Saturday, December 26, 2009

Siapakah orang-orang yang berakal ?


Dunia ini penuh dengan kegilaan.

Di sana sini kita melihat bermacam-macam orang dan bermacam-macam ragam manusia.

Ada yang waras dan ada pula yang tidak pada sangkaan kita.

Namun, pernah tak kita bertanya kepada diri kita akan siapakah orang yang benar-benar berfikiran waras dan siapakah pula yang tidak ? Jika tidak pernah maka mungkin patut sudah sampai masanya untuk kita bertanya secara serius di dalam hidup kita ini apakah ciri-ciri seseorang yang waras dan berakal dan apakah pula ciri-ciri orang yang tidak waras dan tidak berakal.

Al-Quran menjelaskan kepada kita tentang ciri-ciri orang yang berakal

Allah SWT befirman : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Ali-Imran : 190)

Ayat ini menjelaskan bahawa di antara ciri-ciri awal orang yang berakal itu ialah mereka memerhatikan kejadian langit dan bumi, melihat pertukaran siang dan malam serta mengakui kebesaran Allah SWT.

Ciri-ciri mereka itu diperjelaskan dalam ayat yang seterusnya :

Allah SWT befirman lagi “ (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran : 190-191)

Orang yang berakal itu ialah orang yang beriman dan mereka yang tidak beriman adalah tidak berakal.

Ciri-ciri seterusnya orang yang berakal itu ialah mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan mereka baik secara duduk, berdiri dan mahupun berbaring.

Berakal itu bermaksud menggunakan akal untuk mengingati Allah SWT dan mengunakan akal di jalan Allah SWT kerana akal itu adalah anugerah Allah SWT sebagai alat untuk membolehkan manusia berfikir dan membezakan perkara yang baik dan buruk, memahami ayat Allah SWT dan supaya manusia itu mengerti dan menghargai apa yang diberikan kepada mereka di dalam dunia ini hanyalah sementara dan pinjaman yang tidak kekal.

Siapakah yang menghidupkan kita jika bukan Allah SWT ?

Siapakah yang membesarkan kita di dalam perut ibu kita ?

Siapakah yang memberi kita rezeki dan memberi kita makan ?

Siapakah yang menyelamatkan kita apabila kita di dalam kesusahan ?

Amatlah malang apabila manusia yang yang menyangka dirinya bijak dan sibuk dengan dunia dan melakukan pelbagai kerja dan menceburi pelbagai bidang yang dibangganya sebagai usaha bijaksana namun tidak menyedari hakikat kehidupan ini, seperti persoalan dari manakah dia datang, untuk apa dia hidup di atas muka bumi ini dan ke manakah dia akan pergi sesudah mati.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, bahawa rasulullah pernah ditanya tentang siapakah orang beriman yang paling bijak ? Lalu dijawab oleh baginda dengan bersabda : “Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik persediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah orang yang paling bijak.” (hadis riwayat Ibn Majah)

Ramai saintis, ramai professor , ramai pengkaji, ramai professional di atas muka bumi ini menyombong diri dengan berkata kami tidah mudah percaya kepada dakyah dan khabar agama yang dipenuhi mitos dan lagenda. Kami hanya percaya kepada kajian makmal, kami hanya percaya dengan apa yang terbukti di depan mata namun kita lihat daripada kehidupan mereka di dunia ini dipenuhi oleh siri-siri kegagalan dan kemusnahan hidup yang berterusan.

Malangnya mereka tidak mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dalam kehidupan mereka.

Lihatlah mana-mana professional dan cendiakawan manusia yang menolak agama dan tuhan, ke manakah hasil mereka ? Mungkin kita melihat mereka cerdik mampu menyelesaikan teori X dan Y tetapi dimalam hari hidup mereka dipenuhi oleh arak, suntikan dan ubatan dadah, kepala mereka diserabutkan oleh masalah anak, menghadapi krisis rumahtangga dan suami isteri tinggal berasingan, tidak kurang yang bercerai dan hidup dengan kesengsaraan hati dan derita disebalik kemewahan.

Apalah yang dibanggakan di dalam kehidupan mereka ?

Seorang demi seorang kita lihat pakar dan ahli kaji yang cerdik dan bijaksana di dalam ilmu pengetahuan manusia dan jujur hatinya mahu mencari kebenaran telah memeluk Islam dan berbondong-bondong manusia yang mendalami agama ini disudahi dengan menjadi penganutnya dan mengamalkan isi kandungannya.

Kehidupan ini hanyalah sementara, usah dibazirkan dengan melakukan perkara yang sia-sia dan tidak membawa manfaat kepada akhirat. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Ramai manusia yang terpedaya dengan dua (jenis) kenikmatan; (iaitu) kenikmatan kesihatan (yang baik) dan kelapangan masa." (Hadis riwayat al-Bukhari )

Kesimpulannya

Jika ingin mengkaji tentang quantum dan fizik, maka kajilah tetapi lakukanlah ia dengan keimanan kepada Allah SWT dan di jalan Allah SWT.

Jika ingin mengkaji tentang tisu dan sel manusia di dalam ilmu biologi maka lakukanlah tetapi laksanakanlah ia dengan keimanan dan untuk manfaat agama Allah SWT.
Pastikan apa yang dilakukan mampu menjadi bekal kepada akhirat.

Janganlah menjadi orang yang bodoh, tersesat dan terhanyut di dalam kehidupan dunia dan kecerdikan buatan sendiri (AI) namun suatu apa pun yang diusahakan olehnya di dunia ini langsung tiada yang membawa manfaat untuk bekal di akhirat.

