Tuesday, August 28, 2007

Tarbiyah Salafus Soleh Dalam Pembinaan Diri Muslim


Ustaz emran :

"Muslim yang bermanhaj iaitu muslim yang professional, mengetahui hala tuju, cekap dan aktif dalam kerja yang disebut oleh Islam sebagai "itqan" (berkualiti dalam melakukan kerja), mereka inilah yang perlu dilahirkan supaya Islam dapat diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas, mempunyai wala' (ketaatan) yang jelas pada agama, berkualiti dalam kerja (professional) dan amal untuk Islam sehingga usaha dakwah itu benar-benar memanfaatkan Islam bukan menambah lagi fitnah kepada agama."

Permasalahan Ummah

Disebabkan berlaku polemik dan perselisihan di antara harakah "salafiyah" dan gerakan Ikhwan Muslimun maka mereka yang membesar dan tergolong di antara kedua-dua kelompok ini masing-masing bersikap fobia dan sensitive dalam mengambil manfaat di antara satu sama lain atau apa kebaikan yang wujud di antara kedua-duanya.

Ketika berbincang bersama Al-Fadhil Haji Ismail Omar (Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara) yang menziarahi saya di rumah, kami mencapai persetujuan bahawa kelompok yang mengaku salafi di mana-mana sangat kacau bilau dan faudho (istilah merujuk kepada arab badwi yang tidak bersistem) apabila dakwah salafiyah atau lebih senang kami sebutkan sebagai seruan mengajak kembali kepada Islam menurut pemahaman ahlul sunnah wal jamaah (salaf soleh) tidak dilaksanakan secara tersusun, bersistem, bermanhaj sebaliknya kelam-kabut mengikut perangai dan fe'el (tabiat) tok guru masing-masing.

Sesetengah tok guru salafi yang mengambil keputusan menyertai parti pemerintah akan menjadi ikutan anak-anak muridnya, demikian yang baki ada yang mengambil keputusan menyertai kumpulan NGO pula akan menjadi ikutan anak-anak muridnya dan sebahagian tok guru yang lain pula sibuk membangunkan sekolah dan markaz ilmu sehingga diikuti oleh anak-anak muridnya yang sibuk mahu mengaji dan mahu menjadi semacam tok gurunya yang alim, boleh mentafsir al-qur'an dan hadis, boleh kritik itu dan ini dengan hujah serta dalil kata mereka dengan bangga.

"Mana pi ubudiyah ?" kata Tuan Haji Ismail dengan nada kecewa, lalu mengungkit kisah beliau sewaktu belajar kitab Ubudiyah bersama Syeikh Dr Safar Al-Hawali ketika awal-awal belajar di Mekah dahulu. Hairan, umat Islam tidak lagi mahu maju ke depan menguasai bidang mikrocip dan elektronik, bidang sains dan teknologi di samping amalan agama dan kewajipan syarak ditunaikan menurut rujukan yang sahih menurut kehendak al-qur'an dan as-sunnah. Tidak perlu semua harus tahu mentafsir Al-Qur'an tetapi semua wajib tahu macam mana cara untuk berubudiyah (beribadah mengabdikan diri ) kepada Allah swt baik dalam apa situasi dan kerjaya. Disebabkan itu tarbiyah (pendidikan & Asuhan) penting diwujudkan oleh para tok-tok guru sunnah untuk melahirkan para muslim yang bermanhaj, bersistem yang boleh berjaya di dunia dan di akhirat.

Muslim yang bermanhaj iaitu muslim yang professional, mengetahui hala tuju, cekap dan aktif dalam kerja yang disebut oleh Islam sebagai "itqan" (berkualiti dalam melakukan kerja), mereka inilah yang perlu dilahirkan supaya Islam dapat diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas, mempunyai wala' (ketaatan) yang jelas pada agama, berkualiti dalam kerja (professional) dan amal untuk Islam sehingga usaha dakwah itu benar-benar memanfaatkan Islam bukan menambah lagi fitnah kepada agama.

Tidak terhasil segala hasrat ini melainkan dengan tarbiyah iaitu disebut melalui didikan dan asuhan, malangnya para tok guru sunnah disebabkan anti dan benci kepada Ikhwan Muslimun kerana mengecop mereka sebagai kelompok ahlul bid'ah lalai akan proses yang Maha penting ini yang pernah dilaksanakan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam sendiri untuk membina generasi sahabat yang agung.

Juga tidak menyenangkan apabila golongan Ikhwan Muslimun yang bangga dan mengecohkan diri di sana sini dengan pelbagai kebaikan, lalai akan kepentingan aqidah yang sahih dan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang perlu diterapkan dalam gerakan dan ummah bukan sibuk mengumpulkan ahli, atau sibuk mencari populariti agar dapat menang dalam pilihanraya atau tercelaru dengan matlamat singkat mahu memerintah di dalam negeri tetapi mengadaikan segala prinsip dan harga diri.

Wajarlah golongan Ikhwan Muslimun di tanahair juga bersatu dan mencari nilai dalam perjuangan agama mereka bukan hanya menumpang nama dengan pergerakan salafi yang semakin berkembang di tanahair dengan secara tiba-tiba Ikhwan Muslimun yang pernah menerima ramai pimpinan sufi tidak mengendahkan langsung seruan kembali kepada hadis sahih atau sebagainya yang bagi mereka ketika itu hal yang remeh berbanding maslahat yang hendak dibawa oleh mereka yang lebih besar kemudian hari ini tiba-tiba mengaku bahawa manhaj mereka ialah salafi.

Di Malaysia sendiri Ikhwan Muslimun dianggap sebagai wira agama dan masing-masing gerakan dakwah sewaktu dahulu mahu menganggap mereka ialah "Ikhwan Muslimun" yang lebih tulen berbanding yang lain. Sejarah pergaduhan pergerakan PAS dan pergerakan JIM serta pertubuhan ABIM di pelbagai pusat Universiti sukar dilupakan bahkan oleh saya sendiri juga. Wajarlah harakah Islam di mana-mana pada hari ini mencari nilai perjuangan mereka dan mengembalikan teras dasar perjuangan kepada aqidah yang sahih, pembentukan ummah yang berteraskan kepada Kitab dan Sunnah disebalik apa sekalipun label dan jenama mereka.

Sangat zalim menghukum gerakan Ikhwan Muslimun hari ini dengan hukuman yang diberikan oleh ulama' Islam ketika dahulu dan juga tidak wajar orang yang hidup hari ini pula menghukum harakah Ikhwan Muslimun berdasarkan perbuatan mereka dahulu. Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan namun selama mereka mencari kebaikan dan kebenaran maka setiap ikhwan (persaudaraan) Islam wajar diberi bantuan. Disebabkan itulah maka perjuang sunnah atau muslim yang berubudiyah kepada Allah swt menurut panduan kitab dan sunnah akan boleh berada di dalam pelbagai gerakan, kumpulan dan mereka tetap teguh berdiri di atas kalimah Allah swt .

Disebabkan itulah kepentingan memahami aqidah yang sahih, keperluan memahami tuntutan ubudiyah disisi Islam menjadi aulawiyat yang sangat mendesak kepada setiap muslim lalu darinya kita boleh memilih untuk melazimi mana-mana kumpulan atau gerakan yang memudahkan kita menunaikan kewajipan sebagai muslim di waktu dan situasi yang berbeza bagi setiap muslim. Lalu pergaduhan di antara setiap pergerakan dakwah dan harakah boleh dielakkan apabila setiap muslim yang berada di dalamnya menyedari di manakah nilai pergerakan mereka, apakah keutamaan dan fokus tujuan harakah mereka yang perlu dicapai bagi menunaikan kewajipan berubudiyah.

Pemahaman, pembentukan aqidah yang sahih, penjelasan fokus dan penumpuan ubudiyah kepada Allah swt bagi setiap muslim hanya akan tercapai melalui tarbiyah dan proses pendidikan dan pengajian yang berterusan dan berperingkat sehingga melahirkan muslim yang memahami tugas dan kewajipan untuk agama serta beramal dan hidup memenuhi segala perintah dan tuntutan Islam secara sempurna.

Hakikatnya tarbiyah bukanlah hanya wujud di dalam Ikhwan Muslimun atau dipopularkan oleh mereka tetapi sebenarnya Islam sendiri yang datang dan diturunkan oleh Allah swt sebagai manhaj atau sistem hidup dan kemudiannya mengangkat rasulullah salallahualaihiwasalam sebagai seorang rasul, guru, pendidik, dan pentarbiyah bagi mendidik dan mengasuh manusia dengan tarbiyah Islam.

