Wednesday, May 29, 2013

Keadilan Islam membawa rahmat dan hidayah

Semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib RA, beliau iaitu Ali pada suatu hari ternampak baju besi miliknya yang hilang telah berada pada seorang lelaki Kristian. Ali RA cuba meminta semula baju besinya tetapi ditolak oleh lelaki itu lalu Ali RA pun membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta hakim Syuraih memutuskan kes tersebut.

Ali RA berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidak pernah menjualnya atau memberikan ia kepada sesiapa.’

Hakim Syuraih pun berkata kepada lelaki Kristian tersebut, ‘Apakah jawapan engkau terhadap dakwaan Amirul Mukminin tersebut?

Lelaki Kristian itu pula berkata, ‘Baju besi ini ialah milikku dan aku tidaklah berniat untuk menuduh Amirul Mukminin menipu.’

Hakim Syuraih kemudian berkata kepada Ali RA, ‘Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti tentang dakwaan tersebut?

Ali bin Abi Talib RA pun kemudian ketawa kerana tersedar akan kesilapannya yang tidak mempunyai bukti lalu berkata, ‘ Engkau benar wahai Syuraih, aku tidak mempunyai bukti.’

Lalu Hakim Syuraih pun memutuskan baju besi itu menjadi milik lelaki Kristian tadi.

Lelaki Kristian itu kemudian membawa baju besi itu dan pergi daripada tempat tersebut namun kemudian datang semula lalu berkata, ‘Pada pendapat aku ini ialah keputusan yang dibuat berdasarkan ajaran para Nabi dan Amirul Mukminin walaupun membawa kes ini kepada hakim lantikan beliau namun hakim itu tetap memutuskan kes menyalahi beliau.

Maka Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu ialah rasul Allah. Demi Allah, baju besi itu ialah milik engkau wahai Amirul Mukminin kerana aku mengutipnya ketika ia terjatuh dari barang-barang engkau sewaktu engkau dalam perjalanan ke peperangan Siffin.

Ali RA pun berkata , ‘ Kini engkau telah memeluk Islam maka baju besi itu adalah milikmu.’ Lalu beliau pun mendudukkan lelaki Kristian itu di atas kudanya.

Kata al-Sha’bi, yang menjadi perawi kisah ini beliau telah dimaklumkan bahawa lelaki Kristian itu setelah memeluk Islam telah ikut berperang dibawah pasukan Ali bin Abi Talib RA dan memerangi golongan Khawarij di Nahrawan .

[Rujukan : Kitab al-Bidayah wa Al-Nihayah, Imam Ibn Katsir]

1. Hakim Syuraih ialah Syuraih bin Al-Haris bin Qais rahimahullah merupakan salah seorang tabien yang faqih dan diangkat menjadi qadhi atau hakim oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA.

2. Perawi kisah ini ialah al-Sha'bi atau namanya A'mir bin Syarahil ialah salah seorang tabien yang lahir pada zaman Umar al-Khattab RA.

3. Khalifah Ali bin Abi Talib RA sekalipun merupakan menantu nabi, sahabat dan Khalifah namun beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan baju besinya tetapi menggunakan saluran undang-undang yang memutuskan hukum berdasarkan syariah Islam.

4. Lelaki Kristian itu walaupun seorang yang kafir dan bukan Islam namun haknya tetap dipelihara oleh Islam dan tidak ditindas atau diletupkan dengan C4 sehingga berkecai oleh dua orang polis yang tiada motif membunuh.

Saturday, May 18, 2013

Fekah menjawab soalan agama dan masalah kehidupan

1. Soalan agama

Menjawab soalan agama atau meminta fatwa tidaklah semudah yang disangkakan. Namun kerana kurangnya 'taqwa' dan 'ilmu' maka ramai anak-anak muda beranggapan ianya adalah perkara yang mudah, senang dan hanya perlu 'search', 'copy' dan 'paste'.

