Thursday, June 12, 2014

7 Panduan isteri apabila dipukul suami

Apabila seseorang isteri dipukul oleh suaminya maka hendaklah dia melakukan 7 perkara berikut :

1. Beristigfar dan bersabar ketika mula-mula dipukul tanpa menyebutkan perkataan yang buruk seperti mencaci, memaki dan mengikut emosi. Ini berdasarkan hadith rasulullah salallahualaihiwassalam ;

إنما الصبر عند الصدمة الأولى
"Sesungguhnya sabar itu adalah pada waktu pukulan yang pertama. " [Hadith Riwayat Muslim]

Maksudnya ialah kesabaran itu bermula pada saat-saat pertama kali ditimpa musibah. Diriwayatkan juga bahawa Umar al-Khattab RA pernah berkata ;

وجدنا خير عيشنا بالصبر
Kami mendapati kebaikan pada hidup kami datang dari sifat sabar. [al-zuhd wa al-raqaiq]

2. Mengucapkan kalimah istirja' iaitu ucapan ;

إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهَ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali.”

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang menyebut;

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ. الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un.’ Mereka itulah orang yang mendapat keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”[Al-Baqarah: 155-157]

3. Tidak bertindak terburu-buru, bertenang dan melakukan muhasabah

Diriwayatkan ada hadith menyebut;

التأني من الله و العجلة من الشيطان
Ketenangan itu dari Allah dan tergesa-gesa itu dari syaitan [Riwayat Abu Ya'la dan Al-Baihaqi, dhaif]

Hendaklah seorang isteri itu melakukan muhasabah seperti kenapa dia dipukul? Apakah kesalahannya dan mengapa suami memukul dirinya? Perlu bezakan keadaan antara diri tidak bersalah lalu dipukul tanpa sebab dengan keadaan diri bersalah tetapi suami tidak sepatutnya memukul kerana pelbagai sebab.

Jika ada kesalahan, perbaiki dahulu diri kita sebelum mempertikaikan tindakan suami yang melampaui batas memukul isteri. Utamakan pembaikan sebelum terjun dalam pertengkaran yang berlanjutan.

4. Jangan menceritakan atau menyebarkan aib rumahtangga kepada orang lain sekalipun kepada ibubapa, kawan atau saudara-mara

Apa yang berlaku dalam rumahtangga ialah amanah dan aib yang tidak perlu dibuka kepada orang lain kecuali kepada sang alim yang ingin diminta fatwa atau mereka yang amanah dan bertaqwa untuk diminta nasihat serta hakim dan pihak berkuasa yang mahu menjalankan kewajipan hukum. Banyak perceraian berlaku bukan kerana 'suami pukul isteri' tetapi kerana cerita suami pukul isteri tersebar, wujud campur tangan keluarga mertua, sentimen dan emosi yang mengakibatkan JALAN DAMAI TERTUTUP.

Bukan semua orang boleh diceritakan masalah. Apatah lagi dalam laman sesawang atau di forum-forum terbuka.

Diriwayatkan Khalifah Umar Al-Khattab RA pernah berkata ;

ولا تشاور في أمرك إلا الذين يخشون الله عز وجل

'Dan janganlah kamu bermesyuarat tentang urusan kamu kecuali bersama-sama dengan orang yang takut kepada Allah Azza wa Jalla.' [Sifatus Sofwah, Ibn Al-Jauzi]

5. Membuat keputusan apakah mahu berdamai dengan suami atau memilih jalan keluar daripada perkahwinan

Seorang isteri memiliki hak untuk memilih apakah mahu meneruskan rumahtangganya dengan harapan ianya akan kembali menjadi lebih baik atau mahu keluar daripada kongkongan suami yang pemarah dengan meminta khulu atau fasakh di mahkamah syariah.

Setiap kes dan situasi tidak sama, jadi setiap orang perlu membuat keputusan dengan melakukan istikharah, pertimbangan buruk-baik dan kesan perceraian kepada diri sendiri, anak-anak dan masa depan.

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;

ما ندم من استخار الخالق وشاور المخلوقين وثبت في أمره
'Tidak menyesal orang yang selalu istikharah kepada Sang Khaliq dan bermusyawarah kepada makhluk serta teguh dalam perkaranya.'