Allah SWT befirman : “Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?" Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) perjumpaan dengan Dia, maka hapuslah amalan- amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” ( Al-Kahfi : 103-105)

Oh sangat malang sekali menjadi orang yang sebegitu.

Masa kita adalah terhad jadi ayuh gunakanlah ia di jalan Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis Nabi diriwayatkan bersabda yang bermaksud : “Orang yang bijak itu adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal (bekerja) untuk bekalan selepas matinya. (Manakala) orang yang lemah itu adalah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya dan kemudian mengharap (pertolongan) Allah.” (hadis riwayat Tirmidzi).

Tuesday, December 15, 2009

Terima Kasih Ya Allah Kerana Memilih Ku


Di dalam kehidupan ini, tidak semua manusia berpeluang untuk menuju ke syurga. Hal ini jelas disebutkan di dalam firman Allah SWT : “Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda dan anak-anak mereka, sedikitpun tidak dapat menolak (siksa) Allah dari mereka. Dan mereka itu adalah bahan bakar api neraka.” (Al-Imran : 10)

“Peliharalah dirimu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.” (Al-Baqarah : 24)

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-tahrim : 6)

Sebahagian besar manusia sememangnya telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk dijadikan sebagai bahan bakar api neraka dan mereka kekal di dalamnya. Hal ini perlulah difahami bahawa yang menjadikan alam semesta dan tujuh petala langit itu ialah Allah SWT dan itu kehendaknya serta tiada ruang dan alasan untuk kita mempertikaikan urusan-Nya.

Apapun, kita harus bersyukur dan berterima kasih kerana Allah SWT telah memilih untuk berurusan dengan kita apabila dia memberikan kepada kita peluang untuk beramal.


Firman Allah SWT : “Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang amat besar.” (Al-Fathir : 32)

Tidak semua manusia berpeluang berurusan dengan Allah SWT

Firman Allah SWt yang bermaksud : “Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpinpun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.” (Al-Kahfi : 17)

Di dalam hadis yang sahih ada menyebut bahawa apabila Allah SWT mengehendaki kebaikan kepada hamba-hamba-Nya maka dia akan menguji mereka.

Ujian itu berperanan sebagai “peluang” untuk membolehkan dia mendapat sesuatu kebaikan daripada Allah SWt.

Justeru itu adalah amat pelik dan janggal apabila seseorang itu mengeluh bahawa dia diuji dengan sangat berat jika dia memahami bahawa ujian itu ialah sebagai bonus daripada Allah SWt untuk kebaikan dirinya sendiri.

Allah SWT tidak mendapat apa-apa keseronokkan apabila dia menguji kita

Allah SWT tidak mendapat apa-apa manfaat apabila kita menyembah-Nya

Semuanya balik kepada diri kita, semuanya kembali kebaikan itu kepada kita.

Kita yang beroleh kebaikan tersebut.

Kita diuji untuk kebaikan kita

Kita ditimpa bala bencana untuk manfaat kita

Justeru itu bersabar dan bersyukurlah.

Berjual beli dengan Allah SWT

Ada sebahagian hamba-hamba Allah SWt yang bijak dengan mengambil kesempatan untuk melakukan bisnes (perniagaan) dengan Allah SWT. Mereka ini menjual jiwa dan harta mereka di dunia ini untuk mendapatkan syurga Allah SWT.

Allah SWt befirman : “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah : 111)

Allah ialah sebaik-baik Pembeli dan pula sangat Pemurah.

Allah membeli nyawa, harta, anak-anak, suami, isteri, kebahagiaan kita di dunia ini lalu dibayarkan kepada kita dengan syurga-Nya yang mengalir di bawahnya anak sungai yang mengalir jernih.

Bukankah itu satu perniagaan yang menguntungkan ?

Apalah sangat suami kita yang berbau busuk, isteri kita yang suka melukakan hati dan kekasih kita (sohibal qalb) yang gagal melayani kita jika dibanding dengan nikmat layanan syurga ?

Apalah sangat anak-anak kita yang comel itu yang nantinya di akhirat akan melupakan diri kita dan tidak dapat menyelamatkan kita daripada azab jika dibandingkan dengan syurga yang kekal itu ?

Allah befirman : "Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah. " (Luqman : 33)

Apalah gunanya title dan kedudukan, apalah gunanya harta dan kemewahan dunia yang sementara jika dibanding dengan syurga yang kekal abadi ?

Allah mengambil semua itu, lalu mengantikan sesuatu yang lebih baik iaitu syurga…

“Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. “ (As-soff : 11-12)

Bukankah Allah sebaik-baik pemberi janji dan pemberi balas ?

Justeru itu, bersyukurlah…

Jangan berkata untuk mendapatkan sesuatu kebaikan, aku telah membayar harga yang mahal…

Apakah yang mahal ? Kehidupan kita ? Nyawa kita ? barangan yang kita miliki adalah tersangat murah jika dibanding dengan rahmat dan syurga Allah SWT.

Suami kita yang diambil, isteri kita yang diambil, anak-anak kita yang diambil, harta kita yang diambil oleh Allah SWT jika diganti dengan syurga maka ianya adalah tersangat murah.

Dan sekiranya kita terlupa, itu semua pun bukanlah milik kita..

Tetapi hanya pinjaman belaka…lalu jika begitu, sudahlah kita ini dipinjamkan sahaja, sekarang tuan kita itu mahu mengambilnya daripada kita dengan tidak secara percuma tetapi berbayar pula.

