Monday, September 10, 2007

Manfaat Buat Umat Daripada Puasa Ramadhan

"Apa yang menjadi tujuan di dalam kewajipan puasa Ramadhan telah pun disebutkan secara jelas oleh Allah swt iaitu " لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ " agar kamu bertaqwa dan di dalam ayat yang seterusnya Allah menyebut pula supaya kamu bersyukur وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ apabila kita meneliti perintah puasa ini dengan harapan yang Allah sebutkan kepada hamba-Nya maka kita akan menyedari bahawa hikmah utama kewajipan berpuasa ini ialah menjadikan makhluk-makhuk ciptaannya berusaha meninggalkan salah satu daripada keperluan utama mereka iaitu makan dan minum dan meletakkan diri mereka dalam kekurangan semata-mata memenuhi perintah Allah swt dan beribadah kepada-Nya." (ustaz emran)

Allah swt berfirman di dalam Al-Qur'an :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah : 183)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدىً لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
"Bulan Ramadhan, iaitu bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). kerana itu, Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan Barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah mengehendaki kemudahan bagimu, dan tidak mengehendaki kesukaran bagimu dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah : 185)

Takala membaca ayat-ayat ini saya memandang bahawa ini ialah merupakan ayat yang membawa pengertian besar terhadap umat apabila di dalamnya menjelaskan manfaat Puasa di dalam bulan Ramadhan.

Di dalam ayat yang pertama Allah swt menjelaskan bahawa kewajipan berpuasa itu sudah pernah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kita. Dimaksudkan dengan golongan terdahulu sebelum kita ialah ahli kitab seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra.

Dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab Tarikh-nya dan Tibrani mengenai hadis Dagfal bin Hanzolah bahawa nabi salallahualaihiwasalam diriwayatkan pernah bersabda bahawa bagi Nasrani juga puasa sebulan di dalam bulan Ramadhan kemudian raja mereka ditimpa sakit lalu mereka mengatakan sekiranya Allah menyembuhkan raja kami nescaya kami tambahkan puasa itu menjadi sepuluh hari lagi, kemudian raja yang lain pula selepas itu memakan daging lalu sakit maka mereka pun mengatakan sekiranya raja kami disembuhkan Allah maka kami akan tambahkan puasa itu dengan tujuh hari lagi, maka kemudian bagi mereka raja yang lain pula selepas itu dan mereka pun berkata tidaklah patut kami meninggalkan baki tiga hari dalam sebulan ini melainkan kami menyempurnakannya dengan berpuasa sehingga menjadilah puasa mereka itu sebanyak lima puluh hari.

Hadis ini tidak sahih daripada nabi salallahualaihiwasalam seperti kata Imam Bukhari bahawa Dagfal ini tidak pernah diketahui bertemu nabi juga Hasan tidak diketahui pernah berjumpa Dagfal bin Hanzolah bin Zaid namun seperti kata Imam Haitsami rijal hadis ini ialah rijal yang sahih kecuali mereka terputus isnad dan saya letakkan di sini cuma sebagai makluman.

Apa yang menjadi tujuan di dalam kewajipan puasa Ramadhan telah pun disebutkan secara jelas oleh Allah swt iaitu " لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ " agar kamu bertaqwa dan di dalam ayat yang seterusnya Allah menyebut pula supaya kamu bersyukur وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ apabila kita meneliti perintah puasa ini dengan harapan yang Allah sebutkan kepada hamba-Nya maka kita akan menyedari bahawa hikmah utama kewajipan berpuasa ini ialah menjadikan makhluk-makhuk ciptaannya berusaha meninggalkan salah satu daripada keperluan utama mereka iaitu makan dan minum dan meletakkan diri mereka dalam kekurangan semata-mata memenuhi perintah Allah swt dan beribadah kepada-Nya.

Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan Ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16).

Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan Ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

Manfaat buat umat Islam di dalam bulan Ramadhan tersangatlah banyak dan yang paling penting ialah sebagai madrasah ruhiyyah yang melatih jiwa dan menjinakkan hati serta hawa nafsu daripada nafsu haiwan dan jiwa kebinatangan yang penuh dengan gelojoh, tamak-haloba, berapi-api dengan syahwat akhirnya dapat dilembutkan dan ditenangi dengan ibadah puasa dan fadhilat ganjaran yang memusatkan jiwa dan pemikiran kepada proses perjalanan ibadah sebulan menjadikan jiwa manusia itu beroleh ketenangan, kestabilan dan mencapai peluang bersederhana di dalam kehidupan.