6. Menjaga adab dan akhlak ketika berurusan dengan suami dan menunjukkan contoh yang baik di hadapan anak-anak

Kehidupan ini adalah sementara, akhirat itu yang utama. Dan setiap musibah yang menimpa akan menjadi kaffarah dosa dan penghapus keburukan seseorang. Justeru adalah penting bagi seorang isteri yang dipukul untuk menjaga akhlak dan adab-adabnya tanpa memberontak dan mengikut emosi serta menunjukkan teladan dan contoh yang terbaik buat anak-anaknya.

Kebiasaan wanita apabila dipukul suami akan merajuk, namun isteri yang solehah akan memperbaiki dirinya dan bersabar serta melayani suaminya dengan baik sehingga suaminya itu akan merasa bersalah sendiri kerana perbuatan memukul isterinya yang baik itu.

Ini kerana orang yang bahagia dengan hasil hubungannya dengan Allah tak akan terancam dengan apa yang dilakukan oleh manusia kepada dirinya.

Kata Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah ;
ما يصنع أعدائي بي؟ أنا جنتي وبستاني في صدري، أين رحت فهي معي لا تفارقني، أنا حيسي خلوة، وقتلي شهادة، وإخراجي من بلدي سياحة
'Apa yang dapat diperbuat oleh musuhku kepada diriku? Sesungguhnya syurgaku dan tamanku ada di dalam dadaku. Ke mana aku pergi pun maka ia bersama denganku dan tidak berpisah denganku. Jika aku dipenjara maka ia menjadi tempat aku bersendiri dengan tuhanku dan jika mereka membunuhku maka aku beroleh syahid, dan jika mereka mengusirku keluar dari negeri maka ia adalah pelancongan bagiku.

Sebaliknya kata beliau lagi;
المحبوس من حبس قلبه عن ربه تعالى
والمأسور من أسره هواه
'Orang yang terpenjara atau terkurung itu ialah mereka yang hatinya terlindung dari tuhan-Nya. Dan orang yang tertawan itu ialah orang yang tunduk kepada hawa nafsunya.'

[Al-Waabil as-Sayyib min al-Kalim at-Tayyib, Ibn Qayyim]

7. Menjalinkan hubungan yang akrab dengan Allah, bertaubat dan sentiasa menjaga ibadah dan perintah-Nya

Mana-mana wanita yang menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka mereka pasti akan dipelihara oleh Allah seperti Maryam dan Asiah yang dipelihara daripada kejahatan manusia pada zaman mereka.

Daripada Utsman bin ‘Affan RA mengatakan, ‘Saya mendengar Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda, ‘Barang siapa yang mengatakan;

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِى لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَىْءٌ فِى الأَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi maupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudharat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang akan dapat memudharatkannya” [Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi]

Sesungguhnya mereka yang zalim pasti tidak akan terlepas dan mereka yang tertindas dan teranaiya pasti akan dibalas dan dibela oleh Allah SWT.

Dia-lah sebaik-baik pembela dan pelindung !

Thursday, June 05, 2014

Menghargai kehidupan dengan memanfaatkan waktu

Kehidupan ini bagi orang yang singkat pemikiran ialah cuma sekadar masa-masa yang berlalu. Mereka tidak mengerti kepentingannya, tidak menghargai waktu dan selalu merasa bosan dengannya. Sungguh seandainya mereka mengetahui bahawa berlalunya waktu itu bermaksud telah hampir kematian dengan diri mereka dan telah berlalu usia dan kehidupan mereka maka nescaya barulah mereka akan sentiasa memanfaatkannya dengan bersungguh-sungguh.

Benarlah kata Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang diriwayatkan berkata;

يا ابن آدم إنما أنت أيام ! ، فإذا ذهب يوم ذهب بعضك
Wahai anak Adam, kamu sesungguhnya hanyalah sekadar himpunan hari-hari. Lalu apabila sehari telah berlalu maka sebahagian daripada dirimu juga telah hilang.

Kerana itu disebut bahawa الوقت هو الحياة waktu itu ialah kehidupan.

