Wednesday, April 20, 2016

Amalan apabila terlupa

Para ulama berbeza pendapat dalam memberikan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan apabila terlupa.
1. Berzikir mengingati Allah
Ada yang menyuruh supaya mengingati Allah, ini berdasarkan firman Allah SWT ;

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا
Maksudnya: “Dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Kahf: 24)

2. Berselawat ke atas Nabi salallahualaihiwassalam

Ramai orang terbiasa dengan amalan berselawat ke atas Nabi salallahualaihiwassalam apabila terlupa. Amalan ini disandarkan kepada hadith Nabi yang menyebut ;

إذا نسيتم شيئا فصلوا علي تذكروه إن شاء الله
Apabila kamu terlupa tentang sesuatu maka berselawatlah ke atas aku maka nescaya kamu akan mengingatinya dengan izin Allah.

Sanad hadith ini dhaif, namun para ulama' seperti Imam Ibn Hajar al-Haytami, al-Sakhawi dan Ibn Qayyim menerimanya sebagai salah satu amalan yang baik kerana walaupun ianya disepakati dhaif namun tidak menyalahi nass yang sahih.

3. Beristighfar kepada Allah SWT

Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Mas’ud RA pernah berkata;

إنّي لا حسب الرّجل ينسى العلم كان يعلمه بالخطيئة يعملها
“Sesungguhnya aku menganggap bahawa seseorang yang lupa tentang ilmu yang telah diketahuinya sebelum ini adalah disebabkan kerana dosa yang dilakukannya."

[Sifatus Sofwah, Ibn al-Jauzi]

Riwayat Abdullah bin Mas'ud ini dikeluarkan oleh Abu Khaitsamah, Zuhair bin Harb di dalam kitabnya al-Ilm. Beliau merupakan Tabi'ul Atba' kalangan tua (wafat 234 hijrah) serta merupakan guru Imam al-Bukhari dan Muslim.

Lupa akibat dosa, menyebabkan para ulama' ada yang menganggap bahawa cara mendapatkan kembali ingatan yang telah dilupakan ialah dengan melakukan taubat dan beristighfar kepada Allah SWT.

# Lupa boleh terjadi kerana pelbagai sebab, justeru ubatnya ialah berusaha mengingati dengan berwaspada, menulis apa yang perlu diingat, berdoa, berzikir dan berisghfar serta berselawat kepada Nabi salallahualaihiwassalam.

Apa yang penting ialah meninggalkan maksiat dan bertaqwa kepada Allah SWT.

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah”. (Al-Baqarah: 286).

Sunday, April 10, 2016

Kenapa Bipolar? Kenapa Anxiety? Kenapa Kemurungan?


Jumlah anak-anak muda yang menghadapi masalah psikologi dan jiwa semakin meningkat. Ditambah oleh faktor sosial, cara hidup dan kebergantungan kepada alat-alat telekomunikasi seperti 'handphone' dan laptop menyebabkan masalah kejiwaan di kalangan orang muda semakin parah.

Ada anak muda yang mengaku menjadi mujtahid mutlak, ada yang menjadi nabi, ada yang mengaku Imam Mahdi dan tidak kurang ada yang menjadi haluan kiri atau perasan dirinya muhaddith dan ahli fiqih. 

Ringkasnya kita akan mendapati satu 'trend' atau cara hidup yang sama bagi semua masalah kejiwaan. 

1. Sukar tidur atau gejala tidur lewat malam

Ramai anak-anak muda suka tidur lewat, pelbagai aktiviti mereka (main game, program, bersosial) selalunya memakan waktu sehingga lewat malam. 

Hal ini menyalahi fitrah dan sunnah. 

وَمِنْ رَحْمَتِهِ جَعَلَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِنْ فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Dan kerana rahmatNya, Dia menjadikan untukmu malam dan siang, supaya kamu beristirahat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaNya (pada siang hari) dan supaya kamu bersyukur”. (Al Qasos:73)

Berdasarkan hadith daripada Abu Barzah RA : 

ولا يحب النوم قبلها والحديث بعدها
"Baginda salallahualaihiwassalam membenci tidur sebelum solat Isya’ dan berbual-bual selepasnya” [HR. Bukhari dan Muslim]

2. Bangun lewat pagi 

Memperbaiki waktu tidur dan bangun di awal pagi melakukan ibadah dan mengerjakan solat, membaca al-Quran dapat merawat pelbagai penyakit kejiwaan dan menghilangkan stress serta tekanan. 

Daripada Dari Sakhr bin Wadi’ah Al-Ghamidi RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda :

اللهم بارك لأمتي في بكورها
”Ya Allah, berkatilah bagi umatku pada awal paginya” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah]

3. Tidak sabar dan gopoh

Diriwayatkan bahawa Imam al-Syafi'ie rahimahullah pernah menyebut;

إذا تصدر الحدث فاته علم كثير
'Apabila orang yang baru belajar gopoh mahu kehadapan (hendak menjadi tokoh), maka dia akan terluput ilmu yang sangat banyak.' [Fath al-Bari, Ibn Hajar]

Pakar kemanusiaan dan sains bersetuju bahawa alam ini berjalan menurut proses yang memakan waktu, agama menamakannya sebagai 'sunnatullah'. Kupu-kupu tidak terus menjadi cantik dan boleh terbang sebelum melalui 'metamorfosis' daripada ulat kepada kepompong. 

Malangnya anak-anak muda mahu 'berjaya' dengan segera tanpa mahu susah. Hasilnya mereka menderita pelbagai masalah jiwa, menjadi tokoh mujtahid yang sarat pelbagai ilmu namun memiliki hati 'sesensitif' budak darjah satu. 

Pejuang rakyat dan masyarakat namun ketagih gambar 'blue'. 

4. Kurang bersosial dengan keluarga dan orang tua

Masyarakat hari ini sedang mengalami masalah yang banyak akibat orang tua dan ibubapa jarang meluangkan masa dengan anak-anak. Pakar memberitahu masalah kejiwaan yang menimpa anak-anak muda dapat berkurangan atau dicegah jika mereka mempunyai hubungan kemesraan dan ikatan yang kukuh dengan orang tua dan keluarga. 

Diriwayatkan daripada Al-Aswad bin Yazid katanya yang maksudnya, “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi lakukan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya (membantu isterinya) membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk sembahyang (ke masjid)." [HR. Al-Bukhari]

Anak-anak muda perlu lebih meluangkan masa di kampung bersama datuk-nenek, pakcik-makcik dan atok-atok serta mempelajari pelbagai ilmu kehidupan dan hikmah pengalaman. 

5. Malas beribadah dan sedikit amalan sunat

Ramai anak muda mengaku jarang beribadah sunat seperti melakukan qiyamullai, solat tahajjud, membaca al-Quran dan berpuasa sunat. Sedangkan amalan ini semua sangat membantu membina kekuatan jiwa dan menguasai nafsu diri. 

Kata seorang tabien ;

قيام الليل يشرف به الوضيع،ويعز به الذليل،وصيام النهاريقطع به عن صاحبه الشهوات
"Qiyamullai di waktu malam akan menjadikan orang yang rendah kedudukannya sebagai mulia, dan orang yang hina menjadi berwibawa. Sedangkan puasa di waktu siang akan mengekang seseorang daripada dorongan syahwatnya.’ [ al-Tahajjud wa-Qiyam al-Layl, Ibn Abi Dunya]

# Semoga 5 tips ini dapat membantu memperbaiki masalah yang dihadapi oleh anak-anak muda kita.

اللهم أصلح شباب المسلمين. اللهم أصلحهم وأصلح بهم، واهدهم واهد بهم