Ibadah puasa ialah merupakan salah satu ibadah yang istimewa apabila di dalam amalan yang lain kita hanya diperintahkan melakukan sesuatu sebaliknya di dalam ibadah puasa kita diperintahkan meninggalkan sesuatu pula bagi menjadikan apa yang kita diperintahkan melakukannya di waktu lain seperti solat, zakat, korban, zikir dan sedekah atau apa sahaja ibadah dan amalan mendapat nilai dan mencapai tahap yang paling sempurna dengan wujudnya ibadah puasa yang di dalamnya manusia diperintahkan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang selama ini di dalam bulan lain dilakukan oleh kita seperti makan dan minum, persetubuhan di siang hari, percakapan kotor, lalai dan leka, maksiat dan dosa serta amalan-amalan yang kurang baik tetapi di bulan Ramadhan diperintahkan kita meninggalkannya bagi membersihkan jiwa serta menjadikan amalan-amalan ibadah kita yang lain seperti solat dan sebagainya mencapai tahap kesempurnaan apabila disertai dengan tindakan meninggalkan kemaksiatan.

Disebabkan itulah baginda nabi bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan * (berhati-hati maksudnya pengharapan yang disertai dengan kesedaran) serta penuh keikhlasan maka diampunkan baginya segala dosa yang tedahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 38 dan Ibn Majah no. 1641).

Bulan Ramadhan ini ialah bulan yang penuh dengan barakah, menjadi satu tanda dan lambang pengorbanan hamba yang paling besar kepada tuhan-Nya apabila mereka meninggalkan keperluan fitrah dan meninggalkan segala larangan-larangan tuhan demi mencapai rahmat dan keampunan. Makan dan minum, suatu yang perlu dan menjadi fitrah kepada makhluk, kelaparan pula sesuatu yang merupakan hal yang dibenci dan keadaan yang tidak disukai oleh sesiapa pun namun demi memenuhi perintah tuhan maka hamba-hamba-Nya berusaha menunaikan kewajipan ini semampu mereka dan beramal di dalam penuh kekurangan dan kelemahan sebagai mencapai darajat dan kedudukan yang tinggi di sisi tuhan.

Mereka yang berpuasa inilah merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith qudsi bahawa Allah berfirman : “Setiap amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Semoga di dalam bulan Ramadhan ini yang akan dilalui oleh kita semua saban tahun menjadi satu tempoh dan fasa perubahan serta pembaikan dan menyemai keazaman dan kekuatan dalam mencapai kedudukan taqwa. Di waktu Ramadhan inilah semangat jihad dan kekuatan ummah tercerna dan disemai oleh tuhan yang Maha Agung apabila semua manusia yang mampu berpuasa tidak mengira apa jua kedudukan dan apa sahaja pangkat dan bilangan jumlah harta akan semuanya berpuasa menahan lapar dan dahaga merasai apa erti kekurangan, kelemahan dan mengerti bahawa mereka kini merasai betapa perlunya mereka mensyukuri nikmat asasi makan dan minum yang selama ini dengan mudah diperolehi di atas setiap meja makan di rumah-rumah mereka yang telah siap terhidang.

Umat Islam berkongsi rasa derita orang yang susah, mengerti apa maknanya lapar dan dahaga, menyedari apa rasanya apabila keperluan dan fitrah disekat dan ditahan serta menjalani proses kesabaran di dalam mengawal diri di waktu-waktu kekurangan dan kelemahan. Mereka inilah disebalik segala kesusahan maka disediakan oleh Allah swt dengan pelbagai ganjaran.

Sesungguh para tetamu Allah di bulan Ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda di dalam sebuah hadith pernah menyebut : “ Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bau mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui tuhannya..” (hadith sahih Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Wahai Ramadhan
Bulan yang berkah dan berbahagia
Bagi mereka yang menyucikan diri
Memenuhi segala kewajipan ilahi
Kami kini menuju kepada-Mu
Membawa harapan membersihkan diri
Daripada segala dosa-dosa yang lalu

Salam sejahtera buat-Mu rasul yang terpuji
Pertunjuk sunnah-Mu menjadi panduan diri
Kami akan melalui madrasah Ramadhan kali ini

Moga darinya kami berjaya melawan nafsu sendiri
Akhirnya mampu turun berjihad menongkah arus jahiliyyah
Menawan syaitan dan semua musuh keji
Menegakkan syariat Allah di bumi sendiri