Anak-anak ialah amanah daripada Allah, namun ramai ibubapa masih lalai
akan kewajipan tersebut dan gagal mendidik anak-anak mereka dengan
pengetahuan agama yang asas.
Justeru, kesempatan cuti sekolah
yang ada ini perlu dimanfaatkan masa untuk mengajarkan anak-anak kita
supaya mereka dapat mengenal agamanya.
Luangkan masa untuk mengajarkan anak-anak topik berikut;
1. Kebesaran Tuhan kita iaitu Allah, ajarkan mereka mengenal kekuasaan
Allah, kemampuan Allah mencipta alam, mencipta manusia, memberi rezeki,
menghidup dan mematikan.
Kenalkan mereka akan nama-nama-Nya yang mulia dan kewajipan tauhid serta menjauhi syirik.
Fahamkan mereka bahawa dalam hidup ini ada yang lebih penting dan lebih
besar daripada diri kita iaitu TUHAN. Kita hanyalah hamba, diciptakan
dengan tujuan supaya menjadi hamba yang baik.
2. Perkara ghaib
seperti Malaikat dan tugas-tugasnya, syurga dan neraka, hari kiamat dan
perhitungan di padang masyhar, titian sirath, azab kubur dan perkara
yang berkaitan dengan kewujudan makhluk ghaib seperti jin dan syaitan.
3. Rukun Islam dan rukun Iman, terangkan satu-persatu khususnya hari
kiamat dan qadha dan qadar. Ajarkan mereka supaya memahami ketetapan
Allah dan beriman kepada perkara berkaitan takdir.
4. Ajarkan
mereka cara berwudhuk, tayammum, istinjak dan cara bersuci dan
membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada najis dengan betul.
Kemudian ajarkan mereka juga tentang aurat dan batasan mereka dengan
orang lain serta kedudukan mahram dan ajnabi.
5. Ajar cara
hendak mengetahui masuk waktu solat, jangan hanya berdasarkan tengok
jam. Tetapi pengetahuan melihat bayang dan matahari bagi menentukan
masuk waktu solat.
6. Ajarkan cara azan dan iqamah dengan betul dan cara menjawab azan dan iqamah beserta doanya.
7. Ajarkan mereka cara solat yang betul beserta bacaan wajib atau
penting yang perlu diketahui dalam solat. Semak cara takbiratul ihram,
semak doa iftitah, semak bacaan al-fatihah, semak bacaan ayat lazim,
semak rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Semak bacaan tahiyat awal dan akhir, bacaan qunut dan juga bacaan doa sebelum salam.
Jika mampu ajarkan wirid selepas solat, yang ringkas, yang sunnah tetapi boleh diamalkan sepanjang hayat.
8. Semak bacaan al-Quran anak-anak, betulkan makhraj sebutan huruf.
Semak hukum mad tentang panjang dan pendek bacaan, dengung dan ikhfa'
anak-anak. Pilih surah-surah yang ringkas pastikan mereka hafal.
Pilih satu surah panjang untuk dijadikan amalan seperti surah al-Mulk
untuk dibaca setiap malam, al-Kahfi dibaca setiap hari Jumaat atau surah
Yasin dibaca malam Jumaat. Sebagai rutin dan kebiasaan mendidik mereka
supaya sentiasa terikat dengan ayat Allah.
9. Ajarkan anak
tentang dosa dan kejahatan yang dilarang oleh agama seperti zina,
mencuri, berbohong dan perbuatan keji yang perlu mereka jauhi. Takutkan
mereka dengan neraka Allah dan azab selepas mati serta tanamkan
kefahaman bahawa Allah Melihat dan Mengawasi serta malaikat mencatat
amalan kita di kiri dan kanan.
10. Ajarkan anak-anak kita sirah
Nabi, kenali rasul kita Muhammad salallahualaihiwassalam, sunnah-sunnah
baginda yang utama dan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian, cara
makan, cara minum, cara duduk, cara tidur, cara memakai baju dan
kenalkan mereka dengan kisah sahabat-sahabat baginda seperti Abu Bakar,
Umar, Uthman, Ali dan sepuluh ahli syurga yang masyhur.
11.
Ajarkan anak-anak kita hukum-hakam yang asas seperti perkara wajib,
sunat, harus, makruh dan haram. Terangkan kepada mereka hukum fekah yang
penting seperti makanan yang halal dan haram dimakan, batas perhubungan
lelaki perempuan, rezeki yang halal dan haram, amalan yang sunat,
perbuatan makruh dan perkara yang harus.
12. Akhirnya ajarkan
mereka akhlak yang mulia, akhlak dengan Allah, rasul, para ulama, para
pemimpin, ibubapa, guru, kawan, adik-beradik dan sesama manusia, serta
akhlak dengan haiwan dan seluruh makhluk Allah. Didik mereka dengan
tertib, kesabaran, kesopanan, sifat malu, maruah, sifat-sifat mulia yang
disukai Allah.
# Inilah 12 topik yang asas yang perlu
diterangkan kepada anak-anak kita supaya mereka dapat memahami agama
yang diturunkan oleh Allah Ta'ala dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah
salallahualaihiwassalam.
Jika kita tidak mampu, maka carilah
orang yang mampu dan kita pun ikut sama belajar dengan anak-anak kita
untuk memahami agama Allah.
Allah Ta’ala berfirman;
وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ
أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآأَلَتْنَاهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن
شَىْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
"Dan orang-orang yang
beriman dan anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami
hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tidak mengurangi
sedikitpun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan
apa yang dikerjakannya." (Ath Thur:21)
No comments:
Post a Comment