Apabila seseorang bertanyakan masalah agama, maka sebelum menjawab soalan tersebut ada beberapa peraturan emas yang perlu diingat,

1. Bukan semua soalan perlu dijawab
2. Bukan semua soalan perlu dijawab serta-merta, mungkin ia perlu dikaji
3. Adakah kita orang yang sesuai untuk menjawabnya?

Kata Abdullah bin Mas'ud RA,
إن الذي يفتي الناس في كل ما يستفتونه لمجنون
'Sesungguhnya orang yang berfatwa kepada manusia pada setiap soalan yang ditanyakan kepadanya ialah orang gila.' [Ibtal al-Hiyal oleh Ibn Battah]

Sesebuah pertanyaan fiqh misalnya, memerlukan jawapan tentang 3 perkara iaitu apakah hukumnya, apakah dalilnya dan apakah caranya.

Jika berbicara soal hukum maka hukum fiqh itu berbeza pada setiap fuqaha dan mazhab, apabila membawakan dalil pula tidak semua dalil itu difahami sama-rata atau cara kefahaman itu disepakati oleh semua ulama dan fuqaha. Kemudian apabila menerangkan cara-caranya maka ia berbeza mengikut keadaan dan zaman.

Kebiasaan anak2 muda dalam menjawab soalan agama ialah dengan memetik hukum yang terdapat dalam website, buku2 fatwa pendapat tokoh tertentu lalu dikepilkan fatwa tersebut bersama dalil. Kelihatan pada zahirnya sangat 'cantik' dan indah tetapi hakikatnya 'punah'.

a. Dalil tersebut mungkin tidak selari dengan fatwa yang dikemukakan walau si pemberi fatwa menggunakan dalil al-Quran dan hadith. Boleh jadi hubungan antara nass (Quran & hadith) dengan soalan/isu yang terjadi adalah berbeza, illat yang tidak sama dan qiyas yang berlaku ialah qiyas ma'a al-Fariq dll.

Penjawab soalan tidak tahu kaedah beramal dengan nass-nass...

b. Ada pula fatwa yang diambil dari kitab2 muktabar, lengkap dengan dalil, pendapat mazhab dan memberikan pilihan serta pelbagai pendapat, hujah dan lengkah dengan tarjih pada sesuatu masalah. Kesimpulan penjawab ialah pendapat B adalah paling tepat dan sahih...bla2..

Disini ada satu isu yang mungkin berlaku iaitu pelanggaran 'maqasid syarak' dan si penjawab soalan mungkin mampu memberikan hukum yang rojih tetapi gagal mencapai kehendak syarak kerana kurangnya pemahaman terhadap 'situasi semasa, keperluan umat dan tidak mempunyai pengalaman dan hikmah.'

Firman Allah SWT,
وَدَاوُدَ وَسُلَيْمَانَ إِذْ يَحْكُمَانِ فِي الْحَرْثِ إِذْ نَفَشَتْ فِيهِ غَنَمُ الْقَوْمِ وَكُنَّا لِحُكْمِهِمْ شَاهِدِينَ
فَفَهَّمْنَاهَا سُلَيْمَانَ وَكُلًّا آتَيْنَا حُكْمًا وَعِلْمًا
Ayat di atas menceritakan tentang masing2 antara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang memberikan keputusan tentang kambing yang merosakkan tanaman dan ternyata keputusan Sulaiman lebih tepat. [Lihat lanjut Al-Anbiya:78-79]

2. Masalah kehidupan

Perihal soal jawab dan masalah kehidupan seperti putus cinta, masalah rumahtangga, anak-anak, kes perceraian, pergaduhan suami-isteri, adik-beradik adalah lebih merumitkan dari persoalan agama.

Ini kerana disamping merujuk kepada nass-nass agama maka yang memberi pandangan dan pendapat harus menetapkan beberapa perkara sebagai panduan,

a. Mengenal pasti 'keparahan' dan situasi yang berlaku
b. Tahu akan punca dan sebab-sebab masalah berlaku
c. Ubat dan rawatan atau nasihat yang dapat meredakan masalah atau musibah dan fitnah yang menimpa.

