Wednesday, April 24, 2013

Penerangan tentang Isu Mengundi Parti atau Calon


Pada pendapat peribadi saya, berdasarkan hasil pemerhatian terhadap fiqh siyasah dan maqasid syarak tentang isu mengundi antara memilih parti atau calon, maka kaedah yang lebih mendekati kebaikan dan kebenaran pada realiti ialah hendaklah seseorang pengundi itu memilih untuk mengundi berdasarkan parti/organisasi/ perikatan/pakatan yang bertanding dalam pilihanraya dan bukannya berdasarkan latar belakang calon-calonnya.

Kaedah yang terpakai ialah : يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام ' Dipikul kemudharatan yang khusus untuk mempertahankan kemudharatan yang umum'

1. Pendapat tokoh/mufti/alim-ulama yang menyuruh supaya rakyat mengundi berdasarkan latar-belakang calon atau memilih untuk mengundi kerana calon yang bertanding adalah tidak benar dan kurang tepat dengan struktur mekanisme sistem politik yang diamalkan di tanahair.

Matlamat undi ialah supaya suara atau wakil kepada rakyat dapat membuat dasar yang bertepatan dengan kehendak rakyat namun umum mengetahui bahawa parti-parti politik yang menguasai parlimen itulah yang sebenarnya menentukan hala tuju negara dan bukannya wakil-wakil rakyat yang dipilih.

Setiap wakil rakyat adalah tertakluk kepada arahan parti, dasar parti dan hala tuju yang tetapkan oleh parti-parti mereka.

Justeru memilih parti yang memiliki aspirasi dan membawa kebaikan kepada Islam dan maslahat umat ialah lebih wajar dari memilih calon yan dianggap berwibawa dan baik.

2. Sekiranya calon-calon yang bertanding adalah bukan calon yang beragama Islam, tidak beragama, kaki judi, ahli maksiat dan juga terlibat dengan faham bid'ah dan sesat seperti Syiah, Komunis, LGBT dan Liberal maka dosa kerana 'melantik' mereka sebagai calon adalah terletak kepada bahu pihak parti yang mencalonkan mereka dan bukannya rakyat.

Firman Allah SWT : وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى ' Dan tidaklah seseorang itu menanggung dosa orang yang lain.'[Al-Isra : 15]

Rakyat tidak sepatutnya ditakutkan atau dibebankan dengan dosa kerana memilih calon yang jahat akibat tiada pilihan semata-mata kerana mahu mengharapkan kebajikan mereka dapat dijaga oleh parti yang melantik calon tersebut.

Firman Allah SWT : لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْساً إِلا وُسْعَهَا 'Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kadar kesanggupannya.' [al-Baqarah:286]

Apabila ada dua parti bertanding, satu parti yang jahat tetapi meletakkan calon yang baik manakala yang kedua ialah parti yang baik tetapi meletakkan calon yang jahat maka rakyat perlu mengutamakan parti yang baik sekalipun terpaksa melalui calon yang jahat.

Calon yang jahat itu, kejahatannya ialah untuk dirinya sendiri tetapi parti yang baik itu akan menentukan hala tuju negara dan maslahat umat Islam secara umum.

Kaedah ini sama seperti hukum dalam muamalah, apabila umat Islam tidak boleh dipersalahkan kerana membeli barangan keperluan mereka daripada yahudi dan orang yang kafir sekiranya tidak ada muslim yang berwibawa yang menjual berangan tersebut.

3. Padangan atau pendapat supaya memilih atau mengundi berdasarkan calon ialah pendapat yang tidak benar berdasarkan situasi politik negara dan ianya boleh mengundang kepada kezaliman atau permainan jahat pihak-pihak tertentu. Ini kerana parti-parti yang mempunyai niat jahat dan berhasrat untuk terus berkuasa supaya boleh meneruskan agenda rasuah, membolot kekayaan negara dan menindas rakyat untuk mengambil kesempatan atas kekeliruan orang ramai dengan meletakkan calon-calon yang dianggap baik dan bagus semata-mata untuk meneruskan agenda jahat mereka.

Ibarat kata-kata orang Khawarij, لا حُكـــــــم إلا لله 'Tidak ada hukum, kecuali (hukum) Allah.' Maka dibalas oleh Ali bin Abi Tholib RA dengan berkata, كلمـــــــة حق أريد بهــــــا باطل ' Perkataan yang benar namun mereka menghendaki darinya kebathilan. [Riwayat Muslim dalam Kitab Zakat]

Tidak susah bagi parti yang kurang beriman ahli-ahlinya, kaki rasuah dan bermotifkan kekuasaan semata-mata untuk memikat ustaz-ustaz muda lulusan hadith yang kurang berpengalaman, naif dalam sepak-terajang politik dan mudah rasa terhutang budi untuk dijadikan calon di mana-mana kawasan yang dianggap boleh menguntungkan mereka.

Lalu fatwa/pendapat undilah berdasarkan calon pasti akan menguntungkan parti jahat ini dan seterusnya menjadikan mereka berkuasa di dalam negara dan para ustaz atau calon berwibawa tadi itu pun tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk mencegahnya sekalipun menasihati secara sulit, berpegang tangan dan dibalik tirai kerana dasar negara ditentukan oleh parti yang memerintah dan semua pimpinan tertinggi mereka ialah penjahat-penjahat dan lanun yang berpengalaman mempermainkan ustaz-ustaz dan calon muda yang berwibawa.

Akhir kata, saya memberikan nasihat dan pendapat saya yang ikhlas dengan mengharapkan agar semua umat Islam tidak terpedaya dengan permainan kotor pihak-pihak yang mahu merugikan Islam dan memenangkan kebathilan mereka.

Juga saya menasihati parti-parti yang bertanding supaya bertaqwa kepada Allah dan meletakkan calon yang terbaik agar rakyat tidak terbeban dan merasa berat untuk mengundi calon-calon parti yang mereka percayai dapat membantu mereka.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
واخر دعوانا أن الحمدلله رب العالمين

Emran Ahmad Omar

1 comment:

Arcane said...

Assalamualaikum ustaz, saya baru terbaca pendapat yg ini walaupun election dah lama berlalu.

Satu pendapat yg kemas dan "berlapik", "makan dalam" kata orang Kelantan.

Samalah macam ijtihad Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah yg tetap mentaati pemerintah di Syam dan Mesir ketika itu atas maslahah siyasah dan menolak kemudharatan yang lebih besar.

- Apa guna mengundi calon election "Ustaz yg ada PhD", jika parti dan coalition utama mereka tiada roh dan semangat untuk melaksanakan prinsip2 pemerintahan Islam.

Wassalamualaikum.