Tuesday, August 30, 2016

Merdeka yang sebenar, apabila kita rasa selamat

Kita belum lagi merdeka. Buktinya, anak-anak kita belum rasa selamat apabila berada di jalan-jalan raya, di sekolah, di Ma'had Tahfiz dan di dalam rumah.

Wanita tidak selamat apabila jalan berseorangan. 

Orang miskin masih ada yang terpaksa mengemis di jalanan, orang kaya masih ada yang menindas orang bawahan, penjenayah masih ada yang belum ditangkap, pemimpin masih ada yang korup....

Kita masih hidup dalam ketakutan dan merasa tidak selamat!

Kemerdekaan yang sebenar pernah ditonjolkan oleh hadith Nabi salallahualaihiwassalam dari riwayat Adi bin Hatim RA (wafat 68 H) yang menyebut;

فوالذي نفسي بيده ليتمن الله هذا الأمر حتى تخرج الظعينة من الحيرة حتى تطوف بالبيت من غير جوار أحد
Demi zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, Allah pasti akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang wanita di atas untanya akan bermusafir dari Hirah (satu kawasan di Iraq) menuju ke Mekah sehingga dapat bertawaf di Baitullah tanpa ditemani oleh sesiapapun. [HR. Ahmad]

Dalam riwayat yang lain menyebut;

لا تخاف أحدا إلا الله
Tanpa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah.

[HR. Al-Bukhari]

# Merdeka ialah apabila anak-anak kita selamat, anak gadis kita selamat, anak lelaki kita selamat dan keluarga kita serta seluruh masyarakat merasa selamat dan aman tanpa takut kecuali kepada Allah SWT!

Thursday, August 18, 2016

Istikharah yang Salah

Ada orang yang mahu melakukan istikharah, namun dia tidak memahami hukum-hakam agama Allah sehingga dia melakukan solat istikharah untuk memilih di antara perkara yang wajib dan yang haram.

Sedangkan istikharah hanya dilakukan pada perkara yang harus dan ketika mahu memilih di antara dua perkara sunat yang hendak dilakukan atau ketika mahu memilih yang manakah perlu didahulukan?

Para ulama menyebut ;

فالاستخارة لا محل لها في الواجب والحرام والمكروه , وإنما تكون في المندوبات والمباحات ، والاستخارة في المندوب لا تكون في أصله ; لأنه مطلوب , وإنما تكون عند التعارض , أي إذا تعارض عنده أمران أيهما يبدأ به أو يقتصر عليه ؟ أما المباح فيستخار في أصله

Istikharah tidaklah berlaku untuk perkara yang wajib, haram dan makruh. Sebaliknya ia berlaku kepada perkara yang mandub (sunat) dan yang mubah (harus). Dan Istikharah pada perkara yang mandub (sunat) pun bukanlah pada asalnya, kerana perkara yang sunat itu masih sahaja diperintahkan, akan tetapi apabila ada pertembungan di antara dua perkara yang sunat iaitu jika berlaku hal yang demikian kepadanya maka istikharah dilakukan untuk menetapkan yang mana satukah yang sepatutnya dia mulai atau dipilih salah satu sahaja antara keduanya? Adapun perkara yang mubah (harus), maka dilakukan istikharah secara hukum asalnya (dalam semua keadaan).

[Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, Kementerian Wakaf dan Urusan Agama Kuwait]

# Sebelum membuat Istikharah, semak dahulu kedudukan sesuatu perkara apakah sudah ada dalil atau hukum mengenainya. Apakah ianya wajib, harus, sunat atau haram dan makruh?