwayat Muslim]

3. Kita patut bersyukur dan bersangka baik kepada Allah kerana tidak diberi apa yang kita minta.

Boleh jadi pada gadis yang kita sangka baik itu, solehah itu, yang lawa dan cantik jelita itu tersimpan pelbagai keburukan dan kejahatan.

Siapa tahu dia ada kurap dan panau dalam baju? Siapa sangka dia ada penyakit dalam jiwa dan suka ketawa ditengah malam? Kita hanya pernah melihat dari luaran sedang Allah sahaja yang mengetahui segala yang tertutup dan tersembunyi.

4. Hati kita ini lemah, mudah tergoda dengan sedikit keindahan dunia sehingga kita lupa akan keindahan dan keabadian akhirat.

Mintalah kepada Allah, diperkukuhkan hati dan diteguhkan Iman. Hanya dengan Iman dan taqwa sahaja yang akan menyelamatkan kita dari kebinasaan dan kehancuran.

5. Kita semua manusia, ada hati dan perasaan. Tidak mengapa sesekali kecewa dan derita. Jadikanlah ia sebagai pengalaman bermakna dalam hidup dan belajarlah daripadanya agar kita lebih memahami kehidupan.

Jangan merosakkan diri dengan rokok, melayan blues dan mendengar lagu yang melayan perasaan. Tetapi isikan waktu dengan perkara yang bermakna dan memberi kekuatan kepada jiwa seperti membaca alquran, buku, menuntut ilmu dan mencari pengalaman.

Akhir kata dari saya,

Selamat menempuh ujian dalam sekolah kehidupan!

Bila perlu bercakap dan bila perlu diam ?

Imam Adz-zahabi menyebut pada biografi Yazid bin Abdullah bin Al-Syakhir (seorang tabien) dengan mengatakan ;

ينبغي للعالم أن يتكلم بنية وحسن قصد ، فإن أعجبه كلامه فليصمت ، فإن أعجبه الصمت فلينطق ، ولا يفتر عن محاسبة نفسه ، فإنها تحب الظهور والثناء

'Hendaklah bagi orang yang berilmu itu berbicara dengan niat dan tujuan yang baik. Jika dia merasa kagum dengan ucapannya maka hendaklah dia berdiam diri dan jika dia merasa kagum pula dengan diam dirinya maka hendaklah dia berbicara. Dan janganlah dia berhenti dari memuhasabah dirinya kerana dia (sebagai manusia) pasti menyukai tersohor dan pujian manusia.

[Siyar A'lam al-Nubala, Adz-Zahabi]

# Nasihat bagi mereka yang menghadiri muktamar, perhimpinan atau persidangan yang di dalamnya mereka bercakap, berbahas dan membuat ucapan di hadapan m
anusia.

Aku seorang penasihat, aku bukanlah seorang maksum





Ada sebuat syair menyebut;

إذا لم يعظ في الناس من هو مذنب
فمن يعظ العاصين بعد محمد

Jika orang yang berdosa tidak boleh memberi peringatan (nasihat) kepada manusia
Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berbuat derhaka setelah Nabi Muhammad?

Diriwayatkan bahawa Imam Hasan al-Basri rahimahullah berkata kepada Muthorrif bin ‘Abdullah :

يا مطرف، عِظ أصحابك
“Wahai, Muthorrif, berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu.”

Muthorrif menjawab :

إني أخاف أن أقول ما لا أفعل
“Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan.”

Al Hasan berkata :

يرحمك الله وأينا يفعل ما يقول؟
“Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada siapa pun di antara kita yang melakukan semua yang dikatakannya.

لودَّ الشيطان أنه ظفر بهذه منكم فلم يأمر أحدٌ بمعروفٍ ولم ينهَ عن منكر
Syaitan akan gembira jika berhasil mendapatkan pemikiran seperti ini daripada kamu sehingga tidak ada seorang pun yang akan menyuruh kepada kebaikan dan tidak pula mencegah daripada kemungkaran.

[Jami' li Ahkam al-Quran, al-Qurtubi]