Tanyakan pada diri kita, bentuk kematian yang bagaimanakah sanggup kita rasai?
Takala membaca berita dan khabar tentang kematian orang lain, secara spontan kita juga akan turut merasa takut dan bimbang tentang keselamatan diri sendiri.
Membaca berita orang mati lemas, kita pun terbayang bagaimanalah rasanya mati kelemasan dan tiba-tiba kita pun merasa takut untuk mati lemas!
Membaca berita atau mendapat maklumat tentang ada orang yang mati terbakar, terjatuh, kena racun, kemalangan, sakit dan terbunuh.
Maka kita pun segera berharap agar kejadian yang sama tidak menimpa diri kita. Lalu dengan mengambil langkah berjaga-jaga kita pun berusaha mengelak diri daripada ditimpa segala macam bahaya dan musibah.
Tetapi salah satu persoalan yang penting dalam hidup kita tetap tidak berjawab dan kita selalu berusaha untuk tidak memikirkannya.
Iaitu bagaimanakah kita mahu mati?
Kematian itu sesuatu yang pasti dan semua orang pun akan mati dan ramai yang telah mati. Kita sering membaca dan mendengar cerita tentang kematian orang lain lalu merasa gerun dengan cara mereka mati.
Namun secara jujurnya, kita sendiri tidak ada cara kematian yang kita inginkan kerana sejujurnya majoriti kita tidak mahu mati. Itu yang cuba kita lakukan apabila mendengar berita tentang kematian orang lain.
Mengelak daripada penyebab-penyebab atau perkara yang pernah menyebabkan kematian kepada orang lain.
Sedangkan Tuhan Yang Maha Mulia berfirman;
قُلْ إِنَّ اْلمـَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ
"Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kalian lari daripadanya, sesungguhnya kematian itu akan menemui kalian..." (Al-Jumuah:8)
Kita tidak akan dapat lari daripada kematian kerana ianya sudah ditakdirkan.
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ اْلمـَوْتُ وَ لَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa’: 78)
Justeru apa yang dapat dilakukan bukanlah berlari daripada kematian tetapi bersedia untuk menghadapi kematian.
Agar apabila sampai masanya, kita pun insyaAllah menghadapinya dengan hati yang tenang dan pasrah kerana telah berbuat bekal amalan semampu yang terdaya.
# Sebilangan manusia tidak takut kepada kematian, kerinduan untuk bertemu Tuhan dan keimanan yang tinggi menjadikan mereka kaum yang mencintai mati.
Rasulullah sallahualaihiwassallam bersabda;
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
'Barangsiapa suka bertemu dengan Allah, maka Allah suka untuk berjumpa dengan-Nya dan sesiapa yang benci bertemu dengan Allah maka Allah pun benci untuk bertemu dengannya.'
[HR. Al-Bukhari dan Muslim]
No comments:
Post a Comment