Bukankah itu menguntungkan ? Itulah tanda pemurah dan pengasih-Nya.

Sekiranya tidak kerana rahmat Allah SWT, apa yang kita miliki adalah lebih murah daripada haiwan ternak, jika tidak kerana hidayah Allah SWT.

Allah memberikan kita hidayah dan peluang kerana dia mahu berurus niaga dengan kita.

Ayuh marilah menjual dan menggadaikan sebanyak mungkin apa yang kita ada di jalan Allah SWT kerana ganjaran dan bayaran pulangan daripada Allah SWt tersangatlah lumayan.

Terima kasih, ya Allah.. kerana memilih untuk berurus niaga denganKu !

Thursday, December 03, 2009

Apabila cemburu Sudah tiada...


Baru-baru ini saya dikejutkan oleh beberapa email yang bertanya kepada saya berkenaan hukum berzina dan meminta nasihat daripada saya berkenaan kecurangan isteri dengan rakan sekerjanya.

Telah banyak berlaku dan telah ramai yang tahu berkenaan hubungan lelaki dan wanita secara bebas di mana-mana. Bukan sekali dua kita dengar isteri atau suami yang melakukan kecurangan dengan rakan sekerja akibat daripada pergaulan bebas.

Saya hairan sekali dengan budaya Malaysia.

Kami tidak berbuat apa-apa”, itulah slogan utama menghalalkan hubungan lelaki dan wanita yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan jalan pernikahan.

Allah SWT befirman : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Ar-Rum: 21)

Dijadikan oleh Allah SWT akan sunnah perkahwinan itu sebagai satu-satunya jalan untuk membolehkan lelaki dan wanita saling bemesra dan berkasih-kasihan serta bersenang hati dan bukan selainnya.

Hal ini jelas di sebutkan oleh Allah SWT : “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” (Al-Isra : 32)

Larangan berzina bukanlah hanya pada perbuatannya tetapi termasuk seluruh jalan yang boleh membawa ke arahnya. Namun malangnya syaitan itu menghiasi jalan kejahatan dan mengaburi mata manusia sehingga perhubungan haram itu menjadi senang dan memudahkan serta menyenangkan.

Kita lihat hari ini lelaki dan wanita senang bersenda gurau dan mudah bermesra walau tanpa melalui perkahwinan. Melalui pelbagai cara sehinggalah di tempat kerja, di pusat pengajian, di medan-medan perniagaan, di dalam kehidupan realiti dan juga di alam maya.

Suami orang bersenda gurau dengan isteri orang atau dengan anak gadis tanpa ada rasa malu atau segan sehingga kadang-kadang timbul persoalan iaitu di manakah sifat cemburu mereka ?

Sifat Cemburu adalah Wajib dimiliki oleh orang yang beriman kerana lawan perasaan cemburu yang disebut sebagai (ghirah) ini adalah dayus dan hukumnya ialah haram serta berdosa besar.

Ini berdasarkan sabda nabi SAW yang bermaksud : "Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat mereka di hari kiamat ialah penderhaka kepada ibu bapa,perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang dayus." (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam hadis yang lain baginda Rasulullah ditanya tentang apakah erti dayus lalu dijawab oleh baginda nabi dengan bersabda : “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapakah yang berjumpa dengan ahlinya (iaitu isteri dan anak-anaknya).” ( Riwayat At-Tibrani)

Malangnya hari ini kita lihat kaum wanita bebas bertemu sesiapa sahaja lelaki yang disukainya tanpa diketahui oleh ibubapa, suami, wali dan warisnya. Hal ini disebabkan oleh perkembangan zaman moden yang sudah mengalih alih manusia daripada ajaran Islam versi ahlul sunnah wal jamaah.

Ketika saya di tanah arab, saya cukup mengkagumi sifat cemburu bangsa mereka yang begitu besar. Di sana jangankan hendak bergurau senda dengan isteri orang, hendak memandang pun akan akan mengundang ancaman dan celaan.

Hal ini adalah perkara yang terpuji berdasarkan hadis Ubadah bin Somit r.a yang berkata : "Jika aku nampak ada lelaki bersama isteriku, nescaya akan aku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi jawapan balas : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu berbandingnya, malah Allah lebih cemburu daripadaku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang nyata dan tersembunyi. " ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di Malaysia hari ini, rakan-rakan isteri pun tidak kita kenali, ada pula yang isterinya dihantar pulang ke rumah oleh teman lelaki. Begitulah juga sebaliknya.

Di laman-laman forum maya, lelaki dan wanita boleh bergurau senda tanpa batasan kerana ianya tidak kelihatan jadi suami orang boleh sahaja berhubung dengan para gadis dan sebaliknya isteri orang boleh pula bemesra dengan teman-teman chatting dan rakan forum lelaki secara selamba dan biasa tanpa ada rasa bersalah.

Sekali lagi slogan yang membosankan akan digunakan iaitu : “Kami tidak berbuat apa-apa.”

Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah itu cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila seseorang hamba itu melakukan apa yang diharamkan oleh Allah.” (Hadis Muttafaq 'Alaihi)

DI dalam Kitab Tuhfatul Ahwazi ada menyebutkan bahawa cemburu itu adalah bermaksud seorang lelaki itu melindungi isterinya dan ahli keluarganya daripada ditemui dan dilihat oleh lelaki bukan mahram.

