Monday, June 08, 2015

Doa yang perlu kita amalkan

Daripada Abu Hurairah RA, beliau menyebut bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam biasa membaca doa berikut ;

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

Ya Allah ya Tuhanku, perbaikilah bagiku agamaku sebagai benteng atau pergantungan bagi urusanku; dan perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku; kemudian perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku! Dan Jadikanlah ya Allah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah pula kematian sebagai kerehatan untukku daripada segala kejahatan. [Riwayat Muslim no. 2720]

# Dalam hidup ini kita punya banyak kekurangan, dalam agama, dalam kehidupan dan dalam segala-galanya. Mohonlah tambah kebaikan dari Allah, dan memohon perlindungan-Nya dari segala keburukan.

Doa itu persis ubat, harus disesuaikan ubat dengan keadaannya.

Jika bala selalu mendatang, ujian asyik bertimpa, musuh tak berkurang mungkin kita perlu membaca doa seperti yang dibacakan oleh baginda salallahualaihiwassalam dari riwayat Abu Hurairah yang menyebut baginda membaca;

 اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada musibah yang tidak mampu aku tanggung, kesulitan yang menjadi sebab-sebab datangnya kebinasaan, takdir yang membawa akibat buruk dan kegembiraan musuh atas penderitaanku.” [Riwayat Al-Bukhari no. 6347 dan Muslim no. 2707]

Jika terjaga di tengah malam

Diriwayatkan daripada Ubadah bin Somit RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;

من تَعَارَّ من الليلِ فقال : لا إلهَ إلَّا اللهُ وحدَهُ لا شريكَ لهُ ، لهُ المُلْكُ ولهُ الحمدُ ، وهوَ على كلِّ شيٍء قديرٌ ، الحمدُ للهِ ، وسبحانَ اللهِ ، ولا إلهَ إلَّا اللهُ ، واللهُ أكبرُ ، ولا حولَ ولا قوةَ إلا باللهِ ، ثم قال : اللهمَّ اغفرْ لي ، أو دعا ، استُجِيبَ لهُ ، فإن توضَّأَ وصلَّى قُبِلَتْ صلاتُهُ

“Barangsiapa terjaga pada malam hari, kemudian dia berdoa dengan membaca ;

Tiada illah yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu baginya, milikNyalah segala kerajaan dan pujian, Yang Maha menghidupkan dan mematikan, di tanganNyalah segenap kebaikan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji hanya bagiNya dan tiada illah yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar, tiada daya serta upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Kemudian setelah itu dia berdoa;

'Ya Allah ampunilah aku”

Ataupun berdoa dengan perkara yang lain daripada itu nescaya akan dikabulkan permintaannya.

Sekiranya dia berwudhu lalu solat maka akan diterima pula solatnya.”

[Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud dan Al-Tirmidzi]

# Semoga Allah memasukkan kita ke dalam syurga dan rahmat-Nya.

Perwatakan sahabat Nabi

Diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Abu Hazim, Salamah bin Dinar daripada Abu Idris Al-Khaulani bahawa beliau mengatakan ;

دخلت مسجد دمشق ، فإذا فتى شاب براق الثنايا ، وإذا الناس معه إذا اختلفوا في شيء أسندوه إليه ، وصدروا عن قوله ، فسألت عنه ، فقيل : هذا معاذ بن جبل
Aku memasuki masjid Dimasyq, aku mendapati di dalamnya ada seorang pemuda yang cerah giginya maksudnya banyak tersenyum, orang ramai bersama dengannya yang apabila mereka menghadapi perselisihan mereka mendatanginya dan berpegang dengan kata-katanya. Aku pun bertanya tentangnya maka diberitahu kepadaku bahawa itulah Muadz bin Jabal RA.

[Riwayat Malik dalam Al-Muwatha]

# Pelajaran hadith ini ialah para sahabat Nabi salallahualaihiwassalam seperti Muadz bin Jabal RA, mereka itu sungguh mesra, banyak tersenyum dan peramah.

Masuk-masuk masjid perkara pertama yang dia *spot* atau perasan tentang peribadi lelaki itu ialah suka tersenyum.

Kata Jarir bin 'Abdillah al-Bajali :

ما رآني رسول الله صلى الله عليه وسلم منذ أسلمت إلا تبسم في وجهي
' Tidak pernah aku melihat Rasulullah salallahualaihiwassalam semenjak aku memeluk Islam kecuali senyuman berada di wajah baginda.' [Riwayat al-Bukhari]

Ya, senyum itu sunnah!

Doa yang Unik dari sahabat Nabi Salallahualaihiwassalam

Diriwayatkan daripada Muhammad bin Sirin yang berkata ; 

كنا عند أبي هريرة ليلةً فقال اللهم اغفر لأبي هريرة ولأمي ولمن استغفر لهما
Kami berada di sisi Abu Hurairah RA pada suatu malam dan beliau pun berdoa ; Ya Allah, ampunilah dosa Abu Hurairah dan ibuku serta mereka yang memohon keampunan kepada mereka berdua (kepada Abu Hurairah dan ibunya).

Maka berkatalah Imam Muhammad bin Sirin ;

فنحن نستغفر لهما حتى ندخل في دعوة أبي هريرة
Maka kami pun memohon keampunan Allah untuk mereka berdua (Abu Hurairah dan ibunya) supaya kami akan termasuk dalam doa Abu Hurairah (yang memohon keampunan kepada orang yang mendoakan beliau dan ibunya).

[Riwayat Al-Bukhari di dalam Al-Adab Al-Mufrad]

# Abu Hurairah RA atau nama asalnya ialah Abd Syams yang kemudian ditukar oleh baginda dengan nama Abd Rahman bin Shakhr ad Dausi dan wafat pada tahun 57 Hijrah.

Beliau adalah salah seorang sahabat yang mulia yang wajib dicintai oleh orang-orang yang beriman. Hal ini kerana disebut dalam hadith yang sahih bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah mendoakan beliau dan ibunya dengan berkata ;

 اللَّهُمَّ حَبِّبْ عُبَيْدَكَ هَذَا يَعْنِي أَبَا هُرَيْرَةَ وَأُمَّهُ إِلَى عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِينَ
Ya Allah, jadikanlah hambamu ini Abu Hurairah dan ibunya sebagai orang yang dicintai oleh hamba-hamba-Mu yang beriman. [Riwayat Muslim]

Hanya orang yang tidak beriman akan membenci Abu Hurairah RA !

اللهم اغفر لأبي هريرة و أم أبي هريرة