Ramai gemar memberi nasihat sedang apa yang diucapkan tak lebih dari bisa-bisa yang hanya menyakitkan bagi orang yang mendengarnya kerana dia tidaklah merasainya, tidak pula memahaminya dan kemudian bercakap sesuka hati seolah-olah dia mengerti segala-galanya.

Kata Ali bin Abi Talib RA,
إن الفقيه حق الفقيه من لم يقنط الناس من رحمة الله ولم يرخص لهم في معاصي الله
'Sesungguhnya orang yang benar2 faqih ialah orang yang tidak membuatkan manusia menjadi putus asa dengan rahmat Allah tetapi dia pula tidak membuatkan mereka berani melanggar arahan Allah.' [Sunan Ad-Darimi]

Semoga Allah memberikan pertunjuk dan hidayah kepada kita semua !

Tuesday, May 14, 2013

Jangan terlalu suka sangat dengar dan percaya cakap orang tanpa ilmu

Hidup ini hanya sekali, jadikan ia di atas petunjuk Nabi

Kata Umar al-Khattab RA,
إياكم والرأي ; فإن أصحاب الرأي أعداء السنن ، أعيتهم الأحاديث أن يعوها وتفلتت منهم أن يحفظوها ، فقالوا في الدين برأيهم
'Hendaklah kamu menjauhi pendapat manusia, kerana sesungguhnya orang yang mengikuti pendapat manusia ialah musuh kepada sunan (iaitu hadith-hadith Rasulullah salallahualaihiwassalam). Mereka gagal menguasai hadith dan tidak mampu untuk menghafalnya lalu mereka pun berkata dalam agama dengan pendapat mereka. [Syarh Usul Iktiqad Ahl Al-Sunnah, al-La'lika'i]

Pengertian menggunakan akal dalam agama ini ialah kita memandai-mandai menetapkan sesuatu perkara dalam agama tanpa merujuk kepada al-Quran dan hadith atau menafsirkannya sesuka hati mengikut akal kita.

Berkata Ibn Mas'ud RA,
علماؤكم يذهبون ، ويتخذ الناس رءوسا جهالا يقيسون الأمور برأيهم
'Ulama kamu telah pergi (yakni Nabi dan para sahabat) dan manusia pun mengikuti kepala-kepala (tokoh) yang jahil yang melakukan qiyas terhadap perkara-perkara tertentu dengan akal mereka.'

Kata Imam Malik RA, Ilmu itu ada tiga iaitu kitab Allah, sunnah dan mengatakan tidak tahu.
Kenapa manusia menjadi rosak ?

Abdullah bin Zayd Al-Numairi meriwayatkan bahawa Imam Hasan al-Basri menyebut, 'Mereka (ahli bid'ah) dirosakkan kerana kegagalan mereka menguasai bahasa arab.' [al-Tarikh al-kabir, al-Bukhari]

Kata Imam as-Syafi'ie pula,
ما جهل الناس واختلفوا إلا لتركهم لسان العرب
'Tidaklah manusia menjadi jahil dan berselisih disebabkan mereka meninggalkan bahasa arab.'

Apabila tak boleh bahasa arab, kemudian dok baca buku terjemah Indon + copy paste website2 Indon dan taklid buta pada ustaz2 mereka maka jadilah fitnah !

Sunnah tidur tengahari yang dilupakan

Termasuk sunnah yang amat digalakkan ialah tidur sebentar diwaktu tengahari.

Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda,
قيلوا فإن الشياطين لا تقيل
'Tidurlah qailulah (tidur sebentar diwaktu tengahari) kerana syaitan tidak melakukan qailulah. [riwayat al-Tabarani]

Tidur tengahari boleh dilakukan sama ada sebelum zohor atau selepas zohor berdasarkan kesempatan dan kelapangan seseorang.