Maksud Tarbiyah

Di dalam kitab Mufradat al-Raghib oleh Imam Al-Asfahani ra (meninggal tahun 502 Hijrah) ada menyebutkan perihal tarbiyah apabila beliau menyatakan : " Al-Rabb pada makna asal ialah tarbiyah iaitu yang menjadikan sesuatu secara beransur-ansur kepada kesempurnaannya."

Al-Imam Al-Baidhawi ra (meninggal tahun 685 Hijrah) telah menyebut di dalam tafsirnya Anwar At-Tanzil Wa'asrar Ta'wil bahawa : " Al-Rabb itu pada maknanya bermaksud tarbiyah iaitu yang menyampaikan sesuatu kepada kesempurnaannya secara beransur-ansur.."

Di dalam sirah kita mengetahui bahawa Islam ialah agama tarbiyah yang mementingkan proses pembentukan manusia dan pendidikannya secara bertahap sehingga menuju kesempurnaan sebagai hamba Allah swt dan itulah yang dimaksudkan dengan Tarbiyah iaitu memenuhi tuntutan berubudiyah kepada Allah swt secara bertahap melalui proses pendidikan dan pembentukan.

Allah swt berfirman :

لا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ

"Janganlah kamu mengerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat menguasainya, Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya Maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, Sesungguhnya atas tanggungan (tanggungjawab) kamilah penjelasannya (Menjelaskan maknanya)." (Al-Qiyamah : 16-19)

Di dalam ayat di atas, mengisahkan bahawa Allah swt melarang rasulullah daripada meniru bacaan Malaikat Jibril secara terus dan tergesa-gesa sebelum Jibril a.s benar-benar telah menyelesaikan bacaannya. Juga bermaksud tidak perlu rasulullah risau dan gelabah mahu berusaha menghafalnya dengan sekali bacaan sebaliknya Allah swt menjanjikan bahawa Dialah yang akan membuatkan rasulullah dapat mengingati Al-Qur'an dan kemudian berjanji serta memberi jaminan bahawa Allah swt yang akan menjelaskan maknanya serta memahamkan baginda akan agama ini secara bernasur-ansur.

Disebabkan itulah kita melihat wujudnya ilmu Asbabul nuzul (sebab-sebab turun ayat Al-Qur'an) di dalam agama ini bagi menjelaskan kebiasaan turunnya ayat-ayat Al-Qur'an itu selalunya disebabkan berlaku sesuatu peristiwa yang kemudian wahyu Al-Qur'an diturunkan bagi menjelaskan dan menyelesaikan masalah yang berlaku di zaman rasulullah salallahualaihiwasalam.

Sekiranya dikaji setiap peristiwa yang berlaku di dalam Al-Qur'an kita akan mendapati semuanya ialah peristiwa yang berbentuk umum dan boleh dijadikan pengajaran dan pedoman untuk mereka selepasnya kerana baik di zaman rasulullah, zaman sahabat, zaman kita hari ini terdapat satu persamaan iaitu kita semua manusia yang hidup, bernafas, bernafsu, bermasyarakat dan bernyawa serta akan mati yang diturunkan Al-Qur'an kepada kita sebagai pedoman untuk hidup bermatlamat, berwawasan dan berpandukan kepada pertunjuk ilahi.

Di sinilah kita menyedari bahawa proses Tarbiyah itu merupakan darah daging dalam agama ini dan menjadi satu hal yang paling penting melebihi dari sekadar mengajarkan baca dan menulis atau menjadi alim dan bergelar ulama' yang kaku dan buta akan matlamat Islam.

Banyak peristiwa yang berlaku mengisahkan hal yang sedemikian. Antaranya ialah pengisahan mengenai naqib yang diutuskan oleh Allah swt seperti di dalam Al-Qur'an :

وَلَقَدْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرائيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيباً وَقَالَ اللَّهُ إِنِّي مَعَكُمْ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلاةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ وَآمَنْتُمْ بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً لَأُكَفِّرَنَّ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ فَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

"Dan Sesungguhnya Allah telah mengambil Perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat diantara mereka 12 orang pemimpin dan Allah berfirman: "Sesungguhnya aku beserta kamu, Sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, Sesungguhnya aku akan menutupi dosa-dosamu. dan Sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir air didalamnya sungai-sungai. Maka Barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, Sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus." (Al-Maidah ; 12)

Naqib di dalam bahasa Arab bermaksud seseorang yang paling arif dan mengetahui di dalam kaumnya atau bermaksud seseorang yang paling mengetahui tentang urusan kaumnya dan memberi panduan kepada mereka. (lihat Jami’ul Bayan fi Tafsiril Qur’an, Imam At-Thabari )

Adapun dua belas orang naqib diriwayatkan mereka diutuskan berdasarkan jumlah jumlah kabilah atau kelompok yang ada dalam bani Israel, sehingga supaya setiap golongan mempunyai naqib.

Disebutkan mereka itu ialah : Syamun bin Zakawwan (Rubil), Syafath bin Hurriy (Syam’un), Kalib bin Yufanna (Yahwizh), Yaja’il bin Yusuf (Aten), Yusyi’ bin Nun (Afra’im), Falth bin Rafun (Benjamin), Judea bin Sudea (Zabalon), Judea bin Susa (Minsya bin Yusuf), Hamala’il bin Jaml (Daan), Satur bin Malkil (Asyar), Naha bin Wafsi (Naftali), Julail bin Mikki (Jaad). (Lihat Kitab Jami’ul Bayan fi Tafsiril Qur’an, Imam At-Thabari dan Ibnu Katsir )

Di dalam ayat surah Al-Maidah di atas, menunjukkan bahawa Allah swt telah mengangkat naqib (pentarbiyah dan pendidik) iaitu wakil kepada rasul yang diutuskan oleh Allah swt sebagai pembantu agama dan pengajar dan pendidik umat bani Israel agar tetap teguh di dalam agama Allah swt. Hal ini menunjukkan bahawa ayat ini diberikan kepada rasulullah supaya mengambil pengajaran bahawa proses pendidikan umat dan pentarbiyahan mereka merupakan sesuatu yang wajib ke atas agama ini agar manusia menuju kepada kesempurnaan beragama dan memenuhi kewajipan mereka secara benar dan sempurna.

Juga diriwayatkan di dalam pelbagai kitab sirah bahawa ketika rasulullah mengadakan perjanjian Aqabah bersama golongan sahabat Ansor maka baginda juga turut memilih 12 orang naqib yang terdiri daripada 3 orang daripada suku Aus' iaitu Usaid bin Hudhair, Sa’ad bin Khaitsamah, Rifa’ah bin Abdil Mundzir serta 9 orang pula daripada kabilah Khazraj, iaitu As’ad bin Zurarah, Sa’d bin Rabi’, Abdullah bin Rawahah, Rafi’ bin Malik, Barra’ bin Ma’rur, Ubadah bin Shomit, Sa’ad bin Ubadah, Abdullah bin Amru dan Mundzir bin Amru. (lihat di dalam kitab Sunan Baihaqi, Mustadrak Al-Hakim dan Sunan Ibn Majah dan lain-lain)
Tarbiyah Lebih Penting Daripada Sekadar Ilmu

Malangnya pada hari ini manusia sibuk mahu menjadi alim, berbangga dengan rakan-rakan yang lain apabila dirinya sudah di tahun akhir dan bakal mengenggam sekeping kertas bercopkan universiti yang dibayar yuran beribuan ringgit hanya untuk mengikuti kelas-kelasnya yang menjanjikan pulangan kertas-kertas hasil peperiksaan yang boleh dibanggakan di hadapan ibubapa dan keluarga serta menjadi syarat penerimaan kerja bagi mencari sesuapan nasi dan seteguk minuman.

Kita juga melihat hasil didikan salah, apabila para pemuda Islam Malaysia hari ini sibuk mahu ke Universiti Islam Madinah dan Ummul Qura' di Mekah atau ke Universiti Al-Azhar atau ke pusat-pusat pengajian glamour dunia dengan harapan mahu menjadi alim, boleh mentahqiq kitab, boleh berceramah hebat, mahu menjadi ulama tafsir, mahu menjadi muhadis dan seorang ulama kibarrrrr tanpa pernah sedikit pun terlintas di hatinya mahu menjadi seorang hamba Alah swt yang soleh, wara, bertaqwa dan diredhai Allah swt walaupun dirinya seorang yang bekerja mengambil upah memunggut sampah di jalanan.