Maka hendaklah kita mengembalikan umat Islam kepada penghayatan Islam seperti yang dituntut oleh Allah SWT dan rasulnya serta menjauhi takwilan-takwilan mereka yang jahil dan dibesarkan di dalam suasana rosak sehingga menganggap pergaulan bebas dan kerosakkan akhlak hari ini adalah sebagai lumrah yang biasa.

Ada ramai orang sebegini yang merasa tidak bersalah dan tidak mengapa kaum wanita itu bebas bercampur gaul mesra dengan kaum lelaki. Islam ini agama yang memudahkan dan jangan mempersulitkan lalu hasil kerana kejahilan dan takwilan salah mereka terhadap perkara syarak menyaksikan kerosakkan demi kerosakkan yang dilakukan di atas nama Agama.

Berapa ramai pendakwah yang hanyut di atas nama cinta ? Berapa ramai ahli agama yang tersangkut dengan isteri orang dan suami orang ? Juga jangan dilupa bahawa yang kerap kali menggunakan agama untuk kepentingan mereka ialah juga golongan agama termasuk mereka yang bergelar professional agama.

Namun apa boleh buat, mereka tidak merasa bersalah.

Rasulullah SAW pernah bersabda : "Sesungguhnya diantara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama ialah "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka." (hadis riwayat Bukhari no. 5769)

Perbezaan, kenapa kita sukar menerimanya ?


Masyarakat kita cukup terkenal dengan keseragaman dan kesamaan sehingga disebabkan oleh kesukaan kepada sifat persamaan itu maka kita boleh melihat adanya kesenian “Boria” dan pelbagai adat yang diwarisi turun temurun bagi menjadikan setiap orang memiliki persamaan dengan orang yang lain. Di tanahair, upacara kelahiran diselangi dengan adat bercukur jambul dan kenduri doa selamat. Di samping itu akan ada acara tambahan seperti bemarhaban, berendoi dan seumpamanya.

Selain adat kelahiran, banyak lagi adat yang menunjukkan persamaan orang Melayu seperti adat pernikahan yang menyaksikan wujudnya acara rombongan meminang, menetapkan wang hantaran, acara akad nikah di masjid, acara bersanding sehingga kenduri kahwin yang pasti akan wujud persamaan dengan mana-mana kenduri seperti pemberian bunga telur dan seumpamanya.

Adat kematian pula akan menyaksikan wujud acara tahlil, bacaan yassin, menyiram air mawar ke kubur, kenduri doa selamat dan budaya pemakaian baju kurung dan baju melayu ke tanah-tanah perkuburan.

Semua orang awam biasanya akan melakukannya kerana enggan menjadi berbeza dengan orang lain.

Maka upacara itu dibuat mengikut kemampuan masing-masing, ada yang dibuat secara bermewahan dan ada pula secara beserdehana namun semua orang melakukannya kerana orang lain juga melakukannya dan enggan menjadi berbeza.

Tidak terhad hanya kepada acara dan majlis yang mesti dilakukan, masyarakat kita juga memiliki pakaian yang khusus dan diterima sebagai simbol persamaan seperti pemakaian baju batik pada hari-hari tertentu, warna hitam pada waktu perkabungan, memakai baju melayu dan kain pelikat apabila ke surau dan jubah serta serban apabila terlibat dalam aktiviti ibadah.

Kaum wanita tanah Melayu misalnya cukup terkenal dengan memakai kain telekung putih untuk menunaikan ibadah solat sehingga ke tanah Mekah menunaikan haji dan umrah juga memakai kain telekung bewarna putih.

Berganjak lebih jauh daripada itu kita juga melihat pada hari ini melihat wujud persamaan di dalam aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang tidak ingin berbeza dengan orang lain. Perlahan-lahan pengaruh persamaan ini kita lihat memasuki rumah-rumah kita melalui TV apabila semua orang pun mahu memasang astro apabila jirannya memasang astro walau mungkin dia tidak perlu.

Aspek persamaan itu kini sudah menjadi sebuah cara kehidupan kita.

Hal itu bergerak perlahan sehinggalah kepada mentaliti dan pemikiran.

Kita sukar menerima orang yang berbeza cara kehidupannya dengan kita.

Kita payah menerima orang yang pemikiran dan mentalitinya berbeza dengan kita

Kenapakah agaknya begitu ?

Apabila seseorang di kampung kita melahirkan anak dan tidak pula melakukan acara yang sepatutnya dilakukan oleh masyarakat umum maka orang ramai pun mula mengata. Apabila dia bernikah pula maka tidak mengadakan acara yang sepatutnya diadakan maka kata-kata itu akan bertukar pula kepada cemuhan dan pemulauan. Demikianlah juga apabila wujud kematian dan kemalangan jika ada orang yang tidak megadakan kenduri arwah, majlis tahlil dan bacaan yassin maka orang-orang yang berada di sekitarnya tidak akan berasa selesa dengan sikap orang yang berbeza ini.

Hal ini sudah meluas sehingga kepada kanak-kanak, remaja dan juga para pelajar di universiti. Melalui perkembangan dakwah dan pendidikan Islam, para pemuda dan pemudi yang bersemangat agama biasanya akan menubuhkan gerakan dakwah dan jamaah organisasi tertentu di sekolah, di madrasah dan juga di universiti serta pusat pengajian mereka untuk memperjuangkan misi-misi mereka.

Malangnya mereka juga gagal menerima perbezaan.

Apabila ada orang berbeza pendapat, berbeza pemikiran maka orang itu akan dilayan sebagai musuh atau dianggap sebagai persaingan dan cabaran.

Apa Pendirian Islam terhadap Perbezaan ?

