Sunday, February 05, 2012

Apabila hajat kita ditolak !

Jangan terlalu bersedih apabila sesuatu hajat kita itu ditolak oleh manusia seperti pinangan, permohonan kerja atau pinjaman kerana boleh jadi ianya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri. Apakah kita sudah lupa akan segala doa kebaikan yang pernah diminta sebelum ini ?

Mungkin Allah SWT ingin memakbulkan doa kita yang lebih penting yang terhalang oleh doa atau hajat kita yang tidak penting itu atau tidak menguntungkan akhirat dan masa hadapan kita. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui dan kita tidak mengetahui.

Janganlah membiarkan syaitan menguasai diri kita dengan putus asa dan kecewa kerana itu adalah sikap SANGKA BURUK dan MERENDAHKAN kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

Apakah Allah bukan penyayang ?

Apakah Allah itu bukan pengasih ?

Lalu kenapa kita meragui segala rahmat dan kasih sayang Allah hanya kerana kita hendak diselamatkan oleh Allah dari bahaya yang kita tidak nampak dan tidak tahu yang tersembunyi disebalik kehendak dan hajat kita ?

Serahlah segala-galanya kepada Allah dan yakinlah serta bertawakal kepada-Nya bukan pada usaha kita dan bukan pula kerana pengorbanan atau apa yang telah kita lakukan untuk mendapatkan sesuatu yang kita inginkan.

Itulah aqidah, itulah tauhid yang diajarkan oleh Rasulullah Salallahualaihiwassalam.

Sabda baginda rasul dalam sebuah hadith : "Doa orang yang sedang menderita (kesedihan yang mendalam) ialah:

Maksudnya : “Ya Allah, RahmatMu aku harapkan, janganlah Engkau serahkan segala urusanku kepada diriku sendiri walau untuk sekelip mata, perbaikilah segala urusanku, tiada ilah yang berhak disembah selain Engkau.” (Hadith Riwayat Abu Daud)

Beriman dengan qadha dan qadar Allah SWT adalah lebih mudah diucapkan daripada dilaksanakan kerana ianya menuntut pengorbanan dan ketabahan yang sangat tinggi. Itulah syarat untuk menjadi orang yang beriman kerana hanya orang yang percaya dan yakin kepada Allah SWT dan kekuasaan-Nya sahaja akan sanggup bersabar dan yakin serta utuh kepercayaan dan keimanan kepada rahmat Allah SWT, belas ehsan-Nya dan pertolongan-Nya.

Orang yang beriman akan tetap bersabar dan yakin dengan rahmat Allah SWT walaupun ditusuk oleh sepuluh pedang , ditolak pinangan oleh sepuluh anak gadis dan diberhentikan dari pekerjaan oleh sepuluh syarikat.

Manakala orang yang munafiq tidak akan beriman dan sudah merasa sangsi serta ragu terhadap kasih sayang dan rahmat Allah SWT sekalipun dia cuma baru diusik oleh pedang yang bersarung, diugut akan ditolak pinangan oleh si gadis dan diberi amaran untuk tidak dinaikan pangkat dalam syarikat.

Itulah bezanya antara orang yang percaya kepada Allah SWT dan yang tidak percaya !

Firman Allah SWT : “Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At Taghaabun: 11)

Wahai orang yang beriman, janganlah kecewa dan berduka kerana jika benar kau beriman maka nescaya setiap kesedihan-Mu akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Jika ada manusia yang membuatmu menangis maka nescaya akan ada hamba Allah SWT pula yang akan membuatmu gembira dan bahagia.

Jika benar engkau beriman maka sesungguhnya Allah dan malaikat akan turut sama bersedih denganmu dan membalas kepadamu dengan kegembiraan. Apakah engkau tidak pernah mendengar sabda rasulullah Salallahualaihiwassalam di dalam sebuah hadith qudsi bahawa Allah SWT berfirman : “Barangsiapa menyakiti waliku maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan suatu pekerjaan yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang Aku telah fardhukan keatasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang dia melihat dengannya, dan tangannya yang dia tamparkan dengannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya; Dan sesungguhnya, jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya." (hadith riwayat Bukhari)

Nah, siapakah yang lebih baik menjadi teman dan pelindung serta kekasih selain Allah SWT ? Maka seharusnya kita bersyukur kepada Dia, kerana kita masih belum kehilangan segala-galanya selagi masih punya Iman di dalam dada.

Namun jika kesedihan itu masih terasa berat maka janganlah gusar dan merasa susah tetapi segeralah membaca doa yang diajarkan oleh baginda rasulullah salallahualaihiwassalam :

اَللَّهُمَّ إِنِّى عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ ، وَفِى قَبْضَتِكَ ، نَـاصِيَتِى بِيَدِكَ ، ماَضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ ، سَمَّيْتَ بِـهِ نَفْسَكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَـهُ فِى كِتَابِكَ ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِـهِ فِى مَكْنُوْنِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِى ، وَجَـلاَءَ هَمِّى وَغَمِّى

Maksudnya : "Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak kepada hamba-Mu. Aku (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri)ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran itu sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihan dan kedukaanku". Kata baginda lagi, Tidaklah seorang pun yang membaca doa tersebut melainkan Allah menghilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan. (Hadith riwayat Ahmad)

Firman Allah SWT : “Ketahuilah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada ketakutan terhadap diri mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.” (Yunus : 62)

Sungguh tiada kesedihan bagi orang yang beriman !

2 comments:

Bonekahati said...

Terima kasih kerana berkongsi sangat bermanfaat. Saya selalu disini membaca artikel tuan. Teruskan menulis.

Nana the Baker said...
This comment has been removed by the author.