Terdapat riwayat dari Anas bin Malik RA yang memberitahu bahawa kebiasaan para sahabat rasulullah melakukan qailulah selepas solat Jumaat dengan katanya,
كَانُوا يُجَمِّعُوْنَ ثُمَّ يَقِيْلُوْن 'Mereka (para sahabat) melakukan solat Jumaat lalu berqailulah (tidur atau rehat sebentar di waktu tengahari).' [riwayat al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad]

Para salaf selalu menekankan kepentingan tidur tengahari, Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA misalnya selalu berpesan kepada orang ramai supaya melakukan qailulah. [riwayat ini terdapat dalam Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam al-Bukhari]

Semoga dengan mengikuti sunnah ini kita beroleh kebaikan didunia dan diakhirat !

Kesian dan fikirkan anak orang lain sama

Perihatin terhadap kelemahan dan kekurangan insan lain ialah sifat salafus soleh

Para salaf cukup sensitif dan 'luas pemikiran' mereka dalam soal kehidupan dan begitu cerdik dalam memahami sunnah Islam.

Diriwayatkan bahawa Amr bin Qays rahimahullah menyebutkan bahawa,

كانوا يكرهون أن يعطي الرجل صبيه الشيء فيخلرج به فيراه المسكين فيبكي على أهله ويراه اليتيم فيبكي على أهله
'Para salaf tidak menyukai perbuatan seorang lelaki yang memberikan anaknya dengan sesuatu (mainan atau barang) yang akan menyebabkan anak itu keluar menunjukkannya lalu dilihat oleh anak-anak orang susah yang akan menangis dan meminta barang yang sama dari keluarganya atau oleh anak yatim yang akan menangis dan meminta barang yang sama dari keluarganya. [Kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad]

Amr bin Qays al-Mala'i meninggal pada tahun 146 Hijrah.

Poligami cara Nabi salallahualaihiwassalam

Poligami apabila dipandang sbg kek dibahagi 4 memang rugi tp jika dipandang sbg membina ummah dgn 4 org pembantu beban tugas jd berkurangan!
Ramai wanita menolak poligami kerana mereka tidak mahu dan tidak ingin menjadi seperti isteri-isteri Nabi Salallahualaihiwassalam. Maka untuk menutupi keburukan mereka itu maka mereka pun berusaha mencari sisi-sisi yang kononnya nampak 'buruk atau negatif' dari sirah isteri-isteri dan anak perempuan nabi untuk berkata 'tengok tu, isteri nabi pun cemburu, tengok tu Fatimah pun tak sudi dimadukan dan lain-lain.

Sikap ini tak ubah seperti sikap orang yang mencari ayat mutasyabihat untuk mentakwilkan menurut hawa nafsunya. [Lihat ayat 3 surah Ali-Imran] Hakikatnya, isteri-isteri Nabi salallahualaihiwassalam menjadi contoh teladan yang terbaik kepada wanita Islam yang beriman.

1. Ketika Ummu Mukminin Aisyah RA difitnah berzina dengan sahabat yang bernama Sofwan bin Mu'athal RA oleh golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay bin Salul, tidak ada seorang pun dari isteri-isteri Nabi yang lain yang bercakap buruk terhadap Aisyah atau mengambil kesempatan itu untuk memburuk-burukkannya.

Bahkan madu-madu Aisyah semuanya membelanya termasuk Zainab al-Jahsy RA yang merupakan pesaing Aisyah disisi Nabi Salallahualaihiwassalam. Ini kerana para isteri Nabi mungkin ada cemburu, bersaing untuk berbakti kepada suami mereka namun sama sekali mereka TIDAK BERMAKSUD BURUK.

2. Ada orang berkata Nabi SAW tidak berpoligami ketika menikahi Khadijah RA dan berkata Nabi hanya berpoligami setelah Khadijah wafat dan menganggap ianya sunnah. Al-Jawab, jika begitu maka hendaklah setiap lelaki itu menikahi janda kerana Khadijah janda dan Khadijah lebih berusia dari baginda maka hendaklah lelaki menikahi perempuan yang lebih tua darinya.

Tidak begitu. Sunnah ialah menikahi anak dara, menikah lebih dari satu bagi memperbanyakkan umat.

