Wednesday, April 08, 2015

Menjadi orang yang mempunyai firasat yang tepat


Berkata Syah bin Syuja’ Al-Karmaniy ;

من عمر ظاهره باتباع السنة ، و باطنه بدوام المراقبة ، و غض بصره عن المحارم ، و كف  نفسه عن الشهوات ، و أكل من الحلال لم تخطئ فراسته
'Barangsiapa yang zahirnya mengikuti al-Sunnah dan batinnya pula sentiasa merasa bahawa dia berada di bawah pengawasan Allah. Lalu dia menundukkan pandangan matanya dari perkara yang diharamkan, serta menahan diri daripada syahwat. Dan dia memakan dari makanan yang halal maka sudah tentulah firasatnya tidak akan meleset.' 

[Madarij al-Salikin, Ibn Qayyim]

# Terdapat sebuah hadith yang disandarkan kepada Rasulullah salallahualaihiwassalam melalui riwayat Abu Said al-Khudri RA bahawa baginda pernah bersabda ;

اتقوا فراسة المؤمن . فإنه ينظر بنور الله
Takutlah kepada firasat orang mukmin, kerana sesungguhnya mereka memandang dengan cahaya Allah. [Riwayat Al-Tirmidzi dengan sanad yang dhaif]

Hadith di atas adalah tersangat lemah dan hadith yang lebih baik dari itu ialah hadith yang lain dari jalan Anas bin Malik RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam bersabda;

إن لله عباداً يعرفون الناس بالتوسم
Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dapat mengetahui tentang manusia dengan melihat tanda-tanda (alamat yang ada pada seseorang). [Riwayat Al-Tirmidzi, Al-Hakim dan Al-Tabarani, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani]

Di akhir zaman ini, dapat memiliki firasat ialah suatu pertolongan daripada Allah dan akan banyak membantu kita dalam mengenal di antara perkara yang benar dan yang salah serta dapat menjauhi fitnah.

Terjaga di tengah malam

Diriwayatkan daripada Ubadah bin Somit RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;

من تَعَارَّ من الليلِ فقال : لا إلهَ إلَّا اللهُ وحدَهُ لا شريكَ لهُ ، لهُ المُلْكُ ولهُ الحمدُ ، وهوَ على كلِّ شيٍء قديرٌ ، الحمدُ للهِ ، وسبحانَ اللهِ ، ولا إلهَ إلَّا اللهُ ، واللهُ أكبرُ ، ولا حولَ ولا قوةَ إلا باللهِ ، ثم قال : اللهمَّ اغفرْ لي ، أو دعا ، استُجِيبَ لهُ ، فإن توضَّأَ وصلَّى قُبِلَتْ صلاتُهُ

“Barangsiapa terjaga pada malam hari, kemudian dia berdoa dengan membaca ;

Tiada illah yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu baginya, milikNyalah segala kerajaan dan pujian, Yang Maha menghidupkan dan mematikan, di tanganNyalah segenap kebaikan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji hanya bagiNya dan tiada illah yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar, tiada daya serta upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Kemudian setelah itu dia berdoa;

'Ya Allah ampunilah aku”

Ataupun berdoa dengan perkara yang lain daripada itu nescaya akan dikabulkan permintaannya. Sekiranya dia berwudhu lalu solat maka akan diterima pula solatnya.”

[Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud dan Al-Tirmidzi]

# Semoga Allah memasukkan kita ke dalam syurga dan rahmat-Nya.

Kenapa kita perlu ada masalah?

Kematian adalah pembuka kepada syurga dan neraka. Mereka yang merindui akhirat, maka kematian itu adalah suatu perjalanan yang dinanti-nantikan.
 
Tetapi bagaimana dan bilakah seseorang itu akan dapat menyukai mati?

Apabila kita senang dengan dunia, segar bugar hidup tanpa masalah, kala semua kehendak kita tercapai maka tak mungkin kita ingin mati.

Dunia menutup hati kita.

Persis firman Allah Ta’ala ;

وَتُحِبُّونَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا
“Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan." (Al-Fajr : 20)

Dan ada riwayat yang disandarkan kepada Nabi Salallahualaihiwassalam yang menyebut ;

من أحب دنياه، أضر بآخرته، ومن أحب آخرته أضر بدنياه

Barangsiapa yang mencintai dunia maka akan mudharatlah akhiratnya dan barangsiapa yang mencintai akhirat maka akan mudharatlah dunianya. [Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Ibn Hibban]

Namun apabila Allah menguji kita dengan kesusahan, kemelaratan, kesakitan dan kepayahan maka mati itu seolah-olah sangat dialu-alukan.

# Kerana itu ujian dan MASALAH itu perlu, sebagai penyelamat agar kematian dan akhirat kekal menjadi dambaan.

Tanpa masalah, kita tak akan mahu mati dan membencinya. Justeru masalah dan ujian berperanan menghilangkan cengkaman dunia agar kita lebih mengharap kepada akhirat dan kebahagiaan di sana.

Pendek kata, Tuhan beri kita masalah agar kita tidak cinta dunia, selamat dari racunnya dan beroleh pahala di akhirat sana!