Diriwayatkan oleh Imam At-Tabari di dalam tafsirnya menceritakan bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ali bin Hasan bin Syaqiq Al-Marwazi berkata bahawa : "Saya mendengar ayahku berkata telah menceritakan kepada kami Al-Husain bin Waqid berkata telah menceritakan kepada kami Al-A’masy daripada Syaqiq daripada Ibnu Mas’ud ra yang berkata: “Adalah seorang daripada kami jika telah mempelajari sepuluh ayat maka dia tidak pun menambahkannya sampai dirinya mengetahui maknanya dan mengamalkannya.” (Riwayat ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Muhammad Syakir di dalam Tahqiqnya kepada Tafsir At-Tabari)

Juga turut disebutkan oleh Al-Imam Ibn Katsir ra daripada kalam Ibn Mas’ud ra “Sesungguhnya para sahabat ra jika belajar 10 ayat dari Al-Quran maka tidaklah mereka meneruskan dengan ayat yang lainnya melainkan mereka terlebih dahulu telah mengetahui maknanya dan beramal dengannya.” (lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir m/s 15, Jilid 1 ).

Di dalam sirah Islam sendiri kita mendapati bahawa para sahabat ra disibukkan oleh baginda dengan tarbiyah kehidupan yang berlandaskan Al-Qur'an dan sunnah dan permasalahan ilmu tidak diwajibkan kepada semua orang agar semua menjadi faqih dan alim sebaliknya dikhaskan kepada mereka yang sememangnya memiliki kemampuan dan kesempatan. Disebabkan itulah tidak semua sahabat ra menghafaz puluhan ribu hadis atau menghafaz Al-Qur'an sebaliknya ada yang cuma menguasai sedikit sahaja dan ada yang tidak menghafaz Al-Qur'an sebaliknya mengikuti sahabat yang lain.

Diriwayatkan dari hadis Tsalabah bin Abi malik yang berkata telah keluar rasulullah pada suatu malam dalam bulan Ramadhan dan melihat manusia melakukan solat di sudut masjid lalu bertanya : “Apa yang diperbuat oleh mereka ini ?” maka dijawab oleh mereka yang ada dengan berkata : “Wahai rasulullah, mereka ini tidak semua menghafaz al-qur’an dan Ubai ibn Ka’ab membaca al-qur’an lalu mereka ikut beliau bersolat bersamanya” lalu bersabda baginda rasulullah : “Sesungguhnya telah benar mereka” dan tidaklah baginda melarang perbuatan mereka (Riwayat Baihaqi no. 495 Jilid 2 dengan sanadnya mursal hasan).

Kita seharusnya memahami daripada hal ini bahawa Islam ialah agama yang mementingkan tarbiyah iaitu proses pembinaan dan pendidikan manusia menuju kepada kesempurnaan beragama dan menjadi hamba yang berjaya di dunia dan di akhirat. Sekalipun Islam memuji mereka yang berilmu dan mengangkat martabat golongan tersebut namun tidaklah diwajibkan kepada semua untuk menjadi alim dan bergelar ulama'.

Mengenai sabda baginda salallahualaihiwasalam :
طلب العلم فريضة على كل مسلم
" Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap muslim" (Riwayat Ahmad, Ibn Majah no. 220).

Dimaksudkan kewajipan menuntut ilmu itu ialah mengaji dan mempelajari apa yang perlu untuk beramal sebagai seorang Islam yang berlaku perintah ini kepada para petani, peniaga, penternak binatang sehingga kepada pakar ahli kaji bintang dan sebagainya agar mengetahui dan mempelajari perkara dasar Islam sekadar yang membolehkan mereka beamal di dalam Islam seperti rukun-rukun Islam, rukun Iman, perkara syariat yang asasi seperti cara bersolat, berpuasa dan selainnya sehingga umat Islam tidak pula jahil dan bodoh akan isi pokok agama mereka.

Menurut Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi mengatakan bahawa perintah wajib menuntut ilmu dalam hadith ini merujuk kepada ilmu feqah sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan fuqaha'. Ini kerana amatlah penting seseorang itu untuk mempelajari feqah sehingga dirinya mampu mengetahui perkara halal dan haram.

Manakala menurut ulama' hadith dan para mufassir pula menyebut ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu yang berkait kitab Allah dan As-Sunnah. Melalui pemahaman dan pengetahuan dari keduanya (Al-Quran dan As-Sunnah) maka seseorang itu akan dapat menguasai ilmu-ilmu yang lain. Bagi golongan sufi pula mereka berpendapat ilmu yang disebut dalam hadith baginda ialah ilmu yang berkait perihal keikhlasan dan pembinaan jiwa (Sila lihat kalam Ibn Qudamah, dalam Minhaj Al-Qasidin, m/s.10).

Manakala di dalam Al-Qur'an sendiri menyebutkan bahawa tidaklah menjadi keperluan untuk semua orang turun ke medan perang untuk menunaikan kewajipan berperang sebaliknya perlulah ada sebahagian golongan memperdalami ilmu agama sebagai peringat dan penasihat kepada kaumnya apabila pulang.

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
" Tidaklah sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat mengambil peringatan." (At-Taubah : 122)

Ayat ini juga membawa maksud sebaliknya iaitu tidak perlu juga semua orang pergi ke universiti dan pusat pengajian mengejar sijil sehingga tiada langsung yang mahu pergi berperang dan tidak semua perlu menjadi alim dan bergelar ulama' sehingga yang mahu beramal dan berperang itu tiada sesiapa lantaran tugas berperang itu terlalu susah, berat berbanding tugas pensyarah universiti bergaji enak, kedudukan ustaz dan guru agama yang mendapat pulangan lumayan.

Berbeza di zaman nabi salallahualaihiwasalam yang mana semua sahabat ra berebut mahu mendapat ganjaran pahala dan balasan akhirat lantas mahu keluar berperang sehingga Allah swt perlu menurunkan ayat supaya memperingati agar tidak semua terus keluar berperang untuk menunaikan ubudiyah sebaliknya juga boleh menunaikannya kewajipan dengan cara selain perang iaitu supaya menuntut ilmu agar memperingati umat yang pulang dari kewajipan ubudiyah yang paling tinggi iaitu jihad agar mereka turut berterusan istiqamah di atas manhaj yang sahih dan kemudian bersedia untuk kembali keluar berjihad apabila diperlukan.

Malangnya kerana kedangkalan faham, kecetekkan pengalaman hidup, kekurangan keikhlasan dan kejauhan diri daripada hidayah Allah swt menjadikan manusia yang keluar daripada universiti-universiti di semenanjung tanah arab dan di tanahair kita hanya sibuk mencari gaduh sesama sendiri, sibuk mengangkat jemaah sendiri, sibuk mendakwa mereka di pihak yang benar, sibuk berpersatuan yang tidak ada hala tujuan, sibuk dengan gerakan dan dakwah yang tiada matlamat ubudiyah, sibuk mencari anak-anak gadis muda yang jelita sebagai teman melalui internet dan laman perkenalan, sibuk menghabisi masa dengan filem-filem tidak berfaedah, sibuk menghabisi masa dengan liqa-liqa membuang masa, sibuk bercerita dan mengutuk serta memfitnah para mujahid di jalan Allah swt dengan pelbagai tohmahan.

Allahuakbar !!

Tarbiyah Melahirkan Insan Yang Bertaqwa

Pentarbiyahan mampu melahirkan insan yang bertaqwa dan beramal soleh adapun ilmu hanya sekadar memberikan pengetahuan dan belum tentu dapat memberikan ketaqwaan dan kesolehan kepada seseorang atau memberikan kekuatan kepadanya dalam melawan musuh atau menghadapi hawa nafsunya.

Hal ini sudah jelas disebutkan di dalam Al-Qur'an sendiri apabila menyifatkan perbuatan para pendita dan alim agama Yahudi yang mengetahui isi kandungan kitab mereka tetapi menyalahinya kerana menurut hawa nafsu mereka.

