Tuesday, February 16, 2016

Pemuda, mahu bidadari yang mana satu?

Rasulullah salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda ;

مَنْ كَظَمَ غَيْظًا وَهُوَ يَسْتَطِيعُ عَلَى أَنْ يُنَفِّذَهُ دَعَاهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى رُءُوسِ الْخَلاَئِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ فِي اَيِّ الْحُورِ شَاءَ

'Barangsiapa yang menahan marahnya padahal dia mampu untuk melepaskannya, nescaya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan para makhluk lalu Allah akan membiarkan dia memilih mana-mana bidadari yang dia suka.”

[Riwayat al-Tirmidzi, Syeikh Albani mensahihkan hadith ini]

Antara kelebihan bidadari yang disebutkan dalam al-Quran selain cantik ialah ;

Bermata jelita [As-Saffat:48],

Muda [Sod:52] ,

Sopan dan menundukkan pandangan [Al-Rahman:56],

Putih bersih [Al-Rahman:72],

Dara [Al-Waqi'ah: 36]

Berdada montok atau sedang berkembang [An-Naba: 33]

Kiranya semua jenis sifat-sifat yang diketahui akan memenuhi segala kehendak nafsu lelaki terdapat pada diri mereka. WA

Berkongsi rezeki, agar ia diberkati!

1. Duit, makan-minum, harta, ilmu atau jodoh (suami) akan menjadi bertambah berkat dengan berkongsi dengan mereka yang hampir dan memerlukan. Ini kerana diriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa Nabi salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;

ابغوني في ضعفائكم ، فإنما ترزقون - أو تنصرون - بضعفائكم
Carilah keredhaan aku dengan berbuat baik kepada orang yang lemah di kalangan kamu kerana sesungguhnya kamu diberi rezeki dan pertolongan disebabkan orang-orang yang lemah di kalangan kamu.

[Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Al-Albani]

Dalam riwayat yang lain menyebut ;إِنما ينصُر الله هذه الأمةَ بضعيفها Sesungguhnya Allah menolong umat ini dengan sebab pembelaan mereka kepada golongan yang lemah di kalangan mereka.

2. Rezeki kita, bukan kerana usaha kita semata-mata. Boleh jadi kerana doa anak-anak, doa isteri, doa suami, doa ibubapa, doa anak-anak yatim, janda dan fakir miskin atau mereka yang lemah di kalangan kita.

Hanya Firaun, Qarun, pemilik kebun (dalam surah al-Kahfi) dan lain-lain yang dimurkai serta golongan yang kufur dan sombong akan berkata ini adalah semata-mata kerana usaha kami sendiri sebagaimana firman Allah SWT :

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ
"Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata: "Itu adalah kerana (usaha) kami." (Al-Araaf: 131)

3. Jangan fikir sebab aku mengaji tinggi, dapat 'degree' lalu aku layak mendapat gaji besar dan kaya. Jadi ini hak aku seorang. Kerana itu adalah kata-kata Qarun yang menyebut :

إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي ۚ
"Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." (Al-Qassos:78)

Ramai cerdik pandai, gagal dapat kerja. Kita yang tidak lebih baik dari mereka ada kerja. Ramai orang berijazah tinggi, Phd, MA tiba-tiba ditimpa musibah tidak boleh kerja, sakit atau mati. Kita masih hidup dan mendapat jawatan mereka, ini semua rezeki dari Allah sebenarnya untuk menguji kita sahaja.

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya)." (An-Naml:40)

Hidup ini hanya sementara, marilah kita sama-sama berkongsi dan hidup bahagia!