3. Ada orang berkata Fatimah RA menolak poligami. Hal itu adalah tidak benar, hanya Fatimah yang dusta sahaja menolak poligami tetapi tidak Fatimah anak Nabi. Fatimah menolak untuk dimadukan dengan anak perempuan Abu Jahal bukannya poligami kerana dia benci untuk berada dibawah bumbung yang sama dengan anak perempuan kepada musuh Allah.

4. Para isteri Nabi salallahualaihiwassalam amat mesra antara satu sama lain. Ini dibuktikan berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA bahawa ketika Ummu Habibah (Ramlah binti Abu Sufyan) RA sedang nazak maka dia memanggil Aisyah lalu meminta maaf atas segala kesalahan yang pernah berlaku antara mereka selaku madu-madu. Lalu Aisyah pun berkata ' Semoga Allah mengampuni kamu dan membebaskan kamu dari segala bebanan. Ummu Habibah pun menjawab, 'Kamu telah membuatkan aku gembira. Semoga Allah menjadikan kamu gembira. ' Kemudian Ummu Habibah pun mengutuskan Ummu Salamah dan mengatakan hal yang sama. [Siyar' A'lam Al-Nubala, Al-Dzahabi]

5. Poligami hari ini kebanyakkannya gagal kerana para suami tidak mengikuti teladan dan sunnah Nabi salallahualaihiwassalam yang sebenarnya dan gagal mendidik para isteri agar menjadi seperti isteri-isteri Nabi. Maka itulah yang menyebabkan institusi poligami dan perkahwinan Islam mendapat imej yang buruk.

Bukan poligami yang salah, tetapi manusia yang gagal dalam mengamalkannya !

Kekosongan dan bosan dalam hidup, petanda kurang Iman

Kekosongan di dalam hidup, 'boring' dan bosan, tak tahu nak buat apa ialah petanda hidup kita jauh daripada Tuhan dan tidak ada matlamat serta tujuan. Sedangkan kehidupan orang yang beriman sentiasa padat dengan pelbagai kejutan, keindahan dan kebaikan yang mampu memberi hembusan kebahagiaan.

Hal ini dapat dilihat pada teladan yang ditunjukkan oleh seorang insan yang terbaik selepas Rasulullah salallahualaihiwassalam di dalam hadith yang menyebut bahawa baginda bertanya kepada sahabatnya :

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. قَالَ: فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا؟ قَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَنَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلاَّ دَخَلَ الْجَنَّةَ.
Maksudnya : 'Siapakah di antara kamu yang berpuasa pada hari ini?” Abu Bakar RA pun menjawab: “Saya.” Baginda bertanya pula: “Siapakah yang pada hari ini telah mengiringi jenazah?” Lalu Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Rasulullah kemudian bertanya lagi: “Siapakah yang pada hari ini telah memberi makan kepada orang yang miskin?” Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Rasulullah kemudian bertanya lagi: “Siapakah di antara kamu pada hari ini yang telah mengunjungi orang sakit?” Maka Abu Bakar pun menjawab: “Saya.” Maka Rasulullah salallahualaihiwassalam pun bersabda: 'Tidaklah terkumpul semua perkara tersebut pada seseorang kecuali dia akan masuk syurga.' [riwayat Muslim]

Begitu padat hidup Abu Bakar RA dan diberkati masanya dalam sehari dengan pelbagai kebaikan sedang kita pula diselubungi dengan rasa bosan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan ?

1. Jika kita punya isteri dan anak, nikmatilah masa dengan mereka dan gunakannya untuk mengajar mereka menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

2. Jika kita bujang, carilah kawan dan isi masa dengan ilmu pengetahuan atau amal ibadah dan mencari pengalaman hidup.

Terlalu luas dunia ini untuk kita lawati sepanjang hayat, terlalu banyak pengetahuan untuk kita kuasai dalam usia yang diberikan dan terlalu banyak peluang serta idea yang boleh kita usahakan untuk membuahkan hasil dan manfaat kebaikan.