Allah swt berfirman :

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mencampur adukkan antara yang haq dengan yang bathil, dan Menyembunyikan kebenaran, Padahal kamu mengetahuinya?" (Ali-Imran : 71)

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقاً مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَة
" Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al kitab (Taurat dan Injil) Mengenal Muhammad seperti mereka Mengenal anak-anaknya sendiri dan Sesungguhnya sebahagian diantara mereka Menyembunyikan kebenaran, Padahal mereka mengetahui. " (Al-Baqarah : 146)

Hal ini juga diriwayatkan telah disebut oleh baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : "Sesungguhnya Bani Israel menulis sebuah kitab dan mengikutinya serta meninggalkan Taurat." (hadis riwayat Darimi dan Tabrani serta disahihkan oleh Albani)

Keilmuan semata-mata tidak langsung dapat menyelamatkan diri manusia daripada kemurkaan Allah swt sebaliknya dengan amal dan taqwa maka barulah dianggap seseorang muslim itu mencapai apa yang disebutkan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Inilah yang disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa baginda salallahualahiwasalam pernah bersabda :
من تعلم علما مما يبتغي به وجه الله عز وجل ,لا يتعلمه الا ليصيب به عرضا من الدنيا لم يجد عرف الجنة يوم القيامة
“ Siapa yang mempelajari ilmu selain mencari redha Allah, dan mempelajarinya bertujuan untuk habuan dan ganjaran dunia maka tidaklah dia dapat (diharamkan) mencium bau syurga di hari akhirat.” (Hadith Sahih, Riwayat Abu Daud no. 3179)

Sebaliknya marilah kita melihat pula hasil tarbiyah rasulullah salallahualaihiwasalam kepada para sahabat ra dengan tarbiyah imaniyah dan aqidah yang masuk meresap ke dalam jiwa melalui proses yang memakan masa, harta dan jiwa raga apabila para sahabat terdidik mentaati perintah Allah swt sekalipun mereka berdepan dengan ujian yang mengancam jiwa dan nyawa serta segala kenikmatan duniawi yang berada di hadapan mata.

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah mereka berkata "Kami mendengar, dan Kami patuh" dan mereka Itulah orang-orang yang berjaya." (An-Nur : 51)

Sebagaimana apa yang ditulis oleh Imam Ibn Qayyim Az-Jauziyah di dalam Kitabnya Zadul Ma'ad mengenai Peristiwa Perang Badar Al-Kubra apabila berita keluarnya rombongan Quraisy sampai kepada rasulullah maka baginda pun bermesyuarat bersama-sama sahabatnya maka golongan Muhajirin pun menyetujui hasrat baginda untuk memerangi mereka kemudian baginda berbincang lagi lalu dipersetujui lagi oleh Muhajirin dan seterusnya sehingga kali ketiga apabila golongan Ansor kemudian menyedari bahawa mereka yang menjadi sebab perbincangan itu maka bangunlah Saad Bin Ubadah ra lalu berkata :

" Apakah kami yang engkau kehendaki ya rasulullah ? Agaknya kamu takut golongan Ansor tidak melihat perlunya mereka membantu kamu kecuali hanya di dalam negerinya sahaja ? (disebabkan sewaktu berbai'ah janji setia dengan rasulullah kaum Ansor hanya berjanji akan membantu baginda daripada ancaman di dalam negeri) Maka aku berkata kepada kamu akan perihal Ansor dan menjawab bagi pihak mereka bahawa :

"Perintahkanlah kami musafir ke mana yang engkau suka, sambunglah pertalian kami dengan sesiapa yang engkau sukai, dan putuskanlah talian kami dengan siapa yang engkau suka, dan ambillah dari harta kami sebanyak mana yang engkau sukai dan berikan kepada kami apa yang engkau mahu memberi, tidaklah apa yang engkau ambil daripada kami lebih kami sukai (suka untuk kamu ambil) daripada apa yang engkau tinggalkan untuk kami." dan di dalam riwayat lain disebutkan "Sekiranya engkau mengarahkan kami untuk menyemberangi lautan nesaya akan kami menunggangnya." (Dikeluarkan oleh Ibn Saad daripada Mursal Ikrimah dan asal kisah ini daripada sahih Muslim no. 1779 daripada hadis Anas bin Malik ra )

Demikianlah iman yang tinggi hasil tarbiyah dan didikan rasulullah salallahualaihiwasalam serta para naqib yang diutuskan oleh baginda dahulu kepada kaum Ansor ra bagi mengajarkan mereka akan perihal imaniyah dan aqidah. Tiada ragu-ragu dalam menyahut seruan baginda alaihisalam sekalipun apa yang diminta sebenarnya ialah bukan hanya harta tetapi perang yang meragut nyawa yang menjadi harta paling disayangi oleh setiap manusia yang mencintai dunia.

Itulah kesan tarbiyah yang tidak sama langsung dengan hanya ilmu yang diajarkan kepada manusia apabila ianya tidak masuk ke hati dan tidak mencairkan keegoaan, kepalsuan, keghairahan nafsu dan kegilaan syahwat yang berterusan meminta habuan dunia.

Lupakah kita kisah pengharaman Arak ? Masyarakat arab yang sebati hidup mereka dengan arak dan menjadi budaya seharian menghidangkan arak di dalam majlis dan jamuan kemudiannya apabila turun perintah Allah swt maka dengan segera bertaubat dan meninggalkan minuman arak kerana mencari redha Allah swt.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah Termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Al-Maidah : 90-91)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra daripada Anas bin Malik ra bahawa Abu Ubaidah bin Jarrah ra dan Ubay' bin Ka'ab dan Suhail serta sebahagian daripada sahabat rasulullah berada disisi Abi Talhah ra dan mereka hampir meminum arak sehingga datang orang memberitahu kepada mereka akan perintah keharaman arak lalu mereka menuangkan minuman arak yang berada di dalam bekas minuman mereka dan membakarnya. (Lihat di dalam Tafsir Ibn Katsir pada ayat 90 -91 Surah Al-Maidah dan hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim serta lain-lain)

Bayangkan oleh kita sekiranya perintah yang sama ditujukan kepada kita pada zaman hari ini nescaya ramai yang akan memperbahaskan dahulu kewajaran perintah ini, mempertikaikan, mencadangkan supaya dikaji semula dan sebagainya, pelbagai lagi kedegilan dan engkar yang akan terpapar mengambarkan ilmu yang semakin tinggi dipelajari semakin membawa kita sombong dan angkuh serta menjauh daripada hidayah dan pertunjuk Allah swt.

Demikianlah kesimpulan daripada kisah-kisah dan riwayat yang dapat diambil pengajaran oleh mereka yang beriman mengenai kepentingan tarbiyah di dalam Islam yang diabaikan oleh para guru sunnah dan ahli agama Islam hari ini yang sibuk mengejar nama di dalam era dakwah dan media massa atau sibuk mahu menambahkan tulisan-tulisan mereka di dada akhbar atau di dalam senarai buku perpustakaan Islam tetapi melupakan tugasan Maha penting mendidik dan mentarbiyah umat dengan kefahaman yang sahih menurut salaf soleh.

Semoga Allah swt merahmati usaha kita dan mengembalikan kita kepada jalan yang sahih serta diredhai-Nya dan memasukkan kita bersama hamba-hamba-Nya yang beriman ke dalam Syurga.

Segala puji hanyalah bagi Allah swt.

emran ahmad
Pengajar Markaz Urwatun Wusqo

Friday, August 03, 2007

Tauhid Hakimiyah & Salafi Murjiah, Mana Lebih Bid'ah ?


Berpeluang menuntut ilmu melalui murid-murid al-marhum Syeikh Muqbil Al-Hadi ra, juga pelbagai lagi ulama' dari dahulu sehingga ke hari ini di dalam usaha merealisasikan menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad bukan menuntut ilmu dari sekolah ke tingkatan universiti bagi mendapatkan kepingan kertas sebagai pra-syarat untuk memohon kerja menjadikan saya melalui pelbagai pengalaman dan pendedahan dari ruang-ruang kefahaman dan aliran pemikiran.

Tidak hanya para alim ulama dari aliran salafi Saudi, tetapi juga dari Yaman kemudian padanya pelbagai kumpulan dan aliran kemudian pula menimba ilmu daripada Ikhwan Muslimun, juga dari aliran Sufi dan mengaji juga saya di madrasah –madrasah As-Syafi'iyah tidak terkecuali lain-lain mazhab Islam termasuk syiah zaidi saya berpeluang mengutip ilmu dan pengalaman akan apa-apa yang boleh memanfaatkan agama ini bagi saya dan mereka yang mahu mencari hidayah.