Islam ialah agama yang syumul dan merupakan rahmat kepada seluruh alam.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT

Di dalam firman-Nya yang bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai Muhammad) , melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya : 107)

Perbezaan merupakan fitrah yang dijadikan oleh Allah SWT kepada manusia dan perbezaan itu tidaklah salah di dalam Islam bahkan diterima serta diiktiraf.

Allah befirman yang bermaksud : Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berbeza pendapat.” (Adz-Zariyat : 8)

Allah befirman yang bermaksud : “Dan penciptaan laki-laki dan perempuan, sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza.” (Al-Lail : 3-4)

Allah befirman yang bermaksud : “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia itu umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat.” (Hud : 118)

Berdasarkan kepada petunjuk Islam, para ulama menyebut adalah merupakan perkara biasa manusia ini berbeza pendapat, budaya dan cara kehidupan dan hal itu merupakan kebebasan serta hak masing-masing untuk berbeza di antara satu sama lain.

Allah befirman yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat : 13)

Di dalam ayat di atas, para ulama tafsir menyebutkan bahawa Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa penciptaan manusia ini dijadikan secara berbeza-beza keturunan, berpuak dan bangsa serta jantina dengan matlamat agar kesemuanya boleh bersatu di atas agama Allah SWT.

Kemuliaan itu bukanlah letaknya di atas persamaan acara, pengamalan , adat dan cara kehidupan seharian tetapi sebaliknya merujuk kepada siapakah yang paling bertaqwa kepada Allah SWT di dalam keadaan masing-masing.

Perbezaan ialah hak manusia dan hak tersebut tidak boleh dicerobohi dengan memaksa manusia untuk menerima atau bersama dengan apa yang tidak disukainya.

Hal ini disebutkan di dalam firman Allah SWT : “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (Al-Baqarah : 256)

Perbezaan hanyalah dikeji dan dicela apabila ianya menyelisihi jalan kebenaran dan bercanggah dengan Al-Quran dan As-sunnah.

Selama perbezaan dan menjadi berbeza dengan amalan masyarakat yang tidak mempunyai dasar serta hujah daripada Al-Quran dan As-sunnah maka seseorang itu berhak diberi ruang untuk mengamalkan apa yang memudahkannya dan memberikan keselesaan kepadanya.

Adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mengelakkan diri daripada mencela, mengutuk, membuat cerita, fitnah dan mengumpat serta pelbagai lagi gangguan kepada orang-orang yang memilih untuk menjalani kehidupan yang berbeza dengan kita selama perbezaan itu tidak membawa kepada pelanggaran syarak.

Nabi SAW bersabda : “Muslim sebenar ialah sesiapa yang orang-orang Islam lain terselamat dari kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadis sahih bukhari)

Hal ini disebut oleh para ulama Islam seperti Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya Halal Wa Haram Fi Islam bahawa mengharamkan atau melarang sesuatu yang halal maka ianya adalah berdosa dan boleh terjatuh syirik. Berdasarkan hal yang sedemikian apabila jiran dan rakan kita memilih cara kehidupan yang bercanggah dengan cara kehidupan yang diamalkan oleh masyarakat kebanyakkan maka adalah haknya untuk mendapat ruang dan kebebasan tanpa diganggu.

Apabila kelahiran jika seseorang itu tidak mengadakan acara berendoi, cukur jambul dan adat Melayu yang lain sebaliknya melakukan hanya sekadar bertahnik, memberi nama dan berakikah maka dia berhak dengan perbezaannya itu kerana Islam tidak menghalang perbezaan bentuk ini.

Begitu juga apabila seseorang itu ingin berkahwin dengan meminang tanpa ada rombongan peminangan sebaliknya meminang dengan dirinya sendiri maka itu haknya. Jika sewaktu perkahwinan dan dia hanya mahu berkahwin dengan membayar maskahwin tanpa wujud wang hantaran dan dipersetujui oleh keluarga perempuan maka itu haknya.

Seterusnya apabila selesai bernikah dan setelah ada kemampuan dan kelapangan mahu mengadakan kenduri pernikahan dengan tidak mengikut adat-adat Melayu maka itu haknya. Sekalipun dia ingin menjamu tetamunya itu memakan satey atau makanan segera seperti pizza dan seumpamanya dan bukannya dengan nasi minyak maka itu haknya.

Apabila berlaku kematian dan dia inginkan agar tidak dibuat tahlil, bacaan yassin dan kenduri arwah sebaliknya cukup sekadar menguruskan mayat dan kemudian mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa maka itu juga haknya.

Begitu juga di dalam rumahtangga, pemikiran dan sehinggalah kepada penyertaan kepada jemaah dan aktiviti dakwah yang wujud di sekeliling kita. Jika seseorang itu ingin melaksanakan kewajipan agama tanpa mahu berorganisasi atau berjamaah dengan persatuan dan gerakan yang sedia ada di sisinya maka itu haknya.

Tiada sesiapa yang berhak dan boleh memaksanya selama tiada dalil agama dan syarak yang sah untuk mengajak kepada PERSAMAAN.

Seruan kepada Persamaan dan Kesatuan ialah Hak Milik Mutlak Allah SWT

Ramai orang gagal menyedari bahawa seruan untuk bersama, bersatu dan bergabung diri hanyalah milik mutlak Allah dan hanyalah dapat dilakukan di bawah perintah Allah SWT.

Allah SWT berfirman : “Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang sama di antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah." Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)." (Ali-Imran : 64)

Menyeru manusia kepada kesatuan bukan di atas agama Allah SWT adalah merupakan kebathilan dan seolah-olah mengadakan sekutu dan syirik kepada Allah SWT.