Jangan sampai kita dipermainkan oleh syaitan !

Saturday, May 04, 2013

10 Doa yang 'BOLEH' dibaca untuk minta pertolongan ALLAH menghadapi Pilihanraya

*Perkataan 'boleh' menunjukkan maksud harus dibaca bukan mesti dan bukanlah ia disunnahkan kerana tiada dalil khusus dari pertunjuk Nabi Salallahualahiwassalam tentang doa yang hendak dibaca ketika pilihanraya :)

1. Perlindungan dari berterusan 'diperbodohkan'
أعوذ بالله أن أكون من الجاهلين - [al-Baqarah: 67]
* Aku memohon perlindungan Allah dari termasuk dikalangan orang2 yg jahil.

2. Doa terhadap penipuan, pengundi hantu, dll
اَللَّهُمَّ آْفِنِيْهِمْ بِمَا شِئْتَ - [riwayat Muslim]
* Ya Allah cukupkanlah bagi aku akan mereka itu dengan apa yang engkau kehendaki

3. Doa minta jangan bagi terpedaya dengan rasuah, pujukan dan 'offer' yang menarik
ربنا لا تزغ قلوبنا بعد إذ هديتنا وهب لنا من لدنك رحمة إنك أنت الوهاب - [Ali-Imran:8]

4. Doa minta pertunjuk nak mengundi yang mana satu
ربنا آتنا من لدنك رحمة وهيئ لنا من أمرنا رشدا - [al-Kahfi:10]

5. Doa selepas buang undi
ربنا تقبل منا أنك أنت السميع العليم. ربنا واجعلنا مسلمين لك ومن ذريتنا أمة مسلمة لكل وأرنا مناسكنا وتب علينا أنك أنت التواب الرحيم - [al-Baqarah: 127-128]

6. Mohon minta keamanan dan kebaikan kepada negara
رب اجعل هذا بلدا آمنا وارزق أهله من الثمرات من آمن منهم بالله واليوم الآخر - [al-Baqarah:126]

7. Doa apabila kalah dan terjadi sesuatu yang tidak diingini
Baca إنا لله وإنا إليه راجعون kemudian قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ - [riwayat Muslim]
*Allah sudah menakdirkan sesuatu yang dikehendaki dan dilakukan.

Boleh juga tambah bacaan berikut : اَللَّهُمَّ أُجُرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ
وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا - [riwayat Muslim]
* Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik dari musibahku.

8. Doa apabila menang atau melihat keberuntungan
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ ثَمَرِنَا، بَارِكْ لَنَا فِيْ مَدِيْنَتِنَا، بَارِكْ لَنَا فِيْ
صَاعِنَا، بَارِكْ لَنَا فِيْ مُدِّنَا. - [Riwayat Muslim]
* Ya Allah! Berilah berkah buah-buahan kami, berilah berkah kota kami, berilah berkah gantangan kami (sehingga di antara kami tidak sering mengurangi timbangan) dan berilah berkah mud kami.

9. Doa jika tersilap atau undi rosak
ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا، ربنا لا تحمل علينا إصراً كما حملته على الذين من قبلنا ربنا ولا تحملنا ما لا طاقة لنا به واعف عنا واغفر لنا وارحمنا أنت مولانا فانصرنا على القوم الكافرين - [al-Baqarah:286]

10. Doa minta selamat dari kejahatan orang zalim dan tipudaya orang kafir
ربنا لا تجعلنا فتنة للقوم الظالمين ونجنا برحمتك من القوم الكافرين - [Yunus:85-86]

P/s :

Ayat2 al-Quran saya tak terjemah, sebab boleh buka terjemahan sendiri dan melihat maknanya. Doa-doa ini cuma panduan, menetapkannya untuk dibaca pada sesuatu peristiwa mesti ada dalil dari sunnah, jadi pembacaan doa-doa ini pada waktu-waktu khusus seperti pilihanraya bukanlah sunnah cuma 'harus' melakukannya kerana sesuai dengan situasi yang memerlukan pergantungan kepada Allah.

WA.