Usah peduli kata sesiapa akan tohmahan terhadap saya, penulisan dan paparan ilmiah menjadi bukti nilai keilmiah dan kebenaran apa yang dipaparkan. Apa risau cakap orang terhadap peribadi saya, sijil dan ijazah bukan buruan saya juga kedudukan sebagai pegerusi institut pemikiran manusia di zaman khalaf ini bukan impian saya, jauh sekali kedudukan mufti atau jawatan glamour mengajar di universiti itu yang menjadi hasrat saya.

Baru-baru ini saya dipersoalkan oleh ramai orang mengenai Tauhid Hakimiyah yang dikemukakan oleh Syed Qutb ra di dalam kitabnya Fi Zilalil Qur'an dan Ma'alim Fi Toriq serta lain-lain tulisan As-Syahid. Seperti kata Dr Yusof Al-Qaradhawi bahawa yang mempopularkan seruan ini pada kurun ini sebenarnya ialah Syeikh Abu Ala' Al-Maududi yang kemudiannya disambung pula oleh Syed Qutb.

Allah swt berfirman :

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
"Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) Nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu ada-adakan.. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang Nama-nama itu penghukuman itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Yusof : 40)

Di dalam Kitabnya Fiqh Daulah Fi Islam, Dr Yusof Al-Qaradhawi menyebutkan bahawa : " Al-Hakimiyyah bermaksud Allah swt sebagai pembuat syariat untuk makhluknya, Dialah yang memerintah dan melarang, menghalang dan mengharamkan untuk hamba-Nya dan ini bukanlah rekaan Syeikh Abu Ala Al-Maududi atau pun Syed Qutb bahkan ianya adalah apa yang telah ditetapkan kepada umat Islam. Oleh itu Khalifah Ali ra tidak menentang prinsip ini tetapi beliau hanya menolak matlamat yang salah oleh mereka (khawarij) yang mempergunakan slogan Hakimiyah ini.

Disebabkan itu masyhur kata-kata beliau apabila kaum Khawarij yang menuntut hukum menggunakan slogan "Tidak ada pemerintahan melainkan milik Allah" lalu beliau (Ali Ibn Abi Thalib ra ) membalas seruan mereka dengan mengatakan :

" Kalimah yang benar tetapi dimaksudkan kepada kebathilan."

Beliau tidak menentang prinsip ini tetapi menolak maksud khawarij yang jahat yang mahu memerangi pemerintahan yang telah dibina hasil syura' keputusan jemaah umat Islam.

Dimaksudkan kekuasaan dan hak pemerintahan itu milik Allah swt ialah dikembalikan keputusan, prinsip dan dasar sesebuah pentadbiran umat itu kepada syariat Allah swt dan dalam masa yang sama peranan manusia tidak dinafikan sedikit pun akan kedudukannya sebagai pelaksana, sebagai khalifah dan pemegang amanah Allah swt di muka bumi ini sekaligus membezakan seruan ini daripada sangkaan orang yang jahil bahawa menjadikan pemerintahan itu milik Allah swt bererti tidak wujud peranan manusia langsung atau menjadilah Islam seperti Negara Teokrasi yang mirip zaman kegelapan barat apabila masyarakat barat dipimpin oleh gereja dan paderi yang membuat undang-undang sesuka hati di atas nama agama.

Tidak terkecuali Syeikh Al-Maqdisi di dalam kitabnya Millatu Ibrahim juga ada mengetengahkan persoalan ini bagi menimbulkan kesedaran umat akan perlunya dikembalikan hukum dan sistem pentadbiran manusia hari ini kepada syariat Allah swt.

Menjawab persoalan Tauhid Hakimiyah ini maka saya katakan hendaklah para pemuda dan pelajar ilmu terlebih dahulu tidak gopoh dalam mengeluarkan kenyataan yang semberono tanpa kajian dan kesabaran. Tentu tiada siapa yang suka apabila para ulama' Islam menafikan kewujudan Tauhid Hakimiyah ini dan antara yang mengatakan hal ini ialah bid'ah seperti pendapat Syeikh Muhammad Ibn Soleh Al-Utsaimin dan siding majlis kibar ulama Saudi dengan kemudian memaksudkan oleh kerana Tauhid Hakimiyah ini muhdats (hal yang bid'ah) maka hukum perundangan dan sistem pentadbiran haruslah selari dengan politik Amerika dan Britain atau apa yang ditetapkan oleh Majlis Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) ?

Tentu Syeikh Soleh Utsaimin pun tidak mahu maksudnya menjadi demikian jika tidak pastilah beliau seorang yang bukan cinta kepada kitab dan sunnah atau muslim yang soleh apabila sanggup melihat sistem perundangan dan pemerintahan umat yang suci ini dilaksanakan menurut acuan kufar dan barat serta hukuman mahkamah mestilah berdasarkan buku lama Mahkamah British.

Ini samalah maksudnya dengan apa yang boleh kita umpamakan mereka yang menyokong wujudnya apa yang dinamakan bid'ah hasanah itu tidaklah pula sampai sanggup menyatakan menyembah kubur itu dibolehkan.

Malangnya para ustaz yang jahil usul feqah dan usul syarak yang merupakan anak-anak murid kepada muhadith yang alim contohnya seperti Al-Allamah Syeikh Muqbil Al-Hadi ra kerap menimbulkan fitnah dan kejahilan kepada masyarakat dan tidak kurang mereka yang lemah daya fahamnya akan fiqih aqidah ahlul sunnah juga tidak terkecuali apabila menolak istilah Tauhid Hakimiyah ini lalu menjerumuskan pemahaman ini ke dalam tong sampah dan menyamakan pemahaman yang mulia ini setaraf dengan pemahaman khawarij dan kelompok ahlul bid'ah.

Perbuatan mereka ibarat pelajar yang geli dan jijik apabila mendengar hadis bahawa harus dan dibolehkan memakan bangkai binatang laut sedangkan lauk ikan yang dimakan olehnya hari-hari itu apakah bukan bangkai ? Menolak pengistilahan Tauhid Hakimiyyah tidak bermakna perlu menolak maksud dan prinsipnya apabila ianya sebenarnya merupakan sebahagian daripada isi agama yang kita dokongi selama ini.

Bahkan Imam Abu Ishak As-Syatibi ra telah memperingatkan umat Islam akan hakikat kejahilan ilmu usul ini dengan menyebutkan di dalam kitabnya Al-Itishom m/s 173 jilid 2 dengan bermaksud : “ Sesungguhnya yang menjadi sebab utama bid’ah dan pertikaian yang membawa kepada perpecahan umat dan malapetaka ialah seseorang mempercayai dirinya ialah seorang mujtahid atau termasuk ahlul ilmi wal ijtihad dalam ilmu agama sedangkan hakikatnya dirinya belumlah mencapai tahap itu. Maka apabila dia beramal dengan pendapatnya maka dianggap pendapatnya ialah sebagai pendapat ulama dan khilafnya sebagai khilaf ulama lalu baik hal itu berlaku di dalam hal yang furu (cabang) atau hal yang mendasar dan usul baik iktikad dan amaliyah sehingga seringkali dia mengambil sesetengah hal yang juz’iyah atau furu’iyah (cabang) dari syariat lalu diruntuhkan hal yang kulliyat atau usul dengannya atau sebaliknya sehinggalah jadi apa yang zahir itu sepintas lalu seolah menepati makna tetapi hakikatnya tidak mencapai maksud syarak maka inilah dia seorang tukang pembuat bid’ah.”

Situasi ini cukup melarat khususnya di Indonesia apabila kebuntuan akal dan kecetekkan faham akan ilmu syariat menjadikan mereka membid'ahkan umat Islam yang tidak menyimpan janggut atau mencela dan memaki para pendakwah yang memakai kot dan celana (seluar) lalu memuji dan memuliakan para manusia yang tidak berhukum dengan hukum Allah swt dan menjadi thaghut di muka bumi ini konon menyangka demikianlah faham salaf yang kepada mereka merupakan kumpulan manusia penjilat dan pengampu bagi pihak yang berkuasa.

Allah swt berfirman :

وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan kamu sama sekali tidak mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan." (Hud : 113)

Mengambil hadis-hadis dari sahabat seperti Anas ibn Malik ra dan Abdullah ibn Umar ra misalnya serta lain-lain mengenai kewajipan taat kepada pemerintah yang diangkat oleh umat dalam keadaan situasi zaman sahabat dan waqi' yang berbeza dengan hari ini mereka lalu menyamakan tuntutan hadith tadi dengan situasi hari ini sehingga memaksa para pemuda yang cintakan sunnah supaya tidak boleh tidak mesti wajib mentaati para penguasa thaghut sekalipun hati nurani sukar menerimanya namun dengan sogokkan dan momokkan kepercayaan kononnya sahabat seperti Anas ibn Malik ra dan Abdullah ibn Umar ra itu juga penjilat dan pengampu maka wajiblah umat Islam hari ini khasnya ulama sunnah mentaati thaghut yang dibahasa arabkan menjadi ulil amri.