Seruan mengajak manusia kepada tuhan yang satu ialah seruan yang padanya tidak boleh ada perbezaan. Apabila manusia di ajak untuk bersama-sama mentauhidkan Allah dan dia menolaknya maka perbezaan seperti inilah yang wajar ditentang dan boleh diperangi.

Begitu juga dengan kewajipan-kewajipan agama yang wujud dalil jelas daripada Al-Quran dan As-sunnah yang lain seperti perintah mendirikan solat berjamaah, berpuasa, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat.

Apabila seseorang mahu bersolat sendirian sedangkan dia lelaki yang mampu menunaikan solat berjamaah maka ketika ini dia boleh dibantah dan diperbetulkan untuk dibawa kepada persamaan soff untuk berjamaah. Begitu juga apabila orang ramai berbeza di dalam hal yang terdapat padanya dalil dan pertunjuk jelas daripada Al-Quran dan As-sunnah maka ketika itu wajiblah untuk mengikuti Al-Quran dan As-sunnah dan bersatu padanya tanpa menyelisih diri dan berbeza.

Kita sukar menerima perbezaan kerana kita terasa hilang kawalan dan merasa jahil dengan perbezaan dan cara kehidupan yang tidak sama dengan kita. Kejahilan itu apabila dimiliki oleh mereka yang hatinya kotor dan tidak bersih akan menyebabkan mereka mencemuh dan mencela orang yang berbeza dengan menyangka mereka melakukan kerja mulia dan suci di sisi tuhan dan mata orang ramai namun pada hakikatnya merekalah yang buruk kelakuannya di sisi Allah SWT.

Kesatuan itu hanyalah milik Allah SWT dan ditegakkan hanya kerana Allah SWt dan dilaksanakan mengikut perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang bercahaya.” (Al-Haj: 8)


Tuesday, November 24, 2009

Langkah Pertama


Tidak ramai orang sanggup mengambil langkah pertama sekalipun ianya adalah untuk kebaikan.

Lihat sahaja perkahwinan, pekerjaan, pergaulan, poligami, dakwah, politik dan segala macam perkara baik yang lain jarang ada orang yang berani memulakan langkah pertama kecuali dirinya ialah seorang yang benar-benar luar biasa dan benar-benar beriman kepada Allah SWT.

Ini boleh dilihat di dalam realiti kehidupan kita di mana-mana. Langkah pertama untuk apa sahaja perkara biasanya akan menghadapi kesukaran. Orang awam yang iman dan ilmunya berstandard “awam” lebih suka melihat dan menunggu peluang daripada berusaha mewujudkan peluang tersebut.

Sikap orang ramai ini boleh kita pelajari daripada Firman Allah SWT :

“Wahai kaumku, masuklah kamu ke tanah suci (Palestin yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari kebelakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu akan menjadi orang-orang yang merugi. Mereka berkata: "Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya." Berkatalah dua orang diantara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: "Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." Mereka berkata: "Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada didalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti disini saja." (Al-Ma’idah : 21-24)

Inilah sikap kebanyakkan umat Islam hari ini apabila menghadapi bala dan bencana yang menimpa agama dan kehidupan mereka. Mereka lebih gemar untuk menantikan keajaiban dan berdoa serta melakukan sesuatu yang mudah tanpa perlu mengorbankan “Status” dan “Comfort Zone” mereka.

Firman Allah : “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan begitu sahaja, sedang Allah belum mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu dan siapa yang tidak mengambil teman yang setia kecuali Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (At-taubah : 16)


Jika diajak untuk mengubah nasib umat, maka mereka hanya mahu duduk menanti sahaja dan melihat orang lain melakukan perubahan itu bagi pihak diri mereka. Kerana itu sistem politik kepartian mudah mendapat tempat di dalam hati masyarakat kerana mereka hanya perlu melakukan kerja mudah iaitu mengundi “Parti tertentu” yang menjanjikan perubahan dan menyerahkan nasib mereka kepada parti itu untuk melakukan kerja-kerja yang sepatutnya dan kemudian mereka pun duduk di rumah sambil menonton di TV dan membaca akhbar melihat harapan mereka apakah ditunaikan atau tidak oleh parti yang mewakili mereka.

Kerana itu kita lihat di TV, Radio, forum-forum perbincangan agama dan sosial, Tukang Penasihat yang memberi nasihat supaya “Banyakkan berdoa”, “Serah pada Allah”, “Bersabar”, “Redha” dan seumpamanya boleh menjadi terkenal dan mencari makan di atas peranannya menyuruh manusia kekal di dalam “Comfort Zone” mereka dan mengajar umat jangan mengambil risiko.



Puncanya mudah kerana dia sendiri tidak berani mengambil risiko. Lalu dia menyangka dia adalah seorang pendakwah dan mengajak ke jalan Allah sedangkan hakikatnya dia telah tersesat jauh dan membawa bersama-sama dengannya ramai anak-anak muda yang lemah jiwanya ke arah kesesatan.

Firman Allah SWT : "Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya . Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Az-Zukhruf : 36-37)

Disebabkan “mentaliti” sebeginilah maka ramai wanita yang sudah cukup usia namun masih belum bernikah dan berlegar-legar di ruangan forum, laman sembang dan sosial, berborak hal-hal yang tiada banyak bermanfaat dan suka mengisi masa dengan perkara-perkara yang lebih mudah disifatkan sebagai membuang masa.

