Monday, January 02, 2012

Nabi SAW yang amat sibuk itu pun sempat berpesan


Dua perkara yang perlu diperhatikan oleh seorang pendakwah atau tokoh terkenal dalam masyarakat baik dia berada dalam kedudukan sebagai seorang tokoh politik, tokoh pendidik atau pun ahli agama ialah aqidah dan akhlak para murid dan pengikutnya.

Dua perkara inilah yang menentukan kejayaan atau pun kegagalan dakwahnya.

Firman Allah SWT : “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).” (An-Nahl : 36)

Firman Allah SWT : “Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub yang mempunyai kekuatan melaksanakan apa yang diperintahkan dan ilmu-ilmu yang tinggi. Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat.” (Shaad : 45-46)

Firman Allah lagi : “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam : 4)

Kejayaan pendakwah ialah pada menyampaikan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT iaitu meluruskan Aqidah dan membetulkan akhlak.

Sabda nabi Salallahualaihiwassalam : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (hadis riwayat Bukhari dalam Adab Al-Mufrad)

Saya tidak berkata tentang dosa dan pahalanya atau pun amalannya apakah diterima atau ditolak, atau menjatuhkan kedudukannya sebagai seorang hamba Allah yang baik kerana itu adalah urusan dan dibawah pengetahuan Allah SWT semata-mata tetapi saya sedang memperingatkan pembaca tentang dakwahnya iaitu seruannya kepada Islam dan kepada jalan Allah SWT yang merupakan amanah dan kewajipan yang dibawa oleh para rasul terdahulu seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran iaitu seruan kepada kelurusan Aqidah dan kemurnian Akhlak !

Dua perkara ini jika gagal diterapkan kepada pengikut dan anak-anak muridnya maka dia gagal dalam dakwahnya. Mungkin sahaja dia itu ialah ahli syurga tetapi dia ialah ahli syurga yang gagal membawa manusia ke- jalan Allah SWT.

Kerana jalan Allah SWT itu adalah diperbuat daripada Aqidah yang sahih dan akhlak yang mulia!

Nabi SAW pun sempat menyuruh umatnya agar tidak bertaasub kepada diri baginda

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari Abu Umamah ra yang menyebut bahawa telah keluar nabi Salallahualaihiwassalam kepada para sahabat dalam keadaan bertongkat dan mereka pun bangun menuju kepada baginda lalu baginda pun bersabda : “Janganlah kamu berdiri (kepadaku) sepertimana berdirinya orang Ajam untuk membesarkan antara satu sama lain.” (hadis riwayat Abu Daud dengan riwayat yang dhaif tetapi maksudnya sahih)

Hadis di atas sahih pada maknanya sekalipun dhaif pada riwayatnya kerana terdapat riwayat dari Anas bin Malik ra yang menyebut bahawa tidaklah ada manusia yang lebih dicintai oleh para sahabat baginda selain daripada diri rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri namun mereka tidaklah bangun berdiri kepada baginda rasulullah salallahualaihiwassalam (sekalipun mereka mahu melakukannya) kerana mengetahui akan kebencian baginda terhadap perbuatan tersebut. (Dikeluarkan oleh Imam Bukhari dalam Adab Al-Mufrad dan Imam At-Tirmidzi dalam kitabnya)

Begitu juga baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sempat berpesan kepada para sahabatnya untuk tidak melampaui batas dan bersikap taasub atau ghulu selepas kewafatan baginda.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam : “Janganlah kamu menjadikan rumah kamu sebagai kuburan dan janganlah pula kamu menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya selawat kamu akan sampai kepadaku walau dimana pun kamu berada.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dan sabda Nabi salallahualaihiwassalam lagi: “Jauhilah kamu dari melampau dalam agama (Al-Ghulu), kerana sesungguhnya sikap al-ghulu itu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.” (Hadis riwayat Ahmad dan menurut Hakim hadith ini sahih dan disepakati oleh Imam Adz-Zahabi)

Kalau nabi Salallahualaihiwassalam yang mempunyai ramai isteri, menjadi ketua negara dan rasul Allah serta ahli ibadah yang paling hebat itu pun sempat berpesan dan mengajar para sahabat dan muridnya agar tidak taasub kepada diri baginda salallahualaihiwasallam, masakan kita yang cuma seorang pendakwah dan penceramah bebas sahaja pun tidak boleh melakukannya ?

Kita sepatutnya mempunyai ruang dan waktu yang lebih banyak untuk menerapkan apa yang amat penting dan mustahak disampaikan kepada anak-anak murid dan para pelajar serta pengikut kita iaitu aqidah yang sahih dan memiliki akhlak yang baik.

Siapa tahu bahawa mungkin itulah aset dan modal utama kita untuk masuk ke syurga Allah SWT dan bukannya jumlah pengikut dan pelajar yang ramai mengikuti ceramah dan kuliah kita.

Fikir-fikirkanlah, sesungguhnya ubat yang baik itu biasanya adalah yang paling pahit !

Wallahua’lam.

1 comment:

Waiz Aufa (Penasihat Yang Setia) said...

Manusia selalu mengatakan sibuk..tp sebenarnya jika dimanfaatkan 24 jam itu sbaiknya,tidak akan sibuk.insya-Allah.. =)