Allah swt berfirman :

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Dan sungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (An-Nahl : 36)

Hakikatnya tidak ada ulama' dari kalangan ahlul sunnah wal jamaah yang menolak akan maksud atau tuntutan daripada Tauhid Hakimiyah ini adapun istilah Hakimiyah itu maka ianya hanyalah bid'ah yang di ada-adakan oleh golongan Murjiah dan musuh Islam sebagai mengeluarkan makna tuntutan Hakimiyah ini daripada Tauhid Uluhiyah yang telah disepakati oleh ulama ahlul sunnah wal jamaah.

Gelaran Wahabi diberikan lantaran tidak mahu gerakan dakwah Syeikh Muhammad Abd Wahab yang mengembalikan manusia kepada aqidah yang suci dan memerangi syirik itu disebut sebagai kelompok ahlul sunnah wal jamaah, maka puak sufi dan ahlul bid'ah baik dari golongan Asya'irah dan pengikut aliran Maturidiyah kemudian mendakwah bahawa ahlul sunnah wal jamaah itu ialah milik mereka dan wahabi itu bukanlah dari ahlul sunnah wal jamaah seterusnya melabel gerakan ini sebagai satu harakah yang baru, bid'ah dan di ada-adakan oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab dengan hasil fikir dan fahamnya semata-mata yang konon merupakan hal baru yang tak dikenal oleh para ulama sebelumnya itulah tuduhan dan demikian cemuh mereka.

Maka Tauhid Hakimiyah ini mengalami nasib yang sama apabila ianya berasal dan merupakan juzuk dalam tauhid Uluhiyah yang disebut oleh Syeikh Muhammad Abd Wahab sebagai Tauhid Ibadah tetapi kerana wujud pihak yang takut akan Tauhid Uluhiyah ini yang semakin berkembang di universiti-universiti dan pusat pengajian di seluruh dunia serta telah mula masuk dalam buku-buku dan kitab-kitab agama selepas zaman kegemilangan dan kepesatan dakwah gerakan Ikhwan Muslimun yang kebetulan waktu itu para pendakwah mereka gigih menyebarkan tuntutan tauhid ini sebelum kejatuhan harakah ini akibat musuh dalam selimut.

Maka wujud percubaan oleh para musuh Allah swt untuk memecahkan Tauhid Uluhiyah ini agar ianya tidak termasuk soal perundangan dan kekuasaan pemerintahan atau politik.

Lalu fikir-fikir dan mengkaji maka mereka menemui jalan dengan mengecilkan bab dalam Tauhid Uluhiyah ini kepada menjadikan ianya Tauhid yang pelik apabila disyarahkan oleh mereka sebagai tauhid ibadah yang bermaksud membawa manusia kepada mengesakan Allah swt di dalam ibadah seperti solat, doa, nazar dan sembelihan dan tidak mensyirikkan-Nya di dalam Ibadah yang telah disempitkan maknanya oleh mereka.

Lalu dari makna ini mereka pun mengetengahkan konsep ibadah feqah menurut sunnah rasul salallahualaihiwasalam dan membiayai segala bentuk kajian ke-arah ini bagi menyibukkan manusia dengan mengulangi semula kerja-kerja pergaduhan umat Islam dahulu dalam hal feqah yang tidak berkesudahan dan masing-masing dengan hujah-hujah mereka sehingga di dalam bab meletakkan tangan di dalam solat pun menjadi isu yang dibuka kembali konon mahu menjadi mujtahid dan mentarjihkan semula perihal-perihal tersebut.

Lalu menjadikan manusia sibuk dengan hal yang disebut oleh ulama fiqih sebagai sunat dan meninggalkan hal yang utama dan mendasar dari aqidah atau Tauhid Uluhiyah ini yang mengajak manusia kepada mengesakan Allah swt di dalam ibadah dan hidup serta wujud hanya untuk tujuan mengabdikan diri kepada Allah swt serta menjadikan apa yang berlaku dan berjalan menguasai bumi ini tertakluk kepada perintah dan syariat Allah swt.

Allah swt berfirman :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku." (Adz-Zariyat : 56)

Perbuatan jahat mereka ini sangat dahsyat apabila mereka mengeluarkan dari Tauhid Uluhiyah itu apa yang disebut oleh ulama' sebagai dasarnya atau pokok aqidah iaitu konsep Al-Wala Wal Bara' dan daripada Tauhid Uluhiyah ini juga mereka mengeluarkan sebarang bentuk faham yang membahayakan kedudukan para thaghut dan kuffar apabila sistem pentadbiran manusia, politik yang bermaksud hubungan di antara manusia dan manusia (حبل من الناس) tidak disebutkan sebagai salah satu dari hal yang dinamakan ibadah atau termasuk dalam Tauhid Ibadah ini (ULUHIYAH).

Maka hubungan manusia di antara manusia atau disebut ilmu sosial, soal penguasaan manusia ke atas manusia yang lain yang disebut politik, sekiranya tidak disebut sebagai ibadah maka tidak perlulah dikembalikan urusan ini kepada syariat Allah swt atau pertunjuk kitab dan sunnah demikian sangkaan mereka.

Lalu jika benar demikian maka mengapakah Islam diturunkan mengajarkan manusia persoalan kejiranan ? Apa gunanya ayat-ayat Allah swt yang menyebut persoalan Syu'ra (mesyuarat) dan manusia berilmu (Ahli Al-Halli wa Al-Aqdi) yang wajib dijadikan pertunjuk dan diminta nasihat ? Apakah gunanya ayat-ayat mengenai riba dan hadis berkait akad jual beli dalam agama sekiranya hubungan di antara manusia dan manusia bukan ibadah dan tidak perlu dikembalikan atau dikhususkan hanya kepada Allah swt sebagai memenuhi tuntutan Tauhid Uluhiyah (Tauhid Ibadah) yang mengesakan Allah swt di dalam ibadah ?

Kenapa pula Allah swt mahu mencampuri urusan pembahagian harta rampasan perang hanya semata-mata mahu menjaga maslahat orang yang berhak dengan tidak mahu harta itu hanya berlegar di kalangan orang yang kaya kalau ianya bukanlah termasuk dalam hal ibadah kerana dikatakan termasuk hal politik dan prosedur atau ketetapan pemerintah seperti di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang berbunyi :

Allah swt berfirman :

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Apa-apa saja harta rampasan (fai-ie) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota, Maka adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang Kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, Maka terimalah. dan apa yang dilarangnya bagimu, Maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras pembalasannya." (Al-Hasyr : 7)

Tetapi kemudian Allah swt mahu pula mengabaikan hal pemerintahan dan pentadbiran umat dan dibiarkan ianya berlegar-legar dari satu keturunan kepada satu keturunan dan hak kepimpinan dan penguasaan umat Islam yang lebih penting dari harta rampasan perang menjadi pusaka warisan golongan tertentu apabila anak yang jahil, bebal dan bodoh boleh menjadi penguasa lantaran mewarisi bapanya ?

Mengapa diturunkan ayat berkait hukum hudud dan jenayah supaya menghukum menurut apa yang diperintahkan oleh Al-Qur'an ? Mengapa Al-Qur'an yang merupakan kitab panduan beribadah bagi umat ini kepada Allah swt mencampuri urusan yang bukan ibadah jika kononnya perundangan dan politik itu bukan ibadah dan bukan perlu dikembalikan kepada Allah swt ?

Allah swt berfirman :

وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
"Tentang sesuatu apapun kamu berselisih, Maka keputusannya (terserah) kepada Allah. Itulah Allah Tuhanku. kepada-Nya lah aku bertawakkal dan kepada-Nyalah aku kembali." (As-Syura : 10)

Inilah dia faham sekularisme yang memisahkan politik dan kehidupan daripada agama dan demikianlah juga faham Murjiah yang memisahkan amal dan ibadah daripada keimanan sehingga keimanan itu cukup di lisan dan di pengakuan bibir tetapi amalan perbuatan dan perlakuan yang dibuat sangat menjauh daripada agama.

Baginda rasul pernah bersabda sebagai maksud " Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik ajaran adalah ajaran Rasulullah. Dan sesungguhnya sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya sesuatu yang baru diada-adakan (dalam agama) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah kesesatan." (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 867).

