Saturday, April 13, 2013

7 Ciri-ciri Pemimpin yang diperlukan oleh umat Islam

  1. Beriman dan bertaqwa

Ini kerana Allah SWT berfirman bahawa bumi ini akan diwariskan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku." [An- Nur : 55]

2. Beraqidah ahli sunnah serta berpegang teguh kepada al-Kitab dan sunnah.


Kata Imam Malik RA,
السنة سفينة نوح من ركبها نجا، ومن تخلف عنها غرق
'As-sunnah itu seperti kapal Nabi Nuh, barangsiapa yang menaikinya akan selamat dan sesiapa yang menyelisihinya akan karam.' [Tarikh Dimasyq, Ibn Asakir]

Pemimpin yang berfaham dengan kefahaman sesat atau tergolong dalam ahli bid'ah akan menghancurkan umat serta membawa kepada malapetaka kepada agama Islam dan fitnah yang besar.

Ini berdasarkan kepada hadith Tsauban RA daripada Rasulullah salallahualaihiwassalam yang bersabda :
إِنَّ مِمَّا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي أَئِمَّةً مُضِلِّينَ "Sesungguhnya, yang paling aku takutkan ke atas umatku ialah imam-imam yang menyesatkan". [Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah]

3. Berilmu dan mengasihi para ulama' serta suka menerima nasihat dari mereka.


Ulama' adalah pelita Islam, mereka membawa cahaya menerangi manusia maka mana-mana pemerintah yang melazimi ulama' akan terselamat dari kegelapan. Di dalam hadith juga ada menyebut hadith الدين النصيحة 'Agama ini ialah nasihat.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

4. Amanah dan jujur dalam menunaikan kewajipan terhadap rakyat


Kata Wahab bin Munabbih rahimahullah,"Apabila seorang pemimpin berkeinginan melakukan kecurangan atau telah melakukannya, maka Allah akan menimpakan kekurangan pada rakyatnya di pasar, di ladang tanaman, pada haiwan ternak dan pada segala sesuatu. Dan apabila seorang pemimpin berkeinginan melakukan kebaikan dan keadilan atau telah melakukannya nescaya Allah akan menurunkan berkah pada penduduknya."

Al-Walid bin Hisyam berkata,"Sesungguhnya rakyat akan rosak kerana rosaknya pemimpin, dan akan menjadi baik kerana baiknya pemimpin."

Kemakmuran umat Islam tidak akan dicapai melainkan dengan memiliki pemimpin yang jujur dan amanah dalam melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab mereka.

5. Adil dalam berhukum dan membuat keputusan


ِAllah SWT berfirman : وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى 'Janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil, berlaku adillah kerana ia lebih mendekati taqwa.' [al-Maidah:8]

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :
وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
"...dan (menyuruh kamu) agar apabila berhukum di antara manusia supaya kamu berhukum dengan adil .." [an-Nisa:58]

Keadilan ialah tonggak langit, tanpanya langgit bisa runtuh lalu membawa seribu satu macam bala. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau bermaksud menghukum dengan hak dan kewajipan yang Allah perintahkan. Lawannya ialah zalim dan melampaui batas.

Tanpa keadilan maka tidak akan ada pertolongan Allah.

Umar bin al-Khaththab RA berkata kepada al-Mughirah ketika mengangkatnya menjadi gabenor Kufah: "Wahai Mughirah, hendaklah orang-orang baik merasa aman denganmu dan orang-orang jahat pula merasa takut terhadapmu".

6. Berani melaksanakan kebenaran dan menunaikan kewajipan


Tidak ada faedahnya seseorang menjadi pemimpin yang penakut dan bacul melainkan dia akan membawa mudharat serta kebinasaan kepada umat.

Keberanian itu dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : المؤمنُ القويُّ خيرٌ وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف ' Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.' [riwayat Muslim]

Pemimpin yang berani akan sentiasa membawa kebenaran dan menegakkannya walau ditentang atau diselisihi oleh ramai orang.

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : لا يزال من أمتي أمة قائمة بأمر الله لا يضرهم من خذلهم ولا من خالفهم ، حتى يأتيهم أمر الله وهم على ذلك ' Tidak akan hilang daripada umatku satu golongan yang akan tetap melaksanakan perintah Allah dan tidak akan memudharatkan mereka orang yang mencela mereka atau menyelisihi mereka sehinggalah datang ketentuan Allah.' [riwayat al-Bukhari]

7. Penyayang dan mengasihi umat Islam serta membela golongan yang lemah


Seorang pemimpin hendaklah memiliki sifat kasih sayang. Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda:
اِرْحَمُوْا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
"Sayangilah orang-orang di bumi, nescaya Zat yang ada di langit akan menyayangimu". [Riwayat al-Tirmidzi]

Di dalam hadith yang lain ada menyebut bahawa pertolongan Allah akan diberikan kepada hamba-hambaNya selama mereka membantu orang yang lemah dikalangan mereka. Maka pemimpin Islam ialah mereka yang sentiasa hampir dan menjadi pembela kepada rakyat bawahan bukan sebaliknya menindas mereka !

Rasulullah salallahualaihiwassalam berdoa :
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
"Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.". [riwayat Muslim]

Jangan memilih pemimpin selain dari mereka yang ada tujuh sifat ini kerana kelak kita akan menyesal dikemudian hari !

1 comment:

hUffAz iNSaniAh.. said...

Salam.mohon share ust.terima kasih.