Jika ditanya kenapa tidak berkahwin maka jawapannya ialah kerana takut, tak bersedia, tidak yakin, tidak bertemu pasangan sejati, tidak itu dan ini dan kemudian menutup kesedihan hatinya dengan doa, sabar, tawakal, redha, dan segala macam lagi yang sebenarnya dilakukan pada tempat yang salah.

Firman Allah SWT : "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah nasib diri mereka sendiri." (Ar-Ra'du : 11)

Kurangkan bercakap dan laksanakanlah apa yang diyakini benar, mulakan “Langkah Pertama” usah banyak membuang masa berbahas, berborak dan berbicara.

Islam sangat memuji tindakan “Langkah Pertama” di dalam mengerjakan kebaikan

Tindakan memulakan langkah pertama di dalam kebaikan disebut sebagai “Fastabiqul khairat” yang bermaksud bersegera ke arah kebaikan.

Hal ini merujuk kepada Firman Allah SWT : “Maka berlumba-lumbalah kamu (di dalam berbuat) kebaikan”. (Al-Baqarah : 148)

Di dalam hadis yang sahih Imam Muslim meriwayatkan daripada Jarir bin Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda.bahawa nabi bersabda : Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan di dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada Abi Umamah katanya: Telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Sesungguhnya seutama-utama manusia di sisi Allah ialah sesiapa yang memulakan memberi salam." (Hadis riwayat Abu Daud)

Nabi bersabda : “Tidak halal bagi seorang Muslim “hajr” (tidak bertegur sapa) saudaranya melebihi tiga hari, kedua-duanya bertemu, lantas saling berpaling muka antara satu sama lain. Yang terbaik antara mereka ialah orang yang memulakan salam.” (hadis riwayat Muslim no 6697).

Manakala bagi kaum wanita, Ibu orang yang beriman telah memulakan “Langkah Pertama” melakukan anjakan paradigma dengan meminang Rasulullah Salallahualaihiwasalam seperti yang disebut oleh Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada rasulullah dengan menyampaikan pesanan khadijah ra : Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya tutur katamu….” (Lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam Jilid 1, ms. 122). Dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? Lalu ketika menceritakan hadis ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : “Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi menginginkan kebaikan.” (lihat dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah).

Bahkan di dalam banyak hal jika diteliti “Langkah Pertama” ke arah kebaikan dipenuhi banyak fadhilat dan kelebihan kepada pelakunya. Para salaf sangat terkenal sebagai kaum yang sangat mengutamakan perkara kebaikan dan seringkali memulakan “Langkah Pertama.”

Kenapa Manusia Takut Memulakan “Langkah Pertama” ?

Ramai orang tidak suka mengambil “Langkah Pertama” dan mereka lebih suka menolak-nolak di antara satu sama lain untuk menyuruh orang lain yang memulakan terlebih dahulu sesuatu usaha kebaikan. Hal ini berlaku kerana mereka berpendapat adalah lebih mudah mengikut daripada belakang daripada memulakan usaha kebaikan itu sendiri.

Pertama : Terpengaruh dengan bisikan Syaitan

Adalah merupakan tugas syaitan untuk menjadikan “Langkah Pertama” ke arah kebaikan itu kelihatan payah, sukar dan mencabar. Hal ini kerana syaitan pasti akan rugi dan mengalami kekalahan apabila umat Islam berani memulakan “Langkah Pertamanya” ke arah kebaikan.

Firman Allah SWT : “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Al-Isra : 53)

Fikirkanlah dengan akal yang waras, apakah anda menyangka bahawa Syaitan itu tidak memainkan peranan di dalam menghasut para gadis yang sudah berusia, bekerjaya itu untuk bernikah ?

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir r.a yang menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis memanggilnya agar dia dijadikan dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim no. 2813)

Memisahkan suami isteri ialah kerja yang paling disukai oleh Syaitan maka apakah Perkahwinan yang merupakan usaha menyatukan dua insan di atas syariat Allah ini bukanlah perkara yang paling dibencikan oleh Syaitan ?

Fikirkanlah.

Firman Allah SWT : “Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.” (Al-baqarah : 219)

Kedua : Syaitan Menakut-nakutkan Manusia daripada Mengambil “Langkah Pertama”

Firman Allah SWT : “Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, dia menanggalkan dari keduanya pakaian mereka untuk memperlihatkan kepada keduanya 'aurat mereka. Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu pula melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raaf : 27)

Firman Allah SWT : “ Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil), sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurnia-Nya dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengatahui.” (Al-Baqarah : 268)


Allah swt berfirman dengan maksudnya : “ Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya, kerana itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Ali-Imran : 175)

Ketiga : Syaitan Menyediakan Jalan yang lebih “Mudah” dan Menghalang “Langkah Pertama”

Syaitan juga berupaya menghiasi pandangan mata sehingga kelihatan jalan atau “Langkah Pertama” itu kelihatan tersangatlah susah dan kemudian syaitan menjanjikan manusia dengan harapan dan janji-janji palsu supaya manusia itu tidak mengambil “Langkah Pertama.”

Firman Allah SWT : “Demi Allah, sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami kepada umat-umat sebelum kamu, tetapi syaitan menjadikan umat-umat itu memandang baik perbuatan mereka (yang buruk), maka syaitan menjadi pemimpin mereka di hari itu dan bagi mereka azab yang sangat pedih.” (An-Nahl : 63)

Firman Allah SWT : “Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).” (Al-A’raaf : 16-17)

Terpedaya oleh Dakyah Golongan Munafiq

Golongan Munafiq dan mereka yang sesat kerap kali menjadi alat kepada Syaitan bagi menyesatkan manusia. Hal ini kerap terjadi kerana sifat nifaq (mereka) yang terkenal sebagai malas berusaha dan sukakan keselesaan serta takut bekorban. Mereka bimbang jika budaya bekorban untuk agama ini diterima pakai oleh orang ramai maka kelak mereka akan dipandang serong jika tidak bekorban.