Pemahaman bahawa iman itu termasuk amal merupakan suatu yang disepakati oleh ahli ilmu dan fuqaha Islam yang menetap di atas jalan sunnah dan berpegang kepada pertunjuk salaf soleh seperti apa yang disebutkan oleh Imam Al-Hujjah Muhammad Ibn Ismail Al-Bukhari ra yang mengatakan : “ Aku bertemu lebih dari seribu orang ahli ilmu, baik ahli hijjaz, Mekah dan Madinah, Kufah, Basrah dan pertengahan Baghdad, serta Syam dan Mesir, aku bertemu mereka berkali-kali, kurun demi kurun dan selepas kurun itu kemudian kurun selepasnya …kemudian menyebutkan tokoh-tokoh ulama yang dijumpainya lalu menyebutkan … “ Aku tidak mendapati seorang pun di kalangan mereka itu yang berselisih pendapat dan bahkan bersepakat bahawa sesungguhnya deen itu perkataan dan amal perbuatan maka demikian itu firman Allah swt :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus.” (Al-Bayinah : 5)

(Rujuk Syarh Sunnah m/s 172 Jilid 1 oleh Al-Lalikaie dengan sanadnya yang sahih kepada Imam Bukhari dan juga yang dinaqalkan darinya oleh Imam Hafidz Ibn Hajar ra di dalam Fathul Bari m/s 48 Jilid 1).

Para ulama' khasnya yang membesar di dalam lingkungan penguasaan thaghut seperti misalnya di dalam Negara-negara beraja yang diperintah oleh mereka yang takut kehilangan kuasanya dan sanggup melakukan apa sahaja demi memerintah sekalipun terpaksa bekerjasama dengan syaitan sangat kurang menyedari hal ini lalu para ulama' ini menjadi mainan dan ucapan serta hujah mereka menjadi bahan atau alat untuk digunakan kembali ke atas pejuang Islam yang ikhlas dan benar di atas manhaj aqidah yang sahih.

Majlis Hai'ah Kibar Ulama Saudi juga tidak melakukan jenayah kepada agama apabila mereka jujur mengatakan dalam jawapan mereka tentang persoalan Tauhid Hakimiyah yang diajukan kepada mereka apabila mereka menjawab :

" Adapun berhukum dengan apa-apa yang Allah turunkan itu termasuk di dalam
Tauhid Uluhiyah. Kerana hal itu termasuk salah satu macam ibadah kepada
Allah Subhanahu wa Ta'ala. Setiap macam ibadah termasuk dalam Tauhid
Uluhiyah. Oleh karena itu, menjadikan Hakimiyah sebagai macam tauhid
tersendiri adalah perbuatan muhdats (bid'ah) yang tidak pernah diucapkan
oleh seorang pun dari para imam sepengetahuan kami."
(Petikan dari fatwa Majlis Hai'ah Kibar Ulama Saudi)

Perkataan ulama' Saudi di atas sama sekali tidak menunjukkan mereka menafikan adanya tuntutan menghukum apa yang dihukumkan oleh Allah swt bahkan mereka mengakuinya sebagai salah satu daripada isi ajaran Tauhid Uluhiyah.

Mereka sebaliknya menolak tuduhan orang yang memusuhi agama ini dengan menjadikan kefahaman yang mulia ini sebagai satu hal yang baru dengan diberi nama Hakimiyyah dan mengatakan bahawa menyendirinya Tauhid ini dengan nama Hakimiyyah ialah bid'ah dan hal yang baru kerana selama dikenal oleh para ulama' tuntutan Hakimiyah ini sudah berada di dalam maksud Tauhid Uluhiyah.

Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani ra ketika di tanyakan mengenai Tauhid Uluhiyah juga jelas menyatakan :
"Al-Hakimiyah adalah bahagian dari 'Tauhid Uluhiyah…" Seterusnya Syeikh menlanjutkan penerangannya mengenai kelompok yang mengambil kesempatan dari istilah ini bagi mencapai kekuasaan politik seperti halnya kelompok hizbi-hizbi (parti-parti) sehinggalah akhirnya beliau berkata :

"Al-Hakimiyah bagi Allah bukan bererti hanya menentang orang-orang kafir dan musyrik saja, akan tetapi juga menentang orang-orang yang melanggar hukum seperti orang-orang yang beribadah kepada Allah tanpa sesuai dengan apa yang datang dari Allah dalam kitab-Nya dan dari Nabi-Nya Sallahualaihiwasalam dalam sunnahnya. Inilah yang ada dalam fikiranku tentang jawapan terhadap pertanyaan seperti ini."

Adapun yang dimaksudkan dengan Tauhid Hakimiyyah adalah pengEsaan Allah dalam perkara hukum dan syari’at. Sebagaimana Allah tidak memiliki sekutu dalam kekuasaan-Nya, dalam mengurus pelbagai urusan makhlukNya, demikian juga Allah swt tidak memiliki sekutu dalam hukum dan pembuatan undang-undang (tasyri’).

Seperti mana kita diwajibkan tidak mensyirikkan Allah swt di dalam bab ibadah seperti solat dan puasa atau nazar dan sembelihan maka demikian juga kita tidak boleh mensyirikkan Allah swt di dalam ketaatan kepada hukum dan pentadbiran hidup yang telah ditetapkan oleh Allah swt baik dengan menghukum tidak menurut apa yang diturunkan oleh Allah swt atau mengantikan hukum Allah swt dengan hukum ciptaan manusia.

Allah swt berfirman :

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيماً
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (An-Nisa : 65)

Maka hal inilah yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Muhammad Ibn Abd Wahab ra di dalam kitabnya Kasyfu Syubhat yang menyebutkan bahawa sekalipun golongan yang kafir itu turut mengakui dan beriman kepada Allah di dalam tauhid rububiyah mereka dengan mengakui Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki tetapi mereka (musyrikin) tetap dibunuh dan dikafirkan oleh rasulullah disebabkan mereka tidak memberikan hak ibadah yang mutlak kepada Allah swt kerana tauhid yang dikehendaki oleh Allah ialah tauhid ibadah (perlaksanaan ketaatan) hanya kepada Allah swt.

Disebabkan itulah maka Syeikh Muhammad Abd Wahab menyebutkan bahawa orang-orang yang tidak memberikan hak ibadah mutlak kepada Allah dan mereka yang tidak mentauhidkan Allah di dalam ibadah sebagai kafir. Termasuk kewajipan memberikan hak kekuasaan dan mengembalikan sistem pemerintahan dan perundangan kepada syariat Allah swt dan tidak menerima atau tidak mengakui wujudnya sistem dan pemerintahan yang berhak mentadbir manusia selain sistem dan perundangan syariat Allah swt.

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
"Sibghah (celupan & sistem ) Allah dan siapakah yang lebih baik sibghahnya (celupan & sistemnya) daripada Allah? dan hanya kepada-Nya-lah Kami menyembah." (Al-Baqarah : 138)

Di dalam ayat 31 Surah Yunus, dipersoalkan kepada kaum kafir mengapa kamu tidak bertaqwa ? dan di dalam ayat 84 Surah Al-Mukminun pula dipersoalkan mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran ? dan ayat 87 yang menyebut mengapa kamu tidak bertaqwa ? yang ayat sebelumnya menyebutkan mereka semua telah mengaku Allah swt yang menciptakan alam langit dan bumi dan memberi rezeki kepada manusia.

Hal ini menjadi hujah bahawa sekadar beriman pada tasdiq (membenarkan) atau memiliki makrifah (pengetahuan akan hal keimanan) bukanlah menjadikan seseorang itu sebagai beriman selagi belum ditegakkan tuntutan keimanan dari amalan perbuatan seperti solat, puasa dan zakat.

Sekaligus bermaksud termasuk dalam maksud tuntutan iman itu ialah ketaqwaan dan bukan hanya pembenaran dan pengakuan bahawa Allah itu yang menciptakan alam dan sebagainya serta demikian pada seluruh hal yang ghaib yang dibawa oleh rasulullah salallahualaihiwasalam tetapi juga perlu ditunaikan yang demikian itu lalu baru disebut sebagai bertaqwa iaitu menunaikan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Allah adalah hakim yang paling adil, Dia memiliki kekuasaan untuk memutuskan dan memerintah, maka tidak ada sekutu bagi-Nya dalam membuat hukum dan perundangan bagi hamba-hamba-Nya.