Jika masih bujang, segeralah bernikah, jika sudah bernikah segeralah beranak dan mencari pekerjaan, jika sudah bekerja, segeralah membina perancangan hidup dan mempertingkatkan kualiti kehidupan dan jika sudah berkeluarga maka segeralah beramal dan membuat persediaan untuk membesarkan anak-anak.

Jika masih belajar, manfaatkan waktu dengan ilmu, jika sudah mengajar maka manfaatkan waktu dengan beramal dan menyampaikan ilmu. Jangan dibuang masa ke arah yang tidak berguna dan menjadi penyesalan di hari kemudiaan.

Andai masih punya waktu terluang di rumah, buatlah kuih, keluar menghadiri majlis ilmu, menziarahi sanak-saudara, orang sakit, ahli keluarga atau meluangkan masa mendidik anak-anak dan menjalinkan hubungan cinta antara suami dan isteri.

Jangan sesekali membuang waktu, kerana mereka yang sudah berada di dalam kubur pasti sangat mencemburui dirimu !

Dua punca masalah sebenar umat Islam

Di dalam sebuah hadith yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dan Ahmad, daripada riwayat Abdullah bin Mas'ud RA ada menjelaskan kepada kita tentang punca sebenar yang menjadi pokok permasalahan umat dan penyebab kerosakan dan kehancuran umat Islam.

Dua perkara itu ialah ;

يقولون ما لا يفعلون ويفعلون ما لا يؤمرون

'Mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan perkara yang tidak diperintahkan.'

1. Mengatakan apa yang mereka tidak lakukan ialah merupakan salah satu daripada sifat munafik yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam. Golongan ini cukup pandai bercakap tentang deen dan sebagainya namun tiada suatu pun usaha yang 'konkrit' dan berkesan dilakukan bagi menyelesaikan masalah umat Islam.

2. Melakukan atau membuat perkara yang tidak disuruh atau diperintahkan oleh Allah dan Rasul pula ialah bermaksud melakukan bid'ah dalam agama. Apa yang disuruh oleh Islam dan al-sunnah ditinggalkan sebaliknya apa yang tidak disuruh itu pula yang beriya-iya hendak dibuat atas alasan apa salahnya ?

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda;

ما من نبي بعثه الله في أمة قبلي إلا كان له من أمته حواريون وأصحاب يأخذون بسنته ويقتدون بأمره ثم إنها تخلف من بعدهم خلوف يقولون ما لا يفعلون ويفعلون ما لا يؤمرون فمن جاهدهم بيده فهو مؤمن ومن جاهدهم بلسانه فهو مؤمن ومن جاهدهم بقلبه فهو مؤمن وليس من وراء ذلك من الإيمان حبة خردل

'Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah di tengah-tengah umatnya sebelumku kecuali terdapat di kalangan umatnya kaum hawariyun (para pengikut yang setia) dan para sahabat yang akan mengikuti sunnahnya dan mentaati perintahnya. Kemudian akan muncul setelah mereka akan generasi yang mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang berjihad menghadapi mereka dengan tangannya maka dia adalah Mukmin. Dan barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hartanya maka dia adalah mukmin, dan barangsiapa yang berjihad melawan mereka dengan hatinya maka dia adalah mukmin. Dan tidak ada lagi selepas itu dari keimanan walaupun seberat biji sawi.' [Riwayat Muslim]

Menentang dua golongan ini adalah sebuah jihad !

Agar hati menjadi lembut

Diriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa ada seorang lelaki mendatangi Nabi salalahualaihiwassalam dan mengadu tentang hatinya yang keras lalu baginda salallahualaihiwassalam pun pernah bersabda;

أتحب أن يلين قلبك وتدرك حاجتك أرحم اليتيم وامسح رأسه وأطعمه من طعامك يلن قلبك وتدرك حاجتك

'Adakah kamu suka supaya hatimu menjadi lembut dan hajat kamu dapat dicapai? Maka sayangilah anak yatim, usaplah kepala mereka dan berikanlah mereka makan daripada makanan kamu nescaya hati kamu akan menjadi lembut dan hajat kamu akan dapat dicapai.' [Riwayat Al-Tabarani, disahihkan oleh Syeikh Albani]

# Kerasnya hati adalah petanda ditariknya nikmat dan rahmat kerana Allah SWT telah berfirman;

فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

"Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang hatinya keras untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata [Az-Zumar:22]