Mereka mahukan keselesaan dan hal itu dipergunakan oleh Syaitan untuk menjadikan mereka sebagai agen penyesat kepada manusia.

Allah SWT befirman : “Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut berperang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: "Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini." Katakanlah: "Api neraka jahannam itu lebih sangat panas(nya)" jika mereka mengetahui.” (Taubah : 81)

Ungkapan seperti ini kerap kali kita dengar diungkapkan oleh orang-orang lama yang selesa dan senang dengan kedudukan mereka.

Ucapan seperti :

“Janganlah bernikah awal nanti cepat bercerai”

“Janganlah pergi mengaji dengan ustaz sekian nanti terpengaruh dengan dia”

Janganlah itu dan ini yang berupa ayat larang dan perintah yang berbentuk hukum dan keputusan sedangkan dia sendiri pun belum mengetahui sesuatu perkara secara pasti.

Firman Allah SWT : Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Al-An’am : 116).


Berhati-hatilah di dalam mengambil Nasihat dan Panduan kerana di hari akhirat setiap orang akan berlepas diri daripada kita termasuklah orang yang dahulunya di dunia ini sibuk menasihati kita dan sibuk mempengaruhi kita supaya berbuat itu dan ini.

Firman Allah SWT : Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal). (Iaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.” (Al-baqarah : 165-166)


Lihatlah bagaimana Allah menunjukkan penyesalan di hari Akhirat kerana silap mengambil Ikutan

Firman Allah : “Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari api neraka.” (Al-Baqarah : 167)

Mulakanlah Langkah Pertama dengan Penuh Keyakinan Kepada Allah SWT

Langkah pertama kepada kebaikan perlulah dimulakan tanpa ada keraguan dan ketakutan kerana orang yang beriman sudah yakin dan beriman bahawa segala-galanya sudah ditetapkan.

Ibn Mas’ud r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu ALLAH mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara: iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya sama ada bahagia atau celaka. Demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-NYA, sesungguhnya sekiranya ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sekalipun sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka, nescaya selepas itu dia akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seseorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga, maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya. - Hadis sahih isnadnya menepati syarat syaikhan dan diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Allah befirman : (yang bermaksud) "Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Al-hadid : 22)

Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya: Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: "Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya." (Sahih Muslim, Kitab Takdir, no: 4781)

Begitu juga pesan dari Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya dari Abu Darda r.a dari Nabi s.a.w bersabda, ‘Tidak sekali-kali masuk ke dalam syurga (Allah), orang yang mendustakan takdir (Allah).’ (lihat: Silsilah hadis Sahihah, nombor 675).

Orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat pastikan tidak akan ragu-ragu memulakan langkah pertama dan tidak takut pula menghadapi kegagalan kerana mereka mengerti bahawa tiada kegagalan jika setiap usaha dilakukan dengan menurut Syarak.

Islam menyuruh Umatnya supaya berusaha Gigih Mengumpulkan bekal dunia dan Akhirat

Rasulullah s.a.w bersabda: (yang bermaksud) "Janganlah berlengah-lengah di dalam usaha mencari rezeki, kerana seorang hamba tidak akan mati sehinggalah rezeki paling akhir (untuknya di dunia) diberikan untuknya (dari ketetapan Allah), maka takutlah kepada Allah, dan perelokkan (bersungguh-sungguh dalam usaha) mencari rezeki, ambillah sumber halal dan tinggalkanlah yang haram." (Sahih al-Jami’, nombor: 7325)

Allah befirman : (yang bermaksud) "Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)." (Ar-Radd : 26)

Kesimpulan

Langkah Pertama perlu dimulakan oleh setiap orang yang cintakan Allah dan rasul serta beriman kepada hari akhirat. Memulakan langkah ke arah kebaikan tanpa risau dan ragu kerana menyakini bahawa setiap sesuatu itu adalah ditakdirkan.

Sebab kita yakin bahawa semua hasil adalah baik kerana orang beriman itu sentiasa diberi kebaikan, selama dia sabar dan syukur maka ketika itu barulah benar kita seorng yang bertawakal.


Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadis dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasalam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu : Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau, jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah. Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau. Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan).” (Hadis sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).


Bahkan orang yang beriman tidak perlu sama sekali menjadi bimbang atau ragu tentang hasil dan akibat yang menimpanya selama dia beriman kerana semuanya sudah tertulis sebagai kebaikan.

Disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Suhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda : “Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu jadilah pula musibah itu sebagai kebaikan baginya.” (Hadis sahih riwayat Muslim no. 2999).

Maka jika anda benar-benar memahami keseluruhan isi tulisan ini nescaya anda akan memahami bahawa Kegagalan yang sebenar ialah apabila Anda “GAGAL MENCUBA.”

Kata Musa a.s kepada kaumnya yang Tidak Mahu Memulakan “Langkah Pertama”

Firman Allah SWT : “Berkata Musa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu." Allah berfirman: "(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu." (Al-Ma’idah : 25-26)

Ayuh saudara/ri, keluargaku, rakan dan sahabat marilah kita memulakan langkah pertama, usah melayani orang yang masih kebingungan.