Allah swt berfirman :

مَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنْتُمْ وَآبَاؤُكُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ
"Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) Nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu ada-adakan. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang Nama-nama itu penghukuman itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Yusof : 40)

Masih banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan secara jelas dan kuat tentang tuntutan ini yang mana ianya merupakan sebahagian daripada tauhid Uluhiyah yang membawa kesatuan pengibadahan makhluk hanya menuju kepada Allah swt serta mensucikan Allah swt daripada segala sekutu dan tandingan baik dari makhluk seperti batu yang dibuat berhala atau peraturan yang dicipta oleh manusia untuk diikut bagi mengantikan hukum dan ketetapan Allah swt.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْماً لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
"Apakah hukum Jahiliyah itu yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?." (Al-Maidah : 50)

Tidaklah beriman seseorang itu sehingga menyerahkan hak dan kedudukan untuk mentadbir dan menghukum manusia secara mutlak hanya kepada Allah swt dan menyerahkan diri kepada hukum dan ketetapan yang diberikan oleh-Nya serta beriman dengan tidak hanya lisan dan hati tetapi disertai dengan amal perbuatan yang menjurus kepada membenarkan tuntutan Tauhid Uluhiyah termasuk dalam bab penghukuman ini yang disebut oleh musuh sebagai Tauhid Hakimiyah.

Allah swt berfirman :

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيماً
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (An-Nisa : 65)

Mengapa di dendangkan Tauhid Hakimiyyah ini hanya sekarang ? Juga mengapa baru hari ini dijelaskan perihal tuntutan Tauhid Uluhiyah dalam bab hakimiyah ini dan tidak didengari secara popular oleh kita di zaman dahulu ?

Hakikatnya sudah seharusnya difahami oleh mereka yang berakal kenapa seruan mengembalikan umat kepada faham salaf soleh dan faham ahlul sunnah begitu giat didengari selepas zaman Imam Ahmad ibn Hanbal ra ?

Jawapannya ialah kerana di waktu itu faham bid'ah golongan Muktazilah begitu berkuasa dan menyesatkan umat sehingga para ulama terpaksa bangkit dan memikirkan bahawa bercakap dan menjelaskan bahawa Al-Qur'an itu kalam Allah swt dan bukan makhluk serta hal-hal berkait iman adalah lebih utama daripada menubuhkan Institut Pemikiran dan Kajian Imam Ahmad atau pun mengadakan seminar bercakap persoalan kaedah mensahihkan hadis serta perbezaan manhaj di antara Imam Bukhari atau Muslim di dalam mensahihkan hadis.

Ibnu Sirin rahimahullah mengatakan : "Mereka (ulama' pada mulanya) tidak pernah menanyakan tentang sanad. Ketika terjadi fitnah (para ulama) mengatakan : Tunjukkan (nama-nama) perawimu kepada kami. Kemudian jika dia melihat kepada Ahlus Sunnah maka hadis mereka akan diambil. Dan jika melihat kepada Ahlul Bi'dah maka hadis mereka tidak diambil". (Diriwayatkan oleh Muslim dalam Muqaddimah kitab sahihnya hal.15).

Tentu kita boleh memahami relevennya tindakan Imam As-Syafie ra yang mengeluh melihat wujudnya kejahilan umat Islam di dalam mengeluarkan hukum-hakam daripada kitab dan sunnah yang kemudiannya menyebabkan beliau menghasilkan kitab di dalam ilmu Usul Fiqih sebagai tindak-balas kepada situasi yang menimpa di zamannya.

Maka apakah sangat ganjil bagi seorang pendakwah yang diberikan hidayah oleh Allah swt dan apakah sangat pelik bagi seorang muslim yang alim akan isi Kitab dan sunnah yang berhadapan dengan zaman di mana Islam dihina dan sistem perundangan barat dan kuffar menguasai seluruh mahkamah negara-negara Islam, budaya hidup barat menyelaputi masyarakat Islam, sistem politik dan pemerintahan umat Islam di tangan-tangan para penguasa yang tidak layak dan tidak berhak serta bersikap dengan sikap yang disebut sebagai thaghut oleh Allah swt maka apakah salah dan pelik jika para pendakwah dan pejuang Islam menyeru umat kembali kepada kitab dan sunnah dengan memberi penumpuan kepada persoalan perundangan, sistem dan kehakiman menurut syariat Islam ? Menyeru kepada Tauhid Uluhiyah dengan lebih memfokuskan kepada tuntutan yang berkait dengan situasi semasa ?

Apabila Syeikh Muhammad Abd Wahab memberikan contoh syirik di dalam kitabnya ialah dengan merujuk kepada perbuatan menziarahi kubur dan berdoa kepada orang yang telah mati dan bersembelih untuk para wali dan tempat keramat maka terlalu salahkah jika pada hari ini seorang pendakwah memberikan contoh syirik di dalam kitabnya ialah dengan merujuk kepada perbuatan manusia-manusia yang menolak syariat Allah swt daripada ditegakkan demi maslahat dan manfaat duniawi dan mengantikan syariat serta hukum Allah swt dengan hukum perlembagaan kuffar yang diambil daripada sistem mahkamah kuno barat dan hidupnya diabadikan demi menjunjung hukum tersebut ?

Allah swt berfirman :

فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجاً مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيماً
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (An-Nisa : 65)

Golongan Sekuler hari ini sangat jahat apabila mereka bekerjasama dengan ahli agama beraliran Murjiah maka mereka tidak lagi dapat disekat dan diubah. Melalui kekuasaan mereka segala saluran dan sumber diberikan bagi membantu dan membina luas kefahaman yang menyesatkan bagi menanamkan kefahaman "Pemerintahan Tuhan" iaitu ulil amri (pemerintah) ialah dilantik daripada kehendak Tuhan dan tidak boleh diubah atau ditukarkan dan fahaman ini disandarkan kepada beberapa buah hadis nabi salallahualaihiwasalam lalu tetaplah penguasa yang tidak layak di jawatannya berturun-temurun disebabkan fahaman yang disemaikan oleh golongan Murjiah ini.

Sangat malang sekali umat Islam apabila pemerintah sekuler ini pula kemudiannya memisahkan agama dengan kehidupan apabila melarang para ulama'-ulama' mereka sendiri daripada mencampuri atau menasihati mereka di dalam pentadbiran konon agama dan kehidupan perlu dipisahkan dan diserahkan kepada pakarnya dan bukan kepada ahli agama atau sebenarnya maksud mereka bukan dipandu atas syariat agama.

Allah swt berfirman :

إِنَّا أَنْزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدىً وَنُورٌ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ الَّذِينَ أَسْلَمُوا لِلَّذِينَ هَادُوا وَالرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ وَكَانُوا عَلَيْهِ شُهَدَاءَ فَلا تَخْشَوُا النَّاسَ وَاخْشَوْنِ وَلا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara Kitab-Kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Al-Maidah : 44)

Lalu menjadilah umat Islam ini antara yang paling hina apabila kita lebih jahil dan bodoh daripada masyarakat barat dan kuffar. Mereka sekurang-kurangnya berkuasa menukar pemerintah dan sistem pentadbiran mereka dengan cara mereka tetapi kita disesatkan oleh ulama'-ulama' yang jumud dan beku akan ancaman-ancaman bagi mereka yang keluar dari ketaatan kepada pemerintah dan ditanamkan bahawa pemerintah di angkat oleh Allah swt dan tidaklah sesiapa pun yang boleh menjatuhkan pemerintah kecuali Allah swt dan sesiapa yang melakukan demikian maka mereka ialah golongan Khawarij yang sesat.

Maka jadilah umat Islam ini kembali ke zaman gelap seolah seperti ketika zaman Gereja memerintah dahulu tetapi bahkan lebih teruk lagi kerana yang memerintah umat Islam hari ini bukannya ahli-ahli agamanya tetapi mereka yang jahil akan agama, mereka yang sekuler, mereka yang benci dan melaksanakan pemerintahan jauh daripada agama tetapi mendapat lesen dan kekuasaan memerintah daripada ahli-ahli agama.

Maka siapakah yang lebih jahil selain daripada mereka yang telah dijahilkan oleh Allah swt ?

Allah swt berfirman :

مَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلا هَادِيَ لَهُ وَيَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ
"Barangsiapa yang disesatkan Allah , Maka tidaklah ada sesiapa yang memberikannya pertunjuk dan Allah membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan." (Al-A'raf : 186)

Segala puji hanyalah bagi Allah swt